yang semasa

Isnin, Mac 16, 2020

YANG MENDAPAT MANDAT RAKYAT?

(1) TAFSIRLAH sendiri sama ada kerajaan PN hari ini kerajaan pintu belakang atau kerajaan melalui bumbung. Masing-masing mempunyai rasional tersendiri untuk memanipulasi fakta dan keadaan. 

(2)  Yang JAM nak sebutkan kali ini adalah berkaitan “mandat rakyat”. 

(3) Kerajaan PH sebelum ini mendakwa mendapat mandat rakyat dalam PRU-14 untuk menubuhkan kerajaan 22 bulannya. Itu betul. Mereka (PH) mendapat mandat rakyat dan mendapat majoriti jumlah kerusi di Dewan Rakyat berdasarkan parti. Dalam sistem demokrasi berperlembagaan amalan negara Malaysia, mana-mana ahli parlimen yang mendapat undi majoriti di kawasan masing-masing dikira mendapat mandat rakyat sehingga membolehkan seseorang calon pilihan raya itu diangkat untuk menjadi Yang Berhormat di kawasan yang ditandinginya. 

(4) Maknanya mereka mendapat “majoriti” mandat rakyat di kawasan mereka. Cuma bezanya, mereka tidak mendapat jumlah kerusi majoriti berdasarkan “parti yang mereka wakili”. Oleh kerana Malaysia tidak mengamalkan sistem dua parti, maka jumlah majoriti untuk membentuk kerajaan masih dikira berdasarkan mandat rakyat kepada setiap seorang wakil rakyat mereka. 

(5) Sebab itu, proses lompat melompat parti / beralih sokongan, boleh menjadikan berdirinya atau runtuhnya sesebuah kerajaan. Yang dikira masih lagi “batang tubuh” yang telah mendapat majoriti mandat rakyat daripada proses pilihan raya. Istilah mengkhianati mandat rakyat hanyalah sekadar retorik untuk mendapat simpati dan melepaskan perasaan serta gambaran rendahnya moral dan maruah seseorang YB yang melompat. Proses ini dibenarkan oleh perlembagaan tetapi dari segi moralnya, ini proses yang terkutuk. 

(6) Kalau semua ini diambilkira, istilah pintu belakang atau pintu depan tidak timbul sama sekali. Gabungan atau kesatuan antara parti-parti yang diwakili seseorang Ahli Parlimen hanya merupakan asas untuk memudahkan perjumlahan majoriti mandat rakyat bagi membentuk sesebuah kerajaan. 

(7) Apakah kerajaan PN yang menggantikan kerajaan PH22 dikira kerajaan yang mendapat mandat rakyat? Kalau perkiraan di atas diterima dengan lapang dada, maka kerajaan PN sah menjadi kerajaan yang mendapat majoriti mandat rakyat (di atas kertas). Itu jugalah perkiraan yang dibuat (selain atas kuasa penuh dan budi bicara sebagaimana diperuntukkan dalam perlembagaan) oleh Tuanku DYMM SPBYDA dalam memutuskan untuk melantik TSMY sebagai PM8. 

(8) Apakah kerajaan PN mendapat mandat rakyat, makanya secara automatik kabinet kerajaan PN juga, kabinet yang mendapat mandat rakyat? Ini masih boleh dipertikaikan. Seseorang menteri / timbalan menteri yang dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang menang dipilih oleh rakyat / pengundi, sahlah itu menteri yang mendapat mandat rakyat. 

(9) Tetapi bagaimana dengan pelantikan menteri / timbalan menteri bukan hasil pilihan rakyat? Pelantikan mereka merupakan pilihan PM. Dilantik Senator kemudian dilantik sebagai menteri / timbalan menteri yang langsung tidak melibatkan mandat rakyat (terutama Senator tanpa parti). 

(10) Tambah harunya, individu yang terang-terangan ditolak rakyat, dihantuk dalam kabinet kerajaan dengan individu yang mendapat mandat rakyat dalam kawasan yang sama dan dalam pilihan raya yang sama (contoh terbaik PRU-14 Parlimen Ketereh, Kelantan). Bolehkah kita katakan bahawa ini kabinet mandat rakyat? 

(11) Semakin haru birunya, individu yang tidak mendapat mandat rakyat dinobatkan pula sebagai menteri kanan menjaga kementerian penting membangunkan modal insan dan individu yang mendapat mandat rakyat diserahkan menjaga satu wilayah kecil yang bukannya pula wilayah yang diwakilinya selaku wakil rakyat. 

(12) Hal yang sama (melantik menteri bukan mandat rakyat) dapat dilihat dalam beberapa kementerian penting yang lain. 

(13) Sudah tidak berwibawa dan “dok rok cetong” sangatkah ahli-ahli parlimen yang mendapat mandat rakyat sedia ada, sehingga mereka dinafikan untuk mengemudi kementerian-kementerian berkenaan? Kalau benar menteri tidak mendapat mandat rakyat (Senator) itu dikatakan hebat dan berwibawa tahap dewa, kenapa mereka disisihkan sebagai calon dalam PRU? (kecuali Menteri Kanan – Menteri Pendidikan yang memang sudah ditolak rakyat dalam PRU tetapi masih diangkat darjatnya oleh PM). Buta dan pekak badakkah pimpinan parti mereka sehingga tidak tergerak menyerahkan mereka ini untuk diadili oleh rakyat? Baharu keluar daripada guakah mereka ini, sehingga mereka terlepas pandang oleh pimpinan parti? 

(14) Motif apa sebenarnya yang cuba ditayangkan untuk tontotan awam oleh PM8 ini. Kerana itu, JAM berpendapat, kabinet kerajaan PN hari ini merupakan kabinet yang tidak sepenuhnya mendapat mandat rakyat. Bagaimana mereka boleh memberikan khidmat yang sebaiknya kepada rakyat (melalui kementerian mereka), kalau mereka baharu hendak memulakan langkah menghidu masalah rakyat? 

(15) Kalau dipanjangkan umur kerajaan PN, kerajaan ini hanya mempunyai masa kurang lebih tiga tahun (36 bulan) sahaja lagi menjelangnya PRU-15. 36 bulan bukan satu jangka masa yang panjang kalau nak diambil teladan daripada kerajaan 22 bulan. Tak bolehkah, (kata orang Terengganu) “ork dulu senapah”, dalam kekangan yang pelbagai ini, gunapakai sahaja AP sedia ada yang telahpun disahkan mendapat mandat rakyat untuk dilantik menerajui kementerian-kementerian dalam kabinet kerajaan PN sekarang. 

(16) Atau kerana dah habis stok daripada Bersatu bahagi dua + semburit and the geng + murtad UMNO, makanya yang mewakili parti-parti lain (terutama UMNO dan Pas), dikira sudah tidak layak dan wajar dinyahaktifkan? Atau apakah ini juga salah satu kaedah dalam melaraskan rangkaian ke arah melondehkan dan membogelkan UMNO secara berterusan? 

(17) Yang pasti, kabinet kerajaan PN sebenarnya kabinet pintu belakang. Tidak hairanlah, gendang “pintu belakang” terus dipalu oleh kumpulan PH yang sudah terlalu kecewa itu.
Related Posts with Thumbnails