Rabu, April 15, 2009

YANG KENA KECEK @ YANG TEKUP BATU @ YANG HANGAT-HANGAT TAHI AYAM

Isu 10 ADUN BN Terengganu memboikot @ tidak hadir @ ponteng sidang dewan menjadi isu yang sudah tidak sensasi lagi. Isu SMS ugutan juga sudah tidak menjadi isu yang menakutkan dan tidak juga menjadi isu besar apabila hanya dengan ‘jaminan kenyataan’ PM yang mengatakan kesahihan SMS itu masih diragukan.

Sebab itu dalam posting terdahulu saya pernah sebutkan bahawa segalanya itu bukan isu yang perlu dijadikan keutamaan. Yang penting dan isunya sekarang, apakah manifestasi ketidaksenangan ADUN BN terhadap MB Mat Said itu sampai atau tidak?

Ramai yang mengatakan 10 ADUN BN berkenaan hanya hangat-hangat tahi ayam. Soalnya sejauh mana perancangan mereka sehingga mereka tersekat di situ sahaja sehingga adanya tuduhan bahawa mereka hanya hangat-hangat tahi ayam. Kalau mereka mempunyai perancangan bagi memalukan MB dan menjelaskan ketidaksukaan mereka kepada MB Mat Said atas banyak sebab, maka tindakan mereka itu sebenarnya sudah berjaya.

Bagaimanapun, kalau perancangan dan ketidaksengajaan insiden SMS itu kerana ada agenda tersembunyi yang benar-benar inginkan kedudukan MB Mat Said dinilai semula oleh pemimpin tertinggi mahupun istana, maka benarlah tuduhan banyak orang bahawa tindakan mereka hanya hangat-hangat tahi ayam. Malah boleh dikatakan bahawa tindakan mereka menjelaskan lagi kekecutan telur semata-mata ada kepentingan sehingga mereka terpaksa menekup batu.

Insiden ADUN BN Terengganu ‘dikecek’ (dalam bahasa yang lebih sopan - ditipu?) dengan janji-janji dan jaminan yang muluk-muluk bukan pertama kali berlaku. Malahan sebelum ini pun, menurut kenyataan dan butir percakapan orang yang terlibat sendiri (khasnya Dato’ Rosol), mereka bolehlah dikatakan telah ‘dikecek atas darat kering’ oleh PM Pak Lah. Walaupun Rosol tidak mengatakan sedemikian, tetapi hakikat dengan apa yang berlaku begitulah.

Kalau kita imbaskan kembali insiden kemelut perlantikan MB Terengganu Mac 2008 lalu, Rosol menyatakan bahawa tindakan mereka mempertahankan Deris Jusoh untuk dilantik semula sebagai MB adalah atas arahan Pak Lah, bukan kerana tidak bersetuju dengan pihak istana yang memilih Mat Said sebagai MB. Tetapi agak malang, akhirnya Pak Lah sendiri yang mengalah dan mengarahkan semula ADUN-ADUN BN menerima Mat Said. Mereka dikambinghitamkan dan menjadi mangsa. Fobianya berpanjangan, kesan sampingan amat dirasai, tambahan bukan mudah pula mereka terpaksa berkerja keras mempertahankan maruah menutup kemaluan yang terlodeh amat itu.

Sekarang, apakah jaminan mulut berdasarkan kenyatan PM Najib sekali lagi akan mengulangi kena keceknya ADUN-ADUN BN ini? Apakah Najib juga akan menuruti langkah Pak Lah dengan mengecek ADUN BN untuk ke sekian kalinya?

Persoalan ini nampak agak ganjil dan seolah-olah ada sesuatu yang tersirat di sebalik ‘insiden yang tidak dirancang’ itu. Wallahuaklam. Cuma yang maha tahu perihal perkara ini adalah DS Najib dan ADUN-ADUN BN itu sendiri. Orang lain hanya mampu membuat andaian dan ramalan sahaja.

Sidang Dewan hari ini tidak berhenti rehat dan diteruskan sehingga tamat kerana petang ini Mat Said diminta memberi penjelasan kepada TPM sebelum dimohon mengadap Tuanku Agong. Itu bukan kejutan dan itu bukan perkara utama yang ingin sangat kita lihat dan dengar.

Yang ingin kita lihat, bagaimana wajah Mat Said selepas pertemuan itu dan yang ingin kita dengar "Mat Said masih dipercayai dan mendapat sokongan majoriti ADUN (terutama ADUN BN) untuk beliau meneruskan tugas sebagai MB".

Sementara adegan yang tidak ingin kita dengar dan lihat ialah ADUN BN ini sekali lagi kena tipu (kecek) dan apa saja tindakan mereka adalah kerana mengikut telunjuk orang-orang tertentu tanpa memikirkan selepasnya dan akhirnya akan ada yang berkata “nak buat sangat, tapi tekup batu belaka”.
Related Posts with Thumbnails