yang semasa

Khamis, Januari 29, 2009

YANG BARU TERGADAH : PPSMI

1. Ramai teman bertanya pendirian saya tentang PPSMI. Ada juga blogger yang bertanya sambil memohon saya menjelaskan pendirian Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) dalam hal ini.

2. Benar saya adalah Setiausaha Satu PELITA tetapi pendirian saya tidak semestinya menggambarkan pendirian PELITA. PELITA adalah badan kerabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) yang ketika ini dilihat sebagai ‘power ranger’ dalam perjuangan memansuhkan PPSMI bersama Gerakan Mansuh PPSMI.

3. Dalam hal ini sudah pasti PELITA ‘terpaksa’ menuruti kehendak dan pendirian GAPENA. Namun pendirian dan pandangan saya ini adalah merupakan pandangan peribadi yang langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak terutama PELITA, GAPENA mahupun dengan institusi pelajaran, walau atas kapasiti apa sekali pun saya berdiri.

4. Sebelum memanjangkan penulisan ini, suka saya memberi sepintas nostalgia berhubung dengan isu ini serta isu sebutan bahasa baku dalam pendidikan ketika bersama Allahyarham Dato’ Razali Ismail (Bekas Timbalan Menteri Pelajaran dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu).

5. Allahyarham Dato’ Razali Ismail (juga merupakan Ahli Seumur Hidup PELITA) ketika hayatnya merupakan antara ‘teman’ dan ‘guru’ yang agak akrab dengan saya. Marahnya arwah kepada saya bukan marah benci atau marah bermusuhan tetapi ‘marah pendapat’ dan selepasnya kami tinggalkan marah itu di belakang sambil keakraban kami diteruskan dengan disaksikan oleh teh tarik yang sering menjadi teman sembang-sembang kami dalam pelbagai isu lainnya.

6. Namun sesuatu yang saya tidak nafikan seperti perakuan banyak orang, arwah memang amat peka dan menitikberatkan berhubung dengan pendidikan anak bangsa dan setia menjunjung dasar pendidikan negara seterusnya kuat bekerja ke arah penyempurnaan pelaksanaannya.

7. Bersama arwah seingat saya, ada dua isu besar berkaitan pendidikan negara yang bercanggahan pendapat antara saya dan arwah.

8. Pertama, semasa pelaksanaan sebutan bahasa baku BM dalam P&P dan oleh stesyen-stesyen penyiaran. Pelaksanaan bahasa baku diperkenalkan ketika DS Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan. Pada peringkat cadangan pelaksanaannya lagi, saya sudah membayangkan kebimbangan kalau-kalau perkara itu akan berjalan sekerat jalan saja. Saya sebutkan perkara ini di hadapan arwah (ketika itu beliau adalah Pengetua Maktab Perguruan Kuala Terengganu Batu Rakit dan AJK PELITA).

9. Saya sebutkan bahawa saya bimbang banyak orang terutama cikgu dan pelajar akan menjadi manusia hipokrit. Kerana pada saya, mereka hanya akan menggunakan bahasa baku semasa P&P dalam kelas sahaja. Apabila melangkah keluar dari pintu kelas, mereka tidak membawanya keluar bersama dan meninggalkannya di dalam meja kelas. Mereka mungkin akan menemuinya semula keesokan harinya. Dan begitulah seterusnya hipokrasi mereka.

10. Rupa-rupanya kebimbangan saya menjadi kenyataan. Beberapa tahun kemudian setelah Anwar Ibrahim terpecat daripada UMNO, penggunaan sebutan bahasa baku dihapuskan. Banyak yang membantah dan stesyen TV kerajaan diarahkan dengan serta merta supaya tidak lagi menggunakan bahasa baku.

11. Arwah berjumpa dan marahkan saya kerana saya membuat kenyataan menyokong pemansuhan sebutan bahasa baku setelah beliau membaca kenyataan saya (atas kapasiti Setiausaha Satu PELITA) disiarkan dalam Utusan Malaysia. Kata arwah, tidak sewajarnya saya sebagai guru BM dan pemimpin persatuan penulis dan bahasa menyokong penghapusan sebutan bahasa baku yang telah diperkenalkan oleh kerajaan.

12. Saya mempertahankan sokongan saya dengan memberi alasan seperti disebut di atas. Dan kalau tidak silap saya, GAPENA pun bersependapat dengan arwah yang membantah cadangan pemansuhan penggunaan sebutan bahasa baku itu.

13. Kes kedua berkaitan dengan PPSMI ini. Arwah ketika kerajaan bercadang melaksanakan PPSMI merupakan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Arwah antara orang yang kuat menyokong pelaksanaan PPSMI selari dengan dasar kerajaan yang telah menetapkan pelaksanaan begitu. Arwah tidak pernah lupa menyebut peri mustahaknya PPSMI kepada pendidikan anak bangsa dan negara dalam setiap program dan perjumpaan dengan mana-mana pihak yang dihadiri beliau.

14. Dalam satu perjumpaan saya dengan arwah, saya melahirkan rasa kebimbangan saya sekali lagi sambil tidak menyokong cadangan kerajaan untuk melaksanakan PPSMI. Sekali lagi arwah memarahi saya lantaran saya menyanggah usaha kerajaan meningkatkan keglobalan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Malaysia.

15. Saya masih ingat, alasan yang dibawa oleh arwah ialah kerana Sains dan Matematik itu merupakan subjek global yang penting dan boleh disesuaikan dengan semua bahasa dan bangsa di dunia. Jadi sekiranya Sains dan Matematik diajar dalam BI, maka keglobalan penguasaan pelajar dalam subjek berkenaan akan dapat meningkatkan daya saing dan penguasaan pelajar Malaysia terhadap kemajuan sains dan teknologi dunia.

16. Kepada arwah, saya tidak menafikan bahawa itu merupakan satu usaha baik kerajaan, tapi saya bimbang dengan persediaan dan cara pelaksanaannya yang mungkin boleh merosakkan minda guru dan pelajar sambil meragui kemampuan sistem pendidikan umumnya dan sistem pendidikan perguruan negara khasnya dalam menghadapi cabaran ini, setelah saya sendiri menyedari pada tahap manakah guru-guru dan pelajar Malaysia berada ketika itu.

17. Saya langsung tidak kaitkan elemen pelaksanan PPSMI itu dengan Perlembagaan Persekutuan terutama yang melibatkan Fasal 152 kerana pada saya itu adalah dasar yang perlu dibentangkan dan mendapat persetujuan parlimen sebelum dilaksanakan. Dan sudah pasti sebelum sesuatu dasar itu menjadi dasar, segala aspek emak neneknya telah diambilkira.

18. Saya cuma menambah alasan, kemajuan sesebuah negara bukan terletak kepada bahasa apa yang mereka gunakan, kerana contohnya rakyat Jepun, Korea dan China sendiri tetap menggunakan bahasa ibunda mereka dalam sistem pendidikan negara mereka, malahan amat sukar untuk bertemu dengan pemimpin dan ilmuan mereka yang fasih berbahasa Inggeris. Tetapi mereka tetap menjadi rakyat yang berjaya di negara mereka yang sudah terbukti berjaya serta dengan megahnya berjaya menjadikan negara mereka sebegitu maju dan utama.

19. Kemudian NUTP dalam persidangan tritahunannya di Kuala Terengganu pada tahun yang sama (2002) turut membawa usul PPSMI ini dan dibincangkan dengan hangatnya oleh para perwakilan semua kaum. Persidangan kemudiannya membuat pengundian di kalangan perwakilan untuk menentukan pendirian NUTP terhadap cadangan kerajaan ini. Ketika itu Presidennya YM Tengku Hafsah dan Setiausaha Agungnya ialah Datuk Siva Subramaniam. Kebetulan saya juga adalah perwakilan ke persidangan itu.

20. Terus terang saya katakan, atas kapasiti diri saya sebagai perwakilan ketika itu, saya tidak menyokong pendirian NUTP berhubung dengan cadangan kerajaan itu walaupun keputusan yang dicapai oleh NUTP akhirnya majoriti perwakilan BERSETUJU dengan pelaksanaan PPSMI.

21. Sehari selepas keputusan persidangan, masih atas kapasiti peribadi (walaupun saya pada masa itu sudah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha NUTP negeri), saya dihubungi oleh beberapa orang SB untuk bertanya pendapat dan pendirian saya berhubung dengan PPSMI ini dan saya tetap katakan saya tidak bersetuju dengan alasan-alasan yang saya telah sebutkan.

22. Begitulah seterusnya selang beberapa bulan PPSMI dilaksanakan apabila saya mendapat banyak rungutan khususnya daripada kalangan guru-guru yang terlibat dengan P&P Sains dan Matematik itu sendiri. Hati kecil saya masih lagi berkata, PPSMI tidak sewajarnya dilaksanakan dalam kondisi semerta dan ‘kedhaifan kemampuan’ pelaksananya (guru). Apa lagi tahun berikutnya, anak sulong saya akan memasuki Tahun Satu yang sudah pasti akan terdedah dengan PPSMI secara langsung. Pun boleh diambilkira bahawa saya merupakan guru BM yang secara langsung dari perspektif umum dilihat wajar untuk memperjuangkan BM itu sendiri.

23. Namun sebagai rakyat yang berada di negara yang merdeka dan berdemokrasi, saya seorang daripada 25 juta warga negara Malaysia tetap menggagahi menuruti keputusan kerajaan meneruskan pelaksanaan PPSMI, walaupun secara peribadi ada rasa kecewa dan kesal, serta tidak bersetuju dengannya. Siapalah kita yang hanya seorang dan tiada apa-apa kuasa ajaib berbanding pemimpin dan ramai lagi manusia yang berkepentingan politik yang bersetuju dengan pelaksanaan dasar itu.

24. Sehingga kini, warga Malaysia yang mengharungi dunia pendidikan telah menggerakkan PPSMI itu selama 6 tahun dan ‘produk’ atau penanda aras pertama gagal berjayanya dasar itu telah diterjemahkan dalam UPSR 2008 lalu.

25. Namun beberapa bulan sebelum arwah Dato’ Razali meninggal, beliau ada merungut di hadapan saya betapa beliau kecewa dengan kemampuan guru dalam melaksanakan PPSMI ini. Dan beberapa hari selepas itu, kenyataan arwah terhadap ‘tahap’ guru-guru dalam menangani PPSMI ini ada disiarkan oleh beberapa akhbar utama negara.

26. Kini, setelah 6 tahun berlalu, PPSMI kembali meriah. Tambah meriah apabila PPSMI dijadikan antara saham besar penyumbang kepentingan politik banyak pihak.

27. Dan hari ini, setelah berusaha gigih menyesuaikan situasi dengan PPSMI yang turut melibatkan anak saya daripada tidak tahu apa-apa semasa mula-mula menjejak kaki ke sekolah hinggalah insya-Allah akan sempurnanya P&P beliau di sekolah rendah penghujung tahun ini, saya berpendapat gerakan memansuhkan PPSMI yang dilihat semakin membuak dan seolah-olah menjadi isu paling utama negara sekarang, perlu difikirkan semula. Yang jelas, saya tidak nampak apa alasannya yang maha munasabah selain dikatakan menggadai maruah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sekiranya Sains dan Matematik diajar dalam BI.

28. Alasan lain hampir semuanya adalah berkepentingan politik, walaupun Gerakan Mansuh PPSMI telah menyenaraikan 15 pengkhianatan oleh pemerintah apabila memaksa PPSMI dilaksanakan di sekolah-sekolah. GMP antaranya menyenaraikan pelaksanaan PPSMI telah melanggar Perlembagaan Malaysia perkara 10 (4), melanggar Perlembagaan Malaysia perkara 152, melanggar Perlembagaan perkara 159, menghina kedaulatan Raja-Raja Melayu dan bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996.

29. Hari ini, secara jelas saya melihat isu ini daripada perspektif yang agak berbeza dan mungkin pandangan atau pemikiran yang sedikit tersasar daripada banyak orang. Pendirian (kalau nak dikatakan pendirian) dan pandangan saya ini hendak saya kumpulkan dengan pendekatan mengajak semua memikirkan di luar kotak kepentingan peribadi dan politik dengan melihat implikasi berdasarkan beberapa persoalan berikut :

i) Perlembagaan Persekutuan perkara 152 dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan bahasa Melayu itu adakah menyebut ‘Bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik’ adalah bahasa rasmi negara?

ii) Tergadaikah maruah rakyat dan bangsa Malaysia di mata dunia atau di mata sesiapa sahaja kerana belajar Sains dan Matematik dalam BI?

iii) Sejauh mana penghinaan kedaulatan kepada Raja-Raja Melayu setelah 6 tahun PPSMI dilaksanakan dan sejauhmana PPSMI menggugat kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu?

iv) Keruntuhan akhlak remaja Melayu yang sudah sampai ke tahap kritikal itu apakah kerana mereka belajar Sains dan Matematik dalam BI?

v) Mat rempit yang hampir seratus peratus anak bangsa Melayu itu adakah faktor merempitnya mereka kerana mereka belajar Sains dan Matematik dalam BI?

vi) Selesaikah masalah mereka jika Sains dan Matematik diajar dalam BM?

vii) Tergugatkah dan tercemarkan pembelajaran lain yang sekarang diajar dalam bahasa Melayu seperti Bahasa Melayu sendiri kerana PPSMI?

viii) Tergugatkah BI kerana PPSMI?

ix) Tergugat, tercemar dan tergadaikah maruah akta pendidikan negara kerana PPSMI? Adakah PPSMI adalah manifestasi keseluruhan terhadap kelemahan dan kegagalan sistem pendidikan negara?

x) Tergugatkah dan tercemarkah pembelajaran mata pelajaran lain yang lebih bersifat nasional seperti Sejarah, Sivik dan Ketatanegaraan, Kajian Tempatan, Kemahiran Hidup Bersepadu, Geografi dan seumpamanya itu kerana mengekalkan Sains dan Matematik dalam BI?

xi) Kenapa kita tidak membantah dan merancang himpunan besar untuk membantah penetapan nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia seperti yang diumumkan sendiri oleh DS Najib Tun Razak tahun lalu, sedangkan Perlembagaan menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bukan bahasa Malaysia.

xii) Apakah kerana kita menghormati dan ingin membodek lantaran Najib akan menjadi PM dalam penantian? Apa nama politik kalau begitu pendiriannya kita? Mana GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka, GMP serta manusia-manusia yang dikatakan pencinta Bahasa Melayu?

xiii) Kenapa setelah enam (6) tahun baru kita tergadah? Kenapa bukan 6 jam, 6 hari, 6 minggu atau 6 bulan? Sedarkah kita bahawa 6 tahun itu bukan satu jangka masa yang pendek kepada sistem pendidikan dan pemugaran minda anak-anak?

xiv) Kenapa kita tidak memberi alasan yang seperti diberikan sekarang untuk menghentikan PPSMI ketika mula-mula diperkenalkan dulu dan terpaksa menunggu sehingga 6 tahun baru menemui alasannya?

xv) Kenapa kita tidak ‘mengugut’ untuk mengadakan perhimpunan 25 juta rakyat Malaysia ketika itu?

xvi) Apakah kita tidak pernah terfikir akan berlakunya penderaan minda kepada anak-anak kita yang telah mengikuti PPSMI selama enam tahun itu?

xvii) Apakah kita tidak pernah terfikir berapa banyak lagi masa, tenaga dan wang ringgit yang akan dibelanjakan untuk mengembalikan semula PPSMI kepada PPSMM termasuk menyediakan buku teks dan keperluan P&P?

xviii)Apakah kita nantinya hanya mudah untuk menghukum kerajaan membazirkan wang rakyat seperti kita menyalahkan kerajaan menggunakan wang royalti minyak untuk pembinaan Taman Tamadun Islam dan pembesaran lapangan terbang di Terengganu misalnya?

xix) Tidakkah GAPENA hanya ingin menghalalkan kealpaannya terhadap bahasa Melayu di Malaysia sebelum ini setelah dikritik kerana hanya mementingkan mencari dunia Melayu di serata dunia di luar Malaysia sebelum ini? Atau bagi menyelamatkan tapak Rumah GAPENA yang hampir-hampir diragut, kebetulan berlaku pada senggang masa yang tidak jauh dengan isu memulakan pelaksanaan PPSMI ini?

xx) Apakah dalam tempoh sebelum 6 tahun, kita tidak tersedar atau tidak ada sarjana, ilmuan, cerdik pandai, pejuang dan pakar dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan sehingga terlepas pandang terhadap perkara ini?

xxi) Atau apakah mereka itu memang kerjanya untuk cari makan dan menjaga periuk nasi masing-masing bagi mengelakkan kebuluran dan terburainya kepentingan?

xxii) Rugikah kita kalau setelah segala-galanya berada di tahap ini, GMP, GAPENA, DBP atau pejuang Melayu dan bahasa Melayu lainnya lebih gigih berusaha untuk memastikan tidak tergadainya lagi subjek lain yang kini diajar dalam BM? Sains dan Matematik hanya dua subjek. 15 -20 subjek yang lain yang kini diajar dalam BM atau bahasa ibunda masing-masing jangan pula nanti tergadai sama.

xxiii) Sejauh mana sistem pendidikan negara boleh dipengaruhi PPSMI untuk menjual maruah dan peradaban negara bangsa Malaysia?

xxiv) Apakah kurang lebih sejuta pelajar Malaysia yang telah mengikuti PPSMI sehingga hari ini akan dan telah menjual maruah negaranya atau berapa peratuskah daripada kalangan mereka yang bakal dan telah menjual maruah bahasa, bangsa dan negara Malaysia?

xxv) Sekadar tindakan memperjuangkan penghapusan PPSMI itu sajakah gambaran perjuangan politik dan bahasa di kalangan pejuang-pejuang bidang itu di Malaysia?

30. Bagi saya, bukan salah PPSMI dan melanggar serta mencabuli Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan yang hendak diperbesarkan sangat sebenarnya. Semua ini adalah usaha mempolitikkan dunia ilmu dengan kepentingan kepartian. Kerana saya cukup yakin, semua orang sedar dan insaf, kelemahan dan kegagalan sistem pendidikan negara atau tercabulnya Perlembagaan atau apa sahaja alasan yang diberikan, itu semua hanyalah alasan yang hanya tinggal alasan. Yang utamanya ialah kepentingan politik. Usah bohong dengan perkara ini kerana kita tidak banyak asas yang kukuh dan kuat dengan beralasan begitu.

31. Kalau benar PPSMI lemah kerana lemahnya guru dan sistem pendidikan negara, penyelesaiannya perlu dicari. Kerajaan perlu disaran untuk berbuat sesuatu bagi menguatkan guru, tenaga pengajar dan sistem pendidikan negara bukan mendera anak-anak kita dan menjadikan mereka mangsa permainan politik dan bahan eksperimen.

32. Kalau juga benar PPSMI telah mencabuli Perlembagaan dan Akta Pendidikan kerana tidak menggunakan BM, bodohlah Dr Mahathir dan pemimpin politik serta ahli-ahli Parlimen yang telah meluluskan dasar berkenaan 6 tahun lalu. Apa bengong sangatkah rakyat sehingga boleh memilih wakil rakyat Parlimen mereka yang buta Perlembagaan dan buta peraturan dan gagal mengerling masa depan rakyatnya?

33. Atau inikah gambaran sebenar tahap pemikiran dan kepentingan ahli-ahli politik negara, pemimpin negara, pemimpin NGO, pejuang-pejuang yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi dan politiknya daripada kepentingan anak bangsa dan maruah negaranya sendiri.

34. Inilah gambaran kesamaan dan perpaduan kebodohan di kalangan ahli-ahli politik (kerajaan dan pembangkang), NGO dan yang menggelarkan diri mereka pejuang kononnya dalam satu isu besar yang jelas memusnahkan minda dan maruah anak-anak yang masih tidak tahu apa-apa tentang politik dan sepak terajangnya.

35. Pada saya, PPSMI perlu dibuat penambahbaikan bukan membubarkannya secara total setelah kita berada pada tahap ini sekarang. Kerana kita bukan lagi berada pada zaman penjajah. Kita adalah tuan pada negara tercinta ini dan kita lebih daripada berhak untuk memutuskan apa-apa sahaja yang sesuai dengan kelangsungan mempertahankan maruah dan citra bahasa dan negara bangsa kita sendiri.

36. Banyak lagi perkara yang lebih menjadi keutamaan untuk dimartabatkan berbanding PPSMI. Bersatu dan berpadulah semua untuk itu dengan sejujur dan seikhlasnya, bukan hanya menyilau sepintas kepentingan politik dan penerusan hayat diri dan organisasi berkepentingan kendiri semata.

37. Alhamdulillah, sehingga hari ini saya masih lagi sering menggunakan kata keramat yang dizahirkan untuk didedikasikan kepada kedua ibu bapa saya : “terima kasih kepada kedua ibu bapaku yang telah mengenalkan aku dengan dunia ilmu yang sebegini luas”.
Related Posts with Thumbnails