yang semasa

Jumaat, November 21, 2008

YANG BERJANGKIT : UMNO, RADIO & WANG DUIT PITIS

Berita Harian semalam (20 November) menyiarkan berita Badan Disiplin UMNO yang sedang ‘secara serius’ menyiasat dakwaan (dakwaan???) berlakunya politik wang @ duit @ pitis @ rasuah politik (kepartian UMNO) yang melibatkan dua jawatan tertinggi UMNO – Timbalan dan Naib Presiden.

Sama ada berlaku atau memang berlaku atau sah berlaku (katakan TIDAK kepada ‘tidak berlaku’), kita boleh membaca, menilai dan mentafsirkannya sendiri melalui banyak kenyataan, dakwaan, laporan, aduan dan yang penting terlalu banyak dapat kita temui dibicarakan secara telus dengan fakta dan bukti-bukti yang hidup di dalam blog-blog yang bertaburan berhubung dengan fenomena rasuah politik ini.

Justeru sekiranya saya menambahkan lagi cerita hal rasuah politik dan politik kepartian UMNO yang sudah semakin ‘merudum’ kesensasiannya ini (menjadi tidak begitu sensasi lagi kerana sudah terlalu banyak diperkatakan), perkara ini bukan lagi menjadi keutamaan untuk dibaca, cuma mungkin menjadi bahan bersejarah yang tiada nilai sejarahnya lagi, kemudian dilambakkan di setor barang buangan, walaupun saban waktu cerita berhubung dengan ‘membahagikan harta rampasan’ ini singgah ke telinga saya.

Contohnya seorang calon Timbalan Presiden yang dalam berita dan akhbar yang sama dengan selamba menyatakan “beliau tidak mempunyai sebarang masalah” untuk memberi kerjasama bagi tujuan disiasat, sedangkan sepanjang proses pencalonan, beliau sanggup ‘melabur’ melalui agen-agennya di seluruh negara sehingga RM50-RM100 ribu bagi satu bahagian hanya semata-mata untuk mendapatkan satu pencalonan.

Demikian juga dengan calon Ketua Pemuda, malah lebih daripada jumlah yang disebut untuk memastikan mereka mendapat satu pencalonan daripada Bahagian. Itu belum diambil kisah yang dialami dan diakui sendiri oleh kawan saya. Katanya beliau berhabisan hampir RM100 ribu sehingga membolehkan beliau menang AJK Bahagian dan G7. Itu baru AJK Bahagian, belum diambilkira jawatan yang lebih tinggi.

Demikian juga khabar yang diterima apabila dua orang calon Naib Presiden bertaraf Menteri yang baru sahaja selesai ‘lawatan kerja sambil menderma’ ke Sabah, sempat berjumpa dengan perwakilan dari Sabah dan melabur RM300 dan RM500 setiap seorang, sedangkan salah seorang Menteri yang dikatakan menyumbang RM300/seorang perwakilan itu merupakan antara Menteri yang dikenali dengan tabie ‘tahi hidung masin’ dan tidak bermain dengan wang dalam pemilihan-pemilihan sebelumnya.

Mungkin Menteri ini meletakkan tugas menyemarakkan roh, semangat, kecintaan dan perjuangan UMNO kepada orang-orang Sabah yang masih cetek daripada segalanya itu tidak menjadi agenda penting beliau. Yang penting baginya, beliau sudah berjaya menyedarkan dirinya bahawa penerimaan orang Sabah terhadap UMNO ialah “UMNO itu projek dan projek itu UMNO”.

Begitulah banyaknya cerita berkaitan dengan perkara ini kalau hendak diceritakan. Cuma kali ini kita cuba mengalihkan sedikit perbincangan terbuka terhadap gejala ini di luar kotak politik kepartian sempena pemilihan UMNO, tetapi masih mempunyai hubungan dengan rasuah politik atau politik wang @ duit @ pitis ini dan UMNO itu sendiri.

Yang saya maksudkan ialah berlakunya politik wang @ duit @ pitis atau rasuah politik dalam radio. Jelasnya politik wang juga menular dalam politik radio. Kurang jelasnya, sama ada rasuah politik radio ini menular dan berjangkit daripada rasuah politik UMNO atau sebaliknya atau jangkitan itu kerana dasar politik radio oleh politik UMNO, kita fikirkanlah bersama.

Saya hanya mendengar radio ketika memandu. Stesyen yang saya ikuti tidak tetap, maksudnya tidak menentu berdasarkan kesesuaian lagu yang diputarkan (sekarang diklikkan sahaja) atau kesesuaian segmen / siaran pada waktu-waktu saya sedang ikuti itu. Kerana itu, saya boleh mendengar sendiri bagaimana sambutan pendengar dan apa kaedah dan cara stesyen-stesyen radio berkenaan gunakan untuk memikat pendengar mengikuti siaran stesyen radio mereka.

Tidak dinafikan, faktor utama yang dititikberatkan oleh kebanyakan stesyen radio ialah penyampai atau mudahnya disebut Deejay mereka. Mereka menyediakan khidmat Deejay yang muda-muda, glamour, personaliti tersohor dan pelbagai kriteria lainnya, bersesuaian dengan sasaran pendengar, waktu siaran dan seumpamanya.

Jadi apa hubungannya dengan rasuah politik?

Seperti yang saya sebutkan, saya kurang pasti siapa mengikut siapa atau siapa terpengaruh dengan siapa antara politik UMNO dan politik radio ini. Yang pasti, rasuah politik radio nampaknya lebih dahsyat dan lebih serius daripada rasuah politik UMNO. Radio medium penyiaran yang boleh menarik sehingga jutaan orang mendengar dan memahami apa yang diudarakan walaupun si pendengar itu buta huruf. Berbeza dengan medium penyiaran massa dan IT (surat khabar, majalah, laman web, blog dan yang sewaktu dengannya) yang setidak-tidaknya memerlukan orang yang tahu membaca dan tidak buta IT. Kerana itu, sesuatu yang disebut melalui radio akan mudah diterima, difahami dan diikuti.

Dalam situasi stesyen radio yang bercambah dan masing-masing berlumba-lumba untuk menarik pendengar, pelbagai strategi, tektik, teknik, cara dan pendekatan digunakan. Tujuannya hanya satu, lebih banyak pendengar akan lebih banyaklah syarikat-syarikat berani melabur melalui iklan dan untunglah stesyen radio berkenaan. Itu saja.

Persoalannya bagaimana strategi, tektik, teknik, cara dan pendekatan itu? Dalam memastikan segala inilah berlakunya politik wang @ rasuah politik.

Cuba kita ikuti sebuah stesyen radio yang dipunyai oleh syarikat yang juga mempunyai stesyen TV swasta pertama negara. Boleh dikatakan bagi setiap segmennya bermula 6 pagi sehingga 6 pagi berikutnya, wajib melibatkan rasuah politik (‘dikatakan’- justeru saya tidak mengikuti siarannya selama 24 jam - yang pasti sepanjang segmen yang saya ikuti ada pertaruhan dan ganjaran @ rasuah politik radionya).

Bayangkanlah hanya sekadar menjadi pemanggil bilangan yang ke sekian sekiannya, atau meneka satu dua lagu atau memberi cogan kata dengan tepat atau memberi kata laluan dengan betul sahaja, pendengar sudah berjaya memenangi sejumlah wang yang disediakan. Dan kalau tidak berjaya dimenangi oleh pendengar yang kurang bernasib baik itu, wang rasuah itu akan dikumpulkan sehingga mencecah ribuan ringgit dan wajib diberikan walaupun sehingga kepada pemanggil / segmen ke-100.

Kebiasaannya ‘hadiah’ berupa wang tunai itu disediakan oleh penaja. Maka berulang-ulanglah motto, tagline atau cogan kata syarikat penaja dilaung-laungkan oleh Deejay yang bertugas.

Bagi mereka (stesyen radio) besarnya jumlah wang yang ditawarkan akan menjanjikan besarnya pengaruh stesyen radio mereka kepada pendengar. Inilah ‘perebutan’ kuasa dan pengaruh dalam politik radio - menggunakan wang sebagai hadiah sekali gus menggalakkan rasuah politik radio dan perjudian serta pertaruhan.

Kadang-kadang saya juga terfikir kenapa galakan kepada politik wang ini menjadi begitu dominan dalam menarik pendengar radio, sama seperti dominannya wang bagi mendapatkan pengaruh, pencalonan dan kuasa dalam politik kepartian UMNO. Perlu sangatkah wang atau memang manusia ini begitu mudah dipengaruhi kerana wang? Jawapannya memang ya. Kerana wang adalah kuasa adalah pangkat adalah darjat adalah segala-galanya. Pertukaran dengan bukan berbentuk wang mungkin menjejaskan minda dan pemikiran rakyat sehingga pemikiran mereka menjadi lebih terbuka dan sudah pasti akan menyanggah Menteri atau pemimpin atasan yang sudah selesa duduknya.

Contoh yang ketara, sebuah syarikat akhbar perdana yang menaja satu segmen dalam stesyen radio yang saya maksudkan di atas. Hanya dengan menjawab lima soalan mudah dan bodoh sahaja, pendengar sudah berjaya memenangi wang sejumlah RM500 (maknannya satu soalah mudah dan bodoh nilainya RM100). Dan kalau tak dimenangi wang akan dikumpulkan untuk segmen yang sama pada jam berikutnya. Akan bertambah bertambah dan bertambah hanya dengan lima soalan mudah dan bodoh.

Apa salahnya untuk menggalakkan pendengar @ rakyat membaca, mendalami dan melebarkan pengetahuan, hadiah wang tunai itu ditukar dengan langganan akhbar @ majalah @ sebarang penerbitan syarikat berkenaan selama tempoh yang boleh ditentukan sama nilainya dengan jumlah tunai itu. Pembacaan akan menambah ilmu dan pengetahuan dengan lebih luas. Minda tidak jumud. Pemikiran tidak kontot. Tetapi mungkin juga syarikat penaja berkenaan pemikirannya sama seperti saya yakni menganggap pendengar radio semuanya adalah buta huruf dan tidak tahu membaca.

Mungkin itu tanggapan stesyen radio atau mungkin itulah dasar yang ditetapkan kerajaan yang mewajibkan mereka mengikutinya. Kerana yang pasti kebanyakan stesyen radio yang sempat saya ikuti, termasuklah stesyen yang dipunyai oleh kerajaan, turut mengamalkan rasuah politik radio ini.

Perlakuan ini (menawarkan wang dan memenanginya) dibuat secara cukup terbuka, telus dan tersebar tanpa terselindung sedikit pun. Yang berlaku dalam politik kepartian UMNO adalah ‘ajaran’ tidak langsung kepada merebak dan berjangkitnya rasuah politik kepada radio dan banyak lagi agensi lainnya. Apakah ini dasar yang disengajakan atau dasar tersirat dan terselindung yang dihalalkan, itu kena tanya pemimpin-pemimpin UMNO yang sudah 51 tahun memperkenalkan dan mengamalkan pelbagai dasar untuk agensi di bawah kawalan mereka.

Persoalan yang perlu difatwakan : apakah rasuah politik @ politik wang @ duit @ pitis itu sama sifat dan hukumnya seperti dosa besar JUDI dan BERTENUNG NASIB?

Sekadar itu, insya-Allah mungkin lain kali kita boleh berkongsi idea berkaitan dengan ‘fulus mania’ yang disiarkan melalui saluran TV pula. Mungkin itu juga adalah rasuah politik untuk menarik penonton. Rasuah politik TV.
Related Posts with Thumbnails