yang semasa

Ahad, Jun 07, 2009

YANG TENANG & YANG GELABAH

Sudah lebih seminggu saya berada di Ipoh, ibu negeri Perak Darul Ridzuan, negeri yang dikatakan sedang menghadapi kegeloraan politik yang belum ketentuan kedudukannya.

Sebenarnya tidak ada apa yang berbeza dan rasa kemarukan yang amat di Ipoh sekarang. Mungkin kerana sebahagian besar si baju hitam sedang berada di Muktamar PAS Pusat. Yang pasti, pelbagai program dan acara berlangsung dengan lancar dan sempurna di Ipoh sekarang.

Di Ipoh sekarang ini ada pesta Hoki MSSM, ada SUPER (Sukan Perak ke-V), ada lumba basikal, ada festival teater, ada pertandingan golf, ada nasi lemak ayam kampung yang senantiasa meriah dan ada macam-macam yang sekali gus terus menenggelamkan kegeloraan politik yang diuar-uarkan. Perjalanan kehidupan seharian rakyat mereka dan rakyat luar yang berada di Ipoh sekarang ini, tenang seperti juga tenangnya di negeri-negeri yang sedia tenang.

Cuma sebagai ‘orang yang suka bercakap tentang politik’, saya sempat juga menjenguk pandangan banyak orang yang sempat ditemui bertanya khabar tentang perkembangan dan ‘kehendak’ politik mereka di Perak. Sudah pasti, apabila kita banyak bertanya, akan banyaklah pandangan dan saranan. Ada pro dan ada kontranya.

Pun demikian, yang jelas dan menjadi antara perkara pokok apabila diucapkan mereka adalah kebimbangan kedudukan ekonomi mereka, ekonomi negeri dan ekonomi negara mendatang. Mereka sudah mulai resah dengan cadangan kerajaan untuk menaikkan harga petrol September nanti, mereka resah dengan situasi perniagaan mereka yang semakin lembab dewasa ini dan yang paling membimbangkan mereka, kegeloraan politik yang akan mempengaruhi corak dan tuntutan kehidupan mereka.

Kesimpulan dan kehendak jelas yang menyarangi minda baik di kalangan orang Melayu, Cina atau India yang sempat ditemui - diketepikan dahulu kepada manusia pelbagai bangsa yang demikian taksub dengan politik – ialah, walau siapa dan parti mana sekali pun yang menerajui Perak, mereka tidak kisah apa-apa, yang penting kata mereka, ekonomi mereka, tempat mencari makan dan rezeki untuk diri dan keluarga dan perhatian kepada kehendak dan hak manusia marhaen seperti mereka.

Keutamaan mereka adalah sara dan ketenangan hidup mereka dan bukannya ‘kempen bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dengan memakai pakaian hitam setiap hari Sabtu kepada seluruh ahli PAS khasnya terutama pemuda dan rakyat negeri Perak amnya yang cintakan demokrasi.’

Esok akan ada lagi episod baru yang sudah tentu akan menambah kecelaruan politik bumi bersejarah itu, sekali gus akan turut membebani berat beg galas rakyat mereka dengan masalah yang berlipat ganda.

Yang tenang tetap tenang. Yang tidak tenang adalah orang yang gelabah.
Related Posts with Thumbnails