yang semasa

Isnin, April 20, 2009

YANG TOLONG PROMO

Malam semalam (19 April 2004) bertempat di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu telah diadakan satu majlis penerangan isu-isu semasa dan perjumpaan dengan pemimpin kanan / pegawai 4 peringkat dari setiap bahagian UMNO dalam negeri Terengganu bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu anjuran BPUNT. (Diulang : perjumpaan bukan mesyuarat).

Khabarnya ada sejumlah 35 orang yang hadir daripada 60-80 orang yang sepatutnya hadir. Mungkin antara mereka sudah pasti ada yang berkeuzuran atau mempunyai komitmen lain yang lebih penting. Maklumlah pemimpin kanan parti. Sebahagian besarnya pula baru kenal kerusi empuk UMNO.

Yang nak dijadikan ceritanya ada dua saja. Pertama, semua yang hadir sekali lagi kena tandatangan akujanji taat setia kepada pemimpin dan akan terus berdiri teguh di belakang pemimpin dalam apa keadaan sekali pun, sama ada meniarap waima melentang sekali pun. Ini akujanji yang ke berapa kurang pasti. Kepada yang baru-baru tu eloklah, tapi yang dah berkali-kali diakujanjikan, masih kluk klek lagikah kesetiaan mereka?

Keduanya, Timbalan Pengerusi BPUNT, YBM Dato’ Tengku Putera Tengku Awang (Dato’ Ku Tera) khabarnya begitu marah kepada blog Jarang Anak Melayu (JAM). Tak pasti isi butir marahnya, tetapi dijangka mungkin disebabkan beberapa tulisan yang menyentuh secara langsung kedudukan Mat Said sebagai MB Terengganu dan masalah-masalah dalamannya.

Selaku pemilik blog, saya tak berhasrat untuk mempertahankan diri. Cuma saya nak maklumkan kepada Dato’ Ku dan semua pengunjung blog JAM ini atau mana-mana blog sekali pun, segala yang tertulis itu adalah untuk kebaikan semua pihak. Dalam hal ini, suka saya berpesan kepada diri saya dan kepada semua supaya jangan kita menganggap diri kita ini 100 peratus sempurna. Tiada salah dan cacat celanya. Kadang-kadang kita betindak di luar sedar, terlepas laku, tersasul perbuatan atau ‘terlebih sudah’. Justeru kena tegur menegur. Kan tegur menegur itu dituntut oleh Islam? Itulah kami lapor mana yang patut.

Jadi janganlah marah Dato’ Ku. Kalau tak didedahkan mungkin Dato’ Ku sendiri tak tahu atau tak pernah diberi tahu berhubung dengan ‘pembolotan kuasa’ dalam UMNO dan Kerajaan negeri sekarang. Atau Dato’ Ku tahu tapi buat-buat tak tahu? Malas nak ambil kisah? Atau dah tak terdaya nak buat apa-apa? Jangan macam tu Dato’. Tu subahat namanya tu. Bersubahat dengan orang-orang yang melakukan kerja-kerja begitu, berdosa Dato’.

Dato’ Ku janganlah takut. Tak kan jatuh seseorang pemimpin atau sesebuah negeri dan negara kerana blog dan blogger. Pak Lah turun pun bukan hanya kerana Dr Mahathir atau blognya. Banyak lagi sebab musababnya, terutamanya yang melibatkan pembolotan kuasa itulah. Dr Mahathir hanya melapor dan mengkritik, samalah kami, tukang melapor saja mana yang patut dan mana yang tidak patut. Cuma bezanya Dr Mahathir tu bekas PM, kami (sayalah terutamanya) ‘nobody’ kata orang putih.

Apa-apa pun, alhamdulillah dan terima kasih banyak-banyak kepada Dato’ Ku kerana secara tidak langsung tolong mempromosi blog ini, sekurang-kurangnya kepada 35 orang yang hadir itu. Lebih berkesan cara promosi itu, kalaulah Dato’ Ku mengadakan sidang akhbar dan sebut blog ini di depan wartawan. Wow !!! berapa ramai nanti yang akan berebut-rebut nak kunjungi blog ini, bayanglah sendiri.
Related Posts with Thumbnails