yang semasa

Ahad, Disember 07, 2008

YANG DIINGKARI : TANAH RUNTUH & PRK (Satu Renungan)

(I)

Kita dikejutkan sekali lagi dengan ujian Tuhan di awal pagi Sabtu, 6 Disember 2008 dengan berulangnya kejadian tanah runtuh yang turut memakan korban manusia, hanya dua hari selepas kejadian yang hampir sama berlaku di Jalan Semantan yang alhamdulillah hanya memakan korban harta.

Takziah kepada keluarga mangsa tragedi Bukit Antarabangsa.

15 tahun yang lalu, kita digemparkan dengan tragedi dahsyat Highland Towers, Bukit Antarabangsa yang mengorbankan 48 nyawa dan lokasi kejadian terletak hanya kira-kira 1.5 km sahaja dari kawasan kejadian awal pagi Sabtu itu. Sekali lagi, semua kejadian itu adalah kehendak Tuhan. Tuhan sudah tetapkan dari azali ketentuannya.

Walaupun demikian, Tuhan tetap menuntut umat-Nya berusaha dan bertawakal tanpa menyerahkan kepada takdir semata-mata. Setelah berusaha dan bertawakal dan masih berlaku, itu adalah kelemahan dan kekurangan manusia di sisi Tuhan. Itu jugalah dinamakan sebab dan akibat, qada’ dan qadar Tuhan.

Segalanya itu juga ada kaitannya dengan ingkar dan tidak berusaha serta bertawakalnya banyak orang seperti perlunya mematuhi undang-undang dan larangan yang telah disuarakan oleh mereka yang pakar dan tahu dalam bidang masing-masing dan kemudiannya tidak berusahanya pihak berwajib untuk memantau pembinaan di cerun-cerun bukit atau mungkin juga kerana kedegilan manusia walaupun mereka telah berkali-kali disedarkan.

Akibatnya ‘sudah terantuk baru tergadah’. Sedangkan sebenarnya kita ingkar atau menulikan teliga dengan dapatan dan nasihat atau luahan daripada mereka yang arif.

Contohnya selepas kejadian Highland Towers dulu, seorang ahli geologi daripada Jabatan Geologi Universiti Malaya pernah mencadangkan agar sebarang pembinaan di cerun / lereng bukit hendaklah dibenarkan selepas mengambil kira faktor geologi terutamanya dengan mengambilkira keadaan cuaca di negara tropika seperti Malaysia yang boleh menyebabkan asas bangunan menjadi kurang stabil selepas sesuatu tempoh.

Tidak diketahui sejauh mana pandangan itu diambil kira dalam konteks berusaha dan bertawakal menyelamatkan nyawa manusia dan harta benda pencarian dunia, sehingga hari ini sekali lagi Perdana Menteri dan Timbalannya mengarahkan supaya menghentikan segera projek pembinaan cerun bagi mengelakkan kejadian cerun runtuh berulang lagi, sama dan sebiji arahannya seperti yang pernah diarahkan oleh Dr. Mahathir sewaktu beliau menjadi PM dulu.

Mungkin tiada siapa yang menyangka, Bukit Antarabangsa yang begitu gah dan elit juga boleh runtuh dengan kehendak Tuhan. Yang pasti akibat kelalaian, keingkaran, ketidakpedulian dan keambilmudahan kita kepada usaha dan tawakal, pandangan dan saranan sebegitulah, menyebabkan nyawa dan harta benda menjadi mangsa keruntuhan.

(II)

Dalam konteks pemimpin dan orang-orang politik kepartian, ambillah iktibar daripada apa yang berlaku untuk dijadikan pengajaran dalam kita menghadapi segala kemungkinan. Mendengar seribu kali untuk membuat satu keputusan tidak akan sama dengan membuat keputusan sekali baru mendengar seribu kali.

Kerana keputusan belum dibuat, mari kita kaitkan ‘sedikit’ perihal runtuhnya Bukit Antarabangsa ini dengan PRK P036 Kuala Terengganu yang juga sedang hangat diperkatakan sekarang. Memandangkan sekarang baru di peringkat teka meneka dan lobi melobi calon, maka kita ambil contoh tidak memperdulikan pandangan ini pada PRK Permatang Pauh yang baru berlalu.

Elaklah ‘keruntuhan teruk’ seperti dialami BN di sana, hanya sebabnya : BN memilih Datuk Arif Shah Omar Shah dan akibatnya BN ‘runtuh’, sedangkan ‘yang lebih arif dan berkenaan’ adalah UMNO Bahagian dan pengundi Permatang Pauh.

Parti mana atau sesiapa saja yang akan bertanding, fikir-fikirkanlah sebab dan akibat itu. Renung dan ambillah iktibar daripada peristiwa keruntuhan Bukit Antarabangsa yang mungkin boleh dielakkan tragedinya kalau kita mendengar pandangan daripada mereka yang arif dan berkenaan. Atau terimalah ‘keruntuhan’ selepas 17 Januari 2009 diikuti dengan keruntuhan yang lebih parah pada PRU13 nanti.

Pepatah Arab ada menyebut ‘seekor burung di dalam sangkar seribu kali lebih baik daripada seribu ekor burung yang terbang bebas di udara’.
Related Posts with Thumbnails