yang semasa

Jumaat, Mac 06, 2009

YANG SEMAKIN BERKUASA : BUDAK TINGKAT 16

(i)

Barangkali ada benarnya seperti yang didakwa melalui bena di sebelah. Yang mentadbir dan berkuasa dalam kerajaan negeri Terengganu sekarang semakin keliru dan bercelaru.

Dua malam lalu, ketika lepak dan minum-minum bersama beberapa teman di Jalan Batas Baru, datang seorang kawan yang sudah kira-kira dua bulan tidak bertemu. Paling akhir bertemu beliau semasa sibuk menghadapi PRK Kuala Terengganu Januari lalu.

Dalam sembang-sembang itu, kawan saya yang merupakan seorang ahli perniagaan ini mengeluh, merungut dan membebel serta tidak puas hati kepada seseorang di tingkat 16, Wisma Darul Iman (Pejabat Menteri Besar Terengganu). Katanya semua orang tidak puas hati dan marah dengan perilaku budak tingkat 16 ini yang sekarang nampaknya semakin ‘mete’ dan benar-benar berkuasa di Terengganu.

Kata kawan itu, Mat Said Menteri Besar yang sah hanya menjadi tunggul sahaja atau mungkin juga di luar pengetahuan Mat Said dalam banyak hal yang melibatkan pentadbiran kerajaan hari ini, dek kerana budak tingkat 16 ini yang terlalu banyak menggunakan kuasa melangkaui bidang kuasa Menteri Besar berbanding apalah sangat bidang kuasanya sendiri.

Oleh kerana lagak serta tingkah laku melampau dan dalam masa yang sama Mat Said seolah-olah membiarkan budak tingkat 16 ini berkuasa dan berleluasa, kata kawan saya lagi, sudah banyak orang terutama di pejabat SUK yang menggelarkan budak tingkat 16 ini sebagai Menteri Besar II. Namun katanya lagi, gelaran nampak sedikit bawah daripada Mat Said tetapi kuasanya jauh melebihi kuasa yang ada pada seorang Menteri Besar. Itu kata kawan saya.

(ii)

Setelah bertanya punca masalah, kawan saya berkenaan mohon saya menulis perihal perkara ini. Bagi pihak beliau sendiri pula, beliau akan usahakan untuk bertemu dengan Mat Said dalam tempoh terdekat ini dan kalau masih tidak dapat selesaikan, beliau akan dedahkan perkara itu kepada media. Dakwa kawan saya lagi, sekiranya beliau memulakan pendedahan kepada media, akan ramai lagi orang lain yang senasib dengannya akan turut mendedahkannya dan kerajaan Mat Said akan malu besar. Demikian ‘ugutan’ kawan saya yang nampak semakin berang.

Sama ada Mat Said menyedari atau tidak, perkara ini nampaknya menjadi semakin serius. Kata kawan saya itu, kerajaan negeri berhutang dengannya lebih daripada RM1 juta. Sebagai orang berniaga, beliau amat memerlukan wang untuk meneruskan perniagaannya. Beliau akui kebanyakan produk yang dibekalkannya dibuat semasa zaman Idris Jusoh menjadi Menteri Besar tetapi bukan ditempah sendiri oleh Idris Jusoh tetapi ditempah oleh sebuah agensi kerajaan negeri untuk kegunaan dan kepentingan kerajaan negeri. Sama seperti tempahan ketika ini yang bukannya ditempah sendiri oleh Mat Said.

Memandangkan kelulusan dan tempahan serta bekalan berkenaan dibuat pada zaman Idris Jusoh, maka kata budak tingkat 16 @ Menteri Besar II, perbelajaannya tidak akan dibayar. Alasannya Idris Jusoh yang berhutang bukan Mat Said.

Kes serupa ini bukan sahaja menimpa kawan saya itu, malahan banyak orang. Ada yang merungut Mat Said telah menghentikan semua program dan bantuan atau sumbangan kewangan yang diteruskan oleh Idris Jusoh, walaupun segala program, bantuan mahupun sumbangan itu adalah merupakan lanjutan tradisi kerajaan BN, bukan baru diperkenal atau baru dimulakan pada zaman Idris Jusoh.

Sama kesnya dengan bantuan tahunan tambang pengangkutan sekolah pelajar-pelajar miskin di pedalaman yang menjadi tradisi sejak zaman Menteri Besar TS Wan Mokhtar lagi. Bantuan berkenaan diteruskan oleh Idris Jusoh malahan pada masa kerajaan Pas pimpinan Haji Hadi pun. Tetapi apabila sampai pada zaman Mat Said, bantuan berkenaan disimpan sejuk dalam bakul KIV budak tingkat 16 @ Menteri Besar II sehingga terpaksa beberapa kali diulang angkat. Yang nyata, akhirnya disahkan bahawa kes ini tidak pernah sampai ke pengetahuan Mat Said selaku Menteri Besar apa lagi untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Besar. Alhamdulillah, setelah kes ini sampai ke pengetahuan Mat Said atas bantuan dan usaha seseorang (yang kini dah dinyahkan dari tingkat 16), barulah kes itu selesai dan bantuan berkenaan sampai kepada yang memerlukan.

Tindakan sebegitu dianggap oleh banyak pihak, seolah-olah usaha untuk menghapuskan terus pengaruh dan legasi Idris Jusoh dalam peta pemerintahan kerajaan negeri Terengganu. Lebih buruk lagi tanggapan yang menyatakan seperti kerajaan Mat Said dan kerajaan Idris Jusoh adalah kerajaan bukan daripada parti yang sama.

Tanggapan itu ada benarnya dan teringat saya pada beberapa bulan yang lalu ketika saya bertemu dengan salah seorang bekas pemimpin UMNO Bahagian Kuala Terengganu. Perkara yang sama juga dijaja, seperti ada pakatan untuk memburukkan kerajaan pimpinan Idris Jusoh terdahulu. Cuma yang pasti, bekas pemimpin UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu menyebut perkara ini selepas beliau marahkan Idris Jusoh, kononnya Idris menaja ‘orangnya’ untuk menentang dan mengalahkan beliau di Bahagian Kuala Terengganu.

(iii)

Saya tidak berhasrat untuk mengatakan siapa benar atau siapa yang salah. Idris Jusoh mungkin ada salahnya dan Mat Said juga mungkin ada benarnya. Cuma apabila kita kembali kepada prinsip berkerajaan, kita kena faham dan tahu kaedah berkerajaan dan tanggungjawab sebagai kerajaan.

Sama seperti kerajaan Pas Terengganu 1999 yang mengambil alih pemerintahan daripada BN ketika itu. Kerajaan Pas ‘terpaksa’ membayar balik hutang-hutang yang dilonggokkan semasa pemerintahan sebelumnya dan kerajaan Pas telah berjaya menjelaskan hutang yang bukan sedikit kepada yang berkenaan terutamanya kepada kerajaan persekutuan (walaupun tidak keseluruhan kerana kekangan kewangan yang dihadapi oleh Pas). Demikian juga sebaik sahaja BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2004, kerajaan Idris Jusoh juga turut membayar hutang-hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan Pas sebelumnya.

Itu adalah tanggungjawab kerajaan. Melaksanakan program dan membelanjakan wang (sama ada berhutang atau bagaimana caranya) adalah kaedah perlu bagi menggerakkan negeri. Dan kalau dikehendaki kerajaan itu bertukar tangan, hutang-piutang tetap menjadi tanggungjawab kerajaan semasa. Kalau nak persoalkannya pun, sama ada kerajaan itu belanjanya berhemah atau tidak. Membazir atau membatil. Itu sahaja.

(iv)

Cuma apabila kes kawan saya ini dirujuk kepada budak tingkat 16 @ Menteri Besar II, beliau terus memberi kata putus yakni tidak akan membayarnya kerana itu urusan zaman Idris Jusoh. Seolah-olah segala macam yang dibekalkan oleh kawan saya dan orang-orang lain yang berkaitan itu adalah atas kapasiti peribadi Idris Jusoh bukan kerajaan negeri, sedangkan kelulusannya cukup jelas dan berminit.

Justeru saya melihat perkara ini bukan soal pentadbiran yang diketahui sepenuhnya oleh Mat Said tetapi hanyalah rekaan budak tingkat 16 @ Menteri Besar II yang merasa lebih berkuasa dan penuh berkuasa.

Mat Said perlu melihat perkara ini dengan rasional. Kata kawan saya lagi, kalau benar Mat Said terlibat dengan kepincangan dan tahu hal ini, kenapa Mat Said meluluskan dan menjelaskan hutang berjumlah ratusan RM kepada seseorang yang menulis sebuah buku pada zaman Idris Jusoh sebaik sahaja Mat Said menjadi Menteri Besar, sedangkan permohonan ‘menjual buku’ berkenaan telahpun ditolak oleh mesyuarat Exco Kerajaan negeri pada era Idris Jusoh yang sudah tentu Mat Said (selaku Exco Kerajaan negeri ketika itu) turut berada dalam mesyuarat berkenaan.

Dalam kes ini, apakah Mat Said membawa untuk mendapatkan kelulusan bayaran pembelian buku-buku berkenaan ke dalam mesyuarat Exco? Dan lebih tragis lagi timbul persoalan “ada ke buku-buku tu? Di mana letaknya? Berapa jumlahnya? Berapa kos sebenarnya? Apakah dibayar kerana kroni? Atau ada kepentingan lain?

(v)

Alahai sakitnya UMNO dan BN Terengganu kalau beginilah keadaannya.
Related Posts with Thumbnails