yang semasa

Selasa, Disember 23, 2008

YANG MENGUASAI & DIKUASAI

Seorang hamba Allah mengirimkan kepada saya pesanan ringkas (SMS) berikut :

Isu baru akibat pertukaran TCS (Pegawai Tadbir negeri) yang kurang seimbang. Baner naik kutuk MB depan WDI. Tukar cemakin sekali bahagian atas-atas. (Gred) 52 tukar ke Jusa, 54 turun ke 48. Orang-orang tertentu diberi jawatan baik (susunan macam ALP GLC).

Saya reply smsnya bertanyakan apa yang ditulis pada kain pemidang (banner) sebagaimana yang dimaklumkan (saya tak berkesempatan untuk menjenguk kain pemidang yang dimaksudkan, memandangkan saya sudah seminggu tidak berada di Terengganu).

Jawabnya, kain pemidang berbunyi :

"Rombakan besar-besaran TCS, 1 Januari 2009. siapa sebenarnya mentadbir Terengganu. Mat Said atau Wan Ahmad dan sepupunya Wan Lutfi atau pun Hussain Botak. Suatu kezaliman. Pegawai senior diberi jawatan junior dan sebaliknya. Suatu penghinaan kepada TCS, umpama tikus baiki labu. Mat Said menghancurkan Terengganu. Tolak BN.. doa orang teraniya.”

Setelah dirisik-risik, didapati lebih 60 orang pegawai pekhidmatan negeri Terengganu (TCS) termasuk beberapa pegawai tinggi telah ditukar tempat kerja ataupun bertukar jawatan dan seorang pegawai kanan telah ditamatkan kontrak bermula 1 Januari tahun depan, lima hari sebelum penamaan calon dan 16 hari sebelum pengundian PRK Kuala Terengganu.

Antara pegawai kanan yang terbabit adalah Yang Di-Pertua Majlis Perbandaraan Kemaman Mustofa Abdul Rahman, Setiausaha Sulit Menteri Besar, Idham Mustafa, Timbalan Setiausaha Kerajaan, Wan Nawawi Wan Ismail. Pegawai Daerah Dungun, Mohd Akil Mat dan Pegawai Daerah Besut Wan Harujan Sulaiman.

Manakala kontrak perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Dato’ Alwi Mohamad tidak disambung.

Spisies manusia yang dikatakan terlibat :

(1) Budak tingkat 16.
(2) Tangan-tangan ghaib.
(3) Beberapa orang pemimpin UMNO.

Ramai yang melihat isu ini bukan isu yang kecil walaupun pertukaran itu adalah perkara biasa beralasan atas kepentingan perkhidmatan. Malahan sepanjang 4 tahun kerajaan PAS Terengganu 1999-2004 lalu, terdapat kurang lebih 17 kali pertukaran pegawai TCS besar dan kecil, tidak kedengaran riuh rendah membantah sehingga sampai ke tahap memasang kain pemidang mengutuk MB. Mungkin cara dan bentuk serta pendekatannya agak berbeza dan tidak terlalu menyinggung perasaan TCS.

Tetapi pertukaran kali ini agak menyelinap rasa kecewa yang mendalam ke sanubari diri banyak TCS yang ditukarkan. Tergantungnya kain pemidang yang melahirkan rasa tidak puas hati sebegitu, menjelaskan lagi manifestasi ketidakpuasan hati sesetengah mereka. Walaupun ada tuduhan yang mengaitkan naiknya kain pemidang memprotes MB itu adalah perbuatan atau didalangi oleh musuh politik MB atau daripada pihak PAS atau di kalangan TCS sendiri, namun yang jelas, itu adalah pengzahiran perasaan.

Sama ada itu adalah ‘kerja’musuh MB atau orang-orang PAS mahupun oleh TCS sendiri, itu sudah menjadi faktor terkemudian. Pokoknya ‘ada’ rasa tidak puas hati di kalangan yang terlibat, sama ada dibuat sendiri mahupun diluahkan kepada orang lain, kemudian orang lain yang tolong sebarkan, itulah sebenarnya hakikat. Hakikat kepada rasa tidak puas hati bukan kerana ditukar tetapi kerana pertukaran itu telah ‘dikuasai’ oleh orang-orang yang ‘menguasai’.

Tiga spisies manusia yang disebutkan di atas jelas telah menguasai dan mempengaruhi pertukaran TCS kali ini. Bagaimana nama-nama yang disebut sebagai berkuasa di atas boleh menguasai pentadbiran kerajaan BN pimpinan Mat Said, itu yang perlu diperjelaskan kepada umum. Sama ada Mat Said terlalu memberi kepercayaan kepada mereka, sehingga mereka menyalahgunakannya atau memang mereka berasa terlalu berkuasa, atau memang mereka sengaja memperkudakan Mat Said, setelah Mat Said terlalu memberi muka kepada mereka. Atau mungkin juga memang Mat Said sendiri yang lemah dan tidak ambil tahu, sehingga Mat Said menutup kedua-dua belah mata, tidak peduli dan menghalalkan apa sahaja yang dilakukan oleh manusia-manusia ini.

Banyak orang tidak pelik binti ajaib apabila disebut spisies manusia yang terlibat di atas jika dikaitkan dengan ‘nama-nama besar’ yang ditukar dan bertukar termasuk yang ditamatkan perkhidmatan kontraknya. Biasalah, masing-masing apabila berkuasa sedaya upayanya berusaha untuk mengukuhkan lantai kedudukan dan pengaruh masing-masing. Betul atau salah perlakuannya sudah tidak menjadi prioriti. Yang penting ‘ini giliran aku berkuasa’.

Tindakan dan perlakuan tiga spisies manusia yang disebutkan ini sebenarnya lebih buruk daripada tindakan kerajaan PAS Terengganu mewujudkan satu portfolio khusus untuk perkhidmatan awam negeri. Malangnya Idris Jusoh melihat kewujudan portfolio itu sebagai usaha campur tangan politik terhadap perkhidmatan pegawai kerajaan, lalu dimasukkan dalam manifesto BN menggugurkan porfolio itu sewaktu pilihan raya umum 2004. Kononnya memberi kebebasan kepada penjawat awam agar tidak mencampuradukkan antara politik dan pentadbiran kerajaan.

Bukan bermaksud kita hendak menguasai atau mencampuri secara langsung segala macam urusan pentadbiran ‘penjawat awam’ dalam kerajaan, tetapi kalau dibiarkan bebas, beginilah jadinya. Budak tingkat 16 akan menguasai, budak tingkat 15 akan mempengaruhi, tangan-tangan ghaib bersilang ganti di sebalik tabir, orang-orang politik yang merasai dirinya berpengaruh dan ada kuasa akan menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang dan begitulah seterusnya.

Yang pasti, sebahagian besar daripada kita tidak faham kedudukan dan makna ‘kerajaan’ itu sendiri, baik parti pemerintah sendiri mahupun pembangkang. Bagaimana kerajaan dibentuk dan dikuasai. Siapa kerajaan. Untuk apa kita berusaha memenangkan parti masing-masing dalam pilihan raya sehingga berhabisan wang ringgit yang tidak sedikit jumlahnya dan untuk apa contohnya, Anwar Ibrahim begitu bersungguh-sungguh untuk menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat sehingga sanggup untuk ‘mencuri’ kesetiaan ahli-ahli Parlimen. Apakah kita sedar maksud, had serta batasan government of the day.

Jawabnya sudah tentu adalah untuk ‘menjadi’ kerajaan.

Makna dalam bahasa mudahnya, kerajaan itu parti politik yang rakyat sokong. Parti politik itulah yang akan menjadi kerajaan. Itu adalah sistem pemerintahan. Dalam sistem pemerintahan negara kita, kerajaan tidak dapat berdiri sendiri tanpa parti politik yang dipilih semasa pilihan raya. Kerajaan juga adalah rakyat kerana rakyat yang menentukan parti politik mana yang mereka mahu untuk menjadi kerajaan. Ringkasnya, ‘tuan punya’ kepada kerajaan adalah parti politik yang dipilih. Manakala pemimpin parti politik berkenaan akan menjadi tuan dalam kerajaan. Itu saja.

Jadi, apa yang ditakutkan untuk kerajaan bertindak selagi tidak merempuh batas-batasannya. Sesuatu yang amat bohong apabila kita mengatakan urusan kerajaan tidak boleh dicampuradukkan dengan politik kepartian. Cuma ada batas susilanya dan ini sudah jelas.

Dalam konteks kesetiaan dan kepatuhan, suka saya mengambil satu kenyataan seorang bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Terengganu satu ketika dulu. Dalam satu perhimpunan bersama pegawai dan kakitangan, SUK berkenaan pernah berkata bahawa parti mana yang menjadi kerajaan, maka kerajaan bertuankan parti itu adalah majikan kita. Justeru, apa sahaja yang diarah, dikehendaki dan diminta oleh majikan, kita wajib mematuhinya.

Beliau kemudian mengambil analogi seorang pembantu rumah yang bertugas di rumah tuannya dan tuannya berhasrat untuk pekena secawan teh. Makanya mahu tidak mahu pembantu rumah itu wajib menyediakan teh kepada tuannya itu, bukannya milo atau kopi atau tongkat ali atau kopi jantan atau air-air lain selain teh.

Kalau pun kebetulan teh tidak ada di rumah, pembantu rumah itu wajib memberitahu dan bertanya semula tuannya, air apa selain teh yang diperlukan tuannya. Pembantu masih tidak berhak untuk memutuskan sendiri minuman yang dikehendaki oleh tuannya, walaupun pembantu rumah itu sudah dapat membaca selera tuannya. Mungkin hari itu selera tuannya berbeza dengan selera beliau sebelumnya.

Begitulah analogi yang digambarkan SUK terhadap tuan dan pembantu rumahnya dan dalam erti kata yang mudah majikan (kerajaan) dengan pekerjanya.

Selepas SUK berkenaan pencen (pilihan), beliau bergerak cergas dalam politik dan diberikan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya. Malangnya beliau juga menjadi hanyut dan kembali menjadi tidak faham perbezaan, had patuh mematuhi antara majikan dan pekerja serta batas hubungan antara keduanya.

Dalam hal apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri Terengganu hari ini, Mat Said perlu bertegas dan mendengar pandangan banyak orang, bukan seorang dua atau menjadi seolah-olah dia juga ‘diperalat’ oleh tiga jenis manusia di atas. Padahnya Mat Said, bukan orang lain. Orang umum yang hanya mengetahui sepintas tentang hal ini akan menuduh Mat Said yang bertindak tidak betul, bukannya tiga manusia itu. Mat Said kena dengar nasihat banyak orang dan tidak menelan bulat-bulat laporan dan aduan yang disampaikan kepadanya bagi mengelakkan tudingan jari yang melulu menuduh pihak itu dan pihak ini yang melakukannya dan bersalah. Mat Said kena ingat, spisies tiga manusia yang ada itu bertindak ‘lempar batu sembunyi tangan’, akan berselindung di sebalik jari hantu mereka yang buruk, melarikan kepala dan bersembunyi di sebalik ‘kepercayaan’ yang diberikan oleh MB.

Mat Said boleh menimbangkan semula (bukan meniru – kalau dikatakan meniru pun, perkara yang baik apa salahnya), tindakan kerajaan PAS Terengganu yang telah ‘menurunkan’ kuasa bagi menjaga dan menguruskan hal pentadbiran awam ini kepada seorang Exco Kerajaan negeri. Mat Said memang tidak sempat untuk bertindak dan memerhati semua jenis perkara dalam negeri, jadi beliau boleh menurunkan kuasa kepada salah seorang Exco bagi menjaga segala perihal berkaitan pentadbiran awam negeri ini.

Dengan cara itu, manusia dalam lingkungan jenis tiga spisies itu tidak akan mudah merasakan dirinya besar kepala, ‘tak makan saman’ dan boleh cucuk hidung orang lain. Spisies mereka ini juga tidak boleh bermegah bangga dan besar lubang hidung dengan mendakwa ‘kerajaan’ negeri boleh dikuasai mereka, mereka lebih besar dan berkuasa daripada Exco Kerajaan negeri malah lebih hebat daripada MB, sedangkan mereka ini sama juga seperti orang lain yang punyai hati dan perasaan, kekurangan dan kelebihan sendiri. Cuma bezanya orang lain tidak baik dengan MB, dia saja yang baik dan rapat dengan MB.
Related Posts with Thumbnails