yang semasa

Rabu, Mac 18, 2009

YANG MEROSAKKAN UMNO (1)

Kelmarin semasa sembang-sembang berhubung dengan desas desus akan ada calon yang bertanding merebut jawatan utama akan dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana ‘dikatakan’ terlibat dengan gejala rasuah politik (atau digunakan dalam bahasa yang lebih halus oleh UMNO - politik wang), salah seorang kawan saya yang menjadi perwakilan (G7) daripada UMNO Bahagian Hulu Terengganu terus-terusan mempertahankan ‘rasuah politik’ ini. Katanya kalau nak disifatkan rasuah, yang hadir ke kenduri kahwin dan kemudian ‘bersalam mengaut’ itu juga boleh dipanggil rasuah. Alasannya kerana tuan rumah menjemput hadirin ke kenduri berkenaan.

Tujuan kawan saya itu adalah untuk menegaskan bahawa sekiranya dijemput dan kemudian diberi atau menerima wang / pitis sebagai upahan / balasan atau apa sekali pun istilahnya, maka itu adalah rasuah. Maksudnya, kalau G7 / perwakilan dipanggil oleh calon-calon dan kemudian diberi upahan, samalah konsepnya dengan dijemput ke kenduri kahwin.

Sambil berkeras kawan saya terus menegaskan bahawa konsep sebegitu tidak boleh diistilahkan sebagai rasuah. Katanya, dari Hulu Terengganu ke Kuala Lumpur, bukan dekat. Jadi kalau diberi sedikit imbuhan untuk mengisi minyak kereta, itu bukan rasuah tapi bolehlah dikatakan sebagai sagu hati. Tambahan pula, calon yang akan bertanding yang jemput mereka (perwakilan) hadir ke satu-satu perjumpaan dan biasanya yang hadir saja ‘diimbuhkannya’.

Saya hampir tergelak mendengar tafsiran dan analogi kawan saya itu. Dalam hati, saya melahirkan rasa kecewa memiliki kawan sebodoh itu dalam mentafsir sesuatu, asal ada bahagiannya sahaja tanpa langsung mengambil kira prinsip dan ketetapan yang telah dimaktubkan.

Itulah tahap pemikiran sebahagian perwakilan UMNO yang dipilih oleh perwakilan UMNO cawangan. Fikirkanlah sendiri tahap ahli UMNO di peringkat cawangan yang memilih perwakilan cawangan ke bahagian dan seterusnya.

Cuma yang boleh saya banggakan sikit ialah tahap pemikiran kawan saya ini sudah agak setanding dengan pemikiran Sasterawan Negara yang masih gagal membezakan antara belajar dan bercakap bahasa Inggeris dengan belajar mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (Samad Said cabar pemimpin Umno berbahasa Inggeris dalam kempen pilihan raya kecil – Harakahdaily).
Related Posts with Thumbnails