Rabu, Oktober 07, 2009

YANG BAKAL DIBALAS JASANYA

Cerita pengguguran dan pengantian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu muncul lagi. Sebenarnya cerita ini dah banyak kali dihebohkan dan sudah acap kali diulangtayangkan. Walaupun MB Mat Said sendiri telah membuat pengakuan dan kenyataan menafikan perihalnya, ceritanya tetap muncul lagi.

Kali ini datangnya daripada kerabat Wisma Darul Iman sendiri. Entah betul atau sebaliknya, itu tidak pasti, tetapi yang pasti cakap-cakap kerabat ini bukan cakap politik tetapi cakap pentadbiran. Kata beliau, mungkin tidak berlaku dalam tempoh terdekat ini, tetapi mungkin selepas sidang DUN Disember ini atau pada awal tahun hadapan.

Dan khabar serta cakap ini amat bertepatan sekali dengan situasi terkini yang sedang dihadapi oleh MB Mat Said dan ‘ketenangan’ dalam politik Terengganu. Justeru, tahap kepercayaannya bolehlah diletakkan sebagai 51 peratus. Kalau dalam pemilikan saham, 51 peratus itu sudah menjadi pemilik majoriti yang berkuasa melebihi pemegang saham yang lain.

Khabarnya ada tiga (3) Exco yang amat bermasalah dengan MB Mat Said yang bakal digugurkan. Salah seorang daripadanya sebelum ini, diuar-uarkan telah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan kerana masalah dalaman yang tidak berkesudahan. Seorang lagi yang sudah ‘redha’ kalaupun beliau digugurkan, justeru tindakan dan cakapnya sudah tidak terbatas bebasnya. Manakala yang ketiga, rasanya sudah banyak kali sebenarnya disebut yang beliau akan diganti dan digugurkan dan beliau ini memang amat tidak disenangi oleh MB Mat Said.

Dan sebagai gantinya, sudah tentulah dipilih daripada kalangan orang yang sejak kebelakangan ini telah banyak membantu MB Mat Said dalam mengharungi apa yang disebut sebagai kemelut dalaman UMNO Terengganu. Tiga orang pengganti ini (kalau betul akan diganti), adalah di kalangan geng 10 budak hitam yang sejak kebelakangan ini (entah telah dijanjikan atau telah dibuat perkiraan dengan MB Mat Said atau dengan sesiapa sahaja yang berkuasa), memang jelas kelihatan muncul dalam setiap program yang melibatkan MB Mat Said atau dalam program-program yang turut melibatkan MB. Diperkukuhkan lagi dengan kenyataan-kenyataan yang muluk-muluk dan secara langsungnya telah mengembalikan maruah dan imej MB Mat Said.

Baguslah kalau khabar ini menjadi kenyataan nantinya. Inilah yang dikatakan membalas budi dan jasa. Siapa kata MB Mat Said tidak tahu membalas budi dan jasa wakil-wakil rakyatnya? Hanya orang yang tak tahu memberi budi dan menabur jasa kepada MB Mat Said sahaja yang berkata sedemikian.

Dan siapa pula yang berkata wakil rakyat UMNO Terengganu hangat-hangat tahi ayam dalam perjuangan mereka? Sesuatu yang maha zalim kalau dikatakan sedemikian, apa lagi kalau ada orang yang tak tahu diuntung menuduh wakil-wakil rakyat UMNO Terengganu ini ada kepentingan peribadi dan gilakan jawatan.

Harap-harap kali ini MB Mat Said cubalah sedaya mungkin untuk mengotakan katanya. Janganlah seperti sebelum ini, walaupun sudah dihebohkan di akhbar, hangatnya seperti ayam nak bertelur sahaja.

Dan kalau khabar ini bukan lagi khabar hanya sekadar untuk menyedapkan halwa telinga dan terbukti perjuangan geng 10 budak hitam telah berjaya, sewajarnya mereka ini (khususnya 3 orang yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai Exco menggantikan Exco sedia ada itu), wajar dikalungkan ucapan tahniah yang setinggi-tingginya. Tahniah kerana pengorbanan dan budi mereka sudah amat berbaloi dengan balasan dan anugerah yang bakal diterima mereka.

Manakala kepada 3 orang Exco sedia ada yang juga disebut-sebut bakal digugurkan dan diganti itu, juga sewajarnya diungkapkan kalimah tahniah yang maha tinggi kerana rela berkorban dan memudahkan kerja dan menenangkan pemikiran MB Mat Said selepas ini. Mereka bertiga inilah antara anggota ‘kumpulan penentang dan penderhaka’ yang ada kepentingan peribadi dan banyak menyusahkan MB Mat Said selama ini.

Selamat ‘kembali’ semuanya. Semoga 6 orang ini bersama MB Mat Said dapat tidur lena tanpa dibuai mimpi ngeri lagi.

Khamis, Oktober 01, 2009

YANG TAK KESIHANKAN MB

Dua Pemimpin Pemuda Umno Diberkas Terlibat Dadah

Itu tajuk berita dua hari lalu. Dengan rasa penuh kesedaran dan bertanggungjawab, marilah kita sama-sama andaikan bahawa cerita ini cerita rekaan (???). Cerita ini semata-mata untuk memburukkan nama baik dan nama harum MB Mat Said (???). Jadi, jangan percaya dengan cerita ini. Sebabnya, mana ada surat khabar lain yang pakai cerita ini… hanya agensi Berita Nasional (Bernama) saja yang berani. Betul-betul Bernama nin nak kena. Nasib baik Bernama tu bukan bakul, kalau bakul rasanya sudah kena sepak terajang dah… Kesihan kepada MB Mat Said.

Walaupun kita diminta buat andaian atau dalam bahasa halusnya dilarang sama sekali mempercayai cerita ini, tapi dek kerana beritanya sudah diterbitkan untuk tatapan umum - orang kampung pun semua dah tahu, nak tak nak, kenalah juga tambah-tambah cerita, biar cerita tu menjadi semakin sensasi dan sedap didengar.

Wooiiittt… Yang diberkas kes dadah itu sebenarnya dua ‘pemuda harapan bangsa’, terdiri daripada pemegang jawatan semasa dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman (ulang : Bahagian Kemaman, ulang : Bahagian Kemaman, ulang : Bahagian Kemaman). Orang Terengganu sebut Kemamang…. Kemamang…. Kemamang….

Kepada pembaca sama ada yang sudah tahu apa lagi yang hanya tahu sikit-sikit, sukacita dimaklumkan bahawa Bahagian Kemaman merupakan salah satu daripada 8 bahagian UMNO yang ada di Terengganu. Bahagian ini memang hebat. Ahli Parlimen Kemaman seorang Menteri penuh. Ada 4 DUN dalam Parlimen Kemaman iaitu DUN Kijal, DUN Cukai, DUN Kemasik dan DUN Air Putih. Ketua UMNO Bahagiannya bukan calang-calang orang. Sekarang bergelar Yang Amat Berhormat Menteri Besar, merupakan ADUN Kijal. ADUN Cukai pula merupakan seorang Exco Kerajaan Negeri sejak 2004.

Seorang lagi yang hampir-hampir nak jadi Exco tapi sempat tersungkur kerana RM5 ribu adalah ADUN Kemasik juga dalam parlimen Kemaman (sedihnya kes ADUN Kemasik ini, hari raya pun ‘diadakan’ rumah tertutup). Satu lagi DUN dalam parlimen ini ialah DUN Air Putih, pada mana ADUNnya adalah anakanda kepada mantan Menteri Besar Terengganu selama 25 tahun. Manakala mantan ADUN Air Putih penggal 2004-2008 lalu sekarang ini adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu.

Banyak lagi kehebatan yang tak termuat nak ditulis dalam ruang terbatas ini berkait dengan Bahagian Kemaman. Itu tak termasuk kes beli bas bernilai RM1 juta lagi. Tak termasuk juga papan tanda elektronik/digital (maaflah, entah betul ke tidak namanya, saya pun tak reti nak sebut) yang juga harganya juta-juta, sekarang sudah ‘koh’ (kalau jam dinding kerana tiada bateri) di persimpangan lampu isyarat Bandar Cukai Utama berhadapan Balai Bomba tu. Itu juga belum termasuk, satu-satunya daerah yang ‘advance’ satu ketika dulu kerana ada ‘roller coaster’ mengalahkan mana-mana disneyland, yang sekarang ini 'roller coaster' berkenaan dijual sebagai besi buruk di mana entah…

Juga tak termasuk, kilang besi yang kena kecek. Tak terhitung lagi kehebatan satu-satunya daerah yang adanya zoo terbesar di Asia termasuk untuk menempatkan spesis kambing boer, yang tiada pada zoo-zoo lain di negara malahan mungkin di dunia ini. Banyaknya kehebatan Kemaman. Semuanya kerana kerja kuat orang Kemaman dan sebahagiannya usaha MB sekarang sendiri.

Laaa… cerita lain pulak dah. Baiklah. Berbalik kepada cerita kes dadah ini, baik sesiapa sahaja yang tahu dan kenal pemuda harapan bangsa ini - sama ada waris warah, kaum kerabat mahupun hanya saing rodong, apa lagi ibu bapa tercinta, sudah amat pasti, lagi lagilah amat amat dukacita dengan apa yang berlaku. Barangkali ayat yang paling tepat untuk mengambarkan kekecewaan terhadap fie perangai dua pemuda harapan bangsa ini ialah ‘apa kejadah punya kerja budak-budak tua ni. Nak ‘memunohkan’ nama baik Yang Amat Berhormat ke???… Kesihan MB Mat Said.

Malu… malu dan aib sekali. Dahlah terlibat dengan benda haram dan merosakkan begitu. Berlaku pula di rumah dan di kampung MB Mat Said. Apa namanya? Kijal?…. Kijal? Kijal? Betullah tu agaknya. Kalau betul, tu nama DUN yang wakil rakyatnya MB Mat Said. Dahlah begitu, mereka ni pula bukan calang-calang orang. Orang kuat MB Mat Said. Jawatan mereka di peringkat Bahagian dan kampung hebat. Seorang Naib Ketua Pemuda Bahagian dan seorang lagi AJK Pemuda Bahagian.

Yang Naib Ketua Pemuda Bahagian tu pulak khabarnya merangkap Pengerusi Penyelaras Pemuda DUN Kijal, Ketua UMNO Cawangan Kijal dan Pengerusi JKKK Kijal lagi tu (Ketua Kampunglah senang panggilnya). Hairannya, macam mana beliau tergamak kedaroh benda jahanam tu. Masya-Allah…Kesihan MB Mat Said.

Takkanlah pemuda harapan bangsa tu tak faham-faham. Kesihan MB Mat Said. Lepas satu, satu cerita timbul. Lepas 3 juta timbul pula cerita 5 ribu 20 ribu. Lepas tu timbul pula cerita ini. Pemuda-pemuda harapan bangsa nin agaknya suka sangat melihat MB Mat Said melelehkan air mata. Mentang-mentanglah MB Mat Said tu ‘pelakon air mata’, rela mereka sekali lagi nak menyaksikan dengan penuh ghairahnya MB mereka menangis dan menangis lagi. Biarlah MB Mat Said simpan air mata untuk bekal pencen nanti. Kata nak pergi kerja luar negara dengan air mata tu. Tak faham betullah budak-budak nin. Tak kesihan langsung. Kesihan MB Mat Said.

Fikirlah sikit, mana sempat MB Mat Said nak ‘kutip cara’ semua hal. MB Mat Said banyak kerja lain. Nak fikir hal negeri, membangunkan negeri, stadium runtuh tak selesai lagi, kolam renang bocor tak selesai lagi, terminal lapangan terbang yang bumbung terbang tak selesai lagi. Mana nak membetulkan parti lagi, nak sekeh kepala 10 budak hitam lagi, nak ‘tanda tangan’ banyak lagi kawasan-kawasan dan projek-projek yang bakal diagihkan 'untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat melata’ di negeri bertuah ini lagi. Alahai, budak-budak 41 tahun ni… kenapalah dah jadi budak tua pun tak insaf-insaf lagi. Kesihan MB Mat Said.

Ini namanya anak buah yang tak pandai jaga bos. Sepatutnya yang perlu jaga nama baik bos, orang-orang harapan MB Mat Said inilah, orang seperti dua pemuda harapan bangsa tu. Inilah yang dikatakan tak pandai jaga bos dan menyusahkan jiwa dan raga bos nin…Kesihan MB Mat Said, kat mana nak letak muka. Buat muka selamba macam sekala dahlah MB Mat Said oooo..

Kesihan MB Mat Said. Tapi tak mengapa kalau kita ‘reverse psikology’ sikit cerita ini. Kita katakan bahawa, mereka adalah pemuda harapan bangsa dan harapan negeri Terengganu, inilah contoh TERBAIK generasi muda yang diwakili oleh pemuda UMNO yang diharapkan oleh generasi muda untuk menghapuskan musuh nombor satu negara itu. Dan inilah juga yang dikatakan ‘harapkan pagar, pagar TAK makan padi, harapkan haruan, haruan TAK makan anak’…

Lagi pun, MB Mat Said adalah Menteri Besar. Punyai kuasa untuk menyelamatkan pemuda harapan bangsa ini. Lagikan kawasan ribu-ribu hektar boleh selesai, inikan ‘small matter’ macam ini. Don’t be khuatirlah. MB Mat Said kan ada. MB Mat Said tak kan nak biarkan pemuda harapan bangsanya diperlakukan begitu. Hello hello sepatah dua, berehlah boohhh… Lagipun, kes nin bukan besar sangat, belum sampai seksyen 39B pun.. Kacang aje tu… Tapi kesihan juga kepada MB Mat Said, tambah lagi beban masalah untuk diselesaikan. Alahai budak-budak nin, tak ada kerja cari kerja..

Cuma yang agak merisaukan dan kasihan kepada MB Mat Said ialah berhubung dengan soalan cepumas paling sensasi ini…. ‘betul ke seorang lagi orang kanan MB Mat Said turut disyaki sama terlibat dengan benda hamjadah ning?…

syyyy….. jangan cakap belakang….

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kepada yang belum sempat menelaah berita berkaitan, silalah… Berita ini dipetik daripada Bernama Online (Bernama.com)…

Dua Pemimpin Pemuda Umno Diberkas Terlibat Dadah

KUALA TERENGGANU, 29 Sept (Bernama)-- Polis menahan dua orang pemimpin Pemuda Umno bahagian setelah disyaki mengambil dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tengah, Kijal, malam Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt Roslan Abdul Wahid berkata, kedua-duanya yang berumur 41 tahun itu, merupakan antara 74 orang yang diberkas dalam Ops Sepadu yang dijalankan oleh jabatan berkenaan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan Kemaman.

"Seorang daripada mereka ditahan di ruang tamu di rumah tersebut pada pukul 9 malam, manakala seorang lagi ditahan bersama abangnya dalam sebuah bilik di rumah yang sama. Kita merampas satu tiub straw yang mengandungi dadah jenis heroin daripada seorang daripada mereka," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata pemeriksaan air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah.

Seorang daripada mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis setelah kenyataan diambil manakala seorang lagi bersama abangnya telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman sebelum dilepaskan dengan jaminan RM3,000 seorang.

Operasi itu dijalankan oleh 100 anggota dan pegawai dari cawangan narkotik di kawasan-kawasan panas di daerah Dungun dan Kemaman dalam usaha untuk membersihkan kawasan berkenaan daripada kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.

Selasa, September 29, 2009

YANG SAMA & YANG SERASI

Berikut adalah kenyataan / komen dua pemimpin besar UMNO Terengganu berhubung dengan ‘kemungkinan’ selesainya kemelut politik di Terengganu :

Kenyataan / komen 1 :

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yakin kepemimpinannya semakin diterima dan kemelut politik negeri ini akan diselesaikan tidak lama lagi selepas mengambil kira sokongan majoriti wakil rakyat Barisan Nasional (BN) terutama daripada kumpulan penentang selepas beberapa siri pertemuan diadakan. Menurutnya, beliau melihat petanda baik itu melalui sokongan ditunjukkan semua wakil rakyat termasuk 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang sebelum ini menentang pentadbirannya apabila menghadirkan diri sepanjang dua hari persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

Kenyataan / komen 2 :

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kehadiran ramai wakil rakyat dan pucuk pimpinan bahagian jelas membuktikan kepada semua pihak bahawa Umno Terengganu tidak berpecah seperti tanggapan sesetengah pihak.

Kesimpulan :

Kedua-dua pemimpin ini memang sama dan serasi dari segi idea dan pandangan bernas mereka. Tolong jangan pertikaikan kewibawaan mereka dan keserasian mereka dalam menjawab persoalan yang ada kaitan dengan permasalahan dalaman UMNO Terengganu ini. Inilah contoh pemimpin yang seia sekata, sehati sejiwa, sedarah seotak. Pengerusi dan Timbalanlah katakan…

Asas untuk mereka menjadikannya primis kepada ‘keyakinan’ mereka terbukti sama walaupun hanya terbatas kepada FAKTOR KEHADIRAN sebagai tanda aras redanya kemelut yang berlarutan itu. Itulah apa yang dinamakan sebagai ‘pemikiran besar oleh pemimpin besar (UMNO?)…’

Kalau setahap itu bentuk pemikiran pemimpin besar negeri tetapi masih ada lagi orang yang enggan mengakui kehebatan mereka, tak tahulah apa lagi nak dikata…

Yang hanya tahu berkata-kata hanyalah Nujum Pak Belalang. Maka berkatalah Ahlul Nujum Negara itu kepada anaknya Belalang…. “hantam sajalah belalang…”

Jumaat, September 18, 2009

YANG DIGAMBARKAN PEMIMPIN DAYUS

Pemimpin dayus ialah pemimpin yang tidak bertanggungjawab, pengecut, tak beraib malu dan tidak memiliki harga diri. Orang tua-tua mengatakan, “pemimpin dayus, aib tak ada malunya pupus” ; atau dikatakan, “pemimpin dayus, aib menimpa tidak terhapus”. Dalam ungkapan kepemimpinan dikatakan : “Sebagai pemimpin sikapnya dayus, hati pengecut akal tak lurus”.

Khamis, September 17, 2009

YANG PERASAN & YANG TERANGSANG

Kenyataan salah seorang anggota geng 10 budak hitam agaknya membolehkan MB Mat Said bernafas lega sedikit menjelang hari raya ini. Sekurang-kurangnya begitulah. Sebagai hadiah hari raya. Sebagai ampau hari raya. Biar jangan ‘menyerabutkan’ diri dengan ‘bebanan politik’ yang muncul untuk beliau melapangkan minda menyambut lebaran tahun ini dengan lebih meriah dan bermakna lagi menghiburkan tanpa titisan dan deraian air mata.

MB Mat Said patut mengucapkan tahniah dan terima kasih setinggi-tingginya kepada Dato’ Din Adam yang telah ‘membuka pekung di dada’ teman-teman geng 10 budak hitamnya. Kalaupun MB Mat Said tidak mampu untuk melantik semula Din Adam sebagai Exco Kerajaan Negeri, MB Mat Said wajar memberikan kedudukan yang sewajarnya, sesuai dengan pengorbanan dan kesungguhan Din Adam itu. Kalau MB Mat Said mampu dan ada cadangan (telah lama cadangan ini sebenarnya) untuk menukargantikan Exco, makanya Din Adam wajar ‘diberikan semula’ kedudukan itu.

Din Adam telah menyelamatkan maruah besar MB Mat Said. Din Adam berjaya menconteng arang dengan lebih jelas ke muka geng 10 budak hitam yang lain. Padan muka. Jelaslah perut siapa yang nampak membuncit setelah baju dilucutkan dan ‘batu’ siapa yang masih tergantung setelah seluar dilondehkan.

Pada mulanya, saya sendiri mengagakkan dua situasi selepas membaca kenyataan Din Adam berkenaan di akhbar. Pertama bahawa geng 10 budak hitam tidak tahu menahu apa-apa dalam hal ini. Itu mungkin pandai-pandai Din Adam atau dalam bahasa yang lebih lembutnya “kenyataan tanpa restu” teman-teman geng 10 yang sudah demikian hitam pandangan daripada perspektif umum.

Atau keduanya, mungkin juga memang itu pun kehendak dalam hati perut masing-masing. Mungkin masing-masing bersorak girang dan meloncat-loncat keriangan macam kera setelah mengikuti kenyataan yang disuarakan oleh Din Adam menerusi media itu. Mungkin mereka pun turut menarik nafas lega macam MB Mat Said juga.

Justeru, kalau andaian kedua menjadi andaian yang tepat, geng 10 budak hitam patut menyanjung tinggi ‘usaha dan dedikasi’ Din Adam itu, walaupun Din Adam ‘pendek’ orangnya. Siapa kata orang pendek ‘tak boleh pegang buku?’ Jangan perlekehkan orang pendek walaupun ramai yang berkata orang pendek ini susah nak bawa berunding. Susah nak buat kira bicara. Tidak tetap pendirian dan terlalu kluk klik serta amat mementingkan diri. Tetapi Din Adam telah membuktikan bahawa beliau bukan seperti yang digambarkan oleh banyak orang perihal tatalaku dan fie perangai orang pendek itu.

Sebaliknya Din Adam selayaknya disanjung sebagai jagoan @ pahlawan @ panglima besar yang bukan sahaja meningkatkan maruah MB Mat Said malahan juga membogelkan maruah, perangai dan hati perut geng 10 budak hitam. Siapa lagi yang nak diharapkan untuk mengeluarkan kenyataan sebegitu bernas dan mantap, kalau bukan Din Adam.

Kerana itu saya katakan, sekurang-kurangnya MB Mat Said patut meletakkan Din Adam pada kedudukan yang sewajarnya. Sesuai dengan kerendahan dan kependekannya itu. Dan MB Mat Said sudah boleh menonggeng punggung kepada baki geng 10 budak hitam yang hanya hangat-hangat tahi ayam dan berstatus perjuangan tahi kucing itu, terutamanya kepada mereka yang tersengeh macam kerang busuk bersama-sama Din Adam dalam pertemuan bersejarah serta sidang media yang diadakan berikutnya.

Lebih jauh daripada itu, dalam konteks UMNO Terengganu, Din Adam bukan sahaja telah meningkatkan maruah dan martabat MB Mat Said, malahan juga telah secara langsung dan jelas meningkatkan maruah dan reputasi DS Hishamuddin, orang yang dianggap oleh Din Adam sebagai sifu, sahabat dan bos yang langsung tidak boleh disentuh kredibilitinya, diperlekehkan apa lagi dipinggirkan.

Din Adam telah banyak dibantu dan membantu DS Hishamuddin. Terbaharu Hishamuddin telahpun melantik beliau sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri. Perlantikan itu sudah cukup untuk membuktikan ketaatsetiaan Hishamuddin kepada Din Adam dan kewajaran membalas segala budi dan jasa yang tidak ternilai itu oleh Din Adam kepada Hishamuddin.

Kejayaan Din Adam menyusun pertemuan dan kemudiannya memberikan kenyataan sebegitu lunak dan bernas adalah juga kerana Hishamuddin. Din Adam sanggup dan rela berkorban apa saja untuk Hishamuddin, waima sehingga melacurkan perjuangan dan melecurkan maruah geng 10 budak hitam yang kononnya dipelopori beliau sebelum ini. Itulah kebanggaan beliau yang mahu tidak mahu, amat wajar diberi perhatian dan celikan mata yang maha luas oleh Hishamuddin.

Hishamuddin kena sedar, Din Adam telah menyelamatkan maruah dan ‘kemerudunan’ reputasi beliau selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri. Hishamuddin disahkan sebagai telah gagal untuk menyelesaikan kemelut dalam UMNO Terengganu sehingga Naib Presiden UMNO itu dikatakan tidak lagi dipercayai oleh Presiden parti, walaupun mereka bertaraf sepupu.

Kalau Hishamuddin berjaya menyelesaikan atau sekurang-kurangnya mengendurkan sedikit kemelut politik Terengganu yang sebegitu lama memburukkepalakan itu, tidak mungkin TS Muhyiddin ‘diminta’ untuk campur tangan dalam hal ehwal dan kemelut berpanjangan politik Terengganu, walaupun kenyataan TS Muhyiddin adalah sebagai orang tengah yang akan dibantu oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BPUNT.

Kerana itulah, Din Adam menyusun pertemuan dengan bantuan ‘wakil khas’ Hishamuddin, walaupun terpaksa menculik dan melebong beberapa Ahli YB yang sudah pening-pening lalat itu, bimbang kalau-kalau tidak tersenarai semula untuk pilihan raya yang akan datang atau lebih jelas akan hilang kepentingan tersendiri untuk masa depan ‘bangsaku’. Maka berdiri dan tersengih-sengihlah mereka menyondolkan kepala agar tidak terkeluar daripada ‘frame’ TV, nanti tidak terpandang pula oleh Hishamuddin dan paling penting dapat dilihat oleh Presiden.

Itu peranan dan jasa besar Din Adam kepada DS Hishamuddin mahupun kepada MB Mat Said. Jauh daripada itu dalam masa yang sama, tindakan itu juga merupakan satu ‘pengorbanan’ dan kemalacelakaan yang tidak kurang besar juga kepada geng 10 budak hitam yang hangat-hangat tahi kambing (boer?), menekup batu, bercakap kosong sahaja dan berdiri teguh di belakang kepentingan sendiri itu.

Kerana itulah sebenarnya tanggapan dan pandangan umum terhadap geng 10 budak hitam. Umum jelas melabelkan bahawa YB-YB atau lebih tepatnya orang UMNO Terengganu hanya cakap sahaja berdegar-degar, seperti ayam kampung yang kokoknya berderai-derai walhal ekor bergelumang dengan tahi. Bagi pandangan umum, YB-YB berkenaan mudah ditutup mulut dan mengendurkan ‘perjuangan’ mereka dengan kepentingan. Beri sahaja kedudukan, projek dan sedikit kuasa, mereka sudah boleh dijinakkan.

Kata umum, YB-YB atau orang UMNO Terengganu bukan seperti orang UMNO Kelantan yang ‘berpegang kepada prinsip’ perjuangan dengan kental dan tidak mudah untuk diganggugugat, walau dengan apa sekalipun. Betul atau tidak telahan umum itu, wallahuaklam. Sama-samalah kita perhatikan kebenaran atau ketidakbenarannya.

Seperti yang saya sebutkan di awal tadi, pada mulanya saya sendiri mengagakkan bahawa geng 10 budak hitam memang merestui dan menerima sepenuhnya kenyataan Din Adam sebagai mewakili teman-teman geng 10. Tetapi saya menjadi ‘terkejut beruk’ apabila tindakan Din Adam itu dikatakan sebagai tindakan ‘rekaan semata-mata’, bersifat dan berkepentingan peribadi dan mereka (baki geng 10 budak hitam) menyifatkan kenyataan Din Adam sebagai kenyataan luar sedar tanpa restu mereka.

Pada mereka Din Adam telah tersasar dan terlanjur daripada landasan dan prinsip perjuangan sebenar. Mereka sebenarnya telah dikelirukan. Mereka siap bertanya, siapakah DS Hishamuddin atau siapa wakil khas Hishamuddin yang perlu mereka tunduk. Mereka juga mulai mempersoalkan siapa Din Adam yang bertindak mengeluarkan kenyataan sedemikian dan dikatakan sebagai mewakili mereka.

Hairan juga, apa lagi yang mereka tidak berpuas hati. Apa lagi yang tidak selesai. Apakah mereka masih tidak mahu menerima MB Mat Said selaku MB bukan atas kapasiti individu? Kalau itu sebenarnya tanggapan dan andaian umum, mereka termasuk juga saya amat tersilap besar rupanya.

Tanpa prejudis, sama ada hanya seorang atau dua orang atau beberapa orang yang ‘masih’ tidak berpuas hati itu, mereka tetap YB UMNO yang tidak berpuas hati. Larinya mereka walaupun seorang daripada landasan perjuangan UMNO, akan tercalarlah maruah dan kredibiliti UMNO seluruhnya. Akan padahlah UMNO dalam menghadapi perang kepentingan dan kekuasaan pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Itu wajar diinsafi dan disedari oleh semua terutamanya pimpinan UMNO pusat mahupun negeri.

Yang jelas, pertemuan dengan sesiapa sahaja (kecuali dengan Presiden dengan syarat-syarat tertentu) adalah tidak penting dan tidak perlu. Dan yang jelas, usaha murni Din Adam seterusnya membuat kenyataan akhbar dengan kenyataan sedemikian adalah tindakan sia-sia yang semakin merumitkan.

Kerana jelas, yang boleh disimpulkan ialah baik DS Hishamuddin, MB Mat Said mahupun Din Adam, janganlah perasan bahawa kenyataan yang digembar-gemburkan itu boleh meleraikan kemelut politik UMNO Terengganu sehingga hari ini. Malahan dengan kenyataan itu keadaan menjadi semakin kalut dan Din Adam sendiri seolah-olah sedang mencari jalan solo yang semakin terhakis daripada kepercayaan teman-teman geng 10 budak hitamnya. Mereka juga janganlah terangsang dengan keghairahan untuk melembutkan dan mengecek hati geng 10 budak hitam yang sudah hitam itu dengan mudah dan begitu-begitu sahaja.

Malah lebih mendukacitakan, mereka langsung tidak hairan kalau air mata MB Mat Said akan mengalir lagi di hadapan pemimpin UMNO pusat, kerana bagi mereka itu adalah skrip yang telah di’patern’kan sebaiknya oleh MB Mat Said. MB Mat Said adalah pelakon air mata abad melinium yang hebat, lebih hebat daripada pelakon air mata Rosyatimah dan Azean Irdawati . MB Mat Said amat patuh dengan prinsip yang dipegang dan diamalkannya. Kata beliau “dengan perempuan, kalau bercakap dan memohon simpati, biar kita dulu yang menangis sebelum mereka (perempuan) menangis”. Jelas kata-kata dan prinsip itu dipegang dan dikotakan MB Mat Said sebaiknya.

Agaknya air mata orang yang berpegang kepada prinsip itu samalah seperti air paip yang bila-bila masa sahaja boleh dibuka tutup tanpa perlu bergantung kepada tahap dan situasi kesedihan atau kepiluan. Dan janganlah hairan apabila nanti apabila orang yang mengamalkan prinsip itu sudah bersara daripada jawatan sekarang, mereka akan mudah mendapat kerja dan mengumpul wang dengan mudah di luar negara yakni dengan menjadi pekerja tetap di kota besar Beijing sebagai tukang menangis pada setiap kematian.

Apa sebenarnya kedegilan geng 10 budak hitam ini? Apakah DS Hishamuddin atau MB Mat Said atau Din Adam sendiri tidak sedar dengan ‘kedegilan beberapa kerat geng ini?' Atau dengan sengaja mereka nak mengelirukan umum dengan situasi yang masih tidak ada apa-apa perubahan ini? Entahlah… yang pasti kemelut tetap berstatus quo begitu, mungkin sehingga semuanya akan menangis tanpa disebabkan faktor kesedihan atau kepiluan yang muktamad.

Apa-apa pun, diharap Presiden, Timbalan Presiden, DS Hishamuddin mahupun MB Mat Said sendiri tidaklah perasan dan terangsang dengan situasi dan mainan politik menjelang hari raya ini. Ini cuma hadiah hari raya yang ‘tidak sepertinya’ daripada geng 10 budak hitam yang masih belum insaf-insaf kerana MB mereka juga tidak pernah insaf. Cuma kalau ada perasaan, itu tidak mengapa.

Selamat hari raya MB Mat Said. Maaf zahir sahaja deh….

(***NOTA : Bagi yang belum berkesempatan membaca kenyataan akhbar Dato’ Din Adam berhubung dengan isu ini, sila layari arkib Sinar Harian, Rabu, 16 September 2009 berikut : http://www.sinarharian.com.my/archive/160909/com/story4684409.asp)

Ahad, Ogos 30, 2009

YANG DIPANGGIL PEMIMPIN BEBAL

Pemimpin bebal ialah pemimpin yang sama sekali tidak memiliki kecerdasan dan tidak pula mampu melaksanakan tugasnya. Orang tua-tua mengatakan, "apa tanda pemimpin bebal, sampai tua tak menyorong akal" ; atau dikatakan, "yang disebut pemimpin bebal, tak tahu beza nangka dan temabal". Dalam ungkapan kepemimpinan dikatakan :

Menjadi pemimpin dungu dan bebal
dada kosong akal sejengkal

bercakap tidak berhujung pangkal
memimpin bagai kehilangan akal
diberi nasihat telinganya tebal
rakyat sengsara negeri tertinggal

dijadikan pemimpin pasti menyesal
dijadikan tua hilanglah akal
dijadikan induk anak dibedal
negeri rosak rakyat terjual.

Sabtu, Ogos 29, 2009

YANG DAH LAMA TAK DICERITAKAN

Betul-betul saya sudah ketinggalan bas. Banyak perkara saya tertinggal khususnya tentang perkembangan mutakhir politik di Terengganu. Entahlah, sama ada sudah bosan, sudah tak berminat atau sudah malas untuk mengetahuinya, saya sendiri pun tak boleh nak pastikan.

Barangkali kerana sudah agak ketinggalan bas, menjadikan sudah agak lama tak diceritakan perihal kawan kita seorang nin. Apa khabar Dr Jepun in bracket? Lama tak dengar cerita. Entah di mana beliau, beliau sendiri sahaja yang tahu. Tapi yang pasti, sejak kebelakangan ini, kelibat dan cakapnya agak mengendur. Mungkin kerana itu jugalah, makanya saya ketinggalan banyak perkara berhubung dengan politik Terengganu.

Masa kawan kita nin tengah galak berkokok dulu, banyak peristiwa dan perkembangan politik Terengganu diketahui umum. Maklumlah orang penting dalam politik Terengganu. Sepatah beliau bercakap, berpatah-patah yang dilaporkan.

Tapi sejak kebelakangan ini, peminat dan pemerhati politik Terengganu seolah-olah kehilangan permata yang menjadi idola mereka ini. Mereka kehilangan suara dan kelibat hebat Dr Jepun in bracket. Entah apa faktornya dan apa sebabnya, wallahuaklam. Tiada orang yang tahu.

Saya sendiri seperti tidak percaya, di tengah-tengah kehebatan Dr Jepun in bracket ‘menguasai’ politik dan kerajaan Terengganu, tiba-tiba sahaja suaranya lenyap begitu sahaja. Seolah-olah ada garuda yang turun menyambar ‘kehebatan’ beliau.

Yang paling saya terkejut ialah tentang beliau bukan lagi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu. Memang saya tak tahu (ulang : tak tahu, ulang : tak tahu) Maafkanlah saya kerana ketidaktahuannya saya terhadap perkara ini. Betul.... saya ingat beliau masih berjawatan itu. Macam mana saya pun boleh taksub sampai begitu. Sampai tak percaya, Dr Jepun in bracket bukan lagi SU BPUNT.

Sebaik saya tersedar perihal Dr Jepun in bracket bukan lagi SU BPUNT, saya menjadi tertanya-tanya. Kenapa DS Hishamudin tak terus menyambung perkhidmatan Dr Jepun in bracket sebagai Setiausaha BPUNT? Beliau kan orang hebat. Beliau kan orang yang serba boleh? Dan yang paling penting, beliau memang ‘nak sangat-sangat’ jawatan itu, kalau boleh nak bawa sampai ke kubur.

Hishamudin atau MB Mat Said tak sedar ke tentang hal ini? Tak ada orang yang tolong menyedarkan mereka betapa Dr Jepun in bracket ini amat memerlukan jawatan itu dan beliau perlu diutamakan? Ke mana kuncu-kuncu dan barua-barua beliau yang ramai sebelum ini? Tak kan, tak ada seorang pun yang rapat dan akrab dengan Hishamudin, sekadar nak menyampaikan betapa perlunya Dr Jepun in bracket ini dikekalkan kedudukannya sebagai SU BPUNT. Tak kan itu pun tak boleh diharapkan. Kalau semua Dr Jepun in bracket nak buat sendiri, nanti apa pula kata orang, semuanya nak bolot seorang saja.

Kesihan Dr Jepun in bracket. MB Mat Said pun tak boleh tolong. Semuanya nak mengharapkan Dr Jepun in bracket lakukannya sendiri. Kesihanlah kepada beliau. Dah lah sebelum Hishamudin melantik pegawai-pegawai UMNO Terengganu dulu, beliau dah cukup kuat melobi untuk nak kekalkan jawatan SU tu. Tak kesihan ke kepada beliau, yang saban hari terjongol di pejabat Hishamudin, mohon simpati. Tanpa prejudis, jangan juga kita nafikan bahawa sudah berapa banyak baju lenin, kot, kasut atau cincin yang ditinggalkan di pejabat Hishamudin tu. Macam mana tak terlantik juga?

Saya juga tak tahu (ulang : tak tahu, ulang : tak tahu) perihal Dr Jepun in bracket dan kaitannya dengan MRR2 di Kuala Lumpur tu. Apa kaitannya? Apa kejadahnya MRR2 tu? Apa masalahnya dengan SPRM tu? Haahh!!! 3 juta? Apa yang 3 juta tu? Pitis? Wang? Orang? Kereta? Baju lenin?

Entahlah, sebab tu saya katakan yang saya tak tahu. Tak tahu, tak tahu dan tak tahu!!! Dan saya sendiri tak nak ambil tahu pun. Cuma yang saya terasa nak tahu sikit (kawan-kawan kena tahu jugak), apa khabar beritanya Dr Jepun in bracket nin. Baik ke? Sihat ke? Masih hebat ke? Masih hisap paip ke?

Dan nak juga bertanya, “Apa khabar SPRM? kenal tak dengan Dr Jepun in bracket? Tak kang tak kenal kot… orang tersohor tu…”

Hendaknya, semoga Dr Jepun in bracket berada dalam keadaan selamat senantiasa adanya…. Aminnn…

YANG NAMANYA PEMIMPIN BADAK

Pemimpin badak ialah pemimpin yang tidak memiliki aib malu, berkata bohong dan berperangai buruk. Orang tua-tua mengatakan, "apa tanda pemimpin badak, muka tebal akalnya pandak" atau dikatakan, "tanda-tanda pemimpin badak, aibnya kurang, malu tak nampak". Dalam ungkapan kepemimpinan dikatakan :

Muka tebal bagai kulit badak
aib tak ada malu tak nampak
ke hulu membohong, ke hilir membengak
ke laut menipu, ke darat melagak.

Diberi nasihat ia mengelak
diberi petua ia menolak
rakyat sengsara negeri pun rosak.

Dijadikan pemimpin datanglah balak
dijadikan tua perangai tak cedak
dijadikan induk kan lintang kedak
negeri binasa umat terinjak.

Rabu, Ogos 26, 2009

YANG TERKENANG SETAHUN LALU

Berada dalam bulan puasa begini, teringat perihal seseorang yang curi-curi tak berpuasa. Bukan budak-budak lagi, tetapi seorang yang berstatus pemimpin tersohor.

Kisah ini berlaku dalam bulan ramadan tahun lalu. Terasa baru sekejap peristiwa itu, tetapi itulah masa dan dunia hari ini. Pejam celik pejam celik, dah berada dalam bulan puasa lagi. Entahlah pemimpin itu, tahun ini masih dengan perangai lamanya lagi atau sebaliknya, wallahuaklam. Harap-harap beliau sudah insaf khususnya apabila beliau terpaksa berhadapan dengan beberapa ujian Tuhan yang telah dilaluinya kebelakangan ini.

Ini bukan nak menyentuh soal peribadi pemimpin itu tetapi dek kerana beliau berstatus sebagai seorang yang wajar memberi teladan yang baik dan wajar pula diteladani, maka sepatutnya beliau menunjukkan fie perangai yang baik dan bersahsiah mulia. Dan kalau ditafsirkan kisah ini sebagai kisah membongkar keburukan peribadi seseorang, maka dalam bulan yang mulia ini saya memohon ampun dan maaf saja. Tetapi sekali lagi suka saya tegaskan, nawaitu saya adalah untuk menjadikan kisah ini sebagai teladan kerana ini adalah kisah benar teladan seorang pemimpin yang tidak sepatutnya dan tidak sewajarnya berlaku.

Ceritanya begini :

Peristiwa ini berlaku di Station Petronas Batu 5, Dungun (yang berhadapan dengan lampu isyarat ke jalan menghala ke Kampung Balai Besar/Gong Pasir). Satu hari di bulan puasa, seorang rakan saya (rakan pemimpin ini juga – rakan saya ini, sekarang memegang jawatan penting dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun - saya namakannya sebagai A) bersama temannya (saya namakan B) singgah untuk mengisi minyak kereta di station berkenaan, dalam perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Waktunya siang hari dalam lingkungan pukul 2.00 petang kurang lebih (waktu setepatnya, saya kurang pasti).

Sebaik A menghentikan keretanya untuk mengisi minyak pada salah satu pam station berkenaan, B terus keluar dan menuju ke tandas untuk membuang air kecil. Masuk sahaja ke tandas, B segera menghidu bau asap rokok (asap tembakau paip sebenarnya) yang masih semerbak - sudah pasti aroma tembakau paip jauh lebih harum daripada bau bahan buangan yang biasa dihumbangkan ke dalam mangkuk tandas.

Tanpa mempunyai apa-apa muslihat, B membuang air kecil pada ruang sinki berdiri yang disediakan walaupun ada satu lagi tandas yang tidak digunakan. Belumpun sempat B selesai membuang air, terjongollah pemimpin itu dengan tersengehnya dan terus keluar tanpa menegur si-B dan B dengan jelas dapat melihat di tangan pemimpin itu ada sebuah ‘pouch’ yang sering digunakan orang untuk mengisi perkakasan menghisap paip. Agak bernasib baik kerana B sahaja yang mengenali pemimpin itu (maklumlah pemimpin tersohor, siapa yang tidak mengenalinya), sedangkan pemimpin itu tidak pula mengenali B (mungkin secara akrabnya).

Kerana tidak selesa membuang air secara berdiri begitu, B pun memasuki tandas yang baru ditinggalkan pemimpin itu. Selang beberapa ketika, B terdengar percakapan telefon pemimpin itu dengan seseorang secara jelasnya. Antara yang disebut pemimpin itu :

“Axxxx, mun doksoh mari agi ah, ‘ATL’ ada sini. Aku dang dah sedapur (hisap paip?). Mun mari lambat sikit ah…”

Terjemahan : (“Axxxx, kau jangan datang lagi, ‘ATL’ ada di sini. Aku dah sempat satu dapur (hisap paip?). Kau datang lambat sikit lah…”)

Selesai membuang air, pemimpin itu, yang sedang bercakap dengan ATL (A) kelihatan terkejut beruk tetapi masih berjaya “maintain selambaland” melihat B, yang rupanya teman kepada ATL. Mereka berdua kemudiannya meninggalkan pemimpin itu sendiri dalam keadaan yang agak serba salah dan masih menyambung menunggu kehadiran rakannya yang dipanggil Axxxx itu.

Dalam kereta, B menceritakan kepada A perihal apa yang dialaminya. Dan mereka berdua membuat kesimpulan bahawa sahlah yang tidak berpuasa dan menghisap paip itu adalah pemimpin itu kerana tiada orang lain ketika itu dalam tandas melainkan mereka berdua. Panggilan telefon kepada kawan (Axxxx) pemimpin itu juga menjelaskan perlakuannya. Dan orang yang dipanggil sebagai “Axxxx” oleh pemimpin itu tidak salah lagi adalah “Axxxx Uxxx” kerana mereka berdua adalah regu terbaik (yang sudah acap kali ditemui) menyembunyikan perangai tidak berpuasanya mereka daripada khalayak.

Moral cerita ini ialah ; sama-samalah kita mengambil iktibar daripada kisah ini agar kita yang berhasrat untuk menjadi pemimpin tersohor dapat menunjukkan teladan dan fie perangai yang baik lagi berjurus kepada masyarakat pimpinan kita. Soal kita dengan Tuhan, itu adalah soal peribadi yang wajib ditanggung sendiri kalaupun kita ‘tidak malu’ kepada-Nya, atau kalaupun tidak ada manusia yang melihat kejadian sebegitu.

Wallahuaklam.

(***Catatan : peristiwa ini diceritakan sendiri oleh rakan saya dan temannya itu pada hari yang sama kejadian, kerana kami berjumpa di Kuala Lumpur pada sebelah malamnya).

Ahad, Ogos 09, 2009

YANG TAK TERKATA TAPI TERTULIS

Membaca Sinar Harian, Sabtu 8 Ogos 2009, halaman N18, tajuk : Apa kalutnya politik Terengganu? berbaur pelbagai rasa menyelubungi diri. Cuma yang paling nyata timbul rasa fikir – “kenapalah tak suka kepada Mat Said tu… kesihan dia, kesihan dia…” (ulang beberapa kali seperti lagu Allahyarham Sudirman Hj Arshad).

Telah beberapa kali disebutkan dalam blog JAM ini, MB Mat Said tidak ‘seburuk dan selemah’ seperti yang digembar-gemburkan oleh ‘musuh-musuh politik’ beliau. MB Mat Said orang yang bagussssss….. hebatttttt…. cemerlanggggg…..

JAM tidak berhasrat untuk memberi respon terhadap semua perkara yang dibangkitkan dalam rencana berkenaan, cuma nak sentuh beberapa perkara saja :

(1) Tak baik mengatakan MB Mat Said orang yang mempunyai psikologi yang tidak stabil semata-mata kerana dia mencabar ADUN PAS bergaduh di luar dewan. MB Mat Said bukan ‘mencabar untuk bergaduh’ tetapi hanya sekadar ‘mengajak’ Wahid Endut (Adun PAS Wakaf Mempelam) bergomol di luar dewan saja. Selain itu tak ada lagi… Yang sebelum itu, masa awal-awal jadi ADUN dan dilantik sebagai YDP MDK, beliau hanya sepak terajang bakul sayur penjaja sayur di pasar Kemaman. Bukan sepak terajang orang. Itu bukan bergaduh. Bergaduh antara orang dengan orang, bukan orang dengan bakul.

(2) Jangan memperlekehkan MB Mat Said sebagai ‘lemah penguasaan bahasa Inggerisnya’. Mana ada lemah, MB Mat Said hanya ‘langsung tak reti’ bahasa Inggeris je… dia sekolah kampung, kesihanlah kepada MB kita nin. Itu pun baca teks ucapan dalam bahasa Inggeris masa perasmian FEI-WEC 2008 dulu tu, molek bedo’oh (molek benar) dah tu… Sampai ada yang menyaksikan siaran langsung di TV, menyangka siaran TV yang sedang disaksikan oleh mereka adalah siaran TV BBC atau siaran TV Amerika. Mereka tak percaya demikian hebatnya MB Terengganu ‘mengeja dan membaca’ teks ucapan Bahasa Inggeris yang disediakan.

(3) MB cakap membur (cakap tidak berasas, cakap ikut sedap mulut)? Hissss… jangan kata macam tu. MB Mat Said nin kang orang yang amat patriotisme kepada kekampungan dan ke-Terengganuan. Cakap beliau tu bukan membur, tapi cara kekampungan dan ke-Kijalan. Mesra rakyat kanggg…. MB Mat Said bukan tak reti nak cakap bahasa baku, tapi memang pelat begitu. MB nin kang orang yang tak menyombong, suka rendah diri, ‘low profile’. Sekali sekala ‘membur’ tu nak buat macam mana. Terlepas cakap dan tak disengajakan lah tu. Tapi dalam membur-membur gitu, cakapnya penuh dengan visi dan misi. Buktinya, baru setahun lebih jadi MB, macam-macam ‘cakap membur’ dah diucapkannya. Pembangunan dan membangunkan rakyat tak penting, yang penting mesti bercakap. Tak buat dan tak laksana tak apa, asal cakap. Membur ke, 'kembur' ke, rakyat Terengganu bukan tahu semua tu. Mereka sudah boleh ditutup mata dan mulut dengan dana hari raya, dana remaja dan macam-macam dana lagi.

(4) DS Najib dan DS Hishamuddin? Alaaaa… mereka nin bukan orang Terengganu. Peduli apa dengan orang Terengganu. Yang penting, mereka dah berkuasa. Yang lagi penting bagi mereka, mereka perlukan sokongan orang UMNO Terengganu untuk memastikan mereka mendapat kuasa dan kedudukan. Sekarang dah dapat. Buat apa nak bersusah payah memikirkan soal rakyat Terengganu lagi. Rakyat Terengganu? Mampus dia lah… Lagi pun, batu, diulang : batu (kalau ada), perlu ditekup. Kalau tak tekup batu, nanti tergugat pula kuasa, kedudukan dan kepentingan.

(5) Yang Sinar Harian menyiarkan rencana panjang lebar sebegitu, apa halnya? Ini sudah tentu yang ‘mengupah’ wartawan/penulis berkenaan adalah Deris Jusoh and the geng atau Deris Jusoh sendiri. Kalau tak pun, geng 10 budak hitam yang kecewa dan derhaka tu. Atau ada gembala lembu yang beri makan lembunya di tangan? Deris Jusoh pun satu hal, kalaupun nak ‘mengupah’ orang menulis, janganlah bagi tulis puji-puji Deris Jusoh pula dalam tulisan tu. Buat macam tu, nampak sangat tembelangnya. Bukan apa, boleh jadi modal lembu-lembu peliharaan untuk meragut rumput umpanan tu. Tak percaya? Sama-samalah tunggu.

Apa-apa pun, diperturunkan sepenuhnya rencana menarik berkenaan untuk tatapan kita bersama, terutama kepada yang terlepas membeli dan membelek akhbar SH kelmarin.

Apa kalutnya politik Terengganu?

(Sumber : Sinar Harian, 8 Ogos 2009 (Sabtu), halaman N18)

Dengan penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka tafsiran yang paling tepat mengenai politik Terengganu sekarang ialah kian kalut dan seolah-olahnya tidak dapat dibendung lagi. Dari satu segi, kekalutan ini agak luar jangkaan kerana dalam Pilihan Raya Umum 2008, negeri ini masih kekal di tangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti dua pertiga. Sedangkan beberapa negeri lain, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang, manakala Kelantan pula kekal seadanya. Dari satu segi yang lain, kekalutan ini memang tidak memeranjatkan kerana Terengganu mempunyai seorang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, yang banyak mencetuskan persoalan berbanding dengan penyelesaian.

Seperti yang diketahui umum, Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh atas perkenan istana. Tanpa mempersoalkan kewajaran dan kerasionalan istana memperkenankan lantikan itu, yang jelas Ahmad Said tidak mendapat sokongan kebanyakan ADUN dalam BN, malahan juga tidak memperoleh sokongan rakyat di negeri itu. Sejak awal pelantikan sebagai Menteri Besar, personaliti beliau sering menjadi bahan persendaan orang Terengganu yang kuat dengan semangat kedaerahan.

Ketika jawatan Menteri Besar Terengganu masih panas selepas pilihan raya umum yang lalu, sebuah akhbar bahasa Inggeris pernah menyebut Ahmad Said mempunyai psikologi yang tidak stabil kerana beliau pernah mencabar ADUN Pas bergaduh di luar Dewan Undangan Negeri itu. Selain itu, akhbar berkenaan mendedahkan bahawa Ahmad Said lemah penguasaan bahasa Inggerisnya, walaupun diakui ini bukannya kriteria penting untuk menerajui sebuah negeri di Pantai Timur. Baru-baru ini, akhbar itu memaparkan Ahmad Said kerana gaut, terpaksa dipapah ketika menghadiri majlis di Istana Maziah.

Satu demi satu malang menimpa negeri yang mempunyai sumber minyak: gagal mempertahankan Parlimen Kuala Terengganu, keruntuhan bumbung stadium, penangkapan seorang ahli UMNO kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur ugutan, dan penyiasatan SPRM terhadap beberapa orang penting dalam UMNO. Semua ini mencerminkan kecelaruan negeri yang dipimpin oleh Datuk Ahmad Said yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Oleh sebab Ahmad Said tidak mendapat sokongan padu daripada ADUN dalam BN, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Luar Negeri ketika itu pernah menyebut bahawa Menteri Besar akan “jatuh berdebuk macam nangka.” Namun, lebih setahun berlalu, “nangka yang kelihatan kurang ranum itu masih tergantung di pokok.”

Masa depan

Apabila beberapa ADUN dalam BN melakukan “pemberontakan” terhadap Ahmad Said, dan akibatnya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO tidak melantik Ahmad sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri, banyak menjangkakan bahawa perjalananan politik beliau sudah sampai penghujung. Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Naib Presiden UMNO dan juga Menteri Dalam Negeri sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menandakan Ahmad Said tidak memperoleh cap Najib. Lebih janggal lagi, beliau satu-satu Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada UMNO yang tidak dilantik sebagai Ketua Perhubungan.

Ahmad Said terus bertahan sebagai Menteri Besar, meskipun dari banyak segi, kepimpinan dan prestasinya terus dipersoalkan. Dengan tiadanya kata muktamad daripada Najib seolah-olahnya pucuk pimpinan UMNO-BN ini rela membiarkan dirinya memikul beban yang berpanjangan, walaupun ini mengorbankan kebajikan rakyat dan menghancurkan masa depan partinya di negeri itu.

Sebagai Menteri Besar, Ahmad Said gagal dalam ujian yang penting, iaitu pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada awal tahun ini apabila BN gagal mempertahankan kerusi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail. Meskipun BN belum mengumumkan calonnya, cakap-cakap tersebar bahawa para pengundi akan beralih kepada Pas. Alasannya, mereka ingin mengajar Ahmad Said yang memang tidak layak sebagai Menteri Besar Terengganu. (Sebenarnya, bahasa yang mereka gunakan terhadap Ahmad Said bunyinya agak keras.)

Semasa kempen pilihan raya kecil itu semakin rancak, seorang ahli UMNO Terengganu pernah menyatakan kebimbangannya bahawa faktor Menteri Besar dan bukannya faktor calon, Datuk Wan Farid Wan Mohd Salleh yang memungkinkan BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen ini.

“Mu tahu,” kata ahli UMNO itu, “orang ramai marah kerana MB cakap membur (cakap tidak berasas, cakap ikut sedap mulut). Cakap tak macam MB. Mu tengok, poster MB kurang, orang benci.”

Dalam nada yang kian marah, dia menambah, “Tidak seperti Datuk Seri Idris Jusoh yang sentiasa jadi penggerak, Mat Said (Datuk Ahmad Said) tidak boleh buat apa satu, slow. Pegawai kerajaan negeri tidak sokong. Macam mana nak menang?” Tengah-tengah orang sibuk nak pilihan raya, dia tukar, pecat pegawai kerajaan; nak tutup anak syarikat kerajaan negeri. Langsung tak fikir!”

Pemerhati politik

Kemarahan ahli UMNO itu melarat kepada pembelian kereta Mercedes. “Mu fikir, teruk tak teruk Mat Said, negeri lain bawah BN pakai Perdana, dia beli Mercedes. Macam tak faham dasar kerajaan BN. Bila orang tanya, dia jawab lebih kurang – dah beli nak buat macam mana, kena pakailah. Kita dengar naik malu.”

Seorang ahli jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang turut bertugas untuk BN dalam pilihan raya kecil itu memberitahu: “Zaman Datuk Deris (Datuk Seri Idris Jusoh), beliau selalu berhubung dan mengadakan mesyuarat dengan JKKK. Paling tidak beliau sms untuk tanya khabar dan berita. Zaman Mat Said (Datuk Ahmad Said), kita JKKK tak tahu apa satu.”

Selaku ketua perhubungan UMNO negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin mengambil langkah bijak dengan mengetepikan beberapa individu yang dilantik oleh Datuk Ahmad Said untuk memegang jawatan dalam UMNO. Pada pandangan umum, mereka dilantik oleh Ahmad Said lebih bersifat “membalas budi” dan bukannya berdasarkan prestasi atau “boleh buat kerja.” Misalnya, pelantikan Zubir Embong yang kerjaya politiknya berkubur sejak tahun 1990, sebagai Ketua Penerangan UMNO Negeri dilihat oleh banyak pihak tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada parti.

Malangnya, tindakan berani beliau itu hanya setakat itu. Rakyat Terengganu khususnya dan pemerhati politik di negara ini amnya, masih tertunggu-tunggu tindakan berani Najib dan Hishammuddin berhubung dengan kepimpinan negeri itu. Hingga kini, kedua-duanya belum menampakkan keberanian untuk membuat keputusan.

Akibatnya, seperti yang dilaporkan baru-baru ini, sebilangan ADUN yang anti-Ahmad Said mula hilang kesabaran mereka dan seakan-akan memberikan kata dua – ingin berpaling tadah. Namun, Najib dilaporkan meminta mereka bersabar kerana beliau baru sahaja mengambil alih pucuk pimpinan negara.

“Sudah berbulan-bulan berlalu, macam mana Najib tidak beri kata putus tentang MB Terengganu,” ulas seorang anak Terengganu yang bekerja di Lembah Klang. Sama ada nak kekalkan MB sekarang, yang penting mesti ada keputusan. Bukan terus tergantung.” Tambah dia lagi, “Macam ambil alih syarikat, Najib mesti patut sudah ada perancangan, siapa yang akan dilantik sebagai CEO (ketua pegawai eksekutif), siapa nak jaga kewangan, pengurusan.”

Untuk kekal sebagai Menteri Besar, Ahmad Said boleh berlindung di sebalik istana. Tetapi, berapa lama? Lambat-laun Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan. Mampukah UMNO-BN bertahan di negeri itu?

Apakah sejarah tahun 1999 berulang lagi akibat keengganan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad berundur, satu negeri jatuh ke tangan Pas. Mungkin musuh-musuh politiknya gagal menjatuhkan beliau, tetapi rakyat mampu melakukannya. Buktinya, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang lalu – rakyat memberikan mesej yang jelas.