Selasa, April 14, 2009

YANG HURU & YANG HARA

Tiada apa yang luar biasa berlaku di Dewan Undangan Negeri Terengganu pada hari kedua sidang. Segala-galanya hanyalah secara kebetulan tanpa diduga. Mungkin yang dirancang berbeza dengan apa yang berlaku. Yang berlaku adalah gambaran betapa huru dan haranya pentadbiran Mat Said sebagai MB dan huru-haranya 'budak tingkat 16' yang tersilap percaturan.

Seperti posting saya terdahulu, tiada siapa yang menyangka tindakan menghantar SMS oleh budak tingkat 16 kepada tiga ADUN BN seolah-olah menjadi skrip lengkap yang menambahkan lagi derita dan kegelisahan Mat Said and the geng. Segala itu bukan skrip asal yang tersurat tetapi merupakan bonus ke arah memperkuatkan sebab musabab dan jelasnya 'kesalahan' dan kelemahan Mat Said. Justeru makanya tindakan budak tingkat 16 berkenaan telah dengan sendirinya menjadi manifestasi kepada kegelojohan serta takutnya hilang kuasa seorang MB.

Sambil kita mengenepikan sebab musabab yang menjadi kebetulan itu, soal usul undi tidak percaya atau apa saja tindakan yang dibuat oleh 10 ADUN BN hari ini bukan lagi menjadi isu. Yang jelas isunya, Mat Said sudah tidak disukai oleh majoriti ADUN BN sendiri. Dan apabila tindakan dengan kegelojohan dan kebodohsombongan budak tingkat 16 itu dijelmakan dengan cara yang maha aib dan jijik sebegitu, sudah pasti 'besarnya kemaluan' seorang pegawai kanan kerajaan dan seorang MB menjadi semakin sukar disembunyikan kebogelannya.

10 atau 13 ADUN BN sudah mempunyai alasan kukuh untuk tidak menghadiri sidang. Jaminan keselamatan adalah faktor terpenting yang perlu diselesaikan pihak bertanggungjawab. Nyawa bagi seorang ADUN/wakil rakyat amat mahal harganya. Bukan menafikan ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi hakikatnya perlu diperkirakan.

Seperti yang berlaku di Kuala Terengganu mahupun di Bukit Gantang, kematian seorang wakil rakyat memerlukan ratusan malahan mungkin ribuan juta ringgit untuk menggantikannya, berbeza dengan kematian seorang pegawai kerajaan atau orang awam biasa yang tidak memerlukan belanja yang besar tujuan mengurus satu PRK. Kerana itu, pendirian ADUN BN bukanlah pendirian yang sengaja direka-reka. Mereka memerlukan satu tahap keselamatan yang benar-benar terjamin, untuk mereka menghadirkan diri ke sidang.

Difahamkan tengah hari tadi, Dato' Rosol Wahid (BN Ajil) yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan DUN Terengganu telah menghubungi Ketua Polis Negeri Terengganu bagi mendapatkan jaminan keselamatan para ADUN BN agar mereka selamat dan selesa ke dewan sidang. Khabarnya KP hanya menyakinkan secara verbal bahawa tahap keselamatan mereka terjamin tetapi dalam masa yang sama menafikan bentuk bantuan atau iringan keselamatan yang sewajarnya dalam erti kata bagi menjamin keselamatan.

Apa sebenarnya makna keselamatan terjamin yang diyakinkan oleh KP itu? Sedang pada masa yang sama, ADUN BN dan rakyat sendiri tidak pernah tahu di mana KP itu berada dan kalau beliau berjalan di jalan raya pun, apakah beliau yakin yang dirinya atau rakyat bebas daripada bahaya sebagaimana ugutan?

Kerana itu saya kira, tindakan yang diambil oleh ADUN BN setelah mengadakan perbincangan pasca-nasihat KP Terengganu untuk terus tidak menghadiri sidang pada sebelah petang dan kemungkinan besar untuk sidang hari akhir pagi esok (sekiranya tiada bentuk meyakinkan keselamatan) merupakan tindakan yang tepat untuk jaminan keselamatan dan pembaziran.

Sekali lagi isunya bukan tidak hadir atau sebab musabab ugutan bunuh itu. Isu yang jelas menebalkan muka Mat Said and the geng adalah sudah menjadi realiti tiadanya Deris, Rosol and the geng sdn bhd dalam sidang kali ini dan ini menjadi isyarat jelas kepada pucuk pimpinan UMNO, waima pihak istana sekali pun, betapa jelas dan terbukti bahawa tahap penerimaan dan rasa hormat sesama mereka dalam BN, sudah semakin kabur dan berbalam.

Harap-harapnya hari ini atau paling tidak pun pagi esok, akan ada kejutan baru yang berlaku. Sama ada terhadap budak tingkat 16 atau Mat Said atau 13 ADUN BN yang menderhaka itu. Kejutan itu diharap juga boleh menjadi penawar kepada kehuruharaan yang sedang menjadi mimpi ngeri pihak-pihak yang berkaitan.
Related Posts with Thumbnails