yang semasa

Selasa, Oktober 07, 2008

YANG KALAH TANPA BERTANDING

Ayam Ku Tera : guane mung, dok usaoh menegong ler, dok rok cetoung. cap ayam mung !!

Ayam Cikgu Mat Nong : nganjing teh, aku lepeok sutir kang..




Dengan keputusan 13 berbalas 10, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Berang, Yang Berhormat Zawawi Ismail dinafikan peluang untuk bertanding merebut jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu pada pemilihan bahagian yang dijangka akan disempurnakan pada 25 Oktober ini.

Zawawi yang mendapat pencalonan lebih banyak untuk merebut jawatan berkenaan dijangka akan berhadapan dengan Pengerusi Penyelaras DUN Manir yang juga bekas Ketua Pemuda Bahagian, Yusof Awang Hitam.

YB Zawawi (baju melayu biru di tengah) diarak oleh pemimpin UMNO dalam gelanggang Pilihanraya Kecil DUN Kuala Berang 2004. Hari ini dia disorak kerana kalah sabung di luar gelanggang. Itulah permainan dalam politik.

Ketua Penerangan Bahagian Hulu Terengganu itu ditolak pengesahan pertandingannya apabila membuat pengesahan lewat 50 minit daripada masa yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Pemilihan UMNO Bahagian Hulu Terengganu. Zawawi mengemukakan pengesahan pencalonannya pada pukul 12.50 tengah hari. Masa tutup semua pengesahan pertandingan ditetapkan pada pukul 12.00 tengah hari.

Zawawi terdahulu dikatakan telahpun menyatakan persetujuan untuk merebut jawatan Naib Ketua dengan memberi pengesahan secara lisan dan SMS kepada Setiausaha UMNO Bahagian tetapi tidak diambilkira sebagai sah kerana calon disyaratkan membuat pengesahan bertulis (mengisi borang) yang telah disediakan oleh Bahagian.

Setelah berlaku bantahan dan rasa tidak puas hati atas keputusan berkenaan, satu mesyuarat Khas Jawatankasa UMNO Bahagian dipanggil untuk membincangkan perkara berkenaan. Setelah pengundian dijalankan, sama ada menerima pengesahan bertanding Zawawi atau sebaliknya, Jawatankuasa UMNO Bahagian yang hadir menolak dengan 13 undi. Hanya 10 undi menyokong, walaupun AJK Bahagian terdahulu telah dimaklumkan berhubung dengan Fasal 6.3.4 Perlembagaan UMNO dan Peraturan 28.13, yang menyatakan “hak seseorang untuk dicalonkan tidak boleh dinafikan. Jika seseorang itu tidak bersetuju dirinya dicalonkan bagi sesuatu jawatan, ia tidak boleh dipaksa menerima pencalonan”.

Keputusan itu secara tidak langsung memperlihatkan kem Ketua Bahagian sedia ada yang dipimpin oleh Tengku Putera telah menang 1-0 mengalahkan kem Cikgu Mat Nong (calon yang akan menentang Tengku Putera) dan Yusof Awang Hitam akan diisytiharkan sebagai Naib Ketua Bahagian yang baru.

Zawawi adalah calon Naib Ketua daripada kem Cikgu Mat Nong yang membariskan Cikgu Mat Nong (Ketua), YB Dato’ Rosol (Timbalan) dan YB Zawawi (Naib). Manakala dari kem Tengku Putera pula membariskan Tengku Putera (Ketua), YB Rozi (Timbalan) dan Yusof Awang Hitam (Naib). Zawawi sudah kalah tanpa bertanding. Kem Cikgu Mat Nong berkedudukan ketinggalan 0-1. Ayam sabung Cikgu Mat Nong dah tersungkur sebelum berlaga.

Demikianlah adanya adat bertanding. Ada yang menang tanpa bertanding dan tidak kurang pula yang kalah tanpa bertanding. Dalam keadaan genting, budi bicara dan perundingan tidak lagi menjadi alternatif penyelesaian. Yang pasti, sementara berkuasa, gunalah apa saja peluang dan cara dan taktik dan teknik yang ada untuk menang. Permainan politik. Dah nak jadi orang politik, terima sajalah hakikatnya bang...

Related Posts with Thumbnails