yang semasa

Rabu, Januari 28, 2009

YANG MENYELEWENG: KENYATAAN MENGHALALKAN CARA?

Isu JKKK nampaknya tidak pernah selesai. Hampir di semua negeri dalam Malaysia ada-ada saja masalah yang berkaitan dengan JKKK ini. Di Terengganu, isu JKKK pernah menjadi isu kontroversi di antara kerajaan PAS dan UMNO/BN di awal pemerintahan PAS di Terengganu pada 1999 dulu. Kerajaan PAS membubar JKKK dan menubuhkan JSR. BN/UMNO kemudian mengekalkan JKKK terus di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Kemudian pada zaman awal pemerintahan semula BN Terengganu di bawah Idris Jusoh sebagai Menteri Besar 2004, isu JKKK muncul lagi. Tindakan drastik Idris Jusoh menghadkan umur Pengerusi JKKK di bawah 60 tahun menjadi isu kontroversi juga, membuatkan Idris kemudiannya terpaksa akur dengan budi bicara untuk terus mengekalkan beberapa orang Pengerusi JKKK yang berusia lebih 60 tahun atas ‘kepentingan politik’.

Kali ini isu JKKK muncul lagi. Mat Said dengan tegas menyatakan fungsi JKKK akan dikaji semula kerana dilihat sudah semakin lemah untuk membantu kerajaan, sekali gus turut menyatakan akan menyiasat pelbagai penyelewengan yang dikatakan telah dilakukan selama ini di dalam organisasi terbesar peringkat kampung itu.

Soal fungsi dan ‘penyelewengan’ JKKK bukan isu baru. Sebelum zaman TS Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar Terengganu pun, soal ini sudah wujud. Apa lagi selama 25 tahun TS Wan Mokhtar menjadi Menteri Besar. Idris hanya 4 tahun dan Mat Said pula baru 9 bulan.

Kalau hendak disenaraikan soal tidak menepati fungsi dan penyelewengan oleh JKKK, memang tidak akan habis. Bermula dengan soal paling kecil seperti kuasa menandatangani borang, bantuan selimut gebar kepada mangsa banjir di kampung, agihan dua tiga keping atap zing atau soal sumbangan jamban sehinggalah kepada yang bersifat sederhana dan bersaiz besar seperti memilih bulu @ kroni, agihan wang ehsan, pembahagian rumah PPRT, pengagihan tanah kerajaan, indent, sebut harga, kontrak kerja, kawasan balak, menentukan jawatan dan berjuta keistimewaan lain yang berkaitan dan diberikan kepada organisasi itu.

Sama ada disedari atau tidak, JKKK merupakan ‘kuasa’ terbesar untuk pemimpin kecil setempat di peringkat kampung. Apa lagi apabila JKKK diperuntukkan dengan kuasa kewangan kepada individu berjawatan di dalamnya serta diberi pula kuasa penentu di kampungnya.

Dari segi strukturnya, perjalanan organisasi JKKK ini juga ‘wajib’ akur, patuh dan 'tekup batu' dalam menuruti kehendak pemimpin lebih tinggi (daerah mahupun negeri). ADUN dan Ketua Bahagian dilihat amat berkuasa dalam menentukan kedudukan seseorang, sama ada boleh dilantik atau tidak (diulang, BOLEH dilantik atau tidak, bukan LAYAK dilantik atau tidak).

Sebab itu bukan perkara pelik dan ajaib atau sesuatu yang luar biasa kalau ada di kalangan Pengerusi atau pemegang jawatan dalam JKKK (waima AJK sekali pun) kecut perut dan takut terlingkup periuk belanganya kalau tidak akur dengan arahan atau cakap ADUN atau Ketua Bahagian mereka. Mereka diugut akan ditabur pasir dalam periuk belanga mereka sekiranya mereka menentang pemimpin yang merasa lebih berkuasa daripada segala-galanya dan berkepentingan.

Saya sebutkan begitu kerana realiti yang berlaku selepas pemilihan UMNO Bahagian di Terengganu baru-baru ini, kuasa penuh perlantikan Pengerusi JKKK dan barisan AJKnya terletak sepenuhnya di tangan Ketua UMNO Bahagian. Cakap atau cadangan ADUN langsung tidak dilihat walau sekejip mata pun. Apa lagi kalau ADUN itu pula orang yang menyanggah dan melanggar arus menentang Ketua Bahagian. Jadilah ADUN-ADUN itu berkuasa ke atas batunya sendiri kerana kerja mereka sekarang hanya menghayun batu sahaja.

Itulah hakikatnya yang berlaku pada hampir semua Bahagian UMNO/Daerah di Terengganu selepas pemilihan UMNO baru-baru ini. Hampir seratus peratus pemimpin kecil setempat (khususnya Ketua UMNO Cawangan) yang menyokong dan menentang Ketua Bahagian dipecat dan diganti dengan orang yang sebulu dan penyokong totok Ketua Bahagian, walaupun dari segi kelayakan dan kemunasabahannya ibarat langit dengan bumi.

Akibatnya Mat Said selaku Menteri Besar menerima banyak aduan, bantahan dan rasa tidak puas hati rakyat. Yang susahnya, pemecatan dan penggantian Pengerusi JKKK dan barisan AJKnya itu bukan atas kehendak dan arahan Mat Said tetapi atas kehendak dan rasa berkuasanya Ketua Bahagian. Saya telah menulis senario pemecatan ini di satu bahagian UMNO/daerah sebelum ini (di sini).

Persoalannya sekarang apakah kenyataan dan tindakan Mat Said itu benar-benar telus dan berniat jujur untuk melihat fungsi dan peranan JKKK benar-benar comel dan sempurna serta bersih daripada penyelewengan? Apakah sememangnya benar-benar tidak ada apa-apa muslihat lanjutan kenyataan Mat Said itu? Tidakkah akan timbul tuduhan dan tohmohan bahawa keikhlasan Mat Said dalam hal ingin melihat semula fungsi dan menyelongkar penyelewengan dalam JKKK ini hanyalah alasan untuk menghalalkan cara semata?

Pun demikian kita sedar, apa pun alasan yang diberikan, bagaimana dan apa langkah mengatasi yang dilakukan pun, sebaik mana sekali pun, pasti akan ada rungutan dan rasa tidak puas hati. Bezanya cuma kuantiti dan tahap kewapan rasa itu sahaja.

Kita juga amat sedar, situasi akan menjadi sama saja. Kalau pemimpin A yang naik misalnya, maka tindakan yang sama juga mungkin akan diambil terhadap Pengerusi dan AJK JKKK yang menjadi penyokong kumpulan pemimpin B dan sebaliknya. Begitu juga seperti tindakan kerajaan PAS tahun 1999 lalu. Kerajaannya sudah tentu melantik di kalangan penyokong mereka sebagai Pengerusi JSR dan AJK, kerana itu sudah menjadi hak mereka. Kuasa dan kepentingan mereka perlu dijaga.

Cuma dalam kes kali ini yang melibatkan JKKK di bawah pentadbiran kerajaan BN Terengganu, tindakan, cara dan pendekatan menangani masalah ini sahaja yang perlu lebih diikhlaskan sifatnya oleh Mat Said selaku pemimpin negeri yang bertanggungjawab, bukannya kerana menutup keterlanjuran penyalahgunaan kuasa oleh orang lain atau menjadi kambing hitam kepada orang-orang kepercayaannya ataupun berunsur mengaburi mata rakyat bawahan yang marhain tapi masih lebih cerdik daripada sesetengah orangnya sendiri.

Apa-apa pun, tahniah kepada Mat Said yang mengambil inisiatif mengambil peduli semula soal JKKK ini. Setidak-tidaknya beliau baru sedar tentang kelemahan dan jalan tempangnya JKKK selama ini, walaupun beliau pernah menjadi Penolong Pegawai Daerah (JKKK di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah), pemimpin UMNO dan ADUN semenjak tahun 1990 lagi.

Diharap tindakan Mat Said ini adalah keikhlasan yang sebenar-benarnya atas niat ingin melihat JKKK selepas ini tidak lagi berliku seperti jalan tanah merah kampung tetapi sekurang-kurangnya sudah mengikut ril kereta api kalau pun tidak sebaik landasan kapal terbang. Harapnya lagi, tindakan ini bukan kerana terpengaruh atau menerima ‘arahan’ daripada orang-orang tertentu sama ada daripada enam jahanam atau budak tingkat 16.

Kerana itu Mat Said perlu menyelongkar sampai ke lubang kuman semua perkara dan semua peringkat orang yang terlibat dengan JKKK ini, bukan memilih hanya perkara dan orang-orang tertentu sahaja.
Related Posts with Thumbnails