LAPORAN PENUH ISU UGUTAN BUNUH MELALUI SMS TERHADAP ADUN-ADUN BARISAN NASIONAL TERENGGANU.
KRONOLOGI PERISTIWA :
KRONOLOGI PERISTIWA :
Pada 11hb April 2009, YAB Dato’ Ahmad b. Said, Menteri Besar, membuat kenyataan dalam Sinar Harian dan di nota kaki TV 1, dengan secara prejudis mendakwa kononnya ADA USAHA DARIPADA ADUN-ADUN BN MEMBUAT PAKATAN UNTUK MENGEMUKAKAN USUL UNDI TIDAK PERCAYA TERHADAP MENTERI BESAR di dalam sidang dewan kali ini dan beliau ‘memberi amaran akan mengambil tindakan disiplin serta dipecat daripada ADUN’. (Nota Kaki TV 1 jam 5.30 petang 11 April berbunyi : ”MB Terengganu Dato’ Ahmad Said : Anggota Dewan Undangan Negeri BN yang bawa usul tidak percaya kepada beliau bakal diambil tindakan disiplin dan dipecat”).
Pada 12hb April 2009, YB Dato’ Rosol Wahid, selaku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan menafikan laporan tersebut di dalam akhbar Sinar Harian dan menganggap bahawa Menteri Besar membuat dakwaan liar dan tidak berasas kerana takut kepada bayang-bayang sendiri.
3. a) Pada 13hb April 2009 lebih kurang pukul 11.25 mlm YB Dato Rosol bin Wahid ADUN Ajil telah menerima sms ugutan bunuh dari telefon bernombor +31234567890 yang berbunyi “baik jgn teruskn niat YB, YB tak sayang nyawa?” (Laporan Polis K. Berang 647/09).
b) Pada tarikh yang sama lebih kurang pukul 11.21 malam, YB Abd Halim bin Jusoh ADUN Permaisuri telah menerima sms ugutan yang sama kandungan daripada telefon bimbit bernombor 0199158369 yang dipercayai milik Wan Ahmad bin Wan Muda, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu. (Laporan Polis K.Terengganu No.003286/09).
c) Pada tarikh yang sama lebih kurang pukul 11.21malam, YB Zakaria @ Ariffin bin Abdullah ADUN Paka juga telah menerima sms yang sama kandungannya daripada telefon bimbit bernombor 0199158369. (Laporan Polis K.Terengganu 003285/09).
4. Akibat daripada SMS ugutan bunuh tersebut, telah menimbulkan ketakutan bukan sahaja kepada ADUN-ADUN yang menerima ugutan tersebut sahaja malah ia menimbulkan ketakutan kepada ADUN-ADUN BN yang lain terutama ADUN penyokong Kerajaan tentang ancaman keselamatan nyawa mereka. Apatah lagi pada sebelah petang hari tersebut 13hb April 2009, difahamkan bahawa pejabat MB telah menghantar sms kerahan kepada orang-orang Kemaman supaya hadir ke Dewan Undangan Negeri pada 14 dan 15 April 2009 untuk memberi sokongan kepada Menteri Besar, Ahmad Said.
5. Hasil penemuan awal yang dibuat, terhadap carian nombor telefon bimbit 0199158369 didapati didaftarkan atas nama Hj W Ahmad SUSK MB, manakala nombor +31234567890 masih belum dapat dikenal pasti.
6. Pada 14 April 2009 lebih kurang jam 9.00 pagi, bertempat di Hotel Felda Residence, Kuala Terngganu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, YB Dato’ Rosol Wahid bersama-sama 9 lagi ADUN Kelab Penyokong Kerajaan telah berbincang keseriusan ancaman bunuh tersebut dan memutuskan untuk tidak menghadiri sidang Dewan Negeri pada hari ini sehingga mendapat jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa. Apatah lagi pihak ADUN Kelab Penyokong Kerajaan difahamkan bahawa suspek masih lagi berkeliaran bebas dan kehadiran orang ramai di Dewan Undangan Negeri pada hari ini agak luarbiasa.
KESIMPULAN
Kekalutan yang berlaku adalah berpunca daripada dakwaan yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh Menteri Besar Terengganu melalui akhbar Sinar Harian bertarikh 11 April 2009 yang antara lain mendakwa kononnya wujud pakatan antara ADUN Barisan Nasional untuk mengemukakan USUL UNDI TIDAK PERCAYA TERHADAP MENTERI BESAR YAB DATO’ AHMAD B. SAID di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini.
Walaupun penafian tentang dakwaan tersebut dibuat oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, YB Dato’ Rosol Wahid dibuat, Menteri Besar masih mempercayai usaha tersebut masih ada dan akan dibuat di Dewan Undangan Negeri.
Ekoran daripada ugutan yang dibuat oleh YAB Dato’ Ahmad b. Said pada 8 April 2009 jam 9.30 malam di Kediaman Menteri Besar kepada ADUN yang hadir semasa pre-council, YAB Dato’ Ahmad b. Said terus membuat kenyataan berupa ugutan melalui kenyataan media pada 11 April 2009. Kemuncak siri ugutan tersebut adalah UGUTAN BUNUH melalui sms yang dipercayai daripada telefon bimbit yang didaftarkan atas nama Wan Ahmad Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar. Ugutan bunuh tersebut merupakan suatu ancaman yang amat serius, ancaman keselamatan dan menimbulkan kebimbangan kepada ADUN-ADUN.
Ketidakhadiran ADUN-ADUN ke Dewan Undangan Negeri pada hari ini adalah atas faktor keselamatan, ANCAMAN KE ATAS NYAWA MEREKA (UGUTAN BUNUH) dan tiada kaitan sama-sekali dengan dakwaan ‘boikot’ atau cubaan untuk menjatuhkan Menteri Besar Ahmad Said, yang dibuat oleh pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab. Walau bagaimanapun ADUN-ADUN berkenaan memberi akujanji untuk menghadiri sidang dewan sekiranya keselamatan mereka terjamin dan pihak yang bertanggungjawab membuat ugutan bunuh tersebut dibawa ke muka pengadilan.
Sekian terimakasih.
Disediakan oleh YB Alias b. Abdullah
Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu
Bertarikh pada:14 April 2009.