Ahad, Oktober 26, 2008

YANG TUMBANG DI TERENGGANU – HULUBALANG IDRIS?

Kelmarin (Sabtu, 25 Oktober) empat dari lima UMNO Bahagian di Terengganu yang bersidang menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Ketua Bahagian dan satu bahagian lagi hanya menyaksikan pertembungan bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua Bahagian.

Fokus pemilihan sebenarnya kepada tiga bahagian yang menyaksikan pertembungan apa yang dilabelkan sebagai pertembungan antara hulubalang bekas Menteri Besar Dato’ Idris Jusoh (Deris Jusoh) dengan hulubalang Menteri Besar Dato’ Ahmad Said (Mat Said).

Di Hulu Terengganu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Tengku Putera Tengku Awang (Ku Tera) dan angkatan serakitnya berjaya menenggelamkan rakit Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman (Cikgu Mat Nor) yang bersekutu dengan YB Dato’ Rosol Wahid (Rosol) dan YB Zawawi Ismail (Zawawi). Rakit Ku Tera dimuatkan dengan hulubalang Mat Said, manakala rakit Cikgu Mat Nor dinaiki oleh hulubalang Deris Jusoh. Untuk jawatan Ketua Bahagian, Ku Tera berjaya mengalahkan Cikgu Mat Nor dengan majoriti 18 undi, Timbalan, YB Rozi Mamat menang meninggalkan Rosol (penyandang) dengan majoriti 41 undi dan Naib, Yusof Awang Hitam (pemangku) berjaya mengenepikan Zawawi dengan majoriti 34 undi.

Di Dungun, hulubalang Mat Said yang diketuai oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ (Dr) Rosli Mat Hassan (Pak Li) dan berakit bersama Setiausaha UMNO Bahagian Datuk Za’abar Mohd Adib (Za’abar) berjaya mengenepikan cabaran hulubalang Deris Jusoh yang dikepalai oleh Naib Ketua Bahagian/ADUN Bukit Besi, YB Dato’ Din Adam (Din Adam) yang berakit bersama Timbalan Ketua Bahagian/ADUN Paka, YB Zakaria Abdullah (Zakaria). Pak Li menang Ketua Bahagian meninggalkan jauh Din Adam dengan majoriti 70 undi dan Za’abar menang Timbalan Ketua Bahagian meninggalkan lebih jauh Zakaria dengan majoriti 152 undi. YB Matulidi menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua.

Di Marang, hulubalang Mat Said tewas mengejut. YB Senator Dato’ Rahman Bakar (Man Bakar) tewas kepada gerombolan hulubalang Deris Jusoh yang diketuai oleh Exco Kerajaan Negeri tunggal yang berani ‘menyanggah’ arahan Mat Said. YB Yahya Khatib Mohamad (Yahya) yang juga Setiausaha Bahagian menang Ketua Bahagian mengalahkan Man Bakar. Yahya memperolehi 412 undi sementara Rahman Bakar hanya mendapat 214 undi. Bagi jawatan Timbalan Ketua, penyandang YB Alias Abdullah kekal setelah mendapat 436 undi berbanding pencabar, Bendahari Bahagian Nik Dir yang hanya memperolehi 194 undi. Bekas Ketua Pemuda Bahagian yang juga bekas calon DUN Rhu Rendang, Haji Razali Idris menang jawatan Naib Ketua setelah memperolehi 284 undi meninggalkan lawannya bekas ADUN Bukit Payong, Dato’ Dr Latiff Awang dan bekas Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Sumber Manusia, A. Latiff Awang dalam pertembungan 3 penjuru.

(Nota : Ketika persidangan cawangan-cawangan Ogos lalu dan setelah dikhabarkan ada pertembungan untuk merebut Ketua Bahagian, Mat Said telah memanggil ketiga-tiga ketua hulubalang mereka ini (Ku Tera, Pok Li dan Man Bakar) dan berjanji kepada mereka bahawa walau apa pun keadaan, keputusan dan kedudukan, rebah atau bangun, selepas pemilihan Bahagian nanti, ketiga-tiga ketua hulubalang ini tetap bersamanya (Mat Said).

Di Setiu, pertembungan sama ada kem berhulubalang Mat Said atau Deris Jusoh agak kurang ketara. Untuk jawatan Ketua Bahagian, penyandang YB Datuk Mat Jidin Shafie kekal setelah menewaskan pencabarnya ADUN Jabi/Naib Ketua Bahagian YB Ramlan Ali (Cikgu Lan) dengan majoriti 20 undi. Bagaimanapun dari regu Mat Jidin bagi jawatan Timbalan Ketua, Abdul Rahman Mat Yassin tewas kepada regu Cikgu Lan, ADUN Langkap,YB Ashaari Idris dengan majoriti tipis 8 undi. Seorang lagi dari rakit Cikgu Lan ADUN Permaisuri yang juga bekas Naib Ketua Pemuda Bahagian, YB Halim Jusoh menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian.

Manakala di Kuala Terengganu, YB Senator Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian. Pertembungan bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian seolah-olah merupakan pertembungan di antara hulubalang Deris Jusoh sahaja. Bekas Ketua Pemuda Negeri dan Bahagian, Mohd Sabri Alwi (Adik Mat) menang mudah menewaskan penyandang, bekas Yang Di Pertua DUN Dato’ Haji Che Mat Jusoh (DCMJ). Adik Mat meraih 402 undi, manakala DCMJ hanya memperolehi undi simpati 103 undi. Bagi jawatan Naib Ketua yang menyaksikan pertembungan 3 penjuru, penyandang, bekas calon PRU ke-11 2004 DUN Wakaf Mempelam, Hamzah Mat Zain dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu / Timbalan Menteri Pelajaran Dato’ Razali Ismail tewas kepada Bendahari Bahagian dan bekas Bendahari UMNO Negeri, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh. Wan Hisham adalah abang kepada Wan Farid.

Hanya satu Bahagian di Terengganu yang belum bersidang iaitu Bahagian Kuala Nerus yang turut menyaksikan pertembungan merebut Ketua Bahagian. Gambaran awal pertembungan di Kuala Nerus ini dapat dibaca di sini.

Yang menang telah pun menang dan yang kalah sudah diketahui. Apa cara yang boleh memenangkan dan mengalahkan mereka tidak penting, tidak penting juga walaupun ada yang gembira dan ada yang menangis. Yang penting yang menang, mereka sudah menang dan yang kalah, mereka sudah kalah.
Related Posts with Thumbnails