yang semasa

Ahad, Mei 17, 2009

YANG BETUL : TPM MUHYIDDIN YASSIN

Petang tadi ketika saya sedang berekreasi, beberapa panggilan telefon dan sms diterima berhubung dengan kenyataan TS Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri tentang kedudukan Menteri Besar Terengganu. Kenyataan TPM dilaporkan sebagaimana berikut (sumber : blog Terengganu Lening) :

Ahmad Said terus akan jadi MB Terengganu

Datuk Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu kerana Umno tidak memutuskan sebarang perubahan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perubahan jawatan Menteri Besar tidak pernah berbangkit.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran berkata demikian selepas merasmikan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-38 di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, di sini, hari ini.

Kata saya Alhamdulillah. Itu satu perkembangan yang sihat dan baik. Sekurang-kurangnya akan mengendurkan sedikit ketegangan dan kebimbangan kem Mat Said (yang sebelumnya saya pernah sebutkan ‘sehingga nak terkencing nak terberak’) dan sekali gus akan menambahkan lagi kekecewaan geng 10 budak hitam. Kalaupun kenyataan TPM merangkap Timbalan Presiden UMNO ini boleh menjadikan keadaan semakin kalut dan panas, itu juga berkemungkinan.

Ada tiga kontradiksi persepsi yang boleh dirumuskan hasil kenyataan TPM berkenaan :

Pertama : Saya pernah menulis tentang kecek mengecek, tekup batu dan hangat-hangat tahi ayam dalam mengharungi gelombang politik di Terengganu (di sini). Bukan maksud saya untuk mengapi-apikan semangat mana-mana pihak untuk bertindak di luar batas kesopanan dan tidak juga untuk melihat keserabutan dalam politik di Terengganu menjadi semakin kusut. Tetapi realitinya, itulah nilai 'orang politik UMNO' Terengganu di mata pemimpin dan pemerhati politik luar termasuk daripada pembangkang.

Kedua : Kalau blogger Terengganu Lening tidak tersalah mencatatkan kenyataan TPM berkenaan, bermakna betullah TPM. Memang yang nyatanya, UMNO belumpun memutuskan atau pernah membangkitkan tentang perubahan jawatan Menteri Besar. Yang diputuskan dan dibangkitkan baru-baru ini hanyalah jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT).

Selain itu, DS Hishamuddin selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu baru sahaja mencadangkan tarikh untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian dalam negeri Terengganu selain turut akan mengadakan perjumpaan dengan semua ADUN BN Terengganu pada hari Rabu ini.

Seperti kenyataan beliau sebelum ini, DS Hishamuddin akan melaporkan hasil pertemuan dan sebarang keputusan berkenaan kepada pimpinan parti termasuklah kepada TPM dan PM. Selain itu, kalaupun ada apa-apa keputusan yang melibatkan kedudukan jawatan berkenaan (MB), pasti MT UMNO akan membincangkan seterusnya memutuskan dalam mesyuarat mereka. Dan kerana kerajaan negeri Terengganu sekarang adalah kerajaan Barisan Nasional (BN), maka pandangan dan keputusan secara bersama dengan parti-parti komponen BN juga perlu diambilkira.

Jadi betullah kenyataan TPM bahawa ‘UMNO tidak memutuskan sebarang perubahan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri setakat ini’. Dan dalam konteks makna ‘setakat ini’ seperti disebut TPM berkenaan, mungkinkah boleh ditafsirkan sebagai :

(a) setakat hari ini, atau;
(b) setakat belum ada mesyuarat MT, atau;
(c) setakat belum ada mesyuarat BPUNT, atau;
(d) setakat sebelum apa-apa cadangan daripada Pengerusi BPUNT.

Berapa lamakah tempoh ‘setakat ini’ seperti disebut TPM, wartawan yang mengemukakan soalan berkaitan perkara ini siang tadi perlu bertanya semula kepada TPM atau tanyalah DS Hishamuddin atau tanya sahaja Presiden UMNO.

Ketiga : Kenyataan TS Muhyiddin juga betul kerana walaupun UMNO nantinya telah memutuskan sama ada MB akan kekal atau bertukar, keputusan berkenaan masih berupa cadangan yang bukan muktamad kerana UMNO/BN perlu mendapat perkenan Tuanku Sultan untuk memuktamadkan perlantikan MB.

Sekarang adalah tempoh bertenang. Harapnya kem Mat Said tidak terlalu gembira dengan berita ini sehingga boleh mengeruhkan ‘ketenangan’ dan kem 10 budak hitam juga tidak terlalu kecewa sehingga boleh mengusutkan ketenangan.
Related Posts with Thumbnails