yang semasa

Khamis, April 30, 2009

YANG DILAPORKAN (3)

Pemuda UMNO buat laporan terhadap artikel laman blog

KEMAMAN 29 April - Pemuda UMNO Bahagian Kemaman membuat laporan polis berhubung satu artikel dalam sebuah laman blog yang memburukkan kepimpinan parti.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangannya, Halim Sulong di Balai Polis Kemaman pada pukul 10.30 pagi.

Halim berkata, Pemuda UMNO Kemaman meminta pihak berkuasa membuat penyiasatan terperinci berhubung artikel tersebut yang turut menghina Istana Terengganu.

''Mereka yang bertanggungjawab perlu dikenakan hukuman setimpal kerana artikel itu berbau hasutan,''' ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes itu kini dalam siasatan polis.

(Utusan Malaysia, Khamis 30 April 2009)

YANG SUKAR MENERIMA KENYATAAN?

Sekadar untuk renungan dan tidak sukar sebenarnya untuk meneladani sifat, sikap, fie perangai dan tingkah laku pemimpin mithali ini, seterusnya menerima kenyataan dengan apa yang telah tersurat :

(i)

Khalifah Umar Abdul Aziz merupakan salah seorang khalifah yang sangat berjaya dalam memimpin meskipun masa kepimpinannya sangat singkat, yakni tidak sampai tiga tahun. Salah satu keberhasilannya adalah kerana dorongan daripada anggota keluarga, khususnya dari salah seorang daripada 15 anaknya, yang bernama Abdul Malik.

Ketika Umar telah menerima jawatan sebagai khalifah, dia merasa perlu beristirehat kerana keadaan badannya yang sudah amat letih dan mata yang sudah amat mengantuk. Namun, baru saja dia merebahkan tubuhnya di atas tempat tidur dan meletakkan kepalanya di atas bantal, tiba-tiba datang Abdul Malik lalu berkata, “Apa yang akan ayah lakukan sekarang?”

“Aku ingin istirehat sebentar anakku,” jawab Umar.

“Apakah ayah akan beristirehat padahal ayah belum mengembalikan harta rakyat yang dirampas secara zalim kepada yang berhak?”

“Ayah akan lakukan itu nanti setelah zohor, semalam ayah tidak boleh tidur kerana menguruskan bapa saudaramu,” jawab Umar.

“Ayah, siapa yang boleh memberi jaminan bahawa ayah akan tetap hidup sampai zohor nanti?” tanya Abdul Malik lagi.

Mendengar pertanyaan anaknya itu, terbakar rasanya semangat Umar sehingga seperti hilang rasa mengantuk dan letih yang dialaminya, lalu memanggil Abdul Malik mendekati dirinya.

Setelah Abdul Malik mendekatinya, Umar mencium keningnya lalu berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku anak keturunan yang membantuku dalam agamaku.”

Khalifah Umar segera bangkit dari tempat tidurnya dan segera menyempurnakan tugasnya.

Suatu ketika Umar mengumpulkan para ulama untuk diminta pendapat mereka tentang harta rakyat yang diambil secara zalim oleh pemerintah terdahulu. Namun, para ulama mengatakan bahawa hal itu bukanlah dosa Umar kerana terjadi bukan pada masa pemerintahannya. Tentu saja Umar tidak puas dengan pendapat ulama tersebut. Dia pun merasa perlu bertanya kepada anaknya, Abdul Malik.

“Saya berpendapat bahawa ayah harus mengembalikan harta itu kepada pemiliknya selama ayah mengetahui permasalahannya. Kalau ayah tidak melakukannya bererti ayah terlibat bersama mereka yang telah mengambil harta itu secara zalim.”

Mendengar jawapan anaknya, Umar menjadi lega dan senang hati. Teguran, nasihat, dan pandangan yang baik dari sesiapa pun dan bagaimana cara sekalipun disampaikan merupakan hal yang sangat penting untuk didengar oleh seorang pemimpin.

Seorang pemimpin perlu lebih mengutamakan isi percakapan daripada siapa yang bercakap atau bagaimana cara ia bercakap.

(ii)

Hendaknya janganlah kita menjadi pemimpin seperti bidalan berikut :

Menjadi pemimpin dungu dan bebal
dada kosong akal sejengkal.

Bercakap tidak berhujung pangkal
memimpin bagai kehilangan akal
diberi nasihat telinganya tebal
rakyat sengsara negeri tertinggal.

Dijadikan pemimpin pasti menyesal
dijadikan tua hilanglah akal
dijadikan induk anak dibedal
negeri rosak rakyat terjual.

Isnin, April 27, 2009

YANG SESAL DULU PENDAPATAN

Kira-kira enam bulan lalu saya ada menulis berkaitan dengan kemungkinan Mat Said akan diturunkan daripada kerusi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu sekali gus kemungkinan sebagai Menteri Besar juga (klik sini).

Saya membayangkan Yahya Khatib sebagai bakal Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang baru berdasarkan beberapa premis yang saya sebutkan, serta dalam masa yang sama turut membayangkan kemungkinan kepimpinan BPUNT akan dipangku sementara oleh pemimpin pusat.

Hari ini segala-galanya menjadi kenyataan. Cuma tinggal lagi kerusi yang lebih besar dan panas yang belum direalisasikan. Tentang kemungkinan itu (berlaku pertukaran MB), kita serahkan dulu kepada masa yang akan menentukannya.

Cuma yang menarik ingin dikongsikan di sini ialah berkaitan saranan / cadangan atau kalau nak dikatakan ‘gatal mulut saya’ meminta agar Mat Said (and the geng) supaya sedar dan berubah sekiranya Mat Said tidak mahu pertukaran itu benar-benar terjadi. Maknanya perihal pertukaran dan turun naik Mat Said ini sudah terhidu lebih enam bulan lalu, tetapi baru sekarang hampir seratus peratus menjadi kenyataan.

Sayangnya Mat Said and the geng barangkali menganggap kemungkinan-kemungkinan ini hanyalah mainan politik semata yang tidak perlu dipandang serius. Justeru Mat Said and the geng hanya memandang enteng dan tidak perlu membetulkan mana yang terbongkeh, mana yang terensok dan mana yang terencak.

Malahan lebih malang, masalah ketidakstabilan (khususnya dalam UMNO) seperti yang saya sebutkan itu semakin membarah dan semakin busuk baunya selepas the geng's of Mat Said menang dalam pemilihan UMNO bahagian. Pelbagai tindakan yang jelas merenggangkan pertautan dalaman sesama UMNO bukan diusahakan untuk dirapatkan, malahan semakin kuat diusahakan untuk ‘dinyekkan’ oleh individu yang berasa sudah ada kuasa ke atas individu yang kalah kuasa itu. Tindakan yang langsung tidak pernah terfikir pada akal sebelumnya dimaharajalelakan, diwenang-sewenangnya asalkan niat dan hasrat buruk yang sudah hampir-hampir pecah dalam perut sesetengah orang itu terburai dan sekali gus dapat memuaskan hati mereka.

Akibatnya kuasa yang digunakan dengan niat dan nawaitu yang tidak betul dan tidak ikhlas itu memakan diri sendiri dan inilah akibat dan balasannya. Mat Said and the geng mungkin lupa bahawa yang menang sebagai Ketua UMNO Bahagian (dan kuncu-kuncu ‘line up’nya) tidak boleh merubah kedudukan ‘kuasa’ dalam pentadbiran negeri, sedang the geng’s of kalah inilah yang boleh menentukan goyah atau tidaknya sesebuah kerajaan, khususnya kerajaan negeri.

Benar kata orang tua-tua ‘sesal dulu pendapatan, sesal kemudian sudah tak berguna lagi’. Menangislah air mata darah sekali pun, wang ringgit sudah tidak mampu mengesatnya tetapi sapu tangan juga yang dicari akhirnya.

Jumaat, April 24, 2009

YANG TERUS SUSPEN … JENG… JENG… JENGGG…

Berikut adalah senarai penuh Pengerusi baru Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri.

Selangor - Datuk Seri Najib Razak
Wilayah Persekutuan - Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perak - Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir
Pulau Pinang - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Kedah - Datuk Seri Shafie Apdal
Perlis - Datuk Md. Isa Sabu
Kelantan - Datuk Mustapa Mohamed
Pahang - Datuk Seri Adnan Yaacob
Terengganu - Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Negeri Sembilan - Datuk Mohamad Hasan
Melaka - Datuk Seri Mohd. Ali Rustam
Johor - Datuk Abdul Ghani Othman
Sabah - Datuk Seri Musa Aman

Ada sesuatu yang sedikit rasa tidak kena dengan perlantikan individu untuk menerajui UMNO negeri-negeri seperti tersenarai di atas. Kalau kawan saya blogger Memo Belakang, Zabidi Saidi menulis nanti, tentu ayat pertamanya “ramalan saya kurang tepat”.

(sekadar catatan : Saya menggunakan status blogger Memo Belakang kepada Zabidi Saidi, kerana sekarang beliau bukan lagi Editor Akhbar. Buat sementara waktu, beliau mencari makan sebagai blogger setelah Akhbar tabloid mingguan pada mana beliau adalah Editor merangkap orang yang bertungkus lumus mengembalikan akhbar berkenaan ke ujana persuratkhabaran tanah air, dikhabarkan gagal melunaskan gajian selama hampir lima bulan. Itu pengakuan Zabidi, kalau beliau bohong, bohonglah saya. Sebab itu, untuk sementara waktu ini, beliau terpaksa mencari makan dengan menjadi blogger. Dan khabarnya Alhamdulillah, cukuplah untuk makan pakai, belanja karaoke dan isi minyak kereta baru [sape bagi kereta tu?…] Kah3… jangan marah sahabatku merangkap bekas rakan serumah).

Apa yang tidak kena?

1) Ada yang naik pangkat dan ada yang turun pangkat. Yang naik pangkat termasuklah Mat Isa Sabu (Perlis), Dr Zambry Kadir (Perak) dan juga Datuk Pa (Kelantan). Yang turun pangkat pula tak lain tak bukan, Mat Said (Terengganu) yang hanya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

2) Di kalangan pemimpin tertinggi (pusat) yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan adalah bagi negeri-negeri yang sekarang terlepas ke tangan Pakatan. Antaranya Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Negeri yang masih dikuasai BN, MB/KM semasa terus dikekalkan sebagai Pengerusi. Waima Perak dan Perlis juga telah dikembalikan kepada tradisi (MB/KM sebagai Pengerusi Badan Perhubungan negeri). Tetapi Terengganu? Kenapa turut sama terlibat sedangkan Terengganu ‘masih belum’ jatuh ke tangan Pakatan dan MB Terengganu sekarang masih bernaung di bawah payung dan bendera UMNO/BN. Nampaknya, Terengganu satu-satunya negeri yang berada di luar norma kebiasaan dan ketradisian UMNO.

Apakah kerana kes 10 budak hitam (yang sekarang khabarnya sudah menjadi 20 budak sawo matang !!! – semakin cerah sikit) atau ada apa-apa yang terus menjadi misteri dan suspen?

3) Apakah DS Najib mahu meneruskan nasib malang orang-orang UMNO/BN Terengganu setelah sebelum ini hanya seorang pemimpin UMNO Terengganu dilantik sebagai Menteri? Atau DS Najib sudah ‘mulai sedar’ betapa UMNO Terengganu sejak setahun yang lalu sudah amat parah kondisinya?

Sama-samalah kita tunggu sambungannya dalam episod akan datang. Jeng… jeng… jenggggggg….

YANG WAJIB MENYINGKIRKAN DIRI

ISUNYA : Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein telah dengan rasmi berkuatkuasa serta merta hari ini (24 April 2009) dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu yang baru menggantikan Dato’ Ahmad bin Said yang turut dinamakan sebagai Timbalan Pengerusi.

Rosol Wahid dan Ahmad Shabery Cheek dengan segera mengumumkan perletakan jawatan selaku Setiausaha dan Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu sebaik sahaja Deris Jusoh mengumumkan perletakan jawatan selaku Pengerusi BPUNT kira-kira setahun lalu. Itu adalah contoh pemimpin yang ‘sedar kediri’, ‘dok pelahap jawatan’, ‘dok gila kedudukan’ dan bermaruah memandangkan jawatan yang disandang mereka adalah jawatan lantikan Pengerusi (lebih halus bahasanya 'jawatan ehsan Pengerusi'), bukan jawatan yang boleh dikekalkan sesuka hati sampai khiamat.

Kalau prinsip itu dipegang, makanya beberapa orang yang dilantik oleh Mat Said menduduki beberapa jawatan pegawai dalam BPUNT bolehlah memulakan operasi mengemas barang-barang dari pejabat BPUNT dan kemudian ‘menyingkirkan’ diri masing-masing daripada saf utama kepimpinan baru BPUNT.

Jangan sampai kita disingkirkan… malu booosssss… nampak sangat kita pelahap jawatan tu dan kita ni mengada-ngada sangat sayangkan jawatan atau seperti kata Dr. Mahathir, ada ‘agenda yang belum selesai’. Janganlah kita ingat kita boleh menongkat langit dengan jawatan dan kedudukan kita sekarang.

Harap-harap Dr Jepun in bracket and the geng ada maruah dan muka tidak diletak di kepala lutut. Cukuplah setahun menyeksa ahli UMNO Terengganu dan cukuplah setahun merosakkan UMNO Terengganu.

(p/s : TETAPI ditakdirkan jawatan tu ditawarkan semula, alhamdulillah, terima saja dan jangan jual mahal. Bukan senang nak pegang jawatan tu boossss... hanya orang-orang yang helat dan berwikawa… [ULANG : HELAT & BERWIKAWA] dan ada title (Dr) saja yang boleh pegang jawatan tu booosssss…..).

Khamis, April 23, 2009

YANG KELENTONG : DR JEPUN IN BRACKET

Hasnim Emilia (duduk dari kiri), Engku Naimah dan Mohd Mahadi bersama ahli jawatankuasa tiga sayap yang menyatakan sokongan padu kepada Idris pada sidang akhbar di Jerteh Terengganu semalam.

Ini cerita sebenar berkaitan apa yang berlaku di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu malam 19 April 2009 lalu dan kenyataan Dr Jepun in bracket kepada Malaysiakini.com dua hari berikutnya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Besut menyangkal kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rosli Mat Hasan (Dr Jepun in bracket) bahawa ketiga-tiga sayap UMNO Besut itu menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said (Mat Said).

Malah Ketua Wanita dan Pemuda turut menyifatkan kehadiran mereka pada perjumpaan anjuran BPUNT di Kuala Terengganu pada 19 April lalu sebagai usaha memerangkap mereka supaya menyokong kepimpinan Menteri Besar.

Mereka menegaskan walau apa keadaan sekalipun akan tetap berdiri teguh di belakang Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Idris Jusoh (Deris Jusoh) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh.

Ketua Pemuda, Mohd Mahadi Musa, Ketua Wanita Engku Naimah Engku Taib dan pemangku Ketua Puteri Hasnin Emilia A. Ghani membuat kenyataan bersama pada sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Penyelaras DUN Jerteh dekat sini petang semalam.

Ketiga-tiganya kesal dengan kenyataan tidak benar yang dikeluarkan oleh Dr Jepun in bracket itu dan menggambarkan BPUNT sedang berusaha untuk menunjukkan kepada pihak atasan bahawa Mat Said masih menerima sokongan ramai sedangkan keadaan sebenar adalah sebaliknya.

Menurut mereka, kenyataan Dr Jepun in bracket itu juga bertujuan untuk memburuk-burukkan Deris Jusoh dan mengambarkan seolah-olah bekas MB itu kini tersepit apabila tiga sayap daripada bahagiannya tidak menyokong beliau.

Malaysiakini.com 21 April 2009 melaporkan tujuh daripada lapan Ketua UMNO Bahagian di Terengganu menyatakan sokongan mereka terhadap MB Mat Said untuk terus menerajui kerajaan negeri itu.

Menurut laporan yang memetik kenyataan oleh Dr Jepun in bracket itu, hanya Ketua UMNO Bahagian Besut, Deris Jusoh salah seorang daripada 18 ADUN di Terengganu yang mendesak Mat Said meletak jawatan – tidak menyokongnya.

Bagaimanapun menurut laporan itu lagi, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Besut turut menyokong kepimpinan Mat Said.

Engku Naimah berkata, selepas majlis perjumpaan di Kuala Terengganu itu, dia diminta menandatangani dokumen seakan akujanji yang mengandungi empat perkara utama iaitu sokongan kepada institusi beraja, sokongan kepada kepimpinan negara, kepimpinan negeri dan badan perhubungan UMNO negeri.

Katanya, dia merasa seakan diperangkap dengan cara tersebut kerana jika tidak ditanda tangan seolah-olah dia tidak menyokong institusi atau derhaka kepada raja serta tidak menyokong kepimpinan negara.

Menurutnya, dengan perasaan serba salah dia menandatangani dokumen itu hanya atas sebab menyokong institusi raja dan kepimpinan negara dan bukannya sebab menyokong kepimpinan Menteri Besar dan UMNO Perhubungan negeri.

“Saya yakin ramai yang hadir pada majlis itu merasa demikian tetapi kerana terperangkap dengan cara yang dibuat mereka juga terpaksa menandatangani dokumen tersebut,” jelasnya.

Mohd Mahadi pula berkata, setelah menerima jemputan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Setiausaha Kerja BPUNT dan kemudiannya menerusi telefon daripada Setiausaha Kerja Pemuda UMNO negeri, dia hadir pada majlis yang diadakan di Hotel berkenaan.

Katanya, pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa perkara pelik kerana memang menjadi kelaziman pemberitahuan mengenai perjumpaan anjuran Pemuda UMNO negeri hanya dibuat menerusi cara itu.

Bagaimanapun menurutnya, ketika berada dalam majlis itu Bendahari Perhubungan UMNO negeri yang berucap telah habis-habisan menghentam Deris sebagai dalang kepada kemelut yang berlaku sekarang,

Mahadi berkata, dia sempat mengambil peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar dan dakwaan Bendahari itu yang kononnya pada malam sebelumnya ada satu mesyuarat diadakan oleh Deris.

Katanya dia sendiri kemudian turut menandatangani dokumen tersebut kerana tidak mahu dianggap sebagai menderhaka kepada raja dan tidak menyokong kepimpinan negara (Perdana Menteri).

Bagaimanapun jelasnya, kenyataan Dr Jepun in bracket dalam Malaysiakini.com itu adalah tidak benar sama sekali kerana sokongan kami hanya kepada raja dan kepimpinan negara dan bukannya kepada MB dan Pengerusi BPUNT sekarang.

Sementara Hasnim Emilia pula berkata kenyataan Dr Jepun in bracket bahawa Puteri UMNO Bahagian Besut turut menyokong kepimpinan Mat Said, sama sekali tidak benar kerana pergerakan itu tidak pernah menandatangani sebarang dokumen sokongan.

Katanya, dia sendiri tidak pernah diberitahu mengenai perjumpaan itu oleh mana-mana pihak termasuk Puteri UMNO negeri dan tidak pernah menghadirkan diri ke perjumpaan yang diadakan.

“Bagaimana pula boleh dikatakan Puteri UMNO Besut menyokong dan siapa pula yang menandatangani dokumen itu atau ada pihak tertentu yang cuba untuk memburukkan kami, “ ujarnya.

Selasa, April 21, 2009

YANG SANTAI-SANTAI SAJA

Kita tinggalkan sementara bicara politik Terengganu yang sehingga saat kekunci ini diketuk, keadaannya masih belum reda. Banyak telahan, andaian, keputusan tidak sah, perbandingan mengarut, kenyataan putar belit atau teka teki yang dihamburkan oleh mulut-mulut yang tidak bisu, baik di warung kopi pok Loh, kedai jual rojak, kedai roti stem, restoran stesyen bas, wakaf main dam aji, pejabat kerajaan, site office kontraktor, sekolah, kedai beli cat, tempat cuci kereta, kedai memesan hardware dan di mana-mana sahaja di negeri Terengganu dewasa ini.

Mari kita santai-santai dan melakukan senaman minda, senaman mulut, bibir dan pipi dengan sesekali senyum, ketawa, tersengeh atau menjebih sahaja. Tak perlu fikir dalam-dalam, sepintas lalu aje.

Isu yang disantaikan kali ini lebih kepada beberapa perkara yang diluahkan oleh beberapa blogger (termasuklah saya sendiri) berkaitan perangai pengunjung blog, dalam pertemuan tidak rasmi kami dua malam lalu. Kesnya hampir sama, walaupun wajah serta fie perangai manusia sebenarnya tidak sama.

Kes 1 : Hampir semua story yang ditulis dalam blog mencari kesalahan orang

Kah3… tak cari kesalahan orang nak cari kesalahan apa? Kesalahan lembu? Kambing? Kerbau? Biri-biri? Itik? Ayam? Kucing? Kuda? Pokok? Pagar? Kereta? Lori? Bas?

Nanti Polis, JPJ, imigresen, majlis bandaraya, dewan bandaraya, kastam, Pegawai HEP, SPRM, hakim, majistret, peguam, mahkamah tak ada kerjalah sebab tak boleh cari kesalahan orang. Orang pejabat haiwan dan pejabat hutan saja yang ada kerja sebab cari salah binatang dan pokok. Kah3..

Kes 2 : Beberapa media dan blog tidak dapat dipastikan memihak kepada mana

Kenyataan ini lagi bengong. Kalau memihak kepada satu, dikatakan pro yang berkenaan pula. Kalau memihak pada pihak yang satu lagi, juga dikatakan tidak suka kepada pihak lawan. Sebab itu kena faham makna liberal atau bebas. Sumbat saja apa yang patut diketahui, jangan kira sesiapa atau memihak kepada mana-mana. Penyiaran dalam webblog atau blog bukan ukuran kecenderungan fahaman ideologi atau pendirian seseorang. Dan yang penting, web, webblog, blog atau media internet termasuklah media cetak yang berprinsip begitu bukan ditaja atau mempunyai kepentingan dengan sesiapa, apa-apa parti atau mempunyai saham dengan mana-mana parti, kerajaan.

Kalau nak baca yang memihak begitu, orang UMNO bacalah laman-laman termasuk media cetak yang pro mereka. Begitu juga orang PAS, Keadilan, DAP atau apa-apa ideologi politik sekali pun. Mereka sudah tahu, laman mana yang pro atau yang menentang mereka. Masuk atau baca saja yang berkenaan. Hati pun tak sakit, jiwa pun tak merana.. kan… kan… kan…

Kes 3 : Nak komen tetapi takut-takut

Komen macam-macam, tapi takut nak dedahkan identiti. Pakai macam-macam nama, sembunyikan muka macam shirul dan azilah. Kalau tak dilepaskan komen, tuduh blogger macam-macam, sedangkan tanpa kita sedar, kita sendiri yang dayus dan takut.

Jadilah orang yang gentlemen dan sedar bahawa kita sebenarnya sedang berpijak di bumi nyata, bukan di angkasa lepas yang cuma ada makhluk asing untuk berkawan.

Jangan maree…

Kes 4 : Kalau tak berkenan, tak kena jus, jangan baca

Yang berlaku, pengunjung yang tak berkenan dan tak kena dengan kehendak dan kepentingan mereka dengan galak gatalnya masuk dan membaca tulisan yang ditulis, lepas itu tak bersetuju dan marah-marah. Kemudian memaki hamun dan menuduh macam-macam. Wooiitt… kepala manusia nin lain-lain, fie perangai lain-lain, fahaman lain-lain. Yang kita tak setuju, bukan semua tak setuju. Ramai juga yang setuju, suka dan berkenan. Kalau tak berkenan dan tak bersetuju, jangan buka dan jangan baca, baca saja yang kena dengan kehendak dan kepala kita, habis cerita. Sekali lagi, kita pun tak sakit hati, tak sakit jiwa. Darah tinggi pun tak naik bang….

Kalau tidak, tak wujud macam-macam parti, macam-macam mazhab, macam-macam ideologi… kalau semuanya nak yang memihak dan kena dengan kehendak kita, tulis sendiri, baca sendiri, buat blog sendiri, buka sendiri…

Kes 4 : Blogger orang yang kecewa?

Beberapa blogger memaklumkan adanya tuduhan mereka adalah orang yang kecewa kepada seseorang kerana itu beliau menulis menghentam atau mengkritik. Tuduhan sebegini sepatutnya terkeluar daripada mulut ‘orang hutan’ yang sedang bergayutan di hutan hujan khatulistiwa sekarang ini.

Saya sendiri pernah dituduh orang yang kecewa hasil daripada pelbagai tulisan saya yang kononnya saya memburukkan Mat Said and the geng. Kalau nak dikatakan kecewa, memang saya amat kecewa. Antaranya :

a) Kecewa kerana Mat Said mempersia-siakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada beliau oleh pihak istana untuk mentadbir negeri dengan baik.
b) Kecewa kerana Mat Said rela dan membiarkan saja dirinya dicucuk hidung oleh beberapa individu yang gila kuasa dan kedudukan, sehingga jelas merosakkan Mat Said dan diakui banyak orang merosakkan pentadbiran kerajaan dan pentadbiran parti.
c) Kecewa kerana Mat Said menafikan hak rakyat untuk mengakui dirinya Menteri Besar Terengganu dan Pengerusi BPUNT yang sah hanya kerana menyerahkan kepercayaan seratus peratus pentadbiran kerajaan negeri kepada Menteri Besar 2 @ budak tingkat 16 dan pentadbiran parti kepada Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan @ Dr Jepun in bracket.
d) Kecewa kerana Mat Said hanya sebagai boneka. Begitu juga dengan para Exco, pemimpin parti yang lain termasuklah wakil-wakil rakyat (BN saja tak termasuk PAS), semuanya menjadi boneka.
e) Kecewa kerana menjadi rakyat yang ditipu atas darat kering dan diperalatkan oleh mereka yang berkepentingan, gila kuasa, gila pangkat dan gila bayang selama lebih setahun ini.

Banyak lagi kekecewaan yang boleh diluahkan. Kali ini setakat tu dulu.

Jangan maree…

Isnin, April 20, 2009

YANG TOLONG PROMO

Malam semalam (19 April 2004) bertempat di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu telah diadakan satu majlis penerangan isu-isu semasa dan perjumpaan dengan pemimpin kanan / pegawai 4 peringkat dari setiap bahagian UMNO dalam negeri Terengganu bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu anjuran BPUNT. (Diulang : perjumpaan bukan mesyuarat).

Khabarnya ada sejumlah 35 orang yang hadir daripada 60-80 orang yang sepatutnya hadir. Mungkin antara mereka sudah pasti ada yang berkeuzuran atau mempunyai komitmen lain yang lebih penting. Maklumlah pemimpin kanan parti. Sebahagian besarnya pula baru kenal kerusi empuk UMNO.

Yang nak dijadikan ceritanya ada dua saja. Pertama, semua yang hadir sekali lagi kena tandatangan akujanji taat setia kepada pemimpin dan akan terus berdiri teguh di belakang pemimpin dalam apa keadaan sekali pun, sama ada meniarap waima melentang sekali pun. Ini akujanji yang ke berapa kurang pasti. Kepada yang baru-baru tu eloklah, tapi yang dah berkali-kali diakujanjikan, masih kluk klek lagikah kesetiaan mereka?

Keduanya, Timbalan Pengerusi BPUNT, YBM Dato’ Tengku Putera Tengku Awang (Dato’ Ku Tera) khabarnya begitu marah kepada blog Jarang Anak Melayu (JAM). Tak pasti isi butir marahnya, tetapi dijangka mungkin disebabkan beberapa tulisan yang menyentuh secara langsung kedudukan Mat Said sebagai MB Terengganu dan masalah-masalah dalamannya.

Selaku pemilik blog, saya tak berhasrat untuk mempertahankan diri. Cuma saya nak maklumkan kepada Dato’ Ku dan semua pengunjung blog JAM ini atau mana-mana blog sekali pun, segala yang tertulis itu adalah untuk kebaikan semua pihak. Dalam hal ini, suka saya berpesan kepada diri saya dan kepada semua supaya jangan kita menganggap diri kita ini 100 peratus sempurna. Tiada salah dan cacat celanya. Kadang-kadang kita betindak di luar sedar, terlepas laku, tersasul perbuatan atau ‘terlebih sudah’. Justeru kena tegur menegur. Kan tegur menegur itu dituntut oleh Islam? Itulah kami lapor mana yang patut.

Jadi janganlah marah Dato’ Ku. Kalau tak didedahkan mungkin Dato’ Ku sendiri tak tahu atau tak pernah diberi tahu berhubung dengan ‘pembolotan kuasa’ dalam UMNO dan Kerajaan negeri sekarang. Atau Dato’ Ku tahu tapi buat-buat tak tahu? Malas nak ambil kisah? Atau dah tak terdaya nak buat apa-apa? Jangan macam tu Dato’. Tu subahat namanya tu. Bersubahat dengan orang-orang yang melakukan kerja-kerja begitu, berdosa Dato’.

Dato’ Ku janganlah takut. Tak kan jatuh seseorang pemimpin atau sesebuah negeri dan negara kerana blog dan blogger. Pak Lah turun pun bukan hanya kerana Dr Mahathir atau blognya. Banyak lagi sebab musababnya, terutamanya yang melibatkan pembolotan kuasa itulah. Dr Mahathir hanya melapor dan mengkritik, samalah kami, tukang melapor saja mana yang patut dan mana yang tidak patut. Cuma bezanya Dr Mahathir tu bekas PM, kami (sayalah terutamanya) ‘nobody’ kata orang putih.

Apa-apa pun, alhamdulillah dan terima kasih banyak-banyak kepada Dato’ Ku kerana secara tidak langsung tolong mempromosi blog ini, sekurang-kurangnya kepada 35 orang yang hadir itu. Lebih berkesan cara promosi itu, kalaulah Dato’ Ku mengadakan sidang akhbar dan sebut blog ini di depan wartawan. Wow !!! berapa ramai nanti yang akan berebut-rebut nak kunjungi blog ini, bayanglah sendiri.

Sabtu, April 18, 2009

YANG DILAPORKAN (2)

LAPORAN TINGKAH LAKU YAB DATO’ AHMAD SAID
SETELAH DILANTIK SEBAGAI MENTERI BESAR TERENGGANU

Dato' Ahmad Said, semasa majlis penyerahan tugas MB pada 30 Mac 2008, telah berikrar akan memberi kerjasama serta merujuk segala masalah yang mungkin timbul dalam pentadbiran negeri kepada bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Walau bagaimanapun, segala apa yang beliau buat selepas itu membuktikan sebaliknya (cakap tidak serupa bikin).

Kini setelah setahun lebih menjawat jawatan MB, lebih banyak kerosakan yang telah beliau lakukan:

1) PECAT :

(a) Pecat Pegawai Pejabat MB (Peg Penyelidik Kanan & Setiausaha Akhbar) dengan notis 24 jam .

(b) Pecat CEO Terengganu Development Institute (Dr Azmi Omar) dengan notis 24 jam.

(c) Pecat Dato’ Seri Azlan Hashim & Tan Sri Razali Ismail daripada Lembaga Pengarah Terengganu Inc.

(d) Pecat Pengarah Eksekutif Ladang Rakyat (Kamaruddin Mat Zain) serta Pengurus Besar
beliau, Hj Anwar.

(e) Pecat Pengurus Besar Kemaman Supply Base (Syed Muzaffar Tuan Razin).

(f) Pecat Pengurus Besar Konsortium Pelabuhan Kemaman (Hj Nordin Abd Aziz).

(g) Pecat Nordiana Shafie (Ahli MT) daripada jawatan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kuantan Medical Centre.

(h) Tidak sambung senatorship Ketua Puteri Negeri (Nordiana Shafie).

(i) Senatorship diberi kepada Ketua-Ketua Wanita yang tidak lagi mampu menyumbang kepada Negeri.

2) LANTIKAN YANG TIDAK TEPAT :

(a) Melantik CEO Trg Inc. (Mohd Noor Mohamed) yang tidak mempunyai kemampuan dan memporakperandakan pengurusan Trg Inc.

(b) Bekas Pemandu Ambulan yang juga penyokong PAS (Hj Ngah Ismail) dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah PESAMA.

(c) Lantik bekas Guru Sekolah Rendah (Roshali B Taha) sebagai Pengarah UBEST dan pecat sebahagian besar Pegawai UBEST yang masih berkhidmat.

(d) Lantik bekas Guru Sekolah Rendah (Hjh Rohani Abdullah) sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kuantan Medical Centre.

3) SOKONGAN PEGAWAI TADBIR KERAJAAN NEGERI (TCS)

Dato’ Ahmad Said juga telah membuat pertukaran besar-besaran (67 orang) para Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri (TCS) pada bulan Disember 2008.

Ada di kalangan mereka yang diturunkan jawatan (demoted).

Tindakan tersebut telah menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap YAB MB.

4) UGUTAN SEBAGAI SENJATA

Dato’ Ahmad Said sentiasa menggunakan ugutan untuk memecat Exco-exco yang tidak sehaluan dengannya.

Contoh 1 :

Pada 31 Oktober 2008, beliau telah mengugut untuk memecat YB Yahya Khatib daripada jawatan Exco kerana melawan Rahman Bakar sebagai Ketua UMNO Bahagian Marang dalam Pemilihan UMNO Bahagian tersebut.

Contoh 2 :

Ugut untuk pecat ADUN yang dikatakan akan membawa usul undi tidak percaya terhadap beliau dalam Sidang DUN pada 13-15 April 2009.

5) MONSOON CUP & TAMAN TAMADUN ISLAM

Dato’ Ahmad Said sentiasa cuba untuk memburukkan kedua-dua projek di atas dengan tuduhan salahguna kuasa dan sebagainya. Pada 26 Julai 2008, beliau telah meminta BPR untuk menyiasat kedua-dua projek tersebut.

BPR dalam kenyataan rasmi telah menyatakan bahawa tidak terdapat sebarang unsur salahguna kuasa dalam kedua-dua projek tersebut.

6) PEMBELIAN KERETA MERCEDES

Dato’ Ahmad Said tetap dengan keputusan untuk membeli dan menggunapakai kereta Mercedes Benz dengan kos sebanyak RM 3.43 juta sebagai kereta rasmi Exco Kerajaan Negeri dan mengingkari nasihat pucuk pimpinan Kerajaan Pusat.

7) MEMBURUKKAN IMEJ BEKAS MENTERI BESAR

Dato’ Ahmad Said sering membuat tuduhan palsu terhadap bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh.

(a) Membuat kenyataan palsu bahawa kos senggaraan kereta rasmi V6 Dato’ Seri Idris Jusoh adalah yang tertinggi.

(b) Membuat kenyataan bahawa projek Monsoon Cup dan Taman Tamadun Islam punya unsur salahguna kuasa

8) TIDAK MELANTIK ADUN SEBAGAI PENGERUSI PENYELARAS DUN

Kerana tekanan yang telah dibuat oleh Ketua-Ketua Bahagian, Dato’ Ahmad Said telah tidak melantik ADUN-ADUN sebagai Pengerusi Penyelaras DUN.

Akibat daripada tindakan tersebut, ADUN-ADUN tidak lagi mempunyai kuasa melantik Pengerusi JKKK dan UBEST.

Peruntukan juga tidak disalurkan melalui ADUN-ADUN tersebut tetapi kepada Pengerusi Penyelaras yang dilantik oleh Ketua Bahagian.

9) SUSK MB

SUSK Dato’ Ahmad Said (Wan Ahamad Wan Muda) mendapat gelaran MB Ke 2 kerana banyak campur tangan dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Beliau juga telah dituduh menghantar SMS ugutan bunuh kepada 3 orang ADUN pada 13 April 2009.

10) SETIAUSAHA BPUNT

Setiausaha BPUNT (Dato’ Rosli Mat Hassan) banyak mempengaruhi pemikiran MB sehingga ADUN tidak dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras DUN.

Beliau juga terlibat dalam salah guna kuasa :

(i) Bekalan Pilihan raya PRK Kuala Terengganu 2009.

(ii) Sebagai Pengerusi Primula Resort, sebuah bilik suite (806) telah dikeluarkan daripada inventori khas untuk beliau gunakan.

CATATAN
:
Laporan ini diterima melalui emel yang dihantar kepada pemilik blog JAM. Difahamkan laporan ini adalah sebahagian daripada beberapa laporan yang telah dikemukakan oleh kumpulan ADUN BN kepada pucuk pimpinan tertinggi parti (PM & TPM). Justeru blog JAM menyiarkan laporan ini tanpa sebarang pindaan / suntingan.

YANG DILAPORKAN (1)

LAPORAN PENUH ISU UGUTAN BUNUH MELALUI SMS TERHADAP ADUN-ADUN BARISAN NASIONAL TERENGGANU.

KRONOLOGI PERISTIWA
:

Pada 11hb April 2009, YAB Dato’ Ahmad b. Said, Menteri Besar, membuat kenyataan dalam Sinar Harian dan di nota kaki TV 1, dengan secara prejudis mendakwa kononnya ADA USAHA DARIPADA ADUN-ADUN BN MEMBUAT PAKATAN UNTUK MENGEMUKAKAN USUL UNDI TIDAK PERCAYA TERHADAP MENTERI BESAR di dalam sidang dewan kali ini dan beliau ‘memberi amaran akan mengambil tindakan disiplin serta dipecat daripada ADUN’. (Nota Kaki TV 1 jam 5.30 petang 11 April berbunyi : ”MB Terengganu Dato’ Ahmad Said : Anggota Dewan Undangan Negeri BN yang bawa usul tidak percaya kepada beliau bakal diambil tindakan disiplin dan dipecat”).

Pada 12hb April 2009, YB Dato’ Rosol Wahid, selaku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan menafikan laporan tersebut di dalam akhbar Sinar Harian dan menganggap bahawa Menteri Besar membuat dakwaan liar dan tidak berasas kerana takut kepada bayang-bayang sendiri.

3. a) Pada 13hb April 2009 lebih kurang pukul 11.25 mlm YB Dato Rosol bin Wahid ADUN Ajil telah menerima sms ugutan bunuh dari telefon bernombor +31234567890 yang berbunyi “baik jgn teruskn niat YB, YB tak sayang nyawa?” (Laporan Polis K. Berang 647/09).

b) Pada tarikh yang sama lebih kurang pukul 11.21 malam, YB Abd Halim bin Jusoh ADUN Permaisuri telah menerima sms ugutan yang sama kandungan daripada telefon bimbit bernombor 0199158369 yang dipercayai milik Wan Ahmad bin Wan Muda, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu. (Laporan Polis K.Terengganu No.003286/09).

c) Pada tarikh yang sama lebih kurang pukul 11.21malam, YB Zakaria @ Ariffin bin Abdullah ADUN Paka juga telah menerima sms yang sama kandungannya daripada telefon bimbit bernombor 0199158369. (Laporan Polis K.Terengganu 003285/09).

4. Akibat daripada SMS ugutan bunuh tersebut, telah menimbulkan ketakutan bukan sahaja kepada ADUN-ADUN yang menerima ugutan tersebut sahaja malah ia menimbulkan ketakutan kepada ADUN-ADUN BN yang lain terutama ADUN penyokong Kerajaan tentang ancaman keselamatan nyawa mereka. Apatah lagi pada sebelah petang hari tersebut 13hb April 2009, difahamkan bahawa pejabat MB telah menghantar sms kerahan kepada orang-orang Kemaman supaya hadir ke Dewan Undangan Negeri pada 14 dan 15 April 2009 untuk memberi sokongan kepada Menteri Besar, Ahmad Said.

5. Hasil penemuan awal yang dibuat, terhadap carian nombor telefon bimbit 0199158369 didapati didaftarkan atas nama Hj W Ahmad SUSK MB, manakala nombor +31234567890 masih belum dapat dikenal pasti.

6. Pada 14 April 2009 lebih kurang jam 9.00 pagi, bertempat di Hotel Felda Residence, Kuala Terngganu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, YB Dato’ Rosol Wahid bersama-sama 9 lagi ADUN Kelab Penyokong Kerajaan telah berbincang keseriusan ancaman bunuh tersebut dan memutuskan untuk tidak menghadiri sidang Dewan Negeri pada hari ini sehingga mendapat jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa. Apatah lagi pihak ADUN Kelab Penyokong Kerajaan difahamkan bahawa suspek masih lagi berkeliaran bebas dan kehadiran orang ramai di Dewan Undangan Negeri pada hari ini agak luarbiasa.

KESIMPULAN

Kekalutan yang berlaku adalah berpunca daripada dakwaan yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh Menteri Besar Terengganu melalui akhbar Sinar Harian bertarikh 11 April 2009 yang antara lain mendakwa kononnya wujud pakatan antara ADUN Barisan Nasional untuk mengemukakan USUL UNDI TIDAK PERCAYA TERHADAP MENTERI BESAR YAB DATO’ AHMAD B. SAID di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini.

Walaupun penafian tentang dakwaan tersebut dibuat oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, YB Dato’ Rosol Wahid dibuat, Menteri Besar masih mempercayai usaha tersebut masih ada dan akan dibuat di Dewan Undangan Negeri.

Ekoran daripada ugutan yang dibuat oleh YAB Dato’ Ahmad b. Said pada 8 April 2009 jam 9.30 malam di Kediaman Menteri Besar kepada ADUN yang hadir semasa pre-council, YAB Dato’ Ahmad b. Said terus membuat kenyataan berupa ugutan melalui kenyataan media pada 11 April 2009. Kemuncak siri ugutan tersebut adalah UGUTAN BUNUH melalui sms yang dipercayai daripada telefon bimbit yang didaftarkan atas nama Wan Ahmad Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar. Ugutan bunuh tersebut merupakan suatu ancaman yang amat serius, ancaman keselamatan dan menimbulkan kebimbangan kepada ADUN-ADUN.

Ketidakhadiran ADUN-ADUN ke Dewan Undangan Negeri pada hari ini adalah atas faktor keselamatan, ANCAMAN KE ATAS NYAWA MEREKA (UGUTAN BUNUH) dan tiada kaitan sama-sekali dengan dakwaan ‘boikot’ atau cubaan untuk menjatuhkan Menteri Besar Ahmad Said, yang dibuat oleh pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab. Walau bagaimanapun ADUN-ADUN berkenaan memberi akujanji untuk menghadiri sidang dewan sekiranya keselamatan mereka terjamin dan pihak yang bertanggungjawab membuat ugutan bunuh tersebut dibawa ke muka pengadilan.

Sekian terimakasih.

Disediakan oleh YB Alias b. Abdullah
Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu

Bertarikh pada:14 April 2009.

Jumaat, April 17, 2009

YANG TERKINI : SENSASILAH PULAK

Awal pagi tadi seorang wakil rakyat (MP) BN (bukan MP Terengganu tapi MP senegeri dengan PM) menghubungi saya. Walaupun MP berkenaan kawan lama saya, sebelumnya beliau tidaklah biasa menghubungi saya sebegitu awal. Kekangan masa dan kesibukan beliau sebagai YB, saya amat sedari. Sangkaan saya ada kes-kes kecemasan atau berita kurang baik yang ingin disampaikan.

Diringkaskan cerita (kami berbual menerusi telefon hampir setengah jam), kesimpulan dari cakap-cakap saya dengan beliau ialah YB kawan saya ini telah dihubungi oleh orang-orang tertentu untuk mendapatkan pandangan SIAPA YANG SELAYAKNYA MENJADI MB TERENGGANU, sekiranya Mat Said ingin ditukarkan?

Apa sudah jadi?
Kenapa persoalan sedemikian yang menjadi topik perbincangan kami?
Ada apa-apa yang sensasi?

Rabu, April 15, 2009

YANG KENA KECEK @ YANG TEKUP BATU @ YANG HANGAT-HANGAT TAHI AYAM

Isu 10 ADUN BN Terengganu memboikot @ tidak hadir @ ponteng sidang dewan menjadi isu yang sudah tidak sensasi lagi. Isu SMS ugutan juga sudah tidak menjadi isu yang menakutkan dan tidak juga menjadi isu besar apabila hanya dengan ‘jaminan kenyataan’ PM yang mengatakan kesahihan SMS itu masih diragukan.

Sebab itu dalam posting terdahulu saya pernah sebutkan bahawa segalanya itu bukan isu yang perlu dijadikan keutamaan. Yang penting dan isunya sekarang, apakah manifestasi ketidaksenangan ADUN BN terhadap MB Mat Said itu sampai atau tidak?

Ramai yang mengatakan 10 ADUN BN berkenaan hanya hangat-hangat tahi ayam. Soalnya sejauh mana perancangan mereka sehingga mereka tersekat di situ sahaja sehingga adanya tuduhan bahawa mereka hanya hangat-hangat tahi ayam. Kalau mereka mempunyai perancangan bagi memalukan MB dan menjelaskan ketidaksukaan mereka kepada MB Mat Said atas banyak sebab, maka tindakan mereka itu sebenarnya sudah berjaya.

Bagaimanapun, kalau perancangan dan ketidaksengajaan insiden SMS itu kerana ada agenda tersembunyi yang benar-benar inginkan kedudukan MB Mat Said dinilai semula oleh pemimpin tertinggi mahupun istana, maka benarlah tuduhan banyak orang bahawa tindakan mereka hanya hangat-hangat tahi ayam. Malah boleh dikatakan bahawa tindakan mereka menjelaskan lagi kekecutan telur semata-mata ada kepentingan sehingga mereka terpaksa menekup batu.

Insiden ADUN BN Terengganu ‘dikecek’ (dalam bahasa yang lebih sopan - ditipu?) dengan janji-janji dan jaminan yang muluk-muluk bukan pertama kali berlaku. Malahan sebelum ini pun, menurut kenyataan dan butir percakapan orang yang terlibat sendiri (khasnya Dato’ Rosol), mereka bolehlah dikatakan telah ‘dikecek atas darat kering’ oleh PM Pak Lah. Walaupun Rosol tidak mengatakan sedemikian, tetapi hakikat dengan apa yang berlaku begitulah.

Kalau kita imbaskan kembali insiden kemelut perlantikan MB Terengganu Mac 2008 lalu, Rosol menyatakan bahawa tindakan mereka mempertahankan Deris Jusoh untuk dilantik semula sebagai MB adalah atas arahan Pak Lah, bukan kerana tidak bersetuju dengan pihak istana yang memilih Mat Said sebagai MB. Tetapi agak malang, akhirnya Pak Lah sendiri yang mengalah dan mengarahkan semula ADUN-ADUN BN menerima Mat Said. Mereka dikambinghitamkan dan menjadi mangsa. Fobianya berpanjangan, kesan sampingan amat dirasai, tambahan bukan mudah pula mereka terpaksa berkerja keras mempertahankan maruah menutup kemaluan yang terlodeh amat itu.

Sekarang, apakah jaminan mulut berdasarkan kenyatan PM Najib sekali lagi akan mengulangi kena keceknya ADUN-ADUN BN ini? Apakah Najib juga akan menuruti langkah Pak Lah dengan mengecek ADUN BN untuk ke sekian kalinya?

Persoalan ini nampak agak ganjil dan seolah-olah ada sesuatu yang tersirat di sebalik ‘insiden yang tidak dirancang’ itu. Wallahuaklam. Cuma yang maha tahu perihal perkara ini adalah DS Najib dan ADUN-ADUN BN itu sendiri. Orang lain hanya mampu membuat andaian dan ramalan sahaja.

Sidang Dewan hari ini tidak berhenti rehat dan diteruskan sehingga tamat kerana petang ini Mat Said diminta memberi penjelasan kepada TPM sebelum dimohon mengadap Tuanku Agong. Itu bukan kejutan dan itu bukan perkara utama yang ingin sangat kita lihat dan dengar.

Yang ingin kita lihat, bagaimana wajah Mat Said selepas pertemuan itu dan yang ingin kita dengar "Mat Said masih dipercayai dan mendapat sokongan majoriti ADUN (terutama ADUN BN) untuk beliau meneruskan tugas sebagai MB".

Sementara adegan yang tidak ingin kita dengar dan lihat ialah ADUN BN ini sekali lagi kena tipu (kecek) dan apa saja tindakan mereka adalah kerana mengikut telunjuk orang-orang tertentu tanpa memikirkan selepasnya dan akhirnya akan ada yang berkata “nak buat sangat, tapi tekup batu belaka”.

Selasa, April 14, 2009

YANG HURU & YANG HARA

Tiada apa yang luar biasa berlaku di Dewan Undangan Negeri Terengganu pada hari kedua sidang. Segala-galanya hanyalah secara kebetulan tanpa diduga. Mungkin yang dirancang berbeza dengan apa yang berlaku. Yang berlaku adalah gambaran betapa huru dan haranya pentadbiran Mat Said sebagai MB dan huru-haranya 'budak tingkat 16' yang tersilap percaturan.

Seperti posting saya terdahulu, tiada siapa yang menyangka tindakan menghantar SMS oleh budak tingkat 16 kepada tiga ADUN BN seolah-olah menjadi skrip lengkap yang menambahkan lagi derita dan kegelisahan Mat Said and the geng. Segala itu bukan skrip asal yang tersurat tetapi merupakan bonus ke arah memperkuatkan sebab musabab dan jelasnya 'kesalahan' dan kelemahan Mat Said. Justeru makanya tindakan budak tingkat 16 berkenaan telah dengan sendirinya menjadi manifestasi kepada kegelojohan serta takutnya hilang kuasa seorang MB.

Sambil kita mengenepikan sebab musabab yang menjadi kebetulan itu, soal usul undi tidak percaya atau apa saja tindakan yang dibuat oleh 10 ADUN BN hari ini bukan lagi menjadi isu. Yang jelas isunya, Mat Said sudah tidak disukai oleh majoriti ADUN BN sendiri. Dan apabila tindakan dengan kegelojohan dan kebodohsombongan budak tingkat 16 itu dijelmakan dengan cara yang maha aib dan jijik sebegitu, sudah pasti 'besarnya kemaluan' seorang pegawai kanan kerajaan dan seorang MB menjadi semakin sukar disembunyikan kebogelannya.

10 atau 13 ADUN BN sudah mempunyai alasan kukuh untuk tidak menghadiri sidang. Jaminan keselamatan adalah faktor terpenting yang perlu diselesaikan pihak bertanggungjawab. Nyawa bagi seorang ADUN/wakil rakyat amat mahal harganya. Bukan menafikan ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi hakikatnya perlu diperkirakan.

Seperti yang berlaku di Kuala Terengganu mahupun di Bukit Gantang, kematian seorang wakil rakyat memerlukan ratusan malahan mungkin ribuan juta ringgit untuk menggantikannya, berbeza dengan kematian seorang pegawai kerajaan atau orang awam biasa yang tidak memerlukan belanja yang besar tujuan mengurus satu PRK. Kerana itu, pendirian ADUN BN bukanlah pendirian yang sengaja direka-reka. Mereka memerlukan satu tahap keselamatan yang benar-benar terjamin, untuk mereka menghadirkan diri ke sidang.

Difahamkan tengah hari tadi, Dato' Rosol Wahid (BN Ajil) yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan DUN Terengganu telah menghubungi Ketua Polis Negeri Terengganu bagi mendapatkan jaminan keselamatan para ADUN BN agar mereka selamat dan selesa ke dewan sidang. Khabarnya KP hanya menyakinkan secara verbal bahawa tahap keselamatan mereka terjamin tetapi dalam masa yang sama menafikan bentuk bantuan atau iringan keselamatan yang sewajarnya dalam erti kata bagi menjamin keselamatan.

Apa sebenarnya makna keselamatan terjamin yang diyakinkan oleh KP itu? Sedang pada masa yang sama, ADUN BN dan rakyat sendiri tidak pernah tahu di mana KP itu berada dan kalau beliau berjalan di jalan raya pun, apakah beliau yakin yang dirinya atau rakyat bebas daripada bahaya sebagaimana ugutan?

Kerana itu saya kira, tindakan yang diambil oleh ADUN BN setelah mengadakan perbincangan pasca-nasihat KP Terengganu untuk terus tidak menghadiri sidang pada sebelah petang dan kemungkinan besar untuk sidang hari akhir pagi esok (sekiranya tiada bentuk meyakinkan keselamatan) merupakan tindakan yang tepat untuk jaminan keselamatan dan pembaziran.

Sekali lagi isunya bukan tidak hadir atau sebab musabab ugutan bunuh itu. Isu yang jelas menebalkan muka Mat Said and the geng adalah sudah menjadi realiti tiadanya Deris, Rosol and the geng sdn bhd dalam sidang kali ini dan ini menjadi isyarat jelas kepada pucuk pimpinan UMNO, waima pihak istana sekali pun, betapa jelas dan terbukti bahawa tahap penerimaan dan rasa hormat sesama mereka dalam BN, sudah semakin kabur dan berbalam.

Harap-harapnya hari ini atau paling tidak pun pagi esok, akan ada kejutan baru yang berlaku. Sama ada terhadap budak tingkat 16 atau Mat Said atau 13 ADUN BN yang menderhaka itu. Kejutan itu diharap juga boleh menjadi penawar kepada kehuruharaan yang sedang menjadi mimpi ngeri pihak-pihak yang berkaitan.

YANG TERKINI & HANGAT : UNDI TIDAK PERCAYA, YANG HADIR & YANG TAK HADIR SIDANG

Mungkinkah usul undi tidak percaya terhadap MB Terengganu menjadi kenyataan pagi ini? Atau segalanya itu hanya gimik politik, ketakutan MB and the geng dengan bayang-bayang sendiri atau ada muslihat lain terhadap semua itu?

Yang mungkin pasti berlaku pagi ini pada sidang DUN ialah :

(1) Semua ADUN BN (tidak termasuk Exco?) mungkin tidak menghadiri sidang DUN pagi ini (takut? boikot? sengaja?) dengan alasan keselamatan lanjutan daripada tiga ADUN BN yang telah menerima SMS ugutan bunuh malam semalam.

(2) Semua ADUN BN juga dikatakan bimbang dengan keselamatan mereka, kerana rombongan besar-besaran ahli-ahli UMNO Bahagian Kemaman yang diarahkan menghadiri sidang sebagai tanda sokongan kepada Mat Said kerana telah disogokkan dengan kononnya ADUN BN akan mengusulkan undi tidak percaya kepada MB mereka itu. Kumpulan besar ini (sama ada namanya fan club, kumpulan sorak atau apa namanya sekali pun) mungkin akan mengganggu atau bertindak sehingga ‘mengugut’ ADUN-ADUN BN yang dikatakan akan menggugat bos mereka dalam sidang DUN pagi ini.

Sehingga lewat malam semalam, difahamkan SMS telah ditaburkan kepada pemimpin UMNO empat peringkat/sayap di Bahagian Kemaman agar membawa anak buah masing-masing datang beramai-ramai ke sidang DUN pagi ini bagi ‘menyelamatkan’ MB kesayangan mereka itu.

(3) Semua ADUN BN juga dikatakan tidak bersetuju dengan cadangan MB/DUN untuk melantik mak cik Ketua Wanita UMNO Bahagian Dungun sebagai Senator mewakili DUN Terengganu bagi mengisi kerusi senator yang telah dikosongkan oleh Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh Januari lalu. Kerana itu mereka enggan ‘bersubahat’ dengan mengundi memberi sokongan kepada cadangan perlantikan itu. Menyokong atau bersubahat dengan perlantikan mak cik itu, bagi mereka bermakna mereka menyerlahkan kebengongan sebagai ADUN kerana turut menyumbang saham kecetekan akal lantaran mengiyakan perlantikan seorang senator yang taraf kelayakan, kemampuan dan kebolehannya berada jauh di bawah par piawaian ISO.

Kalau semua yang dinyatakan ini benar, sama-samalah kita lihat siapa yang hadir dan siapa yang tidak hadir pagi ini.

Satu persoalan yang ditanya oleh seorang kawan malam tadi : “pemerhati ramai-ramai yang akan hadir tu (rombongan UMNO Bahagian Kemaman) boleh mengundi menolak usul undi tidak percaya ke?”

YANG TERKINI & PANAS : UNDI TAK PERCAYA & UGUTAN BUNUH

YB Halim (berbaju kuning) dan YB Zakaria menunjukkan repot polis yang telah dibuat mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu awal pagi ini

Kira-kira pukul 1.00 pagi tadi, sekumpulan wartawan pelbagai media berkejar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kerana dijemput untuk membuat liputan dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu yang membuat laporan polis terhadap satu SMS berbau ugutan bunuh yang diterima mereka.

Sehingga kini tidak diketahui jumlah sebenar ADUN yang menerima SMS berkenaan. Bagaimanapun para wartawan dimaklumkan, sehingga pukul 1.00 pagi ini, hanya tiga ADUN telah menerima SMS dengan ugutan yang sama daripada nombor telefon pengirim yang sama. Dua daripadanya - YB Zakaria @ Mohd Ariffin (BN Paka) dan YB Halim (BN Permaisuri) telah membuat laporan polis di Kuala Terengganu, manakala seorang lagi ADUN, YB Dato’ Rosol (BN Ajil) membuat laporan polis di Balai Polis Ajil, Hulu Terengganu.

Berikut adalah kenyataan laporan polis yang telah dibuat oleh YB Zakaria :

PADA 13.4.2009 JAM 11.21 MALAM, SEMASA SAYA BERADA DI DALAM BILIK NO 906 HOTEL FELDA RESIDENT, JALAN BALIK BUKIT K/TERENGGANU SAYA TELAH MENERIMA SATU SMS UGUTAN YANG DITUJUKAN KE TELEFON SAYA YANG BERNOMBOR 019-9186181 DARIPADA NOMBOR TELEFON +60199158369 DIPERCAYAI MILIK SETIAUSAHA SULIT KANAN KEPADA MENTERI BESAR TERENGGANU YANG BERNAMA HAJI WAN AHAMAD BIN WAN MUDA YANG BERBUNYI “BAIK JANGAN TERUSKAN NIAT YB. YB TAK SAYANG NYAWA?” SAYA MERASA AMAT TAKUT DENGAN UGUTAN TERSEBUT YANG MENGANCAM NYAWA SAYA, MAKA SAYA DATANG KE BALAI BUAT REPOT. SEKIAN REPOT SAYA.

Segalanya gara-gara nak terkencing dan terberak kerana kononnya akan ada usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu yang bakal dibuat oleh ADUN-ADUN BN dalam sidang DUN Terengganu yang dijadual menyambung persidangannya mulai pukul 9.30 pagi ini.

Begitulah dunia politik masa kini yang serba canggih sehingga menenggelamkan kewarasan dan kecerdikan sendiri.

Related Posts with Thumbnails