yang semasa

Rabu, Disember 17, 2008

YANG MASIH DITEKATEKIKAN

(Terkini : Rabu, 17 Disember 2008, pukul 11.17 malam : Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Negeri (bincang calon?) sedang berlangsung di Seri Iman, Kediaman Rasmi Menteri Besar Terengganu, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu).
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Empat lima hari berlalu yang penuh dengan teka teki, andaian, telahan dan kepelbagaian tafsiran berhubung dengan siapakah calon BN pada PRK Kuala Terengganu, khususnya setelah Wan Farid secara rasmi disambung perkhidmatannya sebagai Senator bagi penggal kedua oleh Dewan Undangan Negeri Ahad lalu.

Menariknya teka teki itu kerana kita mendapat jawapan dengan andaian, telahan dan kemungkinan yang pelbagai. Sebagai alternatif kepada Wan Farid, maka timbullah nama-nama seperti (YB Senator - Yang Bekas Senator) Nordiana Shafie, Yang Bekas Speaker Dato’ Che Mat Jusoh, Mohd Sabri Alwi, Dato’ Zubir Embong, YB Senator Dato’ Roslan Awang Chik dan juga Haji Mohd Zuber Embong.

Walaupun banyak yang kurang yakin Wan Farid akan dicalonkan, namun namanya masih disebut sebagai calon paling sesuai dan berpotensi untuk menang. Kemudian barulah timbul nama Nordiana Shafie yang diperkuatkan dengan alasan tidak disambungnya perkhidmatan beliau selaku Senator bagi penggal kedua seperti Wan Farid.

Kemudian giliran Che Mat Jusoh diperkatakan sambil sekali-sekali diselangseli dengan nama-nama lain yang sekadar disebut dengan tidak berkeyakinan. Bagi kebanyakan pemerhati, nama-nama lain itu disusuli hanya untuk menguatkan hujah dan memanjangkan penulisan sahaja.

Yang pasti, siapa calon untuk dipertaruhkan oleh BN bagi mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu masih menjadi perkara yang maha rahsia. Sebesar rahsia yang berlaku di sebalik tembok perkiraan beberapa pemimpin tertinggi parti untuk memutuskan siapa sebenarnya yang mampu menggalas ‘beberapa buah bas’ nanti.

Kalau kita masih ingat, dua tiga hari sebelum Najib datang ke Terengganu, Pak Lah telah maklumkan kepada media dari Kuching, Sarawak yang nama calon BN untuk PRK Kuala Terengganu telah beliau lihat dan beliau bersetuju dengan cadangan (calon) berkenaan. Pak Lah dalam sidang media yang sama dengan selambanya menyerahkan kepada Najib untuk mengumumkan nama calon berkenaan dalam ‘sehari dua ini’.

Sehari selepas Pak Lah berkata-kata begitu, UMNO negeri Terengganu masih bermain teka teki. Mat Said memberitahu media bahawa beliau ada menerima sampul surat putih tetapi belum melihat isinya. Mat Said menjelaskan, seperti biasa, setelah melihat isinya UMNO Perhubungan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan cadangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu dan barulah akan dikemukakan cadangan kepada Pak Lah.

Pak Lah kata dah lihat dan setuju manakala Mat Said kata dah terima sampul surat putih tapi belum melihat isinya dan belum dibincang dalam mesyuarat. Maknanya belum dikemukakan kepada Pak Lah. Jadi, dari mana Pak Lah dapat tahu? Ada main langkah melangkah atau antara Pak Lah dan Mat Said, salah seorang atau kedua-duanya bermain wayang?

Secara kebetulan, dua tiga hari selepas kenyataan Pak Lah dari Kuching itu, Najib datang ke Terengganu untuk menyerahkan mog cek wang royalti sambil menutup pemukiman UMNO Negeri Terengganu yang telah diadakan di Genting Highland pada tarikh yang sama dengan kematian Dato’ Razali Ismail dan Ibunda kepada Mat Said. Sangkaan ramai Najib akan mengumumkan nama calon BN meleset sama sekali kerana Najib hanya mengumumkan ‘nak menang tapi macam tak nak menang’ dan ‘kita tak akan merebus telur yang sudah direbus’.

Kepelbagaian kemungkinannya :

1) Pak Lah sahaja mengarut kerana memang betul UMNO Perhubungan belum mengadakan mesyuarat dan belum mengemukakan cadangan nama kepada Pak Lah.

2) Pak Lah sudah tahu dan menerima cadangan nama tetapi bukan daripada UMNO Perhubungan. Pak Lah mungkin menerimanya secara terus daripada UMNO Bahagian / individu tertentu daripada Bahagian.

3) Najib tahu dan ada nama yang dimaklumkan oleh Pak Lah kepadanya untuk diumumkan tetapi Mat Said ‘belum boleh bersetuju’ dengan nama itu dengan alasan bukan cadangan UMNO Perhubungan. UMNO Perhubungan belum mengadakan mesyuarat lagi. Kalau Najib umum juga, akan melanggar Fasal 10.3 perlembagaan UMNO yang menggariskan antara tanggungjawab MT ialah ‘memilih calon-calon bagi Pilihan Raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri setelah berunding dengan Badan Perhubungan bagi Negeri yang berkenaan dan Jawatankuasa Bahagian mengikut peraturan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi’.

4) Pak Lah bersetuju dengan ‘nama lain’ yang berbeza dengan nama yang diingini oleh Mat Said. Secara jujur, semua orang kena akur dan tidak boleh sekali-kali menyalahkan Mat Said kerana Mat Said juga hendak perkukuhkan lantai politik beliau. Mahu tidak mahu, Mat Said kena menjalarkan akar kemonotomian politiknya, sebab itu beliau perlu memastikan kemerataan orang-orangnya

5) Mat Said mungkin mendapat ‘gambaran kemenangan’ daripada perspektif yang berbeza daripada apa yang diperhatikan oleh orang lain, khususnya daripada UMNO Bahagian Kuala Terengganu sendiri. Justeru tidak mustahil Mat Said akan memilih calon impiannya untuk mengisi gambaran kemenangan itu.

6) Memang Pak Lah tidak tahu, Najib tidak tahu dan Mat Said juga tidak tahu dan mereka juga belum membuat apa-apa keputusan. Media sahaja yang salah lapor.

Kerana itu Najib tidak boleh mengumumkan (atau tak tahu apa, nak umum apa?). Najib perlu balik dulu ke Putrajaya dan berbincang semula dengan Pak Lah sambil menunggu sampul surat putih daripada Mat Said pula.

Senario seterusnya :

Yang pro mengatakan Wan Farid masih boleh dicalonkan :

1) Kata Najib ‘kita tak akan merebus telur yang sudah direbus’ – maknanya kita (BN?) tidak akan meletakkan calon yang sudah diberi peluang untuk bertanding sebelumnya untuk bertanding sekali lagi. Dan Wan Farid adalah calonnya kerana Wan Farid tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

2) Wan Farid dilantik semula sebagai Senator bagi mengelakkan terputusnya jawatan Timbalan Menteri kerana status Senatornya akan tamat pada 31 Disember 2008. Mat Said dan Kerajaan negeri Terengganu tidak sanggup menghadapi ‘kehilangan berganda’ dengan hilangnya satu lagi kerusi Timbalan Menteri setelah kehilangan kerusi Timbalan Menteri Pelajaran.

3) Wan Farid boleh meletakkan jawatan Senator sekiranya beliau dicalonkan. Selepas beliau ‘menang’, Pak Lah boleh menyambung perkhidmatannya semula. Kalau ini berlaku, kekosongan kerusi Timbalan Menteri tidaklah terlalu lama, hanya 11 hari sahaja. Kalau pun lebih lama, masih boleh dimaafkan kerana ada lagi jawatan Menteri dan Timbalan Menteri yang masih belum diisi oleh Pak Lah, termasuklah Timbalan Menteri Pelajaran.

4) Wan Farid sendiri bersetuju kalau dia dicalonkan. Maknanya beliau bertanggungjawab sebagai Ketua Bahagian untuk memikul tanggungjawab sebagai calon (sebagai Ahli Parlimen belum pasti lagi).

5) Cadangan daripada UMNO Bahagian hanya namanya (Wan Farid) seorang. Wan Farid adalah calon tunggal cadangan bahagian. Tiada nama pilihan yang dikatakan telah diserah dalam sampul surat putih kepada UMNO Perhubungan.

6) Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian berkenaan, UMNO bahagian telah sebulat suara seia sekata dalam hal memilih dan mencadangkan calon iaitu tetap dengan pendirian hendakkan Ketua Bahagian sebagai calon.

7) Kedudukan Wan Farid kalau pun dicalonkan hanya bernisbah 50:50 dan akan menjadi 55:45 dengan kerja kuat dan sokongan padu UMNO bahagian. Inikan pula kalau calon lain. Tambahan kalaulah calon yang dicadangkan itu menyebabkan ‘tergurisnya perasaan’ UMNO bahagian. Mungkin situasi begini yang dimaksudkan oleh Najib sebagai 'nak menang tapi macam tak nak menang' itu.

Yang pro mengatakan bukan Wan Farid calonnya :

1) Kata Najib ‘kita tak akan merebus telur yang sudah direbus’ boleh disifatkan sebagai kenyataan peribadi yang sama seperti kenyataan peribadi Nik Aziz yang hendakkan Mat Sabu bertanding di Kuala Terengganu. Najib hanya berkata untuk menyedapkan ayat dalam ucapannya, tetapi belum tentu Pak Lah setuju dan mengiakan kata yang sama. Pak Lah masih berkuasa. Pun begitu, tidak juga semestinya Mat Said akan terima. Sejarah telah membuktikan banyak cakap Pak Lah di’hissss’kan saja oleh Mat Said.

2) Wan Farid disambung Senatornya kerana Terengganu akan rugi satu jawatan Timbalan Menteri ‘pilihan PM’ kalau Wan Farid tidak menang. Kalau Wan Farid dipilih jadi calon walaupun beliau telah disambung Senatornya, kemudian beliau meletakkan jawatan kerana hendak bertanding dan ditakdirkan beliau tidak menang, beliau sudah tidak boleh dilantik semula ke jawatan Senator. Rugi dan kesihanlah kepada Wan Farid, akan hilang kedua-duanya.

3) Mat Said hendak mengukuhkan kedudukan politiknya – terbaru perlantikan Hajah Fatimah Hamat sebagai Senator menggantikan Nordiana merupakan proses berterusan membina empayar. Hajah Fatimah adalah Ketua Wanita UMNO bahagian Hulu Terengganu dan orang harapan Ketua Bahagian, Ku Tera yang mendokong kuat Mat Said.

4) Mat Said tidak yakin Wan Farid akan menang dalam PRK kali ini kerana mungkin maklumat yang telah disampaikan kepada Mat Said, Wan Farid ini hanya popular di kalangan orang-orang UMNO sahaja.

5) Mat Said boleh memberikan alasan yang kuat kalau sekiranya calon yang dicadangkan tetapi tidak dipersetujui oleh beliau tidak menang.

6) Mat Said sedang beransur-ansur mengurangkan pengaruh Idris Jusoh dalam UMNO Terengganu.

7) Kekalahan (dalam bahasa yang lebih lembut disebut ‘tidak menang’) kerusi Parlimen Kuala Terengganu ini tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan negeri & Menteri Besarnya, malah tidak juga menjejaskan BN dan Kerajaan Malaysia dari segi kuasa pemerintahannya.

8) Kalau Pak Lah boleh kata “saya masih lagi Presiden UMNO dan PM sekarang, saya masih berhak menentukan siapa yang saya hendak untuk bertanding di Kuala Terengganu”, Mat Said pun boleh berkeras berkata perkara yang sama.

9) Dalam kes PRK P44 Permatang Pauh Ogos lalu, calon yang dicadangkan oleh UMNO Bahagian juga tidak diendahkan oleh Pak Lah. Pak Lah tidak meletakkan ‘orang yang arif’ dengan kehendak pengundi tetapi meletakkan orang yang namanya ada Arif. Asal jadi dan ada ‘arif’ sahaja.

10) Mat Said hendakkan calon di kalangan kabilahnya.

Jadi siapa agak-agaknya :

1) Wan Farid – susah untuk meyakinkan UMNO Perhubungan walaupun disenangi oleh Pak Lah. Orang Mat Said pun tidak dan orang Idris pun tidak (pengakuan beliau sendiri).

2) Nordiana Shafie – ditamatkan perkhidmatan sebagai Senator kerana dikatakan tidak ‘perform’ dan kurang menyerlah. Kalah di DUN Batu Burok dalam PRU 12/2008 – masih dianggap orang Idris.

3) Che Mat Jusoh - sudah tiada apa-apa jawatan baik dalam kerajaan mahupun parti. Pernah kalah di DUN Batu Burok dalam PRU 11/2004. Masih dianggap orang Idris dan Mat Said sendiri belum pernah memperakui Che Mat Jusoh adalah 'orangnya'.

4) Mohd Sabri Alwi – seperti Wan Farid, ‘telur Mohd Sabri pun masih belum direbus’. Satu-satunya Ketua Pemuda negeri (setakat ini) yang tidak diberi peluang bertanding dalam pilihan raya. Tetapi sayangnya Mohd Sabri orang Idris.

5) Mohd Zuber Embong (Pelajaran) – kalah dalam pemilihan AJK Bahagian walaupun bekas Ketua Penerangan Bahagian. Pernah ditawarkan untuk bertanding di DUN Wakaf Mempelam pada PRU 11/2004 tetapi menolak kerana tidak yakin untuk menang. Masih dianggap orang Idris, walaupun sesetengah pemerhati politik mengatakan Mohd Zuber boleh 'mengikut arus' semasa. Peluangnya agak cerah kerana 'telurnya juga masih belum direbus', walaupun banyak 'kulit' telah dibuang.

6) Roslan Awang Chik – Bendahari UMNO Negeri dan AJK bahagian. Orang kanan Mat Said tetapi kurang disenangi dalam bahagian. Masih berjawatan Senator mewakili profesional. Akan rugi satu kerusi Senator mewakili profesional yang boleh diduduki oleh orang Terengganu kalau beliau dicalonkan.

7) Zubir Embong (Dato’) – Ketua Penerangan UMNO Terengganu, tidak terlibat dengan apa-apa pemilihan peringkat bahagian baru-baru ini. Berpengalaman sebagai ahli Parlimen Kuala Terengganu penggal 1986-1990 dan pernah menjadi calon DUN Batu Burok pada PRU 9/1995 (tetapi tidak menang). Orang kanan yang amat dipercayai dan Mat Said amat terhutang budi dengannya. Setakat ini masih belum nampak apa yang telah Mat Said ‘balas’ hasil kerja kuat dan ‘berbudi’ Zubir bagi menaikkan Mat Said. Mungkin juga P36 ini adalah tempat terbaik untuk Mat Said membalas budi Zubir.

8) Si Anu - orang luar ‘suku sakat’ yang tidak kena mengena dengan sesiapa, baik yang masih hidup mahupun yang telah mati.

Orang UMNO yang tidak setuju dengan Najib atau penyokong kuat Pak Lah dan Mat Said, boleh mengucapkan terima kasih kepada Pak Lah. Itulah hikmahnya bila Pak Lah tetapkan Perhimpunan Agung UMNO ditunda dari Disember 2008 ke Mac 2009. Pak Lah seperti sudah boleh membaca ‘insiden’ ini. Kalau Najib sudah menjadi Presiden bulan Disember ini, senarionya pasti akan berbeza.
Related Posts with Thumbnails