yang semasa

Selasa, April 14, 2009

YANG WAJAR DIKETAHUI : KEHEBATAN SEORANG MB

DIRGAHAYU setahun pemerintahan Mat Said selaku Menteri Besar Terengganu. MB yang berkali-kali mendakwa sebagai MB Istana.

Sempena dengan setahun pemerintahan MB Terengganu ini, diperturunkan ‘kejayaan’ dan ‘kecemerlangan’ yang telah dicapai oleh pentadbiran Mat Said untuk tatapan rakyat jelata sekaliannya, baik yang berada di dalam negara, di luar negara, di kampung di desa di bandar, dan terbaru yang berada di mini zoo Kemaman.

Siapa kata, selama Mat Said menjadi MB tidak ada apa yang beliau lakukan dan laksanakan di Terengganu. Senarai panjang di bawah adalah bukti kejayaan dan kecemerlangan Mat Said sebagai MB :

1) Memecat DS Azlan Hashim dan TS Razali daripada Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Incorporated.
2) Membuang Pengarah Eksekutif Ladang Rakyat.
3) Menamatkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM.
4) Memecat pegawai-pegawai di Pejabat MB dalam masa 24 jam.
5) Memecat Ketua Pegawai Eksekutif TDI dengan notis 24 jam.
6) Memecat Pengurus Besar Kemaman Supply Base (KSB).
7) Memecat Pengurus Besar Konsortium Pelabuhan Kemaman.
8) Menamatkan perkhidmatan pegawai dan kakitangan kontrak unit-unit tertentu kerajaan negeri termasuk UBest dan UKOM.
9) Tidak melantik ADUN sebagai Pengerusi Penyelaras DUN dan semua peruntukan DUN disalur kepada Penyelaras yang dilantik beliau atau Ketua Bahagian yang menyokong beliau.
10) ADUN diragut kuasanya dalam melantik JKKK dan kakitangan UBest (Unit Bestari).
11) Tidak menyambung jawatan Senator Ketua Puteri UMNO negeri. Jawatan senator (kouta DUN) diberikan kepada Ketua Wanita UMNO Bahagian yang tidak bermaya dan tidak mampu menyumbang kepada negeri. Terbaru seorang lagi Ketua Wanita Bahagian yang ‘dok rok cetong’ akan dilantik sebagai senator mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Dato’ Wan Ahmad Farid.
12) Tidak melantik calon BN yang kalah dalam pilihan raya sebagai Pengerusi Penyelaras DUN dan Parlimen. Tetapi dalam masa yang sama melantik ke jawatan itu individu yang kalah dalam pemilihan UMNO Bahagian.
13) Menukar dan menurunkan pangkat 67 orang Pegawai Tadbir Negeri (TCS).
14) Mengikut telunjuk budak tingkat 16 dan orang kanannya dalam politik dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga membelakangkan SUK.
15) Mercedes terus menjadi kereta rasmi Exco kerajaan negeri walaupun dilarang penggunaannya oleh kabinet / PM.
16) Bekas pemandu ambulan dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Anak kerajaan negeri.
17) Penyokong PAS menjadi Bendahari UMNO Bahagian Kemaman, yang mana MB sendiri adalah Ketua UMNO Bahagian berkenaan.
18) Kroni, teman-teman, kawan-kawan sekolah/universiti (bukan anak Terengganu) dilantik ke jawatan-jawatan penting dan sebagai Ahli Lembaga Pengarah 24 buah syarikat anak kerajaan negeri dan agensi di bawah kerajaan negeri. Ada antara mereka diberikan gaji bulanan 5 angka, sebuah kereta mercedes/perdana dan sebuah rumah.
19) Mengugut untuk memecat Exco.
20) Membahagikan ribuan ekar kawasan balak kepada para kroni.
21) Melantik guru sekolah rendah sebagai Pengarah Unit Bestari (Ubest).
22) Melantik guru sekolah rendah sebagai Pengerusi Kuantan Medical Centre (KMC).
23) Sering menangguhkan Mesyuarat Mingguan Exco. Sehingga kini difahamkan ada 3,000 ms agenda Mesyuarat Exco yang belum selesai.
24) Visi MB : atap zin, tanam kelapa sawit di laman rumah, menyumbangkan komputer bimbit kepada semua pelajar sekolah rendah, ubi gadong, padi perdana yang semuanya tersangkut di permulaan jalan.
25) Hanya tahu mengkritik usaha dan kemudahan yang dibuat pada zaman DS Deris Jusoh tetapi dalam masa yang sama Monson Cup terus diadakan, Taman Tamadun Islam terus digunakan dan banyak lagi.
26) Menukar nama Unit Bestari kepada Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri (APMN), Pusat Ilmu Antarabangsa (ITC) kepada Pusat Pupuk Semangat pada kulitnya sahaja.
27) Tidak lagi membiayai projek Terengganu Gemilang (UPSR).
28) Bantuan persekolahan dihapuskan.
29) Memberi projek secara runding terus kepada kroni dan funder beliau termasuk projek tambun tanah di Kijal dan projek Pasar Cabang Tiga.
30) Mengaku menjadi MB Istana, orang kanan Tuanku dan DS Najib (PM) sendiri pun tidak boleh berbuat apa-apa kepada beliau.
31) Dan banyak lagi dan lagi dan lagi….

Isnin, April 13, 2009

YANG TERKINI : UNDI TAK PERCAYA - HANGAT!!! HANGAT!!! HANGAT!!!

PANAS... baru sebentar tadi, saya menerima SMS dan panggilan telefon daripada sumber yang 70% boleh dipercayai.

SMS yang baru diterima berbunyi :

YB2 BN dijangka akan meneruskan hasrat untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap MB semasa sidang DUN esok. Mereka dikatakan telah mendapat restu daripada istana, hanya menunggu lampu hijau daripada Presiden parti. Difahamkan MB telah menghantar SUSK beliau (Menteri Besar 2 @ budak tingkat 16) untuk berunding dengan Harun Taib (Ketua Whip PAS - Manir) dan Tg Hassan (PAS Ladang) bagi mendapatkan sokongan YB2 PAS.

Perkembangan atau tindakan lanjutan hanya menunggu lampu hijau daripada PM @ Presiden parti. Sama-samalah kita tunggu apakah berita ini akan menjadi kenyataan atau sebaliknya esok.

Perkembangan selanjutnya akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

YANG YAKIN @ YANG TERSEPIT?

"Itu (tukar Menteri Besar) saya tidak tahulah, Terengganu kena tanya dengan Tuanku sendirilah," ujarnya dengan menyelar pihak media yang sering kali menggembar-gemburkan isu yang tidak sahih dan 'khabar angin'.

Kenapa Mat Said begitu berani mengeluarkan kenyataan berkenaan? Apakah kerana geram, nak menunjukkan kuasa, nak melepaskan perasaan atau memang beliau yakin bahawa istana akan tetap dan terus berada di belakang beliau?

Atau mungkin Mat Said sudah mulai terasa tersepit dengan situasi mutakhir, sehinggakan beliau dengan tidak sengaja 'mengheret' istana ke dalam kancah politik negara?

Hakikatnya Mat Said perlu menyedari, kebergantungannya kepada pihak istana ada batas susilanya. Sekali pihak istana memilih dan perkenan agar beliau menjadi MB, tidak bermakna selama-lamanya beliau terus direstui. Peranan, amanah, tanggungjawab, rekod perkhidmatan, masalah kecil besar dan segala macam track record yang dibuktikan oleh Mat Said, sekurang-kurangnya menjadi perhatian dan penilaian istana. Pihak istana juga, saya percaya amat berharap agar rakyat tidak sengsara untuk mengecap kenikmatan hasil kepimpinan MB serta dapat memberi manfaat kepada negeri baginda.

Namun dipercayai bahawa kenyataan yang lebih bersifat melepaskan perasaan itu dibuat oleh Mat Said untuk menyembunyikan kegusaran dan kegelisahan yang telah mulai disedarinya.

Kerana dalam realiti kehidupan, sesiapa sahaja bernama manusia yang mempunyai naluri dan kesedaran yang insaf dengan pemberian Allah, tanpa mengira taraf dan kedudukan mereka di dunia ini, pasti tidak rela dengan kelemahan ketara dan kepincangan besar yang gagal ditangani dengan baik oleh seorang manusia yang lain. Menerima kepincangan dan kelemahan bermakna kita menafikan hak dan kehendak sebahagian manusia lain untuk bernafas dengan lega sementara kehidupan masih dibenarkan di dunia ini.

Justeru, Tuanku Sultan yang juga dianugerahi naluri mahukan rakyat baginda hidup aman dan sentosa serta mengecapi nikmat kehidupan, sudah pasti tidak mudah dikaburi mainan politik berselindung di sebalik istana sebegini, apa lagi cubaan mengheret istana ke lembah politik berkepentingan.

Mat Said sepatutnya mengambil teladan dan ikhtibar dengan apa yang berlaku mutakhir ini, apabila mainan politik diistanakan dan istana dijadikan perisai menyelamatkan diri tanpa mencermin kemampuan dan kebijaksanaan diri sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, menguntungkan jelata dan memakmurkan negeri.

Janganlah kita cuba memalsukan keyakinan diri dengan berselindung di sebalik kuasa dan daulah istana sedangkan hakikatnya kita sudah semakin sukar menyelamatkan diri daripada terjepit dalam timbunan kelemahan yang kita sendiri membinanya.

Ahad, April 12, 2009

YANG BERANI & YANG MENEKUP

Kalau benar esok (atau Selasa) berlakunya undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu, apakah Yang Di Pertua (Speaker) DUN akan benarkan?

Jawapannya tentu tidak, cuma implikasinya amat memalukan Mat Said selaku MB.

Tetapi, kalau katakan sahaja usul berkenaan dibenarkan - apakah di pihak ADUN BN akan menang?

Perkiraannya : 32 kerusi, 24 BN dan 8 PAS. Daripada 24 ADUN, 11 (termasuk MB) adalah Exco. Baki BN 13. Kalau PAS tidak campur tangan, ADUN BN sudah menang.

Di kalangan 13 orang ADUN BN itu rasanya hampir semua boleh bersama. Begitu juga di kalangan Exco. Juga mungkin ada yang tidak sebulu dengan MB. Ini berdasarkan sudah ada suara-suara dari tingkat 5 & 6 yang merasa tidak puas hati dan bosan dengan MB sekarang. Cuma yang tidak dapat dielakkan, adanya surat perjanjian taat setia kepada Mat Said yang dibuat secara rahsia sebelum perlantikan mereka sebagai Exco hendak dibuat terdahulu.

Persoalannya, siapa di kalangan Exco yang tidak sebulu dengan Mat Said? Khabarnya tidak kurang 4 orang Exco yang bersedia bila-bila masa 'menderhaka' kepada tuannya itu sekiranya keadaan memerlukan mereka berbuat demikian. Khabarnya, mereka sudah bosan dengan Mat Said dan akan menyokong pertukaran MB jika berlaku.

Lebih menyeronokkan, khabarnya juga beberapa ADUN termasuk Exco-exco berkenaan sudah pun mengadap PM dan Timbalan PM untuk memaklumkan perihal ketidaksetujuan mereka kepada Mat Said ini.

Persoalan yang lebih besar, siapa di kalangan ADUN BN yang berani kerana hakikatnya ramai yang 'tekup batu'.

Sabtu, April 11, 2009

YANG MELENTING LAGI

Kenapa tiba-tiba isu undi tidak percaya kepada Menteri Besar Terengganu muncul semula. Apakah setiap kali adanya Sidang Dewan Undangan Negeri, maka isu berkenaan perlu dihangatkan semula?

Atau Mat Said sengaja mencari populariti dan simpati dengan isu berkenaan.

Menarik juga isu berkenaan sebenarnya. Seperti kata Mat Said, isu undi tidak percaya kepada MB adalah isu yang serius. Persoalannya kenapa isu ini timbul semula setelah berbulan-bulan dahulu, isu ini pernah disebut tetapi tidak pernah menjadi kenyataan?

Senarionya : Mat Said tidak perlu dipersalahkan dalam 'menimbulkan semula' isu ini sebenarnya. Keterlanjuran mulut Mat Said adalah rentetan daripada soalan seorang wartawan yang bertanyakan adanya khabar-khabar angin akan ada usul undi tidak percaya dalam sidang DUN kali ini. Mat Said yang sudah berang dan 'sakit hati' dengan 11 ADUN BN yang tidak hadir pada pra-sidang DUN beberapa hari sebelum itu, menjadi sedikit celupar dengan jawapan 'panas barannya' sehingga wartawan yang hadir serta media mereka turut sama dipersalahkan.

Saya kira Mat Said hanya melepaskan geram (wallahuaklam sama ada kepada 11 ADUN BN atau kepada wartawan/media). Jawapan yang diberikan kepada ajuan soalan oleh wartawan media perdana itu sebenarnya bukan hakikat dari akal fikir dan hasrat hati beliau yang sebenar. Saya kira, beliau terlepas cakap (termasuk yang mengaitkan istana/Tuanku dengan politik - postingnya akan menyusul).

Apa tidaknya. Sekembalinya Mat Said ke pejabat, SUA beliau terus menghubungi semua media agar tidak menyiarkan berita berkaitan undi tidak percaya dan kaitan tukar MB dengan istana seperti yang terlepas dicakapkan oleh Mat Said. Kesannya, hampir semua media perdana pro-Kerajaan tidak menyiarkan insiden berkenaan, kecuali Sinar Harian dan Harakahdaily (yang lain kurang pasti, dan kalau ada saya telah terlepas pandang).

Yang lebih menjadi isu besar ialah kenyataan Mat Said untuk mengambil tindakan termasuk 'dipecat' sekiranya ADUN BN yang membawa usul undi tidak percaya terhadap dirinya. Selain itu, Mat Said sudah boleh mengatur perjalanan sidang DUN apabila turut memaklumkan, sekiranya PAS yang membawa usul berkenaan, "kita akan tolak", selain telah 'derhaka' apabila turut menyebut "jika usul itu dapat sokongan, kita (saya) akan bubar dewan (DUN)".

Apa-apa pun, jelas bagaimana isu ini sebenarnya amat menghantui Mat Said. Beberapa persoalan dan tanggapan boleh difikirkan bersama.

Pertamanya, boleh diandaikan bahawa Mat Said takut dengan bayang-bayangnya sendiri, walaupun beberapa petunjuk jelas sebelum ini memperlihatkan ADUN-ADUN BN, 'telur' mereka hampir tidak dapat dipastikan masih ada atau tidak ada (termasuklah dalam isu kemelut perlantikan MB, isu perlantikan Speaker DUN dan beberapa isu lainnya). Mat Said sepatutnya takut kepada 'hantu-hantu' di sekelilingnya yang jelas merosakkan beliau.

Kedua, Mat Said mungkin sengaja mencari belas ehsan dan simpati umum kerana beliau mungkin sudah terasa panasnya kerusi yang didudukinya sekarang, setelah sama ada disedari atau buat-buat tidak sedar, para enam jahanamnya sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan kedudukan beliau selaku MB, sehingga ke peringkat pertemuan para enam jahanam berkenaan dengan PM yang baru. Hasilnya mungkin tidak positif dan kerana itu jugalah kata Mat Said, dalam kes Terengganu, soal tukar MB ini "kena tanya dengan Tuanku sendirilah..."

Ketiga, kenapa Mat Said mengirimkan enam jahanamnya untuk berunding dengan PM baru bagi menyelamatkan dirinya tetapi dalam masa yang sama Mat Said mengaitkan dengan Tuanku (istana)? Kalau perlantikan beliau adalah atas kehendak dan perkenan Tuanku, walaupun banyak hal dan masalah yang timbul selepas beliau diperkenan sebagai MB, pedulikan sahaja dengan PM dan Presiden parti.

Keempat. Kalaulah ditakdirkan benar-benar berlaku undi tidak percaya kepada MB dan usul berkenaan datangnya dari ADUN BN, apakah tindakan yang boleh diambil Mat Said terhadap ADUN-ADUN BN berkenaan? Apa maksud 'dipecat' seperti yang dimarahi Mat Said? Siapa Mat Said yang amat berkelayakan untuk memecat ADUN sebagai wakil rakyat atau memecat ADUN berkenaan daripada parti? Ada baca dan ada faham peraturankah Mat Said dalam hal ini?

Atau Mat Said masih terbawa-bawa dengan perangai beliau and the geng yang sudah selesa dengan 'kerja-kerja memecat' di kalangan penjawat kontrak, sementara dan perlantikan politik yang sedang menular hebat dan berleluasa sekarang ini di dalam pentadbiran beliau. Umum sudah mengetahui seperti berlaku dalam beberapa agensi kerajaan negeri contohnya UKOM, UBest, TDI, Syarikat-syarikat Anak Kerajaan Negeri, JKKK, waima dalam UMNO Perhubungan negeri dan UMNO Bahagian-bahagian juga (seperti Pengerusi Penyelaras DUN). Justeru itu maka terpancullah dengan lancarnya perkataan memecat itu dari mulut Mat Said.

Kelima, kenapa pula sehingga terpancul juga dari mulut Mat Said perkataan ingin membubarkan DUN? Sedarkah Mat Said, pembubaran DUN juga perlu perkenan Tuanku. Lagi pun, katakanlah memang undi tak percaya sudah diterima dan disokong, Mat Said sudah tidak menjadi MB lagi dan kuasa mencadangkan pembubaran DUN bukan lagi terletak di bawah bidang kuasa beliau. Kecualilah beliau mencadangkan pembubaran DUN sejurus sebaik sahaja selesai majlis perasmian DUN Isnin ini atau beliau mencadangkan kepada dirinya sendiri untuk membubarkan dirinya sebagai ADUN Kijal dan satu pengisytiharan PRK akan diadakan di Kijal pula.

Kesimpulannya, Mat Said perlu mendapat nasihat yang baik daripada para penasihat utama beliau (terutamanya dari budak tingkat 16 mahupun daripada Menteri Besar 2 atau Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan atau enam jahanam, agar beliau (Mat Said) tidak dipandang sebagai kurang cerdik dalam membuat kenyataan yang melibatkan kepentingan ramai. Sedarlah bahawa rakyat sedang memerhati dan mendengar dengan teliti cakap-cakap 'emas' daripada MB mereka. Mat Said juga perlu sedar, apakah rakyat bermajoriti atau hanya minoriti yang 'terlalu teringin' untuk tidak lagi mahu melihat beliau berada di Tingkat 16, WDI itu.

Pun demikian, kalau Tuhan masih tidak mengizinkan balasan hari ini, Mat Said juga perlu sedar bahawa balasan yang bakal diterima selepas ini. Rakyat adalah kuasa menghukum (atas kehendak Allah jua).

Dan yang paling penting, Mat Said tidak perlu bimbang dengan ADUN BN. Mat Said boleh selamat dengan adanya Speaker DUN. Kalau ADUN BN berani, Speaker DUN bukan YB Ku Tera tapi adalah Cikgu Bakar Ali. Tetapi apabila Speaker DUN adalah Ku Tera, itu tandanya Mat Said sudah menang dari segi moralnya terhadap ADUN BN yang 'semuanya sayangkan parti' itu konon.

Jumaat, April 10, 2009

YANG TERSISIH & YANG DISISIHKAN

Pemimpin Terengganu sekali lagi menjadi mangsa. Kabinet klon Mahathir pimpinan DS Najib mengembalikan semula tradisi pemimpin BN Terengganu tidak layak disenaraikan berada dalam kabinet. Sudah lama BN Terengganu begitu kempunan untuk mempunyai barisan Menteri atau Timbalan Menteri yang lebih daripada seorang. Namun segala-galanya musnah kerana klon Mahathir.

Sama ada dirancang atau memang sudah terancang, begitulah nasib pemimpin BN Terengganu. Sekarang sudah sah dan nyata, pemimpin BN Terengganu perlu ditranformasikan sama seperti mana DS Najib mentranformasikan gaya kepimpinan klon Mahathirnya. Begitulah malangnya nasib pemimpin BN Terengganu, khususnya pemimpin UMNO sendiri.

Seingat saya, sama ada BN Terengganu cemerlang atau tidak pencapaiannya dalam setiap pilihan raya, jumlah peruntukan untuk jawatan kabinet kepada BN Terengganu amat cipuk. Sama ada kerana lobi atau labi (mengambilkira utamanya yang menghalang supaya pemimpin lain tidak menjadi 'hebat' daripada mereka), tradisi baik di zaman Menteri Besar TS Wan Mokhtar, Haji Hadi mahupun Idris Jusoh dan Mat Said, situasi dan tradisi yang diterima dengan kepatuhan dan 'ketekupbatuan' yang tinggi di kalangan pemimpin BN Terengganu wajar dipuji.

Yang sedikit terubat kegurisan perasaan pemimpin BN (terutama UMNO) ialah sewaktu Tun Pak Lah menjadi PM. Sudah nampak sedikit mengembang jumlah pemimpin Terengganu yang berada di dalam Jemaah Menteri dan kabinet, walaupun dari segi keseimbangannya masih boleh dipertikaikan. Namun tradisi menyinsih diteruskan semula oleh DS Najib dan tidak lain tidak bukan adalah kerana kabinet beliau adalah kabinet klon Mahathir.

Itulah nasib pemimpin BN Terengganu, tersisih dan senantiasa disisihkan. Kalau DS Najib 'takut' dan patuhi 'kehendak' MCA misalnya sebagai antara prasyarat menyusun kabinet klon satu Malaysia ini, dan pemimpin UMNO Terengganu semuanya 'dok rok cetong', apakah Setiausaha Agung MCA yang sudah berstatus senator juga 'dok rok cetong'? Entahlah.

Yang pasti juga, kabinet klon Mahathir DS Najib ini masih banyak yang boleh dipertikaikan dan terlalu banyak 'double standard' yang kurang diyakini penjelasannya seperti hanya sekadar mencari alasan menyusup kepala.

Rabu, April 08, 2009

YANG MELOBI MELABI

SMS lagi. Yang ini lagi seronok untuk direnung dan dijadikan bahan latihan ringan-ringankan minda.

Bunyi SMS itu (setelah digabung dan diperbetulkan ayat dan bahasanya) :

Bos, kenapa DS Najib tak jadi umum barisan kabinet tadi? Ada masalah ke? (Selepas saya menjawabnya supaya bersabar dan bertenang, dia membalas lagi).

Aku dengar cerita DS Najib ada 'offer' kat Mahathir untuk jadi Penasihat Khas kepada Presiden UMNO dan kerajaan (bukan hanya kepada PM tetapi kerajaan). Tapi Mahathir beri beberapa syarat termasuk yang agak penting ialah supaya Mukhriz dilantik ke jawatan penting (Menteri?) dan kalau boleh dilantik juga sebagai Setiausaha Agung UMNO yang baru. Kacau kalau macam tu bos. Punah UMNO, punah kerajaan. Kenapalah DS Najib terpaksa tunduk sangat kepada xPM tua tu? Satu lagi nak tanya, Dr Jepun in bracket kawan bos yang perasan hebat tu tak lobi nak jadi Setiausaha Agung UMNO ke? Dia pasti perasan yang dia layak kot. Bos tulislah sikit.

Entahlah. Jangan lobi jadi labu-labi yang bermimpi sudahlah.

YANG TIDAK SAHIH : PROVOKASI VS SPEKULASI

Petang tadi 5.23 petang SMS pertama dari seorang teman wartawan di Kuala Lumpur diterima. Memandangkan petang tadi ada sedikit masalah kepada broadband saya, maka tak sempat saya postingkan perihal yang di SMS itu.

Isi SMS berkenaan mengandungi fakta-fakta berikut (saya jadikan hanya satu selepas berbalas-balas SMS antara saya dengan beliau untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut) :

DS Najib terpaksa merombak semula barisan kabinet ampuhnya & akan mendapat perkenan Ke bawah DYMM Tuanku Agong hanya pagi esok kerana beberapa perkara.

Pertama, MCA menuntut agar dikekalkan jumlah Menteri dan Timbalan Menteri yang diperuntukkan kepada parti berkenaan. Asalnya DS Najib hanya membariskan 2 Menteri & 4 Timbalan Menteri daripada parti itu. Sbb itu petang ini MCA adakan mesyuarat tergempar & antara yang diputuskan oleh MCA (tanpa diumumkan tetapi sudah dimaklumkan kepada DS Najib) ialah sekiranya DS Najib berkeras dengan cadangan 2+4 itu, MCA akan menolak semuanya. MCA tak puas hati dengan Gerakan yang diura-ura akan diberikan 3+4 (3 Menteri, 4 Timbalan) sedangkan dakwa MCA, prestasi partinya jauh lebih baik daripada Gerakan.

Kedua, Pemuda UMNO mengamuk kerana KJ tak tersenarai dan mengugut akan 'melakukan sesuatu' sekiranya KJ terus dipinggirkan oleh DS Najib.

Ketiga, Mukhriz dibariskan kerana DS Najib berhasrat untuk melantik Mukhriz sebagai Setiausaha Agung UMNO. Tekanan diterima dari kalangan Menteri & Timbalan Menteri yang kalah dan disebut-sebut akan digugurkan. Tanya mereka "apa istimewanya Mukhriz berbanding mereka?"

Keempat, MIC menuntut supaya Presidennya turut dilantik Senator dan Menteri sekiranya benar ura-ura Presiden Gerakan dan Ketua Wanita UMNO yang kalah akan dilantik senator dan Menteri.

Kelima, Sabah dan Sarawak juga menuntut supaya diberikan kerusi Menteri yang secukupnya berasaskan agihan setiap komponen BN di dua negeri berkenaan yang sekarang dilihat sebagai 'penyelamat' BN.

Keenam, cadangan pengecilan kabinet DS Najib mungkin tidak dapat dipraktikkan memandangkan DS Najib sudah agak pening dengan pelbagai tuntutan dan tekanan yang diterimanya.

Ketujuh, tidak sahih apakah ini satu provokasi atau hanya spekulasi bagi 'menyelamatkan' beberapa individu yang merasai kerusi diduduki mereka sudah suam-suam kuku.

Isnin, April 06, 2009

YANG WAJIB MENANG DI BUKIT GANTANG

Esok, Ismail Saffian calon BN di Bukit Gantang wajib menang. Bagaimana cara dan kaedah untuk memenangkan beliau, itu tidak penting. Yang penting WAJIB menang.

Kenapa saya katakan Ismail (diulang Ismail bukan BN) wajib menang, kerana Ismail telah berkorban atau dikorbankan untuk menjadi calon di Bukit Gantang. Berkorban kerana itulah kehendaknya dan dikorbankan kerana bukan itu kehendak UMNO Bukit Gantang.

Kesihan Ismail kalau beliau kalah. Jadilah beliau seperti Wan Farid di Kuala Terengganu. Berkorban dan dikorbankan dalam PRK. Ismail bekas pegawai kanan agensi kerajaan yang telah hilang pekerjaan. Seperti sebahagian besar calon dan 'bangkai calon' pilihan raya sebelumnya, jaminan mendapatkan keistimewaan dan kerja masih diragui. Apa lagi, kalau calon atau bangkai calon itu bukan orang-orang tertentu yang mempunyai kuasa memberi atau bukan orang yang direstui oleh UMNO Bahagian.

Amat bimbang kalau-kalau Ismail juga akan termasuk di kalangan orang-orang yang sewaktu dengan bangkai-bangkai calon yang sekarang ini entah ke mana mereka.

Berbeza dengan Mohamad Nizar Jamalluddin, walaupun Nizar kalah dan sudah hilang jawatan sebagai Menteri Besar, beliau masih lagi seorang ADUN. Masih ada kerja, masih ada pendapatan tetap. Jadi, Nizar masih boleh dimaafkan kalau pun beliau kalah.

Di Bukit Selambau dan Batang Ai juga berbeza fenomenanya. Calon-calon di Bukit Selambau semuanya calon yang sudah banyak duit dan ada pendapatan sendiri. Apa tidaknya. Menghabiskan wang sebanyak RM8 ribu hingga RM15 ribu (duit yang sudah tersurat) dalam tempoh sepuluh hari sudah boleh digolongkan dalam kategori orang-orang senang dan ada duit. Lagi pun, calon Pakatan dan calon BN yang difokuskan pun sudah selesa dengan kerja politik. Mereka orang yang boleh hidup dan mati dalam politik.

Yang kesihan Ismail. Harap-harap janganlah beliau kalah untuk kedua kalinya dalam tempoh tak sampai setahun. Justeru, kepada pengundi Bukit Gantang, undilah Ismail (ulang : undilah Ismail, bukan undilah BN).

Ahad, April 05, 2009

YANG MEMBAZIR @ YANG SALAH RANCANG?

Semalam sempat bertemu dengan seorang Pegawai Kanan kerajaan negeri. Beliau sebelum ini dan kini juga (selepas pertukaran besar-besaran TCS Januari lalu) merupakan antara 'orang penting' dalam pentadbiran kerajaan negeri. Bersama beliau seorang Jurutera di sebuah daerah dan seorang YB Ahli Parlimen Terengganu.

Dalam banyak-banyak cerita yang disembangkan, soal berhubung dengan usaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menjadikan beberapa jalan utama di bandaraya berkenaan sebagai jalan sehala menjadi perhatian kami.

Pegawai Kanan kerajaan berkenaan mendakwa (ini dakwaan beliau, kalau salah dan fitnah, maka salah dan fitnahlah blog ini) bahawa pihak MBKT membelanjakan sejumlah RM40 juta (Ringgit Malaysia : Empat puluh juta sahaja) hanya untuk urusan menjadikan jalan-jalan utama (hanya melibatkan beberapa jalan di sekitar dua atau tiga kilometer dalam bandaraya Kuala Terengganu itu) sebagai jalan sehala.

Pengguna jalan raya di sekitar bandaraya Kuala Terengganu boleh menyaksikan sendiri jalan-jalan yang terlibat dan bagaimana kaedah mensehalakan jalan di tempat-tempat berkenaan sehingga melibatkan perbelanjaan sebesar itu. Lagi pun, kalau tidak silap pandangan saya, kerja-kerja membuang penghadang tengah jalan dan menurap semula tar atas kesan penghadang itu dilakukan oleh pihak JKR (berdasarkan jentera, lori dan pekerja yang berada di situ). Kerana itu, sekali fikir, tak kan pihak JKR mengenakan bayaran yang sebegitu besar untuk kerja-kerja berkenaan sehingga mengalahkan kontraktor?

Kata Pegawai Kanan kerajaan itu lagi, kalau dibuat 'fly over', perbelanjaannya akan jauh lebih kecil dan menjimatkan, tambahan akan mengindahkan lagi pemandangan bandaraya Kuala Terengganu.

Kami tidak dapat memberi komen apa-apa kerana dia (pegawai berkenaan) sebenarnya amat lebih arif berhubung dengan 'kewangan' kerajaan. Cuma yang kami baru tersedar ialah betapa mahalnya kos bahan binaan dan kos upah di bandaraya sekarang ini.

Sabtu, April 04, 2009

YANG SAKIT TAYAR : MAT SAID LAGI

Seorang pemandu sebuah badan berkanun kerajaan pun sekarang ini sudah pandai bercakap pasal Menteri Besar Terengganu.

Katanya "bakpe yang lantik Mat Said jadi Menteri Besor? Tadok bende satu hok dia wat. Komang Tranung. Wat malu je".

Hok napok ngade sangatnya orang-orang bawoh dia. Bakpe Mat Said dok sedor ke?

"Kalu ginin, pahtu Najib (PM) lok bodo, mapuh jugok Tranung. Bahang di PAS puloklah napok gayanya".

Jumaat, April 03, 2009

YANG BARU UNTUK TERENGGANU

Siapa dari Terengganu yang bakal dinamakan sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan (jika diwujudkan semula) Setiausaha Parlimen dalam kabinet DS Najib yang bakal diumumkan Rabu ini?

Cakap-cakap yang 'jangan percaya sangat' terhadap mereka yang bakal (atau bangkai?) berada / keluar daripada kabinet DS Najib termasuklah :

1. Menteri sedia ada berkeadaan 50-50. Faktor 'orang Pak Lah bekas S46' menjadi perkiraan Najib. Kalau 50 itu memihak kepada gugur bermakna seorang Menteri di kalangan Ketua UMNO bahagian akan dilantik menggantikan beliau.

2. Seorang Menteri penuh yang baru akan dilantik di kalangan 'senator'.

3. Dua kouta Timbalan Menteri akan dikekalkan dan akan diisi oleh dua Ahli Parlimen yang agak rapat dengan DS Najib. Seorang berjawatan Ketua UMNO bahagian dan seorang berjawatan Naib Ketua UMNO bahagian.

4. Satu atau dua orang di kalangan Ahli Parlimen akan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen. Itu pun bergantung kepada jawatan Timbalan Menteri mungkin akan dikurangkan sekiranya jawatan Setiausaha Parlimen akan diwujudkan semula oleh Najib. Kalau diwujudkan peluang seorang berjawatan Ketua UMNO bahagian dan/atau seorang yang berjawatan Naib Ketua UMNO bahagian bakal berada di kerusi itu.

5. Apa-apa pun, tunggu sahaja Rabu ini. Itu pun kalau ada pengumuman. Cumanya, jangan menjadi seperti zaman Dr M yang sering menafikan pemimpin UMNO Terengganu sebagai Menteri.

6. Malangnya pemimpin UMNO Terengganu kerana sering melahirkan pemimpin yang tidak diyakini keupayaan oleh pemimpin pusat dan lebih dahsyat kerana adanya lobi melobi untuk tidak melantik si anu dan si anu sebagai Menteri atau Timbalan Menteri kerana bimbang 'ada orang yang lebih hebat' daripada mereka dan akan tergugatnya kedudukan mereka pada masa mendatang.

7. Rakyat Terengganu khasnya, kena yakin dengan kata-kata Mat Kotex bahawa Najib adalah PM 'paling cerdik' dalam sejarah PM Malaysia.

Khamis, April 02, 2009

YANG DIGUGUR & YANG DILANTIK

Esok hampir rasmi DS Najib akan menjadi PM ke-6, walaupun banyak suara masih kurang yakin dan mempertikaikan keikhlasan dan kesungguhan Pak Lah untuk menyerahkan kuasa sebagai PM kepada DS Najib.

Apabila sudah disahkan sebagai PM esok, sudah tentu pemerhati politik dan rakyat keseluruhannya akan pula menanti-nanti siapakah pula anggota kabinet DS Najib yang bakal dilantik dan siapa pula anggota kabinet yang sedia ada akan tidak disenaraikan oleh DS Najib dalam barisan kabinetnya.

Dianggarkan, andai benar Dr M menjadi PM de facto kepada DS Najib, beberapa nama yang disebut-sebut akan digugurkan mungkin masih dikekalkan dalam kabinet DS Najib. Dan beberapa anggota kabinet termasuk Timbalan Menteri yang sudah dikira-kira oleh DS Najib dan pemerhati politik untuk dilantik ke kabinet juga mungkin tidak akan berlaku.

Justeru kalau segala-galanya berjalan lancar dan ‘perkiraan’ antara DS Najib dan Dr M berjalan lancar, beberapa nama seperti Syed Hamid, Azalina, Khalid Nordin dan beberapa orang lagi mungkin terselamat daripada bergelar bangkai Menteri/Timbalan Menteri.

Bagaimana dengan Terengganu. Apakah Terengganu akan memperolehi Menteri penuh dan Timbalan Menteri yang baru atau tambahan, masih menjadi teka teki. Cuma yang pasti, dua Timbalan Menteri di zaman Pak Lah yang belum berganti, wajar diganti dan dikekalkan koutanya.

Rabu, April 01, 2009

YANG TERUS DIHAKIS PENGARUHNYA : IDRIS JUSOH

Sama ada diyakini, dipercayai atau tidak, itulah yang dicakapkan banyak orang di Terengganu sebagai ‘hadiah’ ulang tahun setahun pemerintahan Mat Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Dengan barisan pegawai-pegawai kanannya yang dilantik (sama ada yang baru atau yang dinaikkan pangkat), mereka nampaknya semakin berusaha untuk menjalankan pemutihan terhadap semua perkara yang lalu, terutamanya yang dilahirkan ketika Idris Jusoh menerajui Terengganu selaku Menteri Besar 2004-2008.

Lebih menyedihkan bukan sahaja mereka melakukan proses pemutihan itu dengan menamatkan dan mengganti banyak jawatan terhadap apa yang dianggap sebagai orang-orang Idris, malahan berusaha bersungguh-sungguh untuk menggelapkan terus ‘legasi’ Idris Jusoh di Terengganu.

Sama ada Mat Said dan pegawai-pegawai kanannya itu takut dengan pengaruh Idris atau ada muslihat lain, itu tidak dapat dipastikan. Cuma yang pasti, sehingga ‘nama’ pun menjadi igauan ngeri Mat Said and the geng. Semakin banyak nama Unit/agensi yang diwujudkan pada zaman Idris Jusoh, telah sedaya upaya ditukarkannya.

Antara beberapa unit / agensi yang dikhabarkan akan ditukar lagi termasuklah Unit Bestari (Ubest) kepada Agensi Pembangunan Masyarakat (APM) dan mengembalikan semula nama Pusat Pupuk Semangat Terengganu di Teluk Kalong, Kijal, Kemaman yang sebelumnya dinamakan sebagai Pusat Latihan Antarabangsa Terengganu (ITC) oleh Idris Jusoh.

Entahlah… Mat Said sepatutnya kena ‘buat-buat’ sibuk untuk melaksanakan pembangunan Terengganu setelah setahun menjadi MB, walaupun tidak mampu untuk menjadikan Terengganu setaraf sebagaimana setempoh 4 tahun zaman Terengganu di bawah Idris Jusoh.

Sama-samalah kita tunggu apa lagi yang akan menjadi putih selepas ini.

YANG AKAN TERUS DIANAYAI

Semalam ada enam orang anak buah satu Unit di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang mengadu hal yang mereka bakal ‘ditamatkan’ perkhidmatan mereka menjelang akhir bulan April 2009 ini.

Alasannya unit berkenaan akan bertukar nama dan mereka mulanya dilantik di bawah jenama yang lain. Kerana itu, mereka tidak akan disambung kontrak perkhidmatannya.

Kesihannya, ada di kalangan mereka yang akan hilang punca rezeki bagi membiayai keluarga (isteri dan anak-anak).

Turut dianayai termasuklah hampir keseluruhan kakitangan Unit berkenaan di semua DUN dalam negeri Terengganu. Pentadbiran Unit berkenaan katanya bukan sahaja tidak mengiktiraf perakuan yang dibuat dan dicadangkan oleh ADUN-ADUN, malah terpaksa akur dengan ‘arahan’ dan kehendak orang-orang tertentu bagi melantik kakitangan baru yang akan menggantikan kakitangan yang lahir sejak awal penubuhan Unit berkenaan.

Lebih membolokkan keadaan (seperti berlaku dalam perlantikan JKKK), penamaan kakitangan untuk Unit ini juga dikhabarkan wujud dengan dua senarai yang berbeza. Satu senarai daripada ADUN dan satu senarai lagi oleh orang-orang tertentu, terutamanya oleh Ketua-Ketua Bahagian UMNO.

Kerana bagi menghalalkan cara dan menamatkan perkhidmatan mereka secara halus, makanya Unit berkenaan ditukar dan khabarnya telah dinaikkan taraf sebagai sebuah Agensi, walaupun fungsi dan peranannya tidak berubah.

Itu kata mereka.

Angkara siapa yang menghukum mereka sebegitu kurang pasti. Namun yang jelas, mereka dianayai dan diperlakukan lebih daripada tindakan yang diambil oleh Kerajaan PAS semasa PAS mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri tahun 1999 yang lalu.

Mat Said tolonglah tengok-tengokkan anak buah yang dianayai ini. Soal nak melantik kroni sebagai Pengarah baru Unit berkenaan, itu adalah hak yang dibenarkan (walaupun tidak disukai oleh banyak orang). Dalam hal ini, kita sedikit pun tidak menafikan bahawa Mat Said mempunyai kuasa dan hak sepenuhnya selaku pemimpin tertinggi negeri untuk melantik sesiapa yang beliau suka bagi membantu beliau melaksanakan tugas dan pentadbiran kerajaan negeri. Tetapi itulah… jawatan yang diberi bukan lesen untuk menganayai apa lagi menyekat rezeki orang lain.

Unit berkenaan khabarnya akan ditukar namanya menjadi singkatannya APM… dan Unit ini (bersama sebahagian kakitangannya) adalah ‘mangsa’ proses pemutihan pengaruh dan ‘air tangan’ Idris Jusoh di Terengganu.
Related Posts with Thumbnails