Isnin, Disember 01, 2008

YANG BERHAJAT & KEPINGIN MENJADI CALON (versi UMNO)

Mat Said sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Menteri Besar Terengganu perlu membuat perkiraan dan keputusan yang tepat bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu akan terus kekal di tangan BN/UMNO pada pilihan raya kecil (PRK) yang bakal diadakan selewat-lewatnya sebelum 27 Januari tahun depan.

Tindakan dan ketelitian Mat Said ini disifatkan oleh sesetengah pemerhati politik sebagai wajar didahului memandangkan PRK P036 ini adalah ujian getir kepada Mat Said untuk membuktikan kebenaran cakapnya dan juga cakap-cakap orang kanannya bahawa UMNO Terengganu bersatu dan akur dengan perintah dan kepimpinan beliau.

Justeru mereka berpendapat, Mat Said perlu banyak bertenang dan bersabar tanpa mengikut emosi dalam membuat keputusan hidup mati BN/UMNO Terengganu kali ini dan mengharapkan agar tidak berlaku seperti beberapa keputusan ‘drastik, ikut perasaan dan ikut selera’ beliau sebelum ini.

Kuala Terengganu dianggap sebagai kawasan / Bahagian elit di negeri Terengganu memandangkan kedudukan Kuala Terengganu sebagai ibu negeri Terengganu serta ramainya pemimpin UMNO dan BN yang ‘ada nama’ berada dalam parlimen berkenaan.

Lagi pun, UMNO bahagian Kuala Terengganu dianggap sebagai bahagian paling berprestij dan mewah berbanding bahagian-bahagian lain di Terengganu sepanjang kempen pemilihan UMNO peringkat bahagian baru-baru ini.

Bayangkanlah, tiada bahagian lain yang hanya untuk menang G7 dan AJK Bahagian perlu membelanjakan hampir RM100 ribu (baca kisah yang telah saya tulis berkaitan hal ini di sini). Ini yang diceritakan oleh tuan punya diri sendiri. Itu pun beliau hanya menang tempat ketiga (G7 & AJK semuanya tempat ketiga). Kalau yang menang tempat pertama atau kedua atau calon Timbalan Ketua, Naib Ketua atau Ketua Pemuda, kiralah sendiri.

Kesanggupan individu merebut jawatan dalam UMNO sehingga berabis ‘pitis mas’, seperti berlaku bukan sahaja di Kuala Terengganu tetapi juga di semua bahagian baru-baru ini mungkin boleh kita terjemahkan sebagai kesungguhan mereka untuk bekerja dan memimpin UMNO. Cuma mungkin kadar dan jumlahnya sahaja yang agak berbeza.

Nak dikatakan semuanya kepingin dan berhajat nak jadi calon pilihan raya, hanya ada lima kerusi saja dalam satu bahagian, maknanya lima orang saja pemimpin bahagian yang ada peluang, itu pun kalau tidak dicatakkan calon payung terjun.

Jadi untuk apa lagi mereka menawarkan diri kalau tidak kerana perjuangan, bekerja dan menghambakan diri untuk parti. Soal makan cari atau cari makan itu sudah menjadi adat dan tuntutan, walaupun mungkin caranya sahaja yang kurang betul. Mereka pastinya masih punyai alasan untuk menghalalkan cara.

Kerana prestij dan elit itulah, Mat Said dirasakan menghadapi sedikit kesukaran untuk membuat pilihan. Tambahan pula dalam parlimen Kuala Terengganu, telah muncul begitu ramai pemimpin yang tersohor di peringkat nasional dan negeri, baik daripada UMNO mahupun daripada parti komponen BN yang lain seperti MCA.

Bermula sejak di zaman kepimpinan Idris Jusoh sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Menteri Besar Terengganu, Kuala Terengganu sudah dibarisi oleh barisan kepimpinan yang ada nama baik di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri.

Pada zaman Idris, Kuala Terengganu mempunyai dua orang Exco kerajaan negeri (Wan Hisham Wan Salleh (UMNO) dan Toh Chin Yaw (MCA). Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri ketika itu, Che Mat Jusoh juga datangnya dari Bahagian Kuala Terengganu (walaupun beliau asalnya Besut tapi rumah tangganya dan ahli cawangannya di Kuala Terengganu).

Che Mat dilantik sebagai YDP DUN setelah beliau tewas dalam pilihan raya umum ke-11 di DUN Batu Burok kepada calon PAS, Wan Mutalib Embong. Che Mat kemudian menang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu dalam pemilihan UMNO Bahagian berkenaan tahun 2004. Sebelum bertanding, Che Mat adalah Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri di Terengganu (semasa Pak Lah menjadi TPM).

Selepas PRU ke-11/2004 juga, Timbalan Ketua UMNO Bahagian ketika itu, Wan Ahmad Farid Wan Salleh (adik kepada Wan Hisham) dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri (semasa Pak Lah menjadi Menterinya). Pada pemilihan UMNO Bahagian 2004, Wan Farid menentang penyandang Roslan Awang Chik untuk jawatan Ketua UMNO bahagian dan beliau menang.

Kemudian Wan Farid dilantik sebagai Senator mewakili DUN Terengganu bersama Nordiana Shafie, Ketua Puteri UMNO Negeri Terengganu merangkap Ketua Puteri Bahagian Kuala Terengganu.

Nordiana juga adalah Exco Puteri UMNO Pusat dan turut dilantik menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO oleh Pak Lah. Nordiana kemudian mencipta sejarah sebagai wanita pertama dari negeri Terengganu bertanding sebagai calon pilihan raya di DUN Batu Burok. Bagaimanapun beliau tewas ditangan calon PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Selepas PRU 12/2008, Wan Farid walaupun tidak bertanding dalam PRU dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama Allahyarham Razali, Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.

Dalam masa yang sama, tokoh MCA negeri dari Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wong Foo Meng turut dilantik sebagai Senator dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Yang Di Pertua Dewan Negara. Hari ini, Wong telah dilantik sebagai Setiausaha Agung MCA Pusat.

Di peringkat Pergerakan Pemuda pula, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Mohd Sabri Alwi pernah menjadi Bendahari Pemuda negeri dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri. Kini Mohd Sabri yang telah melepasi had umur pemuda, menang selesa jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian mengalahkan penyandang, Che Mat Jusoh.

Dalam organisasi UMNO Negeri (pada zaman Idris lagi), Kuala Terengganu pernah menyaksikan kehadiran wakil yang teramai berbanding bahagian lain. Selain Wan Farid (Ketua Bahagian), Mohd Sabri (Ketua Pemuda Negeri) dan Nordiana (Ketua Puteri Negeri), turut berada dalam saf yang sama ialah Bendahari UMNO bahagian, Wan Hisham yang dilantik Idris sebagai Bendahari UMNO Negeri.

Dalam struktur organisasi UMNO negeri pimpinan Mat Said kini pula, selain Wan Farid, Mohd Sabri dan Nordiana selaku AJK negeri, turut ditambah dua pemegang jawatan utama parti daripada UMNO Bahagian Kuala Terengganu ialah Ketua Penerangan Zubir Embong dan Bendahari Roslan Awang Chik. Roslan sekarang ini berstatus Yang Berhormat Senator.

Walaupun Roslan mahupun Wong misalnya dilantik ke jawatan Senator atas kapasiti profesional, namun yang pasti mereka adalah pemimpin Barisan Nasional yang datangnya dari Bahagian Kuala Terengganu.

Dengan senarai panjang ‘tokoh-tokoh’ pemimpin dalam Bahagian Kuala Terengganu itu, tentunya Mat Said agak pening untuk mencadangkan calon untuk bertanding, khususnya dalam usaha memastikan calon yang dipilih layak dan yang penting tidak akan menyinggung banyak pihak, sekali gus mengelakkan berlakunya ‘cas keting’.

Kalau Idris Jusoh memakai model MAP (Muda, Akhlak dan Pelajaran) sebagai kriteria pemilihan calon, apa pula kriteria yang bakal ditentukan oleh Mat Said. Apa pun kriteria yang ditentukan Mat Said, yang penting Mat Said perlu sedar bahawa Kuala Terengganu adalah kawasan kritikal yang perlu diberi perhatian serius dan tidak sewenang-wenang meletakkan calon mengikut kem serta mengikut sukanya sahaja.

Yang pasti, perkara utama yang perlu disisihkan sementara oleh Mat Said ialah sindrom ‘terlepas cakap’ dan ‘isme Idris vs isme Mat Said’. Kalau kedua perkara ini dapat disisihkan dan pemilihan calon berjalan lancar tanpa banyak bantahan dan tentangan, insya-Allah, Kuala Terengganu akan terus kekal di tangan BN.

Dalam hal ini, Mat Said perlu bersikap rasional, terbuka dan mengambil pendekatan ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’ bagi menjamin terselamatnya kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu.

Ke semua tokoh pemimpin yang disebut di atas adalah dikira layak dan berkemampuan untuk dicalonkan sebagai calon. Itu belum lagi disenaraikan pemimpin lain yang juga berkelayakan dan berkemampuan, tetapi tidak pernah diberi peluang sebelum ini. Juga belum lagi termasuk beberapa pemimpin dan bekas calon pilihan raya yang tewas dan juga calon ada kelayakan dan berpotensi tetapi tidak menang dalam pemilihan bahagian baru-baru ini (orang-orang ini sama nasibnya seperti yang dialami oleh Allahyarham Razali – Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri yang kalah bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian).

Memandangkan kerusi parlimen Kuala Terengganu sudah menjadi kerusi tradisi UMNO, maka perbicaraan tidak akan menyentuh calon daripada MCA tetapi akan terus dianggap sebagai pelengkap untuk kemenangan BN/UMNO di Parlimen Kuala Terengganu.

Cuma yang pasti, kecuali Wan Farid dan Mohd Sabri sahaja, hampir semua ‘nama-nama besar’ yang disebut di atas telah pun diberi laluan dan peluang untuk bertanding sebagai calon pilihan raya dan sebahagiannya pernah menang dan sudah merasai status Ahli Yang Berhormat.

Sebagai contohnya Wong Foon Meng pernah menjadi wakil rakyat DUN Bandar dan Exco Kerajaan negeri selama dua penggal, Zubir Embong pernah menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan pernah menjadi calon DUN Batu Burok dan DUN Wakaf Mempelam, Roslan Awang Chik juga pernah jadi wakil rakyat DUN Ladang.

Manakala bagi calon generasi abad ke-21 pula, Che Mat Jusoh (PRU 11/2004) dan Nordiana (PRU 12/2008) masing-masing pernah diberi peluang menjadi calon DUN Batu Burok, kedua-duanya tewas kepada calon PAS. Toh Chin Yaw masih menjadi wakil rakyat DUN Bandar dan Exco kerajaan negeri sejak PRU 11/2004 sehingga kini.

Wan Hisham juga pernah menang di DUN Ladang dan menjadi Exco 2004-2008 dan tewas apabila diberi peluang sekali lagi di DUN yang sama pada PRU 12/2008.

Seperti yang disebut, Wan Farid belum lagi diberi peluang untuk bertanding. Beliau pernah mendakwa bahawa beliau telah dua kali dinafikan untuk bertanding. Pada PRU 11/2004, namanya telah disebut-sebut sebagai calon parlimen Kuala Terengganu, tetapi diceritakan kerana abangnya Wan Hisham juga bertanding (di DUN Ladang), maka beliau direhatkan sementara.

PRU 12/2008, walaupun beliau adalah senator, Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri dan Ketua UMNO Bahagian, sekali lagi beliau dinafikan untuk bertanding. Sebabnya mungkin juga kerana abangnya lagi atau mungkin kerana ada kebimbangan kedudukan Idris, maka sekali lagi Wan Farid disisihkan.

Seorang lagi yang sepatutnya sudah boleh jadi calon ialah Ketua Pemuda Negeri, Mohd Sabri Alwi. Pada PRU 11/2004 beliau adalah Ketua Pemuda Bahagian dan Bendahari Pemuda Negeri. Namanya langsung tidak disebut untuk bertanding, mungkin kerana Idris menyedari ‘A dan P’ tiada pada diri Mohd Sabri, maka Mohd Sabri tidak berpeluang jadi calon.

PRU 12/2008 Mohd Sabri yang menjadi Ketua Pemuda Negeri selepas PRU 11/2004 dan masih Ketua Pemuda Bahagian juga tidak diberi peluang oleh Idris untuk bertanding walaupun beliau amat akrab dengan Idris. Cuma kali ini namanya ada disebut sebagai 'antara calon' untuk DUN Batu Burok.

Seingat penulis, dalam sejarah politik UMNO negeri Terengganu, belum ada Ketua Pemuda negeri yang tidak diberi peluang menjadi calon pilihanraya, baik semasa beliau berada dalam jawatan itu mahupun selepasnya. Tetapi ini belum berlaku kepada Mohd Sabri.

Hari ini Mohd Sabri masih Ketua Pemuda negeri (sekurang-kurangnya sehingga Mac 2009 nanti) dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang menang selesa di Bahagian Kuala Terengganu. Inilah rasanya peluang yang terbaik untuk Mohd Sabri dipilih sebagai calon, bagi membuktikan benarnya kata-kata Setiausaha Agung UMNO (Datuk Tengku Adnan) bahawa calon yang menang dalam pemilihan bahagian baru-baru ini adalah terdiri daripada mereka yang bekerja untuk rakyat, bukan kerana wang.

Bagaimanapun, Wan Farid dilihat lebih cerah dan lebih mempunyai potensi untuk menang berbanding Mohd Sabri. Beliau tidak lagi boleh dikaitkan dengan abangnya kerana abangnya sudah kalah Mac lalu di DUN Ladang.

Soal ‘orang Idris orang Mat Said’ juga tidak timbul kerana Wan Farid pernah menegaskan bahawa beliau bukan orang Idris, kalau orang Idris beliau dah pun dipilih menjadi calon, katanya. Cuma beliau mungkin lupa, beliau dilantik selaku senator adalah cadangan Idris dan pada zaman Idris. Sekarang sudah zaman Mat Said.

(Sebagai selingan), kalau Mat Said mahukan perubahan dan tidak mahu menyentuh sensitiviti dan perasaan pemimpin besar di Kuala Terengganu itu kerana memilih ‘orang yang tidak tepat’ di kalangan mereka, pilihan terbaiknya ialah meletakkan orang luar Kuala Terengganu sebagai calon. Itulah yang dinikmati oleh calon PAS (Mat Sabu) pada PRU 12/2008 lalu dan oleh Allahyarham Razali Ismail sendiri pada PRU 11/2004. Razali anak kelahiran Kuala Berang, Hulu Terengganu. Cuma rumah tangganya sahaja di Kuala Terengganu.

Kalau ini menjadi pilihan Mat Said, calon paling sesuai tentulah Setiausaha UMNO negeri merangkap Ketua UMNO bahagian Dungun, Dato’ (Dr Jepun) Rosli Mat Hassan (Pak Rosli). Atau boleh saja dicadangkan Dato’ Tengku Putera Tengku Awang (Ku Tera), Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua UMNO bahagian Hulu Terengganu. Mereka berdua pernah mendakwa telah dinafikan haknya bertanding oleh Idris pada PRU 12/2008 lalu.

Kalau kedua mereka ini dipilih, sudah tentu orang Kuala Terengganu tidak kuat sangat melentingnya, memandangkan dua tokoh ini orang kanan Mat Said dan pemimpin UMNO peringkat negeri. Orang Kuala Terengganu boleh menerima dan bekerja untuk mereka. Lagi pun kalau Idris boleh bawa Dato’ Zali orang Hulu Terengganu ke Kuala Terengganu, kenapa Mat Said tidak boleh membawa pula mereka berdua?

Kelemahan mereka berdua ini hanyalah sedikit. Mereka berdua ini tidak ‘kuat’ bekerja masa pilihan raya umum lalu di bahagian masing-masing, mungkin kerana mereka kecewa atau mereka sudah yakin kepada kekuatan UMNO di tempat masing-masing ketika itu.

Kalau itu juga menjadi halangan, Mat Said boleh menyilau tokoh-tokoh baru dan berpotensi yang berada di luar kotak elit nama-nama besar itu, termasuklah seperti Ketua Pemuda Bahagian yang baru atau AJK Bahagian yang lengkap dari segi ketokohan, berpelajaran, muda dan setia kepada parti.

Atau juga Mat Said boleh ‘meniru’ Idris Jusoh yang menjemput untuk menjadi calon di kalangan ‘orang luar kotak politik’ seperti Allahyarham Razali juga. Razali orang akademik, pegawai kerajaan dan bukan pemimpin atau aktivis parti pun. Selain dia menonjol dalam bidangnya, dia juga dipilih kerana ketokohan, kebolehan, kelayakan dan kemampuan yang dapat dihidu oleh Idris dan Pak Lah.

Banyak orang seperti Razali (malah lebih baik daripada Razali) di Kuala Terengganu atau dalam negeri Terengganu atau anak Kuala Terengganu @ Terengganu yang berada dan mencari makan di luar Terengganu. Mereka mungkin tidak menonjolkan diri tapi sudah terserlah dalam bidang masing-masing selain amat berpotensi untuk jadi Wakil Rakyat. Mat Said boleh juga menyuluh mereka, kalau-kalau pilihan daripada kalangan mereka ini boleh menyelamatkan keadaan.

Cuma yang perlu Mat Said ingat juga ialah "ini adalah pilihan raya yang melibatkan pengundi berbagai fahaman, bukan pilihan untuk memilih pemimpin dalam UMNO”. Dan Mat Said juga harus percaya dengan cakap dan optimisnya pemimpin UMNO bahawa “berbalah dalam UMNO adalah bab dalaman, masa tiba pilihan raya, kita akan bekerja secara pilihan raya, dan buktinya UMNO tetap utuh dan menang kerana kami boleh bersatu semula”. Lagi yang Mat Said kena fikir betul-betul ialah calon yang bakal dipilih ini nanti akan berhadapan dengan calon parti lawan yang sudah tentu juga dipilih daripada yang terbaik di kalangan mereka.

Yang pasti, P036 Kuala Terengganu bukan kawasan selamat BN, bukan juga kawasan mudah buat PAS/PR. Kerana Kuala Terengganu berkedudukan elit dengan pengundi-pengundinya juga banyak yang elitis itulah, makanya Kuala Terengganu sudah beberapa kali bersilih tikar antara Semangat 46, PAS dan BN.

2008 - P036 - RAZALI BIN ISMAIL (BN/UMNO)
2004 - P036 - RAZALI BIN ISMAIL (BN/UMNO)
1999 - P036 - SYED AZMAN BIN SYED AHMAD NAWAWI (PAS)
1995 - P036 - DATO' ABU BAKAR BIN DAUD (BN/UMNO)
1990 - P033 - DATO' ABDUL MANAN BIN OTHMAN (S46)
1986 - P033 - ZUBIR B EMBONG (BN/UMNO)

Apa-apa pun, umum sedang memerhati dan akan membuat analisis tersendiri bahawa jika keputusan PRK Kuala Terengganu tidak menyebelahi BN/UMNO atau merosaknya majoriti kemenangan BN/UMNO, ini menjadi penanda aras kepada BN/UMNO yang perlu melalui laluan sukar pada pilihan raya umum yang ke-13 nanti dan begitu jugalah sebaliknya.

Ini adalah PRK yang akan menjadi tumpuan dan kerumunan semua orang. Masing-masing parti dan fahaman (UMNO terutamanya) ada suluhan politik dan sebab musabab tersendiri, peri pentingnya P036 Kuala Terengganu WAJIB dimenangi oleh mereka.

Pak Lah dan Mat Said serta semua pemimpin BN/UMNO Terengganu dan Kuala Terengganu rasanya sudah amat sedar perihal ini.
Related Posts with Thumbnails