yang semasa

Rabu, Oktober 07, 2009

YANG BAKAL DIBALAS JASANYA

Cerita pengguguran dan pengantian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu muncul lagi. Sebenarnya cerita ini dah banyak kali dihebohkan dan sudah acap kali diulangtayangkan. Walaupun MB Mat Said sendiri telah membuat pengakuan dan kenyataan menafikan perihalnya, ceritanya tetap muncul lagi.

Kali ini datangnya daripada kerabat Wisma Darul Iman sendiri. Entah betul atau sebaliknya, itu tidak pasti, tetapi yang pasti cakap-cakap kerabat ini bukan cakap politik tetapi cakap pentadbiran. Kata beliau, mungkin tidak berlaku dalam tempoh terdekat ini, tetapi mungkin selepas sidang DUN Disember ini atau pada awal tahun hadapan.

Dan khabar serta cakap ini amat bertepatan sekali dengan situasi terkini yang sedang dihadapi oleh MB Mat Said dan ‘ketenangan’ dalam politik Terengganu. Justeru, tahap kepercayaannya bolehlah diletakkan sebagai 51 peratus. Kalau dalam pemilikan saham, 51 peratus itu sudah menjadi pemilik majoriti yang berkuasa melebihi pemegang saham yang lain.

Khabarnya ada tiga (3) Exco yang amat bermasalah dengan MB Mat Said yang bakal digugurkan. Salah seorang daripadanya sebelum ini, diuar-uarkan telah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan kerana masalah dalaman yang tidak berkesudahan. Seorang lagi yang sudah ‘redha’ kalaupun beliau digugurkan, justeru tindakan dan cakapnya sudah tidak terbatas bebasnya. Manakala yang ketiga, rasanya sudah banyak kali sebenarnya disebut yang beliau akan diganti dan digugurkan dan beliau ini memang amat tidak disenangi oleh MB Mat Said.

Dan sebagai gantinya, sudah tentulah dipilih daripada kalangan orang yang sejak kebelakangan ini telah banyak membantu MB Mat Said dalam mengharungi apa yang disebut sebagai kemelut dalaman UMNO Terengganu. Tiga orang pengganti ini (kalau betul akan diganti), adalah di kalangan geng 10 budak hitam yang sejak kebelakangan ini (entah telah dijanjikan atau telah dibuat perkiraan dengan MB Mat Said atau dengan sesiapa sahaja yang berkuasa), memang jelas kelihatan muncul dalam setiap program yang melibatkan MB Mat Said atau dalam program-program yang turut melibatkan MB. Diperkukuhkan lagi dengan kenyataan-kenyataan yang muluk-muluk dan secara langsungnya telah mengembalikan maruah dan imej MB Mat Said.

Baguslah kalau khabar ini menjadi kenyataan nantinya. Inilah yang dikatakan membalas budi dan jasa. Siapa kata MB Mat Said tidak tahu membalas budi dan jasa wakil-wakil rakyatnya? Hanya orang yang tak tahu memberi budi dan menabur jasa kepada MB Mat Said sahaja yang berkata sedemikian.

Dan siapa pula yang berkata wakil rakyat UMNO Terengganu hangat-hangat tahi ayam dalam perjuangan mereka? Sesuatu yang maha zalim kalau dikatakan sedemikian, apa lagi kalau ada orang yang tak tahu diuntung menuduh wakil-wakil rakyat UMNO Terengganu ini ada kepentingan peribadi dan gilakan jawatan.

Harap-harap kali ini MB Mat Said cubalah sedaya mungkin untuk mengotakan katanya. Janganlah seperti sebelum ini, walaupun sudah dihebohkan di akhbar, hangatnya seperti ayam nak bertelur sahaja.

Dan kalau khabar ini bukan lagi khabar hanya sekadar untuk menyedapkan halwa telinga dan terbukti perjuangan geng 10 budak hitam telah berjaya, sewajarnya mereka ini (khususnya 3 orang yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai Exco menggantikan Exco sedia ada itu), wajar dikalungkan ucapan tahniah yang setinggi-tingginya. Tahniah kerana pengorbanan dan budi mereka sudah amat berbaloi dengan balasan dan anugerah yang bakal diterima mereka.

Manakala kepada 3 orang Exco sedia ada yang juga disebut-sebut bakal digugurkan dan diganti itu, juga sewajarnya diungkapkan kalimah tahniah yang maha tinggi kerana rela berkorban dan memudahkan kerja dan menenangkan pemikiran MB Mat Said selepas ini. Mereka bertiga inilah antara anggota ‘kumpulan penentang dan penderhaka’ yang ada kepentingan peribadi dan banyak menyusahkan MB Mat Said selama ini.

Selamat ‘kembali’ semuanya. Semoga 6 orang ini bersama MB Mat Said dapat tidur lena tanpa dibuai mimpi ngeri lagi.

Related Posts with Thumbnails