yang semasa

Khamis, Oktober 09, 2008

YANG BETUL : IDRIS JUSOH

UMNO Bahagian Besut Terengganu membuat keputusan yang tepat dengan mengumumkan awal-awal untuk mencalonkan Datuk Seri Najib sebagai Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden. Dato’ Seri Idris Jusoh selaku Ketua Bahagian boleh menarik nafas lega. Tanggapan awal beberapa teman bahawa Idris lawan tauke atau Idris kecewa dan balas dendam atau Idris menderhaka kepada Pak Lah meleset sama sekali. Nampaknya Idrislah yang cekap berpolitik.

Kenapa Idris mengumumkan Najib di kala Pak Lah masih belum mengumumkan keputusan sama ada tidak mempertahankan jawatan Presiden atau meneruskan. Kenapa juga Idris mengumumkan Najib sebagai pilihan dan bukannya Ku Li yang telah awal-awal mengumumkan untuk merebut jawatan nombor satu itu. Kenapa juga Idris mengumumkan Najib walaupun Najib sendiri berkali-kali menasihati akar umbi agar beliau tidak dicalonkan ke jawatan itu (Presiden).

Itulah kelicikan politik Idris berbanding Ketua-ketua Bahagian yang lain, khususnya Ketua Bahagian di Terengganu, termasuk Bahagian yang diterajui oleh Menteri Besar (Kemaman) sendiri. Idris seolah-olah sudah dapat menghidu isyarat bahawa Najib akan berada di hadapan saf UMNO selepas Pak Lah, bukannya Ku Li, sedang beberapa Bahagian lain sedang berkira-kira untuk menentukan calon Presiden yang boleh menyelamatkan mereka.

Khabarnya ada Bahagian yang telah mengadakan mesyuarat dan berhasrat menentukan siapa yang akan dicalonkan sebagai Presiden, Timbalan dan Naib-naib, gagal mencapai kata sepakat, sehinggalah akhirnya memutuskan untuk menyerahkan pencalonan kepada perwakilan. Ketua Bahagian sendiri sudah pandai main silap mata dan bermain selamat.

Tapi Idris sudah nekad. Dan dalam hal ini, Idris dianggap pemimpin yang benar-benar bermain politik. Idris mendahului orang lain. Termasuk dalam diari kelasnya Idris ialah di Bahagian Besut sahajalah sehingga hari ini yang menyaksikan jawatan utama Bahagian (Ketua, Timbalan dan Naib) tidak ditandingi.

Kata orang, politik Idris tidak mati walaupun beliau gagal meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar kerana Idris bukan kaki ampu atau ketua pasukan pemain selamat. Cuma yang sama-sama hendak dinantikan ialah di mana Idris pada zaman Najib nanti tatkala masih ramai orang yang bermain selamat dan bermuka-muka sedang berusaha meneruskan agenda menghancurkan pengaruh dan politik Idris dan dalam masa yang sama menjolok Najib.
Related Posts with Thumbnails