yang semasa

Khamis, Jun 04, 2009

YANG TERTANGGUH

Banyak perkara yang tertangguh, termasuklah untuk saya mengemaskini blog JAM ini. Bukan apa, hanya kerana kesuntukan dan kekangan masa yang tidak dapat dielakkan untuk tempoh seminggu dua ini.

Tambahan lagi, kalaupun ada isu yang wajar ditulis, saya memerlukan pengesahan dan kesahihan maklumatnya dahulu sebelum saya menulisnya. Saya tidak suka menulis berdasarkan penerimaan satu sumber yang kemudiannya boleh dipertikaikan.

Beberapa kejadian yang tidak disangka-sangka berlaku di Terengganu kebelakangan ini dan kebetulan pula saya tidak berada di Terengganu. Sebelum bertolak mengikuti rombongan Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) ke Surabaya mulai 29 Mei hingga 1 Jun lalu, saya hanya sempat melontarkan satu dua pandangan umum dalam blog ini.

Kemudian saya ke Surabaya bersama rombongan Jawatankuasa dan beberapa orang ahli KAWAT. Terima kasih kepada saudara Ayob Mamat, Presiden KAWAT yang sangat bersungguh-sungguh merealisasikan perjalanan rombongan AJK KAWAT ke sana. Kerana Ayob jugalah, saya menggagahkan diri bersama rombongan, walaupun untuk tahun ini sahaja, saya sudah beberapa kali menjejakkan kaki ke negara pancasila itu, tambahan pula saya terpaksa menunda beberapa urusan dengan teman-teman di Kuala Lumpur dan Perak.

Sekembalinya dari Surabaya, saya masih belum sempat pulang ke Terengganu lantaran saya sudah berjanji untuk menguruskan beberapa perkara di Ipoh, Perak. Kerana itu sebaik saya menjejakkan kaki ke bumi tercinta Malaysia, tanpa berehat di Kuala Lumpur atau pulang ke Kuala Terengganu, saya terus memandu ke Ipoh.

Saya menerima tidak kurang 10 panggilan dan SMS semasa ‘runtuhnya’ bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak pagi itu. Kerana saya masih di Ipoh dan ditambah saya masih tidak mendapat gambaran jelas sejauh mana parahnya keruntuhan itu, saya tidak dapat memberi apa-apa komen yang sepatutnya. Saya hanya menerima beberapa keping gambar runtuhan kira-kira setengah jam selepas kejadian melalui seorang teman yang dikirim melalui MMS. Selebihnya saya mendapatkan maklumat dan gambaran melalui berita TV selepas pukul 2.00 petang dan beberapa posting melalui beberapa blog.

Pun demikian saya tidaklah berniat untuk memberi komen tentang kecelakaan itu, apa lagi untuk cepat melatah kalaupun saya berada di Terengganu. Kerana bagi saya sudah ada pihak bertanggungjawab yang sewajarnya memberi ulasan, komen atau apa-apa tindakan selanjutnya. Cuma saya sekadar berkata dan bertanya kepada teman-teman yang menghubungi saya :

i) Mala petaka itu sudah menjadi ketentuan Allah ;
ii) Doa rakyat juga tidak boleh diketepikan ;
iii) ‘Bumbung’ apa pula yang akan runtuh untuk yang ketiganya dalam tempoh pemerintahan MB Mat Said ini selepas dua runtuhan yakni runtuhnya bumbung Dewan Besar SMK Wakaf Tapai, Marang pertengahan tahun 2008 lalu dan terbaru bumbung Stadium Gong Badak itu.

Entahlah. Yang ke hadapan adalah ketentuan Allah. Manusia hanya mampu merancang.
Related Posts with Thumbnails