Al-Fatihah buat sahabat seperjuangan Mohamad Abdullah @ Pie Gong Pasir (Mat Pie Kemas) yang kembali ke rahmatullah pada 30 Ogos 2010 setelah terlibat dalam kemalangan Sabtu sebelumnya (28 Ogos) di Alor Tuman, Kelulut, Marang Terengganu.
Mat Pie adalah teman sepermainan semenjak kecil yang kebetulan beliau adalah teman sekampung, teman dalam persatuan belia, teman dalam parti yang sehingga akhir hayatnya masih ‘beraliran sama’ dengan JAM. Pendek kata, arwah adalah teman segala teman. Kami seusia. Dan pemergiannya yang agak mengejutkan petang Isnin itu sedikit mengharukan JAM setelah sekian lama tidak bertemu dengan arwah.
Seingat JAM, kali terakhir arwah menelefon JAM ialah ketika UMNO Cawangan Gong Pasir diarahkan mengadakan persidangan semula setelah persidangan sebelumnya didapati tidak sah kerana tidak cukup korum. Kali terakhir bertemu dengan arwah pula ialah pada persidangan UMNO cawangan Gong Pasir yang tidak sah itu (persidangan cawangan tahun 2009).
Selepas itu, JAM tidak pernah kebetulan untuk berjumpa lagi dengan arwah dan arwah juga tidak pula menghubungi atau menelefon JAM. Sedang sebelumnya sekiranya ada apa-apa yang turut melibatkan JAM di kampung, beliaulah satu-satunya teman yang sering menelefon dan diajak berbincang. Sehingga persidangan cawangan 2010 dan kematian ayahdanya kira-kira tiga minggu sebelum kematian arwah (ayahdanya meninggal dunia pada 3 Ogos 2010), arwah tidak memaklumkan kepada JAM.
Begitulah arwah yang pada JAM amat berpegang teguh pada prinsip perjuangan yang agak ‘menentang arus’. Kerana sikap dan prinsip itu jugalah sebenarnya, ramai yang kurang senang dan ‘kurang suka’ dengan arwah. Namun yang pasti, arwah bukanlah orang yang boleh dijual beli maruahnya semudah seperti orang lain termasuklah seumpama bekas Ketua UMNO Cawangan di kampung kami yang walaupun berstatus 'ustaz’ dan ‘imam’ tetapi masih longgar iman politiknya dan goyah pegangannya sehingga terpaksa memungkiri keputusan mesyuarat.
Pada JAM, arwahlah satu-satunya teman yang sehingga akhir hayatnya tetap kekal dan teguh prinsipnya - tidak pernah berubah dan tidak pernah goyah, walaupun disogok, diacah dan digertak oleh sesiapa sahaja. Dan yang pasti dan melucukan, kami sebenarnya, sama ada secara sedar atau sebaliknya, senantiasa berada dalam kelompok ‘orang-orang yang kalah’ walaupun ada kalanya dalam pertandingan, pemimpin atau kumpulan sokongan kami terus menang.
Alhamdulillah, semenjak berita kematiannya tersebar petang Isnin itu sehinggalah kepada pengebumian pada malamnya selepas solat tarawih, ramai sekali teman-teman arwah berkunjung mengziarahi jenazah arwah dan memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.
Yang mengenali arwah tetapi tidak hadir mungkin mereka berhalangan dan diharapkan bukan kerana pertentangan prinsip perjuangan dengan arwah menyebabkan mereka tidak hadir.
Sekali lagi al-Fatihah buat arwah dan semoga roh arwah diletakkan bersama orang-orang yang beriman dan senantiasa dikurniai rahmat Allah Azzawajalla hendaknya. Amin..