Selasa, Januari 13, 2009

YANG BERBAKI 4

Ada 4 hari lagi. Imbas kembali.

Sebaik sahaja nama Mohd Abdul Wahid Endut diumumkan sebagai calon PAS untuk berhadapan dengan calon BN, Wan Farid dalam pilihan raya kecil P036 Kuala Terengganu, pelbagai reaksi dapat kita dengar. Kepelbagaian bunyi reaksi-reaksi itu sudah terlalu banyak disebarkan.

Apa yang menarik, ada seorang wartawan teman penulis yang menghantar pesanan ringkas yang antara lain melahirkan kelegaannya dan sudah membayangkan selamatnya BN kerana nama Wahid Endut tiada dalam kotak fikir dan simpanan kepopularitiannya. Mudahnya beliau sendiri tidak mengenali atau mengetahui siapa Wahid Endut calon PAS itu.

Namun saya lantas menghubungi teman itu dan menyatakan, BN sebenarnya seboleh mungkin tidak mahukan Wahid Endut sebagai calon kerana BN akan kehilangan banyak isu terutamanya isu kelemahan peribadi calon yang hampir kosong.

Justeru BN perlu benar-benar mencari isu kelemahan parti yang diwakili Wahid sambil dalam masa yang sama mengenal pasti secara tepat kecenderungan pengundi pada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Sebenarnya berdasarkan sejarah pilihan raya, Parlimen Kuala Terengganu agak unik dan berbeza dengan banyak kawasan lain, baik dalam Terengganu sendiri mahupun di luar Terengganu.

Kuala Terengganu mempunyai pengundi yang kecenderungan mereka sukar diramal dan diwakili oleh empat DUN yang berbeza selera pengundiannya. Justeru komposisi kepada perbezaan kecenderungan itulah yang menyukarkan pihak yang bertanding membuat ramalan tepat selari dengan dapatan dan kajian lapangan yang dipungut mereka.

Sejarah pilihan raya umum telah membuktikan majoriti yang berjaya dipungut oleh calon yang menang bagi Parlimen Kuala Terengganu boleh menjadi kurang daripada seribu undi, tetapi pada satu ketika yang lain boleh melebihi 10 ribu undi. Itulah uniknya Kuala Terengganu yang memeningkan penganalisis politik sehingga ada analisa yang dibuat jauh tersasar daripada ramalan.

Konsistensi selera pengundi Kuala Terengganu sukar diramal. Kedudukan majoriti dan minoriti juga bukan penentu kalah menang parti yang bertanding. Antara satu DUN dengan DUN yang lain, jelas berbeza kehendak, selera serta menjadi penyumbang undi yang juga berbeza walaupun bersenario yang sama.

Dalam banyak hal, faktor calon banyak membantu kemenangan dan menafikan kakalahan di Kuala Terengganu. Faktor ini walaupun masih boleh dipertikaikan, tetapi masih boleh dijadikan faktor berprestasi tinggi kalau perbandingan mengikut perolehan undi oleh calon DUN pada pilihan raya-pilihan raya lalu diambilkira.

DUN Batu Burok misalnya banyak bergantung kepada calon. DUN ini pernah menyaksikan calon Bebas menjadi wakil mereka sebelum ditukar ganti antara calon mewakili PAS dan BN. Kemenangan Datuk Haji Mutalib sebagai calon Bebas yang sebelumnya mewakili BN jelas menggambarkan kehendak pengundi kepada calon.

Bagi DUN Bandar pula, situasinya agak tidak menentu. 63 peratus yang mewakili pengundi Melayu di DUN ini boleh dijadikan penyelamat. Kerusi tradisi MCA yang mewakili BN di sini tidak sahaja mengharapkan undi bukan Melayu, tetapi banyak bergantung kepada pengundi Melayu.

DUN ini pernah menyaksikan calon Bebas dan DAP bukan Melayu hampir-hampir memenangi kerusi itu. Tetapi dalam situasi yang lain, calon PAS Melayu juga pernah menang di DUN ini. Pada PRU 12/2008 lalu, DUN inilah satu-satunya yang menyaksikan undi yang diperolehi oleh Allahyarham Datuk Razali berjaya menimbus lebihan undi kalah daripada DUN lain.

DUN Ladang juga banyak bergantung kepada calon. Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud yang memenangi kerusi DUN itu sejak 1978-1990 amat disenangi pengundi Ladang. Bagaimanapun, kurangnya ciri-ciri ketokohan seperti yang dimiliki oleh Datuk Bakar menyebabkan Datuk Roslan Awang Chik dan kemudiannya Datuk Wan Hisham Wan Salleh kalah di situ.

Cuma bagi DUN Wakaf Mempelam, ketaksuban kepada parti dilihat lebih menyerlah. PAS yang telah menguasai kubu kuatnya dalam Parlimen Kuala Terengganu itu sejak 1978 berjaya mengekalkan prestasinya sehingga kini, walaupun hampir semua ‘jenis manusia BN’ diletakkan bertanding di kawasan itu. Waima Datuk Razali pada PRU lalu kalah teruk di DUN ini.

Justeru pada PRK yang masih berbaki beberapa hari ini, mahu tidak mahu Wan Farid perlu bekerja lebih keras mengolah keperibadian beliau untuk kemenangan bersandarkan primis berikut :

Pertama, memastikan ke semua 36 peratus pengundi ahli UMNO mengundi beliau. Kedua, memastikan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 11.7 peratus pengundi bukan Melayu memberi undi kepadanya dan ketiga, memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus undi popular peribadi daripada kalangan pengundi tanpa mazhab dan atas sempadan memihak kepadanya.

Kerana itu, Wan Farid perlu (1) merapatkan jurang kemaafan (apologitik) daripada kebersalahan dirinya dengan ahli-ahli UMNO, khususnya dengan apa yang telah terlanjur dilakukan olehnya selepas Mesyuarat UMNO bahagian baru-baru ini, (2) melontarkan keegoan peribadi yang telah mula dihidu banyak orang, (3) menyelesaikan masalah peribadi beliau dengan pemimpin sesama partinya, (4) menjelmakan roh keperibadian bekas wakil rakyat sebelumnya, terutama arwah Datuk Razali yang masih segar dalam ingatan para pengundi.

Selainnya, (5) menanam keyakinan diri dan dalam masa yang sama menyakinkan pengundi mengapa beliau wajar dipilih sebagai wakil mereka dengan imej mesra rakyat (yang sebenar bukan kerana kena buat @ hipokrik), (5) mengenepikan sentimen elitis dalam diri dan keluarganya, (6) tidak menonjolkan dengan perkataan provokasi bersifat peribadi yang dilontarkan kawan dan lawan.

Wan Farid juga perlu (7) membuka pagar sempadan tuan dan pekerja, (8) menjadi penghubung sebenar dalam menabur dasar parti untuk rakyat, (9) mengimbangi cakap politik dan cakap awam daripada tanggapan buruk pengundi kepada diri dan UMNO, dan (10) bersedia menghadapi kekalahan.

Kalau Wan Farid gagal melepasi halangan primis serta cadangan penyelesaian yang disebut dan dalam masa yang sama Wahid Endut berjaya menggunakan kelebihan peribadinya, ramai yang akan kempunan untuk menanti kemenangan Wan Farid, sebaliknya mereka terpaksa mengakui hakikat Wahid Endut adalah wakil rakyat P036 Kuala Terengganu mulai 17 Januari 2009.
Related Posts with Thumbnails