yang semasa

Rabu, Disember 31, 2008

YANG DILANTIK : TAHNIAH

Selamat tahun baru.

Esok 1 Januari 2009. Esok juga (terpengaruh dengan majlis PAS esok) Menteri Besar Terengganu akan melancarkan ‘pusat media’ sebagai penyelaras kepada gerakan media sepanjang pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu.

Orang yang akan menerajui pusat media yang akan beroperasi kurang lebih 17 hari ini sudah dikenal pasti. Asalnya dari Kelantan. Jawatannya entahlah, Cuma boleh diletakkan mungkin sebagai Pengarah Operasi Pusat Media PRK P36 Kuala Terengganu (kemaskini : Pengarah Jawatankuasa Media di Pejabat MB). Dia akan dibantu oleh beberapa orang lagi yang juga telah dikenal pasti oleh Pengarah Operasi itu sendiri. Salah seorangnya dipinjamkan daripada agensi kerajaan persekutuan dan pernah menjadi Pengarah agensi berkenaan di negeri Terengganu (juga asalnya dari Kelantan).

Hal ini patut amat kita rakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar dan tahniah kepada yang telah dilantik, terutamanya tahniah yang sebesar-besarnya kepada saudara Hambali Abd Latiff yang dipilih MB sebagai ‘Pengarah Operasi’. Seramai itu manusia media di atas bumi bertuah ni, saudara Hambali juga menjadi pilihan. Rezeki. Rezeki kan di tangan Tuhan.

Memang pun Hambali bukan orang baru dalam media. Sebelumnya beliau pernah menjadi pensyarah dan wartawan, pengarang berita serta pengarang akhbar dan TV sepenuh masa. Pernah bekerja di Berita Harian, Harian Metro, Harian Watan, NTV7 & RTM. Pernah menang anugerah Kajai 1983 dan Anugerah Karya Bangsa Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 1984.

Sejak tahun 1998, Hambali bekerja sendiri. Hambali lahir pada 14 Oktober 1954 di Pasir Puteh, Kelantan. Membesar dan bersekolah rendah dan menengah di Besut, Terengganu (kira orang Terengganulah tu). Beliau adalah lulusan sains politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Sekarang menetap di Selangor.

Kerana kehebatan Hambali itulah MB melantik beliau. Ditambah MB seorang pemimpin yang memang mengenang budi. Hambali khabarnya pernah menjadi pensyarah/tutor kepada MB semasa belajar di USM. Sekaranglah masanya membalas budi gurunya itu.

MB telah bertindak bijak. Berfikiran terbuka, walaupun khabarnya pernah disarankan untuk tidak mewujudkan pusat media seumpama ini kerana Kuala Terengganu sudah menjadi pejabat utama semua media massa dan elektronik. Semua surat khabar besar dan kecil, termasuklah surat khabar rasmi PAS, Harakah ada pejabat cawangannya di Kuala Terengganu. Selain itu, banyak lagi sebab mengapa tidak perlunya pusat media seperti yang dicadangkan itu, termasuk yang utama dan jelasnya, akan terselamatlah duit rakyat. Namun suara siapa yang kerdil itu untuk mencadangkan kepada MB?

MB cukup terbuka. Tidak taksub kenegerian. Beliau tak kesah orang mana yang hendak dilantik, asalkan orang itu, baginya boleh bekerja. Bukan Hambali seorang orang bukan anak negeri yang dilantik MB. Sebelum ini pun dah ramai. MB juga bukan tidak ambil hal soal pengorbanan dan jasa orang. Beliau amat prihatin. Kerana itu beliau melantik sesiapa saja termasuk Hambali untuk pegang jawatan-jawatan penting walaupun mereka itu ‘tidak ada sesen saham’ pun kepada politik negeri Terengganu.

MB amat kenal yang mana kaca yang mana permata. Anak Terengganu atau yang sudah lama terlibat dengan media di Terengganu tidak sehebat Hambali. Semuanya cap ayam. Ramai yang sekolahnya pun tamat SPM saja, tapi lagak saja lebih. Setakat boleh anugerah Kawat tu tak payah nak berlagaklah, Hambali dapat anugerah Kajai lagi. Lagi pun kerja jaga pusat media nin bukannya senang, lebih susah daripada kerja tampal poster dan panjat tiang pasang poster lagi. Alang-alang orang jangan nak cuba buat kerja nin. Wartawan tua, wartawan pencen atau wartawan yang ada di Terengganu hari nin, seorang pun tak layak. Mereka hanya layak jadi gurkha jaga markas pos pilihan raya saja.

Kelab Wartawan Terengganu pun khabarnya tidak dilibatkan dengan pusat media nin. Betul dan tepat keputusan tu. Apa benda Kawat tu? Kawat duri ke? Kalau kawat duri memang patut pun tak dilibatkan kerana menyusahkan orang saja. Nanti tercucuk situ tercucuk sini, tak senang duduk sesetengah orang. Tak ada Kawat pun tak jadi kudis gatalnya. Siapa orang-orang dalam Kawat? Daripada Presidennya kepada AJK, semua terdiri daripada orang-orang yang tak boleh dipakai. Menyusahkan dan menghabiskan beras sahaja. Kawat dan wartawan tempatan hanya boleh minta tolong masa kerajaan susah saja. Masa senang dan ada peluang 'masyuk' begini, kenalah jemput orang/wartawan/media luar untuk membantu.

Lagi pun belanja untuk mewujudkan, beroperasinya dan gaji/elaun tenaga kerja di pusat media ini tidaklah tinggi. Cuma sekadar berbelas-belas ribu RM sehari. Tidaklah besar sangat belanjanya, cuma boleh buat sebuah banglo atau 10 buah rumah murah sahaja. Kecil je tu. Duit royalti kan banyak. Kalau nak dibandingkan belanja operasi pusat media nin dengan jumlah RM seperti tercatat pada replika cek yang Datuk Najib bagi hari tu, baru nilainya sekadar 'di celah gigi’ saja.

Operasinya juga tidak susah-susah nak menyewa ruang premis yang mahal dan ekslusif sangat. Pusat media ini sanggup merendah diri menumpang di pejabat salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu (di hadapan Unit Komunikasi). Sudah jimat belanja sewa premis. Tak jadi hal sebab kerja untuk politik nin bukan atas pejabat kerajaan, cuma pejabat anak syarikat kerajaan sahaja. Cuma nanti bila dah mula dan berjalan dengan lancar pusat media tu, kalau dirasakan keadaan pejabat tu agak sempit dan rimas, boleh minta keizinan MB untuk guna dewan-dewan besar yang banyak di Wisma Darul Iman. Di situ lebih selesa. Mesti boleh punya. Tak kan Dewan baru di Chukai dan Stadium Negeri Kuala Terengganu MB boleh luluskan untuk digunakan oleh PAS, dewan Wisma Darul Iman nak digunakan oleh pusat media kerajaan, tak boleh. Tak masuk di akal.

Berkait dengan saudara Hambali juga, ada cerita lain yang seronok juga didengar. Sama ada cerita palsu atau khabar-khabar angin saja, tak tahulah. Tu kena tanya orang lain, bukan saya.

Cerita ‘orang lain’ itu, Hambali mungkin akan dilantik menjadi Pengarah Unit Komunikasi negeri selepas ini. Khabarnya juga, kawan kita yang dah lama memangku Pengarah di situ, yang jatuh bangun dengan unit tu, sampai hari ini belum lagi terima surat sambung kontrak sebagai Timbalan Pengarah. Sedangkan tarikh tamat kontraknya di situ ialah pada hari ini, 31 Disember 2008. Entah-entah ‘cukup sampai di sini sayang….’

Kalau betul cerita tu molek sangatlah. Hambali memang sesuai dan layak duduk di kerusi tu. Cuma kesian kat kawan kita tu lah. Bertambah reneklah kawan kita tu. Soal gaji Hambali tak perlu bimbang. Kalau orang lain dilantik kontrak dan gajinya dikira mengikut kelulusan dan standard perjawatan jabatan kerajaan, kepada Hambali boleh diurus. Boleh dilantik ke gred yang tinggi. Jusa B atau C ke misalnya. Mesti kena sama atau hampir sama dengan Setiausaha Kerajaan Negeri. Baru ada kelas. Tu perkara kecil je. Lagi yang besar daripada itu, MB boleh selesaikan. Bukan MB nak aniaya kawan dan gurunya.

Apa-apa pun, selamat bertugas, selamat beroperasi dan sekali lagi tahniah kepada semua yang terlibat dengan pusat media ini. Semoga wujudnya pusat ini, akan banyak membantu memenangkan sahabat kita Wan Farid.

Cuma harap-harapnya, ini bukan kerja ‘budak tingkat 16’ lagi.

YANG HAMPIR PASTI : CALON PAS PRK P036

Mahu tidak mahu ‘masalah dalam PAS Terengganu’ (sebagaimana disebut Mursyidul Am PAS) mesti diselesaikan malam ini. Ini adalah maruah PAS dan maruah Pakatan Rakyat. Tergadainya maruah akan tergadailah impian mereka untuk merampas kerusi Kuala Terengganu.

Umum sudah maklum, malam esok bertempat di Stadium Negeri Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, PAS akan mengumumkan calon yang akan mewakili partinya dalam pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu untuk berhadapan dengan Wan Ahmad Farid dan seorang dua lagi calon ‘tanpa mazhab’.

Dikhabarkan ketika nota ini sedang ditulis (pukul 9.30 malam) bertempat di Rhusila (kediaman Presiden PAS?), beberapa pemimpin tertinggi PAS sedang membuat pertimbangan terakhir bagi menentukan calon yang akan menggalas cabaran PAS bagi merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu sebagaimana dihasratkan mereka. Apa sebenarnya yang dibincangkan dan diperincikan, wallahuaklam. Apa sebenarnya masalah pun, kita tidak pasti. Yang banyak disebut orang, masalahnya ‘berebut’ hendak menjadi calon. Betul atau tidak, jangan tanya saya. Itu kena tanya mereka.

Difahamkan ada tiga (3) nama dalam senarai terakhir sedang diberi pertimbangan daripada segala segi – yang penting bagi mereka, calon yang akan memberi kemenangan kepada PAS. Nama Mat Sabu sudah terkeluar pada tapisan pertama lagi. Nama Dr Mohd Khazani Abdullah pun terpaksa dikeluarkan pada tapisan berikutnya atas sebab-sebab perniagaan dan masalahnya sebagai penjamin.

Yang tinggal dan mendahului senarai ialah ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, diikuti Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustaffa Ali (Cikgu Pa) dan bekas wakil rakyat DUN Batu Burok yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Wan Mutalib Wan Embong.

Mereka bertiga mempunyai kekuatan yang hampir seimbang. Bagaimanapun, Dr Syed Azman dilihat lebih mempunyai peluang yang cerah untuk terpilih berbanding Cikgu Pa atau Wan Mutalib.

Bagaimana kalau : Dr Syed Azman dipilih sebagai calon.

Kemungkinan sebab yang paling utama : Paling tidak Dr Syed Azman adalah wakil rakyat semasa DUN Batu Burok, salah satu DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu yang dianggap kubu kuat kedua PAS dalam P36 selepas Wakaf Mempelam. Mengimbangi strategi BN yang sudah mengumumkan calonnya dua minggu lalu (dan semenjak pengumuman itu, dilihat Wan Farid and the geng tidak senang duduk di rumah), PAS tidak akan banyak menghabiskan waktu untuk menjelajah daripada ‘A’ dalam DUN Batu Burok sendiri khususnya, ditambah pengalaman hubungan beliau dengan pengundi P36 yang sudah sedia terjalin lantaran beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu 1999-2004 lalu.

Bagaimana kalau : Cikgu Pa atau Wan Mutalib dipilih.

Kedua-dua mereka juga pernah menjadi ADUN dalam P36. Cikgu Pa pernah jadi ADUN Wakaf Mempelam dan berjaya ‘membina’ Wakaf Mempelam menjadi kubu kuat PAS sehingga sekarang. Tapi Cikgu Pa juga pernah kalah dalam DUN Bandar pada pilihan raya umum 1995. Wan Mutalib pula pernah menjadi ADUN Batu Burok untuk beberapa penggal. Difahamkan, namanya turut terselit sebagai calon P36 pada PRU 2008 lalu sebelum digantikan dengan Mat Sabu. Kemenangan Syed Azman di Batu Burok juga dikaitkan dengan ‘legasi’ yang ditinggalkan oleh Wan Mutalib di DUN berkenaan.

Bagaimana kalau : kita ambil cakap-cakap orang.

Dr Syed Azman – kata seorang kawan saya, Wan Farid mengakui akan berhadapan ‘laluan lebih mudah’ kalau beliau berhadapan dengan Syed Azman. Apa rasionalnya kurang pasti. Cuma yang boleh dibayangkan, ada beberapa rungutan bahawa Syed Azman juga kurang berada dalam kawasan DUNnya sendiri. Semasa beliau menjadi Ahli Parlimen dulu, mungkin kesibukannya sebagai Ahli Parlimen yang perlu menghadiri sidang dewan di Kuala Lumpur dapat dimaafkan oleh pengundi, tetapi sebagai ADUN, Syed Azman dilihat tidak ada alasan kuat untuk tidak berada dalam DUN.

Cikgu Pa – kata kawan saya yang merupakan ahli PAS (walaupun seorang, dia tetap ahli PAS). Banyak orang PAS yang agak kurang senang dengan Cikgu Pa. Mereka menghormati Cikgu Pa sebagai Pesuruhjaya tetapi bukan sebagai calon PRK P36 yang memerlukan mereka menang. Maknanya kalau Cikgu Pa dipilih sebagai calon, mereka tidak lagi boleh bercakap soal ‘calon yang boleh merampas kerusi’ ini.

Wan Mutalib – kata kawan saya yang mengundi Wan Mutalib pada PRU 2004 lalu, “PAS dah tak ada orang lain ke? Kalau Wan Mutalib, kali ini baik aku sokong calon bebas. Banyak sangat masalah dia, payah buat kerja.” (sekali lagi, walaupun hanya seorang, kawan saya itu masih tetap punyai satu undi untuk dirinya, belum mengambil kira undi isteri dan keluarganya yang lain).

Kata kawan saya yang lain – kalau bukan Syed Azman atau calon lain yang dilihat tidak mewakili kumpulan erdogan dalam PAS, the gengs of erdogant ini akan bertindak ‘memerhati dari luar pagar Kuala Terengganu’ sepanjang kempen PRK ini berjalan dan lebih buruk khabarnya mereka akan menyalurkan maklumat kempen yang boleh menguntungkan calon BN.

Semua di atas adalah cakap-cakap politik. Mungkin juga itulah 'masalah' yang disebut Mursyidul Am PAS. Pun demikian, pimpinan PAS pasti ada rasional, alasan dan faktor kuat mereka sendiri untuk menentukan calonnya. Namun yang hampir pasti, berdasarkan beberapa faktor tertentu serta kekuatan luar dan dalam di samping jalan keluar penyelesaian ‘masalah’ paling afdal, PAS dikatakan akan mempertaruhkan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi sebagai calon mereka untuk menggalas tanggungjawab merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Kata seorang lagi kawan saya – “sabar-sabarlah menunggu pengumuman calon yang sah malam esok, majlis bermula pukul 8.15 malam di Stadium Negeri. Sesungguhnya Tuhan bersama dengan orang-orang yang sabar… he he he…”

Ahad, Disember 28, 2008

YANG NAIK, YANG TURUN & YANG DIHANDENG

Siapa yang naik?
Siapa yang turun?
Siapa yang kena 'handeng' @ tohok @ tendang @ humban?

YANG DINANTI : 1 JANUARI 2009

Tarikh 1 Januari 2009 dinantikan dan pasti hadir (kalau dunia belum khiamat). Tahun baru Masehi pada abad ke-21. Hari ulang tahun kelahiran banyak orang di seluruh dunia. Hari pertama tahun baru Masehi. Kelahiran, kematian yang mungkin berlaku pada tarikh itu dan pelbagai penungguan yang mempunyai makna tersendiri kepada sesiapa pada tarikh berkenaan.

1 Januari 45 BC - Kalendar Julian berkuat kuasa buat julung kali.

1 Januari 630 - Nabi Muhammad s.a.w. berangkat ke Makkah dengan tentera yang menawan kota itu tanpa tumpah darah.

1 Januari merupakan hari pertama dalam kalendar Gregorian. Kalendar Gregorian yang disebarluas pada tahun 1582 tidak menetapkan 1 Januari sebagai Hari Tahun Baru ataupun hari pertama untuk tahun yang dinomborkannya.

England bermula menggunakan 1 Januari sebagai Hari Tahun Baru pada tahun 1752. Sebelum ini dan sejak abad ke-13, tahun baru bermula dengan 25 Mac sebagai 'Hari Lady' ataupun 'Hari Pengumuman Penjelmaan Semula Anak Dara Maria'.

Tinggal 364 hari (atau 365 hari bagi tahun lompat) sebelum memasuki tahun selepasnya.

1 Januari 2002 - Perjanjian Langit Terbuka yang asalnya dimeterai pada tahun 1992, berkuatkuasa secara rasmi.

1 Januari 2009 akan menyaksikan seorang individu dalam PAS akan memikul tanggungjawab besar partinya sebagai calon Pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu dan bakal bertembung dengan calon BN, Wan Farid sekali gus menepis menampar nyamuk-nyamuk bebas yang mungkin turut mencatatkan nama (bukan bersaing) sebagai individu yang nak menghabiskan wang.

1 Januari 2009 bakal menyaksikan ‘perjanjian langit terbuka’ kedua antara Mat Said dan PAS setelah PAS berjaya untuk julung-julung kalinya menggunakan Dewan Dato' Amar Diraja di Kemaman (di bawah penguasaan kerajaan BN) sebagai premis berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS.

Kali ini 1 Januari 2009, PAS sekali lagi berjaya menggunakan kemudahan kepunyaan kerajaan BN. Stadium Negeri yang dibina semasa zaman pemerintahan kerajaan BN, sebagai premis untuk mengumumkan calon pilihan raya kecil sekali gus sebagai premis rasmi berceramah, sekali gus sebagai tempat menabur janji, sekali gus sebagai lokasi mengadu dumba. Dan kalau Mat Sabu juga ada, akan sekali gus menjadi tempat mengatakan yang ‘manis muluk’ dengan sumpah seranahnya kepada ‘tuan punya’ premis berkenaan.

1 Januari 2009, Mat Said dilihat ‘semakin telus’ dengan mainan politik PAS dan sudah tentu masing-masing akan mempunyai untung ruginya tersendiri. Yang pasti, PAS lebih terkehadapan dalam konteks mempunyai kelebihan.

(via Nokia E-90, Kepulauan Riau, Indonesia).

Selasa, Disember 23, 2008

YANG MENGUASAI & DIKUASAI

Seorang hamba Allah mengirimkan kepada saya pesanan ringkas (SMS) berikut :

Isu baru akibat pertukaran TCS (Pegawai Tadbir negeri) yang kurang seimbang. Baner naik kutuk MB depan WDI. Tukar cemakin sekali bahagian atas-atas. (Gred) 52 tukar ke Jusa, 54 turun ke 48. Orang-orang tertentu diberi jawatan baik (susunan macam ALP GLC).

Saya reply smsnya bertanyakan apa yang ditulis pada kain pemidang (banner) sebagaimana yang dimaklumkan (saya tak berkesempatan untuk menjenguk kain pemidang yang dimaksudkan, memandangkan saya sudah seminggu tidak berada di Terengganu).

Jawabnya, kain pemidang berbunyi :

"Rombakan besar-besaran TCS, 1 Januari 2009. siapa sebenarnya mentadbir Terengganu. Mat Said atau Wan Ahmad dan sepupunya Wan Lutfi atau pun Hussain Botak. Suatu kezaliman. Pegawai senior diberi jawatan junior dan sebaliknya. Suatu penghinaan kepada TCS, umpama tikus baiki labu. Mat Said menghancurkan Terengganu. Tolak BN.. doa orang teraniya.”

Setelah dirisik-risik, didapati lebih 60 orang pegawai pekhidmatan negeri Terengganu (TCS) termasuk beberapa pegawai tinggi telah ditukar tempat kerja ataupun bertukar jawatan dan seorang pegawai kanan telah ditamatkan kontrak bermula 1 Januari tahun depan, lima hari sebelum penamaan calon dan 16 hari sebelum pengundian PRK Kuala Terengganu.

Antara pegawai kanan yang terbabit adalah Yang Di-Pertua Majlis Perbandaraan Kemaman Mustofa Abdul Rahman, Setiausaha Sulit Menteri Besar, Idham Mustafa, Timbalan Setiausaha Kerajaan, Wan Nawawi Wan Ismail. Pegawai Daerah Dungun, Mohd Akil Mat dan Pegawai Daerah Besut Wan Harujan Sulaiman.

Manakala kontrak perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Dato’ Alwi Mohamad tidak disambung.

Spisies manusia yang dikatakan terlibat :

(1) Budak tingkat 16.
(2) Tangan-tangan ghaib.
(3) Beberapa orang pemimpin UMNO.

Ramai yang melihat isu ini bukan isu yang kecil walaupun pertukaran itu adalah perkara biasa beralasan atas kepentingan perkhidmatan. Malahan sepanjang 4 tahun kerajaan PAS Terengganu 1999-2004 lalu, terdapat kurang lebih 17 kali pertukaran pegawai TCS besar dan kecil, tidak kedengaran riuh rendah membantah sehingga sampai ke tahap memasang kain pemidang mengutuk MB. Mungkin cara dan bentuk serta pendekatannya agak berbeza dan tidak terlalu menyinggung perasaan TCS.

Tetapi pertukaran kali ini agak menyelinap rasa kecewa yang mendalam ke sanubari diri banyak TCS yang ditukarkan. Tergantungnya kain pemidang yang melahirkan rasa tidak puas hati sebegitu, menjelaskan lagi manifestasi ketidakpuasan hati sesetengah mereka. Walaupun ada tuduhan yang mengaitkan naiknya kain pemidang memprotes MB itu adalah perbuatan atau didalangi oleh musuh politik MB atau daripada pihak PAS atau di kalangan TCS sendiri, namun yang jelas, itu adalah pengzahiran perasaan.

Sama ada itu adalah ‘kerja’musuh MB atau orang-orang PAS mahupun oleh TCS sendiri, itu sudah menjadi faktor terkemudian. Pokoknya ‘ada’ rasa tidak puas hati di kalangan yang terlibat, sama ada dibuat sendiri mahupun diluahkan kepada orang lain, kemudian orang lain yang tolong sebarkan, itulah sebenarnya hakikat. Hakikat kepada rasa tidak puas hati bukan kerana ditukar tetapi kerana pertukaran itu telah ‘dikuasai’ oleh orang-orang yang ‘menguasai’.

Tiga spisies manusia yang disebutkan di atas jelas telah menguasai dan mempengaruhi pertukaran TCS kali ini. Bagaimana nama-nama yang disebut sebagai berkuasa di atas boleh menguasai pentadbiran kerajaan BN pimpinan Mat Said, itu yang perlu diperjelaskan kepada umum. Sama ada Mat Said terlalu memberi kepercayaan kepada mereka, sehingga mereka menyalahgunakannya atau memang mereka berasa terlalu berkuasa, atau memang mereka sengaja memperkudakan Mat Said, setelah Mat Said terlalu memberi muka kepada mereka. Atau mungkin juga memang Mat Said sendiri yang lemah dan tidak ambil tahu, sehingga Mat Said menutup kedua-dua belah mata, tidak peduli dan menghalalkan apa sahaja yang dilakukan oleh manusia-manusia ini.

Banyak orang tidak pelik binti ajaib apabila disebut spisies manusia yang terlibat di atas jika dikaitkan dengan ‘nama-nama besar’ yang ditukar dan bertukar termasuk yang ditamatkan perkhidmatan kontraknya. Biasalah, masing-masing apabila berkuasa sedaya upayanya berusaha untuk mengukuhkan lantai kedudukan dan pengaruh masing-masing. Betul atau salah perlakuannya sudah tidak menjadi prioriti. Yang penting ‘ini giliran aku berkuasa’.

Tindakan dan perlakuan tiga spisies manusia yang disebutkan ini sebenarnya lebih buruk daripada tindakan kerajaan PAS Terengganu mewujudkan satu portfolio khusus untuk perkhidmatan awam negeri. Malangnya Idris Jusoh melihat kewujudan portfolio itu sebagai usaha campur tangan politik terhadap perkhidmatan pegawai kerajaan, lalu dimasukkan dalam manifesto BN menggugurkan porfolio itu sewaktu pilihan raya umum 2004. Kononnya memberi kebebasan kepada penjawat awam agar tidak mencampuradukkan antara politik dan pentadbiran kerajaan.

Bukan bermaksud kita hendak menguasai atau mencampuri secara langsung segala macam urusan pentadbiran ‘penjawat awam’ dalam kerajaan, tetapi kalau dibiarkan bebas, beginilah jadinya. Budak tingkat 16 akan menguasai, budak tingkat 15 akan mempengaruhi, tangan-tangan ghaib bersilang ganti di sebalik tabir, orang-orang politik yang merasai dirinya berpengaruh dan ada kuasa akan menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang dan begitulah seterusnya.

Yang pasti, sebahagian besar daripada kita tidak faham kedudukan dan makna ‘kerajaan’ itu sendiri, baik parti pemerintah sendiri mahupun pembangkang. Bagaimana kerajaan dibentuk dan dikuasai. Siapa kerajaan. Untuk apa kita berusaha memenangkan parti masing-masing dalam pilihan raya sehingga berhabisan wang ringgit yang tidak sedikit jumlahnya dan untuk apa contohnya, Anwar Ibrahim begitu bersungguh-sungguh untuk menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat sehingga sanggup untuk ‘mencuri’ kesetiaan ahli-ahli Parlimen. Apakah kita sedar maksud, had serta batasan government of the day.

Jawabnya sudah tentu adalah untuk ‘menjadi’ kerajaan.

Makna dalam bahasa mudahnya, kerajaan itu parti politik yang rakyat sokong. Parti politik itulah yang akan menjadi kerajaan. Itu adalah sistem pemerintahan. Dalam sistem pemerintahan negara kita, kerajaan tidak dapat berdiri sendiri tanpa parti politik yang dipilih semasa pilihan raya. Kerajaan juga adalah rakyat kerana rakyat yang menentukan parti politik mana yang mereka mahu untuk menjadi kerajaan. Ringkasnya, ‘tuan punya’ kepada kerajaan adalah parti politik yang dipilih. Manakala pemimpin parti politik berkenaan akan menjadi tuan dalam kerajaan. Itu saja.

Jadi, apa yang ditakutkan untuk kerajaan bertindak selagi tidak merempuh batas-batasannya. Sesuatu yang amat bohong apabila kita mengatakan urusan kerajaan tidak boleh dicampuradukkan dengan politik kepartian. Cuma ada batas susilanya dan ini sudah jelas.

Dalam konteks kesetiaan dan kepatuhan, suka saya mengambil satu kenyataan seorang bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Terengganu satu ketika dulu. Dalam satu perhimpunan bersama pegawai dan kakitangan, SUK berkenaan pernah berkata bahawa parti mana yang menjadi kerajaan, maka kerajaan bertuankan parti itu adalah majikan kita. Justeru, apa sahaja yang diarah, dikehendaki dan diminta oleh majikan, kita wajib mematuhinya.

Beliau kemudian mengambil analogi seorang pembantu rumah yang bertugas di rumah tuannya dan tuannya berhasrat untuk pekena secawan teh. Makanya mahu tidak mahu pembantu rumah itu wajib menyediakan teh kepada tuannya itu, bukannya milo atau kopi atau tongkat ali atau kopi jantan atau air-air lain selain teh.

Kalau pun kebetulan teh tidak ada di rumah, pembantu rumah itu wajib memberitahu dan bertanya semula tuannya, air apa selain teh yang diperlukan tuannya. Pembantu masih tidak berhak untuk memutuskan sendiri minuman yang dikehendaki oleh tuannya, walaupun pembantu rumah itu sudah dapat membaca selera tuannya. Mungkin hari itu selera tuannya berbeza dengan selera beliau sebelumnya.

Begitulah analogi yang digambarkan SUK terhadap tuan dan pembantu rumahnya dan dalam erti kata yang mudah majikan (kerajaan) dengan pekerjanya.

Selepas SUK berkenaan pencen (pilihan), beliau bergerak cergas dalam politik dan diberikan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya. Malangnya beliau juga menjadi hanyut dan kembali menjadi tidak faham perbezaan, had patuh mematuhi antara majikan dan pekerja serta batas hubungan antara keduanya.

Dalam hal apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri Terengganu hari ini, Mat Said perlu bertegas dan mendengar pandangan banyak orang, bukan seorang dua atau menjadi seolah-olah dia juga ‘diperalat’ oleh tiga jenis manusia di atas. Padahnya Mat Said, bukan orang lain. Orang umum yang hanya mengetahui sepintas tentang hal ini akan menuduh Mat Said yang bertindak tidak betul, bukannya tiga manusia itu. Mat Said kena dengar nasihat banyak orang dan tidak menelan bulat-bulat laporan dan aduan yang disampaikan kepadanya bagi mengelakkan tudingan jari yang melulu menuduh pihak itu dan pihak ini yang melakukannya dan bersalah. Mat Said kena ingat, spisies tiga manusia yang ada itu bertindak ‘lempar batu sembunyi tangan’, akan berselindung di sebalik jari hantu mereka yang buruk, melarikan kepala dan bersembunyi di sebalik ‘kepercayaan’ yang diberikan oleh MB.

Mat Said boleh menimbangkan semula (bukan meniru – kalau dikatakan meniru pun, perkara yang baik apa salahnya), tindakan kerajaan PAS Terengganu yang telah ‘menurunkan’ kuasa bagi menjaga dan menguruskan hal pentadbiran awam ini kepada seorang Exco Kerajaan negeri. Mat Said memang tidak sempat untuk bertindak dan memerhati semua jenis perkara dalam negeri, jadi beliau boleh menurunkan kuasa kepada salah seorang Exco bagi menjaga segala perihal berkaitan pentadbiran awam negeri ini.

Dengan cara itu, manusia dalam lingkungan jenis tiga spisies itu tidak akan mudah merasakan dirinya besar kepala, ‘tak makan saman’ dan boleh cucuk hidung orang lain. Spisies mereka ini juga tidak boleh bermegah bangga dan besar lubang hidung dengan mendakwa ‘kerajaan’ negeri boleh dikuasai mereka, mereka lebih besar dan berkuasa daripada Exco Kerajaan negeri malah lebih hebat daripada MB, sedangkan mereka ini sama juga seperti orang lain yang punyai hati dan perasaan, kekurangan dan kelebihan sendiri. Cuma bezanya orang lain tidak baik dengan MB, dia saja yang baik dan rapat dengan MB.

Sabtu, Disember 20, 2008

YANG GATAL MULUT & YANG SEBENAR (6)

Yang gatal mulut :

PAS akan menang besar di Kuala Terengganu. Segala apa yang UMNO buat selama ini PAS juga boleh buat, pembangunan, PAS boleh buat, nak jaga Melayu, PAS boleh jaga, tak ada sebab langsung untuk UMNO dipilih. (Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS).

Yang sebenar :

Pembangunan adalah tugas dan tanggungjawab kerajaan yang memerintah. Tahun 1999 – 2004, PAS menjadi kerajaan di Terengganu. PAS banyak buat pembangunan dan jaga Melayu dengan baik. Pembangunan yang dibuat kemudian ditinggalkan PAS antaranya termasuklah rumput-rumput yang hidup subur di kebanyakan balai raya. Sampah sarat terurus dengan baik, bandar bersih bersepahan. Masjid digunakan semaksimanya, sehingga ada yang hanya tinggal kerangka sahaja. PAS juga beri peluang belajar sama rata kepada anak-anak Melayu, tak ada sijil pun boleh masuk KUSZA. PAS menegakkan keadilan ’hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ dengan menganugerahkan kawasan balak kepada gadis Melayu berusia 26 tahun. Pegawai dan kakitangan kerajaan yang kebanyakannya Melayu diberi elaun secukupnya sehingga tidak terhitung jumlahnya. PAS jaga orang Melayu dengan baik, cuma kata parti UMNO (parti Melayu) itu sebagai parti Asobiyah. PASlah yang meneruskan pembinaan LPT yang tergendala, PASlah yang besarkan airport Kuala Terengganu dan PASlah yang bawa masuk Pasar raya Maidin dan Giant ke Kuala Terengganu. Dan banyak lagi…. Memang betul 'tak ada sebab langsung untuk UMNO dipilih'. Sebab tak payah pilih UMNO, pilih saja BN atau PAS. Memang PAS boleh !!!

JAM : Dato’ Nik Abdul Aziz ke Menteri Besar Terengganu masa tu?

Rabu, Disember 17, 2008

YANG MASIH DITEKATEKIKAN

(Terkini : Rabu, 17 Disember 2008, pukul 11.17 malam : Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Negeri (bincang calon?) sedang berlangsung di Seri Iman, Kediaman Rasmi Menteri Besar Terengganu, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu).
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Empat lima hari berlalu yang penuh dengan teka teki, andaian, telahan dan kepelbagaian tafsiran berhubung dengan siapakah calon BN pada PRK Kuala Terengganu, khususnya setelah Wan Farid secara rasmi disambung perkhidmatannya sebagai Senator bagi penggal kedua oleh Dewan Undangan Negeri Ahad lalu.

Menariknya teka teki itu kerana kita mendapat jawapan dengan andaian, telahan dan kemungkinan yang pelbagai. Sebagai alternatif kepada Wan Farid, maka timbullah nama-nama seperti (YB Senator - Yang Bekas Senator) Nordiana Shafie, Yang Bekas Speaker Dato’ Che Mat Jusoh, Mohd Sabri Alwi, Dato’ Zubir Embong, YB Senator Dato’ Roslan Awang Chik dan juga Haji Mohd Zuber Embong.

Walaupun banyak yang kurang yakin Wan Farid akan dicalonkan, namun namanya masih disebut sebagai calon paling sesuai dan berpotensi untuk menang. Kemudian barulah timbul nama Nordiana Shafie yang diperkuatkan dengan alasan tidak disambungnya perkhidmatan beliau selaku Senator bagi penggal kedua seperti Wan Farid.

Kemudian giliran Che Mat Jusoh diperkatakan sambil sekali-sekali diselangseli dengan nama-nama lain yang sekadar disebut dengan tidak berkeyakinan. Bagi kebanyakan pemerhati, nama-nama lain itu disusuli hanya untuk menguatkan hujah dan memanjangkan penulisan sahaja.

Yang pasti, siapa calon untuk dipertaruhkan oleh BN bagi mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu masih menjadi perkara yang maha rahsia. Sebesar rahsia yang berlaku di sebalik tembok perkiraan beberapa pemimpin tertinggi parti untuk memutuskan siapa sebenarnya yang mampu menggalas ‘beberapa buah bas’ nanti.

Kalau kita masih ingat, dua tiga hari sebelum Najib datang ke Terengganu, Pak Lah telah maklumkan kepada media dari Kuching, Sarawak yang nama calon BN untuk PRK Kuala Terengganu telah beliau lihat dan beliau bersetuju dengan cadangan (calon) berkenaan. Pak Lah dalam sidang media yang sama dengan selambanya menyerahkan kepada Najib untuk mengumumkan nama calon berkenaan dalam ‘sehari dua ini’.

Sehari selepas Pak Lah berkata-kata begitu, UMNO negeri Terengganu masih bermain teka teki. Mat Said memberitahu media bahawa beliau ada menerima sampul surat putih tetapi belum melihat isinya. Mat Said menjelaskan, seperti biasa, setelah melihat isinya UMNO Perhubungan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan cadangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu dan barulah akan dikemukakan cadangan kepada Pak Lah.

Pak Lah kata dah lihat dan setuju manakala Mat Said kata dah terima sampul surat putih tapi belum melihat isinya dan belum dibincang dalam mesyuarat. Maknanya belum dikemukakan kepada Pak Lah. Jadi, dari mana Pak Lah dapat tahu? Ada main langkah melangkah atau antara Pak Lah dan Mat Said, salah seorang atau kedua-duanya bermain wayang?

Secara kebetulan, dua tiga hari selepas kenyataan Pak Lah dari Kuching itu, Najib datang ke Terengganu untuk menyerahkan mog cek wang royalti sambil menutup pemukiman UMNO Negeri Terengganu yang telah diadakan di Genting Highland pada tarikh yang sama dengan kematian Dato’ Razali Ismail dan Ibunda kepada Mat Said. Sangkaan ramai Najib akan mengumumkan nama calon BN meleset sama sekali kerana Najib hanya mengumumkan ‘nak menang tapi macam tak nak menang’ dan ‘kita tak akan merebus telur yang sudah direbus’.

Kepelbagaian kemungkinannya :

1) Pak Lah sahaja mengarut kerana memang betul UMNO Perhubungan belum mengadakan mesyuarat dan belum mengemukakan cadangan nama kepada Pak Lah.

2) Pak Lah sudah tahu dan menerima cadangan nama tetapi bukan daripada UMNO Perhubungan. Pak Lah mungkin menerimanya secara terus daripada UMNO Bahagian / individu tertentu daripada Bahagian.

3) Najib tahu dan ada nama yang dimaklumkan oleh Pak Lah kepadanya untuk diumumkan tetapi Mat Said ‘belum boleh bersetuju’ dengan nama itu dengan alasan bukan cadangan UMNO Perhubungan. UMNO Perhubungan belum mengadakan mesyuarat lagi. Kalau Najib umum juga, akan melanggar Fasal 10.3 perlembagaan UMNO yang menggariskan antara tanggungjawab MT ialah ‘memilih calon-calon bagi Pilihan Raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri setelah berunding dengan Badan Perhubungan bagi Negeri yang berkenaan dan Jawatankuasa Bahagian mengikut peraturan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi’.

4) Pak Lah bersetuju dengan ‘nama lain’ yang berbeza dengan nama yang diingini oleh Mat Said. Secara jujur, semua orang kena akur dan tidak boleh sekali-kali menyalahkan Mat Said kerana Mat Said juga hendak perkukuhkan lantai politik beliau. Mahu tidak mahu, Mat Said kena menjalarkan akar kemonotomian politiknya, sebab itu beliau perlu memastikan kemerataan orang-orangnya

5) Mat Said mungkin mendapat ‘gambaran kemenangan’ daripada perspektif yang berbeza daripada apa yang diperhatikan oleh orang lain, khususnya daripada UMNO Bahagian Kuala Terengganu sendiri. Justeru tidak mustahil Mat Said akan memilih calon impiannya untuk mengisi gambaran kemenangan itu.

6) Memang Pak Lah tidak tahu, Najib tidak tahu dan Mat Said juga tidak tahu dan mereka juga belum membuat apa-apa keputusan. Media sahaja yang salah lapor.

Kerana itu Najib tidak boleh mengumumkan (atau tak tahu apa, nak umum apa?). Najib perlu balik dulu ke Putrajaya dan berbincang semula dengan Pak Lah sambil menunggu sampul surat putih daripada Mat Said pula.

Senario seterusnya :

Yang pro mengatakan Wan Farid masih boleh dicalonkan :

1) Kata Najib ‘kita tak akan merebus telur yang sudah direbus’ – maknanya kita (BN?) tidak akan meletakkan calon yang sudah diberi peluang untuk bertanding sebelumnya untuk bertanding sekali lagi. Dan Wan Farid adalah calonnya kerana Wan Farid tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

2) Wan Farid dilantik semula sebagai Senator bagi mengelakkan terputusnya jawatan Timbalan Menteri kerana status Senatornya akan tamat pada 31 Disember 2008. Mat Said dan Kerajaan negeri Terengganu tidak sanggup menghadapi ‘kehilangan berganda’ dengan hilangnya satu lagi kerusi Timbalan Menteri setelah kehilangan kerusi Timbalan Menteri Pelajaran.

3) Wan Farid boleh meletakkan jawatan Senator sekiranya beliau dicalonkan. Selepas beliau ‘menang’, Pak Lah boleh menyambung perkhidmatannya semula. Kalau ini berlaku, kekosongan kerusi Timbalan Menteri tidaklah terlalu lama, hanya 11 hari sahaja. Kalau pun lebih lama, masih boleh dimaafkan kerana ada lagi jawatan Menteri dan Timbalan Menteri yang masih belum diisi oleh Pak Lah, termasuklah Timbalan Menteri Pelajaran.

4) Wan Farid sendiri bersetuju kalau dia dicalonkan. Maknanya beliau bertanggungjawab sebagai Ketua Bahagian untuk memikul tanggungjawab sebagai calon (sebagai Ahli Parlimen belum pasti lagi).

5) Cadangan daripada UMNO Bahagian hanya namanya (Wan Farid) seorang. Wan Farid adalah calon tunggal cadangan bahagian. Tiada nama pilihan yang dikatakan telah diserah dalam sampul surat putih kepada UMNO Perhubungan.

6) Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian berkenaan, UMNO bahagian telah sebulat suara seia sekata dalam hal memilih dan mencadangkan calon iaitu tetap dengan pendirian hendakkan Ketua Bahagian sebagai calon.

7) Kedudukan Wan Farid kalau pun dicalonkan hanya bernisbah 50:50 dan akan menjadi 55:45 dengan kerja kuat dan sokongan padu UMNO bahagian. Inikan pula kalau calon lain. Tambahan kalaulah calon yang dicadangkan itu menyebabkan ‘tergurisnya perasaan’ UMNO bahagian. Mungkin situasi begini yang dimaksudkan oleh Najib sebagai 'nak menang tapi macam tak nak menang' itu.

Yang pro mengatakan bukan Wan Farid calonnya :

1) Kata Najib ‘kita tak akan merebus telur yang sudah direbus’ boleh disifatkan sebagai kenyataan peribadi yang sama seperti kenyataan peribadi Nik Aziz yang hendakkan Mat Sabu bertanding di Kuala Terengganu. Najib hanya berkata untuk menyedapkan ayat dalam ucapannya, tetapi belum tentu Pak Lah setuju dan mengiakan kata yang sama. Pak Lah masih berkuasa. Pun begitu, tidak juga semestinya Mat Said akan terima. Sejarah telah membuktikan banyak cakap Pak Lah di’hissss’kan saja oleh Mat Said.

2) Wan Farid disambung Senatornya kerana Terengganu akan rugi satu jawatan Timbalan Menteri ‘pilihan PM’ kalau Wan Farid tidak menang. Kalau Wan Farid dipilih jadi calon walaupun beliau telah disambung Senatornya, kemudian beliau meletakkan jawatan kerana hendak bertanding dan ditakdirkan beliau tidak menang, beliau sudah tidak boleh dilantik semula ke jawatan Senator. Rugi dan kesihanlah kepada Wan Farid, akan hilang kedua-duanya.

3) Mat Said hendak mengukuhkan kedudukan politiknya – terbaru perlantikan Hajah Fatimah Hamat sebagai Senator menggantikan Nordiana merupakan proses berterusan membina empayar. Hajah Fatimah adalah Ketua Wanita UMNO bahagian Hulu Terengganu dan orang harapan Ketua Bahagian, Ku Tera yang mendokong kuat Mat Said.

4) Mat Said tidak yakin Wan Farid akan menang dalam PRK kali ini kerana mungkin maklumat yang telah disampaikan kepada Mat Said, Wan Farid ini hanya popular di kalangan orang-orang UMNO sahaja.

5) Mat Said boleh memberikan alasan yang kuat kalau sekiranya calon yang dicadangkan tetapi tidak dipersetujui oleh beliau tidak menang.

6) Mat Said sedang beransur-ansur mengurangkan pengaruh Idris Jusoh dalam UMNO Terengganu.

7) Kekalahan (dalam bahasa yang lebih lembut disebut ‘tidak menang’) kerusi Parlimen Kuala Terengganu ini tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan negeri & Menteri Besarnya, malah tidak juga menjejaskan BN dan Kerajaan Malaysia dari segi kuasa pemerintahannya.

8) Kalau Pak Lah boleh kata “saya masih lagi Presiden UMNO dan PM sekarang, saya masih berhak menentukan siapa yang saya hendak untuk bertanding di Kuala Terengganu”, Mat Said pun boleh berkeras berkata perkara yang sama.

9) Dalam kes PRK P44 Permatang Pauh Ogos lalu, calon yang dicadangkan oleh UMNO Bahagian juga tidak diendahkan oleh Pak Lah. Pak Lah tidak meletakkan ‘orang yang arif’ dengan kehendak pengundi tetapi meletakkan orang yang namanya ada Arif. Asal jadi dan ada ‘arif’ sahaja.

10) Mat Said hendakkan calon di kalangan kabilahnya.

Jadi siapa agak-agaknya :

1) Wan Farid – susah untuk meyakinkan UMNO Perhubungan walaupun disenangi oleh Pak Lah. Orang Mat Said pun tidak dan orang Idris pun tidak (pengakuan beliau sendiri).

2) Nordiana Shafie – ditamatkan perkhidmatan sebagai Senator kerana dikatakan tidak ‘perform’ dan kurang menyerlah. Kalah di DUN Batu Burok dalam PRU 12/2008 – masih dianggap orang Idris.

3) Che Mat Jusoh - sudah tiada apa-apa jawatan baik dalam kerajaan mahupun parti. Pernah kalah di DUN Batu Burok dalam PRU 11/2004. Masih dianggap orang Idris dan Mat Said sendiri belum pernah memperakui Che Mat Jusoh adalah 'orangnya'.

4) Mohd Sabri Alwi – seperti Wan Farid, ‘telur Mohd Sabri pun masih belum direbus’. Satu-satunya Ketua Pemuda negeri (setakat ini) yang tidak diberi peluang bertanding dalam pilihan raya. Tetapi sayangnya Mohd Sabri orang Idris.

5) Mohd Zuber Embong (Pelajaran) – kalah dalam pemilihan AJK Bahagian walaupun bekas Ketua Penerangan Bahagian. Pernah ditawarkan untuk bertanding di DUN Wakaf Mempelam pada PRU 11/2004 tetapi menolak kerana tidak yakin untuk menang. Masih dianggap orang Idris, walaupun sesetengah pemerhati politik mengatakan Mohd Zuber boleh 'mengikut arus' semasa. Peluangnya agak cerah kerana 'telurnya juga masih belum direbus', walaupun banyak 'kulit' telah dibuang.

6) Roslan Awang Chik – Bendahari UMNO Negeri dan AJK bahagian. Orang kanan Mat Said tetapi kurang disenangi dalam bahagian. Masih berjawatan Senator mewakili profesional. Akan rugi satu kerusi Senator mewakili profesional yang boleh diduduki oleh orang Terengganu kalau beliau dicalonkan.

7) Zubir Embong (Dato’) – Ketua Penerangan UMNO Terengganu, tidak terlibat dengan apa-apa pemilihan peringkat bahagian baru-baru ini. Berpengalaman sebagai ahli Parlimen Kuala Terengganu penggal 1986-1990 dan pernah menjadi calon DUN Batu Burok pada PRU 9/1995 (tetapi tidak menang). Orang kanan yang amat dipercayai dan Mat Said amat terhutang budi dengannya. Setakat ini masih belum nampak apa yang telah Mat Said ‘balas’ hasil kerja kuat dan ‘berbudi’ Zubir bagi menaikkan Mat Said. Mungkin juga P36 ini adalah tempat terbaik untuk Mat Said membalas budi Zubir.

8) Si Anu - orang luar ‘suku sakat’ yang tidak kena mengena dengan sesiapa, baik yang masih hidup mahupun yang telah mati.

Orang UMNO yang tidak setuju dengan Najib atau penyokong kuat Pak Lah dan Mat Said, boleh mengucapkan terima kasih kepada Pak Lah. Itulah hikmahnya bila Pak Lah tetapkan Perhimpunan Agung UMNO ditunda dari Disember 2008 ke Mac 2009. Pak Lah seperti sudah boleh membaca ‘insiden’ ini. Kalau Najib sudah menjadi Presiden bulan Disember ini, senarionya pasti akan berbeza.

Sabtu, Disember 13, 2008

YANG TIDAK PERNAH SELESAI

Secara peribadi saya yakin dan amat mengharapkan agar Wan Farid dipilih sebagai calon BN dalam PRK P36 Kuala Terengganu 17 Januari tahun depan.

Sebabnya banyak dan sebahagiannya telah pun saya tulis dalam blog ini. Kalau nak bercakap soal kelemahan dan kekurangan, tiada manusia yang sempurna sebenarnya, sedikit sebanyak mesti ada. Tetapi secara jujurnya, berdasarkan kepada beberapa situasi dan sebab-sebab semasa, Wan Farid ada ‘kelebihan’ tersendiri yang menyebabkan kenapa secara peribadi, saya yakin dan amat mengharapkan beliau dipilih sebagai calon.

Saya memulakan tulisan ini sebegitu bukan kerana saya taksub atau saya ada apa-apa kepentingan dengan Wan Farid. Bukan juga kerana ‘namanya’ yang akan diumumkan sebagai calon oleh TPM esok mungkinnya.

Sekali lagi saya ulangi, saya tidak ada apa-apa kepentingan dengan Wan Farid. Sesiapa sahaja yang dipilih pucuk pimpinan BN untuk menjadi calon, tidak ada kesan langsung mahupun tidak langsung kepada saya secara peribadi. Bukan juga tujuan untuk melobi yang bukan-bukan secara melampau. Tiada untung atau ruginya saya, kalau Wan Farid dipilih atau pun tidak.

Tetapi saya mengambil keputusan untuk memberi ‘respon peribadi’ memandangkan dalam masa sehari dua yang disifatkan ‘masa untuk menentukan hidup mati UMNO' di Kuala Terengganu dan Terengganu khasnya dan Malaysia umumnya ini, banyak orang sudah menganalisa Wan Farid ‘hampir pasti’ tidak dicalonkan.

Paling mendukacitakan timbul percanggahan kenyataan daripada sumber dalaman UMNO bahagian sendiri. Tambah memburukkan keadaan ada pula kenyataan di kalangan orang UMNO bahagian yang mempertikaikan kewibawaan dan sokongan akar umbi UMNO kepada Wan Farid sambil membayangkan Wan Farid sudah terpaksa mengharungi laluan sukar bagi meloloskan diri melepasi fasa pertama meletakkan dirinya sebagai calon.

Walau apa pun keputusan siapa calonnya, keputusan hanya setakat keputusan. Katalah itu keputusan pemimpin tertinggi beribu kali pun, kalau sikap dan sifat buruk yang masih kuat berakar, kesukaran berterusan akan menjadi halangan kepada kemenangan.

Bayangkan bagaimana pula keadaannya bagi melepasi beberapa fasa yang lebih mencabar di hadapan nantinya dan bayangkanlah kalau benar bukan Wan Farid sebagai calon. Apa pula yang dapat kita bayangkan akan dijaja oleh orang yang tidak setuju dengan calon itu? Bagaimana kesudahannya episod yang tidak pernah selesai ini. Jawabnya, kehancuran dan Pas akan menang dan Pakatan Rakyat berjaya menambah satu lagi kerusi di Parlimen.

Inilah masalahnya sebahagian orang UMNO. Masih gagal untuk memisahkan soal peribadi dan kepentingan parti walaupun sudah 51 tahun UMNO menjadi tulang belakang kerajaan Malaysia.

YANG RASIONAL & YANG BERPERASAAN

Saya tertarik dengan komen yang ditulis oleh dua orang tamu yang telah mengakses blog Memo Belakang kepunyaan kawan saya Editor Watan, Zabidi Saidi. Zabidi menulis berhubung dengan calon PRK P36 Kuala Terengganu, dengan menonjolkan nama Dato’ Haji Che Mat Jusoh, bekas Speaker DUN Terengganu (2004-2008) dan juga bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu bukannya Senator Dato’ Wan Ahmad Farid yang disebut sebagai calon popular dan hampir pasti.

Sehingga saat ini, ada tujuh komen di situ. Cuma saya agak tertarik dengan dua komen daripada ‘Tanpa Nama’ dan ‘matkerakjunior’. Komen-komen mereka berbunyi begini :

Komen ‘Tanpa Nama’ :

bos, yang kalah tak semestinya tak main duit. janganlah bos nampak sgt kebodohan dlm analisa politik. semua main duitlah bos. lagi satu, datuk che mat mana layak. sumber bos tak boleh pakai. tak heboh langsung nama datuk che mat. majoriti di KT ialah pengundi muda. kalau letak datuk che mat yang tak pernah menang pilihan raya dan kalah pula dalam pemilihan bahagian, maka hancurlah dan hilanglah kerusi parlimen KT. fikirkanlah bos.

Komen ‘matkerakjunior’ :

pandangan nobisha amat tepat. tapi 'tanpa nama' terlalu emosional. tulisan ini hanya pandangan bukan keputusan. berfikirlah dengan waras dan matang. siapa zabidi saidi (penulis blog ini) yg boleh menentukan siapa layak siapa tak layak jadi calon. ini pandangan peribadi beliau, kenapa kita nak pertikaikan. zabidi hanya melontarkan idea dan pandangan sebagai seorang penulis/blogger. sebenarnya kita yang bodoh, bukan org yg menulis tu bodoh. kalau rasa cerdik sangat, buatlah analisa dan tulis sendiri, buka blog sendiri dan jangan baca blog / tulisan org lain, 'tanpa nama' terlalu taksud sangat dengan seseorang sbb itu semua org lain bodoh, dia saja yang betul.

Saya tertarik kerana dua komen berkenaan ada kontrasnya. Berbanding ‘matkerakjunior’, saya kira ‘Tanpa Nama’ tergolong di dalam kategori orang yang tidak cerdik dengan apa itu blog dan siapa itu blogger, selain beliau tidak bersikap profesional dengan bersikap dayus (menyembunyikan identiti), juga tidak tahu menilai yang mana blog dan blogger upahan, yang mana blog dan blogger memihak serta yang mana blog dan blogger bebas.

Orang-orang seperti ‘Tanpa Nama’ ini banyak saya temui komen mereka dalam blog-blog yang sempat saya kunjungi, malahan blog saya juga menerima komen yang hampir senada dengan komen di atas. Saya rumuskan ‘Tanpa Nama’ yang meninggalkan komen pada blog Memo Belakang dan ‘Tanpa Nama’ yang mengirimkan komen dalam blog saya adalah orang yang sama dan orang UMNO, kerana kebetulan komen yang saya terima juga berdasarkan tulisan berkaitan dengan ‘kemungkinan’ bukan Wan Farid sebagai calon BN dalam PRK Kuala Terengganu. (YANG SENSASI & TERKINI : BUKAN WAN FARID?)

Kerana menulis dan menonjolkan nama orang lain selain Wan Farid, ‘Tanpa Nama’ yang pada saya amat taksub dengan Wan Farid telah menunjukkan sikap kebudak-budakan dan emosional yang membuta tuli.

Saya tidak marah, malah tidak terasa apa-apa pun. Tidak ada rasa tersinggung dan tidak pula berasa hati atau apa-apa perasaan buruk yang lain. Cuma kadang-kadang kita kena rasional dalam membuat penilaian, sebab itu saya menulis artikel ini walaupun saya tahu banyak orang sudah tahu dan mengalami perkara yang sama. Bukan maksud saya untuk mengajar, jauh sekali untuk menjatuhkan aib dan maruah seseorang.

Maaf kalau saya mengambil contoh begini : Saya mengakses dan menjelajah ke banyak web/blog luar dan dalam negara, termasuk yang pro-PAS/Pakatan @ pembangkang. Dan selesai saya membaca satu-satu artikel yang dipaparkan, saya tidak pernah lupa untuk menjenguk (jika ada) ke ruangan komen di bawahnya. Saya akan terus membaca komen-komen yang telah disederhanakan oleh pemilik blog walaupun jumlahnya mencecah ke angka ratusan komen (seperti komen yang diterima oleh blog Dr Mahathir setiap kali beliau menulis). Sengaja untuk saya mendapat lebih banyak maklumat, pengetahuan sekali gus ‘membaca’ isi hati dan perasaan orang lain. Kerana saya yakin, sudah tentu di dalamnya ada pro dan kontra dengan apa yang ditulis oleh penulis. Dan dari situlah kita dapat percambahan idea.

Namun inilah bezanya pemikiran yang dapat ditemui daripada mereka yang pro-UMNO dengan mereka yang pro-PAS/Pakatan. Bukan maksud saya, saya menyokong, bersetuju atau menyebelahi sesiapa.

Tetapi yang nyata perbezaannya amat ketara. Saya ambil contoh berhubung dengan banyak web/laman blog yang menyiarkan tulisan yang berkaitan dengan PRK Kuala Terengganu sendiri. Kalau kita membaca komen-komen daripada pengunjung yang meninggalkan komen, masya-Allah, kutukannya kepada orang-orang UMNO amat dahsyat. Sesetengah komen tidak tergamak untuk membacanya. Demikian juga dengan sokongan dan keyakinan mereka. Pendek kata, seperti sudah pasti Kuala Terengganu menjadi hak mereka. UMNO sudah boleh balik awal dan kalau boleh dijadikan ayatnya - ‘baik UMNO usah bertanding kerana walau sesiapa pun calonnya, belum zohor lagi sudah kalah’.

Begitulah taksubnya penyokong/orang-orang pro-PAS/Pakatan ini kepada parti dan perjuangan mereka. Sebelum ini pun ketaksuban mereka sudah begitu, walaupun dalam masa yang sama, mereka amat sedar (dalam kiraan saya) di mana mereka menang dan di mana mereka kalah. Siapa memerintah negeri dan negara. Setakat mana kekuatan mereka di sini dan di sana.

Tetapi mereka tetap taksub dengan parti dan perjuangan mereka. Apa sekali pun istilah dan nawaitu yang mereka bawa dan terapkan, mereka tetap memberikan sokongan. Bezanya, mereka tidak memaki hamun blogger yang menulis artikel. Mereka tidak menulis kata-kata kesat yang membodohkan blogger seperti ‘Tanpa Nama’ yang membodohkan blogger. Inilah bezanya taksub kepada individu dengan taksub kepada perjuangan dan parti. Inilah bezanya mereka yang faham dan yang tidak faham apa itu blog dan blogger, apa itu penulis dan tulisan. Yang nyata ‘Tanpa Nama’ sengaja melodeh dan mendedahkan kelemahan diri dan dalaman UMNO kepada umum.

Dalam kes calon misalnya, bukan tidak ada pembaca yang pro-PAS/Pakatan yang taksub kepada Mat Sabu, banyak dan mengikut pungutan suara bebas daripada beberapa blog, rata-rata hendakkan Mat Sabu jadi calon di Kuala Terengganu. Tetapi mereka tidak melenting pun kalau bukan nama Mat Sabu diketengahkan sebagai calon PAS oleh blogger/penulis. Mereka tidak pun menuduh penulis/blogger sebagai bodoh, membuat analisis bodoh, melalut, merapu dan sebagainya kerana menonjolkan orang lain selain Mat Sabu.

Adalah tidak adil terutamanya kepada blogger atau penulis yang menulis ditohmahkan dengan sebegitu rupa tanpa kita memahami sepenuhnya maksud tulisan dan sumbernya. Kadang-kadang ada banyak tohmohan yang tidak berasas dilabelkan kepada blogger/penulis. Sebabnya mungkin mereka yang membuat tohmohan, cacian dan makian itu menganggap kebanyakan blogger/penulis itu menulis kerana dia memihak kepada orang-orang tertentu atau ada kepentingan tertentu. Blogger/penulis upahanlah mudah istilahnya.

Bagi saya, banyak yang saya tulis berdasarkan daripada banyak sumber, terutamanya pandangan, keluhan, cadangan mahupun luahan terbuka. Kemudian saya mengaplikasikannya semula dalam bentuk tulisan berdasarkan persepsi dan analisa saya, barulah dipaparkan untuk tatapan. Bermakna sebahagian tulisan-tulisan itu sudah tentu adalah berdasarkan pandangan, cadangan atau rasa tidak puas hati banyak orang.

Namun saya tidak menafikan, ada juga tulisan yang saya tulis berdasarkan persepsi peribadi. Tulisan jenis ini misalnya kebanyakannya memang ada hubungan langsung dengan saya atau pandangan saya sebagai penulis/blogger dalam konteks apa yang disentuh berasaskan pengetahuan dan kutipan dapatan yang saya tahu.

Yang pastinya, saya tidak pernah memaksa atau melarang sesiapa untuk membuka, melayari dan membaca laman blog saya. Kalau dirasakan pandangan yang saya catatkan tidak sesuai dan mengganggu ketaksuban dan menjolok rasa sehingga pembaca bersikap emosional dan kurang waras, pada saya, lebih baik mereka jangan membuka blog saya. Itu lebih selamat daripada kita memendam rasa amarah yang teramatnya hanya kerana tulisan kemudian kita menjadi hilang kewarasan akal dan tidak stabil pertimbangan tindakan. (Saya rasa para blogger lain pun berpandangan sama dengan saya dalam hal ini).

Jadilah kita manusia yang rasional, terbuka dan matang dalam menilai, membuat pilihan dan pertimbangan. Saya berpendapat semua blogger/penulis amat sedar siapa mereka. Mereka bukanlah orang yang boleh menentukan keputusan atau menghukum seseorang. Tulisan mereka hanyalah tulisan dan antaranya saya percaya adalah untuk memaklumkan sesuatu kerana mereka sayang kepada seseorang atau sesuatu. Sama ada pandangan atau tulisan mereka itu diterima atau sebaliknya, itu terpulang kepada kebijaksanaan mereka yang hak dan berkaitan. Mereka (para blogger) tidak pernah, tidak wajar dan tidak layak pun untuk memastikan agar sesuatu yang ditulis itu mesti dipatuhi, diikuti, diterima atau ditolak dan dilayan.

Saya tak pasti ‘matkerakjunior’ pro-PAS/Pakatan atau pro-UMNO. Apa-apa pun, terima kasih atas kefahaman saudara tentang blog dan blogger atau penulis dan tulisan. Kata orang, saudara ‘ada baca’. Sekurang-kurangnya saudara berusaha untuk mengangkat semula seluar ‘Tanpa Nama’ yang dah terlodeh sakan itu. Kalau anda orang pro-UMNO, anda berfikiran di luar kotak ketaksuban yang melampau dan anda antara orang UMNO yang berfikiran terbuka tanpa prejudis dan di luar kebiasaan. Syabas dan tahniah.

‘matkerakjunior’ adalah ikon yang rasional dan tidak berperasaan.

(p/s : baca cerita yang hampir sama di
http://cuitsikit.blogspot.com/2008/12/yang-bermula-pasti-berakhir.html). Kesimpulannya : Begitulah sikap sesetengah orang UMNO!!!

Jumaat, Disember 12, 2008

YANG GATAL MULUT & YANG SEBENAR (5)

Yang gatal mulut :

Jawatankuasa penyelaras Umno bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan Ladang sebulat suara menyokong Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Kuala Terengganu.

Yang sebenar :

Laluan Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk menjadi calon PRK Kuala Terengganu menemui jalan sukar kerana beliau tidak mendapat sokongan penuh ahli-ahli jawatankuasa (AJK) bahagian berkenaan.

"Beliau hanya boleh mengawal empat atau lima AJK sahaja (daripada 25 anggota), manakala yang lain tidak mendengar cakapnya dan beberapa kumpulan penyokong Umno dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok dan Wakaf Mempelam tidak menyokong Wan Ahmad Farid sebagai calon.

JAM : Pengundi pening main macam nin bos….

YANG GATAL MULUT & YANG SEBENAR (4)

Yang gatal mulut :

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, nama calon BN telah diputuskan pada mesyuarat khas tertutup anggota jawatankuasa UMNO bahagian itu malam semalam yang turut dihadiri pemimpin semua sayap parti Pemuda, Wanita dan Puteri.

"...ikut perlembagaan parti, bahagian diminta cadangkan nama calon kepada perhubungan dan bahagian telah buat ketetapan. Ketetapan itu akan saya panjangkan kepada perhubungan untuk buat pertimbangan secepat mungkin," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan senarai nama calon dan jumlah individu yang dikemukakan.

Yang sebenar :

Umno bahagian Kuala Terengganu menyerahkan kepada badan perhubungan negeri untuk menentukan calon Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil parlimen tersebut. Mesyuarat malam tadi hanya membincangkan mengenai persiapan jentera pilihan raya parti peringkat bahagian bagi menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

Kita langsung tidak membincangkan isu calon kerana mahu menyerahkannya kepada badan perhubungan Umno negeri”.

Ahli jawatankuasa Umno Kuala Terengganu, Sulaiman Ali berkata keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat khas Umno bahagian malam tadi. Tambahnya, ketua bahagian itu Senator Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata Kuala Terengganu enggan mendahului keputusan badan perhubungan yang diketuai oleh Dato' Ahmad Said. Seorang lagi AJK bahagian Asmadi Awang ketika dihubungi mengesahkan isu calon tidak dibincangkan dalam mesyuarat khas tersebut.

JAM : Aik!!! ada main silap mata juga ke?

Rabu, Disember 10, 2008

YANG SENSASI & TERKINI : BUKAN MAT SABU?

Bukan Mat Sabulah calon PAS PRK Kuala Terengganu. Tapi dia ni. Hiss…Belum tentu. Keputusan belum dibuat, yang nin cuma cadangan. Kalau ya pun, sabar jelah tunggu pengumuman.

~~~~~~~~~~~

Prof Dr Mohd Khazani Abdullah – Chief Technology Officer.

Mohamad Khazani Abdullah was born in Terenganu, Malaysia, in 1968. He obtained his B.Sc. and M.Sc. degrees in Electrical Engineering from University of Missouri at Rolla, USA, in 1990 and 1993, respectively, and a Ph.D. degree in Physics from University Malaya, in 1999. He was awarded the Malaysian National Young Scientist award for the year 2001 for his various contributions in the field of optical fiber communications. He has won several medals at various international expositions including Best Design in the Asia Pacific Region at INPEX-Pittsburgh, 2004 and Special Award at Eureka, Brussels 2005. He has successfully filed 11 patents for his inventions and scientific works.

Professor Khazani Abdullah, a member of IEEE LEOS-Malaysian Chapter, was the Deputy Dean of Graduate School, and Head of the Photonics and Fiber Optic Systems Laboratory, Universiti Putra Malaysia (UPM) until April 2008. Currently, he is the Director and Chief Technology Officer at Significant Technologies Sdn Bhd, a company specializing in fiber optic products and services (www.sigtech.com.my). He also currently serves as an Adjunct Professor at the Electronics and Communications Engineering Dept., Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

His research interest includes fiber optics devices, non-linear optics, DWDM, OSCDMA systems and digital communications techniques. His research finding on Optical Amplifiers was reported in Photonics Spectra, a leading scientific magazine in the field of photonics. His latest research focus is on a novel multiplexing technique known as Duty Cycle Division Multiplexing (DCDM). Dr. Khazani is currently serving as a reviewer for various international publications including top-ten journals in photonics/optics. He has published 64 articles in Citation-Indexed journals and 168 in other journals/conferences. He also has the experience in commercializing various RnD products into local and oversea markets, and has spun off 5 start-up companies. Recently he has obtained the Trade Mark for his new knowledge-based invention known as K-ChartTM, an effective tool for research project planning and management. In graduate thesis supervision he has produced 25 Masters and 10 PhD holders, some with the assistance of K-Chart™.

Untuk cerita selanjutnya, baca :
http://greenboc.blogspot.com/2008/12/siapa-calon-pas-dalam-prk-p36-kuala.html

YANG SENSASI & TERKINI : BUKAN WAN FARID?

Petang tadi secara kebetulan saya dihubungi oleh tiga orang teman wartawan dari Kuala Lumpur. Dua orang daripada media pro-UMNO dan seorang lagi daripada media yang pro-Pakatan Rakyat. Tapi topik pertanyaannya sama – siapa calon sebenar BN dalam PRK Kuala Terengganu.

Saya menjawab dengan soalan – siapa yang ‘diharapkan’ banyak orang terutamanya cakap-cakap di Kuala Lumpur? Ketiga-tiga teman saya menjawab dengan jawapan yang juga sama – mendahului senarai ialah Wan Farid, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.

"Ada lagi ke nama lain selain Wan Farid?" Tanya saya. Secara kebetulan juga ketiga-tiga teman saya menjawab dengan jawapan yang sama – “ada, tapi nama tidak pasti” dan sebab itu mereka hubungi saya untuk bertanya (kalau-kalau saya tahu?) siapa calon lain yang diuar-uarkan selain Wan Farid.

Sembang-sembang kami akhirnya dapat dirumuskan sebagaimana berikut :

Yang seronoknya bukan soal Wan Farid. Tapi bagaimana tersebarnya berita dan cekapnya mereka menangkap khabar. Sama ada khabar angin ke, khabar asap ke, itu tak penting, yang penting masih ada orang yang bercakap, bukan Wan Farid.

Menariknya juga, yang lebih berkeyakinan menyebut perkara ini (bukan Wan Farid pilihan utama) ialah salah seorang teman daripada media pro-UMNO. Kalau teman daripada media pro-Pakatan tu, bolehlah dikatakan cuba memprovokasi untuk melaga-lagakan orang-orang UMNO atau untuk ‘memudahkan’ kerja PAS. Kalau yang dah pro-UMNO, apa pula muslihatnya atau apa isyaratnya dan dari mana sumbernya atau siapa mengarahkan supaya digembar-gemburkan cerita ini. Susah juga nak fikirkan.

Bagaimana cerita ini terkeluar, saya sendiri dan teman-teman saya tadi pun tak pasti. Namun yang pasti, di tengah-tengah riuh rendahnya suara-suara peramal politik tanah air sama ada tempatan mahupun di luar Terengganu bercakap dan memberi pandangan sehingga seantero dunia tahu bahawa Wan Farid adalah calon BN ‘hampir pasti’, paling sesuai dan mempunyai potensi besar untuk menang di PRK Kuala Terengganu, rupa-rupanya masih terselit nama lain yang ‘mendahului’ Wan Farid.

Bukan menjadi sesuatu yang pelik, malahan sudah menjadi kebiasaan, beberapa nama akan diangkat untuk pertimbangan dan disenaraipendekkan oleh pucuk pimpinan parti bagi pemilihan siapa calon terbaik. Tetapi yang agak sensasinya, Wan Farid sudah menjadi calon bukan pilihan. Maknanya dah berada pada ranking ketiga atau keempat. Namanya kalau pun diangkat, hanya untuk mencukupkan syarat.

Lebih menarik dan sensasi, kata teman saya itu lagi, pucuk pimpinan UMNO/BN (tak pasti sama ada pusat atau negeri) berhasrat meletakkan calon lain berasaskan faktor-faktor tertentu. Antaranya nak merealisasikan kata-kata yang sering kali diungkapkan banyak pemimpin (terutama semasa musim pemilihan UMNO Bahagian) bahawa Ketua Bahagian tidak semestinya menjadi calon pilihan raya. Kata-kata itulah yang selalu disebut bagi mengelakkan berlakunya pertandingan atau pertembungan peringkat atasan.

Sama ada berebut atau tidak, ada pertandingan atau tidak semasa pemilihan, jawatan Ketua Bahagian bukan tiket untuk dicalonkan menjadi calon pilihan raya termasuklah PRK. Hal ini sudah dibuktikan oleh pucuk pimpinan BN semasa meletakkan calon semasa PRU, terbaru dalam PRK Permatang Pauh. Dalam PRU 12/2008 misalnya, ramai Ketua Bahagian tidak dicalonkan (di Terengganu ada 4 orang termasuk Wan Farid) dan dalam kes Permatang Pauh, cadangan bahagian untuk meletakkan Ketua Bahagian tidak diendahkan oleh pucuk pimpinan. Cakap dan kehendak bahagian bukan muktamad.

Faktor kedua katanya, pucuk pimpinan ingin ‘menguji’ semangat sebenar anggota UMNO selepas pemilihan baru-baru ini, sama ada mereka boleh bersatu atau tidak. Sama ada cakap serupa bikin atau tidak. Sama ada benar atau tidak ungkapan UMNO pasti menang dalam pilihan raya walaupun kami bertingkah pendapat bersilih pandangan bersilang sokongan pada setiap kali pemilihan dalaman.

Tegas teman saya lagi, ujian ini akan menjadi ukuran sebenar kesetiaan ahli UMNO terhadap partinya bukan kesetiaan kepada ‘siapa’ yang menjadi calon. Maksudnya bukan ‘Wan Farid adalah calon BN’ tetapi ‘UMNO adalah calon BN’. Dan nantinya UMNO akan dapat buktikan bahawa bukan PAS atau Pakatan sahaja yang boleh bercakap berhubung dengan kesetiaan ahlinya kepada parti, tetapi UMNO juga berhak.

Ketiga, Pak Lah sebelum berundur daripada menjadi Presiden UMNO Mac tahun depan memang berhasrat benar untuk ‘membersihkan’ namanya daripada dikaitkan dengan memberi peluang kepada kroni-kroni dan orang-orang yang rapat dengannya dan dengan anak menantunya. Kalau benar itu yang disebutkan, hampir pasti, Wan Farid bukanlah calonnya.

Keempat – menjadi alasan yang kukuh untuk menguji kepimpinan dan kekuatan Mat Said yang pernah berkata bahawa beliau adalah MB pilihan istana bukan pilihan Pak Lah, sambil dapat mengukur sejauh mana kesetiaan sebenar ahli UMNO Terengganu (khususnya Kuala Terengganu) kepada Mat Said dalam menghadapi PRK ini. Kerana Wan Farid ‘kurang jelas’ daripada kem mana, maka kalau diletakkan Wan Farid, dianggap akan meringankan tugas Mat Said serta bukan ujian sebenar kepada Mat Said.

Kelima, Wan Farid baru sepenggal menjadi Senator dan masih boleh disambung perkhidmatannya untuk penggal kedua bagi membolehkan dia terus menjadi Timbalan Menteri.

Faktor-faktor lain yang disebutkan teman saya itu dan siapa sebenarnya yang menjadi calon pilihan utama selepas Wan Farid sekarang, bagi saya sudah menjadi kurang penting.

Itu kata teman saya, bukan kata saya atau kata pemimpin UMNO/BN. Kita tengoklah siapa yang kena.

Isnin, Disember 08, 2008

YANG DIJANJI : UNTUNG BERGANDA (edisi rahsia)

Kali ini khabarnya Mat Said berjanji lagi. Katanya ada hitam putih, tapi puas diselongkar tak berjumpa dengan janji yang dikatakan ada hitam putih tu. Dirisik-risik dengan kekawan, katanya memang ada dan janji ini sudah ramai yang tahu dan dengar.

Janji jangan sebarang janji. Kadang-kadang janji akan merugikan kita yang berjanji, walaupun kata orang lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji. Janji berbeza dengan dendam. Berbeza juga apabila janji sekadar tinggal janji saja. Itu janji politik namanya.

Ceritanya : Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama, Sidang Dewan Undangan Negeri Kedua Belas yang turut membentangkan bajet 2009 akan diadakan pada 14 hingga 18 Disember ini. Selang hanya kurang lebih sebulan sebelum berlangsungnya ‘perang’ PAS – BN dalam PRK Kuala Terengganu.

Dalam bajet yang bakal dibentangkan, dikatakan kononnya untuk mengambil hati dan sokongan orang-orang tertentu, Mat Said khabarnya akan mengumumkan sesuatu yang menguntungkan pihak lawan bagi perkara yang berkaitan dengan wang ihsan @ Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP).

Kalau ini benar-benar terjadi, dua implikasi besar akan berlaku. Pertama yang melibatkan ahli-ahli Yang Berhormat kerajaan dan kedua akan melibatkan ‘isu’ untuk PRK serta iklim politik masa depan.

Untuk sementara ini, biarlah tidak diceritakan apa implikasi yang melibatkan ahli-ahli Yang Berhormat kerajaan. Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Cuma yang ingin saya sebutkan ialah melibatkan PRK Kuala Terengganu dan situasi politik seterusnya.

Katakanlah janji yang disebut itu benar-benar diungkapkan oleh Mat Said. Maka akan dijajalah perihal itu sepanjang kempen PRK nanti dan seterusnya seterusnya seterusnya.

Mungkin ungkapannya “jangan takut untuk memberi undi kepada kami kerana Kuala Terengganu ini bertaraf bandaraya dan ibu negeri lagi. Mahu tidak mahu pembangunan tetap diteruskan, sama seperti bandar-bandar besar dan ibu negeri lain yang sejak sekian lama, pengundinya sudah memberi undi kepada pembangkang.

Pembangunan tetap berjalan, tak kan ibu negeri nak dianaktirikan semata-mata kawasannya diwakili pembangkang! Yang lagi penting, sekarang bukan sahaja rakyat tanpa mengira parti atau menyokong mana-mana pihak sahaja yang sudah disamaratakan, malah kami ahli-ahli Yang Berhormat juga sudah merasainya. Kalau orang UMNO dapat 20 sen, kita pun akan dapat 20 sen atau paling tidak pun 15 sen. Maknanya ada bahagian jugaklah, walaupun kurang”.

Kita kena ingat, dalam situasi sekarang, masing-masing tentera yang bersiap sedia untuk berperang sedang mengumpul seberapa banyak peluru untuk menembak musuh. Dan yang pasti dalam peperangan, siapa yang punyai ‘peluru’ lebih, mereka akan mempunyai kelebihan, kecuali dalam perang olok-olok.

Kita juga masih kuat ingatan betapa ‘benarnya’ apa yang dilakukan oleh Dr M dengan wang ihsan @ DKKP. Walaupun sumpahan dan marahnya sesetengah orang dengan cara Dr M bertindak, kesannya tetap memihak kepada BN. Itulah sebenarnya ‘politik’ untuk servival politik.

Harapnya, khabar itu bukan sesuatu yang betul dan janji itu hanya janji politik.

YANG GATAL MULUT & YANG SEBENAR (3)

Yang gatal mulut :

Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan dipilih daripada kalangan pemimpin parti kawasan itu dan bukannya calon 'payung terjun' supaya tidak akan timbul tentangan daripada ahli-ahli. Calon berkenaan akan dipilih berdasarkan beberapa kriteria lain termasuk mempunyai pendidikan yang baik, berkebolehan untuk berkhidmat, berwawasan dan mempunyai akhlak yang baik. (Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ (Dr Jepun) Rosli Mat Hassan).

Yang sebenar :

Badan Perhubungan UMNO Terengganu masih belum memikirkan soal calon yang akan diketengahkan bagi menggalas cabaran Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari tahun depan. Perkara itu turut tidak disentuh dalam pertemuan pemimpin empat peringkat UMNO Bahagian Kuala Terengganu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Ahmad Said).

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO tu bincang dengan siapa? Tak habis-habis ‘kuat lajak daripada laju’.

JAM : Bos tetap bos.

Ahad, Disember 07, 2008

YANG DIINGKARI : TANAH RUNTUH & PRK (Satu Renungan)

(I)

Kita dikejutkan sekali lagi dengan ujian Tuhan di awal pagi Sabtu, 6 Disember 2008 dengan berulangnya kejadian tanah runtuh yang turut memakan korban manusia, hanya dua hari selepas kejadian yang hampir sama berlaku di Jalan Semantan yang alhamdulillah hanya memakan korban harta.

Takziah kepada keluarga mangsa tragedi Bukit Antarabangsa.

15 tahun yang lalu, kita digemparkan dengan tragedi dahsyat Highland Towers, Bukit Antarabangsa yang mengorbankan 48 nyawa dan lokasi kejadian terletak hanya kira-kira 1.5 km sahaja dari kawasan kejadian awal pagi Sabtu itu. Sekali lagi, semua kejadian itu adalah kehendak Tuhan. Tuhan sudah tetapkan dari azali ketentuannya.

Walaupun demikian, Tuhan tetap menuntut umat-Nya berusaha dan bertawakal tanpa menyerahkan kepada takdir semata-mata. Setelah berusaha dan bertawakal dan masih berlaku, itu adalah kelemahan dan kekurangan manusia di sisi Tuhan. Itu jugalah dinamakan sebab dan akibat, qada’ dan qadar Tuhan.

Segalanya itu juga ada kaitannya dengan ingkar dan tidak berusaha serta bertawakalnya banyak orang seperti perlunya mematuhi undang-undang dan larangan yang telah disuarakan oleh mereka yang pakar dan tahu dalam bidang masing-masing dan kemudiannya tidak berusahanya pihak berwajib untuk memantau pembinaan di cerun-cerun bukit atau mungkin juga kerana kedegilan manusia walaupun mereka telah berkali-kali disedarkan.

Akibatnya ‘sudah terantuk baru tergadah’. Sedangkan sebenarnya kita ingkar atau menulikan teliga dengan dapatan dan nasihat atau luahan daripada mereka yang arif.

Contohnya selepas kejadian Highland Towers dulu, seorang ahli geologi daripada Jabatan Geologi Universiti Malaya pernah mencadangkan agar sebarang pembinaan di cerun / lereng bukit hendaklah dibenarkan selepas mengambil kira faktor geologi terutamanya dengan mengambilkira keadaan cuaca di negara tropika seperti Malaysia yang boleh menyebabkan asas bangunan menjadi kurang stabil selepas sesuatu tempoh.

Tidak diketahui sejauh mana pandangan itu diambil kira dalam konteks berusaha dan bertawakal menyelamatkan nyawa manusia dan harta benda pencarian dunia, sehingga hari ini sekali lagi Perdana Menteri dan Timbalannya mengarahkan supaya menghentikan segera projek pembinaan cerun bagi mengelakkan kejadian cerun runtuh berulang lagi, sama dan sebiji arahannya seperti yang pernah diarahkan oleh Dr. Mahathir sewaktu beliau menjadi PM dulu.

Mungkin tiada siapa yang menyangka, Bukit Antarabangsa yang begitu gah dan elit juga boleh runtuh dengan kehendak Tuhan. Yang pasti akibat kelalaian, keingkaran, ketidakpedulian dan keambilmudahan kita kepada usaha dan tawakal, pandangan dan saranan sebegitulah, menyebabkan nyawa dan harta benda menjadi mangsa keruntuhan.

(II)

Dalam konteks pemimpin dan orang-orang politik kepartian, ambillah iktibar daripada apa yang berlaku untuk dijadikan pengajaran dalam kita menghadapi segala kemungkinan. Mendengar seribu kali untuk membuat satu keputusan tidak akan sama dengan membuat keputusan sekali baru mendengar seribu kali.

Kerana keputusan belum dibuat, mari kita kaitkan ‘sedikit’ perihal runtuhnya Bukit Antarabangsa ini dengan PRK P036 Kuala Terengganu yang juga sedang hangat diperkatakan sekarang. Memandangkan sekarang baru di peringkat teka meneka dan lobi melobi calon, maka kita ambil contoh tidak memperdulikan pandangan ini pada PRK Permatang Pauh yang baru berlalu.

Elaklah ‘keruntuhan teruk’ seperti dialami BN di sana, hanya sebabnya : BN memilih Datuk Arif Shah Omar Shah dan akibatnya BN ‘runtuh’, sedangkan ‘yang lebih arif dan berkenaan’ adalah UMNO Bahagian dan pengundi Permatang Pauh.

Parti mana atau sesiapa saja yang akan bertanding, fikir-fikirkanlah sebab dan akibat itu. Renung dan ambillah iktibar daripada peristiwa keruntuhan Bukit Antarabangsa yang mungkin boleh dielakkan tragedinya kalau kita mendengar pandangan daripada mereka yang arif dan berkenaan. Atau terimalah ‘keruntuhan’ selepas 17 Januari 2009 diikuti dengan keruntuhan yang lebih parah pada PRU13 nanti.

Pepatah Arab ada menyebut ‘seekor burung di dalam sangkar seribu kali lebih baik daripada seribu ekor burung yang terbang bebas di udara’.

Jumaat, Disember 05, 2008

YANG GATAL MULUT & YANG SEBENAR (2)

Yang gatal mulut :

(i) Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilihat sebagai calon berkelayakan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak lama lagi. (Ketua Pergerakan Puteri UMNO Terengganu, Senator Nordiana Shafie)

(ii) Jika BN meletakkan orang lain selain Wan Ahmad Farid, peluang BN menang adalah 50-50. (Setiausaha Umno bahagian Kuala Terengganu, Ibrahim Omar)

(iii) Jawatankuasa Penyelaras Umno bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan Ladang sebulat suara menyokong Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi Kuala Terengganu. (Batu Buruk diwakili oleh Timbalan Ketua Umno bahagian, Mohd Sabri Alwi manakala Ladang diwakili oleh Naib Ketua bahagian, Datuk Wan Hisham Wan Salleh)

Yang sebenar :

Umno tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan calon sesuai kerana ramai yang boleh diketengahkan. Bagaimanapun biarlah pucuk pimpinan yang menentukan calon untuk kerusi parlimen tersebut (Setiausaha kerja Umno negeri, Razali Bidin)

Ke semua mereka (i, ii, iii) adalah di kalangan yang pro-Wan Farid @ penganut Idrisme. Melobi ke? Mana orang-orang yang pro-Zubir Embong dan Roslan Awang Chik @ penganut Mat Saidisme?

JAM : nak lobi Tuk Mun calon BN.

YANG DIBAYANGKAN : PENSYARAH U_ _M CALON PAS?

Sayup-sayup terdengar cakap-cakap di kalangan geng-geng pemuda dalam PAS Terengganu bahawa mereka (Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu) akan menonjolkan seorang calon muda berusia lingkungan awal 40-an anak kelahiran Kuala Terengganu sebagai calon PAS dalam PRK P036 Kuala Terengganu.

Khabarnya calon berkenaan seorang pensyarah berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) berjawatan Profesor Madya di salah sebuah universiti tempatan (universiti tempatan tu di Selangor / Kuala Lumpur bukan di Kuala Terengganu) dan ‘calon bayangan’ ini khabarnya dah pun bersetuju untuk menjadi calon sekiranya dipilih.

Seorang juru cakap Dewan Pemuda PAS Negeri walaupun enggan mengesahkan cakap-cakap politik itu, bagaimanapun mengakui langkah mencalonkan anak tempatan sebagai calon baru kerusi Parlimen berkenaan akan memberikan kelebihan kepada PAS untuk memenangi hati pengundi Kuala Terengganu.

Beliau berkata, bagi ahli atau penyokong PAS, calon luar bukan menjadi faktor menolak tetapi dalam sesuatu pilihan raya, yang mengundi bukan ahli atau penyokong PAS sahaja tetapi turut melibatkan pengundi atas pagar atau pengundi tidak berparti yang akan melihat siapa calon yang dikehendaki mereka.

Mengikut ceritanya, penemuan hasil pasca laksana (post mortem) pilihan raya umum PRU 12/2008 lalu juga mendapati faktor bukan anak tempatan menjadi antara sebab mengapa PAS gagal menang di Parlimen Kuala Terengganu sedangkan PAS menguasai tiga daripada empat kerusi DUN di situ.

Kalau cakap-cakap politik ini menjadi kenyataan, PAS akan mempunyai seorang lagi ‘Dr Syed Azman’ yang ditonjolkan oleh PAS pada PRU 10/1999. Dr Syed Azman, anak kelahiran Kuala Terengganu ketika itu juga adalah seorang pensyarah, berjawatan Profesor Madya dan berkelulusan PhD.

Khamis, Disember 04, 2008

YANG GATAL MULUT & YANG SEBENAR (1)

Yang gatal mulut :

"Pengundi Kuala Terengganu ini lain sedikit, mereka hendak orang yang ada jawatan dalam bahagian," (Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh)

Yang sebenar :

Sejarah pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu :

PRU 1990 – Zubir Embong (UMNO/BN) vs Manan Othman (S46).
Zubir kalah (jawatan semasa : Ketua Pemuda UMNO bahagian).

PRU 1999 – Abu Bakar Daud (UMNO/BN) vs Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS). Abu Bakar Daud kalah (jawatan semasa : Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu).

PRU 2004 – Razali Ismail (UMNO/BN) vs Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS). Razali Ismail menang (tidak ada apa-apa jawatan dalam UMNO Bahagian waima dalam UMNO cawangan sekali pun ditambah bukan ahli UMNO dalam Bahagian Kuala Terengganu pun).

PRU 2008 – Razali Ismail (UMNO/BN) vs Mohamad Sabu (PAS) vs Maimun Yusof (Bebas). Razali Ismail menang. (AJK Bahagian yang dilantik dan mencipta sejarah sebagai Wakil Rakyat @ Yang Berhormat @ Ahli Parlimen pertama di Malaysia yang tidak dipilih @ kalah dalam pemilihan perwakilan Bahagian ke persidangan Agung UMNO Pusat).

JAM : Wan Farid … jangan takut dengan bayang-bayang.

YANG GATAL MULUT & YANG SEBENAR

‘Yang gatal mulut dan yang sebenar’ adalah siri pojok (?) yang akan memfokuskan kepada ‘cakap-cakap politik’ sempena pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu.

Siri ini mengajak pembaca menilai, memikirkan dan mentafsir sendiri apa sebenarnya yang tersirat di sebalik yang tersurat daripada ungkapan yang diluahkan oleh sesiapa saja yang berkaitan dengan PRK P36 ini.

Yang pasti, siri ini bukan untuk menyanggah hegemoni maklumat tetapi membuka gambaran minda pembaca kerana Jarang Anak Melayu (JAM) hanya akan memetik maklumat dan kemudian memberi gambaran sebenar di ‘tapak pesta’ terhadap maklumat yang diberi.

Demikianlah adanya. Wallahuaklam.

Rabu, Disember 03, 2008

YANG BERHAJAT & KEPINGIN MENJADI CALON (versi PAS)

“Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk meletakkan calon PAS bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa berkata, mesyuarat yang diadakan antara parti itu bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah berbincang dan menetapkan PAS akan terus bertanding untuk kawasan itu seperti pilihan raya umum sebelum ini”.

(Mulanya saya sudah mencatatkan beberapa perkara dalam perbincangan ini yang turut melibatkan PKR berikutan desas desus yang mengatakan PKR juga memohon ehsan PAS agar menyerahkan kerusi P036 Kuala Terengganu kepada PKR. Tetapi berikutan kenyataan Nasaruddin yang sudah dikira sebagai kesepakatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat itu, maka tulisan ini lebih berat fokusnya kepada PAS kecuali dalam beberapa acara selingan).
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Umum menyatakan, berdasarkan kepada PRU 12/2008 lalu, peluang PAS-UMNO dalam PRK P036 nanti adalah 50-50. Bacaan, congakan dan kiraan metrik mana yang diambil, wallahuaklam.

PAS sepatutnya sudah boleh mengakui mereka kuat di P036 ini. Mereka sudah menguasai 3 daripada 4 kerusi DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu. BN hanya ada satu. Itu pun hak MCA bukan UMNO. PKR yang diharapkan merampas kerusi itu daripada MCA pun tak termampu. Maknanya PAS sudah kuat daripada UMNO dan PKR.

Pun demikian ‘perasaan’ sebenar mungkin berbeza. Kerana ini adalah pilihan raya bukan pemilihan dalam parti. Kerana ini adalah pilihan raya kecil bukan pilihan raya umum. Kerana ini adalah pilihan masa depan bukan masa lalu. Kerana ini adalah pilihan melibatkan maruah bukan melibatkan puak. Situasi dan sentimen amat berbeza.

Kerana itu barangkali, mereka mempertaruhkan kedudukan 50-50. Dan kalau benar kedudukannya 50-50, faktor penentu kurang lebihnya tentulah calon. Kedudukan hanya akan menjadi 50-50 kalau kedua-dua UMNO dan PAS meletakkan calon yang betul.

Mahu tidak mahu terpaksa diakui bahawa di atas kertas PAS akan menghadapi laluan sukar menentang BN/UMNO di Kuala Terengganu kalau dilihat dari aspek kepimpinan, memandangkan hampir semua pemimpin kanan UMNO/BN peringkat negeri serta tokoh-tokoh pusat ada dalam Parlimen Kuala Terengganu.

UMNO/BN Kuala Terengganu ada Ketua Penerangan negeri, Bendahari negeri, Ketua Pemuda negeri, Ketua Puteri negeri, Setiausaha Agung MCA Pusat, Timbalan Menteri, 4 orang berstatus Yang Berhormat Senator dan seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Itu belum termasuk tokoh-tokoh lain yang berada dalam senarai mantan (bangkai?) dan tokoh-tokoh yang perasan, tersembunyi dan baru muncul.

Berbeza dengan UMNO, kepimpinan PAS Kawasan Kuala Terengganu tidak begitu menonjol kecuali kalau dilihat dalam konteks PAS Terengganu di mata parti itu keseluruhannya.

PAS Terengganu boleh berbangga apabila Presidennya adalah orang Terengganu, Pengarah Pilihan rayanya orang Terengganu, Naib Ketua Dewan Pemudanya orang Terengganu. Yang juga boleh dibanggakan termasuklah beberapa orang AJK Dewan Harian, Dewan Ulama dan Dewan Muslimah serta Dewan Pemuda ada di kalangan orang Terengganu.

Tetapi dalam senarai itu hanya Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, dua orang AJK PAS Pusat dan seorang AJK Pemuda PAS Pusat sahaja orang Kuala Terengganu. Yang lainnya adalah orang luar Kuala Terengganu. Pun demikian, PAS Kuala Terengganu masih boleh bergagah kerana Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri adalah orang Kuala Terengganu.

Mungkin alasan PAS mereka bukan seperti orang UMNO. Orang PAS tidak suka menonjolkan diri dan berebut jawatan, jauh sekali untuk melabur bagi mendapatkan jawatan. Yang berjawatan minta duit dengan yang tidak berjawatan lagi ada. Mungkin kerana itulah, sebahagian besar yang sudah cenderung dengan PAS tidak ke hadapan menawarkan diri untuk memegang apa-apa jawatan dalam parti.

Betul seperti yang diakui banyak ahli PAS, PAS bukan melihat calon tetapi melihat parti. Kesetiaan dan ketotokan ahli PAS kepada partinya memang boleh ditabik spring seribu kali. ‘Karat hijau’ kata orang Terengganu. Cuma orang Terengganu selera politiknya berbeza dengan selera orang Kelantan atau selera orang Pulau Pinang.

Kalau pun yang faham tentang ideologi kepartian dan fahaman pentingnya perjuangan parti diutamakan, itu hanya kerja orang yang menjadi ahli parti-parti politik. Hal ini hanya orang politik kepartian sahaja yang sedar dan faham. Orang politik kepartian kalau dalam konteks hari ini ialah orang-orang UMNO, PAS, Keadilan, MCA, MIC, DAP bersama-sama 29 parti kecil lain di seluruh Malaysia.

Dalam pilihan raya, bukan orang-orang berparti saja yang mengundi, orang tanpa parti dan orang atas pagar juga banyak. Kerana itu, kita kena sedar sebab yang mengundi bukan ahli PAS sahaja. Ada ahli UMNO yang tidak setuju kepada calon UMNO yang mungkin akan memberi undi kepada calon PAS dan begitulah sebaliknya. Apa lagi orang tanpa parti.

Orang tanpa parti dan orang atas pagarlah yang sukar difahamkan situasi ini. Kalau mereka sebut, nak kan calon yang mudah dicari dan ada rumah tangga di kawasan mereka, susah juga kita nak perjelaskan. Mereka misalnya tidak mahu calon yang bakal diundi adalah orang luar yang kalau ditinggalkan di lorong-lorong kampung secara sendirian, tak bertemu jalan keluar, itu menyusahkan mereka.

PAS atau UMNO atau Akim atau parti apa saja yang nak letakkan calon juga kena mesra situasi. Konsep asas ‘berwakil rakyat’ perlu juga dihayati. Kembalikan wakil rakyat kepada rakyat, bukan menyusahkan rakyat. Calon kena yang senang dicari di rumah dan senang rakyat nak bertandang ke rumah, bukan yang ada ‘istana’ dan susah nak ke rumah. Ya lah, orang kampung nak ke rumah wakil mereka, nak masuk rumah kena picit @ tekan tombol loceng kat pintu pagar. Mana orang kampung reti. Nak cari tombol loceng pun dah jadi satu kerja.

Calon ada istana banyak duit. Ya, pitis @ duit @ wang penting juga. Tapi buanglah pemikiran politik Melayu lama, nak bola sebiji pun jumpa wakil rakyat. Nin dah abad 21. Abad sekarang orang semua main komputer, main bola pun ikut komputer saja.

PAS kena ingat bahawa mereka pernah bangun dan runtuh di Terengganu. Itu juga yang menjadi faktor penentu kepada orang-orang tanpa parti dan orang-orang atas pagar itu.

Perkiraan-perkiraan itulah sebenarnya yang perlu diberi perhatian oleh pimpinan PAS dalam menentukan calon dalam PRK kali ini. Usah bercakap soal ortodok atau endorgan @ erdogan @ watloloksegan yang doktrin Anwar Ibrahim atau Nik Aziz atau pelbagai isme-isme yang beretorika itu. Orang kampung tidak faham dan tidak mengambil itu sebagai perkiraan. Yang mereka tahu si anu tu calon PAS lawan dengan si ano tu calon UMNO. Kalau pemimpin nak menganut segala isme itu, biarkanlah mereka saja yang syok sendiri.

Berbalik kepada kepimpinan PAS Kuala Terengganu. Mungkin kerana kurangnya pemimpin PAS di Kuala Terengganu itu jugalah, makanya pada PRU 12/2008 lalu, PAS mempertaruhkan Mat Sabu di kerusi itu.

Kenapa Mat Sabu? Mat Sabu popular dengan gelaran ‘ayam sabung’ PAS yang hebat berpidato. Hebatnya bukan kerana cara berpidato seperti Soeharto, tetapi hebat kerana ‘manis’ mulutnya. Terlalu manis dan amat sesuai dengan ideologi dan doktrin Islam yang dibawa dan dijaja oleh PAS.

Mulutnya sudah manis, tetapi orang Kuala Terengganu masih menolak Mat Sabu mungkin kerana orang kampung tak akan berjumpa tangga rumahnya di Kuala Terengganu. Apa lagi dialeknya pun orang kampung lebih faham bahasa inggeris daripada cakapnya.

Mat Sabu orang luar (luar Terengganu, bukan sekadar luar Kuala Terengganu). PAS mungkin tidak serik dengan identiti ‘cap ayam’ dan ‘dok rok cetong’ yang diberikan oleh segelintir rakyat Terengganu sepanjang tempoh pemerintahan PAS Terengganu 1999-2004, kerana itu ayam sabung yang diletakkan di Kuala Terengganu telah menjadi bapak ‘cap ayam’.

Mat Sabu kalah sedangkan kalau dihitung bahagi jumlah undi yang diperolehi calon PAS di tiga DUN kemudian ditolak undi yang diperolehi oleh BN di satu DUN, Mat Sabu sudah boleh melalak di parlimen.

Apakah PAS tidak ada calon yang layak sehingga memilih calon luar Terengganu?

Seamatan saya, PAS Kuala Terengganu tidak ketandusan calon berwibawa sama ada daripada golongan veteran mahupun golongan muda. Mereka mempunyai AJK PAS Pusat, Wan Mutalib Embong; Pesuruhjaya PAS negeri, Mustaffa Ali (Cikgu Pa) dan AJK Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri, Ariffin Deraman. Mereka adalah anak tempatan Kuala Terengganu.

Paling tidak pun, PAS sudah ada tiga ADUN dalam Parlimen Kuala Terengganu yang cukup berkaliber, berpengalaman, berpengaruh dan berjiwa wakil rakyat. PAS ada Dr Syed Azman (ADUN Batu Burok), ada Wahid Endut (ADUN Wakaf Mempelam) dan ada Dato’ Tengku Hassan (ADUN Ladang).

PAS juga masih ada beberapa tokoh yang pernah menang pilihan raya di Kuala Terengganu. PAS masih ada Azmi Lop Yusof (mantan ADUN Bandar (1999-2004) yang juga ipar kepada arwah Dato’ Razali Ismail) dan Dr. Sulaiman Abdullah (mantan ADUN Ladang 1999-2004). Jangan dinafikan juga, PAS ada beberapa orang bekas Pegawai Kanan Perkhidmatan Tadbir Negeri (TCS) seperti Dato’ Tengku Hassan yang condongnya kepada PAS.

Kalau PAS rasakan anak tempatan Kuala Terengganu masih kurang mampu berhadapan dengan calon UMNO/BN dalam PRK, beberapa tokoh PAS di luar Kuala Terengganu tetapi masih orang Terengganu boleh diambil kira.

Di kalangan Dewan Pemuda PAS, Azman Shapawi Abdul Rani, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat merangkap Ketua Pemuda PAS Negeri adalah bekas wakil rakyat DUN Rantau Abang Dungun (1999-2004) yang sudah terbukti ketokohannya. Kepetahannya berpidato seiras Haji Hadi memukau banyak orang. Azman lulusan agama luar negara, ada karisma dan ada talent.

Di kalangan pemuda, beliau dengan dibantu oleh Ariffin Deraman sudah berjaya menggempur tenaga pemuda dengan HIMPITnya untuk terus totok kepada PAS.

PAS juga ada pemimpin negeri yang amat faham dengan sepak terajang pilihan raya seperti Setiausaha Perhubungan, Yahya Ali atau Ketua Penerangan Muhyiddin Abdul Rashid. Mereka ini masih lagi muda dan berkemampuan. Jadi kenapa Mat Sabu? Se’cap ayam’ mana sekali pun calon tempatan, rasanya lebih boleh diterima dengan baik berbanding cap ayam luar Terengganu walaupun cap ayam A1.

Kalau itu pun masih dok rok cetong dan koman spanar, PAS boleh menonjolkan tokoh-tokoh tersembunyi yang setaraf atau lebih baik daripada Dr Syed Azman. Kalau PAS boleh menonjolkan Dr Syed Azman yang tak ada apa-apa pada PRU 10/1999 dulu, kenapa sekarang tidak. Kalau berjaya, orang-orang sebegini dilihat lebih bersih dan tiada rekod yang boleh meragukan pengundi seperti tiada ragunya pengundi kepada Dr Syed Azman yang boleh dierima rakyat Kuala Terengganu pada 1999 dan 2008.

Anak Terengganu dalam bidang profesional seperti peguam, pensyarah, jurutera, pengarah itu ini dan macam-macam lagi bidang, pangkat dan statusnya belambak lambak berada di mana-mana. Sudah tidak menjadi sesuatu yang rahsia, rata-rata di kalangan orang profesional ini, terutamanya di IPT dan yang berada di Ibu Kota, kecondongannya adalah anti-BN/Kerajaan. Mereka lebih cenderung kepada PAS atau PKR atau parti-parti yang bukan BN. Tinggal lagi, sekarang mereka masih bekerja untuk cari makan.

Inilah masanya PAS nak menonjolkan orang-orang tersembunyi ini, memandangkan PAS sudah banyak kali mendakwa bahawa partinya kini sudah dikerumuni oleh cendikiawan dan cerdik pandai Islam yang sudah sedar dan berfikiran terbuka. Kalau mereka daripada golongan ini yang dipilih, PAS tidak sakit kepala. Mereka tiada rekod yang boleh menjejaskan diri.

Jadi tak perlulah dipusing-pusingkan dengan orang yang sama, orang yang sudah banyak rekod dan sudah acap kali ditolak oleh pengundi. Bukan kerana mereka tidak bagus dan tidak baik, tetapi seperti menampakkan sangat yang PAS kekontangan dan kemandulan calon anak tempatan yang layak dan berkaliber.

Lebih jauh daripada itu, orang akan terus memandang bahawa PAS hanya menonjolkan orang-orang tertentu kerana kepentingan sendiri. Menyembunyikan calon-calon berkelayakan kerana bimbang tergugatnya kedudukan.

Selain itu, PAS akan dilihat sengaja menyembunyikan rekod dan menutup kelemahan individu-individu tertentu atau lebih buruk kalau ada pandangan sinis yang mengatakan PAS hanya dikontrol oleh orang-orang tertentu yang pelahap kuasa.

Untuk tujuan retrospektif, cuba kita turunkan dua tiga nama yang telah disenaraikan sepintas di atas sambil kita melihat kekuatan dan kelemahannya.

Kita mulakan dengan Cikgu Pa – orang lama yang pernah menjadi Timbalan Menteri. Pernah kalah dan menang dan kalah dan menang dan banyaknya kalah lah… di serata tempat dalam negeri Terengganu. Cikgu Pa pernah bertanding di Dungun, bertanding di Wakaf Mempelam, bertanding di Bandar, bertanding di Pangkalan Berangan. Ada yang kalah dan ada yang menang.

Cikgu Pa pernah jadi Exco kanan kerajaan PAS 1999-2004. Tidak kurang yang tidak senang dengan beliau sepanjang tempoh itu. Dikatakan juga, kerana Cikgu Pa lah, Haji Hadi rosak dan PAS Terengganu runtuh.

Wan Mutalib juga pernah kalah dan menang khususnya di DUN Batu Burok. Juga pernah menjadi Exco kanan zaman kerajaan PAS. Dikatakan bersama Cikgu Pa menjadikan Hj Hadi dan PAS Terengganu merudum. Wan Mutalib khabarnya adalah calon asal Parlimen Kuala Terengganu pada PRU 12/2008 lalu. Tetapi atas desakan dan beberapa masalah peribadi ‘pemimpin PAS’, nama Mat Sabu digantikan dan berkokoklah Mat Sabu di situ.

Antara mereka berdua, Dr Syed Azman lebih menonjol. Muda, berpelajaran dan berkemampuan tinggi serta lebih berpotensi untuk menang. Mantan Ahli Parlimen Kuala Terengganu (1999-2004) ini sudah kenal becak lecahnya Kuala Terengganu, selain bersifat terbuka dan mempunyai misi dan visi yang jelas. Orang UMNO ada sedikit ‘seriau’ kalau Dr Syed Azman dipilih.

Cuma beliau sudah menjadi ADUN Batu Burok. Kalau nak dikatakan peduli apa, memang sudah boleh. Pemimpin-pemimpin lain pun banyak yang bertanding dua kerusi (Parlimen dan DUN). Ramai yang menang dan tak jadi masalah pun. Haji Hadi tak usah kiralah sebab dia Presiden, ada keistimewaannya.

Cikgu Pa sendiri pernah bertanding di dua kerusi, lain-lain kawasan lagi. PRU 9/1995, Cikgu Pa bertanding di Parlimen Dungun dan dalam masa yang sama bertanding juga di DUN Bandar, Kuala Terengganu. Cuma tak ada rezeki Cikgu Pa, kedua-duanya lingkup.

Kawan kita yang nak masuk PKR yang lawan Anwar Ibrahim di Permatang Pauh baru-baru ini pun masa tu dan sekarang dia ADUN. UMNO boleh buat, tak kan PAS tak boleh. Cuma mungkin masa tu Pak Lah fikir memang dah akan kalah calon di situ, sebab tu dia beri yang dah ada kerja. Kalau beri kepada orang lain akan jadi penganggur pula.

Cuma satu, janganlah pula berkata sinis sebagai pelahap dan tak beri peluang kepada orang lain sebagai calon.

Kalau nak di kalangan pemuda, Ariffin Deraman boleh ditonjolkan. Timbalan Ketua Pemuda negeri dan AJK Pemuda Pusat ini belum diuji dan diberi peluang untuk bertanding. Mungkin dianggap muda, tapi pengalaman dalam PAS sudah berbaloi sesuai dengan kemudaannya.

Mantan Setiausaha Pemuda negeri ini juga cukup komited dengan parti. Cuma mungkin kerana beliau dibayangi oleh pemimpin-pemimpin veteran dalam PAS terutama Cikgu Pa dan Wan Mutalib di Kuala Terengganu khasnya dan pemimpin-pemimpin ‘besar’ lain di negeri Terengganu amnya menjadikan beliau agak tersusut.

Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Terengganu merangkap Bendahari PAS negeri merangkap ADUN Wakaf Mempelam sejak 1986, Wahid Endut juga bukan kecil anak. Beliau seorang wakil rakyat yang disenangi ramai di kalangan pengundinya. Cukup ‘low profile’ tetapi komited. Beliau seorang wakil rakyat yang buat ‘home work’ dan ‘berbukti’ sebelum masuk sidang. Sebab itu, dalam sidang DUN susah juga pihak BN nak mematahkan hujahnya.

Kalau faktor seperti kes Dr Syed Azman diambilkira, Wahid juga antara yang layak untuk diketengahkan.

Mat Sabu memang berhasrat benar untuk bertanding semula di Kuala Terengganu. Tak payah menawarkan kepadanya, beliau sendiri yang akan menawar diri. Sebab itu beliau berusaha membawa ke mahkamah memprotes undi pos selepas PRU 12/2008 lalu. Tapi malangnya tak lekat dan apabila jadi kekosongan yang tak perlu diprotes begini, sudah tentu beliau akan berusaha untuk mengambil peluang sekali lagi.

(Selingan) Kalau PAS dikatakan sukar untuk mencari kata sepakat mencalonkan di kalangan mereka, berilah saja kepada PKR. PKR juga tidak kurang ada calon tempatan yang berpotensi dan boleh diketengahkan untuk bertanding. Nak menghalalkan keputusan Pakatan, suruh saja calon PKR guna tiket PAS. Cuma jangan jadi macam Berahim katak sudah. Yang ini PAS kena betul-betul berhati-hati. Jangan pisang berbuah kelapa.

PKR boleh mencadangkan antara calon berpotensinya termasuklah Fariz Musa (Ketua AMK negeri/Timbalan AMK Pusat), mantan wakil rakyat Parlimen Kemaman (1999-2004) Abdul Rahman botak, atau Dr. Manaf (calon DUN Bandar PRU 12/2008). Soal populariti PKR berbanding PAS tidak timbul kalau mereka sepakat dan jujur sebagaimana kesepakatan yang telah termeterai di peringkat pemimpin pusat.

Soalnya sekarang mereka (Pakatan Rakyat) berhajat sangat ingin memerintah negara dan ahli parlimen mesti ditambah. Jadi, Kuala Terengganu adalah medan tambahan pertama mereka yang ‘sah’ melalui pintu hadapan yang terbuka luas sebelum mereka memikirkan untuk membantu Ahli Parlimen lain bermain lompat katak atau lompat kijang.

Akhirnya, ijinkan saya memetik beberapa ayat dan rumusan (dengan pengubahsuaian mengikut persepsi saya) yang saya temui semasa saya menyelongkar blog-blog berkaitan dengan cerita P036 Kuala Terengganu ini, kerana ada sedikit persamaan dengan apa yang telah saya luncurkan.

Rumusan tentang calon yang dicadangkan :

1. Calon tempatan yang dikenali oleh tempatan. Mungkin tidak dikenali oleh media luar, tetapi cukup dikenali dan dimesrai oleh anak tempatan.

2. Calon yang segar dan muda. Yang tidak memiliki jurang usia, jurang dunia yang banyak dengan 2 kelompok ini.

3. Orang luar seperti Mat Sabu tidak lagi diperlukan di Kuala Terengganu.

4. Pakatan Rakyat mahukan kemenangan kerusi ini. Dan untuk menang, kehendak majoriti pengundi Kuala Terengganu perlu diteka dan dicongak, antaranya :

(a) Adakah pengundi P036 mahukan calon selain BN (PAS) anak tempatan yang segar? (Dr Syed Azman atau Ariffin Deraman calon terbaik).

(b) Adakah pengundi P036 mahukan calon selain BN (PAS) anak tempatan yang agresif dan komited? (Wahid Endut adalah calon terbaik).

(c) Adakah pengundi P036 tidak kisah calon luar Kuala Terengganu asalkan ‘meletup’ di Parlimen? (Azman Shapawi calon terbaik).

(d) Adakah pengundi P036 bosan percakaran politik PAS UMNO dan mahu memilih calon bebas? (Tuk Maimun calon terbaik).

(e) Adakah pengundi P036 bosan dengan BN tetapi meluat dengan Cikgu Pa dan Wan Mutalib sekali gus menolak ke semua congakan di atas, mengundi BN atas dasar tradisi-budaya walaupun bosan. (calon PKR adalah terbaik).

Semuanya dikembalikan kepada pemimpin PAS untuk menilai. Kini penggulungan ini bergantung kepada ego seorang ulama dan ego seorang pemimpin tertinggi.

Kepada pengundi P036, sentiasa ingat ini. Mereka yang inginkan undi kita, sepatutnya mereka yang melutut kepada kita. Letakkan maruah anda di tempat yang sepatutnya. Totok dan taksub tidak salah, yang salah tersalah totok dan tersilap taksub.
Related Posts with Thumbnails