Memang agak lama tidak mengemaskini blog JAM ini. Bukan apa-apa, sebenarnya tak ada apa-apa, cuma tak apa-apa sahaja. Utamanya sedikit kekangan waktu yang membataskan sehingga blog JAM ini tidak dapat dikemaskinikan. Ramai yang bertanya kenapa, ke mana, bagaimana, dan apa-apa soalan yang boleh dijadikan soalan.
Sambil itu, banyak juga yang membuat andaian, tekaan dan kesimpulan. Segala andaian, tekaan dan kesimpulan itu lebih hebat daripada yang hebat-hebat di kalangan yang terhebat. Tetapi daripada kalangan yang hebat-hebat itu, ada satu yang saya amat tertarik.
Minggu lalu ketika saya berada di Kuala Lumpur, saya sempat bertemu dengan seorang kawan yang seperti juga blog ini, agak lama tak berjumpa. Perkara pertama yang ditanya si kawan itu adalah berhubung dengan blog JAM ini ialah "mengapa". Setelah saya menjelaskan sebab musababnya sambil bercakap dan bersembang, si kawan yang betul bendul ini pun berkata ;
"Kerana kau tak menulis dalam blog JAM, ada kawan aku yang makan gaji buta, hampir-hampir tak ada kerja". Kata si kawan saya itu lagi ; macam mana nak ada kerja, selama ini dia tu kerjanya tiap hari membelek, membuka, membaca dan membalas apa yang kau tulis dalam blog kau. Jadi bila kau tak menulis, dia dah tak ada kerja dan tak ada apa yang nak dibalas lagi, maknanya makan gaji butalah kawan aku tu.
"Lebih baik kau menulis semula cepat-cepat, kalau tak, kesian kat kawan aku tu, makan gaji buta seumur hidup...", kata kawan saya lagi sambil ketawa terkekeh-kekeh menampakkan gigi palsunya yang bergerak-gerak kerana sudah agak longgar... (ketawanya 'selok' tapi berdeser saja sebenarnya).
Sebelum kami berpisah, saya bertanya kawan saya, "bila aku dah mula menulis semula, agaknya adalah manusia yang masih boleh cari makan kot...". Kawan saya hanya mampu terus 'mendeserkan selok sukanya' sahaja.