yang semasa

Jumaat, November 14, 2008

YANG KIRIM SMS, MENGUGUT, MEMAKI HAMUN & MENCARUT

Saya menulis bersandarkan prinsip “berkata benarlah walaupun pahit". Dan mungkin kerana kepahitan yang dirasai daripada kebenaran itulah yang menyebabkan saya menerima panggilan dan sistem pesanan ringkas (sms) daripada orang-orang tertentu.

Kesnya bermula mungkin kerana tulisan saya (baca di sini) yang turut dipetik oleh Zabidi Saidi (Editor Watan) daripada blog peribadi saya dan kemudian disiarkan dalam Mingguan Watan terbitan 9 – 15 November 2008.

12 November, pukul 10.39 malam, saya menerima sms yang berbunyi “Lan pendek kata Zabidi patut ditembak tengah padang bersetongkol dgn kaki jahat pembangkang mubin”.

Saya hubungi Roslan Abdul Rahman (yang disebut Lan pendek dalam sms tu) Pemangku Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) yang juga bekas Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Nerus (sekarang beliau dah jadi AJK Bahagian yang menang bertanding). Roslan sambil bersumpah "wallahi, wabillahi, watallahi" berserta kalimah "demi Allah" menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia ada berkata begitu. Kata Roslan, memang dia ada baca tulisan yang dimaksudkan dalam Watan yang ditunjukkan kepadanya, tetapi dia tidak pernah berkata sedemikian.

Lalu saya memaklumkan hal ini kepada Zabidi Saidi dan Zabidi ada menyebut seorang individu lain (tidak perlu disebut nama penuhnya di sini kerana saya sendiri tidak mengenalinya, cukup sekadar disebut sebagai Hj K sahaja). Kata Zabidi, Hj K yang memaklumkan perkara itu kepadanya. Sehingga hari ini saya tidak tahu sama ada Zabidi sudah selesaikan atau belum perkara ini dengan Hj K dan Roslan, kerana saya minta Zabidi untuk selesaikannya memandangkan perkara ini dimaklumkan kepada beliau (Zabidi) oleh Hj K yang turut melibatkan Roslan dan saya.

13 November, kurang lebih pukul 7.50 malam, saya menerima satu panggilan daripada nombor yang tiada dalam rekod telefon saya. Nombornya menggunakan talian DiGi prepaid 016. Pemanggil tanpa memperkenalkan diri bertanya “siapa ni?” Saya membalas dengan juga soalan “hendak bercakap dengan siapa?”. Pemanggil bertanya lagi apakah saya tuan punya nombor telefon yang didailnya (nombor telefon saya). Saya menjawab ya.

Pemanggil kemudian bertanya saya sama ada boleh berjumpa atau tidak. Saya katakan “Boleh, tak ada masalah. Tapi siapa nin?”

Tak perlu tahu siapa, jumpa nanti baru tahu”, jawab pemanggil berkenaan.
“Macam mana nak jumpa kalau saya tak tahu siapa-siapa, saya nak cari di mana dan untuk apa?” kata saya lagi.

“Kalau tak boleh jumpa, tak apalah”. Lalu pemanggil telefon berkenaan memutuskan percakapannya dengan saya.

Kira-kira tiga minit kemudian (pukul 7.53 malam) saya menerima sms daripada nombor sama yang baru menelefon saya sekejap tadi. Bunyi smsnya :

“Mu ada mana? mu wartawan jenis menatang mu. Aku nk jupe gok mu skali” (dialek Terengganu. Terjemahannya : Awak ada di mana? Awak ni wartawan jenis binatang. Aku nak berjumpa juga dengan awak sekali).

Sudah berbau ugutan dan saya langsung terfikir, kalau disebut ‘wartawan’, mungkin lanjutan daripada tulisan saya dalam Watan itulah.

Kami berbalas-balas sms. Sms daripada pengirim ini diselangseli dengan hampir 100 peratus kata-kata nista, memaki hamun, mengugut, mencarut, kata-kata kesat dan emosional. Saya menerima dan membaca kemudiannya membalas dengan penuh gurauan. Saya tidak mengikut rentaknya yang penuh perasaan itu, sebaliknya hampir seluruh balasan sms daripada saya, saya masukkan ketawa yang saya pinjam ketawa Tukar Tiub (saya suka dengan cara ketawa Tukar Tiub walaupun terdahulu saya juga pernah gunakan ketawa yang sama tetapi dieja Kah3... gitu aje).

Keseluruhannya ada enam atau tujuh kali kami berbalas sms. Saya tidak akan menyiarkan di sini apa kandungan sms terutama kandungan sms pengirim berkenaan. Cuma yang saya boleh katakan, smsnya dipenuhi dengan ugutan, maki hamun, mencarut dan kata-kata kesat yang tak layak untuk disiarkan untuk bacaan umum. Bayangkan bagaimana sikap dan pemikiran si pengirim sms itu kalau perkataan-perkataan ini digunakan (sebahagian sahaja kerana sebahagian lagi tak layak disiarkan) : anak babi, menatang, menatang babi, celaka, dayus, kurang ajar, bangang, tadok batu, mampus deras, kepala bapak, jaga mun, aku sumpah demi Allah mun masuk neraka jahanam, mapus mun sekeluarga, aku akan cari mun sampai ke …… , aku boleh main ikut belakang (pintu belakang? Ada orang berpengaruh di belakangnya?) dan sebagainya (untuk makluman, ada perkataan-perkataan ini digunakan lebih daripada sekali).

Saya akhiri membalas smsnya dengan “kah kah kah… terima kasih sahabat, assalamualaikum” dan saya tidak menerima balasannya lagi. Dapat disahkan bahawa pemanggil/pengirim sms adalah orang yang sama dan berketurunan Melayu (Islam?).

Persoalannya apa yang menyebabkan pengirim sms tu terlalu marahkan saya. Kalau nak diikutkan, tulisan saya tu tidaklah terlalu kasar dan totok sangat menghentam orang-orang tertentu (terutamanya Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said). Tapi itulah sebenarnya penerimaan banyak orang. Saya tidak mahu menuduh atau membuat andaian berkaitan adanya upahan, marah kerana berkepentingan atau sebagainya.

Yang saya hendak sebutkan hanyalah, sudah lebih 1000 kali kebaikan ditulis berkaitan dengan UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO, khususnya pemimpin dan UMNO Terengganu. Saya juga orang UMNO. Sudah lebih 25 tahun saya jadi ahli UMNO. Macam-macam tulisan sudah saya tulis berkaitan UMNO dan pemimpin-pemimpinnya. Dalam konteks sekarang pun, sudah terlalu banyak saya memuji Ahmad Said dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain. Sudah terlalu banyak kita seimbangkan pemberitaannya.

Namun yang peliknya, tidak ada sepatah pun ucapan terima kasih atau pujian atau kejian hasil daripada tulisan yang memuji dan memihak itu. Saya (atau akhbar Watan contohnya dalam kes ini) bukan mengharapkan sangat atau menagih pujian dan ucapan begitu. Tetapi hanya dengan sekali sahaja kita menulis yang agak sinis (hanya sinis, tak sampai ke tahap buruk sangat pun – sila rujuk balik tulisan tu), kita sudah melatah, sudah melenting dan macam-macam tuduhan buruk dilemparkan kepada wartawan. Itulah nasib wartawan.

Kita kena tengok apa tujuan kita menulis sesuatu rencana/berita. Apakah kita sedar kesilapan dan kesalahan kita sebelum membaca apa yang telah ditulis? Sejauh mana kita bersedia berubah kalau benar apa yang ditulis itu di luar kesedaran kita? Ada sesiapa yang pernah menegur kita sehingga kita terlalut dan membuat keputusan di luar peraturan. Tidak pernah terfikirkah bahawa tulisan juga adalah untuk membantu kita membaiki kelemahan dan kesalahan yang mungkin kita terlepas cakap, tersalah bicara, terlajak kata? Tidak pernah terlintas ke walau sekelumit rasa bahawa tulisan juga adalah untuk membantu kita dan kerana orang sayangkan kita, takut-takut kita semakin hanyut dan lupa daratan? Tulisan juga adalah penasihat, bukan orang sahaja yang boleh jadi penasihat. Berfikirlah secara positif dan jangan hanya mendapat nasihat daripada orang-orang yang berkepentingan sahaja.

Rasionalkan diri sikit. Jangan kita membaca satu dua akhbar sahaja. Jangan kita membaca akhbar yang pro kerajaan dan pro kita sahaja. Apabila kita hanya tertumpu kepada satu dua akhbar saja, inilah padahnya. Pemikiran kita menjadi jumud, terbatas dan apabila sahaja kita membaca yang tidak menguntungkan kita, kita segera menjadi tidak rasional. Perlakuan kita terbabas di luar batas kesopanan sebagai seorang Islam dan di luar batas kesantunan dan kesusilaan sebagai seorang Melayu. Banyakkan membaca. Tidak rugi kalau kita banyak membaca.

Bacalah surat khabar atau rajin-rajinlah membuka laman web dan blog yang jumlahnya sampai ratusan ribu itu. Ada yang pro kerajaan, pro pembangkang, yang liberal dan yang menyokong individu-individu tertentu. Kalau yang bukan pro UMNO/Kerajaan BN, seribu kali lebih teruk mereka menghentam pemimpin-pemimpin dan UMNO, termasuk pemimpin dan UMNO Terengganu. Kalau yang menyokong individu-individu tertentu, seribu kali lebih dahsyat kutukannya walaupun yang dipujapuji dan dihentamkutuk itu datangnya daripada parti yang sama. Baik PAS, DAP, MCA, MIC, PKR, UMNO atau parti apa-apa sekali pun. Kadang-kadang lebih dahsyat kutukannya antara sesama parti daripada mengutuk pihak lawan atau berlainan parti. Ambillah contoh yang berlaku dalam UMNO sekarang. Di seluruh negara, bukan sahaja pemimpin tertinggi di peringkat pusat, malah di peringkat cawangan pun berlaku buruk memburuk. Selongkarlah blog/web yang pelbagai anutan, ideologi, kecenderungan dan ketaksuban. Itulah contoh terbaik yang boleh kita jadikan panduan.

Kalau pun kita membaca satu dua akhbar yang pro kerajaan dan menghentam teruk pemimpin dan parti lawan. Apa yang kita rasa? Seronok? Suka? Padan muka? Patut dah begitu? Memang betul begitu? Pemimpin itu tak guna, pemimpin ini tak guna? Memang Anwar kaki liwat.. Memang Haji Hadi dan Nik Aziz putar belit Islam. Pakai serban je besar, perut busuk, kaki kelentong. Memang Kit Siang anti-Melayu. Samy Vellu gila kuasa? Sokong Hindraf? Memang Karpal Singh anti-Islam. Berapa banyak kita ucapkan terima kasih kepada wartawan yang menulis begitu? Berapa banyak yang kita upah wartawan yang mengutuk orang yang kita tidak suka itu? Atau ada kita marah, memaki hamun, mencarut dan menghantar sms mengugut mereka kerana tulis keburukan yang maha teruk kepada pemimpin-pemimpin itu.

Marahkah kita dan memaki hamunkah kita kepada wartawan yang memburukkan Dato’ Idris Jusoh? Memaki hamunkah kita kepada wartawan yang memburukkan Dato’ Rosol Wahid? Memaki hamunkah kita kepada wartawan yang memburukkan Dr Mahathir dan Pak Lah? Memaki hamunkah kita kepada wartawan yang memburukkan dan menuduh Dato’ Najib? Memaki hamunkah kita kepada Dr Mahathir yang tidak serik-serik menghentam Pak Lah sehingga Pak Lah terpaksa turun takhta?

Kerana kita taksub dan mempunyai banyak kepentinganlah, maka kita menjadi pembela dan penyokong yang membabibuta dan hilang maruah diri. Kerana kita takut dengan bayang-bayanglah, maka kita menjadi pengikut yang liar bertindak tanpa kesantunan, kesopanan dan kesusilaan. Kerana kita totoklah, kita menjadi orang yang tidak bermoral dan hilang akal. Kita bertindak di luar kawalan sebagai seorang Islam berbangsa Melayu. Jangan sampai orang luar menambahkan label kejelikan UMNO dek kerana tingkah laku kita yang kebudak-budakan ini.

Inilah manusia, tidak mudah untuk menerima kelemahan dan kekurangan diri. Tidak boleh menerima kritikan dan teguran. Tidak matang berpolitik. Masih beranggapan diri kita seratus peratus sempurna dan tiada cacat celanya, walaupun kesalahan dan kesilapan kita itu sudah disaksikan oleh sejagat raya manusia di seluruh dunia. Jadilah orang yang pandai bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang ada. Atau kalau kita masih lagi tidak dapat merasionalkan diri dan masih tidak boleh menerima teguran/kutukan, baiknya kita baca sahaja media (akhbar/web/blog dsbnya) yang hanya memihak kepada kita. Jangan baca surat khabar atau web atau blog pro pembangkang dan liberal yang menghentam kita atau tidak memihak kepada kita, termasuklah juga akhbar Watan, kerana Watan adalah surat khabar liberal dan berkecuali yang tidak memihak kepada sesiapa. Ada kalanya menyokong dan ada kalanya mengkritik, tidak kira kerajaan atau pembangkang. Dengan itu, barulah kita akan aman dan tidak akan merasa 'sakit hati'.

Saya langsung tidak kesah dengan ugutan, caci maki, celaan, carutan begitu kerana saya sudah lali dengan situasi begitu. Saya hanya ingin merakamkan jutaan terima kasih sahaja. Saya pernah mengalami situasi yang lebih teruk daripada ini. Saya sudah lama menghadapi perkara seperti ini, sudah lebih dua puluh tahun. Saya sudah ‘kalih’ naik turun mahkamah kerana menulis dan tulisan. Saya pernah diperintah mengadap ke istana semasa hayat al-Marhum Sultan Terengganu kira-kira dua puluh tahun lalu, juga kerana tulisan saya. Saya pernah diperintah bersemuka dengan Menteri Besar (TS Wan Mokhtar Ahmad) kerana tulisan.

Saya pernah dipanggil oleh Ketua Polis negeri juga kerana tulisan. Saya pernah diugut bunuh oleh ‘gengstar’ juga kerana tulisan. Ketika pemilihan UMNO yang menyaksikan pertembungan jawatan Presiden UMNO tahun 1987 antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah, seorang Timbalan Menteri pernah menyaman saya dan akhbar Watan (kepunyaan penerbit ketika itu, bukan Watan sekarang) juga kerana tulisan. Rekod dan segala maklumat yang berkaitan dengan kes-kes tu masih ada saya simpan sebaiknya.

Namun saya bersyukur kerana dengan prinsip “berkata benarlah walaupun pahit” dan bukti-bukti yang sahih tentang apa yang ditulis, baginda Sultan tidak memurkai saya. Saya dinasihati, langsung tiada kemurkaan atau bertitah kasar dengan saya. Itulah ciri-ciri yang dituntut oleh Islam. Ciri-ciri yang amat sebati dengan jiwa dan roh keMelayuan. Ciri-ciri berdaulatnya seorang Sultan.

TS Wan Mokhtar juga tidak memarahi saya dan beliau sendiri mengakui kesilapannya kerana salah tanggapan terhadap saya menyebabkan beliau seakan-akan ‘berdendam’ dengan saya (tetapi setahun kemudian beliau sedar, kesilapannya berdendam dengan saya). Ketua Polis juga hanya menasihati agar ‘pandang-pandanglah’ ketika menulis, dan mengakui bahawa saya dipanggil kerana melaksanakan tugas yang diarahkan.

“Gengstar’ yang mengugut saya sempat juga 'beristirehat' di Penjara Kajang, tetapi tidaklah lama, hanya lima tahun sahaja. Timbalan Menteri yang menyaman saya juga menarik balik samannya sebelum dibicarakan dan selepas itu beliau tidak lagi menjadi Timbalan Menteri.

Untuk kes terbaru ini, saya boleh agak siapa orang/pengirim sms ini dan siapa orang-orang di belakang orang ini. Mungkin agakan saya ini betul atau mungkin juga salah. Yang jelas ‘orang dan orang-orang’ ini, saya namakan sebagai suspek. Tetapi itu semua tidak penting. Yang juga tidak penting, sekadar makluman saja ialah segala maklumat sms, nombor-nombor telefon, nama-nama individu yang ‘disyaki’, nama-nama individu yang melalui proses penghantaran sms dan pemaklum (termasuk Zabidi Saidi, Roslan Abdul Rahman dan beberapa orang lagi) sudah berada dalam rekod Jabatan Siasatan Jenayah. Setakat ini maklumat berkenaan hanya sebagai rekod sahaja, bukan untuk diambil apa-apa tindakan susulan. Maaf, ini bukan ugutan atau untuk menakut-nakutkan sesiapa, cuma sekadar untuk memaklumkan sahaja.

Itulah adat dunia. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
Related Posts with Thumbnails