yang semasa

Jumaat, Oktober 24, 2008

YANG BAKAL MENARIK DIRI

Masih berkisar di sekitar pemilihan Ketua Bahagian UMNO di Terengganu. Kali ini kita silau sedikit perkembangan di UMNO Bahagian Kuala Nerus. Bahagian Kuala Nerus merupakan bahagian di Terengganu yang paling akhir akan bersidang, iaitu pada 8 November nanti.

Sehingga kini, perjalanan pertembungan di Bahagian Kuala Nerus masih melibatkan tiga penjuru. Datuk Nasir Ibrahim, Ketua Bahagian merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus akan ditentang oleh Che Azmi A. Rahman, Timbalan Ketua Bahagian yang juga bekas Ahli Parlimen. Seorang lagi calon ialah Basir Ismail, Naib Ketua Bahagian.

Sebagai gambaran sepintas : kedudukan individu ‘berjenama’ dalam kem-kem yang bertanding ini agak menarik. Pada pemilihan lalu (2004) untuk jawatan Ketua dan Timbalan, Datuk Nasir (ketika itu ADUN Bukit Tunggal) dalam satu kem dengan Che Azmi (ketika itu Ahli Parlimen KN). Kem Datuk Nasir bersaing mengisi kekosongan jawatan Ketua Bahagian bersama kem Datuk Rahin Said, ADUN Teluk Pasu yang juga Exco Kerajaan negeri (masa itu dan sekarang). Datuk Rahin berganding dengan Sufian Ali (ketika itu ADUN Seberang Takir) sebagai Ketua dan Timbalan.

Basir Ismail dalam kem Datuk Rahin. Bertanding Naib Ketua. Datuk Nasir dan Che Azmi (dari kem yang sama) menang Ketua dan Timbalan Ketua, manakala Basir (dari kem Datuk Rahin) menang Naib Ketua mengalahkan Hassan Ali (dari kem Datuk Nasir). Hebatnya kem Datuk Rahin lagi, Ketua Bahagian ketika itu, Datuk A. Rashid Ngah turut menyokong mereka, mungkin kerana kebetulan Sufian Ali adalah adik iparnya.

Pemilihan 2008 ini, segalanya menjadi tunggang terbalik. Kem Datuk Nasir berpecah, tetapi kem Datuk Rahin masih kekal. Yang berbezanya Datuk Rahin tidak lagi bertanding Ketua Bahagian tetapi memberikan laluan kepada Basir untuk ke depan.

Kem menjadi tiga. Che Azmi membina kem sendiri yang disokong kuat oleh adiknya YB Ahmad Razif (ADUN Seberang Takir merangkap Exco Kerajaan negeri). Turut bersama dalam kem Che Azmi ialah YB Ramli Noh (ADUN Tepoh) dan Tuan Ariff, bekas calon ADUN Bukit Tunggal (calon BN pada PRU ke-12/2008 tewas kepada calon PAS).

Manakala kem Basir pula didokong kuat oleh Datuk Rahin, Sufian Ali dan Amiruddin, (Ketua Pemuda Bahagian) serta sebahagian besar AJK Bahagian yang juga penyokong setia Datuk Rahin yang tidak pernah berganjak daripadanya.

Bermakna Datuk Nasir terpaksa berseorangan kali ini. Bagaimanapun, khabarnya Hassan Ali (bekas calon Naib Ketua 2004 dan bekas Setiausaha Bahagian) masih setia bersama kem Datuk Nasir. Nak diharapkan kepada Roslan Abdul Rahman (Setiausaha Bahagian), mungkin tidak sama sekali. Satu lagi yang mungkin boleh menyelamatkan Datuk Nasir ialah hubungan rapatnya dengan Datuk Najib yang bakal menjadi Presiden dan ura-ura Datuk Nasir antara calon Menteri penuh atau Timbalan Menteri baru dari Terengganu. Hassan Ali juga rapat dengan Datuk Najib.

Itulah. Kedudukan Datuk Nasir yang serba ‘bakal’ itu termasuk juga telah menawarkan diri bertanding Ahli Majlis Tertinggi dibimbangkan akan menjadi ‘bangkai’ Ketua Bahagian sekiranya benar khabar angin yang mengatakan salah seorang calon Ketua Bahagian yang akan menentang Datuk Nasir berhasrat menarik diri dan secara ‘enblok’ bergabung kem menentang Datuk Nasir.

Basir Ismail khabarnya akan menarik diri daripada bertanding Ketua Bahagian dan semua penyokong dan pendokong kemnya akan bergabung menyokong Che Azmi sebagai Ketua Bahagian.

Bagaimana perkiraan kem mereka dalam pembahagian jawatan dengan siapa bertanding jawatan itu dan ini masih sukar diramal. Tetapi yang pasti, sekiranya benar berlaku penarikan diri Basir dan penggabungan kem, bermakna kem Che Azmi akan mempunyai dua ADUN Exco Kerajaan negeri, satu ADUN kosong, satu bekas ADUN, satu bekas calon ADUN, Ketua Pemuda (bakal melepaskan jawatan kerana had umur), Naib Ketua Bahagian (Basir sendiri) dan beberapa orang bekas pemimpin bahagian serta AJK Bahagian yang berpengaruh, selain Che Azmi sendiri sebagai Timbalan Ketua Bahagian dan bekas Ahli Parlimen, walaupun kini beliau tidak ada apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Datuk Nasir hanya ada ‘bangkai’ Naib Ketua merangkap bekas Setiausaha Bahagian dan yang bakal menjadi ‘bangkai’ Setiausaha Bahagian, selain ada bakal Presiden UMNO yang menyilau dari jauh mungkin. Kalau Datuk Nasir masih mampu bertahan seperti pemilihan tahun 2004 dulu, kita boleh angkat ibu jari kepada anakanda bekas Menteri Besar Terengganu ini.
Related Posts with Thumbnails