yang semasa

Isnin, Jun 29, 2009

YANG BERKISAH TENTANG LEMBU

Ada beberapa ekor ‘lembu’ yang secara jelas menonjolkan ‘kelembuan’nya.

Lembu 1 :

Lembu ini telah mendapat anugerah yang hebat-hebat sepanjang profesion kelembuannya. Nak dikatakan lembu ini ‘bodoh macam lembu’ berbanding dengan lembu-lembu yang lain, berkemungkinan juga. Namun sifat kebodohlembuannya terserlah apabila lembu ini dengan rakus lagi lahapnya menelan rumput-rumput kering yang diumpan kepada kumpulan lembunya, sedangkan lembu ini secara sedar atau buat-buat tidak sedar telah dipakaikan dengan cermin mata hijau tujuan mengaburi pandangan apabila melihat rumput kering yang sudah luntur warna hijaunya.

Lembu 2 :

Lembu ini berjaya membentuk kumpulan lembu yang kalau makannya tidak disuap, maka tak ada kerjalah para lembuan ini. Untuk beberapa ketika, lembu-lembu ini telah disuap dan makan ditangan gembalanya yang memang suka makan disuap. Malangnya kini lembu-lembu yang telah sekian lama dicucuk hidung yang tak mancung-mancung itu telah kehilangan gembalanya kerana gembalanya telah diikat tangan dek kerana suka sangat makan disuap. Dan lembu-lembu gembalaannya pun berkeliaranlah tidak menentu kelibat sekali gus hilang punca untuk melaksanakan tugas kelembuannya lagi.

Lembu 3 :

Lembu pawah ini akan terus menonjolkan kelembuannya demi jangka hayat kelembuannya, walaupun kebodohlembuannya sudah sekian lama terserlah dan diperhatikan manusia daripada seantero dunia.

Demikianlah adanya lembu-lembu itu.

YANG TERKENANG

Sementara itu, Setiausaha UMNO negeri, Datuk Rosli Mat Hassan turut mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia melaporkan isu itu di muka hadapan akhbar tersebut pada Ahad lepas sehingga ia menimbulkan polemik.

''Saya lihat kualiti wartawan kita (rendah) bila buat soalan, apa yang awak semua mahu? Adakah (berita) dipantau oleh pengarang atau memang awak fikir berita ini (penggunaan Mercedes) baik untuk rakyat atau kerajaan?'' soalnya.

Menurutnya, isu pembelian Mercedes itu yang melibatkan perbelanjaan lebih RM3.43 juta adalah jumlah yang kecil bagi perbelanjaan sesebuah kerajaan negeri. Rosli hairan mengapa ia diheboh-hebohkan.

''Awak fikir RM3.43 juta beli Mercedes ini besar sangatkah bagi sesebuah negeri? Apa pendapat wartawan? Kenapa tidak paparkan perkara-perkara yang positif. Cuba anda jawab," ujarnya. (Utusan Malaysia – 28 Julai 2008).

Betul tu bossssss……… RM3 juta kecil je bos… Kalau 3 juta Rupiah baru besar.

Sabtu, Jun 13, 2009

YANG KARUT MARUT

Rasuah RM3 juta: Tiga pemimpin UMNO didakwa – Sinar Harian

SHAH ALAM – Tiga pemimpin UMNO akan didakwa minggu depan berhubung suapan bernilai RM3 juta bagi projek Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) selepas keterangan pertuduhan ke atas mereka diambil dua hari lalu.

Difahamkan selain dakwaan di atas penyelewengan projek MRR2, Bendahari UMNO, Datuk Roslan Awang Chik dan Ketua UMNO Bahagian Dungun yang juga bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Rosli Md Hassan akan didakwa dengan empat pertuduhan lain manakala tiga pertuduhan lain terhadap Ketua UMNO Bahagian .......

Konsortium Bumi Hijau kontraktor dikatakan memberi suapan kepada ketiga-tiga pemimpin berkenaan atas dasar sumbangan politik UMNO.

Wooiiiittt… ini cerita karut. Bukan diaoranglah. Mereka dianiayai. Diaorang tu bukan jeneral Deris Jusoh. Dia orang tu orang yang baik-baik, tidak rasuah, amanah, bertanggungjawab, jujur, bersih, ‘teretik terening’, ‘bejurus’, hidup mati tidur bangun kerja untuk parti sahaja, bukan untuk isi tembolok sendiri. Diaorang tak main duit-duit haram macam tu.

Yang tidak baik, rasuah, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak jujur, tidak bersih, ‘bolah’, ‘dok jurus’, kerja untuk kepentingan diri, nak buncitkan perut sendiri dan yang makan duit haram tu orang-orang kem Deris Jusoh sahaja.

Diaorang tu (terutama yang disebut sebagai bekas Ahli Parlimen), kerjanya sekarang sebagai penternak sahaja. Kalau dia ditahan, siapa nak bagi makan ayam itik, kerbau lembu, kambing biri-biri yang berkeliaran tu?

Tolonglah jangan buat cerita-cerita yang karut marut macam ni….

Jumaat, Jun 12, 2009

YANG AKAN DIDAKWA?

Siasatan kes rasuah dua Datuk diserah kepada pendakwaan – Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 11 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan siasatan berhubung isu rasuah pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) membabitkan dua lelaki bergelar Datuk telah siap dan diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Syukri Abdull memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan keseluruhan hasil siasatan itu dan telah merakamkan keterangan kedua-dua lelaki yang berusia lingkungan 50-an itu.

Menurutnya, SPRM turut mengambil dokumen berkaitan projek pembinaan lebuh raya berkenaan membabitkan kedua-dua mereka.

"Kami telah menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan SPRM untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit ditahan ketika datang ke pejabat SPRM Shah Alam untuk memberi keterangan kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Bagaimanapun, kedua-duanya telah dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM20,000 setiap seorang.

Turut difahamkan, siasatan mengenai penyelewengan projek tersebut telah dijalankan selepas media pada Ogos 2004 membuat pendedahan mengenai keretakan MRR2 yang tidak selamat digunakan.

Sementara itu, Ketua Unit Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang meneliti kertas siasatan terbabit sebelum sebarang keputusan diambil.

Dalam pada itu, salah seorang daripada Datuk yang dikaitkan dengan kes tersebut, enggan mengulas ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.

Siapa dua Datuk nin? Orang negeri mana? Selangor? Kedah? Perak? Pulau Pinang? Kelantan? Orang politik ke? Kalau orang politik, mereka nin orang UMNO/BN atau orang Pakatan? Kalau orang politik UMNO/BN, tak kiralah dari negeri mana pun, sah mereka nin ‘jeneral Deris Jusoh’… oooppp !!!

Syyyyyy….. Tak boleh komen. Tak boleh ulas panjang-panjang – SEDIH, TERHARU, SEBAK…

Ahad, Jun 07, 2009

YANG TENANG & YANG GELABAH

Sudah lebih seminggu saya berada di Ipoh, ibu negeri Perak Darul Ridzuan, negeri yang dikatakan sedang menghadapi kegeloraan politik yang belum ketentuan kedudukannya.

Sebenarnya tidak ada apa yang berbeza dan rasa kemarukan yang amat di Ipoh sekarang. Mungkin kerana sebahagian besar si baju hitam sedang berada di Muktamar PAS Pusat. Yang pasti, pelbagai program dan acara berlangsung dengan lancar dan sempurna di Ipoh sekarang.

Di Ipoh sekarang ini ada pesta Hoki MSSM, ada SUPER (Sukan Perak ke-V), ada lumba basikal, ada festival teater, ada pertandingan golf, ada nasi lemak ayam kampung yang senantiasa meriah dan ada macam-macam yang sekali gus terus menenggelamkan kegeloraan politik yang diuar-uarkan. Perjalanan kehidupan seharian rakyat mereka dan rakyat luar yang berada di Ipoh sekarang ini, tenang seperti juga tenangnya di negeri-negeri yang sedia tenang.

Cuma sebagai ‘orang yang suka bercakap tentang politik’, saya sempat juga menjenguk pandangan banyak orang yang sempat ditemui bertanya khabar tentang perkembangan dan ‘kehendak’ politik mereka di Perak. Sudah pasti, apabila kita banyak bertanya, akan banyaklah pandangan dan saranan. Ada pro dan ada kontranya.

Pun demikian, yang jelas dan menjadi antara perkara pokok apabila diucapkan mereka adalah kebimbangan kedudukan ekonomi mereka, ekonomi negeri dan ekonomi negara mendatang. Mereka sudah mulai resah dengan cadangan kerajaan untuk menaikkan harga petrol September nanti, mereka resah dengan situasi perniagaan mereka yang semakin lembab dewasa ini dan yang paling membimbangkan mereka, kegeloraan politik yang akan mempengaruhi corak dan tuntutan kehidupan mereka.

Kesimpulan dan kehendak jelas yang menyarangi minda baik di kalangan orang Melayu, Cina atau India yang sempat ditemui - diketepikan dahulu kepada manusia pelbagai bangsa yang demikian taksub dengan politik – ialah, walau siapa dan parti mana sekali pun yang menerajui Perak, mereka tidak kisah apa-apa, yang penting kata mereka, ekonomi mereka, tempat mencari makan dan rezeki untuk diri dan keluarga dan perhatian kepada kehendak dan hak manusia marhaen seperti mereka.

Keutamaan mereka adalah sara dan ketenangan hidup mereka dan bukannya ‘kempen bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dengan memakai pakaian hitam setiap hari Sabtu kepada seluruh ahli PAS khasnya terutama pemuda dan rakyat negeri Perak amnya yang cintakan demokrasi.’

Esok akan ada lagi episod baru yang sudah tentu akan menambah kecelaruan politik bumi bersejarah itu, sekali gus akan turut membebani berat beg galas rakyat mereka dengan masalah yang berlipat ganda.

Yang tenang tetap tenang. Yang tidak tenang adalah orang yang gelabah.

Khamis, Jun 04, 2009

YANG TERTANGGUH

Banyak perkara yang tertangguh, termasuklah untuk saya mengemaskini blog JAM ini. Bukan apa, hanya kerana kesuntukan dan kekangan masa yang tidak dapat dielakkan untuk tempoh seminggu dua ini.

Tambahan lagi, kalaupun ada isu yang wajar ditulis, saya memerlukan pengesahan dan kesahihan maklumatnya dahulu sebelum saya menulisnya. Saya tidak suka menulis berdasarkan penerimaan satu sumber yang kemudiannya boleh dipertikaikan.

Beberapa kejadian yang tidak disangka-sangka berlaku di Terengganu kebelakangan ini dan kebetulan pula saya tidak berada di Terengganu. Sebelum bertolak mengikuti rombongan Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) ke Surabaya mulai 29 Mei hingga 1 Jun lalu, saya hanya sempat melontarkan satu dua pandangan umum dalam blog ini.

Kemudian saya ke Surabaya bersama rombongan Jawatankuasa dan beberapa orang ahli KAWAT. Terima kasih kepada saudara Ayob Mamat, Presiden KAWAT yang sangat bersungguh-sungguh merealisasikan perjalanan rombongan AJK KAWAT ke sana. Kerana Ayob jugalah, saya menggagahkan diri bersama rombongan, walaupun untuk tahun ini sahaja, saya sudah beberapa kali menjejakkan kaki ke negara pancasila itu, tambahan pula saya terpaksa menunda beberapa urusan dengan teman-teman di Kuala Lumpur dan Perak.

Sekembalinya dari Surabaya, saya masih belum sempat pulang ke Terengganu lantaran saya sudah berjanji untuk menguruskan beberapa perkara di Ipoh, Perak. Kerana itu sebaik saya menjejakkan kaki ke bumi tercinta Malaysia, tanpa berehat di Kuala Lumpur atau pulang ke Kuala Terengganu, saya terus memandu ke Ipoh.

Saya menerima tidak kurang 10 panggilan dan SMS semasa ‘runtuhnya’ bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak pagi itu. Kerana saya masih di Ipoh dan ditambah saya masih tidak mendapat gambaran jelas sejauh mana parahnya keruntuhan itu, saya tidak dapat memberi apa-apa komen yang sepatutnya. Saya hanya menerima beberapa keping gambar runtuhan kira-kira setengah jam selepas kejadian melalui seorang teman yang dikirim melalui MMS. Selebihnya saya mendapatkan maklumat dan gambaran melalui berita TV selepas pukul 2.00 petang dan beberapa posting melalui beberapa blog.

Pun demikian saya tidaklah berniat untuk memberi komen tentang kecelakaan itu, apa lagi untuk cepat melatah kalaupun saya berada di Terengganu. Kerana bagi saya sudah ada pihak bertanggungjawab yang sewajarnya memberi ulasan, komen atau apa-apa tindakan selanjutnya. Cuma saya sekadar berkata dan bertanya kepada teman-teman yang menghubungi saya :

i) Mala petaka itu sudah menjadi ketentuan Allah ;
ii) Doa rakyat juga tidak boleh diketepikan ;
iii) ‘Bumbung’ apa pula yang akan runtuh untuk yang ketiganya dalam tempoh pemerintahan MB Mat Said ini selepas dua runtuhan yakni runtuhnya bumbung Dewan Besar SMK Wakaf Tapai, Marang pertengahan tahun 2008 lalu dan terbaru bumbung Stadium Gong Badak itu.

Entahlah. Yang ke hadapan adalah ketentuan Allah. Manusia hanya mampu merancang.
Related Posts with Thumbnails