yang semasa

Isnin, Oktober 13, 2008

YANG TAK TERCAPAI

Sewaktu bertemu dengan Dato’ Mukhriz Mahathir di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu, beliau ada menyebut, untuk mendapatkan pencalonan di Terengganu agak sukar kerana katanya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri, Mohd Sabri Alwi (Adik Mat) telah memberi kata putus bahawa Pemuda UMNO Terengganu berdiri teguh di belakang Khairy Jamaludin (KJ).

Dan itu jugalah yang dibuat pengakuan kepada media oleh Adik Mat. Tetapi yang berlaku agak mengejutkan. Pemuda Bahagian Besut telah memulakan episod tidak mematuhi saranan Ketua dan akibatnya hasrat Adik Mat untuk menjadikan satu-satunya negeri yang 'menyapu bersih' dan ‘solid’ mencalonkan KJ tidak tercapai.

Memang ramai sudah mengetahui yang Adik Mat merupakan penyokong kuat KJ, tetapi dalam situasi ‘melawan tokey’ yang telah dimulai oleh Pemuda Besut itu, apakah Adik Mat mampu membendung gelombang “aura Mukhriz” dan seterusnya membuktikan pengaruh Adik Mat dalam Pemuda Terengganu masih relevan?

Mungkin Adik Mat tidak sempat memberi tumpuan kepada Pemuda lagi, kerana sibuk mempersiapkan diri merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian Kuala Terengganu. Jadinya, berapa Bahagian yang mampu diraih KJ masih belum pasti.

Secara kasar dan dari cakap-cakap Pemuda di lapan Bahagian dalam Terengganu, KJ mungkin memperolehi pencalonan tidak lebih daripada 3 Bahagian, itu pun kalau dapat. Kuala Terengganu (Adik Mat Ketua Pemudanya) mungkin tidak menjadi masalah besar untuk KJ. Demikian juga dari Kuala Nerus (Amiruddin, PSU Pemuda Negeri / Ketua Pemuda Bahagian K.Nerus) dan Setiu (YB Khazan - Ketua Pemuda Bahagian / Naib Ketua Pemuda Negeri) peluang untuk KJ agak baik.

Besut sudah menjadi milik Mukhriz. Empat Bahagian yang lain masih terbuka. Marang, Hulu Terengganu, Kemaman dan Dungun kemungkinan 3 daripadanya akan menjadi milik Mukhriz dan satu untuk DS Khir Toyo. Bermakna di Terengganu – Mukhriz (4), KJ (3) dan Khir Toyo (1).

Kalau benar terjadinya begitu, Adik Mat lah orang yang paling susah hati. Hasrat dan keinginannya untuk membalas budi dan jasa KJ tidak tercapai. KJ akan kecewa, Adik Mat lagi kecewa. Mahu tidak mahu, Adik Mat kena kendurkan kekecewaannya dengan memastikan beliau menang Timbalan Ketua Bahagian Kuala Terengganu.

Itulah sukarnya membalas budi yang sudah terlebih makan.
Related Posts with Thumbnails