Menarik juga isu berkenaan sebenarnya. Seperti kata Mat Said, isu undi tidak percaya kepada MB adalah isu yang serius. Persoalannya kenapa isu ini timbul semula setelah berbulan-bulan dahulu, isu ini pernah disebut tetapi tidak pernah menjadi kenyataan?
Senarionya : Mat Said tidak perlu dipersalahkan dalam 'menimbulkan semula' isu ini sebenarnya. Keterlanjuran mulut Mat Said adalah rentetan daripada soalan seorang wartawan yang bertanyakan adanya khabar-khabar angin akan ada usul undi tidak percaya dalam sidang DUN kali ini. Mat Said yang sudah berang dan 'sakit hati' dengan 11 ADUN BN yang tidak hadir pada pra-sidang DUN beberapa hari sebelum itu, menjadi sedikit celupar dengan jawapan 'panas barannya' sehingga wartawan yang hadir serta media mereka turut sama dipersalahkan.
Saya kira Mat Said hanya melepaskan geram (wallahuaklam sama ada kepada 11 ADUN BN atau kepada wartawan/media). Jawapan yang diberikan kepada ajuan soalan oleh wartawan media perdana itu sebenarnya bukan hakikat dari akal fikir dan hasrat hati beliau yang sebenar. Saya kira, beliau terlepas cakap (termasuk yang mengaitkan istana/Tuanku dengan politik - postingnya akan menyusul).
Apa tidaknya. Sekembalinya Mat Said ke pejabat, SUA beliau terus menghubungi semua media agar tidak menyiarkan berita berkaitan undi tidak percaya dan kaitan tukar MB dengan istana seperti yang terlepas dicakapkan oleh Mat Said. Kesannya, hampir semua media perdana pro-Kerajaan tidak menyiarkan insiden berkenaan, kecuali Sinar Harian dan Harakahdaily (yang lain kurang pasti, dan kalau ada saya telah terlepas pandang).
Yang lebih menjadi isu besar ialah kenyataan Mat Said untuk mengambil tindakan termasuk 'dipecat' sekiranya ADUN BN yang membawa usul undi tidak percaya terhadap dirinya. Selain itu, Mat Said sudah boleh mengatur perjalanan sidang DUN apabila turut memaklumkan, sekiranya PAS yang membawa usul berkenaan, "kita akan tolak", selain telah 'derhaka' apabila turut menyebut "jika usul itu dapat sokongan, kita (saya) akan bubar dewan (DUN)".
Apa-apa pun, jelas bagaimana isu ini sebenarnya amat menghantui Mat Said. Beberapa persoalan dan tanggapan boleh difikirkan bersama.
Pertamanya, boleh diandaikan bahawa Mat Said takut dengan bayang-bayangnya sendiri, walaupun beberapa petunjuk jelas sebelum ini memperlihatkan ADUN-ADUN BN, 'telur' mereka hampir tidak dapat dipastikan masih ada atau tidak ada (termasuklah dalam isu kemelut perlantikan MB, isu perlantikan Speaker DUN dan beberapa isu lainnya). Mat Said sepatutnya takut kepada 'hantu-hantu' di sekelilingnya yang jelas merosakkan beliau.
Kedua, Mat Said mungkin sengaja mencari belas ehsan dan simpati umum kerana beliau mungkin sudah terasa panasnya kerusi yang didudukinya sekarang, setelah sama ada disedari atau buat-buat tidak sedar, para enam jahanamnya sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan kedudukan beliau selaku MB, sehingga ke peringkat pertemuan para enam jahanam berkenaan dengan PM yang baru. Hasilnya mungkin tidak positif dan kerana itu jugalah kata Mat Said, dalam kes Terengganu, soal tukar MB ini "kena tanya dengan Tuanku sendirilah..."
Ketiga, kenapa Mat Said mengirimkan enam jahanamnya untuk berunding dengan PM baru bagi menyelamatkan dirinya tetapi dalam masa yang sama Mat Said mengaitkan dengan Tuanku (istana)? Kalau perlantikan beliau adalah atas kehendak dan perkenan Tuanku, walaupun banyak hal dan masalah yang timbul selepas beliau diperkenan sebagai MB, pedulikan sahaja dengan PM dan Presiden parti.
Keempat. Kalaulah ditakdirkan benar-benar berlaku undi tidak percaya kepada MB dan usul berkenaan datangnya dari ADUN BN, apakah tindakan yang boleh diambil Mat Said terhadap ADUN-ADUN BN berkenaan? Apa maksud 'dipecat' seperti yang dimarahi Mat Said? Siapa Mat Said yang amat berkelayakan untuk memecat ADUN sebagai wakil rakyat atau memecat ADUN berkenaan daripada parti? Ada baca dan ada faham peraturankah Mat Said dalam hal ini?
Atau Mat Said masih terbawa-bawa dengan perangai beliau and the geng yang sudah selesa dengan 'kerja-kerja memecat' di kalangan penjawat kontrak, sementara dan perlantikan politik yang sedang menular hebat dan berleluasa sekarang ini di dalam pentadbiran beliau. Umum sudah mengetahui seperti berlaku dalam beberapa agensi kerajaan negeri contohnya UKOM, UBest, TDI, Syarikat-syarikat Anak Kerajaan Negeri, JKKK, waima dalam UMNO Perhubungan negeri dan UMNO Bahagian-bahagian juga (seperti Pengerusi Penyelaras DUN). Justeru itu maka terpancullah dengan lancarnya perkataan memecat itu dari mulut Mat Said.
Kelima, kenapa pula sehingga terpancul juga dari mulut Mat Said perkataan ingin membubarkan DUN? Sedarkah Mat Said, pembubaran DUN juga perlu perkenan Tuanku. Lagi pun, katakanlah memang undi tak percaya sudah diterima dan disokong, Mat Said sudah tidak menjadi MB lagi dan kuasa mencadangkan pembubaran DUN bukan lagi terletak di bawah bidang kuasa beliau. Kecualilah beliau mencadangkan pembubaran DUN sejurus sebaik sahaja selesai majlis perasmian DUN Isnin ini atau beliau mencadangkan kepada dirinya sendiri untuk membubarkan dirinya sebagai ADUN Kijal dan satu pengisytiharan PRK akan diadakan di Kijal pula.
Kesimpulannya, Mat Said perlu mendapat nasihat yang baik daripada para penasihat utama beliau (terutamanya dari budak tingkat 16 mahupun daripada Menteri Besar 2 atau Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan atau enam jahanam, agar beliau (Mat Said) tidak dipandang sebagai kurang cerdik dalam membuat kenyataan yang melibatkan kepentingan ramai. Sedarlah bahawa rakyat sedang memerhati dan mendengar dengan teliti cakap-cakap 'emas' daripada MB mereka. Mat Said juga perlu sedar, apakah rakyat bermajoriti atau hanya minoriti yang 'terlalu teringin' untuk tidak lagi mahu melihat beliau berada di Tingkat 16, WDI itu.
Pun demikian, kalau Tuhan masih tidak mengizinkan balasan hari ini, Mat Said juga perlu sedar bahawa balasan yang bakal diterima selepas ini. Rakyat adalah kuasa menghukum (atas kehendak Allah jua).
Dan yang paling penting, Mat Said tidak perlu bimbang dengan ADUN BN. Mat Said boleh selamat dengan adanya Speaker DUN. Kalau ADUN BN berani, Speaker DUN bukan YB Ku Tera tapi adalah Cikgu Bakar Ali. Tetapi apabila Speaker DUN adalah Ku Tera, itu tandanya Mat Said sudah menang dari segi moralnya terhadap ADUN BN yang 'semuanya sayangkan parti' itu konon.