yang semasa

Jumaat, Oktober 17, 2008

YANG MENJADIKAN ROSTRUM SEBAGAI STRATEGI TERAKHIR

Contoh : Ketua-ketua Bahagian di Terengganu yang akan mempertahankan jawatan dan mempunyai jawatan dalam UMNO Perhubungan Negeri. (Dari kiri) YBM Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu/Timbalan Pengerusi Perhubungan), YBhg Dato' (Dr) Rosli Mat Hassan (Dungun/Setiausaha Perhubungan), YB Senator Dato' Rahman Bakar (Marang/AJK Perhubungan), YB Dato' Mohd Nasir Ibrahim (Kuala Nerus/AJK Perhubungan) dan YB Datuk Mohd Jidin Shafie (Setiu/AJK Perhubungan)

Untungnya Ketua-ketua Bahagian sedia ada di seluruh negara apabila Majlis Tertinggi UMNO menetapkan hanya Ketua Bahagian sahaja yang berhak untuk merasmikan Persidangan Bahagian masing-masing.

Ketua Bahagian yang dicabar, paling tidak akan menggunakan rostrum perasmian sebagai strategi terakhir mereka untuk berkempen. Bagaimana caranya Ketua Bahagian berkempen dan menggunakan sebaiknya platform berkenaan, itu tidak penting. Yang penting, sekurang-kurangnya kempen saat akhir ini akan juga didengar oleh para perwakilan yang akan mengundi calon-calon pilihan mereka.

Majlis Tertinggi mungkin memutuskan begitu semata-mata untuk mengelakkan berlaku kempen mengempen calon-calon tertentu yang menawarkan diri mereka bertanding pelbagai jawatan di peringkat pusat, tetapi terlupa bahawa kesan sampingan yang bakal dihadapi oleh calon bukan Ketua Bahagian yang sedia mencabar di Bahagian-bahagian.

Kalau Ketua Bahagian sedia ada reti bahasa dan faham peraturan dan tata etika persidangan, mungkin tidak berlaku sesuatu yang boleh menjejaskan pertandingan. Tetapi apakah semua Ketua Bahagian bersifat begitu? Jangan lupa, ada Ketua Bahagian yang pandai bercakap, pantang jumpa ‘copong’ dan takut kehilangan jawatan. Mereka ini tidak mustahil menggunakan taktik kotor untuk mempengaruhi perwakilan dari atas rostrum pada ketika mereka menjadi perasmi persidangan.

Ini juga adalah kempen. Kempen tidak dibenarkan oleh Majlis Tertinggi. Tata Etika ahli perkara 5. SALAHLAKU ada menyebut, Ahli parti dilarang daripada melakukan perkara-perkara berikut :
5.1. Rasuah / Sokongan Politik
5.1.1. Menyalahgunakan apa jua kuasa secara langsung atau tidak langsung dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya dengan tujuan mendorong atau memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi mana-mana orang dalam mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.

Perkara 5.5.2. pula jelas menggariskan bahawa “bagi peringkat Bahagian, kecuali untuk majlis penerangan dan / atau kempen yang dianjurkan di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO Negeri masing-masing, ahli-ahli parti dilarang daripada berkempen bagi pihak dirinya dan / atau menjadikan dirinya sebagai ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi bagi mendorong seseorang ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak mana-mana calon untuk mana-mana peringkat pemilihan parti”.

Makanya, kalau ada Ketua Bahagian yang bersikap melanggar perkara 5 di atas, mungkin tindakan boleh diambil (itu pun kalau dilapor dan kata Jawatankuasa Disiplin Parti – “mesti ada bukti kukuh”).

Persoalannya lagi, bagaimana Ketua Bahagian yang akan mempertahankan jawatannya dan dalam masa yang sama mempunyai jawatan dalam Badan Perhubungan UMNO negeri. Kemudian mereka menggunakan peruntukan perkara 5.5.2 di atas (secara taklik atau berselindung untuk keselamatan mereka) untuk menghalalkan cara lantaran mereka berkuasa dalam UMNO Perhubungan. Mereka sudah pasti boleh sewenang-wenangnya menggunakan ‘nama’ Badan Perhubungan negeri.

Apakah tindakan boleh diambil atau dihalalkan saja oleh Majlis Tertinggi? Harap-harap tidak berlaku permainan kotor pada saat-saat akhir sedemikian.

Harap-harap juga, kalaulah ada berlaku unsur-unsur kempen saat akhir sebegini, maka hendaknya para perwakilan boleh ‘bertahan’ dari segi mental dan psikologinya untuk mengekalkan pendirian dan sama-samalah beringat mengingati antara satu sama lain agar tidak mudah terpengaruh dengan ‘cakap saat akhir’ sebegitu.
Related Posts with Thumbnails