yang semasa

Ahad, Mei 03, 2009

YANG TAKSUB, YANG MELIAR & YANG BERHEMAH

Tentu anda pernah mendengar ada orang berkata “sampai nak terkencing nak terberak” apabila seseorang berada dalam situasi cemas, gelabah, takut, bimbang, genting, dan seribu rasa gusar yang lainnya. Itulah yang boleh dikesan berlaku kepada sesetengah orang dewasa ini dalam menghadapi situasi kemelut politik di Terengganu. Dan ada antaranya yang sudah tidak mampu lagi untuk bertahan lalu timbullah tindakan sebegini (klik sini).

Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang perihal repot-repot sebegitu kerana biarlah pihak berkuasa yang menentukan betul salahnya. Cuma kita bolehlah berkongsi pandangan dan pendapat dalam hal ini dengan blogger Pada Hemat Saya.

(i)

Jangan keliru dan jangan salah sangka. Tulisan ini sama sekali tidak berhasrat untuk mempertahankan diri tetapi hanyalah sekadar untuk mengulangi sekali lagi, setelah berkali-kali saya menulis berkaitan dengan sikap pengomen blog yang sekira-kiranya dilihat seolah-olah masih tidak faham dan mengerti makna kewujudan blog.

Tetapi maaf, beberapa komen mereka tidak dapat dilepaskan kerana agak terlampau tidak sopannya dan amat aib untuk disiarkan atas dasar (mengikut pemerhatian dan tafsiran saya), pengomen berkenaan beragama Islam dan berbangsa Melayu. Malahan ada yang sampai ke tahap demikian teruknya ketaksuban mereka kepada seseorang sehingga menafikan kewarasan berfikir dalam meninggalkan komen. Saya juga sempat berfikir, kalaulah tahap ketaksuban mereka kepada Allah boleh sampai sebegitu tinggi, sebagai seorang Islam, masya-Allah, selamatlah mereka dunia akhirat.

Cuma suka saya nak sebutkan di sini, seboleh mungkin marilah kita elakkan daripada mengugut dan menakut-nakutkan blogger kerana kita sekarang bukan lagi berada pada zaman orang dulu-dulu yang menakutkan anak-anak dengan cerita-cerita hantu dan cerita ‘larangan duduk di atas bantai kerana takut menjadi bisul’.

Saya menulis begini bukan kerana takut dengan gertakan oleh pihak-pihak tertentu (jika ada). Jauh sekali untuk merasa gerun lantas segera mengambil keputusan untuk berhenti menulis. Repotlah dan samanlah berapa ribu kali pun, insya-Allah, saya akan menghadapinya. Apa yang perlu saya takutkan kalau segala yang sudah tertulis itu adalah kebenaran. Dan kalau ada pihak-pihak tertentu menganggap segala yang tertulis itu adalah tidak betul, fitnah, menghasut atau apa saja istilahnya, ambillah perjalanan dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya. Saya sentiasa bersedia dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat atau mengambil apa-apa tindakan perlu. Tambahan lagi, kebanyakan para blogger, termasuklah saya sendiri, sudah terlalu amat biasa dengan ugutan dan gertakan sebegitu seperti yang pernah saya tuliskan terdahulu (klik sini).

Siapa saya untuk menahan atau menghalang mereka membuat repot atau melakukan apa sahaja yang pada tanggapan mereka, itulah jalan terbaik. Silakan. Siasatlah, kerana itu adalah prosedur yang mahu tidak mahu terpaksa kita lalui dalam negara yang ada peraturan dan undang-undang ini.

Tetapi insya-Allah, dengan gertakan dan ugutan sebegitu akan lebih menggalakkan untuk saya lebih kerap menulis apa sahaja yang saya rasa perlu didedahkan untuk pengetahuan pembaca blog ini (walaupun pengunjungnya taklah seramai blog-blog popular lain). Selama ini pun, saya tidak pernah menghiraukan ada atau tiadanya gertakan. Yang pasti, saya tetap dengan prinsip dan pendirian saya. Saya sesekali tidak akan berundur daripada prinsip saya ‘berkata benarlah walaupun pahit dan kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai’ hanya kerana gertakan cerita-cerita hantu sebegitu. Negeri kita ada undang-undang dan peraturan. Jauh daripada itu, kita dibenarkan hidup di bumi Allah yang Esa. Ingat senantiasa bahawa daripada-Nya kita datang kepada-Nya juga kita kembali.

Dalam hal yang berkaitan dengan pandangan dan tulisan saya dalam blog JAM ini, suka saya nyatakan bahawa ini adalah cara tidak bersetuju saya dengan sesuatu perkara yang merugikan banyak orang. Saya terpaksa memilih cara ini kerana siapa saya sehingga MB atau pemimpin-pemimpin lain mahu mendengar cakap saya secara bersemuka? Tambahan lagi, semua itu bukannya perasaan dan cakapan saya seorang. Seperti saya, mereka juga tidak berpeluang untuk menzahirkan secara bersemuka atau bercakap terus dengan yang sepatutnya, kerana halangan dan batasan yang menghadkan. Mereka kemudian bercakap perkara ini di mana-mana dan mereka mungkin malas atau tidak mahu menulis kerana banyak halangan dan kekangan lain. Jadi saya menggunakan sedikit kebolehan menulis yang dianugerahi Illahi ini untuk menzahirkan rasa tidak setuju saya dan banyak orang lain yang kebetulan senada dengan saya.

Pun demikian tidak bermakna saya minta menyembah dengan sesiapa untuk bersetuju atau menerima, apa lagi untuk menuruti apa yang saya tuliskan. Terpulang kepada pembaca. Kalau dirasakan ada yang boleh digunakan, gunakan. Tetapi kalau tidak pun, biarkan saja begitu. Saya tidak rugi apa-apa. Saya menulis secara sukarela tanpa apa-apa kepentingan, tiada apa-apa bayaran atau imbuhan atau diupah oleh mana-mana pihak. Yang penting saya puas kerana boleh meluahkan rasa sendiri dan ada kalanya membantu dalam menyampaikan rasa orang lain melalui cara ini.

Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak pernah mendapat upah atau meminta sedekah daripada orang yang disokong apa lagi dengan orang yang saya tidak menyokongnya atau pihak yang mengutuk saya. Saya tiada apa-apa kepentingan dengan mana-mana pihak kerana saya tidak pernah meminta sedekah atau memohon apa-apa kedudukan daripada mereka. Saya tidak takut kehilangan jawatan atau apa-apa kerusi dengan mana-mana pihak.

Sama ada siapa sahaja yang menjadi MB atau pemimpin negeri, saya tidak pernah ambil ‘pot’. Sekali lagi, tidak ada untung dan tidak pernah rugi pun saya, walau siapa pun yang menjadi MB atau pemimpin parti. Sama ada Deris Jusoh atau Mat Said, waima semasa Hadi Awang dan Wan Mokhtar jadi MB pun, saya masih dan tetap begini. Rezeki ada di mana-mana. Telah ditetapkan oleh Tuhan. Tinggal lagi kita sahaja yang perlu usahakan untuk mendapatkannya. Alhamdulillah, sehingga hari ini, keluarga saya masih boleh menikmati rezeki dan rahmat Tuhan yang dianugerahkan kepada kami. Cukuplah sesuap nasi. Syukur alhamdulillah.

Tetapi yang nyata, walau pada zaman siapa sekalipun, kelemahan dan kepincangan (kalau berlaku) tetap saya dedahkan. Selongkarlah blog ini untuk mengesahkan kebenarannya. Deris Jusoh and the geng turut sama menjadi sasaran tulisan saya, kerana mereka melakukan kesilapan yang merugikan negeri dan parti. Cuma kebelakangan ini, oleh kerana beberapa pemimpin negeri dan parti lebih kerap dan lebih terserlah mengulangi kesalahan, kerana itu mereka lebih kerap menjadi sasaran penulisan saya.

Justeru saya rasa itu adalah pandangan yang lebih bersifat peribadi. Tiada orang yang berhak untuk mengutuk atau memarahi saya kalau kemarahan itu hanya sekadar kerana tulisan saya atau kerana sokongan peribadi yang kuat terhadap seseorang, kecualilah orang yang mengutuk atau memarahi itu ada kepentingan dan terselit agenda tersembunyi.

Kerana itu saya hairan dan pelik, kenapa mereka perlu melenting dan marah-marah? Semua orang termasuk saya berhak bersuara bercakap ke atas perkara yang tidak betul. Kita kena faham, ‘menyerang’ individu kerana kepentingan awam adalah berbeza sama sekali dengan menyerang individu secara peribadi.

Kalau kita masih kurang faham membezakan dua kenyataan berkenaan, mari kita lihat contoh berikut :

Contoh 1 : Menyerang individu kerana kepentingan awam

Si-B menyerang Si-A yang menjadi Ketua Negara kerana mengamalkan korupsi, menyalahgunakan kuasa dan melakukan banyak perkara yang jelas merugikan dan menjejaskan reputasi sebuah kerajaan. Si-A yang juga menjadi Ketua Parti membiarkan parti kelam kabut sehingga mengelirukan ahli-ahlinya. Menggunakan parti untuk kepentingan individu dan menjadikan parti seolah-olah sebagai hak peribadi sehingga menjejaskan keutuhan dan keharmonian dalam parti.

Contoh 2 : Menyerang individu secara peribadi

Si-B menyerang Si-A yang kebetulan adalah Ketua Negara dan Ketua Parti kerana si-A berkahwin tiga empat orang, rumah tangga porak-poranda, anak-anak tidak terjaga, tidak sembahyang, tidak berpuasa, gigi tidak digosok dan mandi tidak bersabun.

Justeru dalam hal ini, ada kalanya saya terpaksa ‘menyerang individu kerana kepentingan awam’ adalah kerana memang individu itu yang bertanggungjawab dan terlibat secara langsung dengan segala macam kelemahan dan kesilapan. Bagaimana kita tidak mahu menyentuh individu berkenaan kerana memang individu itu yang melakukannya.

Kelemahan individu sebagai MB contohnya, apakah kena disebut “ini adalah kelemahan kerusi meja pejabat MB, ini adalah kesalahan tayar kereta MB, ini adalah kesilapan yang disengajakan oleh lif Wisma Darul Iman”…begitu??? Atau kelemahan individu sebagai pemimpin parti, apakah kita kena sebut “itu salah meja mesyuarat pejabat parti, itu salah komputer pejabat parti, itu salah pintu pejabat parti, bangunan partilah yang melantik si anu si anu pegang jawatan itu ini”…begitu???

Sila semak tulisan-tulisan saya dalam blog ini. Saya tidak menghentam individu secara peribadi. Kalaupun ada ‘gelaran-gelaran’ tertentu, itu ada kaitannya dengan 'kesombongan individu dengan status yang ada', perlakuan ke arah tindakan dan cara mengurus parti dan negeri yang pada pandangan umum boleh merosakkan parti dan negeri serta melibatkan prinsip serta dasar kerajaan dan parti. Perlu difahami, dasar dan prinsip itu adalah berkepentingan awam bukan berkepentingan peribadi. Kerana itulah penulisan berkenaan masih terikat kepada mengkritik individu kerana kepentingan awam. Perlakuan dan tindakan individu berkenaan jelas merosakkan kepentingan awam dalam parti dan kerajaan.

Berdasarkan perihal di atas, berdasarkan prinsip dan kedudukan saya berikut :

1) Sebagai rakyat negeri Terengganu yang dilahirkan dalam negara merdeka dan berdemokrasi, diberi hak dan keistmewaan sama rata, dikenakan cukai dan dibataskan dengan peraturan dan undang-undang yang sama dengan semua rakyat negeri ini yang lainnya :

Maka saya dan rakyat lainnya berhak bersuara menegur Menteri Besar sebagai pemimpin yang diamanahkan untuk menjaga negeri dalam negeri yang saya naungi dan pemimpin kepada saya dan rakyat lainnya selagi beliau membuat kesalahan dan melakukan sesuatu yang tidak betul. Kalaupun MB itu di kalangan kerajaan Pakatan sekalipun, dia tetap MB negeri ini yang tidak kebal untuk dikritik atau ditegur. Soal sama ada teguran itu diterima atau sebaliknya, itu bukan keutamaan. Yang pasti saya dan semua orang ada hak masing-masing.

2) Sebagai ahli UMNO yang membayar yuran tahunan sebanyak RM1.00 setahun (sama sahaja seperti Presiden dan ahli UMNO yang lain) dan mempunyai hak dan batasan yang sama tertakluk kepada perlembagaan parti, saya dan mereka yang menjadi ahli UMNO berhak bersuara menegur pemimpin mereka (waima Presiden sekalipun) yang membuat salah dan dilihat telah, sedang dan boleh merosakkan parti itu sendiri. Sekali lagi, soal sama ada teguran itu diterima atau sebaliknya, itu bukan keutamaan. Yang pasti saya dan semua ahli UMNO ada hak masing-masing.

Kita sepatutnya marah kerana rakyat negeri Terengganu dan ahli UMNO yang secara membuta tuli sambil memekakkan telinga dan membutakan mata, menyokong dan mengampu pemimpin yang jelas tidak betul sikap dan bawaannya. (p/s : Fasal ini tidak terikat atau tertakluk kepada mereka yang bukan rakyat negeri Terengganu, kerana mereka bebas untuk bertindak, bebas untuk bersuara, bebas untuk memihak kepada sesiapa yang mereka suka. Mereka sudah selesa dengan mencari makan di negeri ini. Apa nak jadi pun, itu bukan hal mereka, ini bukan negeri mereka. Kalau hancur musnah negeri dan parti di negeri ini, mereka boleh balik ke kampung asal mereka. Berbahagialah menjadi orang-orang sebegini).

Walau bagaimanapun, kalaupun (diulang : kalaupun… ulang : kalaupun) saya secara peribadi atau tulisan-tulisan di dalam blog ini secara umumnya dilihat memihak dan menyokong kumpulan atau pemimpin-pemimpin tertentu, kenapa perlu dimarahinya saya? Kenapa perlu dimaki hamunnya saya? Kenapa perlu diserangnya saya? Bukankah itu menampakkan bahawa kita diupah, diperalatkan dan diperkudakan oleh individu berkepentingan? Atau kita sendiri yang berkepentingan? Kita bimbang kita rebah dan hilang kuasa? Kita takut kita jatuh dan terlepas peluang? Atau apakah kita gusar kita terlucut kedudukan dan terencat segala?

Seperti saya tidak pun memarahi mereka yang totok menyokong Mat Said sebaik beliau ditabal menjadi MB dulu. Seperti saya tidak marah kepada mereka yang tidak menyokong Deris Jusoh apabila dinyahkan sebagai MB, juga seperti saya tidak pernah marah kepada mereka yang tidak berdiri bersama kumpulan yang dinamakan kumpulan penderhaka dalam kemelut perlantikan MB dulu. Tidakkah boleh kita bersikap rasional sebegitu? Kalaupun hendak marah, marahlah kerana kita sayangkan negeri dan parti. Marahlah kalau negeri dan parti dijadikan bahan uji kaji.

Menjawablah secara rasional dengan menggunakan akal fikiran yang waras bukan menggunakan kepala lutut.

(ii)

Satu perkara lagi yang ingin saya sebutkan di sini ialah berhubung dengan senario kebelakangan ini yang amat memeriahkan dunia blogger. Sudah ada yang membuka akaun google semata-mata bertujuan menzahirkan perasaan ketotokan terhadap seseorang dengan melepaskan perasaan amarah yang teramatnya melalui komen dalam blog yang tidak menguntungkan mereka dan menempelak pemimpin pujaan sanjungan mereka.

Maka jelaslah bahawa mereka yang bertindak begini (membuka akaun google) menjadi semacam takut dan dayus untuk menggunakan nama sebenar dengan terus mengambil pendekatan berselindung di sebalik nama, jauh sekali untuk memaparkan foto atau maklumat peribadi yang boleh mengenalkan diri mereka. Orang-orang ini bolehlah digolongkan dalam kalangan orang-orang yang tidak bermoral, tidak bertanggungjawab, tidak beretika dan rendah maruahnya.

Orang-orang ini sebenarnya mengambil upah daripada seseorang untuk menjawab tulisan, memaki hamun, mengutuk dengan cara yang jauh menyimpang sifatnya sebagai seorang Islam dan Melayu. Atau juga mereka mempunyai kepentingan tersendiri. Mereka kemudiannya akan tersenyum sinis dan merasa puas yang disaluti kekejian setelah meninggalkan komen pada blog yang tidak dipersetujui mereka.

Ada juga pengomen yang menggunakan nama kononnya nak menunjukkan beliau ‘berkelulusan undang-undang’ tetapi perangai dan perlakuannya lebih buruk daripada seburuk-buruk yang buruk. ‘Lawyer buruk’ ini juga tidak mempunyai blog atau laman sendiri tetapi hanya membuka akaun google semata-mata untuk membalas komen, mengampu blogger /individu yang sealiran dan memihak kepadanya, mengutuk, mencaci, mencerca, menghina, memaki dan memburuk-burukkan orang lain, khususnya yang tidak sepemikiran dan sealiran dengan beliau. Malang sekali profession guaman yang murni dan beretika serta disanjung tinggi itu dengan adanya individu yang bersifat sebegini (kalau benar beliau seorang peguam). Jangan kerana seekor kerbau yang membawa lumpur, akan terpalit semuanya. Kerana nila setitik, rosaklah susu yang putih bersih itu sebelanga.

Kepada pengomen daripada Felda Cerul pula (hanya menggunakan nama UMNO) yang meninggalkan komen, suka saya nyatakan bahawa saya tidak pernah merangkak atau menyembah anda meminta untuk saya dihormati dan dikagumi. Tidak ada untung ruginya kalau saya dikagumi dan dihormati atau tidak. Tidak ada apa faedahnya saya dikagumi, apa lagi oleh orang-orang seperti anda. Saya tidak pernah meminta sedekah walau satu sen pun daripada anda walau setinggi mana anda mengagumi dan menghormati saya.

Malahan terus terang saya katakan, saya tidak rela dan tidak redha kalau saya dibanggakan atau dihormati oleh orang yang hipokrik, tidak bermaruah serta dayus seperti anda.

Daripada UMNO Felda Cerul juga, ugutan dan gertakan dengan ‘dengar banyak cerita’ tentang saya terlalu umum dan seperti rahsia besar yang hendak disembunyikan. Saya mencabar supaya ceritalah. Jangan jadi budak hingusan dan menganggap saya juga budak hingusan yang boleh digertak-gertak. Apa cerita yang banyak didengar itu? Ceritakan dan dedahkan satu persatu kalau anda tidak dayus. Saya menunggu pendedahan itu dalam mana-mana blog, laman web atau mana-mana media cetak sekalipun.

Memang agak keras dan sombong sedikit kenyataan saya ini, tapi itulah bahasa yang paling sopan dan paling sesuai untuk orang seperti mereka.

Sekali lagi, jangan cuba mengugut, mengertak dan menakut-nakutkan saya dengan cerita-cerita hantu. Carilah orang lain untuk menakut-nakutkan begitu tetapi bukan saya. Kepada mereka, ingatlah pesan orang tua-tua - sarang tebuan dijolok jangan.

Rasionallah dan berhujahlah secara berhemah. Terimalah hakikat bahawa setiap manusia tidak sama. Tidak semua orang boleh menuruti dan menyokong kita. Dengan akal fikir yang dianugerahi Tuhan kepada kita telah menjadikan penerimaan dan pemikiran kita berbeza. Ideologi, fahaman dan anutan ternyata tidak sama.

Sedarlah bahawa marahnya kita kepada media yang pro-Pakatan samalah juga seperti marahnya kumpulan penyokong dan penganut ideologi mereka kepada media pro-Kerajaan (UMNO/BN). Ini kerana mereka dengan anutan mereka dan kita juga dengan anutan kita. Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menyokong dan senantiasa bersetuju dengan kita dan begitu jugalah mereka juga tidak berhak dan tidak boleh untuk memaksa dan mendera kita agar bersetuju dan menyokong mereka.

Tetapi mereka (penyokong dan penganut ideologi bertentangan itu) jauh lebih sopan dan bertertib daripada kita. Mereka berhujah dengan berhemah dan mengikut saluran yang betul dan bertanggungjawab. Jawablah dengan apa kaedah dan bahasa sekalipun (berdasarkan kemudahan yang ada), bukan dengan menceroboh laman orang dengan sesuka hati. Kalau kita merasa sakit hati dan tidak bersetuju dengan laman sebegini, jangan melayarinya. Baca sahaja laman atau media yang mengembirakan kita. Kita sama sekali tidak akan sakit hati dan kehidupan kita pun akan tenang dan tenteram.

Dan kita juga perlu amat sedar, walaupun fahaman dan ideologi adalah sama, penerimaan terhadap seseorang pasti tidak akan sama. Jelasnya ketidaksamaan itu adalah kerana sikap, pembawaan dan kepimpinan seseorang yang tidak selari dan secucuk dengan kita atau lebih besar daripada itu, ketidaksefahaman itu adalah disebabkan kepentingan individu terhadap individu yang lain mengatasi segala-galanya.

Akhirulkalam, marilah kita sama-sama menerima hakikat ini dan senantiasalah menghadapi segalanya ini dengan sopan, bersantun secara Melayu dan berhemah secara Islam.
Related Posts with Thumbnails