Sabtu, Disember 13, 2008

YANG TIDAK PERNAH SELESAI

Secara peribadi saya yakin dan amat mengharapkan agar Wan Farid dipilih sebagai calon BN dalam PRK P36 Kuala Terengganu 17 Januari tahun depan.

Sebabnya banyak dan sebahagiannya telah pun saya tulis dalam blog ini. Kalau nak bercakap soal kelemahan dan kekurangan, tiada manusia yang sempurna sebenarnya, sedikit sebanyak mesti ada. Tetapi secara jujurnya, berdasarkan kepada beberapa situasi dan sebab-sebab semasa, Wan Farid ada ‘kelebihan’ tersendiri yang menyebabkan kenapa secara peribadi, saya yakin dan amat mengharapkan beliau dipilih sebagai calon.

Saya memulakan tulisan ini sebegitu bukan kerana saya taksub atau saya ada apa-apa kepentingan dengan Wan Farid. Bukan juga kerana ‘namanya’ yang akan diumumkan sebagai calon oleh TPM esok mungkinnya.

Sekali lagi saya ulangi, saya tidak ada apa-apa kepentingan dengan Wan Farid. Sesiapa sahaja yang dipilih pucuk pimpinan BN untuk menjadi calon, tidak ada kesan langsung mahupun tidak langsung kepada saya secara peribadi. Bukan juga tujuan untuk melobi yang bukan-bukan secara melampau. Tiada untung atau ruginya saya, kalau Wan Farid dipilih atau pun tidak.

Tetapi saya mengambil keputusan untuk memberi ‘respon peribadi’ memandangkan dalam masa sehari dua yang disifatkan ‘masa untuk menentukan hidup mati UMNO' di Kuala Terengganu dan Terengganu khasnya dan Malaysia umumnya ini, banyak orang sudah menganalisa Wan Farid ‘hampir pasti’ tidak dicalonkan.

Paling mendukacitakan timbul percanggahan kenyataan daripada sumber dalaman UMNO bahagian sendiri. Tambah memburukkan keadaan ada pula kenyataan di kalangan orang UMNO bahagian yang mempertikaikan kewibawaan dan sokongan akar umbi UMNO kepada Wan Farid sambil membayangkan Wan Farid sudah terpaksa mengharungi laluan sukar bagi meloloskan diri melepasi fasa pertama meletakkan dirinya sebagai calon.

Walau apa pun keputusan siapa calonnya, keputusan hanya setakat keputusan. Katalah itu keputusan pemimpin tertinggi beribu kali pun, kalau sikap dan sifat buruk yang masih kuat berakar, kesukaran berterusan akan menjadi halangan kepada kemenangan.

Bayangkan bagaimana pula keadaannya bagi melepasi beberapa fasa yang lebih mencabar di hadapan nantinya dan bayangkanlah kalau benar bukan Wan Farid sebagai calon. Apa pula yang dapat kita bayangkan akan dijaja oleh orang yang tidak setuju dengan calon itu? Bagaimana kesudahannya episod yang tidak pernah selesai ini. Jawabnya, kehancuran dan Pas akan menang dan Pakatan Rakyat berjaya menambah satu lagi kerusi di Parlimen.

Inilah masalahnya sebahagian orang UMNO. Masih gagal untuk memisahkan soal peribadi dan kepentingan parti walaupun sudah 51 tahun UMNO menjadi tulang belakang kerajaan Malaysia.
Related Posts with Thumbnails