yang semasa

Selasa, Disember 02, 2008

YANG BERBEZA : APA YANG TAK KENA? (Siri Jawapan)

Sengaja saya memetik berita daripada dua akhbar perdana yang berbeza dua hari lepas dan kemudian saya tinggalkan untuk kita sama-sama fikirkan apakah sebenarnya yang tersirat di sebalik dua berita berkenaan (posting asal di sini).

Ramai teman menghubungi saya dan bertanya apa sebenarnya yang dikatakan berbeza dan apa pula yang tak kena? Di kalangan yang bertanya itu ada yang tidak sempat menghadiri sama dan ada yang hanya mengikuti dari jauh sahaja pengkebumian kedua-dua jenazah arwah. Ada juga teman yang ada bersama di kedua-dua tempat itu, pun masih ‘tertanya-tanya’.

Seperti biasa, saya minta “fikirkan secara bersama dan buatlah telahan dan tafsiran sendiri, kerana bagi saya semua telahan, tafsiran dan jawapan adalah betul. Saya tak ada beri apa-apa markah pun”.

Sebenarnya, kalau kita meneliti berita-berita berkenaan secara sepintas lalu tanpa menghadiri dan mengikuti pengkebumian itu pun, kita sudah dapat gambarannya lebih kurang. Sebab itu saya hanya gantungkan sahaja berita itu tanpa apa-apa ulasan.

Alhamdulillah, pagi tadi dalam saya menyelongkar laman web dan blog untuk mengetahui dan membaca kepelbagaian kisah dan cerita serta berita semasa, saya terjumpa 'sedikit jawapan' kepada persoalan saya itu, walaupun tulisan itu bukan jawapan selengkapnya sebagaimana yang saya hasratkan. Tetapi sebahagiannya sudah dicatatkan oleh teman saya ini.

Saya perturunkan sepenuhnya tulisan (jawapan?) berkenaan :

Ada ‘batu’ ke?
(http://apakhabarganu.blogspot.com/2008/12/ada-batu-ke.html)
(I)
Ketika hadir ke rumah Allahyarham Dato' Razali, puas mata memandang tak nampak dimata, kemana perginya orang-orang kuat UMNO Kuala Terengganu.

Orang-orang UMNO Terengganu (orang kuat Mad Said) macam Pak Rosli doktor Jepun, Ku Putera kaki madu, Roslan Awang Kontraktor Kelas F dan Zubir Embong si pengembala kambing pun tak nampak.

Yang ada ramai yang tegak berdiri dalam dua barisan dihadapan pintu rumah tersebut pun tak ramai yang dikenali.

Cuma yang betul-betul dikenali adalah seorang Timbalan Menteri berkumis nipis asal dari Melaka.

Apabila Timbalan Menteri yang jaga 'pilihanraya kampus' itu bercakap dan berbisik dengan orang di kiri dan kanannya, maka kesimpulan yang dapat diambil adalah, yang hadir menziarahi jenazah tersebut ramai dikalangan para pegawai, kawan-kawan lama.

Ah... mengapa jadi begini? Kan Allahyarham orang baik, tak ramai musuh, tentunya ramai kawan-kawann UMNOya dari Kuala Terengganu dan peringkat negeri akan datang berpusu-pusu?

Tapi kenapa tak nampak? Wan Brothers pun tak nampak ! Mak Kerak Bandaraya pun tak ada !

Orang PAS pun ketika itu tak ramai, cuma yang namapak, Cikgu Mustafa Ali dan Cikgu Shukrimun.

Walaupun Hj Wahid dimaklumkan hadir bersama, tapi tak kelihatan dipandangan mata.

(II)

Petang itu dan keesokannya barulah diketahui mengapa orang-orang UMNO Kuala Terengganu tak ramai, begitu juga orang-orang kuat UMNO Terengganu yang tidak dilihat dirumah belakang Permai Inn itu.

Issshhhh.... ramainya, rupa-rupanya semuanya ada disana, di istana berwarna biru dilereng bukit dekat Telok Kalong.

Orang kiri dan kanan Mad Said memanglah patut hadir untuk menziarahi emak Mad Said yang meninggal beberapa jam selepas Allahyarham bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Tapi yang tak kena mengena, termasuk yang dah hampir 'expired' dan juga yang sudah 'expired' pun ada di rumah Mad Said.

Termasuk 'Che Mad yang acu senapang kepada budak-budak PAS masa pilihanraya yang lalu pun ada !

Che Mad sebenarnya ketika peristiwa mengacukan senapang itu, beliau dalam 'tension' sebab tidak dipilih oleh Idris untuk bertanding bagi kerusi Batu Burok.

Biasalah Deris, selalu nak yang pertama dalam sejarah... jadi dia pilih Ketua Puteri itu untuk menjadi calon Batu Burok bukan sebab Ketua Puteri tu bagus sangat.

Deris pilih sebab 'memahat sejarah' sebagai pemimpin UMNO yang membenarkan seorang perempuan menjadi calon UMNO yang pertama kali dalam sejarah.

Itu saja.........

Patutlah Che Mad marah sangat.

Dua, tiga hari dia memendam rasa, akhirnya amarahnya dilepaskan kepada pemuda-pemuda PAS yang dikatakan bising-bising pasang poster depan rumahnya.

Tapi macamana pula Che Mad boleh buat silap mata?

Petugas-petugas PAS tu semuanya muda-muda dan mata masih 'cerah' lagi, semuanya mengaku yang mereka nampak Che Mad acukan senapang kepada mereka sambil mengugut untuk menembak.

Tapi, tiba-tiba Che Mad buat silap mata... dia kata bukan senapang, tapi batang penyapu! (Kalah David Copperfield)

"Eh.. kenapa ramai sangat ni, semua ada sini", kata Hj Wahid yang bergegas ke Teluk Kalong selepas meninggalkan Batu Burok untuk menghormati musuh dalam Dewan Undangan Negeri yang pernah menyumpah seranahnya dulu.

"Bukan apa YB, yang datang ramai-ramai (ziarah jenazah emak Mad Said) ni bukannya apa, semua nak 'lobby' jadi calun," kata seorang UMNO yang tidak pula diketahui dari mana menjelma.

Oh.... itu pasal ka? Jadi Che Mad Senapang pun nak jadi Calun juga ka?

( III )

"Teruk, syeikh...... teruk....,"

Eh.. apa yang yang teruknya.

"Apa yang tak teruknya, jenazah Dato' Razali belum pun selamat dikebumikan,"emak Mad Said pun tak selesai lagi, tapi macam-macam SMS yang dah melayang-layang,"

Oh... gitu....

SMS apa lak?

"Inilah masanya untuk menjatuhkan Mad Said, dah 8 bulan perintah tapi satu aapa pun tak ada program yang dibuat,

"Kalu Mad Said pilih calun orang-orang dia, sek-sek Deris akan pulau pilihanraya," menurut SMS itu.

Oh macam tu ka? Siapa punya SMS tu Syeikh...

Siapa lagi, orang-orang UMNO yang sokong Deris lah, kata Syeikh itu.

So, kalau Mad Said tak pilih orang Deris tapi pilih orang dia sendiri yang jadi calun untuk Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, macamana?

Eh... mestilah puak-puak Deris mengamuk !

Iya ke macam tu?

Berani ke Deris buat macam tu?

Berani ke pengikut-pengikut Deris buat begitu ?

Berani ke Rosol si penderhaka tu ?

( IV )

Ada 'batu' ke Rosol ?

Ada 'batu' ke Deris nak menyanggah Mad Said ?

Isnin, Disember 01, 2008

YANG BERHAJAT & KEPINGIN MENJADI CALON (versi UMNO)

Mat Said sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Menteri Besar Terengganu perlu membuat perkiraan dan keputusan yang tepat bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu akan terus kekal di tangan BN/UMNO pada pilihan raya kecil (PRK) yang bakal diadakan selewat-lewatnya sebelum 27 Januari tahun depan.

Tindakan dan ketelitian Mat Said ini disifatkan oleh sesetengah pemerhati politik sebagai wajar didahului memandangkan PRK P036 ini adalah ujian getir kepada Mat Said untuk membuktikan kebenaran cakapnya dan juga cakap-cakap orang kanannya bahawa UMNO Terengganu bersatu dan akur dengan perintah dan kepimpinan beliau.

Justeru mereka berpendapat, Mat Said perlu banyak bertenang dan bersabar tanpa mengikut emosi dalam membuat keputusan hidup mati BN/UMNO Terengganu kali ini dan mengharapkan agar tidak berlaku seperti beberapa keputusan ‘drastik, ikut perasaan dan ikut selera’ beliau sebelum ini.

Kuala Terengganu dianggap sebagai kawasan / Bahagian elit di negeri Terengganu memandangkan kedudukan Kuala Terengganu sebagai ibu negeri Terengganu serta ramainya pemimpin UMNO dan BN yang ‘ada nama’ berada dalam parlimen berkenaan.

Lagi pun, UMNO bahagian Kuala Terengganu dianggap sebagai bahagian paling berprestij dan mewah berbanding bahagian-bahagian lain di Terengganu sepanjang kempen pemilihan UMNO peringkat bahagian baru-baru ini.

Bayangkanlah, tiada bahagian lain yang hanya untuk menang G7 dan AJK Bahagian perlu membelanjakan hampir RM100 ribu (baca kisah yang telah saya tulis berkaitan hal ini di sini). Ini yang diceritakan oleh tuan punya diri sendiri. Itu pun beliau hanya menang tempat ketiga (G7 & AJK semuanya tempat ketiga). Kalau yang menang tempat pertama atau kedua atau calon Timbalan Ketua, Naib Ketua atau Ketua Pemuda, kiralah sendiri.

Kesanggupan individu merebut jawatan dalam UMNO sehingga berabis ‘pitis mas’, seperti berlaku bukan sahaja di Kuala Terengganu tetapi juga di semua bahagian baru-baru ini mungkin boleh kita terjemahkan sebagai kesungguhan mereka untuk bekerja dan memimpin UMNO. Cuma mungkin kadar dan jumlahnya sahaja yang agak berbeza.

Nak dikatakan semuanya kepingin dan berhajat nak jadi calon pilihan raya, hanya ada lima kerusi saja dalam satu bahagian, maknanya lima orang saja pemimpin bahagian yang ada peluang, itu pun kalau tidak dicatakkan calon payung terjun.

Jadi untuk apa lagi mereka menawarkan diri kalau tidak kerana perjuangan, bekerja dan menghambakan diri untuk parti. Soal makan cari atau cari makan itu sudah menjadi adat dan tuntutan, walaupun mungkin caranya sahaja yang kurang betul. Mereka pastinya masih punyai alasan untuk menghalalkan cara.

Kerana prestij dan elit itulah, Mat Said dirasakan menghadapi sedikit kesukaran untuk membuat pilihan. Tambahan pula dalam parlimen Kuala Terengganu, telah muncul begitu ramai pemimpin yang tersohor di peringkat nasional dan negeri, baik daripada UMNO mahupun daripada parti komponen BN yang lain seperti MCA.

Bermula sejak di zaman kepimpinan Idris Jusoh sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Menteri Besar Terengganu, Kuala Terengganu sudah dibarisi oleh barisan kepimpinan yang ada nama baik di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri.

Pada zaman Idris, Kuala Terengganu mempunyai dua orang Exco kerajaan negeri (Wan Hisham Wan Salleh (UMNO) dan Toh Chin Yaw (MCA). Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri ketika itu, Che Mat Jusoh juga datangnya dari Bahagian Kuala Terengganu (walaupun beliau asalnya Besut tapi rumah tangganya dan ahli cawangannya di Kuala Terengganu).

Che Mat dilantik sebagai YDP DUN setelah beliau tewas dalam pilihan raya umum ke-11 di DUN Batu Burok kepada calon PAS, Wan Mutalib Embong. Che Mat kemudian menang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu dalam pemilihan UMNO Bahagian berkenaan tahun 2004. Sebelum bertanding, Che Mat adalah Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri di Terengganu (semasa Pak Lah menjadi TPM).

Selepas PRU ke-11/2004 juga, Timbalan Ketua UMNO Bahagian ketika itu, Wan Ahmad Farid Wan Salleh (adik kepada Wan Hisham) dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri (semasa Pak Lah menjadi Menterinya). Pada pemilihan UMNO Bahagian 2004, Wan Farid menentang penyandang Roslan Awang Chik untuk jawatan Ketua UMNO bahagian dan beliau menang.

Kemudian Wan Farid dilantik sebagai Senator mewakili DUN Terengganu bersama Nordiana Shafie, Ketua Puteri UMNO Negeri Terengganu merangkap Ketua Puteri Bahagian Kuala Terengganu.

Nordiana juga adalah Exco Puteri UMNO Pusat dan turut dilantik menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO oleh Pak Lah. Nordiana kemudian mencipta sejarah sebagai wanita pertama dari negeri Terengganu bertanding sebagai calon pilihan raya di DUN Batu Burok. Bagaimanapun beliau tewas ditangan calon PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Selepas PRU 12/2008, Wan Farid walaupun tidak bertanding dalam PRU dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama Allahyarham Razali, Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.

Dalam masa yang sama, tokoh MCA negeri dari Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wong Foo Meng turut dilantik sebagai Senator dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Yang Di Pertua Dewan Negara. Hari ini, Wong telah dilantik sebagai Setiausaha Agung MCA Pusat.

Di peringkat Pergerakan Pemuda pula, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Mohd Sabri Alwi pernah menjadi Bendahari Pemuda negeri dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri. Kini Mohd Sabri yang telah melepasi had umur pemuda, menang selesa jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian mengalahkan penyandang, Che Mat Jusoh.

Dalam organisasi UMNO Negeri (pada zaman Idris lagi), Kuala Terengganu pernah menyaksikan kehadiran wakil yang teramai berbanding bahagian lain. Selain Wan Farid (Ketua Bahagian), Mohd Sabri (Ketua Pemuda Negeri) dan Nordiana (Ketua Puteri Negeri), turut berada dalam saf yang sama ialah Bendahari UMNO bahagian, Wan Hisham yang dilantik Idris sebagai Bendahari UMNO Negeri.

Dalam struktur organisasi UMNO negeri pimpinan Mat Said kini pula, selain Wan Farid, Mohd Sabri dan Nordiana selaku AJK negeri, turut ditambah dua pemegang jawatan utama parti daripada UMNO Bahagian Kuala Terengganu ialah Ketua Penerangan Zubir Embong dan Bendahari Roslan Awang Chik. Roslan sekarang ini berstatus Yang Berhormat Senator.

Walaupun Roslan mahupun Wong misalnya dilantik ke jawatan Senator atas kapasiti profesional, namun yang pasti mereka adalah pemimpin Barisan Nasional yang datangnya dari Bahagian Kuala Terengganu.

Dengan senarai panjang ‘tokoh-tokoh’ pemimpin dalam Bahagian Kuala Terengganu itu, tentunya Mat Said agak pening untuk mencadangkan calon untuk bertanding, khususnya dalam usaha memastikan calon yang dipilih layak dan yang penting tidak akan menyinggung banyak pihak, sekali gus mengelakkan berlakunya ‘cas keting’.

Kalau Idris Jusoh memakai model MAP (Muda, Akhlak dan Pelajaran) sebagai kriteria pemilihan calon, apa pula kriteria yang bakal ditentukan oleh Mat Said. Apa pun kriteria yang ditentukan Mat Said, yang penting Mat Said perlu sedar bahawa Kuala Terengganu adalah kawasan kritikal yang perlu diberi perhatian serius dan tidak sewenang-wenang meletakkan calon mengikut kem serta mengikut sukanya sahaja.

Yang pasti, perkara utama yang perlu disisihkan sementara oleh Mat Said ialah sindrom ‘terlepas cakap’ dan ‘isme Idris vs isme Mat Said’. Kalau kedua perkara ini dapat disisihkan dan pemilihan calon berjalan lancar tanpa banyak bantahan dan tentangan, insya-Allah, Kuala Terengganu akan terus kekal di tangan BN.

Dalam hal ini, Mat Said perlu bersikap rasional, terbuka dan mengambil pendekatan ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’ bagi menjamin terselamatnya kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu.

Ke semua tokoh pemimpin yang disebut di atas adalah dikira layak dan berkemampuan untuk dicalonkan sebagai calon. Itu belum lagi disenaraikan pemimpin lain yang juga berkelayakan dan berkemampuan, tetapi tidak pernah diberi peluang sebelum ini. Juga belum lagi termasuk beberapa pemimpin dan bekas calon pilihan raya yang tewas dan juga calon ada kelayakan dan berpotensi tetapi tidak menang dalam pemilihan bahagian baru-baru ini (orang-orang ini sama nasibnya seperti yang dialami oleh Allahyarham Razali – Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri yang kalah bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian).

Memandangkan kerusi parlimen Kuala Terengganu sudah menjadi kerusi tradisi UMNO, maka perbicaraan tidak akan menyentuh calon daripada MCA tetapi akan terus dianggap sebagai pelengkap untuk kemenangan BN/UMNO di Parlimen Kuala Terengganu.

Cuma yang pasti, kecuali Wan Farid dan Mohd Sabri sahaja, hampir semua ‘nama-nama besar’ yang disebut di atas telah pun diberi laluan dan peluang untuk bertanding sebagai calon pilihan raya dan sebahagiannya pernah menang dan sudah merasai status Ahli Yang Berhormat.

Sebagai contohnya Wong Foon Meng pernah menjadi wakil rakyat DUN Bandar dan Exco Kerajaan negeri selama dua penggal, Zubir Embong pernah menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan pernah menjadi calon DUN Batu Burok dan DUN Wakaf Mempelam, Roslan Awang Chik juga pernah jadi wakil rakyat DUN Ladang.

Manakala bagi calon generasi abad ke-21 pula, Che Mat Jusoh (PRU 11/2004) dan Nordiana (PRU 12/2008) masing-masing pernah diberi peluang menjadi calon DUN Batu Burok, kedua-duanya tewas kepada calon PAS. Toh Chin Yaw masih menjadi wakil rakyat DUN Bandar dan Exco kerajaan negeri sejak PRU 11/2004 sehingga kini.

Wan Hisham juga pernah menang di DUN Ladang dan menjadi Exco 2004-2008 dan tewas apabila diberi peluang sekali lagi di DUN yang sama pada PRU 12/2008.

Seperti yang disebut, Wan Farid belum lagi diberi peluang untuk bertanding. Beliau pernah mendakwa bahawa beliau telah dua kali dinafikan untuk bertanding. Pada PRU 11/2004, namanya telah disebut-sebut sebagai calon parlimen Kuala Terengganu, tetapi diceritakan kerana abangnya Wan Hisham juga bertanding (di DUN Ladang), maka beliau direhatkan sementara.

PRU 12/2008, walaupun beliau adalah senator, Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri dan Ketua UMNO Bahagian, sekali lagi beliau dinafikan untuk bertanding. Sebabnya mungkin juga kerana abangnya lagi atau mungkin kerana ada kebimbangan kedudukan Idris, maka sekali lagi Wan Farid disisihkan.

Seorang lagi yang sepatutnya sudah boleh jadi calon ialah Ketua Pemuda Negeri, Mohd Sabri Alwi. Pada PRU 11/2004 beliau adalah Ketua Pemuda Bahagian dan Bendahari Pemuda Negeri. Namanya langsung tidak disebut untuk bertanding, mungkin kerana Idris menyedari ‘A dan P’ tiada pada diri Mohd Sabri, maka Mohd Sabri tidak berpeluang jadi calon.

PRU 12/2008 Mohd Sabri yang menjadi Ketua Pemuda Negeri selepas PRU 11/2004 dan masih Ketua Pemuda Bahagian juga tidak diberi peluang oleh Idris untuk bertanding walaupun beliau amat akrab dengan Idris. Cuma kali ini namanya ada disebut sebagai 'antara calon' untuk DUN Batu Burok.

Seingat penulis, dalam sejarah politik UMNO negeri Terengganu, belum ada Ketua Pemuda negeri yang tidak diberi peluang menjadi calon pilihanraya, baik semasa beliau berada dalam jawatan itu mahupun selepasnya. Tetapi ini belum berlaku kepada Mohd Sabri.

Hari ini Mohd Sabri masih Ketua Pemuda negeri (sekurang-kurangnya sehingga Mac 2009 nanti) dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang menang selesa di Bahagian Kuala Terengganu. Inilah rasanya peluang yang terbaik untuk Mohd Sabri dipilih sebagai calon, bagi membuktikan benarnya kata-kata Setiausaha Agung UMNO (Datuk Tengku Adnan) bahawa calon yang menang dalam pemilihan bahagian baru-baru ini adalah terdiri daripada mereka yang bekerja untuk rakyat, bukan kerana wang.

Bagaimanapun, Wan Farid dilihat lebih cerah dan lebih mempunyai potensi untuk menang berbanding Mohd Sabri. Beliau tidak lagi boleh dikaitkan dengan abangnya kerana abangnya sudah kalah Mac lalu di DUN Ladang.

Soal ‘orang Idris orang Mat Said’ juga tidak timbul kerana Wan Farid pernah menegaskan bahawa beliau bukan orang Idris, kalau orang Idris beliau dah pun dipilih menjadi calon, katanya. Cuma beliau mungkin lupa, beliau dilantik selaku senator adalah cadangan Idris dan pada zaman Idris. Sekarang sudah zaman Mat Said.

(Sebagai selingan), kalau Mat Said mahukan perubahan dan tidak mahu menyentuh sensitiviti dan perasaan pemimpin besar di Kuala Terengganu itu kerana memilih ‘orang yang tidak tepat’ di kalangan mereka, pilihan terbaiknya ialah meletakkan orang luar Kuala Terengganu sebagai calon. Itulah yang dinikmati oleh calon PAS (Mat Sabu) pada PRU 12/2008 lalu dan oleh Allahyarham Razali Ismail sendiri pada PRU 11/2004. Razali anak kelahiran Kuala Berang, Hulu Terengganu. Cuma rumah tangganya sahaja di Kuala Terengganu.

Kalau ini menjadi pilihan Mat Said, calon paling sesuai tentulah Setiausaha UMNO negeri merangkap Ketua UMNO bahagian Dungun, Dato’ (Dr Jepun) Rosli Mat Hassan (Pak Rosli). Atau boleh saja dicadangkan Dato’ Tengku Putera Tengku Awang (Ku Tera), Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua UMNO bahagian Hulu Terengganu. Mereka berdua pernah mendakwa telah dinafikan haknya bertanding oleh Idris pada PRU 12/2008 lalu.

Kalau kedua mereka ini dipilih, sudah tentu orang Kuala Terengganu tidak kuat sangat melentingnya, memandangkan dua tokoh ini orang kanan Mat Said dan pemimpin UMNO peringkat negeri. Orang Kuala Terengganu boleh menerima dan bekerja untuk mereka. Lagi pun kalau Idris boleh bawa Dato’ Zali orang Hulu Terengganu ke Kuala Terengganu, kenapa Mat Said tidak boleh membawa pula mereka berdua?

Kelemahan mereka berdua ini hanyalah sedikit. Mereka berdua ini tidak ‘kuat’ bekerja masa pilihan raya umum lalu di bahagian masing-masing, mungkin kerana mereka kecewa atau mereka sudah yakin kepada kekuatan UMNO di tempat masing-masing ketika itu.

Kalau itu juga menjadi halangan, Mat Said boleh menyilau tokoh-tokoh baru dan berpotensi yang berada di luar kotak elit nama-nama besar itu, termasuklah seperti Ketua Pemuda Bahagian yang baru atau AJK Bahagian yang lengkap dari segi ketokohan, berpelajaran, muda dan setia kepada parti.

Atau juga Mat Said boleh ‘meniru’ Idris Jusoh yang menjemput untuk menjadi calon di kalangan ‘orang luar kotak politik’ seperti Allahyarham Razali juga. Razali orang akademik, pegawai kerajaan dan bukan pemimpin atau aktivis parti pun. Selain dia menonjol dalam bidangnya, dia juga dipilih kerana ketokohan, kebolehan, kelayakan dan kemampuan yang dapat dihidu oleh Idris dan Pak Lah.

Banyak orang seperti Razali (malah lebih baik daripada Razali) di Kuala Terengganu atau dalam negeri Terengganu atau anak Kuala Terengganu @ Terengganu yang berada dan mencari makan di luar Terengganu. Mereka mungkin tidak menonjolkan diri tapi sudah terserlah dalam bidang masing-masing selain amat berpotensi untuk jadi Wakil Rakyat. Mat Said boleh juga menyuluh mereka, kalau-kalau pilihan daripada kalangan mereka ini boleh menyelamatkan keadaan.

Cuma yang perlu Mat Said ingat juga ialah "ini adalah pilihan raya yang melibatkan pengundi berbagai fahaman, bukan pilihan untuk memilih pemimpin dalam UMNO”. Dan Mat Said juga harus percaya dengan cakap dan optimisnya pemimpin UMNO bahawa “berbalah dalam UMNO adalah bab dalaman, masa tiba pilihan raya, kita akan bekerja secara pilihan raya, dan buktinya UMNO tetap utuh dan menang kerana kami boleh bersatu semula”. Lagi yang Mat Said kena fikir betul-betul ialah calon yang bakal dipilih ini nanti akan berhadapan dengan calon parti lawan yang sudah tentu juga dipilih daripada yang terbaik di kalangan mereka.

Yang pasti, P036 Kuala Terengganu bukan kawasan selamat BN, bukan juga kawasan mudah buat PAS/PR. Kerana Kuala Terengganu berkedudukan elit dengan pengundi-pengundinya juga banyak yang elitis itulah, makanya Kuala Terengganu sudah beberapa kali bersilih tikar antara Semangat 46, PAS dan BN.

2008 - P036 - RAZALI BIN ISMAIL (BN/UMNO)
2004 - P036 - RAZALI BIN ISMAIL (BN/UMNO)
1999 - P036 - SYED AZMAN BIN SYED AHMAD NAWAWI (PAS)
1995 - P036 - DATO' ABU BAKAR BIN DAUD (BN/UMNO)
1990 - P033 - DATO' ABDUL MANAN BIN OTHMAN (S46)
1986 - P033 - ZUBIR B EMBONG (BN/UMNO)

Apa-apa pun, umum sedang memerhati dan akan membuat analisis tersendiri bahawa jika keputusan PRK Kuala Terengganu tidak menyebelahi BN/UMNO atau merosaknya majoriti kemenangan BN/UMNO, ini menjadi penanda aras kepada BN/UMNO yang perlu melalui laluan sukar pada pilihan raya umum yang ke-13 nanti dan begitu jugalah sebaliknya.

Ini adalah PRK yang akan menjadi tumpuan dan kerumunan semua orang. Masing-masing parti dan fahaman (UMNO terutamanya) ada suluhan politik dan sebab musabab tersendiri, peri pentingnya P036 Kuala Terengganu WAJIB dimenangi oleh mereka.

Pak Lah dan Mat Said serta semua pemimpin BN/UMNO Terengganu dan Kuala Terengganu rasanya sudah amat sedar perihal ini.

YANG BERBEZA : APA YANG TAK KENA?

Dua berita ini dipetik daripada dua akhbar perdana yang berbeza, tetapi menyampaikan maksud yang sama. Apa sebenarnya yang tidak kena dengan ‘isi cerita’ dalam kedua-dua berita ini? Mari kita sama-sama fikirkannya dalam konteks ‘kepentingan politik’.

BERITA 1 : Razali selamat disemadi – Mingguan Malaysia

KUALA TERENGGANU 29 Nov. - Jenazah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara di sini kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Jenazah Allahyarham yang telah siap dikafankan dibawa dari Hospital Bentong, Pahang dan tiba di kediaman beliau di Jalan Kenanga, Batu Burok, kira-kira pukul 5.30 pagi ini.

Ia kemudiannya dibawa dari rumahnya untuk disembahyangkan di Masjid Sultan Zainal Abidin di sini selepas solat Zuhur sebelum dikebumikan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menziarah jenazah dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Tuanku Mizan yang diiringi Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman tiba di rumah Allahyarham kira-kira pukul 10.45 pagi.

Turut menziarah jenazah ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadhillah Yusof turut kelihatan.

Beberapa pemimpin Pas turut dilihat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham antaranya Pesuruhjaya Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut.

Tidak ketinggalan warga pendidikan iaitu Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom dan Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong.

BERITA 2 : Ibu Ahmad selamat dikebumi – Berita Minggu
CHUKAI : Jenazah ibu Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, Allahyarhamah Wook Ali, 88, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telok Kalong, Kijal, dekat sini, pada jam 2.40 petang, semalam, bersebelahan pusara suaminya Allahyarham Said Mohammad.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin turut menziarahi jenazah dan tiba di kediaman Ahmad di Kampung Telok Kalong, pada jam 12.15 tengah hari selepas menziarahi keluarga Allahyarham Datuk Razali Ismail, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran di Kuala Terengganu yang meninggal dunia petang kelmarin.

Seri Paduka berangkat pulang ke Kuala Lumpur kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Baginda yang diiringi Ahmad dan isteri, Datin Norliza Mahmud serta beberapa kenamaan menghadiahkan doa kepada jenazah diketuai Pegawai Agama Istana Negara yang juga bekas Mufti Negeri, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Turut menziarahi jenazah ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Setiausaha kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong serta beberapa pegawai tadbir kanan negeri.

Ahad, November 30, 2008

YANG DIUJI : 'LIMA BULAN' DI KUALA TERENGGANU?

Pilihan raya kecil (PRK) P036 Kuala Terengganu yang bakal diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan tersebut, Dato’ Razali Ismail jumaat lalu menjadi ujian pertama kepada kepimpinan Dato’ Ahmad Said selepas beliau mengambil alih kepimpinan UMNO Negeri Terengganu pada 14 Jun lalu.

Selepas lima bulan Mat Said menerajui UMNO Terengganu dan selepas mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan dalam usaha beliau memantapkan UMNO Terengganu, PRK P036 Kuala Terengganu dilihat sebagai ujian getir pertama beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dalam menghadapi pilihanraya.

Mat Said yang juga Menteri Besar Terengganu dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru pada 14 Jun 2008 bagi menggantikan Dato’ Idris Jusoh yang melepaskan jawatan berkenaan beberapa minggu sebelumnya.

Ujian yang bakal dihadapi Mat Said ini hampir menyamai ujian yang terpaksa dihadapi oleh Idris Jusoh sebaik sahaja selesai pilihanraya umum ke-11 2004 lalu apabila Idris terpaksa berhadapan PRK DUN Kuala Berang, Hulu Terengganu berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Cikgu Komaruddin Abdul Rahman.

PRK DUN Kuala Berang diadakan lima bulan selepas PRU ke-11 (21 Mac 2004), setelah Cikgu Komaruddin dalam rangka bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan meninggal dunia secara mengejut akibat sakit jantung juga di puncak Genting Highland pada 30 Julai 2004.

PRK DUN Kuala Berang diadakan pada 28 Ogos 2004 dan atas kerja kuat Idris serta komitmen semua pihak, calon BN Mohd Zawawi Ismail, memperolehi 6,051 undi menewaskan calon PAS, Muhyiddin Abdul Rashid, yang meraih 3,992 undi. Majoriti 2,059 yang diperolehi pada pilihan raya kecil DUN Kuala Berang merupakan satu peningkatan ketara berbanding majoriti 1,695 undi yang diperolehi Allahyarham Komaruddin pada pilihan raya umum memandangkan tempoh masa pilihanraya umum dan PRK yang hanya berjarak lima bulan.

Ternyata kedua-dua Mat Said dan Idris diuji selepas 'lima (5) bulan'. Bezanya Idris diuji dalam PRK DUN manakala Mat Said diuji dalam PRK Parlimen.

Yang menariknya, dalam tempoh baru lima bulan Mat Said menerajui UMNO Terengganu, beliau sudah perlu bekerja keras untuk menafikan hasrat meletakkan ‘lima bulan’ di Kuala Terengganu. Sekarang sudah ada 3 bulan (lambang PAS) dalam DUN, kalau kerusi Parlimen juga terlepas ke tangan PAS, akan menjadi 4 bulan berada di Kuala Terengganu. Bulan kelima sudah tentu diberi percuma oleh sekutu PAS iaitu PKR (lambang PKR juga ada bulan).

Senarionya : P036 Kuala Terengganu mempunyai empat DUN iaitu N13 Wakaf Mempelam, N14 Bandar, N15 Ladang dan N16 Batu Burok. Selepas pilihanraya umum ke-12 lalu BN hanya menguasai satu kerusi DUN iaitu DUN Bandar melalui calon BN/MCA, Toh Chin Yaw, manakala tiga DUN lain yang ditandingi calon BN/UMNO tewas di tangan PAS.

Kawasan parlimen ‘elit’ ini mempunyai jumlah pengundi seramai 80,325 (mengikut daftar pemilih yang digunakan pada PRU ke-12/2008) yang terdiri daripada pengundi Melayu sebanyak 88.14%, Cina 10.94%, India 0.65% dan lain-lain kaum 0.27%.

Pada PRU 12, Dato’ Zali (BN) menang dengan majoriti sebanyak 628 undi setelah beliau memperolehi 32,562 undi mengalahkan calon bebas Maimun Yusuf (685 undi) dan calon PAS Mohamad Sabu (31,934 undi). Jumlah mengundi ialah sebanyak 66,112 orang (82.31%) dan undi rosak sebanyak 931.

Pungutan undi berdasarkan DUN pula sebagaimana berikut : DUN Wakaf Mempelam, PAS menang dengan majoriti 2,193 (PAS 9,645 dan BN 7,452), DUN Bandar (BN 7,831 dan PKR 6,689, majoriti BN 1,142), DUN Ladang (PAS 6,723 dan BN 6,692, majoriti PAS 31) dan DUN Batu Burok (PAS 10,672 dan BN 9,511, majoriti PAS 1,161). Bermakna majoriti yang diperolehi semua calon PAS yang menang di tiga DUN ialah sebanyak 3,385, manakala majoriti BN hanyalah 1,142. @ (3,385 (PAS) – 1,142 (BN) = 1,158 undi kekalahan BN di DUN).

Di atas kertas, Dato’ Zali ‘sudah kalah’ kalau nak dikira daripada jumlah undi yang diperolehi PAS dan PKR berdasarkan DUN (undi popular PAS & PKR 33,729 manakala undi popular BN 31,486). Bayangkanlah tiga daripada empat DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu memihak kepada PAS dan hanya satu memihak kepada BN, namun Dato’ Zali masih boleh bertahan dengan undi popular peribadinya sebanyak 1,076 undi.

Kalau undi yang memihak kepada calon Bebas (685) dan undi rosak yang berjumlah 931 merupakan protes kepada calon PAS, Dato’ Zali akan lebih besar kekalahannya. Namun sesetengah pemerhati politik melihat, Dato’ Zali masih diberi kemenangan atas sebab peribadinya dan faktor protes kepada calon PAS yang meletakkan calon orang luar Terengganu.

Dato’ Zali juga adalah penyandang kerusi parlimen berkenaan sejak 2004 setelah mengalahkan calon PAS Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1,933 undi pada pilihan raya umum ke-11/2004.

Faktor ini perlu dicongak oleh Mat Said, apa lagi sekiranya PAS atau PR meletakkan calon anak tempatan dalam PRK kali ini.

Dalam banyak hal Mat Said dilihat akan mengharungi ujian yang lebih sukar berbanding cabaran Idris pada 2004 lalu, memandangkan kepada situasi politik negara dan tempatan terkini yang tidak menentu, terutamanya politik dalaman UMNO Terengganu sendiri yang masih belum stabil sepenuhnya selepas pemilihan UMNO Bahagian bulan lalu.

Bagaimanapun, banyak pemerhati politik melihat Mat Said mampu menyerlahkan kemampuannya mengekalkan Parlimen Kuala Terengganu di tangan BN/UMNO berdasarkan kepada susunan perlantikan pegawai kanan parti di peringkat negeri yang lebih ramai daripada Bahagian Kuala Terengganu.

Mat Said melantik Zubir Embong sebagai Ketua Penerangan UMNO negeri dan Roslan Awang Chik sebagai Bendahari UMNO negeri. Kedua-duanya adalah daripada Bahagian Kuala Terengganu.

Mat Said sebelumnya dipetik sebagai berkata, beliau mengambil tindakan demikian (melantik ramai pegawai dari bahagian Kuala Terengganu) kerana kawasan Kuala Terengganu telah menjadi punca banyak masalah kepada Barisan Nasional (BN). “Orang tanya kenapa semuanya dari Kuala Terengganu... Timbalan Menteri sampai ada dua... kerana saya lihat Kuala Terengganulah punca banyak masalah kepada kita... daripada empat DUN, satu DUN saja menang.

“Kalau kita kumpul orang ini bekerjasama, kalah lagi saya tidak tahulah... maknanya mereka ini bergaduh sesama sendiri, betullah kata rakyat... kalau mereka tidak boleh bersatu dan bekerjasama serta memenangkan parti dengan jawatan kita beri dan apa yang mereka dapat, tidak ada makna,” katanya.

Kenyataan pedas tetapi mencabar Mat Said itu dijangka akan menjadi pendorong kepada pemimpin UMNO Bahagian Kuala Terengganu bekerja lebih keras dan jujur bagi memastikan P036 kekal menjadi milik BN sekali gus menafikan 5 bulan ‘menerangi’ Kuala Terengganu.

Mampukah Mat Said?

YANG PERGI : KITA ADALAH PENUNGGU SETIA

Alfatihah… semoga roh mereka dirahmati Allah Azzawajalla jua hendaknya..

Setelah saya menerima berita kematian Dato’ Razali Ismail kira-kira pukul 7.00 malam, saya terus memaklumkan kepada teman-teman / kenalan dan sesiapa yang saya rasai perlu dimaklumkan lebih awal tentang kematian ini melalui sms. Saya jadi terkedu dan beberapa ketika saya seperti tidak tahu berbuat apa-apa.

Kira-kira pukul 10.47 malam, sedang saya asyik menyelongkar beberapa cerita melalui blog / laman web yang sudah pun mempunyai pelbagai cerita berkaitan kematian Dato’ Razali, saya menerima sms daripada teman saya di Kemaman, yang tadi telah saya sms memberitakan tentang kematian Dato’ Razali. Bunyi smsnya “mak mb teganu baru je meninggal kat kmc”.

Innalillahiwainnailaihirajiun…

Begitulah kehendak Tuhan, Allah yang maha esa. Takziah kepada keluarga Dato’ Razali Ismail dan takziah kepada Dato’ Ahmad Said dan keluarga.

Begitulah ketentuan-Nya. Yang pasti, makhluk Tuhan ini adalah penunggu setia. Ayah dan ibu serta keluarga menunggu kelahiran kita, kita menunggu kelahiran anak-anak dan keluarga kita, kita menunggu hari, minggu, bulan dan tahun berganti, kita menunggu semua perkara yang kita hasratkan dan akhirnya kita juga menunggu saat bila pula giliran kita akan dijemput oleh Allah Azzawajalla untuk menemui-Nya.

Hanya Tuhan yang tahu, bila kita akan kembali kepada-Nya. Amin.

Rabu, November 26, 2008

YANG MERUDUM : KUMPULAN UTUSAN

Minggu lalu semasa saya di Kuala Lumpur, saya bertemu dengan seorang kawan yang bertugas di pejabat Utusan Melayu. Dek kerana sudah lama tidak berjumpa, banyak cerita yang disembangkan sambil pekena sup tulang. Hangat dan menyelerakan walaupun kami bersembang dalam suasana hujan.

Banyak perkara yang disentuh dalam sembang warung kopi kami itu. Dan antaranya terkeluarkan cerita perihal syarikat Utusan yang menjadi tempat kawan saya mencari rezeki sejak berpuluh-puluh tahun itu.

Menjelang tahun 2009, kawan saya ni sebenarnya ‘mengharapkan’ berlaku pertukaran yang lebih besar dalam syarikat terutamanya yang melibatkan pertukaran dalam Jabatan Pengarang dan staff sokongan lain di negeri-negeri. Namun menurut beliau, untuk tahun 2009, suasananya agak berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.

Kata kawan saya, biasanya setiap tahun paling tidak akan ada dua atau tiga orang daripada Jabatan pengarang (termasuk Ketua Biro, Wartawan dan Jurugambar) akan bertukar, tapi tahun 2009 nanti, yang berlaku di kebanyakan negeri, hanya seorang sahaja wartawan yang bertukar, malah ada negeri yang langsung tidak ada pertukaran.

“Kenapa gitu? Prestasi dia orang baik kot, jadi tak payahlah tukar-tukar”, celah saya cuba memanjangkan cerita.

“Bukan pasal tu. Sebenarnya Utusan sekarang teruk dan parah. Ketara sangat. Utusan sekarang tak ada duit. Semua penerbitan oleh Utusan merudum teruk. Dalam pada tu, belanja overhead tinggi. Gaji pegawai entah apa-apa. Banyak jawatan ‘rekaan’ diwujudkan dalam Utusan.

"Jawatan rekaan?”, tanya saya buat-buat hairan.

“Ya lah, jawatan hakiki hanya satu atau dua sahaja, tetapi bagi menyelamatkan dan memberi peluang kepada kroni-kroni dan juak-juak orang-orang tertentu, diwujudkan jawatan sebagai hadiah naik pangkat. Pangkat naik, gaji pun mesti naik, sedangkan pengedaran dan jualan semakin turun. Dah nak cover ikut mana lagi?”, jelas kawan saya dengan soalan yang dia sendiri dan saya tak perlu jawab.

“Sebab itu pertukaran dihadkan. Bayangkan kalau bertukar sampai tiga empat orang dalam satu negeri. Berapa banyak wang yang perlu dibelanjakan? Seorang contohnya dari Perlis bertukar balik ke Ibu Pejabat (KL), paling kurang RM3ribu perlu dibayar, macam-macam elaun. Dah kalau tiga atau empat orang, berapa?”, kata kawan saya lagi dengan bersungguh-sungguh.

“Utusan boleh bangkrap kalau mulai sekarang tidak berjimat cermat. Jualan merudum teruk. Surat khabar jatuh hampir 100 peratus pengedarannya. Begitu juga dengan majalah, jatuh berkali-kali ganda. Aset ada banyak mana sangat”. Tambah kawan saya lagi.

“Kes merudum tu ada hubungan dengan kempen boikot Utusan ke? Provok saya lagi.

“Kaitan je lah. Selain pengedaran jatuh, iklan sumber utama pendapatan juga berkurang begitu banyak. Yang pasti, sekarang Utusan hanya mengharapkan beberapa negeri yang diperintah oleh BN saja untuk beli iklan.

“Masalah lain juga bertali arus. Pengurusan teruk, editorial tidak cekap dan kurang pengalaman, orang-orang berpengalaman disisihkan dan banyak lagilah. Kalau jadi Teresa Kok saman Utusan RM30 juta hari tu dan beliau menang, memang Utusan akan jatuh bangkrap. Mana lagi Utusan nak cari duit?” Kawan saya terus meluahkan isi hatinya.

“Apa-apa pun, lantak dia oranglah nak buat apa pun. Asal aku dapat gaji bulan-bulan, lepas sewa rumah, lepas makan minum pakai anak bini, cukup.” kata kawan saya menutup cerita berkaitan Syarikat pengantara rezeki kepadanya itu.

Mungkin kawan saya nin tidak terfikir, apa akan terjadi kepadanya kalau-kalau (saya ulangi kalau-kalau) bukan UMNO/BN lagi yang memerintah negara sebelum beliau pencen daripada Utusan.

Selasa, November 25, 2008

YANG AKAN TERPECAT LAGI : RASUAH POLITIK LAGI

Saya pernah menyiarkan salinan surat bantahan seorang ahli cawangan UMNO berhubung dengan ketidaksahnya mesyuarat cawangan kerana beberapa faktor yang telah digariskan.

Antaranya melibatkan etika calon dan rasuah politik yang melibatkan ugut mengugut dan ketakutan pemegang jawatan yang berkepentingan sehingga membuatkan proses mesyuarat dan pencalonan menjadi ‘mengikut arahan’ (baca di sini).

Terbukti selepas segala-galanya selesai (‘sempurnanya’ persidangan dan pemilihan di peringkat Bahagian), sekoyong-koyong telah diuar-uarkan bahawa mana-mana Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (Pengerusi JKKK - mudahnya disebut Ketua Kampung) sama ada mereka adalah Ketua Cawangan UMNO atau tidak (dalam konteks sekarang, ada Pengerusi JKKK bukan daripada kalangan Ketua Cawangan), semasa pemilihan bahagian baru-baru ini tidak menyokong Ketua Bahagian yang menang, akan digugurkan (atau dalam bahasa lebih lembut dan sopan berhemah – DIPECAT) daripada menjadi Pengerusi JKKK @ Ketua Kampung.

Khabar ini datangnya daripada Bahagian Dungun. Dan yang bakal menjadi mangsa termasuklah Ketua-ketua Cawangan yang sebelum ini menjadi Pengerusi JKKK tetapi dalam pemilihan UMNO Bahagian baru-baru ini mereka menyokong Dato’ Din Adam, bukannya Dato’ (Dr Jepun) Rosli Mat Hassan. Maknanya perkhidmatan mereka akan mulai diambilalih oleh orang lain mulai 1 Januari 2009 nanti. Tamat kontrak Pengerusi JKKK sekarang ialah pada 31 Disember ini. Khabarnya juga, senarai telah pun siap, hanya menanti saat dan ketikanya sahaja.

YB Din Adam dah terpecat, YB Ya Paka juga dah terpecat. Yang menanti ‘dengan pasti’ giliran mereka ialah Pengerusi JKKK pula, terutama dari DUN Bukit Besi dan Paka yang menyokong YB-YB mereka dan DUN Sura dan Rantau Abang yang menyanggah Ketua Bahagian yang ada.

Sama-samalah kita tunggu apa yang akan terjadi sambil kita juga menunggu apakah cadangan yang pernah disuarakan oleh Pak Lah (semasa perjumpaan Pak Lah dengan semua Ketua cawangan negeri-negeri di PWTC sebelum persidangan cawangan dulu) akan diingkari lagi oleh Mat Said.

Kata Pak Lah – kita akan selaraskan dan memastikan semua Pengerusi JKKK dilantik di kalangan Ketua-ketua UMNO cawangan.

Kalau Mat Said ingkari cakap Pak Lah lagi, bermakna RM400.00 sebulan tidak terhidu lagi oleh mereka yang malang itu.

YANG TERPERANGKAP : KISAH SEORANG PERWAKILAN

Ini cerita benar. Kisah seorang kawan dalam satu Bahagian UMNO di Terengganu. Kawan saya ini menjadi penyokong kuat seorang Ketua Bahagian sejak dulu-dulu lagi. Dan kawan saya nin, mungkin kerana kebijaksanaan beliau bermain politik, beliau selalu sahaja menang, baik kalau beliau bertanding sebagai perwakilan ke Kuala Lumpur (sekarang dikenali sebagai G7), mahu pun sebagai AJK Bahagian.

Beliau memang gurkha yang baik kepada Ketua Bahagian yang menang lagi setelah dicabar. Dan kawan saya ini juga menang lagi G7 dan AJK Bahagian. Daripada gambaran umum ‘kegurkhaan’ kawan saya itu, kita boleh fikirkan sendiri apa ‘habuan’ yang beliau perolehi sepanjang beliau mendambakan diri kepada Ketua Bahagian berkenaan.

Baru-baru ini kawan saya ini terperangkap oleh rasuah politik yang dilaporkan sama ada oleh ‘orang yang tidak bertanggungjawab’ atau oleh ‘orang-orang yang dengki kerana dia tak dapat’ kepada pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR). Aduan berkenaan menyebut kawan saya ini merupakan salah seorang yang terlibat dengan rasuah politik semasa proses pemilihan Bahagian berkenaan. Beliau dikatakan menerima sambil terlibat secara aktif mengagih-agihkan ‘Nokia communicator E90’ kepada perwakilan.

Kawan saya ini menjadi salah seorang yang dipanggil oleh BPR untuk disoal siasat. Maka gelabahlah hamba Allah yang ‘benar’ ini saat akan menghadapi BPR nanti. Maklum sajalah, bukan saja akan menjejaskan Ketua Bahagian yang beliau sayangi amat itu, malahan akan turut menjejaskan beliau selaku AJK Bahagian, G7 dan lebih penting sebagai Pegawai Kerajaan.

Lalu dalam proses mempersiapkan diri, kawan saya ini dengan megah tetapi gelabah mengumpulkan bukti-bukti pembelian communicator itu. Yang utamanya mestilah bil bukti pembelian. Entah mungkin kawan saya nin memikirkan bahawa pegawai BPR tu semuanya bodoh seperti dia juga, saya tidaklah mahu menuduh songsang begitu. Cuma yang pasti, tindakannya terlalu jelas menggambarkan kebodohannya.

Bil yang ‘dicari’ tu adalah bil umum (tanpa nama kedai) yang dijual di kedai-kedai alatan tulis yang digunakan oleh peniaga, pekedai runcit kecil-kecilan. Yang harganya satu pad kurang lebih RM1.50 tu. Lepas tu dicop (rubber stamp) nama kedai pembekal (Tuan kedainya orang Melayu). Memang kedai tu wujud, Cuma sepanjang pengetahuan saya, amat tidak logik kedai sebesar yang digunakan namanya itu, hanya menggunakan bil yang dibeli di pasar raya Maidin.

Paling tidak pun, kalau bil cetakan siap dengan nama syarikat/kedainya sudah kehabisan, mereka akan menggunakan komputer untuk mencetak bilnya. Itu standard kedai yang menjadi mangsa penggunaan nama tu. Saya boleh katakan begitu kerana saya tahu kedai tu dan rapat dengan bosnya dan saya sendiri amat biasa dengan kedai tu.

Yang lebih melucukan, ‘bil bukti pembelian communicator’ yang ditunjukkan kawan saya itu berkeadaan amat baru dan baik. Maklum sajalah kawan saya nin orangnya cermat, disimpan baik-baik bil / bukti pembelian tu dalam dompetnya. Dahlah nombor sirinya ditulis tangan, dakwat tulisannya pun baru saja kering, sedangkan communicator tu dah digunakan hampir setahun. Bil baru rekalah…

Sebaik sahaja saya melihat bil bukti pembelian yang ditunjukkan kawan saya tu, saya terus katakan bahawa betapa tidak cekapnya tuan kedai tu (inikah cara orang Melayu berniaga?) menguruskan jual beli telefon di kedainya. Akaun pun mungkin tidak menentu untuk diselaraskan. Apakan tidaknya, sudah pasti duit keluar masuk akan menjadi tidak sama dengan bil jualan dan stok barangan kerana beza beberapa bulan antara jual telefon dengan bil yang dikeluarkan. Audit syarikat kerjanya tidur ke?

Selain itu, kawan saya nin juga mungkin merasakan bahawa BPR pasti tidak punyai masa untuk menyiasat sampai ke dalam kedai, walaupun kedai tu tidaklah jauh sangat dengan Pejabat BPR pun. Tanggapan kawan saya, tidak mungkin BPR secerdik dia sampai nak ke kedai tu dan selongkar salinan bil bukti pembelian tu. Selamatlah kawan saya tu kalau dia berfikiran positif begitu.

Sampai hari ini tidak dapat dipastikan, sudah berapa kali BPR memanggil kawan saya itu. Yang pasti nampaknya BPR memberi masa secukupnya kepada kawan saya tu untuk menggandakan kelentongnya.
(p/s : Kepada Tukar Tiub (TT) maaflah... kempen anda untuk menyekat gejala tipu Melayu masih terlalu jauh untuk berhasil... tipu beli kapal selam, beli sukhoi tu besar sangat. nin kes tipu bil yang kecikkk je bro.... kah kah kah...)

YANG TERLEPAS PANDANG LAGI?

Mualaf terkilan permohonan bantuan mertua ditolak – Sinar Harian
KAMPUNG KUALA ABANG - Sebuah keluarga di sini tertanya-tanya akan punca permohonan bantuan kebajikan oleh ibu mereka yang uzur dan memerlukan ditolak tanpa alasan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Warga emas terbabit, Hambiah Abdul Wahab, 78, dikatakan oleh anggota keluarganya layak menerima bantuan tersebut memandangkan dia kini tidak mampu mencari makan sendiri sementelah pula menantunya, Kooi Keng Hong @ Rosli Abdullah, 66, yang menjadi pergantungan hidup selama ini turut menghadapi masalah kesihatan.
…………………
…………………
“Kalau boleh pihak tertentu khususnya wakil rakyat di kawasan ini campur tangan untuk membantu saya, lagi pun saya bukan pelarian, saya orang Malaysia, apatah lagi saya seorang mualaf,” katanya.

Hello Datuk Za’abar Mohd Adib. Datuk Yang Berhormat ADUN Rantau Abang kang? Cerita nin berlaku dalam kawasan YB lagi nin. YB tak sedar ke? Tak kan dah menang Timbalan Ketua Bahagian, perihal rakyat pun dah terlupa. Terlepas pandang lagi ke atau kepentingan bukan keutamaan dalam kes-kes yang sebegini.

Kalau terlepas pandang lagi, haik…. Dah dua tiga kes berlaku dalam kawasan YB je? Jangan pula nanti tuduh wartawan nak sabotaj YB pula. Memang dah mengadunya begitu, tak boleh nak sembunyilah YB.

Tapi mungkin dia orang nin bukan ahli UMNO kot YB? Atau kalau ahli UMNO, baru-baru nin bukan perwakilan cawangan. Atau kalau perwakilan cawangan, dia orang tak menyokong YB. Dah sekarang YB dah menang, YB dah ada kuasa, YB dah ada kedudukan, padan muka dia orang, rasakan. Sampailah giliran YB membalasnya pula. Betul tu YB… saya sukuuuuuung…….

YANG BERJANGKIT : UMNO & PAS, SAMA TAPI TAK SERUPA

Seronok juga baca cerita perihal PAS Selangor (laporan Malaysiakini serta ulasan MSO) serta PAS Kedah (laporan NOBISHA) dan cerita-cerita pergolakan parti itu di mana-mana sebelumnya.

Apabila selesai menelaah tulisan-tulisan berkenaan sambil mengenang kembali cerita-cerita terdahulu yang relevan, saya membuat kesimpulan bodoh sendiri – “apa-apa pun sama sahaja, baik parti mahupun orang di dalamnya”. Manusia ada selera dan selera itu walaupun kadang-kadang secara kebetulan banyak persamaan tetapi tetap tidak akan menjadi 100 peratus sama.

Pendek kata, walau apa sekali pun wadah perjuangan parti, ia tetap parti. Manakala pemimpin parti tetap manusia @ orang yang punyai kekuatan, kelemahan dan kekurangan tersendiri. Ada persamaan tapi tidak serupa.

Dato’ Seri Azizan Razak, Dato’ Dr Hassan Ali, Dato’ Ahmad Said dan Dato’ Rosli Mat Hassan ada persamaan tetapi jelas tidak serupa.

Secara umum yang sama dan paling ketara keempat-empat mereka adalah lelaki. Mereka berempat orang politik kepartian. Mereka berempat orang Melayu dan beragama Islam. Azizan dan Ahmad Said adalah Menteri Besar. Yang tidak serupanya Azizan dan Hassan Ali orang PAS dan Ahmad Said dan Rosli Mat Hassan adalah orang UMNO. Itulah lebih kurang.

Keempat-empatnya sama apabila dikaitkan dengan perkataan “PECAT” (sebagai kata dasar dan kemudian disebut menggunakan awalan, imbuhan dan akhiran seadanya). Baik UMNO mahupun PAS, sama saja, tetapi jelas tidak serupa.

Yang sama tapi tak serupa ialah Azizan dikhabaranginkan akan menerima undi tidak percaya bagi memecat beliau dan kerajaan pimpinannya di Kedah, tetapi masih belum berlaku. Manakala Ahmad Said telah menguar-uarkan akan memecat Exconya, tapi belum pun terpecat. Hassan Ali, Ahmad Said dan Rosli Mat Hassan sama kerana mereka memecat dan hendak memecat kerana ‘panas’.

Hassan Ali dan Rosli Mat Hassan walaupun tidak menguar-uarkan telah bertindak ‘memecat’. Hassan Ali sudah memecat dua pemimpin kanan PAS Selangor masing-masing sebagai Timbalan Pesuruhjaya dan Ketua Penerangan, manakala Rosli Mat Hassan telah pun memecat dua ADUN dalam Bahagian Dungun sebagai Pengerusi Penyelaras DUN masing-masing.

Yang tidak sama dan tidak serupa ialah Hassan Ali dan Rosli Mat Hassan telah pun menunaikan kepanasan masing-masing, manakala Ahmad Said yang pada mulanya nampak begitu kepanasan, masih belum mengotakan janjinya.

Jumaat, November 21, 2008

YANG BERJANGKIT : UMNO, RADIO & WANG DUIT PITIS

Berita Harian semalam (20 November) menyiarkan berita Badan Disiplin UMNO yang sedang ‘secara serius’ menyiasat dakwaan (dakwaan???) berlakunya politik wang @ duit @ pitis @ rasuah politik (kepartian UMNO) yang melibatkan dua jawatan tertinggi UMNO – Timbalan dan Naib Presiden.

Sama ada berlaku atau memang berlaku atau sah berlaku (katakan TIDAK kepada ‘tidak berlaku’), kita boleh membaca, menilai dan mentafsirkannya sendiri melalui banyak kenyataan, dakwaan, laporan, aduan dan yang penting terlalu banyak dapat kita temui dibicarakan secara telus dengan fakta dan bukti-bukti yang hidup di dalam blog-blog yang bertaburan berhubung dengan fenomena rasuah politik ini.

Justeru sekiranya saya menambahkan lagi cerita hal rasuah politik dan politik kepartian UMNO yang sudah semakin ‘merudum’ kesensasiannya ini (menjadi tidak begitu sensasi lagi kerana sudah terlalu banyak diperkatakan), perkara ini bukan lagi menjadi keutamaan untuk dibaca, cuma mungkin menjadi bahan bersejarah yang tiada nilai sejarahnya lagi, kemudian dilambakkan di setor barang buangan, walaupun saban waktu cerita berhubung dengan ‘membahagikan harta rampasan’ ini singgah ke telinga saya.

Contohnya seorang calon Timbalan Presiden yang dalam berita dan akhbar yang sama dengan selamba menyatakan “beliau tidak mempunyai sebarang masalah” untuk memberi kerjasama bagi tujuan disiasat, sedangkan sepanjang proses pencalonan, beliau sanggup ‘melabur’ melalui agen-agennya di seluruh negara sehingga RM50-RM100 ribu bagi satu bahagian hanya semata-mata untuk mendapatkan satu pencalonan.

Demikian juga dengan calon Ketua Pemuda, malah lebih daripada jumlah yang disebut untuk memastikan mereka mendapat satu pencalonan daripada Bahagian. Itu belum diambil kisah yang dialami dan diakui sendiri oleh kawan saya. Katanya beliau berhabisan hampir RM100 ribu sehingga membolehkan beliau menang AJK Bahagian dan G7. Itu baru AJK Bahagian, belum diambilkira jawatan yang lebih tinggi.

Demikian juga khabar yang diterima apabila dua orang calon Naib Presiden bertaraf Menteri yang baru sahaja selesai ‘lawatan kerja sambil menderma’ ke Sabah, sempat berjumpa dengan perwakilan dari Sabah dan melabur RM300 dan RM500 setiap seorang, sedangkan salah seorang Menteri yang dikatakan menyumbang RM300/seorang perwakilan itu merupakan antara Menteri yang dikenali dengan tabie ‘tahi hidung masin’ dan tidak bermain dengan wang dalam pemilihan-pemilihan sebelumnya.

Mungkin Menteri ini meletakkan tugas menyemarakkan roh, semangat, kecintaan dan perjuangan UMNO kepada orang-orang Sabah yang masih cetek daripada segalanya itu tidak menjadi agenda penting beliau. Yang penting baginya, beliau sudah berjaya menyedarkan dirinya bahawa penerimaan orang Sabah terhadap UMNO ialah “UMNO itu projek dan projek itu UMNO”.

Begitulah banyaknya cerita berkaitan dengan perkara ini kalau hendak diceritakan. Cuma kali ini kita cuba mengalihkan sedikit perbincangan terbuka terhadap gejala ini di luar kotak politik kepartian sempena pemilihan UMNO, tetapi masih mempunyai hubungan dengan rasuah politik atau politik wang @ duit @ pitis ini dan UMNO itu sendiri.

Yang saya maksudkan ialah berlakunya politik wang @ duit @ pitis atau rasuah politik dalam radio. Jelasnya politik wang juga menular dalam politik radio. Kurang jelasnya, sama ada rasuah politik radio ini menular dan berjangkit daripada rasuah politik UMNO atau sebaliknya atau jangkitan itu kerana dasar politik radio oleh politik UMNO, kita fikirkanlah bersama.

Saya hanya mendengar radio ketika memandu. Stesyen yang saya ikuti tidak tetap, maksudnya tidak menentu berdasarkan kesesuaian lagu yang diputarkan (sekarang diklikkan sahaja) atau kesesuaian segmen / siaran pada waktu-waktu saya sedang ikuti itu. Kerana itu, saya boleh mendengar sendiri bagaimana sambutan pendengar dan apa kaedah dan cara stesyen-stesyen radio berkenaan gunakan untuk memikat pendengar mengikuti siaran stesyen radio mereka.

Tidak dinafikan, faktor utama yang dititikberatkan oleh kebanyakan stesyen radio ialah penyampai atau mudahnya disebut Deejay mereka. Mereka menyediakan khidmat Deejay yang muda-muda, glamour, personaliti tersohor dan pelbagai kriteria lainnya, bersesuaian dengan sasaran pendengar, waktu siaran dan seumpamanya.

Jadi apa hubungannya dengan rasuah politik?

Seperti yang saya sebutkan, saya kurang pasti siapa mengikut siapa atau siapa terpengaruh dengan siapa antara politik UMNO dan politik radio ini. Yang pasti, rasuah politik radio nampaknya lebih dahsyat dan lebih serius daripada rasuah politik UMNO. Radio medium penyiaran yang boleh menarik sehingga jutaan orang mendengar dan memahami apa yang diudarakan walaupun si pendengar itu buta huruf. Berbeza dengan medium penyiaran massa dan IT (surat khabar, majalah, laman web, blog dan yang sewaktu dengannya) yang setidak-tidaknya memerlukan orang yang tahu membaca dan tidak buta IT. Kerana itu, sesuatu yang disebut melalui radio akan mudah diterima, difahami dan diikuti.

Dalam situasi stesyen radio yang bercambah dan masing-masing berlumba-lumba untuk menarik pendengar, pelbagai strategi, tektik, teknik, cara dan pendekatan digunakan. Tujuannya hanya satu, lebih banyak pendengar akan lebih banyaklah syarikat-syarikat berani melabur melalui iklan dan untunglah stesyen radio berkenaan. Itu saja.

Persoalannya bagaimana strategi, tektik, teknik, cara dan pendekatan itu? Dalam memastikan segala inilah berlakunya politik wang @ rasuah politik.

Cuba kita ikuti sebuah stesyen radio yang dipunyai oleh syarikat yang juga mempunyai stesyen TV swasta pertama negara. Boleh dikatakan bagi setiap segmennya bermula 6 pagi sehingga 6 pagi berikutnya, wajib melibatkan rasuah politik (‘dikatakan’- justeru saya tidak mengikuti siarannya selama 24 jam - yang pasti sepanjang segmen yang saya ikuti ada pertaruhan dan ganjaran @ rasuah politik radionya).

Bayangkanlah hanya sekadar menjadi pemanggil bilangan yang ke sekian sekiannya, atau meneka satu dua lagu atau memberi cogan kata dengan tepat atau memberi kata laluan dengan betul sahaja, pendengar sudah berjaya memenangi sejumlah wang yang disediakan. Dan kalau tidak berjaya dimenangi oleh pendengar yang kurang bernasib baik itu, wang rasuah itu akan dikumpulkan sehingga mencecah ribuan ringgit dan wajib diberikan walaupun sehingga kepada pemanggil / segmen ke-100.

Kebiasaannya ‘hadiah’ berupa wang tunai itu disediakan oleh penaja. Maka berulang-ulanglah motto, tagline atau cogan kata syarikat penaja dilaung-laungkan oleh Deejay yang bertugas.

Bagi mereka (stesyen radio) besarnya jumlah wang yang ditawarkan akan menjanjikan besarnya pengaruh stesyen radio mereka kepada pendengar. Inilah ‘perebutan’ kuasa dan pengaruh dalam politik radio - menggunakan wang sebagai hadiah sekali gus menggalakkan rasuah politik radio dan perjudian serta pertaruhan.

Kadang-kadang saya juga terfikir kenapa galakan kepada politik wang ini menjadi begitu dominan dalam menarik pendengar radio, sama seperti dominannya wang bagi mendapatkan pengaruh, pencalonan dan kuasa dalam politik kepartian UMNO. Perlu sangatkah wang atau memang manusia ini begitu mudah dipengaruhi kerana wang? Jawapannya memang ya. Kerana wang adalah kuasa adalah pangkat adalah darjat adalah segala-galanya. Pertukaran dengan bukan berbentuk wang mungkin menjejaskan minda dan pemikiran rakyat sehingga pemikiran mereka menjadi lebih terbuka dan sudah pasti akan menyanggah Menteri atau pemimpin atasan yang sudah selesa duduknya.

Contoh yang ketara, sebuah syarikat akhbar perdana yang menaja satu segmen dalam stesyen radio yang saya maksudkan di atas. Hanya dengan menjawab lima soalan mudah dan bodoh sahaja, pendengar sudah berjaya memenangi wang sejumlah RM500 (maknannya satu soalah mudah dan bodoh nilainya RM100). Dan kalau tak dimenangi wang akan dikumpulkan untuk segmen yang sama pada jam berikutnya. Akan bertambah bertambah dan bertambah hanya dengan lima soalan mudah dan bodoh.

Apa salahnya untuk menggalakkan pendengar @ rakyat membaca, mendalami dan melebarkan pengetahuan, hadiah wang tunai itu ditukar dengan langganan akhbar @ majalah @ sebarang penerbitan syarikat berkenaan selama tempoh yang boleh ditentukan sama nilainya dengan jumlah tunai itu. Pembacaan akan menambah ilmu dan pengetahuan dengan lebih luas. Minda tidak jumud. Pemikiran tidak kontot. Tetapi mungkin juga syarikat penaja berkenaan pemikirannya sama seperti saya yakni menganggap pendengar radio semuanya adalah buta huruf dan tidak tahu membaca.

Mungkin itu tanggapan stesyen radio atau mungkin itulah dasar yang ditetapkan kerajaan yang mewajibkan mereka mengikutinya. Kerana yang pasti kebanyakan stesyen radio yang sempat saya ikuti, termasuklah stesyen yang dipunyai oleh kerajaan, turut mengamalkan rasuah politik radio ini.

Perlakuan ini (menawarkan wang dan memenanginya) dibuat secara cukup terbuka, telus dan tersebar tanpa terselindung sedikit pun. Yang berlaku dalam politik kepartian UMNO adalah ‘ajaran’ tidak langsung kepada merebak dan berjangkitnya rasuah politik kepada radio dan banyak lagi agensi lainnya. Apakah ini dasar yang disengajakan atau dasar tersirat dan terselindung yang dihalalkan, itu kena tanya pemimpin-pemimpin UMNO yang sudah 51 tahun memperkenalkan dan mengamalkan pelbagai dasar untuk agensi di bawah kawalan mereka.

Persoalan yang perlu difatwakan : apakah rasuah politik @ politik wang @ duit @ pitis itu sama sifat dan hukumnya seperti dosa besar JUDI dan BERTENUNG NASIB?

Sekadar itu, insya-Allah mungkin lain kali kita boleh berkongsi idea berkaitan dengan ‘fulus mania’ yang disiarkan melalui saluran TV pula. Mungkin itu juga adalah rasuah politik untuk menarik penonton. Rasuah politik TV.

Selasa, November 18, 2008

YANG TERPECAT & TERENCAT

Sindrom pecat memecat dalam UMNO terus mekar dan segar. Di arena nasional beberapa bloger meramalkan kemungkinan terpecatnya Muhyiddin Yassin daripada jawatan menterinya kerana dianggap sebagai “trouble maker” (pencetus masalah). Di gelanggang tempatan (Terengganu kite), isu pemecatan Exco masih menjadi tanda tanya dan belum bernoktah.

Di pentas lagi kecil (bahagian) dalam Terengganu kite, ada cerita trouble maker vs trouble ‘blake’ (masalah belaka).

Dua orang trouble maker telah terpecat daripada jawatan Pengerusi Penyelaras DUN, walaupun mereka ini terdahulu adalah pengerusi penyelaras DUN masing-masing dan masih lagi menjadi ADUN bagi kawasan berkenaan. Perkiraan mana yang dijadikan kayu ukur, wallahuaklam. Yang pasti hak itu (memecat) terletak di tangan Ketua Bahagian.

YB Zakaria (ADUN Paka) dan YB Dato’ Din Adam (ADUN Bukit Besi) adalah dua individu yang dianggap sebagai pencetus masalah dalam UMNO Bahagian Dungun kerana mereka bersekongkol menentang Ketua Bahagian pada pemilihan bahagian baru lalu. Itulah hukumannya. Padan muka.

Maka kedua mereka pun ‘terpecatlah’…

Alakian, sumber yang rapat dengan UMNO Bahagian Dungun turut mengesahkan bahawa YB Matulidi Jusoh (Ahli Parlimen Dungun/Naib Ketua Bahagian) telah dilantik menjadi Pengerusi Penyelaras bagi kedua-dua DUN berkenaan. YB Matulidi pada pemilihan bahagian lalu telah bermain acilop dan kluk klek, sebab itu beliau selamat. Makan cari boss... Politik acilop samalah macam ikan celup tepung. Seburuk mana ikan di dalamnya dapat diselindung dengan tepung yang disalut dan digoreng.. eemmm sedapnya sehingga menjilat jari.

Alkisah, bagi mengenang jasa dan budi yang sudah pasti tidak sedikit, Ketua UMNO Bahagian Dungun merangkap Setiausaha UMNO negeri merangkak (jangan betulkan ejaan anda) Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan, Dato’ (Dr Jepun) HAJI Rosli bin Mat Hassan atau nama manjanya Pak Li, telah melantik pegawai UMNO bahagian di kalangan orang-orang yang dianggap ‘trouble blake’.

1) Setiausaha UMNO Bahagian (muflis @ bangkrap trouble) – telah disahkan muflis. Pengesahan muflis didedahkan semasa persidangan peringkat cawangan, sebab itu beliau tidak dapat bertanding AJK Bahagian. Semasa muflis, masih jadi pegawai kerajaan - Ketua JASA Parlimen Dungun.

2) Bendahari UMNO Bahagian (eeemmm listening trouble) – tak kesahlah tu masalah peribadi, seorang kontraktor dan Ketua cawangan. Orang lama dalam UMNO Bahagian Dungun. Pernah jadi Bendahari Pemuda zaman YB Zakaria jadi Ketua Pemuda. Pada ketika itu, beliau ini menjadi antara orang yang kuat menentang Pak Li. Kategori mini troublelah kiranya.

3) Ketua Penerangan UMNO Bahagian – (pecat lantik pecat lantik trouble). Pernah dilantik dan dipecat sebagai Ketua Penerangan oleh Pak Li, kemudian dipecat kemudian dilantik lagi, kemudian dipecat dan lantik lagi. Jangan peliklah nanti akan dipecat lagi dan kemudian dilantik lagi. No hal trouble lah dia ni.

Yang pasti mereka nin (termasuk YB Matulidi) tergolong dalam kategori orang-orang yang ‘terencat’ dan “troublers” (sekali lagi, jangan betulkan ejaan anda) dan Pak Li telah memainkan peranan serta haknya dengan bijaksana sekali, kerana ini bukan sekali dua Pak Li memecat orang. Demikian juga dengan melantik orang bermasalah, bukan pertama kali. Memang perkara memecat dan melantik orang bermasalah sebegini telah menjadi semacam kemestian dan tradisi Pak Li yang telah dibawa sejak dulu-dulu lagi.

Ahad, November 16, 2008

YANG BERBELIT & PUTAR ALAM (Siri 4)

Berikut adalah kenyataan pegawai kanan UMNO yang memang kerja mereka adalah ‘menerangkan’ yang kurang terang kepada ahli UMNO dan rakyat. Tugas mereka tak lah susah sangat, cuma menerangkan yang kurang terang, menjelaskan yang kurang jelas, memaklumkan yang kurang maklum. Tiga berita yang dipetik dari sumber yang sama (Sinar Harian) di bawah ini bagaimanapun ‘terang, jelas dan sedia maklum’ berbelit-belit dan putar alam.

Berita 1 (Datuk Zubir Embong, Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu) :
UMNO Terengganu semalam menafikan desas-desus bahawa parti itu sekarang sedang berdepan dengan pergolakan dan mengalami perpecahan antara pemimpin serta anggota parti itu sendiri. Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai khabar angin semata-mata, Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zubir Embong berkata, UMNO negeri ini tetap teguh dan hubungan antara pemimpin baik. Menurut Zubir, dakwaan tidak berasas itu adalah salah satu usaha musuh Barisan Nasional (BN) mengelirukan penyokong dan anggota UMNO selain cuba mengaut keuntungan daripada ketidakharmonian parti akibat fitnah tersebut.

Berita 2 (Haji Razali Idris, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu/Naib Ketua UMNO Bahagian Marang) :
“Sepatutnya dia (Abdul Rahman Bakar) kena redha dengan kekalahan, dia tidak diterima oleh akar umbi. Kalau kita pemimpin yang hebat dan tidak boleh hendak terima hakikat sebenar maka lebih baik dia keluar parti”.

Dia memang cukup hebat sehingga dipanggil ‘giant killer’ dan angkuh dengan gelaran itu tetapi sebenarnya yang melahirkan ‘giant killer’ itu ialah anggota UMNO Bahagian Marang. Tindakan beliau itu adalah tidak profesional, berunsur pembohongan sebab dia bekerja keras untuk menang.

Berita 3 (YB Senator Dato' Abdul Rahman Bakar, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Marang / Bekas Ketua UMNO Bahagian Marang) :
Menurut Abdul Rahman, paling mengejutkan apabila Razali dilihat angkuh dan sombong serta bersikap kurang ajar apabila memintanya keluar dari parti jika tidak dapat menerima hakikat yang beliau tidak diterima akar umbi.

“Saya bukannya ingin menghentam dia (Razali), tapi hanya mempertahankan diri saya kerana mungkin dia mempunyai agenda lain sehingga menuduh saya sebegitu. Nasihat saya jangan terlalu emosi dan membuat tuduhan ‘nakal’ yang boleh menjatuhkan dan menghukum orang lain tanpa sebab”.

(p/s : Yang terang lagi bersuluh, yang jelas lagi berkanta, yang maklum lagi bingung).

Jumaat, November 14, 2008

YANG KIRIM SMS, MENGUGUT, MEMAKI HAMUN & MENCARUT

Saya menulis bersandarkan prinsip “berkata benarlah walaupun pahit". Dan mungkin kerana kepahitan yang dirasai daripada kebenaran itulah yang menyebabkan saya menerima panggilan dan sistem pesanan ringkas (sms) daripada orang-orang tertentu.

Kesnya bermula mungkin kerana tulisan saya (baca di sini) yang turut dipetik oleh Zabidi Saidi (Editor Watan) daripada blog peribadi saya dan kemudian disiarkan dalam Mingguan Watan terbitan 9 – 15 November 2008.

12 November, pukul 10.39 malam, saya menerima sms yang berbunyi “Lan pendek kata Zabidi patut ditembak tengah padang bersetongkol dgn kaki jahat pembangkang mubin”.

Saya hubungi Roslan Abdul Rahman (yang disebut Lan pendek dalam sms tu) Pemangku Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) yang juga bekas Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Nerus (sekarang beliau dah jadi AJK Bahagian yang menang bertanding). Roslan sambil bersumpah "wallahi, wabillahi, watallahi" berserta kalimah "demi Allah" menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia ada berkata begitu. Kata Roslan, memang dia ada baca tulisan yang dimaksudkan dalam Watan yang ditunjukkan kepadanya, tetapi dia tidak pernah berkata sedemikian.

Lalu saya memaklumkan hal ini kepada Zabidi Saidi dan Zabidi ada menyebut seorang individu lain (tidak perlu disebut nama penuhnya di sini kerana saya sendiri tidak mengenalinya, cukup sekadar disebut sebagai Hj K sahaja). Kata Zabidi, Hj K yang memaklumkan perkara itu kepadanya. Sehingga hari ini saya tidak tahu sama ada Zabidi sudah selesaikan atau belum perkara ini dengan Hj K dan Roslan, kerana saya minta Zabidi untuk selesaikannya memandangkan perkara ini dimaklumkan kepada beliau (Zabidi) oleh Hj K yang turut melibatkan Roslan dan saya.

13 November, kurang lebih pukul 7.50 malam, saya menerima satu panggilan daripada nombor yang tiada dalam rekod telefon saya. Nombornya menggunakan talian DiGi prepaid 016. Pemanggil tanpa memperkenalkan diri bertanya “siapa ni?” Saya membalas dengan juga soalan “hendak bercakap dengan siapa?”. Pemanggil bertanya lagi apakah saya tuan punya nombor telefon yang didailnya (nombor telefon saya). Saya menjawab ya.

Pemanggil kemudian bertanya saya sama ada boleh berjumpa atau tidak. Saya katakan “Boleh, tak ada masalah. Tapi siapa nin?”

“Tak perlu tahu siapa, jumpa nanti baru tahu”, jawab pemanggil berkenaan.
“Macam mana nak jumpa kalau saya tak tahu siapa-siapa, saya nak cari di mana dan untuk apa?” kata saya lagi.

“Kalau tak boleh jumpa, tak apalah”. Lalu pemanggil telefon berkenaan memutuskan percakapannya dengan saya.

Kira-kira tiga minit kemudian (pukul 7.53 malam) saya menerima sms daripada nombor sama yang baru menelefon saya sekejap tadi. Bunyi smsnya :

“Mu ada mana? mu wartawan jenis menatang mu. Aku nk jupe gok mu skali” (dialek Terengganu. Terjemahannya : Awak ada di mana? Awak ni wartawan jenis binatang. Aku nak berjumpa juga dengan awak sekali).

Sudah berbau ugutan dan saya langsung terfikir, kalau disebut ‘wartawan’, mungkin lanjutan daripada tulisan saya dalam Watan itulah.

Kami berbalas-balas sms. Sms daripada pengirim ini diselangseli dengan hampir 100 peratus kata-kata nista, memaki hamun, mengugut, mencarut, kata-kata kesat dan emosional. Saya menerima dan membaca kemudiannya membalas dengan penuh gurauan. Saya tidak mengikut rentaknya yang penuh perasaan itu, sebaliknya hampir seluruh balasan sms daripada saya, saya masukkan ketawa yang saya pinjam ketawa Tukar Tiub (saya suka dengan cara ketawa Tukar Tiub walaupun terdahulu saya juga pernah gunakan ketawa yang sama tetapi dieja Kah3... gitu aje).

Keseluruhannya ada enam atau tujuh kali kami berbalas sms. Saya tidak akan menyiarkan di sini apa kandungan sms terutama kandungan sms pengirim berkenaan. Cuma yang saya boleh katakan, smsnya dipenuhi dengan ugutan, maki hamun, mencarut dan kata-kata kesat yang tak layak untuk disiarkan untuk bacaan umum. Bayangkan bagaimana sikap dan pemikiran si pengirim sms itu kalau perkataan-perkataan ini digunakan (sebahagian sahaja kerana sebahagian lagi tak layak disiarkan) : anak babi, menatang, menatang babi, celaka, dayus, kurang ajar, bangang, tadok batu, mampus deras, kepala bapak, jaga mun, aku sumpah demi Allah mun masuk neraka jahanam, mapus mun sekeluarga, aku akan cari mun sampai ke …… , aku boleh main ikut belakang (pintu belakang? Ada orang berpengaruh di belakangnya?) dan sebagainya (untuk makluman, ada perkataan-perkataan ini digunakan lebih daripada sekali).

Saya akhiri membalas smsnya dengan “kah kah kah… terima kasih sahabat, assalamualaikum” dan saya tidak menerima balasannya lagi. Dapat disahkan bahawa pemanggil/pengirim sms adalah orang yang sama dan berketurunan Melayu (Islam?).

Persoalannya apa yang menyebabkan pengirim sms tu terlalu marahkan saya. Kalau nak diikutkan, tulisan saya tu tidaklah terlalu kasar dan totok sangat menghentam orang-orang tertentu (terutamanya Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said). Tapi itulah sebenarnya penerimaan banyak orang. Saya tidak mahu menuduh atau membuat andaian berkaitan adanya upahan, marah kerana berkepentingan atau sebagainya.

Yang saya hendak sebutkan hanyalah, sudah lebih 1000 kali kebaikan ditulis berkaitan dengan UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO, khususnya pemimpin dan UMNO Terengganu. Saya juga orang UMNO. Sudah lebih 25 tahun saya jadi ahli UMNO. Macam-macam tulisan sudah saya tulis berkaitan UMNO dan pemimpin-pemimpinnya. Dalam konteks sekarang pun, sudah terlalu banyak saya memuji Ahmad Said dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain. Sudah terlalu banyak kita seimbangkan pemberitaannya.

Namun yang peliknya, tidak ada sepatah pun ucapan terima kasih atau pujian atau kejian hasil daripada tulisan yang memuji dan memihak itu. Saya (atau akhbar Watan contohnya dalam kes ini) bukan mengharapkan sangat atau menagih pujian dan ucapan begitu. Tetapi hanya dengan sekali sahaja kita menulis yang agak sinis (hanya sinis, tak sampai ke tahap buruk sangat pun – sila rujuk balik tulisan tu), kita sudah melatah, sudah melenting dan macam-macam tuduhan buruk dilemparkan kepada wartawan. Itulah nasib wartawan.

Kita kena tengok apa tujuan kita menulis sesuatu rencana/berita. Apakah kita sedar kesilapan dan kesalahan kita sebelum membaca apa yang telah ditulis? Sejauh mana kita bersedia berubah kalau benar apa yang ditulis itu di luar kesedaran kita? Ada sesiapa yang pernah menegur kita sehingga kita terlalut dan membuat keputusan di luar peraturan. Tidak pernah terfikirkah bahawa tulisan juga adalah untuk membantu kita membaiki kelemahan dan kesalahan yang mungkin kita terlepas cakap, tersalah bicara, terlajak kata? Tidak pernah terlintas ke walau sekelumit rasa bahawa tulisan juga adalah untuk membantu kita dan kerana orang sayangkan kita, takut-takut kita semakin hanyut dan lupa daratan? Tulisan juga adalah penasihat, bukan orang sahaja yang boleh jadi penasihat. Berfikirlah secara positif dan jangan hanya mendapat nasihat daripada orang-orang yang berkepentingan sahaja.

Rasionalkan diri sikit. Jangan kita membaca satu dua akhbar sahaja. Jangan kita membaca akhbar yang pro kerajaan dan pro kita sahaja. Apabila kita hanya tertumpu kepada satu dua akhbar saja, inilah padahnya. Pemikiran kita menjadi jumud, terbatas dan apabila sahaja kita membaca yang tidak menguntungkan kita, kita segera menjadi tidak rasional. Perlakuan kita terbabas di luar batas kesopanan sebagai seorang Islam dan di luar batas kesantunan dan kesusilaan sebagai seorang Melayu. Banyakkan membaca. Tidak rugi kalau kita banyak membaca.

Bacalah surat khabar atau rajin-rajinlah membuka laman web dan blog yang jumlahnya sampai ratusan ribu itu. Ada yang pro kerajaan, pro pembangkang, yang liberal dan yang menyokong individu-individu tertentu. Kalau yang bukan pro UMNO/Kerajaan BN, seribu kali lebih teruk mereka menghentam pemimpin-pemimpin dan UMNO, termasuk pemimpin dan UMNO Terengganu. Kalau yang menyokong individu-individu tertentu, seribu kali lebih dahsyat kutukannya walaupun yang dipujapuji dan dihentamkutuk itu datangnya daripada parti yang sama. Baik PAS, DAP, MCA, MIC, PKR, UMNO atau parti apa-apa sekali pun. Kadang-kadang lebih dahsyat kutukannya antara sesama parti daripada mengutuk pihak lawan atau berlainan parti. Ambillah contoh yang berlaku dalam UMNO sekarang. Di seluruh negara, bukan sahaja pemimpin tertinggi di peringkat pusat, malah di peringkat cawangan pun berlaku buruk memburuk. Selongkarlah blog/web yang pelbagai anutan, ideologi, kecenderungan dan ketaksuban. Itulah contoh terbaik yang boleh kita jadikan panduan.

Kalau pun kita membaca satu dua akhbar yang pro kerajaan dan menghentam teruk pemimpin dan parti lawan. Apa yang kita rasa? Seronok? Suka? Padan muka? Patut dah begitu? Memang betul begitu? Pemimpin itu tak guna, pemimpin ini tak guna? Memang Anwar kaki liwat.. Memang Haji Hadi dan Nik Aziz putar belit Islam. Pakai serban je besar, perut busuk, kaki kelentong. Memang Kit Siang anti-Melayu. Samy Vellu gila kuasa? Sokong Hindraf? Memang Karpal Singh anti-Islam. Berapa banyak kita ucapkan terima kasih kepada wartawan yang menulis begitu? Berapa banyak yang kita upah wartawan yang mengutuk orang yang kita tidak suka itu? Atau ada kita marah, memaki hamun, mencarut dan menghantar sms mengugut mereka kerana tulis keburukan yang maha teruk kepada pemimpin-pemimpin itu.

Marahkah kita dan memaki hamunkah kita kepada wartawan yang memburukkan Dato’ Idris Jusoh? Memaki hamunkah kita kepada wartawan yang memburukkan Dato’ Rosol Wahid? Memaki hamunkah kita kepada wartawan yang memburukkan Dr Mahathir dan Pak Lah? Memaki hamunkah kita kepada wartawan yang memburukkan dan menuduh Dato’ Najib? Memaki hamunkah kita kepada Dr Mahathir yang tidak serik-serik menghentam Pak Lah sehingga Pak Lah terpaksa turun takhta?

Kerana kita taksub dan mempunyai banyak kepentinganlah, maka kita menjadi pembela dan penyokong yang membabibuta dan hilang maruah diri. Kerana kita takut dengan bayang-bayanglah, maka kita menjadi pengikut yang liar bertindak tanpa kesantunan, kesopanan dan kesusilaan. Kerana kita totoklah, kita menjadi orang yang tidak bermoral dan hilang akal. Kita bertindak di luar kawalan sebagai seorang Islam berbangsa Melayu. Jangan sampai orang luar menambahkan label kejelikan UMNO dek kerana tingkah laku kita yang kebudak-budakan ini.

Inilah manusia, tidak mudah untuk menerima kelemahan dan kekurangan diri. Tidak boleh menerima kritikan dan teguran. Tidak matang berpolitik. Masih beranggapan diri kita seratus peratus sempurna dan tiada cacat celanya, walaupun kesalahan dan kesilapan kita itu sudah disaksikan oleh sejagat raya manusia di seluruh dunia. Jadilah orang yang pandai bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang ada. Atau kalau kita masih lagi tidak dapat merasionalkan diri dan masih tidak boleh menerima teguran/kutukan, baiknya kita baca sahaja media (akhbar/web/blog dsbnya) yang hanya memihak kepada kita. Jangan baca surat khabar atau web atau blog pro pembangkang dan liberal yang menghentam kita atau tidak memihak kepada kita, termasuklah juga akhbar Watan, kerana Watan adalah surat khabar liberal dan berkecuali yang tidak memihak kepada sesiapa. Ada kalanya menyokong dan ada kalanya mengkritik, tidak kira kerajaan atau pembangkang. Dengan itu, barulah kita akan aman dan tidak akan merasa 'sakit hati'.

Saya langsung tidak kesah dengan ugutan, caci maki, celaan, carutan begitu kerana saya sudah lali dengan situasi begitu. Saya hanya ingin merakamkan jutaan terima kasih sahaja. Saya pernah mengalami situasi yang lebih teruk daripada ini. Saya sudah lama menghadapi perkara seperti ini, sudah lebih dua puluh tahun. Saya sudah ‘kalih’ naik turun mahkamah kerana menulis dan tulisan. Saya pernah diperintah mengadap ke istana semasa hayat al-Marhum Sultan Terengganu kira-kira dua puluh tahun lalu, juga kerana tulisan saya. Saya pernah diperintah bersemuka dengan Menteri Besar (TS Wan Mokhtar Ahmad) kerana tulisan.

Saya pernah dipanggil oleh Ketua Polis negeri juga kerana tulisan. Saya pernah diugut bunuh oleh ‘gengstar’ juga kerana tulisan. Ketika pemilihan UMNO yang menyaksikan pertembungan jawatan Presiden UMNO tahun 1987 antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah, seorang Timbalan Menteri pernah menyaman saya dan akhbar Watan (kepunyaan penerbit ketika itu, bukan Watan sekarang) juga kerana tulisan. Rekod dan segala maklumat yang berkaitan dengan kes-kes tu masih ada saya simpan sebaiknya.

Namun saya bersyukur kerana dengan prinsip “berkata benarlah walaupun pahit” dan bukti-bukti yang sahih tentang apa yang ditulis, baginda Sultan tidak memurkai saya. Saya dinasihati, langsung tiada kemurkaan atau bertitah kasar dengan saya. Itulah ciri-ciri yang dituntut oleh Islam. Ciri-ciri yang amat sebati dengan jiwa dan roh keMelayuan. Ciri-ciri berdaulatnya seorang Sultan.

TS Wan Mokhtar juga tidak memarahi saya dan beliau sendiri mengakui kesilapannya kerana salah tanggapan terhadap saya menyebabkan beliau seakan-akan ‘berdendam’ dengan saya (tetapi setahun kemudian beliau sedar, kesilapannya berdendam dengan saya). Ketua Polis juga hanya menasihati agar ‘pandang-pandanglah’ ketika menulis, dan mengakui bahawa saya dipanggil kerana melaksanakan tugas yang diarahkan.

“Gengstar’ yang mengugut saya sempat juga 'beristirehat' di Penjara Kajang, tetapi tidaklah lama, hanya lima tahun sahaja. Timbalan Menteri yang menyaman saya juga menarik balik samannya sebelum dibicarakan dan selepas itu beliau tidak lagi menjadi Timbalan Menteri.

Untuk kes terbaru ini, saya boleh agak siapa orang/pengirim sms ini dan siapa orang-orang di belakang orang ini. Mungkin agakan saya ini betul atau mungkin juga salah. Yang jelas ‘orang dan orang-orang’ ini, saya namakan sebagai suspek. Tetapi itu semua tidak penting. Yang juga tidak penting, sekadar makluman saja ialah segala maklumat sms, nombor-nombor telefon, nama-nama individu yang ‘disyaki’, nama-nama individu yang melalui proses penghantaran sms dan pemaklum (termasuk Zabidi Saidi, Roslan Abdul Rahman dan beberapa orang lagi) sudah berada dalam rekod Jabatan Siasatan Jenayah. Setakat ini maklumat berkenaan hanya sebagai rekod sahaja, bukan untuk diambil apa-apa tindakan susulan. Maaf, ini bukan ugutan atau untuk menakut-nakutkan sesiapa, cuma sekadar untuk memaklumkan sahaja.

Itulah adat dunia. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Rabu, November 12, 2008

YANG CAP AYAM : KOKOK BERDERAI, EKOR BERSALUT TAHI

Seorang teman menghantar SMS petang tadi :

> BERITA TERKINI : Mesyuarat Exco hari ini dok bincang pun isu pemecatan dan rombokan exco. Alasan MB sampai masa akan dimaklumkan… itu saja jawapan diberikan.. [drp : sumber rasmi]. Dok beranilah tu… dokleh nak keneng dah ke… cakap jer… tqvm. Drp: xxxxx <

Ini adalah contoh berita cap ayam. Ayam memang hebat sebab itu hal-hal yang berkaitan dengan ayam banyak diibaratkan dan dianalogikan. Sebahagiannya dijadikan pepatah pepatih dan peribahasa Melayu. Contohnya :

- Jangan diikut resmi ayam, bertelor sebiji riuh sekampung
- Kokok berderai-derai, ekor bergelumang dengan tahi.
- ayam terlepas, tangan bau tahi

Itulah hebatnya “ayam” dan hebatnya peribahasa Melayu. Sebab itu timbulnya “cap ayam’.

Yang masih menjadi persoalan : berita tersebut atau isi berita tersebut yang cap ayam?
Related Posts with Thumbnails