yang semasa

Ahad, September 07, 2008

YANG DILIHAT 10 TANDA-TANDA AWAL KELAIHAN UMNO TERENGGANU

  • Prolog :
    Menteri Besar, Datuk Ahmad Said hari ini (14 Jun 2008) dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh yang melepaskan jawatan itu bulan lepas.
  • Monolog :
    Hampir semua akhbar perdana tanah air menyiarkan berita sensasi itu. Tiada yang menarik sebenarnya kalau dilihat sepintas berita seumpama itu, terutamanya jika dikembalikan kepada tradisi yang meletakkan Menteri Besar / Ketua Menteri negeri-negeri yang dikuasai UMNO dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan.
  • Dialog :
    Tetapi benarkah penilaian banyak orang yang mengatakan UMNO Terengganu berkedudukan “laih” selepas Ahmad Said mengambil alih kepimpinannya daripada Idris Jusoh. Kata mereka “UMNO Terengganu sedang menuju kehancuran”. Sama ada situasi ini benar pada hakikatnya atau hanya andaian tujuan ingin memperkukuhkan kedudukan UMNO lantaran rasa sayang dan cinta mereka kepada UMNO, Ahmad Said dan kepimpinan UMNO Terengganu boleh menilai dan mengimbas benar tidaknya kenyataan itu berdasarkan 10 premis yang disifatkan mereka sebagai tanda-tanda awal kelaihan UMNO Terengganu.
  • PERTAMA : Mengambil alih dalam keadaan mendesak.
    Hanya selepas beberapa hari Idris menegaskan tidak akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, keputusan yang terkeluar dari mulut Idris sendiri itu menjadi sebaliknya. Perletakan jawatan oleh Idris dikhabarkan kerana terdesak dan mendesak. Cerita (sama ada khabar angin atau fitnah atau provokasi – masih menjadi cerita) di sebalik perletakan jawatan Idris menggugat minda yang waras. Satu rombongan yang terdiri daripada beberapa orang yang pro Ahmad Said menemui Presiden UMNO dan mendesak supaya segera melantik Ahmad menggantikan Idris. Buruknya alasan yang dibawa rombongan ini kononnya Idris sedang merancang untuk tidak mencalonkan Pak Lah sebagai Presiden. Tiada pula kedengaran rombongan Menteri Besar Perlis yang menemui Pak Lah membawa cerita yang sama atau memang Shahidan Kassim benar-benar setia kepada Pak Lah?
  • KEDUA : Perlantikan pegawai-pegawai kanan UMNO Negeri.
    Walau dalam apa keadaan sekali pun, sama ada terdesak, bosan, serabut atau terpaksa, Ahmad melantik pegawai-pegawai kanan parti yang banyak orang tahu mempunyai masalah tersendiri, tidak amanah dan tidak setia kepada parti, malahan ada di kalangan mereka (pegawai-pegawai kanan) yang tidak berfungsi di Bahagian. Lebih memilukan dan memalukan di kalangan mereka kes sivil berkolar putih dan pertuduhan yang membabitkan BPR masih belum berpenghujung. Selamatkah mereka atau memang resmi UMNO menghalalkan pemimpin sebegini berjawatan?
  • KETIGA : Kegagalan menangani masalah di peringkat bahagian dan cawangan.
    Mungkin baru dua bulan kurang lebihnya Ahmad berjawatan Pengerusi Badan Perhubungan, di samping pelbagai masalah dan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri yang masih berbolot, maka beliau masih belum sempat untuk menjengok kekalutan di peringkat Bahagian dan cawangan, terutamanya yang membabitkan percakaran dan ketidakpuasan hati rentetan pilihanraya umum. Masih boleh diberi ruang untuk beliau mengambil masa bernafas lega sebelum persidangan Bahagian nanti.
  • KEEMPAT : Perpecahan dalaman yang semakin membuak.
    Ahmad yakin selepas dilantik sebagai Menteri Besar dan seterusnya Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, beliau mampu untuk merapatkan kembali ahli-ahli UMNO dalam satu barisan demi keutuhan dan kemantapan parti. Sambil menafikan wujudnya puak Idris dan puak Ahmad Said dalam UMNO Terengganu, Ahmad bagaimanapun sama ada secara tidak terperasan atau tanpa disedari terus menyusun tindakan yang menjurus ke arah mewujudkan dan memperkasakan fahaman puak berpuak ini. Yang jelas, sentimen kedaerahan terutamanya sentimen Besut-Kemaman masih berlanjutan. Khabarnya sehingga kini, Ahmad belum ‘berani’ menjejakkan kaki untuk majlis-majlis rasmi apa lagi majlis parti di daerah Besut.
  • KELIMA : Nasihat dan harapan Pengerusi Perhubungan yang tidak diendahkan.
    Seperti orang tidak menghormati nasihat dan harapan menggunung Ahmad sebagai Pengerusi Perhubungan apabila banyak pandangan dan nasihat beliau tidak dipatuhi dan diendahkan. Sukar agaknya untuk ‘memasinkan air liur’ pemimpin untuk kebaikan dan keutuhan parti. Atau memang pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi yang bebal, keras kepala dan sengaja tidak menerima qada dan qadar Tuhan.
  • KEENAM : Wujud campur tangan parti dalam urusan kerajaan yang keterlaluan.
    Sama ada disedari atau sebaliknya, tersurat mahupun tersirat, telah wujud campur tangan yang tidak sepatutnya oleh pemimpin kanan parti dalam pentadbiran kerajaan secara keterlaluan. Mungkin mereka masih samar-samar untuk membezakan antara peranan mereka dan batas-batasnya dalam parti dan Kerajaan yang bertulang belakangkan UMNO.
  • KETUJUH : Kemelut perlantikan Menteri Besar dan kesannya.
    Kemelut perlantikan Menteri Besar yang dipahatkan dalam kepala banyak orang sebagai “krisis UMNO-istana” sehingga menimbulkan apa yang diistilahkan sebagai menderhaka dan sebagainya masih menghantui ahli. Fobia ini masih belum dapat disembuhkan sepenuhnya oleh Ahmad. Apa lagi ada di antara pemimpin yang sengaja menakut-nakutkan ahli dan menangguk di air keruh dengan menggunakan bahasa “menderhaka” semata-mata untuk kepentingan peribadi mereka, termasuk untuk menyelamatkan mereka agar kekal dengan jawatan-jawatan tertentu menjelang pemilihan UMNO.
  • KELAPAN : Membongkar isu secara terbuka.
    Tindakan Ahmad membongkar secara terbuka beberapa isu yang membabitkan tindakan kerajaan pimpinan UMNO sebelumnya disifatkan menyerlahkan kelemahan dan membuka pekung UMNO sendiri. Kelemahan itu bukan sahaja memberi kesan negatif yang berpanjangan kepada kerajaan malah kepada UMNO yang membentuk dan menerajui kerajaan kini dan sebelumnya.
  • KESEMBILAN : Impak awal tuntutan wang royalti.
    Kesilapan besar apabila isu wang royalti diuar-uarkan secara terbuka sehingga suatu ketika di tengah-tengah kehangatan isu ini, parti pembangkang dan NGO yang pro pembangkang mengambil peluang mendada dan mendahului UMNO. Sedangkan UMNO jugalah yang menyokong isu ini pada tahun 2000 dulu dan UMNO jugalah yang mempertahankannya apabila diserang hebat oleh pembangkang. Isu ini pasti menjadi modal besar pembangkang.
  • Prolog :
    KESEPULUH : Tiga persoalan.
    Adakah wakil-wakil rakyat UMNO/BN termasuk yang berjawatan Exco Kerajaan Negeri menerima dengan ikhlas kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan dan pegawai-pegawai Kanan UMNO Negeri yang “menaungi” mereka hari ini? Bagaimana dengan isu 23 ADUN derhaka? Apakah sudah dipadamkan kekalutan itu dari diari sejarah hitam politik UMNO Terengganu?
Related Posts with Thumbnails