yang semasa

Ahad, September 14, 2008

YANG LOMPAT MELOMPAT

DIBERITAKAN sekurang-kurangnya dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Terengganu akan menyertai Pakatan Rakyat menjelang 16 September, tarikh yang disasarkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menguasai Putrajaya.

Dakwaan adanya Ahli Parlimen Terengganu yang akan melompat ke Pakatan Rakyat telah mula dibisikkan bukan sahaja oleh orang banyak malahan menjadi perbualan hangat di kalangan pemimpin UMNO Terengganu sejak lebih sebulan yang lalu.

Cakap-cakap mereka kemudian diperkuatkan oleh kenyataan ADUN PAS Kawasan Ladang Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar ketika berceramah di Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu baru-baru ini.

“Bahkan saya juga terdengar, bahawa kalau ada yang menyeberangi masuk Pakatan Rakyat, maka ada ahli-ahli parlimen negeri Terengganu juga paling kurang dua orang, akan melompat masuk Pakatan Rakyat“, katanya.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dan satu daripadanya dikuasai oleh PAS melalui Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang, manakala tujuh kawasan Parlimen lainnya dikuasai oleh UMNO (BN).

Kerusi Parlimen yang dikuasai BN/UMNO ialah Parlimen Kemaman diwakili oleh Dato’ Ahmad Shabery Cheek (Menteri Penerangan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian), Parlimen Dungun (Matulidi Jusoh, Ketua Penerangan UMNO Bahagian) dan Parlimen Hulu Terengganu (Cikgu Mohd Nor Othman).

Selain itu, BN/UMNO juga menguasai Parlimen Kuala Terengganu (Dato’ Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran), Parlimen Kuala Nerus (Dato’ Nasir Ibrahim, Ketua UMNO Bahagian), manakala Ketua UMNO Bahagian Setiu yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie di Parlimen Setiu.

Parlimen Besut pula mengekalkan penyandang 2004, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Dato’ Dr Haji Abdullah Mat Zin.

Siapakah daripada ketujuh-tujuh Ahli Parlimen BN/UMNO yang disenaraikan di atas dikatakan bakal menyertai Pakatan Rakyat dan apakah kemungkinan faktor-faktor tarikan dan tolakan yang boleh menyokong menafikan kesetiaan mereka kepada BN/UMNO sehingga tindakan keluar parti terpaksa menjadi jalan terakhir mereka.

Mungkin faktor utama ialah kelemahan Pak Lah sendiri. Dalam konteks di Terengganu, Pak Lah dilihat gagal semenjak pengumuman calon bertanding dalam PRU ke-12 lagi. Kekalutan itu berlarutan sehingga membawa kepada kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu.

Kegagalan Pak Lah menyakinkan istana untuk meletakkan Idris sebagai Menteri Besar menyerlahkan kelemahan Pak Lah, apa lagi umum mengetahui Idris adalah pilihan Pak Lah. Tambah parah apabila Dato’ Ahmad Said, calon bukan pilihan dan bukan kehendak Pak Lah dilantik Istana sebagai Menteri Besar menggantikan Idris.

Tamparan hebat ini bukan sahaja dirasai oleh Pak Lah malahan tempiasnya sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi. Pro dan kontra dapat dilihat. Ahmad Said terpaksa mengharungi getir perjalanan yang tidak mudah untuk menjejaki kaki ke tingkat 16, Wisma Darul Iman.

Insiden ini sudah pasti, banyak orang termasuk Ahli Parlimen dan menjadi orang Idris yang masih setia turut sama merasai kekecewaan dan marah kepada Pak Lah, malah tidak melampau kalau dikatakan mereka ‘tidak menyukai dan enggan mengiktiraf Ahmad Said’.

Boleh dikatakan keseluruhan calon ahli Parlimen di lapan (8) Parlimen dalam negeri Terengganu adalah ‘orang Idris’. Atau kalau ada yang enggan mengakui dan telah mulai marah kerana dilabelkan sebagai orang Idris, mahu tidak mahu, mereka perlu mengakui bahawa mereka telah dicalonkan oleh Idris dan tujuh daripadanya menang dalam PRU.

Idris selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Pengerusi BN Negeri ketika itu telah mencalonkan mereka dan kemudian telah dipersetujui oleh Pak Lah. Kerana itu, tidak mustahil masih ada beberapa Ahli Parlimen yang kecewa dengan Pak Lah dalam kes ini dan Pak Lah tidak berjaya memulihkan keyakinan dan kekecewaan mereka. Mungkin mereka ini secara diam-diam merakamkan hasrat untuk tidak lagi bersama BN/UMNO.

Pak Lah juga gagal memberi alasan yang kukuh kenapa Dr Abdullah Mat Zin digugurkan daripada kabinet. Dr Abdullah orang agama, menang bertanding dan baru sepenggal berada dalam kabinet. Dr Abdullah juga masih menjadi Ahli Majis Tertinggi UMNO yang dilantik oleh Pak Lah.

Lebih malang, Terengganu sering dianaktirikan atau selalu didiskriminasikan dalam hal penganugerahan jawatan kabinet. Bukan sahaja di zaman Pak Lah, malahan sejak zaman Dr Mahathir lagi. Tetapi Pak Lah meneruskan dasar yang mengecewakan. Dari dulu, Terengganu tidak pernah mempunyai lebih daripada seorang Menteri, malahan ada ketikanya tidak mempunyai seorang Menteri pun.

Dr Abdullah digugurkan dan Terengganu diperuntukkan seorang Menteri dan dua Timbalan Menteri baru. Ahli Parlimen Kemaman dilantik sebagai Menteri Penerangan dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran. Seorang lagi Timbalan Menteri Dalam Negeri adalah Ahli Dewan Negara (Senator).

Kenapa Pak Lah tidak melantik di kalangan Ahli Parlimen yang menang sebagai Timbalan Menteri dari Terengganu? Pak Lah melantik Senator yang tidak bertanding ke jawatan Timbalan Menteri dan lebih memilukan lagi, kedua-dua Timbalan Menteri datangnya dari Kuala Terengganu.

Sedangkan di kalangan Ahli Parlimen yang ada, mereka bukan calang-calang orang. Sudah ada bekas Menteri, ada yang sudah berpuluh tahun bergelumang dengan politik, ada bekas anggota Exco Kerajaan Negeri, ada Ketua Bahagian, ada anak kepada pemimpin tertinggi negeri, ada yang berkelulusan PhD atau Sarjana, malahan ada bekas pegawai tinggi kerajaan.

Namun Pak Lah tidak melihat itu sebagai prasyarat perlantikan mereka sebagai Menteri atau Timbalan Menteri. Dan ini mungkin mengecewakan mereka. Bagi mereka, pilihan terbaik ialah menyongsong arus walau pun mereka mungkin tidak dijanjikan apa-apa.

Kegagalan Pak Lah dan Menteri Besar Terengganu untuk memujuk dan memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen Terengganu juga mungkin antara faktor. Pak Lah dan Ahmad Said tidak memberi peluang kepada mereka sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah badan-badan Berkanun Kerajaan atau syarikat-syarikat Anak Kerajaan Negeri.

Sebaliknya Pak Lah dan Ahmad Said hanya nampak ‘orang luar’ untuk dilantik atau mengagihkan jawatan yang berduit itu. Kalau sekadar sebagai Ahli Parlimen “bodoh”, bagaimana hendak menjaga survival politik dan memenuhi kehendak rakyat? Jawapannya, “alang-alang aku tidak dapat apa-apa, lebih baik semua tidak dapat”.

Kelemahan pimpinan pusat dan negeri terus diperkatakan. Kali ini, Pak Lah dan Ahmad Said gagal menghalang mereka daripada ditentang dalam pemilihan UMNO 2008. Sebahagian mereka adalah Ketua Bahagian. Sebahagian lagi adalah Timbalan dan Naib Ketua Bahagian. Mereka akan digempur sengit dalam pemilihan bahagian Oktober ini.

Ahmad Said hanya mengeluarkan kenyataan supaya jawatan Ketua Bahagian tidak ditentang dan untuk jawatan-jawatan lain tidak dinyatakan. Nasihat Ahmad Said itu tidak dihiraukan. Itu kelemahan Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri sedangkan beliau mempunyai “cara dan kuasa” tertentu untuk menundukkan mereka.

Dan tidak mustahil, kalau pun mereka tidak berpaling menjelang 16 September ini, mereka akan mengambil keputusan yang sama selepas mereka tersungkur pada Oktober atau November nanti.

Dalam kes kepimpinan di peringkat negeri ini juga, Ahmad Said selaku Pengerusi Badan Perhubungan Negeri tidak memberi peluang untuk mereka berjawatan di dalam parti. Ahmad Said rela melantik pegawai-pegawai kanan parti bukan di kalangan mereka. Mereka merasa terpinggir, apa lagi mereka yang tidak berjawatan apa-apa di peringkat Bahagian.

Mungkin itu antara faktor yang memungkinkan seorang atau dua atau mungkin LIMA daripada Ahli Parlimen Terengganu bakal menyeberang jambatan yang telah dibina rakyat untuk mereka ke tanah Pakatan Rakyat.

Apa pun alasannya, seperti kata seorang kawan, “pada pendapat aku bab lompat melompat tak salah malah bermaruah jika sekiranya ia sebagai jalan untuk mengembalikan hak rakyat dari dipimpin oleh manusia lemah yang menggelapkan mahsul negara untuk kepentingan kroni bukan untuk rakyat”.
Related Posts with Thumbnails