yang semasa

Jumaat, Oktober 31, 2008

YANG SERONOK DIDENGAR, YANG SUKA DIBACA

Dua perkataan yang seronok untuk ditafsir telah diistilahkan oleh YB Dato’ Rosol Wahid lewat tulisannya Pecat Exco – Janji MB Terengganu ialah EXCO LELONG.

Apabila Rosol menulis sedemikian, sudah tentu berlegar di dalam pemikiran kita betapa bercelarunya politik Terengganu. Banyak yang tidak kena sebenarnya. Langkah Mat Said mengambil tindakan drastik sebegitu mungkin benar seperti dakwaan Rosol yang Mat Said dinasihati oleh penasihatnya yang bengong-bengong. Sedangkan yang kita dengar dari mulut Mat Said sendiri semasa beliau mula-mula dilantik sebagai Menteri Besar, beliau bukan pendendam. Justeru, implikasi selepas tindakannya boleh merosakkan kedudukan dan maruah beliau sendiri.

Sudah terlalu banyak Mat Said mengambil tindakan yang amat tidak kena semenjak beliau dilantik sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri. Mat Said gagal membaca politik semasa dan tidak belajar daripada pengalaman kemelut dan peristiwa perlantikan beliau sebagai Menteri Besar April lalu. Mat Said terlalu bergantung kepada konco-konco penasihatnya yang berada di luar kerajaan. Saya ulangi, berada di luar kerajaan.

Hari ini kita lihat penasihat-penasihat kanannya dalam parti (yang juga bertindak sebagai penasihatnya dalam kerajaan) terdiri daripada mereka yang menyokong Mat Said sewaktu kemelut ‘23 ADUN menderhaka’ lalu. Selain Ku Tera yang ada sedikit ‘kuasa’ sebagai Yang Di Pertua DUN, yang lain seperti Man Bakar, Pak Rosli, Zubir, dan Roslan Awang Chik tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan negeri. Bukan wakil rakyat / ADUN kecuali Man Bakar dan Roslan Awang Chik sebagai Senator. Ketua Bahagian seperti Nasir dan Mat Jidin berjawatan sebagai Ahli Parlimen. Wan Farid juga Senator dan Timbalan Menteri yang tidak mempunyai kerusi di DUN. Maknanya mereka tidak mempunyai ‘suara dan kuasa’ untuk mempertahankan Mat Said di dalam DUN dan kerajaan.

Kenapa jawatan Exco sampai perlu dilelong? Tafsirannya mudah sahaja. Kita mengambil kes demi kes dengan merujuk kepada tafsiran saya dalam YANG DIPECAT.

Kes Yahya Khatib Mohamad (ADUN Pengkalan Berangan) di Marang. Kalau Yahya dipecat yang tinggal wakil rakyat BN hanya Alias Abdullah (Alor Limbat). Kalau Alias mengenepikan maruah dan membuang kesetiakawanan jatuh bangun bersama serta pentingkan jawatan dan kedudukan, Alias mungkin menerima jawatan Exco yang mungkin ditawarkan oleh Mat Said mewakili Marang. Selesai cerita, walaupun Aliaslah yang bersekongkol dengan Yahya sehingga Man Bakar tumbang dan Aliaslah yang membuatkan Yahya hilang jawatan Exco.

Tapi kalau Alias menolak atas dasar prinsip, maruah dan simpati kepada Yahya, siapa lagi yang boleh dilantik sebagai Exco mewakili Marang. Kecuali tiada wakil Exco dari Marang, Mat Said masih boleh membuat pilihan dengan menawarkan jawatan Exco kepada Haji Hadi Awang (ADUN PAS Rhu Rendang) atau Ustaz Mohd Nor Hamzah (ADUN PAS Bukit Payong). Kalau kedua-duanya juga menolak, benarlah, terpaksa dilelong secara terbuka.

Demikian dengan kes di Hulu Terengganu, kalau YB Rozi (ADUN Telemong) dipecat, ADUN BN yang tinggal ialah Rosol (ADUN Ajil) dan YB Zawawi (ADUN Kuala Berang). Kedua-dua mereka menjadi orang kanan Cikgu Mat Nor menentang Ku Tera. Daripada cara Rosol menulis dalam blognya, agak tipis peluang untuk beliau menerima tawaran (itu pun kalau ditawarkan) jawatan Exco. Tak tahu pula kalau Zawawi boleh menerima kalau prnsip yang disebut dalam kes Marang di atas menjadi pilihan Zawawi.

Kalaulah Zawawi juga menolak, seorang lagi wakil rakyat ialah Harun Taib (PAS Manir). Sekali lagi, seperti kes di Marang, kecuali tiada wakil Exco daripada Hulu Terengganu, Mat Said masih boleh membuat pilihan dengan menawarkan jawatan Exco kouta Hulu Terengganu kepada Harun Taib atau berlaku lagi lelongan awam di pasar Baghdad.

Di Dungun juga hampir sama. Seandainya benar Za’abar (ADUN Rantau Abang) terpecat daripada jawatan Exco, yang tinggal Din Adam (Bukit Besi) dan Zakaria Abdullah (Paka) sahaja. DUN Sura adalah milik PAS yang diwakili oleh Ustaz Wan Hassan. Din Adam dan Zakaria adalah regu yang menentang Ketua Bahagian. Apa lagi Din Adam yang melanggar ‘arahan’ Mat said kerana bertanding Ketua Bahagian, sudah pasti tidak layak untuk ditawarkan sebagai Exco. Din dan Zakaria juga adalah seteru mak bapak kepada Pak Rosli. Namun kalau maruah diketepikan dan persoalan ‘keutuhan dan perpaduan’ dalam parti dan kerajaan kononnya diutamakan, selain prinsip dan kepentingan diri, Din atau Zakaria boleh menerima kalau-kalau ditawar jawatan Exco oleh Mat Said. Namun yang pasti Pak Rosli (Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan) akan bermati-matian mempertahankan Za’abar orang kanannya itu, selain ‘bermatihidupan’ pula menentang cadangan perlantikan Din atau Zakaria sebagai Exco.

Kalau Mat Said tetap dengan kedegilannya hendak memecat ‘Exco keras kepala’ termasuk Za’abar, Exco wakil Dungun dalam kabinet Mat Said mungkin Wan Hassan. Kalau Wan Hassan tidak ditawarkan atau semua ketiga-tiga ADUN (Din, Zakaria dan Wan Hassan) menolak, lelongan terbuka juga terpaksa dibuat. Kali ini di pasar Jepun tempat Pak Rosli dapat anugerah (Dr).

Lebih seronok untuk diteliti, kalau pemecatan Exco oleh Mat Said berlaku di Setiu. Di sini ada dua orang Exco, YB Ashaari (Langkap) dan Ustaz Khazan (Batu Rakit). Wakil Rakyat biasa ialah Cikgu Ramlan (Jabi). Cikgu Ramlan seperti juga Din Adam di Dungun adalah orang yang melanggar arahan. Yang tinggal YB Halim Jusoh di Permaisuri. Kalau kedua-dua Ashaari dan Khazan terpecat, tawaran mungkin beralih kepada Halim. Tetapi mereka adalah pendokong utama pakatan 4 lawan 1 di Setiu. Soal prinsip, perjuangan, maruah, kepentingan mungkin sedikit sebanyak boleh menggugat ‘keimanan’ mereka, dan urusan lelongan boleh ditangguhkan di sini. Tapi kalau semua sepakat “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”, lelongan terbuka boleh diteruskan.

Kes YB Razif atau YB Datuk Rahin di Kuala Nerus juga hampir sama. Tapi mereka masih ada masa untuk ‘menyelamatkan diri’ kerana persidangan Bahagian Kuala Nerus akan diadakan minggu depan. Di sini juga ada ADUN PAS di Bukit Tunggal (Dr Alias Razak).

Implikasi daripada kes demi kes ini dapatlah kita buat analisa ‘bodoh’ tersendiri. Bagaimana jadinya kalau mereka sepakat untuk menolak tawaran jadi Exco? Pasar mana yang akan dipilih Mat Said and the geng untuk dijalankan urusan lelongan? Bagaimana pula kalau yang dipecat akan bergabung dengan yang menolak untuk melakukan sesuatu kepada Mat Said?

Tetapi bagi mengelakkan lelongan, Mat Said masih ada satu talian hayat yang tidak pernah digunakan walaupun talian hayat nin dah diluluskan semenjak zaman PAS memerintah tahun 2000 lagi. Mat Said berhak melantik Senator DUN. Tapi kurang pasti apakah mereka boleh dilantik sebagai Exco. Yang pasti mereka tidak boleh mengundi dan tidak dikira sebagai korum. Demikianlah adanya.

Yang tidak ingin kita dengar : akan adanya usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar.
Yang tidak ingin kita baca : Terengganu dapat Menteri Besar baru lagi…

YANG DISEBUT MAT SAID : NAIK DAN TURUN

Mari merenung sambil menengung :

Banyak orang turun, naik, jatuh dan bangun dalam politik. Katanya itulah resam berpolitik. Kalau tidak sanggup menjadi roda, jangan bermain politik.

Politik BN/UMNO Terengganu di tangan Mat Said masih tidak stabil dan semakin kronik sakitnya. Mat Said masih gagal bertemu ubat yang boleh memujarabkan. Justeru sudah ada yang bertanya, sampai bila Mat Said akan ‘duduk di atas’? Namun, tiada siapa yang boleh meneka tepat tempohnya, walaupun Mat Said pernah berkata dia mungkin menjadi Menteri Besar yang tidak lama. Yang pasti, Mat Said sendiri tidak tahu tempoh sebenar ‘sekejap atau tidak lama’ yang disebutnya.

Siapa akan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, kalau-kalau (saya ulangi, kalau-kalau) Mat Said tidak lagi mahu duduk di atas (atau diminta turun) dalam masa terdekat ini? Siapa paling layak? Apakah giliran Yahya Khatib pula berada di atas.

Bagaimana kalau yang nak mengganti kedudukan naik turun ini kena ikut kem? (dalam konteks semasa, kem Idris dan kem Mat Said masih relevan dan masih diguna orang). Katakanlah kena ganti dengan kem Idris pula. Dan mengambil kata Mat Said lagi, “dia dilantik menjadi Menteri Besar kerana dia dan Dato’ Idris saja yang jadi Ketua Bahagian di kalangan ADUN yang ada sekarang”. Kalau begitu kiraannya, kem Idris hanya ada dua Ketua Bahagian iaitu Marang dan Besut. Bahagian-bahagian lain, diketuai oleh orang-orang daripada kem Mat Said dan bukan ADUN pula. Jadi tak kan Idris nak ambil balik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan. Berilah Yahya pula yang merasa, agaknya.

Menjadi tradisi juga Pengerusi Badan Perhubungan negeri adalah ketua negeri atau kalau di Terengganu – Menteri Besar. Itu yang selalu diulang-ulang dan disebut Mat Said semasa dia jadi Menteri Besar tapi Pak Lah belum lantik beliau jadi Pengerusi Badan Perhubungan dulu. Sekali lagi, tak kan Idris nak ambil semula, nanti buruk siku. Kalau bukan Idris, layak dan mampukah Yahya? Atau apakah kemungkinan jawatan itu dipangku sementara oleh pemimpin UMNO Pusat seperti yang pernah berlaku pada zaman PAS memerintah Terengganu 1999-2004 dulu? Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

Yang penting Mat Said kena sedar dan berubah, kalau tidak mahu hal ini menghantui beliau.

YANG DIPECAT

SMS diterima bertalu – YB Yahya Khatib Mohamad dipecat daripada jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco). Wakil Marang tak akan ada dalam Exco Kerajaan. Yahya akan dipecat bersama dua Exco yang lain.

Dua perkara nak direnungkan.

PERTAMA. Dalam kes Yahya, itu bukan salah Dato’ Ahmad Said. Bukan juga kerana Man Bakar kalah. Benar Man Bakar menjadi antara orang kesayangan Mat Said, tapi bukan kerana kekalahan memalukan Man Bakar di tangan Yahya makanya Yahya dipecat sebagai Exco.

Mat Said sudah awal-awal memutuskan dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri agar Ketua Bahagian tidak ditandingi dan semua Exco juga telah dilarang dan diberi amaran supaya tidak bertanding jawatan utama dalam parti (kurang jelas jawatan utama merujuk kepada sama ada Ketua Bahagian sahaja atau termasuk juga Timbalan Ketua dan Naib Ketua Bahagian). Mat Said dah katakan, tindakan akan diambil sekiranya ada Exco yang berdegil.

Yang jelas Yahya satu-satunya Exco di Terengganu yang berani menyanggah arahan dan larangan Mat Said. Sepatutnya Mat Said sudah memecat Yahya selepas Yahya mengesahkan pencalonan untuk beradu Ketua Bahagian. Kalau pemecatan dibuat pada masa itu, mungkin Man Bakar masih boleh diselamatkan.

Siapa pengganti Yahya sebagai Exco daripada Marang masih di awangan. Marang hanya ada dua ADUN BN dalam DUN Terengganu sekarang, Yahya (Pengkalan Berangan) dan Alias Abdullah (Alor Limbat). Dua DUN lagi dikuasai PAS iaitu Rhu Rendang dan Bukit Payong.

Alias menang Timbalan Ketua Bahagian. Beberapa hari sebelum pemilihan, Alias yang juga pada mulanya menawarkan diri jawatan Ketua Bahagian telah menarik diri dan mengumumkan menyokong Yahya. Alias juga merupakan orang kuat Idris Jusoh dan pernah diuar-uarkan sebagai Exco menggantikan Dato' Dr Latif sekiranya Idris masih Menteri Besar. Lagi pun semasa pemilihan Exco oleh Mat Said April lalu, Man Bakar tidak menyokong Alias kerana bimbang Alias akan menentangnya (Man Bakar) pada pemilihan UMNO kali ini. Lalu Mat Said tiada pilihan dan Yahya dilantik sebagai Exco daripada Marang. Alias juga baru saja dipecat daripada jawatan Pengerusi Ladang Rakyat, anak Syarikat Kerajaan Negeri.

Kalau dendam atau faktor proksi dan kem diambilkira, Mat Said boleh biarkan tiada Exco daripada Marang. Kerana perlantikan Exco adalah hak Menteri Besar. Mewakili daerah / kawasan parlimen seperti sebelumnya hanyalah tradisi, bukan peraturan atau syarat yang termaktub dalam undang-undang tubuh.

KEDUA. Siapa dua orang lain yang dimaksudkan Mat Said akan dipecat sama sebagai Exco? Kalau larangan dan amaran tidak bertanding jawatan utama dalam parti dijadikan landasan (dengan mengambilkira jawatan utama termasuk juga Timbalan Ketua dan Naib Ketua Bahagian), ada dua orang Exco yang bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian menentang penyandang sedia ada. Mereka ialah Datuk Za’abar Mohd Adib bertanding menentang YB Zakaria Abdullah, penyandang Timbalan Ketua Bahagian di Dungun dan YB Rozi Mamat bertanding menentang YB Dato’ Rosol Wahid (penyandang Timbalan Ketua Bahagian) di Hulu Terengganu. Kedua-duanya (Za’abar dan Rozi) menang di Bahagian masing-masing. Tetapi kedua-duanya memihak kepada kem Ketua Bahagian sedia ada yang ‘disokong’ Mat Said.

Bagaimanapun, kalau faktor dendam atau faktor proksi dan kem diambilkira, dua Exco dalam Bahagian Setiu akan menjadi mangsa. YB Ashaari Idris (Langkap) walaupun ditentang tetapi beliau adalah penyandang. Tetapi silap beliau hanya kerana beliau berada dalam kem Cikgu Ramlan Ali yang menentang kem Ketua Bahagian sedia ada (kem Datuk Mat Jidin Shafie). Seorang lagi ialah YB Khazan Che Mat (Batu Rakit) yang mengekalkan jawatan Ketua Pemuda Bahagian tanpa bertanding juga tersilap berada bersama kem Cikgu Ramlan menentang Mat Jidin.

Bagi Bahagian Kuala Nerus yang belum bersidang, mungkin kedua-dua Exco daripada Bahagian itu terselamat kerana Ketua Bahagian sedia ada ditentang oleh Che Azmi Abdul Rahman, bekas Ahli Parlimen yang juga Timbalan Ketua Bahagian, manakala jawatan Timbalan Ketua Bahagian yang ditinggalkan Che Azmi menjadi jawatan mengisi kekosongan. Lagi pun masih ada masa dan ruang untuk perkiraan ‘menyelamatkan’ diri, kalau-kalau adanya ura-ura pemecatan ini turut melibatkan Exco daripada Bahagian Kuala Nerus. Ada dua orang Exco daripada Bahagian Kuala Nerus iaitu YB Ahmad Razif dan YB Datuk Rahin Said.

Kalau hendak dikaitkan sedikit pun (hanya sedikit dan hanya rasaan semata), YB Ahmad Razif boleh dikaitkan sedikit sebagai salah seorang yang tergolong dalam kategori “dua yang lain” itu, kerana Che Azmi yang akan menentang Ketua Bahagian sedia ada, adalah abang kepada YB Razif dan dikatakan juga YB Razif bekerja keras membantu abangnya.

Seperti biasa, persoalannya : Apakah tindakan Mat Said ‘memecat’ tiga Exco ini adalah untuk menunjukkan ketegasannya atau untuk menutup keaibannya sebagai Ketua parti dan Ketua Kerajaan yang lemah dan tidak dihormati? Kerana banyak yang aib terpaksa dihadapi oleh Mat Said sepanjang beliau menjadi Pengerusi Perhubungan dan Menteri Besar, termasuk yang terbaru UMNO Bahagian pimpinannya terpaksa mengadakan semula persidangan.

Rabu, Oktober 29, 2008

YANG BERBELIT DAN PUTAR ALAM

Saya menjadi agak terkedu dan sedikit terbantut idea bagaimana nak memulakan tulisan ini. Bukan tak percaya dengan apa yang saya baca, tetapi saya menjadi terharu, sedih, kecewa dan kasihan kepada ahli-ahli UMNO dan masyarakat ramai. Pelbagai rasa yang lahir secara pantulan ini datang bersama persoalan : begitu mudahnya pemimpin UMNO memutarbelitkan fakta, menyembunyikan kebenaran, bersifat putar alam, bertujuan untuk memperbodohkan dan mempertololkan ahli-ahli UMNO dan masyarakat ramai, tanpa menyedari bahawa dirinya sendiri yang tolol, bengong dan bodoh.

Kenyataan balas Ketua Penerangan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Zubir Embong terhadap dakwaan YB Dato’ Rosol Wahid berhubung adanya politik wang dalam pemilihan UMNO Bahagian Hulu Terengganu baru-baru ini, selain sarat dengan rasa kehibaan dan simpati kepada ahli UMNO dan masyarakat ramai, juga sebenarnya amat melucukan dan boleh ‘berguling-bating’ ketawa dek kerana lucunya kenyataan bodoh dan bengong pemimpin kanan UMNO negeri itu. Kenyataannya telah dengan sengaja dibuat bagi menyerlahkan kebodohan dan ketololan diri sendiri.
(Keratan muka depan akhbar Sinar Harian edisi Terengganu keluaran 28 dan 29 Oktober 2008 yang menyiarkan kenyataan Rosol dan kenyataan balas Zubir)

Apa tidaknya, dalam masa semua orang bercakap pasal rasuah politik @ politik wang dalam UMNO sampai ke seantero dunia, Zubir boleh mempertikaikan dan menafikan kenyataan Rosol dengan nada yang penuh kesombongan selain berbaur dendam kesumat. Apalah salah dan dosa orang-orang UMNO, sehingga dikurniakan dengan pemimpin yang terlalu bongok dan bengong sebegini?

Hairan kenapa Zubir berkeras sangat untuk mempertahankan juak-juaknya selain berusaha menyembunyikan hakikat sebenar yang berlaku dalam proses pemilihan UMNO sekarang. Amat mustahil, Zubir tidak tahu hakikat berlakunya rasuah politik yang amat bermaharajalela sekarang. Pelik juga, kenapa Ketua Penerangan yang cuba menjadi jaguh ini, nampak sangat bersungguh-sungguh menutup perbuatan terkutuk beberapa pemimpin di kalangan kumpulannya.

Zubir bukan baru dua hari terlibat dalam politik UMNO. Beliau pernah jadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu, pernah kalah di DUN Batu Burok. Beliau pernah pegang jawatan penting dalam UMNO di semua peringkat, daripada cawangan sehingga ke Pusat. Pernah jadi Exco Pemuda UMNO Malaysia, Ketua Pemuda Bahagian, Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan sekarang sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu dan Ketua Penerangan UMNO negeri.

Sempena pemilihan UMNO kali ini, Zubir pernah menyatakan hasrat untuk bertanding Ketua Bahagian, tetapi terbantut kerana kononnya ‘mematuhi arahan’ Pengerusi Perhubungan. Jadi, tak kan bila dah pegang jawatan yang besar-besar gitu, kes ‘sekecil’ politik wang tu Zubir tak tahu atau buat-buat tak faham pula.

Siapa Rosol sehingga Zubir bimbang dan terkilan lalu berkata “dakwaan daripada orang yang berkedudukan seperti Rosol hanya boleh mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap parti UMNO”? Kenapa Zubir tidak memberi amaran, melahirkan keterkilanan dan kebimbangan dengan kenyataan pemimpin-pemimpin besar negara berhubung dengan politik wang seperti Menteri, Timbalan Menteri, AMT UMNO waima kenyataan Timbalan Presiden dan Presiden parti sendiri sebelum ini?

Kalau pun benar kenyataan Rosol boleh mengaibkan dan memudaratkan UMNO secara keseluruhan, untuk sementara ini tak payahlah buat kenyataan. Membisu itu lebih baik daripada berkata-kata. Biar orang kata kita bodoh sebab tak bersuara, tetapi jangan orang tersedar dan lebih pasti (comfirmed) kita bodoh setelah sepatah kita bersuara. Baikilah dengan cara yang betul dan lebih berhemah. Bukan dengan melalak di surat khabar.

Mungkin kalau kenyataan Rosol itu menjadi kenyataan Man Bakar, maka kemungkinan Zubir akan berkata, “Memang benar berlaku (politik wang). Man Bakar tewas di Marang kerana politik wang. Kita bantu Man Bakar, tapi kita bagi duit tak cukup. Lagi pun Man Bakar salah guna peruntukan yang kita beri, dia guna sebahagian duit tu untuk bayar hutang, bukan diguna sepenuhnya untuk beli perwakilan. Sebab tu dia kalah.”

Atau sekiranya ditakdirkan Pak Rosli kalah di Dungun, saya kira Zubirlah orang pertama yang akan mengeluarkan kenyataan 'mengutuk' perwakilan. Pasti Zubir kata, “macam mana perwakilan tak reti nak balas budi? Kita dah beri Nokia E90 sebiji seorang, masih tak cukup ke? Minyak kereta ke Awana Kijal malam akhir tu, kita dah beri RM1,000 seorang. Kalau tak cukup, semasa persidangan pagi itu pun masih boleh SMS, kita boleh lagi hulur dalam tandas. Jangan main politik wang, minta wang untuk main politik tak apa”.

Yang jelas, Zubir cuba mempertahankan anak buahnya. Semua orang tahu siapa orang Zubir dan siapa bukan orangnya. Dato’ Ahmad Said (Mat Said) sendiri adalah orang Zubir. Zubir adalah bos kepada Mat Said, bukan Mat Said bos Zubir.

Bagaimana Zubir jadi bos Mat Said dan bos kepada semua konco-konconya yang lain, itu kena tanya Zubir sendiri. Rasanya Zubir ada jawapan apabila ada yang bertanya, siapa ‘dalang’ utama menjatuhkah Idris Jusoh dan berapa banyak wang yang digunakan ‘dalang’ berkenaan untuk menaikkan Mat Said.

Mungkin bagi ‘dalang’ berkenaan, itu bukan rasuah atau penggunaan wang untuk kepentingan politik beliau dan konco-konconya, tapi hanya “sedekah politik”.

Selasa, Oktober 28, 2008

YANG MISTERI : KAD RAYA

Misteri awal : Bulan ramadhan yang lalu, kira-kira seminggu sebelum raya, seorang teman yang kebetulan menjadi perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu menghulurkan sekeping kad raya kepada saya. Katanya, dia tak tahu daripada siapa kad raya tu, walaupun di dalamnya tercatat nama ‘orang yang mengucapkan selamat hari raya’ tu. Kad raya berkenaan diposkan dari Kuala Lumpur pada 25 September 2008, bersetem Malaysia 40 sen. Bagus mengeratkan silaturahim sesama Islam.

Misteri pertengahan : kawan saya masih tertanya-tanya, siapa kenalan dia yang datangnya dari Indonesia. Keturunan orang bangsawan / istana lagi tu. Seingat kawan saya tu, dia tak punya hubungan atau kenalan orang biasa pun, apa lagi di kalangan bangsawan tambahan makin jauh di kalangan istana dari Indonesia. Namun setelah dilihat nama dan alamat sendiri yang digunakan oleh pengirim untuk mengirim kad raya berkenaan, beliau mengesyaki bahawa mungkin semua perwakilan UMNO Cawangan dalam Bahagian Hulu Terengganu menerimanya. Setelah ditanya beberapa kenalan lain yang juga perwakilan, maka sahlah bahawa kad itu dihantar kepada perwakilan cawangan.
Misteri tiga suku pertengahan : kad raya tu, daripada siapa, proksi siapa, arahan siapa dan untuk menyokong siapa? Ada banyak orang yang bertanding. Atau paling tidak, ada dua kem / rakit yang bertanding daripada jawatan no. 1 hingga pemeriksa kira-kira. Tapi rakit mana yang minta disokong? Masih ternganga. Terfikir oleh kawan saya, strategi kempen apa ni? Tak kan kempen nak jadi Ketua Bahagian pun guna TKI (Tenaga Kerja Indonesia) juga? Waduuhhh… gayat apa kiranya ini.
Misteri separuh akhir : siang hari, sehari sebelum persidangan Bahagian, kawan saya memaklumkan dia menerima sehelai kemeja putih ‘kain linen’ dan sebuah songkok daripada ‘ejen’ calon Ketua Bahagian. Bersamanya juga ada sampul surat. Setelah diteliti didapati kemeja dan songkok tercatat “buatan Indonesia”. Manakala di dalam sampul surat terdapat sebuah surah Yasin dan wang tunai RM1,000.00.

Misteri akhir : malam hari, beberapa jam sebelum persidangan, kawan saya menghadiri majlis pertemuan kumpulan / rakit “kad raya” ini dan terpandang beberapa buah kereta mewah yang tidak pernah kelihatan sebelumnya di Hulu Terengganu. Banyaknya orang yang datang membantu calon Ketua Bahagian and the geng / rakitnya ini. Misteri kad raya sudah terjawab.
Misteri terbongkar : Ketua Bahagian and the geng menang. Daripada soksek soksek di kalangan perwakilan, setiap seorang perwakilan kali ini menerima tidak kurang RM3,500.00 tunai (tunai sahaja, tak termasuk nilai kemeja, songkok, makan minum pertemuan dan sebagainya) daripada Ketua Bahagian and the geng yang menang ini. Turut tidak termasuk kiraan terimaan itu ialah yang diterima perwakilan daripada ‘bangkai’ Ketua Bahagian and the geng yang kalah.

Misteri terus misteri : yang terus menjadi misteri : apakah kawan saya mengundi calon Ketua Bahagian and the ‘kad raya’ geng ini?

Ahad, Oktober 26, 2008

YANG TUMBANG DI TERENGGANU – HULUBALANG IDRIS?

Kelmarin (Sabtu, 25 Oktober) empat dari lima UMNO Bahagian di Terengganu yang bersidang menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Ketua Bahagian dan satu bahagian lagi hanya menyaksikan pertembungan bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua Bahagian.

Fokus pemilihan sebenarnya kepada tiga bahagian yang menyaksikan pertembungan apa yang dilabelkan sebagai pertembungan antara hulubalang bekas Menteri Besar Dato’ Idris Jusoh (Deris Jusoh) dengan hulubalang Menteri Besar Dato’ Ahmad Said (Mat Said).

Di Hulu Terengganu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Tengku Putera Tengku Awang (Ku Tera) dan angkatan serakitnya berjaya menenggelamkan rakit Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman (Cikgu Mat Nor) yang bersekutu dengan YB Dato’ Rosol Wahid (Rosol) dan YB Zawawi Ismail (Zawawi). Rakit Ku Tera dimuatkan dengan hulubalang Mat Said, manakala rakit Cikgu Mat Nor dinaiki oleh hulubalang Deris Jusoh. Untuk jawatan Ketua Bahagian, Ku Tera berjaya mengalahkan Cikgu Mat Nor dengan majoriti 18 undi, Timbalan, YB Rozi Mamat menang meninggalkan Rosol (penyandang) dengan majoriti 41 undi dan Naib, Yusof Awang Hitam (pemangku) berjaya mengenepikan Zawawi dengan majoriti 34 undi.

Di Dungun, hulubalang Mat Said yang diketuai oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ (Dr) Rosli Mat Hassan (Pak Li) dan berakit bersama Setiausaha UMNO Bahagian Datuk Za’abar Mohd Adib (Za’abar) berjaya mengenepikan cabaran hulubalang Deris Jusoh yang dikepalai oleh Naib Ketua Bahagian/ADUN Bukit Besi, YB Dato’ Din Adam (Din Adam) yang berakit bersama Timbalan Ketua Bahagian/ADUN Paka, YB Zakaria Abdullah (Zakaria). Pak Li menang Ketua Bahagian meninggalkan jauh Din Adam dengan majoriti 70 undi dan Za’abar menang Timbalan Ketua Bahagian meninggalkan lebih jauh Zakaria dengan majoriti 152 undi. YB Matulidi menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua.

Di Marang, hulubalang Mat Said tewas mengejut. YB Senator Dato’ Rahman Bakar (Man Bakar) tewas kepada gerombolan hulubalang Deris Jusoh yang diketuai oleh Exco Kerajaan Negeri tunggal yang berani ‘menyanggah’ arahan Mat Said. YB Yahya Khatib Mohamad (Yahya) yang juga Setiausaha Bahagian menang Ketua Bahagian mengalahkan Man Bakar. Yahya memperolehi 412 undi sementara Rahman Bakar hanya mendapat 214 undi. Bagi jawatan Timbalan Ketua, penyandang YB Alias Abdullah kekal setelah mendapat 436 undi berbanding pencabar, Bendahari Bahagian Nik Dir yang hanya memperolehi 194 undi. Bekas Ketua Pemuda Bahagian yang juga bekas calon DUN Rhu Rendang, Haji Razali Idris menang jawatan Naib Ketua setelah memperolehi 284 undi meninggalkan lawannya bekas ADUN Bukit Payong, Dato’ Dr Latiff Awang dan bekas Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Sumber Manusia, A. Latiff Awang dalam pertembungan 3 penjuru.

(Nota : Ketika persidangan cawangan-cawangan Ogos lalu dan setelah dikhabarkan ada pertembungan untuk merebut Ketua Bahagian, Mat Said telah memanggil ketiga-tiga ketua hulubalang mereka ini (Ku Tera, Pok Li dan Man Bakar) dan berjanji kepada mereka bahawa walau apa pun keadaan, keputusan dan kedudukan, rebah atau bangun, selepas pemilihan Bahagian nanti, ketiga-tiga ketua hulubalang ini tetap bersamanya (Mat Said).

Di Setiu, pertembungan sama ada kem berhulubalang Mat Said atau Deris Jusoh agak kurang ketara. Untuk jawatan Ketua Bahagian, penyandang YB Datuk Mat Jidin Shafie kekal setelah menewaskan pencabarnya ADUN Jabi/Naib Ketua Bahagian YB Ramlan Ali (Cikgu Lan) dengan majoriti 20 undi. Bagaimanapun dari regu Mat Jidin bagi jawatan Timbalan Ketua, Abdul Rahman Mat Yassin tewas kepada regu Cikgu Lan, ADUN Langkap,YB Ashaari Idris dengan majoriti tipis 8 undi. Seorang lagi dari rakit Cikgu Lan ADUN Permaisuri yang juga bekas Naib Ketua Pemuda Bahagian, YB Halim Jusoh menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian.

Manakala di Kuala Terengganu, YB Senator Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian. Pertembungan bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian seolah-olah merupakan pertembungan di antara hulubalang Deris Jusoh sahaja. Bekas Ketua Pemuda Negeri dan Bahagian, Mohd Sabri Alwi (Adik Mat) menang mudah menewaskan penyandang, bekas Yang Di Pertua DUN Dato’ Haji Che Mat Jusoh (DCMJ). Adik Mat meraih 402 undi, manakala DCMJ hanya memperolehi undi simpati 103 undi. Bagi jawatan Naib Ketua yang menyaksikan pertembungan 3 penjuru, penyandang, bekas calon PRU ke-11 2004 DUN Wakaf Mempelam, Hamzah Mat Zain dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu / Timbalan Menteri Pelajaran Dato’ Razali Ismail tewas kepada Bendahari Bahagian dan bekas Bendahari UMNO Negeri, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh. Wan Hisham adalah abang kepada Wan Farid.

Hanya satu Bahagian di Terengganu yang belum bersidang iaitu Bahagian Kuala Nerus yang turut menyaksikan pertembungan merebut Ketua Bahagian. Gambaran awal pertembungan di Kuala Nerus ini dapat dibaca di sini.

Yang menang telah pun menang dan yang kalah sudah diketahui. Apa cara yang boleh memenangkan dan mengalahkan mereka tidak penting, tidak penting juga walaupun ada yang gembira dan ada yang menangis. Yang penting yang menang, mereka sudah menang dan yang kalah, mereka sudah kalah.

Jumaat, Oktober 24, 2008

YANG BAKAL MENARIK DIRI

Masih berkisar di sekitar pemilihan Ketua Bahagian UMNO di Terengganu. Kali ini kita silau sedikit perkembangan di UMNO Bahagian Kuala Nerus. Bahagian Kuala Nerus merupakan bahagian di Terengganu yang paling akhir akan bersidang, iaitu pada 8 November nanti.

Sehingga kini, perjalanan pertembungan di Bahagian Kuala Nerus masih melibatkan tiga penjuru. Datuk Nasir Ibrahim, Ketua Bahagian merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus akan ditentang oleh Che Azmi A. Rahman, Timbalan Ketua Bahagian yang juga bekas Ahli Parlimen. Seorang lagi calon ialah Basir Ismail, Naib Ketua Bahagian.

Sebagai gambaran sepintas : kedudukan individu ‘berjenama’ dalam kem-kem yang bertanding ini agak menarik. Pada pemilihan lalu (2004) untuk jawatan Ketua dan Timbalan, Datuk Nasir (ketika itu ADUN Bukit Tunggal) dalam satu kem dengan Che Azmi (ketika itu Ahli Parlimen KN). Kem Datuk Nasir bersaing mengisi kekosongan jawatan Ketua Bahagian bersama kem Datuk Rahin Said, ADUN Teluk Pasu yang juga Exco Kerajaan negeri (masa itu dan sekarang). Datuk Rahin berganding dengan Sufian Ali (ketika itu ADUN Seberang Takir) sebagai Ketua dan Timbalan.

Basir Ismail dalam kem Datuk Rahin. Bertanding Naib Ketua. Datuk Nasir dan Che Azmi (dari kem yang sama) menang Ketua dan Timbalan Ketua, manakala Basir (dari kem Datuk Rahin) menang Naib Ketua mengalahkan Hassan Ali (dari kem Datuk Nasir). Hebatnya kem Datuk Rahin lagi, Ketua Bahagian ketika itu, Datuk A. Rashid Ngah turut menyokong mereka, mungkin kerana kebetulan Sufian Ali adalah adik iparnya.

Pemilihan 2008 ini, segalanya menjadi tunggang terbalik. Kem Datuk Nasir berpecah, tetapi kem Datuk Rahin masih kekal. Yang berbezanya Datuk Rahin tidak lagi bertanding Ketua Bahagian tetapi memberikan laluan kepada Basir untuk ke depan.

Kem menjadi tiga. Che Azmi membina kem sendiri yang disokong kuat oleh adiknya YB Ahmad Razif (ADUN Seberang Takir merangkap Exco Kerajaan negeri). Turut bersama dalam kem Che Azmi ialah YB Ramli Noh (ADUN Tepoh) dan Tuan Ariff, bekas calon ADUN Bukit Tunggal (calon BN pada PRU ke-12/2008 tewas kepada calon PAS).

Manakala kem Basir pula didokong kuat oleh Datuk Rahin, Sufian Ali dan Amiruddin, (Ketua Pemuda Bahagian) serta sebahagian besar AJK Bahagian yang juga penyokong setia Datuk Rahin yang tidak pernah berganjak daripadanya.

Bermakna Datuk Nasir terpaksa berseorangan kali ini. Bagaimanapun, khabarnya Hassan Ali (bekas calon Naib Ketua 2004 dan bekas Setiausaha Bahagian) masih setia bersama kem Datuk Nasir. Nak diharapkan kepada Roslan Abdul Rahman (Setiausaha Bahagian), mungkin tidak sama sekali. Satu lagi yang mungkin boleh menyelamatkan Datuk Nasir ialah hubungan rapatnya dengan Datuk Najib yang bakal menjadi Presiden dan ura-ura Datuk Nasir antara calon Menteri penuh atau Timbalan Menteri baru dari Terengganu. Hassan Ali juga rapat dengan Datuk Najib.

Itulah. Kedudukan Datuk Nasir yang serba ‘bakal’ itu termasuk juga telah menawarkan diri bertanding Ahli Majlis Tertinggi dibimbangkan akan menjadi ‘bangkai’ Ketua Bahagian sekiranya benar khabar angin yang mengatakan salah seorang calon Ketua Bahagian yang akan menentang Datuk Nasir berhasrat menarik diri dan secara ‘enblok’ bergabung kem menentang Datuk Nasir.

Basir Ismail khabarnya akan menarik diri daripada bertanding Ketua Bahagian dan semua penyokong dan pendokong kemnya akan bergabung menyokong Che Azmi sebagai Ketua Bahagian.

Bagaimana perkiraan kem mereka dalam pembahagian jawatan dengan siapa bertanding jawatan itu dan ini masih sukar diramal. Tetapi yang pasti, sekiranya benar berlaku penarikan diri Basir dan penggabungan kem, bermakna kem Che Azmi akan mempunyai dua ADUN Exco Kerajaan negeri, satu ADUN kosong, satu bekas ADUN, satu bekas calon ADUN, Ketua Pemuda (bakal melepaskan jawatan kerana had umur), Naib Ketua Bahagian (Basir sendiri) dan beberapa orang bekas pemimpin bahagian serta AJK Bahagian yang berpengaruh, selain Che Azmi sendiri sebagai Timbalan Ketua Bahagian dan bekas Ahli Parlimen, walaupun kini beliau tidak ada apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Datuk Nasir hanya ada ‘bangkai’ Naib Ketua merangkap bekas Setiausaha Bahagian dan yang bakal menjadi ‘bangkai’ Setiausaha Bahagian, selain ada bakal Presiden UMNO yang menyilau dari jauh mungkin. Kalau Datuk Nasir masih mampu bertahan seperti pemilihan tahun 2004 dulu, kita boleh angkat ibu jari kepada anakanda bekas Menteri Besar Terengganu ini.

YANG TELAH MENARIK DIRI

Dua hari lepas seorang calon Ketua UMNO Bahagian telah mengumumkan menarik diri setelah lebih dua bulan berkempen dan merayu agar cawangan-cawangan mencalonkan beliau selaku Ketua Bahagian.

Di Marang, YB Alias Abdullah, Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang telah mendapat pencalonan mencukupi untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan itu dan sekali gus mengisytiharkan memberi laluan dan menyokong YB Yahya Khatib Mohamad. Bermakna Yahya akan menentang Datuk Rahman Bakar dalam pertandingan satu lawan satu di Bahagian Marang. Alias turut mengumumkan untuk hanya bertanding mengekalkan jawatan Timbalan Ketua.

Tindakan Alias sudah dijangka daripada awal. Alias dan Yahya datangnya dari satu kem yang sama. Tujuan mereka adalah satu yakni untuk merebahkan Rahman Bakar di Marang. Pada peringkat awal, dikatakan telah ada perundingan kilas antara Alias dan Yahya. Yahya adalah Setiausaha UMNO Bahagian merangkap Exco Kerajaan negeri. Yahyalah satu-satunya Exco Kerajaan negeri yang berani menyanggah Ketua Bahagian sedia ada di Terengganu, walaupun ‘amaran’ telah diberikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan merangkap Menteri Besar supaya Exconya tidak bertanding jawatan nombor satu bahagian.

Bimbang kalau-kalau tragedi 2004 berulanglah, makanya Alias turut meminta dirinya dicalonkan bertanding jawatan Ketua Bahagian. Sebagai ‘standby’ sekiranya Yahya diisyaratkan untuk menarik diri bertanding dan tidak menentang Rahman Bakar. Yang penting bagi Alias, Rahman Bakar perlu ditumbangkan.

Pemilihan tahun 2004 lalu, Alias sudah melalui pengalaman ini. Yahya yang dicalonkan untuk bertanding Timbalan Ketua Bahagian menarik diri pada saat-saat akhir atas nasihat Pengerusi Badan Perhubungan ketika itu (Datuk Idris Jusoh). Idris bertindak begitu bagi menyelamatkan Alias kerana Alias adalah antara orang kesayangan Idris. Alias menang tanpa bertanding. Ketika itu, Yahya satu kem dengan Rahman Bakar dan sebagai gantian apabila Yahya menarik diri, Rahman Bakar terpaksa menganugerahkan Yahya jawatan Setiausaha Bahagian. Itu pun atas nasihat dan kehendak Idris bagi membalas pengorbanan Yahya.

Bagaimanapun, kemungkinan Yahya bakal menarik diri di saat-saat hampir berlangsungnya pemilihan bahagian Marang juga bukan sesuatu yang mustahil. Yahya masih ada masa dan kedudukan yang bakal dihadiahkan. Kalau tragedi 2004 berulang kembali, Alias sekali lagi akan tertipu. Alias bukan sahaja gagal dalam usahanya untuk menumbangkan Rahman Bakar malahan terpaksa berhadapan pula dengan Nik Dir untuk merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Kali ini Alias tidak akan menang percuma lagi, malahan kalau kedudukan Rahman Bakar agak selesa, aura keselesaan Rahman Bakar itu akan turut ditumpang sama oleh Nik Dir.

UMNO Bahagian Marang akan bersidang Sabtu ini (25 Oktober).

Namun apa pun, apakah tindakan mereka ini berupa strategi atau tragedi? Strategi untuk membantu calon lain lebih kuat serta berpotensi untuk menang atau tragedi yang membawa kecenderungan penyokong setianya hampa lalu beralih kepada calon yang ditentang. Harapnya janganlah strategi membawa tragedi.

Rabu, Oktober 22, 2008

YANG MERASAKAN DIRINYA SAJA YANG PANDAI DAN BETUL

Kerana 'tidak' berat sebelahlah :
Raja Petra di-ISAkan, Mahathir kata kepada Pak Lah, Karpal Singh boleh jadi peguam

Malam kelmarin, Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) mengadakan Malam Anugerah Kewartawanan KAWAT-ExxonMobil 2008 - acara tahunan yang memberi pengiktirafan kepada wartawan di Terengganu yang menghasilkan karya dan menyertai anugerah mengikut pelbagai kategori yang ditetapkan.

Perihal majlis dan anugerah ini, bukan menjadi topik perbincangan kali ini, tetapi yang saya nak ceritakan di sini berkaitan dengan seorang kawan saya (sudah lama berkawan, sejak akhbar Watan zaman Karangkraf lagi), yang mungkin merasakan dirinya hebat dan dia saja yang betul dan pandai.

Kawan saya nin selalu saya berjumpa dengannya, boleh dikatakan hampir setiap minggu, tetapi sebelum majlis KAWAT malam kelmarin, saya kira baru berjumpa dengannya semula kira-kira sebulan sebelumnya tak berjumpa.

Yang lucunya, kawan saya nin mungkin baru melayari laman blog ini. Lalu semasa bertemu dengannya malam tu, secara spontan dia berkata, “apalah kau nin, macam-macam tulis dalam blog, berat sebelah. Aku nak jawab pun fikir tentang kawan-kawan.”

“Apa yang aku tulis? Apa yang kau tak puas hati? Apa yang berat sebelah?” tanya saya.

“Berat sebelah, berat sebelah”. Katanya mengulangi lalu terus beredar meninggalkan saya.

Memang comfirm kawan saya nin tak tahu apa itu blog, laman web atau apa-apa yang berkaitan media dalam talian nin. Kawan saya nin cetek akalnya dari segi had dan kebebasan menulis dalam media internet berbanding media edaran cetakan atau elektronik penyiaran seperti tempat dia bekerja. Yang dia tahu (tu pun kalau tahu, kalau tak tahu lagi comfirm), hanya pandai komplen.

Apa sebenarnya yang ada dalam fikiran dia sehingga dia katakan saya nin berat sebelah, saya sendiri masih tertanya-tanya. Sehingga beberapa persoalan ini masih berlegar-legar dalam kepala saya :

1) Berat sebelahkah surat khabar harakah kerana sedikit pun tak ada memuji kerajaan?
2) Berat sebelahkah surat khabar pro-pembangkang yang sedikit ruang dan peluang pun tak diberikan kepada kerajaan.
3) Kawan saya nin pernah melayari ke jutaan blog / web yang lain, yang macam-macam istilah berat sebelah boleh kita labelkan kepadanya. Ada berat sebelah sokong pembangkang, ada berat sebelah hentam pembangkang, ada berat sebelah pro-kerajaan, ada berat sebelah hentam sesama pembangkang, ada berat sebelah hentam sesama kerajaan, ada berat sebelah hentam sesama UMNO, sesama PAS, sesama PKR, sesama DAP dan macam-macam lagi berat sebelahnya.
4) Kenapa kawan saya nin tak marah kepada surat khabar/media online lain yang secara totok semuanya pembangkang tak betul, yang betul kerajaan saja?
5) Kenapa kawan saya nin tak puji pula surat khabar online yang secara bulat-bulat berat sebelah kepada pembangkang, semua yang dibuat kerajaan tak kena.
6) Kenapa juga kawan saya nin tak baca blog Dr Mahathir Mohamad yang tak pernah memuji Pak Lah?
7) Kenapa kawan saya nin tak baca blog myMku.net yang menyokong Mahathir dan menghentam habis-habisan Pak Lah?
8) Kenapa kawan saya nin tak jumpa blog blogger pro-pembangkang yang terus memuji pembangkang dan mengutuk sekeras-kerasnya kerajaan.
9) Apa hal kawan saya nin, diam je bila baca blog blogger yang pelbagai (kalau-kalau dia terjumpa)?
10) Banyak lagi persoalan sebenarnya, tapi untuk yang terakhir kali ini, saya rasa sangat nak tanya kawan saya nin, kenapa dia tak marah pun kepada majikan dia (RTM) kerana dia tulis berita TV yang sedikit pun tak sokong pembangkang. Tak berat sebelah pun, walaupun totok dan cokeng kerajaan je yang betul?

Tu belum lagi saya minta kawan saya nin baca blog/web berbahasa Inggeris. Kalau suruh baca, birulah agaknya hidung dan matanya.

Yang dimaksudkan oleh kawan saya, maksud berat sebelah saya tu apa ya?

a) Apakah kerana saya menulis ‘yang benar walaupun pahit’ yang kebetulan terkena kepada orang-orang tertentu yang kawan saya nin dah ada ‘perkiraan’ atau selalu mendapat ‘perkiraan’?
b) Apakah cara saya menulis ‘yang benar walaupun pahit’ tu terkena kepada batang hidung individu ‘akaun simpanan’nya?
c) Seperti yang selalu saya sebutkan, saya menulis mengikut maklumat yang saya perolehi berkaitan apa yang saya tulis. Saya tak menulis tanpa maklumat dan bukti. Kawan saya nin pun faham tentang ini, kerana dia menulis pun berdasarkan maklumat. Cuma bezanya, kalau maklumat yang diperolehi kawan saya nin berkaitan bagus dan betulnya Haji Hadi (PAS), mati hidup semula dia tak tulis untuk siaran RTM tempat dia kerja tu, walaupun masa tu kerajaan Terengganu adalah kerajaan PAS.
d) Kalau saya mendapat maklumat tentang A, tak kan saya nak menulis tentang B. Kalau kawan saya nin memberi kepada saya maklumat keburukan C, tak kan saya nak tulis tentang keburukan A, sedangkan A tu adalah musuh C yang mana kawan saya nin mendapat faedah dan ada kepentingan daripadanya (A).
e) Kalau kawan saya nin menonton TV PAS (ada dalam laman web), mati hidup semula dia tak percaya apa yang diberitahu oleh TV PAS tu kerana baginya semua yang disiarkan oleh TV PAS adalah tidak benar kerana berat sebelah – sokong PAS saja.
f) Kalau kawan kepada kawan saya nin adalah orang PAS, mati hidup semula dia pun tak nak percaya apa yang disiar oleh RTM tulisan kawan saya nin kerana kata kawan kepada kawan saya tu, kawan saya nin tulis berat sebelah.

Sebenarnya kawan saya nin memang perangainya macam tu. Orang lain semua salah. Dia saja yang betul dan pandai. Mentang-mentang jadi wartawan TV, dia sajalah yang hebat. Wartawan lain di Terengganu nin, semuanya cap ayam.

Kerana dia merasa dia sajalah yang hebat dan pandai buat kerja, kerana itulah di pejabatnya dia, tanpa segan silu dan malu aib, tergamak pula mengarahkan ‘bos’nya itu dan ini, begitu dan begini. Mungkin dia rasa, dia dah jadi bos kot dan bosnya tu berat sebelah.

Kadang-kadang saya terfikir “sihat ke kawan saya nin?”

Ahad, Oktober 19, 2008

YANG TERDESAK DAN YANG CEMAS : HULU TERENGGANU

Maklumat terkini : YB Zawawi dibenarkan untuk bertanding semula jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu. Maknanya ayam Cikgu Mat Nong akan masuk gelanggang dan ayam Ku Tera tak boleh nak ambil mudah. (cerita YB Zawawi yang kalah tanpa bertanding boleh dibaca semula di sini).

Maklumat terkena : sumber dalaman yang amat boleh dipercayai memaklumkan bahawa dalam keadaan terdesak dan cemas dengan perkembangan mutakhir, kem Ku Tera yang sudah menghidu asap kelemasan dan kemungkinan gagal untuk mempertahankan jawatan Ketua Bahagian, telah mengutuskan YB Rozi sebagai utusan untuk berunding dengan kem Cikgu Mat Nong untuk berkompromi.

Khabarnya YB Rozi telah bertemu dengan YB Dato’ Rosol dan merayu (sehingga dikatakan sanggup melutut dan menjilat tapak kaki – jika perlu) agar tidak ada pertandingan. YB Rozi sebagai juru utusan yang datang bertemu YB Dato’ Rosol telah membawa harapan setinggi langit dengan pelan kompromi saat akhir iaitu memohon agar Cikgu Mat Nong menarik diri dan memberi laluan menang tidak bertanding kepada Ku Tera dan Rozi akan menarik diri untuk memberi kemenangan tanpa bertanding juga kepada Rosol.

Maklumat terbaru : Kem Cikgu Mat Nong menolak pelan kompromi atas dasar maruah dan prinsip. Apa ke hal pelan baru dicadang pada saat-saat akhir apabila kedudukan kem Ku Tera sudah lemas?

Maklumat terharu-biru : Satu laporan telah dibuat kepada jawatankuasa disiplin UMNO atas kesalahan kem Ku Tera yang menggunakan nama Kelab Prihatin Hulu Terengganu menganjurkan satu program yang siap dengan adanya nyanyian dan persembahan kebudayaan oleh Arni Nazira, Pak Su Serunai dan satu kumpulan tarian. Yang dijemput ke majlis berkenaan adalah perwakilan cawangan-cawangan dalam Bahagian Hulu Terengganu dari semua DUN. Yang diisi pada majlis berkenaan ialah ucapan Ketua Bahagian dan calon-calon regu kem Ku Tera, termasuk yang telah ‘diprogramkan ucapannya' (cuma mereka menyampaikan sahaja) oleh beberapa orang perwakilan yang sebelumnya menentang Ku Tera tetapi kini telah berpaling tadah semula kepada Ku Tera.

Khabarnya, laporan berkenaan berasas dan penganjuran berkenaan adalah salah dari segi etika pemilihan parti dan Ku Tera and the geng boleh dilarang daripada bertanding. Tetapi dengan menggunakan ‘pengaruh’ dan ‘kedudukan’ Ku Tera serta orang-orang tertentu, laporan berkenaan diselit di bawah tikar untuk sementara dengan syarat kem Ku Tera mesti membenarkan semula YB Zawawi kembali bertanding. Fare and square. Ada tukar ganti yang demokrasi.

Maklumat terakhir : kedudukan Ku Tera masih belum selamat. Masih ada satu talian hayat yang tidak digunakan. Mungkinkah talian hayat terakhir itu akan digunakan sebelum 25 Oktober nanti. Agaknyalah, kerana bukan mustahil akan dilakukan hanya untuk memastikan keselamatannya terjamin.

Sabtu, Oktober 18, 2008

YANG SEMAKIN SUKAR : KJ

Khairi Jamaludin (KJ) mungkin gagal mendapat sebarang pencalonan daripada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian-bahagian dalam negeri Terengganu untuk beliau bertanding merebut kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Mac 2009 nanti. Setelah dua daripada lapan Pemuda Bahagian bersidang sehingga semalam (Jumaat), kedudukan KJ untuk mendapat sokongan Pemuda Bahagian dari Terengganu dilihat semakin sukar.

Hari ini (18 Oktober, Sabtu) beberapa Pemuda Bahagian di Terengganu akan turut mengadakan persidangan masing-masing. Tumpuan bagi menentukan kedudukan KJ sama ada mampu atau tidak untuk mendapatkan pencalonan akan lebih berfokus kepada Pemuda Bahagian Kuala Terengganu yang diketuai oleh Mohd Sabri Alwi (Adik Mat).
Kulit Buku Cenderamata Mesyuarat Pemuda Bahagian Kuala Terengganu : kelihatan Adik Mat mengangkat tangan kiri dan mengucapkan "Selamat tinggal KJku"

Adik Mat yang juga Ketua Pemuda negeri adalah orang kuat KJ di Terengganu dan sebelum ini dikatakan pernah berjanji untuk memastikan semua Pemuda Bahagian dalam negeri Terengganu mencalonkan KJ sebagai Ketua Pemuda. Setidak-tidaknya sebagai jasa terakhir Adik Mat kepada KJ sebelum beliau melepaskan jawatan Ketua Pemuda Bahagian dan Negeri. Adik Mat melepaskan jawatan Ketua Pemuda Bahagian kerana melepasi had umur pemuda.

Trend ‘pedulikan Ketua’ yang dimulai oleh Pemuda Bahagian Besut minggu lalu (mencalonkan Dato’ Mukhriz) dituruti oleh Pemuda Kemaman (mencalonkan DS Khir Toyo) semalam. Berdasarkan trend ini, dijangkakan enam (6) lagi Pemuda Bahagian yang bakal bersidang akan memberikan keputusan di ‘luar kawalan’. Situasi mutakhir ini amat menyulitkan KJ untuk mendapatkan pencalonan, waima daripada Pemuda Bahagian Kuala Terengganu sendiri pun.

Pemuda Bahagian Kuala Terengganu akan bersidang hari ini (Sabtu) bermula 8.00 malam di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar, Kuala Terengganu. Pemuda Kuala Terengganu yang bakal memartabatkan Ketua yang baru menyaksikan pertembungan tiga (3) penjuru di antara Naib Ketua Pemuda, Badrol Hisham Haji Zaki dan dua muka baru Heshaiful Bahari Mohamad dan Abdul Latif Ibrahim. Badrol yang mendapat restu Adik Mat dijangka tidak menghadapi laluan sukar ke jawatan Ketua.

Namun bagi memastikan KJ mendapat pencalonan Ketua, menyulitkan juga Adik Mat dan Badrol. ‘Perjanjian persefahaman’ antara kem Heshaiful dan kem Latif memutuskan untuk mencalonkan Mukhriz. Kalau persefahaman berkenaan turut direstui anak buah mereka berdua, nescaya gabungan itu menghasilkan keputusan yang memeningkan Adik Mat.

Dan kalau Pemuda Kuala Terengganu sendiri gagal mencalonkan KJ, rasanya KJ sudah boleh tutup fail peribadinya di negeri Terengganu dan memberikan tumpuan kepada negeri-negeri lain yang lebih berpotensi. Bimbang kalau-kalau KJ benar-benar tertidur di ‘bawah anjing’ (underdog).

YANG BEKERJA UNTUK KHIR TOYO

DS Khir Toyo dijangka akan mendapat pencalonan daripada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun yang akan memulakan sidangnya 9.00 pagi ini, walaupun nama Dato’ Mukhriz akan turut dicalonkan. Berdasarkan senario mutakhir, nama KJ mungkin tidak dicadangkan.

Pemuda Bahagian Dungun akan menyaksikan pertandingan tiga (3) penjuru bagi jawatan Ketua antara penyandang Sazali Abas, Exco Pemuda Bahagian, Asri dan seorang muka baru Azhar Jambul. Berdasarkan penerimaan perwakilan dan kerja kuat, ketiga-tiga mereka mempunyai peluang sama rata untuk menang.

Siapa yang akan menang mungkin tidak penting buat orang Kuala Lumpur dan pemerhati politik di seluruh negara. Berapa kerat sangat yang kenal Sazali. Mereka mungkin tak kenal pun Asri dan Azhar. Yang mungkin sudah kenal mereka bertiga ialah calon Ketua Pemuda Pusat @ ejen @ pelobi @ petugas @ gurkha mereka sahaja.

Yang ingin dilihat oleh banyak orang di seluruh negara ialah siapakah calon Ketua Pemuda UMNO Pusat yang akan dicalonkan dan menang pencalonan oleh Pemuda Bahagian Dungun tengah hari atau petang ini?

Berbalik kepada Khir Toyo, Mukhriz dan KJ. Kenapa saya katakan nama KJ mungkin tidak dicadangkan dan Khir Toyo yang akan menang pencalonan daripada Bahagian ini?

Selepas Pemuda Besut mencalonkan Mukhriz minggu lalu, KJ bergegas datang ke Terengganu dan memohon Adik Mat (Mohd Sabri Alwi) menjemput semua Ketua Pemuda Bahagian (KPB), khususnya KPB sedia ada. Apa yang dijanjikan dan apa yang ditinggalkan KJ kepada mereka kurang pasti kerana tidak mendapat maklumat terus dan boleh dipercayai. Yang ada ialah cakap-cakap kedai kopi dan ‘beli bakul’ saja. Jadi jangan pakai dulu.

Selepas pertemuan tak berapa sulit itu, semua KPB termasuk Sazali berjanji untuk memastikan KJ dicalonkan. Untuk Pemuda Bahagian Dungun, Sazali sendiri yang akan mencadangkan nama KJ. Manakala dua calon KPB yang lain bersepakat untuk mencalonkan Mukhriz. Nama Khir Toyo belum pun timbul lagi.

Jumaat (kelmarin) sudah lain jadinya. Kebarangkalian sudah berlaku import eksport tak boleh dinafikan. Sazali sendiri telah menukar pendirian dan akan mencalonkan Khir Toyo. Kem dua calon KPB yang lain tetap dengan Mukriz. Ini bermakna nama KJ sudah terpadam.

Yang terjadi sedemikian, khabarnya (bukan gossip), ada seorang pemimpin UMNO daripada Bahagian Marang yang bekerja untuk Khir Toyo datang bertemu Sazali dan memohon agar nama Khir Toyo dicadangkan. Pemimpin ini juga khabarnya (bukan gossip) turut ‘membantu’ Sazali yang sudah ‘laih’ itu (segala macam laih) untuk mengekalkan Ketua Pemuda.

Pemimpin Bahagian Marang ini mungkin boleh diistilahkan sebagai ejen @ pelobi @ petugas @ gurkha. Banyak orang tahu, semasa Khir Toyo menjadi MB Selangor dulu, pemimpin ini banyak menerima manfaat @ projek daripada Kerajaan Khir Toyo. Justeru budi terpaksa dibalas. Kebetulan pula, pemimpin yang pernah menjadi Ketua Pemuda Bahagian Marang ini mungkin hanya mengenali dan baik dengan Sazali. Mungkin juga dia tahu yang Sazali berkeadaan terdesak dan sukar untuk mempertahankan jawatannya sebagai KPB. Lantas Sazalilah tempat pemimpin ini berlabuh.

Mahu tidak mahu Sazali terpaksa menjual maruah dan menjalankan sistem ‘tukar barang’, semata-mata untuk menang. Sazali mengakui yang dia sendiri akan mencalonkan Khir Toyo sebagai 'calon berkecuali' (kononnya). Untuk itu jangan hairan tengah hari atau petang nanti akan diumumkan Pemuda Dungun mencalonkan Khir Toyo.

Dalam misi yang sama, pemimpin ini juga telah merayap ke beberapa Bahagian lain untuk memastikan Khir Toyo dicalonkan. Bahagian Kemaman mungkin sudah terjebak dengan sistem ‘tukar barang’ ini.

Kaedah yang digunapakai mudah sahaja. Menggunakan ‘toyol’ (pemimpin tadi) untuk mengirim ‘barang’ dan seperti kuari mereka menggunakan ‘kaedah bom mengebom’. Hancur dan berkecailah hati yang keras walaupun sebelumnya sudah keras hati perwakilan seperti kerasnya batu yang belum dibom.

Jumaat, Oktober 17, 2008

YANG BERKEDUDUKAN CEMAS : SETIU

Pertembungan di Setiu : Cikgu Lan + Hj Ashaari - Mat Jidin = ???

UMNO Bahagian Setiu agak ‘tersisih’ daripada perbicaraan pertembungan merebut Ketua Bahagian dan jawatan-jawatan penting lain pada Persidangan Bahagian berkenaan 25 Oktober nanti. Apa nasib bahagian berkenaan sehingga tersisih daripada mendapat liputan, kurang pasti punca sebabnya.

Tetapi yang agak nyata, Bahagian Setiu menjadi antara Bahagian yang panas dan kedudukan Ketua Bahagian sedia ada agak cemas.

Siapa yang akan menjadi mangsa atau ‘bangkai’ Ketua Bahagian dan siapa yang bakal menjadi Ketua Bahagian pada 25 Oktober ini, hanya boleh diramal bersandarkan situasi sokongan dan kekuatan rangkaian kem yang bertanding.

Yang pasti, pertembungan tetap akan berlaku. Cikgu Ramlan Ali (Cikgu Lan) akan mencabar kerusi Ketua Bahagian. Kem Cikgu Lan dan kem Datuk Mohd Jidin (Mat Jidin) sudah bersiap sedia menghadapi saat-saat ‘pertempuran’. Daripada bacaan kasar, Ketua Bahagian, Mat Jidin berkedudukan genting dan bersendirian.

Cikgu Lan, ADUN Jabi dan Naib Ketua Bahagian berkongsi tenaga dengan semua wakil rakyat dan bekas wakil rakyat dalam Bahagian Setiu. Cikgu Lan bersama Haji Ashaari (ADUN Langkap/Exco Kerajaan Negeri), Abdul Halim Jusoh (ADUN Permaisuri) dan Ustaz Khazan (ADUN Batu Rakit/Ketua Pemuda Bahagian/Naib Ketua Pemuda Negeri).

Tidak cukup dengan itu, bekas Ahli Parlimen Setiu yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Yusof Majid juga khabarnya bersama-sama Cikgu Lan. Yusof sudah lama tidak sebulu dengan Mat Jidin dan terakhir Yusof telah dimalukan melalui percaturan Mat Jidin sehingga Yusof (bekas Ahli Parlimen tu) kalah dalam usaha mempertahankan kerusi Ketua Cawangan di kampungnya sendiri.

Seperti yang disebut, di atas pembacaan terbuka, Mat Jidin sudah lemas. Mat Jidin betul-betul diganyang. Mat Jidin, Ahli Parlimen Setiu dan bekas Exco Kerajaan Negeri perlu buat sesuatu untuk menguatkan semangatnya berhadapan dengan jentera bersepadu Cikgu Lan, sekali gus menyelamatkan malu aibnya. Kalau pada zaman Tan Sri Wan Mokhtar dulu, mungkin Mat Jidin boleh diselamatkan oleh Dato’ Tengku Mahmud Mansor (sifu dan otai politik Mat Jidin), tapi sekarang Mat Jidin nak bergantung dengan siapa lagi?

Mat Jidin masih boleh menggunakan talian hayat bantuan MB, walaupun ketika kemelut perlantikan MB dulu, Mat Jidin menjadi antara Ketua Bahagian yang kurang menonjol memberi sokongan kepada Mat Said. Saat dan ketika genting sebegini, Mat Jidin sudah tidak boleh untuk bermain wayang dan bermain selamat lagi.

Namun, tidak dapat dipastikan, apakah Cikgu Lan telah dipanggil MB sepertimana tiga calon pencabar Ketua Bahagian di Hulu Terengganu, Marang dan Dungun. Tidak juga dapat dipastikan, apakah Mat Jidin juga telah mengikuti jejak langkah kawan sejawatannya di tiga Bahagian itu yang telah memohon diselamatkan oleh MB dengan menggunakan talian hayat kedua mereka.

Mat Jidin perlu diselamatkan untuk menyelamatkan generasi politik Tengku Mahmud Mansor daripada terus lenyap di bumi Setiu yang telah dibangunkan bersama ‘air matanya’ itu.

YANG MENJADIKAN ROSTRUM SEBAGAI STRATEGI TERAKHIR

Contoh : Ketua-ketua Bahagian di Terengganu yang akan mempertahankan jawatan dan mempunyai jawatan dalam UMNO Perhubungan Negeri. (Dari kiri) YBM Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu/Timbalan Pengerusi Perhubungan), YBhg Dato' (Dr) Rosli Mat Hassan (Dungun/Setiausaha Perhubungan), YB Senator Dato' Rahman Bakar (Marang/AJK Perhubungan), YB Dato' Mohd Nasir Ibrahim (Kuala Nerus/AJK Perhubungan) dan YB Datuk Mohd Jidin Shafie (Setiu/AJK Perhubungan)

Untungnya Ketua-ketua Bahagian sedia ada di seluruh negara apabila Majlis Tertinggi UMNO menetapkan hanya Ketua Bahagian sahaja yang berhak untuk merasmikan Persidangan Bahagian masing-masing.

Ketua Bahagian yang dicabar, paling tidak akan menggunakan rostrum perasmian sebagai strategi terakhir mereka untuk berkempen. Bagaimana caranya Ketua Bahagian berkempen dan menggunakan sebaiknya platform berkenaan, itu tidak penting. Yang penting, sekurang-kurangnya kempen saat akhir ini akan juga didengar oleh para perwakilan yang akan mengundi calon-calon pilihan mereka.

Majlis Tertinggi mungkin memutuskan begitu semata-mata untuk mengelakkan berlaku kempen mengempen calon-calon tertentu yang menawarkan diri mereka bertanding pelbagai jawatan di peringkat pusat, tetapi terlupa bahawa kesan sampingan yang bakal dihadapi oleh calon bukan Ketua Bahagian yang sedia mencabar di Bahagian-bahagian.

Kalau Ketua Bahagian sedia ada reti bahasa dan faham peraturan dan tata etika persidangan, mungkin tidak berlaku sesuatu yang boleh menjejaskan pertandingan. Tetapi apakah semua Ketua Bahagian bersifat begitu? Jangan lupa, ada Ketua Bahagian yang pandai bercakap, pantang jumpa ‘copong’ dan takut kehilangan jawatan. Mereka ini tidak mustahil menggunakan taktik kotor untuk mempengaruhi perwakilan dari atas rostrum pada ketika mereka menjadi perasmi persidangan.

Ini juga adalah kempen. Kempen tidak dibenarkan oleh Majlis Tertinggi. Tata Etika ahli perkara 5. SALAHLAKU ada menyebut, Ahli parti dilarang daripada melakukan perkara-perkara berikut :
5.1. Rasuah / Sokongan Politik
5.1.1. Menyalahgunakan apa jua kuasa secara langsung atau tidak langsung dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya dengan tujuan mendorong atau memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi mana-mana orang dalam mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.

Perkara 5.5.2. pula jelas menggariskan bahawa “bagi peringkat Bahagian, kecuali untuk majlis penerangan dan / atau kempen yang dianjurkan di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO Negeri masing-masing, ahli-ahli parti dilarang daripada berkempen bagi pihak dirinya dan / atau menjadikan dirinya sebagai ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi bagi mendorong seseorang ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak mana-mana calon untuk mana-mana peringkat pemilihan parti”.

Makanya, kalau ada Ketua Bahagian yang bersikap melanggar perkara 5 di atas, mungkin tindakan boleh diambil (itu pun kalau dilapor dan kata Jawatankuasa Disiplin Parti – “mesti ada bukti kukuh”).

Persoalannya lagi, bagaimana Ketua Bahagian yang akan mempertahankan jawatannya dan dalam masa yang sama mempunyai jawatan dalam Badan Perhubungan UMNO negeri. Kemudian mereka menggunakan peruntukan perkara 5.5.2 di atas (secara taklik atau berselindung untuk keselamatan mereka) untuk menghalalkan cara lantaran mereka berkuasa dalam UMNO Perhubungan. Mereka sudah pasti boleh sewenang-wenangnya menggunakan ‘nama’ Badan Perhubungan negeri.

Apakah tindakan boleh diambil atau dihalalkan saja oleh Majlis Tertinggi? Harap-harap tidak berlaku permainan kotor pada saat-saat akhir sedemikian.

Harap-harap juga, kalaulah ada berlaku unsur-unsur kempen saat akhir sebegini, maka hendaknya para perwakilan boleh ‘bertahan’ dari segi mental dan psikologinya untuk mengekalkan pendirian dan sama-samalah beringat mengingati antara satu sama lain agar tidak mudah terpengaruh dengan ‘cakap saat akhir’ sebegitu.

Rabu, Oktober 15, 2008

YANG TERLEPAS PANDANG?

Keratan akhbar Sinar Harian, Selasa 14 Oktober 2008, halaman T17 yang menyiarkan berita penderitaan keluarga ibu tunggal di Kampung Batu Tiong dalam DUN Rantau Abang, Dungun.

Dalam kesibukan Yang Berhormat ADUN Rantau Abang, Datuk Za’abar Mohd Adib, yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Dungun menjalankan tugas persiapan menjelang Persidangan UMNO Bahagian sekali gus bekerja untuk merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian serta selesa ke sana ke mari dengan mercedes baru menyambung hayat politiknya, ada rakyat dalam kawasannya yang terpaksa bergantung hidup dengan ‘sisa-sisa makanan jiran’.

Sama ada terlepas pandang atau kepentingan bukan keutamaan dalam kes-kes yang sebegini, ia tetap menjadi isu serius yang perlu diberi perhatian. Apa motifnya pula Ketua UMNO Bahagian merangkap Setiausaha Perhubungan negeri menjadi begitu sibuk dalam kes keluarga Sharlinie baru-baru lalu tetapi ‘susut kepala’ dalam kes keluarga ibu tunggal di Kampung Batu Tiong ini?

Kalau terlepas pandang, macam mana asyik terlepas pandang je YB? Tahun lalu dah ada kes orang susah dalam kawasan YB juga. Dapat liputan free dalam “Bersamamu TV3”. Ramai lagi ke orang-orang susah dalam kawasan YB? Ke YB tak tahu menahu pasal rakyat jelata nin. Mungkin si ibu tunggal Rokiah Ibrahim nin bukan perwakilan cawangan Batu Tiong kot? Tambahan pula cawangan Batu Tiong dah solid sokong Ketua Bahagian dan YB sendiri. Nampak Ketua Cawangan Batu Tiong pakai communicator baru.

Cuma yang peliknya, kes keluarga adik Sharlinie tak pula diterlepaspandangkan. Saya dah tulis YANG TERSEMBUNYI DI PADANG PULUT. Di dalamnya ada saya sebutkan, masih banyak orang susah dalam DUN Rantau Abang. Bukan keluarga adik Sharlinie sahaja, malah ramai lagi yang jauh lebih susah daripada mereka. YB boleh maklumkan kepada Menteri Besar kes-kes orang susah ni atau bawa MB ke rumah keluarga malang ini seperti YB bawa MB ke rumah keluarga Adik Sharlinie dulu. Baru masuk surat khabar dan TV bahawa YB prihatin, jaga rakyat.

Kalau nak bawa MB kena cepat YB, sebelum 25 Oktober nin. Sebab 25 Oktober tu kan Persidangan Bahagian Dungun. Sekurang-kurangnya ada advantage untuk YB nak menang jawatan Timbalan Ketua Bahagian tu. Jangan lupa ajak sekali Ketua Bahagian dan masa juru gambar nak ambil gambar tu, Ketua Bahagian kena duduk sebelah MB. Sebelah betul-betul.

Lepas keluar gambar dan cerita bersama MB tu, barulah YB Datuk Za’abar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu akan menjadi sepopular Shah Rukh Khan (SRK). Yalah, jaga kebudayaan dan kesenian negeri. SRK juga orang seni sebab tu dia dapat Datuk dari Melaka. YB pun dapat dari Melaka juga kan? Kira setaraf dengan SRKlah tu.

Selasa, Oktober 14, 2008

YANG BERBEZA : KEMPEN SMS

Macam-macam cara berkempen. Dan ini antara contoh kempen yang disebar melalui sms. Seperti biasa diturunkan isi kandungan sms sepenuhnya, cuma perkataan / ejaan “bahasa sms” (singkatan & simbol) diubah dan ditulis penuh :

Saudara/saudari para perwakilan yang saya kasihi, ini bukan masa untuk berbalah dan menonjolkan perbezaan, sebaliknya inilah masa untuk kita berpadu di bawah kepimpinan YB Dato’ Hj Din bin Adam, calon Ketua UMNO Bahagian Dungun yang kita kasihi. Beliau adalah pemimpin transformasi. Seorang pemimpin transformasi berkeupayaan mengubah masyarakat (ahli UMNO) di Bahagian Dungun kepada satu kedudukan yang lebih baik. Kepimpinan transformasi mempunyai tiga ciri. PERTAMA, beliau mampu mengenal pasti keperluan untuk berubah. KEDUA, beliau mampu mencipta wawasan dan KETIGA, beliau mampu menginstitusi perubahan. Oleh itu marilah kita pakat-pakat bui (beri) undi kepada YB Dato Hj Din b Adam. Tq drp : xxxxxxx (nama sebenar pengirim).

Mari kita bandingkan dengan SMS yang ini. Masih lagi dalam skop berkempen @ meminta sokongan :

Assalamualaikum para pengundi dalam Parlimen Dungun yang saya hormati. Ingat maruah saya yang telah diaibkan oleh Dato’ Seri Idris. Saya merayu untuk sama-sama menghukum beliau dengan tidak memberi undi kepada calon BN pilihannya. Terima kasih. (tanpa nama pengirim, tetapi boleh dikenali melalui nombor telefon pengirim).

Dua sms yang berbeza daripada orang yang berbeza berkaitan orang yang berbeza yang menjelaskan keperibadian yang berbeza serta menampilkan keikhlasan yang berbeza dalam dua situasi yang berbeza untuk permohonan yang berbeza.

Makanya pilihan anda perlulah berbeza.

Isnin, Oktober 13, 2008

YANG TAK TERCAPAI

Sewaktu bertemu dengan Dato’ Mukhriz Mahathir di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu, beliau ada menyebut, untuk mendapatkan pencalonan di Terengganu agak sukar kerana katanya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri, Mohd Sabri Alwi (Adik Mat) telah memberi kata putus bahawa Pemuda UMNO Terengganu berdiri teguh di belakang Khairy Jamaludin (KJ).

Dan itu jugalah yang dibuat pengakuan kepada media oleh Adik Mat. Tetapi yang berlaku agak mengejutkan. Pemuda Bahagian Besut telah memulakan episod tidak mematuhi saranan Ketua dan akibatnya hasrat Adik Mat untuk menjadikan satu-satunya negeri yang 'menyapu bersih' dan ‘solid’ mencalonkan KJ tidak tercapai.

Memang ramai sudah mengetahui yang Adik Mat merupakan penyokong kuat KJ, tetapi dalam situasi ‘melawan tokey’ yang telah dimulai oleh Pemuda Besut itu, apakah Adik Mat mampu membendung gelombang “aura Mukhriz” dan seterusnya membuktikan pengaruh Adik Mat dalam Pemuda Terengganu masih relevan?

Mungkin Adik Mat tidak sempat memberi tumpuan kepada Pemuda lagi, kerana sibuk mempersiapkan diri merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian Kuala Terengganu. Jadinya, berapa Bahagian yang mampu diraih KJ masih belum pasti.

Secara kasar dan dari cakap-cakap Pemuda di lapan Bahagian dalam Terengganu, KJ mungkin memperolehi pencalonan tidak lebih daripada 3 Bahagian, itu pun kalau dapat. Kuala Terengganu (Adik Mat Ketua Pemudanya) mungkin tidak menjadi masalah besar untuk KJ. Demikian juga dari Kuala Nerus (Amiruddin, PSU Pemuda Negeri / Ketua Pemuda Bahagian K.Nerus) dan Setiu (YB Khazan - Ketua Pemuda Bahagian / Naib Ketua Pemuda Negeri) peluang untuk KJ agak baik.

Besut sudah menjadi milik Mukhriz. Empat Bahagian yang lain masih terbuka. Marang, Hulu Terengganu, Kemaman dan Dungun kemungkinan 3 daripadanya akan menjadi milik Mukhriz dan satu untuk DS Khir Toyo. Bermakna di Terengganu – Mukhriz (4), KJ (3) dan Khir Toyo (1).

Kalau benar terjadinya begitu, Adik Mat lah orang yang paling susah hati. Hasrat dan keinginannya untuk membalas budi dan jasa KJ tidak tercapai. KJ akan kecewa, Adik Mat lagi kecewa. Mahu tidak mahu, Adik Mat kena kendurkan kekecewaannya dengan memastikan beliau menang Timbalan Ketua Bahagian Kuala Terengganu.

Itulah sukarnya membalas budi yang sudah terlebih makan.

Ahad, Oktober 12, 2008

YANG TIDAK BENAR

Kenyataan Dato’ (Dr) Rosli Mat Hassan (Pok Li), Ketua UMNO Bahagian Dungun berhubung dengan kes pemecatan Ustaz Ahmad Kamal Abdullah, bekas ADUN Sura ternyata diputarbelitkan untuk mengaburi mata orang banyak.

Yang sebenarnya Pengerusi Penyelaras DUN Sura pada zaman Ustaz Kamal jadi ADUN di DUN berkenaan ialah Pok Li sendiri dan Cikgu Badi (Zulkifli Harun) adalah Timbalan Pengerusi Penyelaras. Ustaz Kamal hanyalah Naib Pengerusi Penyelaras DUN. Jawatan itu dipegang oleh Pok Li sehinggalah selepas Pilihanraya Umum ke-12 Mac lalu.

Apakah Pok Li sengaja nak menjadikan Ustaz Kamal sebagai kambing hitam dan secara tidak langsung berusaha untuk menyelamatkan dirinya daripada dipersalahkan lantaran kekalahan UMNO/BN di DUN Sura pada PRU ke-12 lalu?

Berita pemecatan Ustaz Kamal dan Haji Abdul Samad Mamat sebagai AJK UMNO Bahagian Dungun diterbitkan dalam akhbar Watan (7 – 13 September – gambar atas) dan disiarkan semula dalam blog ini di bawah tajuk YANG TELAH DIPECAT (10 September 2008).

Kenyatan balas Pok Li diterbitkan dalam Watan (12 -18 Oktober) dan diterbitkan semula dalam laman blog Editor Watan (baca di sini).

Bagaimanapun alasan pemecatan Haji Abdul Samad Mamat tidak pula dinyatakan sebab musababnya dan langsung tidak disebut dalam kenyataan itu. Nampak sangat Pok Li nak bermain politik dengan berselindung di sebalik tindakannya itu. Apa salahnya kalau Pok Li mengaku bahawa tindakannya itu adalah di bawah bidang kuasanya sebagai Ketua Bahagian dan beliau berhak untuk melantik atau memecat sesiapa sahaja yang dia suka.

YANG BANTAH DAN YANG BERKEPENTINGAN

Mari kita sama-sama fikirkan perihal yang terjadi baru-baru ini. Berlaku dalam UMNO Bahagian Dungun. Ada bantahan persidangan tidak sah. Ketua Bahagian dan Setiausaha Bahagian yang mengendalikan kes ini berkata, ahli yang memprotes dan buat bantahan persidangan cawangannya tidak sah adalah kerana ahli yang membantah itu tidak dapat jadi perwakilan.

Nampaknya dua orang kuat Bahagian nin suka kepada perjalanan dan pengendalian cawangan UMNO yang tidak betul. Dan ada kes yang sahih mengatakan bahawa Ketua Bahagian sendiri yang menghadiri persidangan cawangan pernah mengambil mudah beberapa hal yang jelas melanggar peraturan dan perjalanan persidangan. Kata ahli yang melaporkan, dia ada bukti hidup dan bukti audio.

Cuba kita fikirkan sejenak apa sebenarnya yang membuatkan ahli cawangan Gong Pasir membantah. Apakah kerana ahli berkenaan tidak dapat jadi perwakilan. Kalau nak diikutkan, persidangan semula pun tidak sah kerana melanggar peraturan persidangan. (Saya dah tulis dalam YANG TERLAMPAU : KEBODOHAN, KESOMBONGAN DAN KEBODOHSOMBONGAN pada 15 September lalu) Tapi kenapa UMNO Bahagian pejam mata?

Marilah kita fikirkan. Siapa yang nak melihat UMNO berjalan dengan sempurna dan siapa yang nak tengok UMNO hanya wajar dikuasai oleh mereka sahaja. Siapa pula yang berkepentingan, adakah seorang PERWAKILAN atau seorang KETUA BAHAGIAN?

Di bawah ini diperturunkan sepenuhnya surat bantahan berkenaan (kecuali maklumat peribadi yang tidak didedahkan) :

```````````````````````````````````````````
Kampung Gong Pasir
23000 DUNGUN

Nombor Telefon : 019-9xxxxxx
Nombor Ahli UMNO : xxxxxx
Tarikh : 10 Ogos 2008

Yang Berhormat
Setiausaha UMNO Bahagian
DUNGUN


YB Datuk

BANTAHAN PERSIDANGAN CAWANGAN UMNO KAMPUNG GONG PASIR, DUNGUN

Dengan hormatnya merujuk kepada perkara tersebut di atas.

2. Sukacita dimaklumkan bahawa Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Kg Gong Pasir, Dungun tahun 2008 telah diadakan pada 8 Ogos 2008 bertempat di Bangunan Serbaguna Kg Gong Pasir, Dungun.

3. Notis persidangan kepada ahli telah disediakan oleh Setiausaha Cawangan melalui surat bilangan UMNO CWG GPA.1/3 (24) bertarikh 01 Ogos 2008 yang merujuk kepada Fasal 15.13.6 Perlembagaan UMNO dan perkara 6.4 Peraturan Persidangan, antaranya mengandungi butiran tarikh, masa dan tempat persidangan dan seterusnya menjemput ahli-ahli hadir bagi menunaikan tanggungjawab sebagai ahli cawangan.

4. Sebagai ahli cawangan Kg Gong Pasir saya berkesempatan hadir untuk menunaikan tanggungjawab sebagai ahli cawangan pada persidangan berkenaan. Bagaimanapun mengikut pengamatan saya, persidangan yang telah dijalankan pada hari berkenaan tidak menepati kehendak peraturan persidangan dalam beberapa perkara, tidak sah dan boleh dipertikaikan. Antara beberapa perkara yang berlaku dan dilihat becanggah dan tidak menepati kehendak persidangan, seperti berikut :-

4.1. TIDAK CUKUP BILANG (KORUM)

Ahli yang berhak hadir / berfaedah (membayar yuran) mengikut senarai yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Agung, Ibu Pejabat UMNO Malaysia melebihi 380 orang dan cukup bilang (korum) hendaklah minima seramai 96 orang. Bagaimanapun, sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Cawangan dan kemudian diumumkan semula oleh Pengerusi Tetap Persidangan, jumlah ahli yang hadir ialah seramai 70 orang, sedangkan yang menandatangani kehadiran pula ialah seramai 67 orang. Baik Ketua Cawangan, mahu pun Pengerusi Tetap Persidangan atau pun Wakil Bahagian, mereka tidak pun menjelaskan / memaklumkan kepada ahli tentang kekurangan korum ini atau ada “alasan-alasan mustahak” (important reasons) yang membolehkan persidangan diteruskan. Malahan Ketua Cawangan dengan penuh yakin memaklumkan kepada ahli bahawa “kehadiran ahli kita ialah seramai 70 orang dan mencukupi korum untuk menjalankan mesyuarat”.

Demikian juga halnya dengan Pengerusi Tetap Persidangan yang hanya memaklumkan bahawa “jumlah ahli yang hadir ialah seramai 70 orang” semasa pada Perkara 4 (ii) (Pengumuman Pengerusi Tetap Mengenai Jumlah Ahli Cawangan Yang Hadir ke Persidangan), tanpa menyebut korum cukup atau tidak cukup, perbincangan mengenai adanya “alasan-alasan mustahak”, atau telah ada perbincangan dengan Ketua Cawangan, atau apa-apa keputusan yang telah beliau (Pengerusi Tetap) ambil bagi meneruskan persidangan.

Perkara ini dilihat bercanggah dengan perkara 11 Peraturan Persidangan berikut :

11. QUORUM

The quorum for General Assembly Meeting, Divisional Delegation and Branch Meeting is a quarter (1/4) of the amount of delegates or members entitled to be present.

In the event the quorum is insufficient after half an hour long from the determined time, thus, the Chairman shall postpone the Meeting to another time, but, if there are important reasons, the Chairman can proceed to exercise the Meeting after consulting the President/Head of Division/Head of Branch and the decision made by the Chairman is final.

4.2. RASUAH POLITIK - PENGAKUAN KETUA CAWANGAN

Sebelum persidangan dimulakan (semasa menunggu ahli-ahli datang dan mendaftar), Ketua Cawangan telah berbincang dengan beberapa orang Jawatankuasa Cawangan di luar dewan. Antara yang disebut ialah “saya telah menerima ARAHAN daripada Yang Berhormat kita agar mencalonkan Ketua Bahagian dan orang-orang tertentu untuk pencalonan jawatan Bahagian”. Jelas, memandangkan Ketua Cawangan adalah Pengerusi JKKK, Iman Nikah dan beberapa jawatan lain yang dipegang dalam kerajaan, beliau takut kehilangan jawatan-jawatan berkenaan apabila contohnya, beliau tidak memainkan peranan atau berhasrat untuk mencalonkan orang lain selain daripada sebagaimana yang diarahkan oleh Yang Berhormat ADUN. Yang Berhormat ADUN yang juga selaku Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha UMNO Bahagian telah dengan sengaja seolah-olah ‘mengugut’ serta secara terang menyalahgunakan kuasa yang ada padanya untuk kepentingan politik (bukan berkaitan dengan kerajaan) dan Ketua Cawangan, mahu tidak mahu boleh diistilahkan sebagai “telah diugut” dan terpaksa mengakuri arahan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat ADUN Kawasan sekiranya tidak mahu jawatan yang dipegangnya sekarang tergugat.

Selain itu, saya juga cukup yakin dan percaya, telah berlaku sogokan kepada Ketua Cawangan dan beberapa individu cawangan yang lain, memandangkan telah ada pertemuan sulit antara Yang Berhormat Kawasan dan beberapa Ketua Cawangan dalam DUN Rantau Abang bertempat di rumah Yang Berhormat ADUN (dengan dihadiri sama oleh Ketua UMNO Bahagian yang juga merupakan calon yang akan mempertahankan jawatan) pada malam sebelum persidangan berlangsung keesokan harinya. Sebelum itu pun, telah ada beberapa ejen yang telah mengadakan pertemuan dan gerakan sulit dengan Ketua UMNO Cawangan dan beberapa AJK Cawangan. Dalam hal ini, tidak dinafikan Ketua Cawangan Kg Gong Pasir juga menerima habuan bagi menghalalkan pencalonan di peringkat Persidangan Cawangan.

Untuk makluman, pre-council persidangan Cawangan Kg Gong Pasir yang telah dibuat sebelum persidangan 8 Ogos, selain membincangkan persiapan persidangan cawangan, AJK Cawangan yang hadir juga telah secara sepakat mencadangkan pencalonan Ketua Bahagian dan jawatan-jawatan penting di peringkat Bahagian. Agak menghairankan keputusan yang dibuat oleh Ketua Cawangan yang sama sekali bercanggah dengan persetujuan Jawatankuasa pada pre-council sebelumnya dan dibuat di saat-saat akhir beberapa minit sebelum persidangan cawangan dimulakan itu, telah menimbulkan syak wasangka yang besar bahawa telah berlaku rasuah politik yang membabitkan Ketua Cawangan Kg Gong Pasir.

Hal ini jelas melanggar Tata Etika Ahli UMNO antaranya sebagaimana berikut :

PERKARA 4 : PENGARUH TIDAK WAJAR

Ahli parti adalah dilarang pada setiap masa secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui pihak lain bagi dirinya melakukan, menggunakan manipulasi atau tipuhelah bagi menghalang, memaksa, mengancam, mendorong, menggangu atau mendesak seseorang Ahli UMNO yang lain melakukan sesuatu atau tidak menjalankan tugasnya atau menghalang perlaksanaan haknya di dalam parti dengan bebas atau menafikan hak seseorang Ahli.

CONTOH
(a) Jika seseorang Ahli tidak mengundi mana-mana pihak tertentu, tiada bantuan akan diberikan kepada beliau ;
(b) Jika seseorang Ahli enggan mengundi mana-mana pihak tertentu, beliau tidak akan dilantik kepada mana-mana jawatan.

PERKARA 5 : SALAHLAKU

Ahli parti dilarang daripada melakukan perkara-perkara berikut:-
5.1. Rasuah / Sokongan Politik
5.1.1. Menyalahgunakan apa jua kuasa secara langsung atau tidak langsung dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya dengan tujuan mendorong atau memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi mana-mana orang dalam mana-mana Pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.

5.1.2. Memberi, meminjam, meminta atau bersetuju untuk memberi atau meminjam atau meminta, atau berjanji akan mendapatkan atau akan berusaha untuk mendapatkan atau akan berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai untuk seseorang Ahli atau untuk seseorang yang lain, dengan tujuan mendorong seseorang ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pemilihan parti bagi pihak sendiri atau bagi pihak lain.

4.3. PENYALAHGUNAAN KUASA OLEH KETUA CAWANGAN

Ketua Cawangan sama ada secara sedar atau sebaliknya telah menyalahgunakan kuasa yang ada padanya. Contoh yang jelas, apabila masuk sahaja kepada Perkara 10 (Memilih Pencalonan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian), Ketua Cawangan tanpa memperdulikan Pengerusi Tetap dan tanpa memberi peluang kepada ahli-ahli lain untuk bersuara, terus berdiri tanpa duduk dan mencalonkan semua jawatan penting di peringkat Bahagian secara terus/marathon. Penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Cawangan ini dilihat dengan sengaja melanggar tata etika ahli UMNO dengan perbuatannya termasuk seperti yang dimaksudkan dalam perkara 4.1 dan 4.2 di atas. Hal ini dapat dirujuk kepada Tata Etika Ahli UMNO berikut :

PERKARA 8 : TINGKAHLAKU SEWAKTU MENJAWAT JAWATAN DALAM PARTI

8.1 Tingkahlaku Sewaktu Menjalankan Pentadbiran Parti

8.1 .1 Ahli-ahli parti yang memegang sebarang jawatan dalam parti adalah dilarang sama sekali daripada menyalahgunakan apa jua kuasa atau apa-apa yang bersamaan dengannya yang ada pada mereka bagi tujuan persendirian di dalam menjalankan pentadbiran parti dan hendaklah sentiasa menjalankan dasar-dasar parti.

8.2 Tingkahlaku Sewaktu Menialankan Mesvuarat Parti

8.2.1 Ahli-ahli parti yang diberikan kuasa menjalankan mesyuarat di perhimpunan tahunan Cawangan, Bahagian atau Majlis Tertinggi adalah dilarang daripada menyalahgunakan apa jua kuasa atau apa-apa yang bersamaan dengannya yang ada pada mereka dengan tujuan bagi manfaat pihak sendiri atau bagi pihak lain dan hendaklah sentiasa menjalankan dasar-dasar parti dan mengikut perintah-perintah parti. (CONTOH termasuk “menjalankan mesyuarat tidak cukup korum”).

4.4. CAMPUR TANGAN WAKIL UMNO BAHAGIAN

Secara sedar atau sebaliknya, wakil UMNO Bahagian dengan sengaja bangun menjadi pembilang undi serta turut sama mempengaruhi Pengerusi Persidangan sepanjang persidangan berjalan (lantaran beliau duduk di sebelah Pengerusi Persidangan). Hal ini bertentangan dengan peranan dan tugas wakil Bahagian ke Persidangan Cawangan berikut :

13. OBSERVERS TO DIVISIONAL DELEGATION MEETINGS AND BRANCH MEETINGS

Communication Body shall appoint delegates, who will observe the Divisional Delegation meeting and make report regarding such meeting.

Division shall appoint delegates to Branch Meeting and make report regarding such meeting. These Delegates comprises of Divisional Committee Members or if it is insufficient, they can appoint members of Committee of Youth/Women Division or any other persons approved by Divisional Committee.

Delegates appointed are not entitle to conduct the meeting or disturb the affairs but could give opinions or advice if asked by Chairman of the Meeting.

4.5. AHLI CAWANGAN TIDAK MENERIMA NOTIS PERSIDANGAN


Sebahagian ahli tidak menerima notis / surat jemputan Persidangan pada 8 Ogos 2008. Hal inilah yang menyebabkan korum tidak mencukupi pada hari persidangan cawangan dilangsungkan.

5. Sehubungan itu, saya merasakan persidangan UMNO Cawangan Kg Gong Pasir yang telah dijalankan pada tarikh 8 Ogos 2008 berkenaan sebagai tidak mematuhi peraturan persidangan dan tidak sah. Justeru selaku ahli cawangan ini, saya dengan rasminya membuat bantahan dan memohon UMNO Bahagian Dungun memutuskan tindakan yang sewajarnya kepada cawangan ini, termasuk kemungkinan mengadakan semula persidangan di cawangan.

6. Mohon pertimbangan dan tindakan seadilnya daripada pihak UMNO Bahagian.

Sekian, terima kasih.

Saya yang benar


( )
Nombor ahli :

s.k. - Setiausaha Agung UMNO Malaysia
- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu
- Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu

Jumaat, Oktober 10, 2008

YANG BERJANJI DAN YANG TERMAKAN JANJI

(Kiri) Ku Tera : Tengok nin, Dato' Rosol pun dah setuju, kes lawan tokey punya pasal, DUN Ajil nak ganti dengan orang lain pulak. (Kanan) Dalam ramai-ramai berarak tu, ada nampak Ustaz Zali dan Cikgu Nasir tak?

Baru-baru ini (8 Oktober 2008) saya tulis YANG DIGULA-GULAKAN : ZALI MAMAT CALON AJIL? Dalam tu saya menasihati teman saya Ustaz Zali Mamat agar memikirkan dan membuat penilaian serta perkiraan terbaik daripada janji yang telah dibuat oleh Ku Tera untuk meletakkan beliau (Zali) bertanding kerusi DUN Ajil menggantikan Dato’ Rosol Wahid.

Terbaru dapat pula cerita bahawa Ku Tera bukan sahaja menjanjikan kepada Zali Mamat tetapi juga kepada seorang lagi teman saya Cikgu Nasir insuran. Bermakna dalam masa yang sama dua calon dijanjikan untuk satu kerusi DUN. Itulah janji Ku Tera. Makanya Zali dan Nasir pun dengan sekoyong-koyong berkerjalah dengan sepenuh hatinya bagi memastikan Ku Tera kekal Ketua Bahagian.

Janji nin sebenarnya talian hayat pertama (talian hayat kedua dah saya ceritakan dalam YANG BERKEDUDUKAN CEMAS). Talian hayat pertama nin digunakan serentak. Satu talian hayat diguna untuk beberapa tindakan. Dengan talian hayat ini juga, terdahulu Ku Tera pecat orang-orang tidak setia dalam UMNO Bahagian. Termasuk bekas Setiausaha Bahagian, Baharudin – yang satu ketika menjadi orang paling taat kepada Ku Tera dan orang yang pernah dijanjikan macam-macam termasuk untuk jadi calon Kuala Berang.

Hari ini Ku Tera berjanji lagi. Yang menjadi mangsa (kalau boleh dikatakan ‘mangsa’, kalau tak Alhamdulillah) sahabat saya Zali dan Nasir. Kedua-duanya orang baik, betul lurus dan ‘berjurus’, kata orang Terengganu. Kesian mereka, Cuma nanti jangan tergolong di kalangan orang-orang yang sepak kertas sudahlah, sayang dengan potensi mereka.

Cuma yang saya musykilkan sikit (sikit saja – sepatutnya tak ada apa-apa pun sebab dalam politik macam-macam boleh janji – janji orang politik – Insya-Allah tu Insya-Allah politik), macam mana dua teman baik saya nin boleh termakan janji daripada Ku Tera? Kesihan kepada mereka. Ustaz dan Cikgu jugalah yang jadi mangsa.

Sebenarnya sebab itu disebut talian hayat. Sekadar untuk memanjangkan hayat politik bos mereka berdua. Nampaknya antara Zali dan Nasir kena kerja keras dan tunjukkan kelebihan dan kemampuan mereka. Biar Ku Tera nampak, siapa lebih layak dan paling sesuai. Kalau tidak nanti bimbang ada calon lain pula yang dijanjikan tempat tu. Melopong je ler. Tapi janganlah bila Ustaz Zali dan Cikgu Nasir baca cerita nin, mereka berdua berbalah sesama sendiri pula.

Sabar Zali. Tenang Nasir. Insya-Allah teman berdua bukan sebarangan orang yang boleh termakan janji. Lagi pun, kita kena ambil positif janji Ku Tera tu. Mungkin betul dan seperti yang saya kata kalau ada rezeki, akan merasa juga jadi calon dan bergelar YB. Insya-Allah.

Adegan yang ingin kita lihat : kedua-dua jadi bakal calon.
Adegan yang tak ingin kita lihat : kedua-dua jadi ‘bangkai’ calon.
Related Posts with Thumbnails