yang semasa

Isnin, Mac 16, 2020

YANG MENDAPAT MANDAT RAKYAT?

(1) TAFSIRLAH sendiri sama ada kerajaan PN hari ini kerajaan pintu belakang atau kerajaan melalui bumbung. Masing-masing mempunyai rasional tersendiri untuk memanipulasi fakta dan keadaan. 

(2)  Yang JAM nak sebutkan kali ini adalah berkaitan “mandat rakyat”. 

(3) Kerajaan PH sebelum ini mendakwa mendapat mandat rakyat dalam PRU-14 untuk menubuhkan kerajaan 22 bulannya. Itu betul. Mereka (PH) mendapat mandat rakyat dan mendapat majoriti jumlah kerusi di Dewan Rakyat berdasarkan parti. Dalam sistem demokrasi berperlembagaan amalan negara Malaysia, mana-mana ahli parlimen yang mendapat undi majoriti di kawasan masing-masing dikira mendapat mandat rakyat sehingga membolehkan seseorang calon pilihan raya itu diangkat untuk menjadi Yang Berhormat di kawasan yang ditandinginya. 

(4) Maknanya mereka mendapat “majoriti” mandat rakyat di kawasan mereka. Cuma bezanya, mereka tidak mendapat jumlah kerusi majoriti berdasarkan “parti yang mereka wakili”. Oleh kerana Malaysia tidak mengamalkan sistem dua parti, maka jumlah majoriti untuk membentuk kerajaan masih dikira berdasarkan mandat rakyat kepada setiap seorang wakil rakyat mereka. 

(5) Sebab itu, proses lompat melompat parti / beralih sokongan, boleh menjadikan berdirinya atau runtuhnya sesebuah kerajaan. Yang dikira masih lagi “batang tubuh” yang telah mendapat majoriti mandat rakyat daripada proses pilihan raya. Istilah mengkhianati mandat rakyat hanyalah sekadar retorik untuk mendapat simpati dan melepaskan perasaan serta gambaran rendahnya moral dan maruah seseorang YB yang melompat. Proses ini dibenarkan oleh perlembagaan tetapi dari segi moralnya, ini proses yang terkutuk. 

(6) Kalau semua ini diambilkira, istilah pintu belakang atau pintu depan tidak timbul sama sekali. Gabungan atau kesatuan antara parti-parti yang diwakili seseorang Ahli Parlimen hanya merupakan asas untuk memudahkan perjumlahan majoriti mandat rakyat bagi membentuk sesebuah kerajaan. 

(7) Apakah kerajaan PN yang menggantikan kerajaan PH22 dikira kerajaan yang mendapat mandat rakyat? Kalau perkiraan di atas diterima dengan lapang dada, maka kerajaan PN sah menjadi kerajaan yang mendapat majoriti mandat rakyat (di atas kertas). Itu jugalah perkiraan yang dibuat (selain atas kuasa penuh dan budi bicara sebagaimana diperuntukkan dalam perlembagaan) oleh Tuanku DYMM SPBYDA dalam memutuskan untuk melantik TSMY sebagai PM8. 

(8) Apakah kerajaan PN mendapat mandat rakyat, makanya secara automatik kabinet kerajaan PN juga, kabinet yang mendapat mandat rakyat? Ini masih boleh dipertikaikan. Seseorang menteri / timbalan menteri yang dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang menang dipilih oleh rakyat / pengundi, sahlah itu menteri yang mendapat mandat rakyat. 

(9) Tetapi bagaimana dengan pelantikan menteri / timbalan menteri bukan hasil pilihan rakyat? Pelantikan mereka merupakan pilihan PM. Dilantik Senator kemudian dilantik sebagai menteri / timbalan menteri yang langsung tidak melibatkan mandat rakyat (terutama Senator tanpa parti). 

(10) Tambah harunya, individu yang terang-terangan ditolak rakyat, dihantuk dalam kabinet kerajaan dengan individu yang mendapat mandat rakyat dalam kawasan yang sama dan dalam pilihan raya yang sama (contoh terbaik PRU-14 Parlimen Ketereh, Kelantan). Bolehkah kita katakan bahawa ini kabinet mandat rakyat? 

(11) Semakin haru birunya, individu yang tidak mendapat mandat rakyat dinobatkan pula sebagai menteri kanan menjaga kementerian penting membangunkan modal insan dan individu yang mendapat mandat rakyat diserahkan menjaga satu wilayah kecil yang bukannya pula wilayah yang diwakilinya selaku wakil rakyat. 

(12) Hal yang sama (melantik menteri bukan mandat rakyat) dapat dilihat dalam beberapa kementerian penting yang lain. 

(13) Sudah tidak berwibawa dan “dok rok cetong” sangatkah ahli-ahli parlimen yang mendapat mandat rakyat sedia ada, sehingga mereka dinafikan untuk mengemudi kementerian-kementerian berkenaan? Kalau benar menteri tidak mendapat mandat rakyat (Senator) itu dikatakan hebat dan berwibawa tahap dewa, kenapa mereka disisihkan sebagai calon dalam PRU? (kecuali Menteri Kanan – Menteri Pendidikan yang memang sudah ditolak rakyat dalam PRU tetapi masih diangkat darjatnya oleh PM). Buta dan pekak badakkah pimpinan parti mereka sehingga tidak tergerak menyerahkan mereka ini untuk diadili oleh rakyat? Baharu keluar daripada guakah mereka ini, sehingga mereka terlepas pandang oleh pimpinan parti? 

(14) Motif apa sebenarnya yang cuba ditayangkan untuk tontotan awam oleh PM8 ini. Kerana itu, JAM berpendapat, kabinet kerajaan PN hari ini merupakan kabinet yang tidak sepenuhnya mendapat mandat rakyat. Bagaimana mereka boleh memberikan khidmat yang sebaiknya kepada rakyat (melalui kementerian mereka), kalau mereka baharu hendak memulakan langkah menghidu masalah rakyat? 

(15) Kalau dipanjangkan umur kerajaan PN, kerajaan ini hanya mempunyai masa kurang lebih tiga tahun (36 bulan) sahaja lagi menjelangnya PRU-15. 36 bulan bukan satu jangka masa yang panjang kalau nak diambil teladan daripada kerajaan 22 bulan. Tak bolehkah, (kata orang Terengganu) “ork dulu senapah”, dalam kekangan yang pelbagai ini, gunapakai sahaja AP sedia ada yang telahpun disahkan mendapat mandat rakyat untuk dilantik menerajui kementerian-kementerian dalam kabinet kerajaan PN sekarang. 

(16) Atau kerana dah habis stok daripada Bersatu bahagi dua + semburit and the geng + murtad UMNO, makanya yang mewakili parti-parti lain (terutama UMNO dan Pas), dikira sudah tidak layak dan wajar dinyahaktifkan? Atau apakah ini juga salah satu kaedah dalam melaraskan rangkaian ke arah melondehkan dan membogelkan UMNO secara berterusan? 

(17) Yang pasti, kabinet kerajaan PN sebenarnya kabinet pintu belakang. Tidak hairanlah, gendang “pintu belakang” terus dipalu oleh kumpulan PH yang sudah terlalu kecewa itu.

YANG DIBOGELKAN - UMNO

(1)  RATA-RATA sebahagian besar yang mengikuti perkembangan politik tanah air dan memberi komen, menyalahkan “UMNO” dengan bermacam-macam gelaran. Pentingkan diri, gilakan jawatan, gila kuasa, berebut jawatan, tak sedar kediri dan sebagainya. TSMY selaku PM “bersih” daripada apa-apa pertuduhan, seolah-olah TSMY tidak melakukan apa-apa kesalahan atau "immune" daripada sebarang kecaman.

(2)  Mari kita teliti dengan minda yang terbuka dan pemikiran yang waras. Bukan dengan  mengambil provokasi beberapa pihak yang sudah sekian lama bencikan UMNO dan mahukan UMNO dikuburkan.

(3)  Persoalan yang berlegar :

(a)    Apakah kerana tumbangnya kerajaan DAP menjadikan TSMY hero dalam semua hal?

(b)   Apakah hanya kerana tanpa DAP dan lahirnya kerajaan bumiputera / Melayu (kononnya) TSMY boleh menghalalkan apa sahaja langkah yang beliau inginkan?

(c)    "Dah aku disokong untuk menjadi PM, terpulanglah kepada aku, nak membentuk kerajaan macam manapun."

(d)    Salahkah pemimpin UMNO meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pembahagian jawatan dalam kabinet PM yang maha songsang dan tidak terjejak dek akal itu?

(e)     Terpaksa dikuncikah mulut pemimpin UMNO / ahli UMNO hanya kerana PM mempunyai kuasa prerogatif dalam melantik menteri / timbalan menteri?

(4)  UMNO sekarang berada dalam kerajaan. Mahu tidak mahu, kena akui bahawa kerana UMNO yang menjadi "sebahagian" penyokong TSMY jugalah, makanya TSMY mendapat kedudukan sebagai PM.

(5)  Perkiraan awalnya bagaimana? Sebelum melantik barisan Menteri / Timbalan Menteri kenapa dipanggil berbincang dengan pucuk pimpinan UMNO? Atau memang tidak ada perbincangan awal? Kalau tidak ada, langkah TSMY adalah tepat. Kalau ada, bukankah itu "menganjing" kepada UMNO? Apa maruah UMNO di saat itu? Tiada batu? Sehingga MKT UMNO membincangkan dan mengambil beberapa tindakan drastik berkaitan hal ini?

(6)  Pada saya, UMNO tidak perlu menuntut kerusi yang lebih mengikut komposisi yang disumbangkan oleh parti-parti yang mendokongi TSMY, sekiranya agihan “kepentingan dan keutamaan” kementerian dibuat secara adil dan tidak berprejudis. Tetapi kedudukan hari ini, UMNO diletakkan sudah pada tahap kasta haprak paling bawah. Lebih baik, TSMY tidak perlu berunding dengan pucuk pimpinan parti untuk melantik AP dalam kalangan UMNO menjadi Menteri / Timbalan Menteri atau jauh lebih baik, sekiranya tiada seorang pun wakil UMNO dalam barisan kabinet TSMY. Saya kira, rakyat (terutamanya ahli UMNO) lebih menghormati UMNO yang tidak tergila-gila untuk menagih dan mempertikaikan kerusi dalam kabinet beliau, daripada agihan kementerian yang bukan-bukan, berkelas tiga dan melantik MP yang bukan-bukan.

(7)  Tidak haprakkah UMNO dengan tindakan ini? Yakni mengagungkan dan memberi ruang yang tak terbatas kepada si semburit and the geng – semua 10 pengkhianat PKR yang berpaling tadah daripada PH mendapat kedudukan selesa dan berada dalam kelasnya tersendiri dalam kabinet TSMY.

(8)  Tidak haprakkah UMNO dengan tindakan ini? Yakni mengagungkan dan memberi peluang yang tak ternilai kepada para “murtad UMNO” (dan dengan tindakan itu, jelas sudah mempersendakan UMNO) – pada mana hampir semuanya mendapat tempat dan posisi berkelas tersendiri dalam kabinet TSMY.

(9)  Kalau TSYM tiada niat tidak baik kepada UMNO dan kalau dirasakan ini hanya “kerajaan tumpangan”, salahkan TSMY memberikan kementerian yang agak penting kepada 3-4 orang pemimpin kanan UMNO? Kecualilah segalanya telah dirancang untuk membogelkan UMNO, memalukan UMNO dan melumpuhkan hubungan UMNO-PAS / BN dalam Muafakat Nasional.

(10)  Andai TSMY "takut" dan tindakannya kerana untuk membalas budi kepada kumpulan Azmin dan murtad UMNO, takkan tiada sedikit pun ada rasa takut dan bimbang TSMY kepada kumpulan UMNO yang juga berperanan telah memastikan TSMY diterima menjadi PM itu? Mana lebih besar jumlah keanggotaannya, antara kumpulan UMNO dengan kumpulan Azmin dan kumpulan murtad UMNO?

(11)  Kerana perkara ini sudahpun terjadi, maka persoalan seterusnya yang wajar dipersoalkan - apa motif TSMY dalam hal ini?

(12)  Kalaupun bukan “arahan atau campur tangan Atok pengkhianat”, bukankah jelas bahawa TSMY sendiri telah mempersendakan dan memperlekehkan UMNO? Maruah UMNO terus dipijakhenyak sesuka hati?

(13)  Yang jelas, kerajaan PN adalah kerajaan usaha “Azmin & the geng dan para murtad UMNO” sejak sekian lama, sejak bersama-sama atok pengkhianat lagi. Sebab itu terjadinya penghinaan seteruk ini kepada UMNO.

(14)  Silapnya, UMNO terlalu bertoleransi sehingga tersilap langkah menyetujui kerjasama haram ini. Masih boleh dimaafkan atas dasar bersama-sama berusaha untuk menghumban keluar DAP daripada terus menerajui kerajaan dan membentuk apa yang diuar-uarkan sebagai kerajaan bumiputera (kononnya). Namun “kesilapan yang baik" itu langsung tidak dihargai oleh TSMY, sehinggakan TSMY sanggup pula mempersenda dan memperlekehkan UMNO dan pemimpin UMNO sebegini rupa?

(15)  Parti-parti lain komponen sementara dalam PN, mungkin tidak terasa apa-apa kerana mereka tiada musuh dalam selimut. Tetapi sedarlah, UMNO cukup terasa. Geng murtad UMNO yang dulunya sudah menunggingkan punggung kepada UMNO, sekarang “disatukan” semula dalam PN serta terus menungging dengan lebih dasyat lagi, hanya semata-mata tindakan TSMY yang tidak sedar (atau sengaja buat-buat tidak sedar) sensitiviti rakan gabungan. Geng murtad ini kemudiannya diberikan kedudukan yang jauh lebih baik dalam kabinet TSMY berbanding geng UMNO. Berapakah nilai UMNO dalam timbangan ini?

(16)  Hal ini perlu dibangkitkan, walau ramai penyokong UMNO mungkin mengutuknya. Kerana tugas menjaga UMNO sekarang terletak di bahu pemimpin yang diberi amanah hari ini. Esoknya apabila terjadi apa-apa kepada UMNO dan UMNO terus diperlekehkan, percayalah, pemimpin yang ada hari ini juga yang akan dipersalahkan oleh ahli-ahli UMNO. Maka sewajarlah pemimpin UMNO tidak menjadi pak turut semata-mata kerana "dah diajak bersama dalam PN dan dah diberikan jawatan".

(17)  Letakkan diri kita pada kedudukan pemimpin UMNO sekarang. Apa yang kita akan rasai dengan perbuatan jijik kepada UMNO sebegini. Tuduhan kleptokrat, perompak, penyamun dan sebagainya yang jelek-jelek terhadap UMNO dan beberapa pemimpin UMNO sebelum ini rasanya, tidaklah sehaprak perlakuan kepada pemimpin dan ahli-ahli UMNO seperti hari ini (yang sesetengahnya tak tahu apa-apa terhadap kleptokrat dan kebobrokan sesetengah pemimpin partinya).

(18)  TSMY perlu sedar, sesuatu yang agak mustahil untuk TSMY kembali semula kepada PH / Atok pengkhianat sehingga membolehkan DAP kembali bersekongkol semula dengannya (dengan isu kumpulan Azmin sahaja pun sudah cukup meyakinkan, TSMY tidak akan kembali semula kepada PH). Apa lagi bila dibaca, siapa yang tak sayangkan jawatan PM?

(19)  Tetapi tidak mustahil, hanya dengan 10 orang MP UMNO mengambil keputusan yang "gila-gila", kerajaan PN pimpinan TSMY boleh tersungkur pada bila-bila masa. Sewajarnya, tindakan sebegitu diambil daripada terus meletakkan UMNO dalam keadaan yang amat dicurigai oleh ahli-ahlinya sendiri.

(20)  Tulisan ini bukan ugutan atau provokasi, tetapi tiada yang mustahil, akan berlaku di luar dugaan dalam saat UMNO sedang mengembalikan semula keyakinan partinya kepada rakyat dan bekerja keras membersih nama serta menangkis tohmahan dan fitnah pelbagai yang dilemparkan kepada UMNO dari dulu, terutamanya oleh atok pengkhianat dan kuncu-kuncu beliau dalam PH, sehingga mencatatkan sejarah runtuhnya kerajaan BN setelah lebih enam dekad menerajui negara.

(21)  Sampai bila UMNO perlu bersabar dengan penghinaan demi penghinaan yang dilontarkan kepada mereka. Penghinaan Atok sudah cukup mengguris hati orang-orang UMNO, dan sekarang giliran TSMY pula.

(22)  Sekiranya ini berterusan, BUBAR PARLIMEN adalah jalan terbaik untuk rakyat menentukan semula, siapa kerajaan pilihan mereka dan UMNO tidak lagi akan terganggu dengan dakwaan kerajaan pintu belakang dan sebagainya walaupun, UMNO hanya tersalah langkah galok gatal bersekongkol dengan geng-geng anti-UMNO sendiri. 
Related Posts with Thumbnails