yang semasa

Khamis, Disember 23, 2010

YANG BERTANYA APAKAH... KAH... KAH... KAH...

Apa khabar YDP Majlis Perbandaran Dungun?
Selepas ini kita bersukan pula ya...

Apakah ini kerana memorandum ini? (baca di sini).
Atau apakah kerana YB ADUN Sura yang terlalu lantang di Sidang DUN baru-baru ini?
Atau apakah kerana Geng 8 DUN Sura? (baca di sini).
Atau apakah kerana Dr Jepun in bracket bermain wayang?
Atau apakah semua power ranger terhadap MPD di Dungun sudah hilang taring dan kepowerranjerannya?
Atau apakah itu hanya prosedur yang terpaksa dibiasakan?

Atau apakah... apakah... apakah... apakah.... kah... kah.. kah... kah.... ??????????

kah3...kah3...kah3....

Kepada YDP MD Besut, jaga-jaga dengan penyakit yang mungkin berjangkit apabila anda duduk di kerusi panas itu nanti. Bimbang bisa bisulnya susah nak diubati....

Selasa, Disember 21, 2010

YANG LANGSUNG TAK LAYAN DAAAA....

Memorandum Bantahan Kezaliman & Salahurus Tadbir Majlis Perbandaran Dungun

MEMO BANTAHAN

KAMI JAWATANKUASA BERTINDAK MENANGANI PENYALAHGUNAAN KUASA MAJLIS PERBANDARAN DUNGUN MEWAKILI SEBAHAGIAN BESAR PENDUDUK DAERAH DUNGUN MENGEMUKAKAN BANTAHAN SEKERAS-KERASNYA TERHADAP BEBERAPA TINDAKAN MAJLIS PERBANDARAN DUNGUN (MPD) YANG MELIBATKAN SALAHURUS
TADBIR, PENYALAHGUNAAN KUASA DAN TIDAK PRIHATIN BEBANAN PENDUDUK DALAM PENGURUSAN PERBANDARAN DAERAH DUNGUN.

BANTAHAN KAMI INI SECARA KHUSUS DITUJUKAN KEPADA BEBERAPA ISU DAN TINDAKAN YDP/ MPD SEPERTI BERIKUT;

1) Sikap double standard YDP/MPD yang secara terang terangan membelakangkan polisi dalam pemberian kemudahan kelulusan berniaga kepada bangunan milik MPD dan kroni namun di masa yang sama terdapat banyak bangunan milik individu yang dipersulitkan kelulusan tersebut.

2) Layanan istimewa dan amat mencurigakan yang diberikan kepada syarikat perniagaan luar seperti Mc Donald namun di masa yang sama peniaga-peniaga tempatan terus dibebankan dengan pelbagai syarat yang tidak munasabah dan membebankan.

3) Perancangan penempatan perniagaan menurut zon yang diputuskan tanpa perbincangan yang mendalam dengan peniaga dan pengusaha yang terlibat dilihat amat tidak beretika dan melangkaui batas-batas keadilan serta menunjukkan satu bentuk urus tadbir ekonomi yang tidak praktikal dan efisen.

4) Penguatkuasaan beberapa peraturan perniagaan dan perumahan yang bukan sahaja membebankan rakyat bahkan mampu membantutkan kerancakan pertumbuhan ekonomi dan kuasa beli rakyat.

5) Cadangan kenaikan melampau cukai pintu premis perniagaan yang mampu memberikan kesan buruk jangka panjang dan pendek pada pemilik bangunan secara khususnya dan pertumbuhan ekonomi daerah secara amnya.

6) Pembaziran secara berleluasa dalam menguruskan wang rakyat dengan memberikan keutamaan kepada pembinaan dan pengubahsuaian tidak perlu dan mewah, yang tidak banyak memberikan manfaat kepada penduduk setempat serta tidak memberikan pulangan ekonomi yang sepadan dengan perbelanjaan yang dikeluarkan.

Walhal, di masa yang sama, beberapa masalah besar dan lapuk yang dihadapi oleh peniaga dan penduduk tempatan seperti lokasi dan struktur usang Pasar Besar Dungun, kenaikan mendadak sewa bangunan milik MPD, mutu pengurusan kebersihan dan perbandaran, tidak diberikan keutamaan yang sewajarnya.

7) Penganjuran atau pemberian permit kepada program-program hiburan yang bercanggah dengan Islam dan budaya ketimuran dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pertambahan gejala sosial dan keruntuhan akhlak muda-mudi.

JUSTERU, KAMI DENGAN TEGASNYA MENUNTUT YDP/MPD MEMBERIKAN PERHATIAN YANG SERIUS TERHADAP BANTAHAN YANG DINYATAKAN DI ATAS.

KAMI MENUNTUT SUPAYA PRINSIP KEADILAN, KETELUSAN DAN BERINTEGRITI MENJADI DASAR PANDUAN MPD DALAM URUSAN PENTADBIRAN DAN PERANCANGAN PEMBANGUNAN MPD.

KAMI JUGA MENDESAK AHLI-AHLI MAJLIS PERBANDARAN DUNGUN BENAR- BENAR MEMAINKAN PERANAN MEMBAWA SUARA RAKYAT TERAMAI DALAM PERANCANGAN PEMBANGUNAN DAERAH DUNGUN, DAN TIDAK SEKADAR MENJADI ‘RUBBER STAMP’ SERTA MENJAGA KEPENTINGAN AHLI POLITIK DAN KRONI SEMATA-MATA.

KAMI JUGA INGIN MENGINGATKAN BAHAWA SEMUA PERBUATAN SALAH URUS TADBIR AKAN TERUS DIBANTAH DAN MENDAPAT TINDAKAN SEWAJARNYA DARIPADA KAMI.

INGATLAH JUGA SEMUA YANG TERLIBAT NANTINYA AKAN DIPERSOAL DI HADAPAN ALLAH KERANA MENGKHIANATI AMANAH YANG DIBERIKAN OLEH RAKYAT

DI BAWAH INI KAMI LAMPIRKAN BERSAMA TANDATANGAN SEBAHAGIAN MEREKA YANG MENYOKONG BANTAHAN INI.

JK BERTINDAK MENANGANI PENYALAHGUNAAN KUASA
MAJLIS PERBANDARAN DUNGUN

23 Zulhijjah, 1431
30 November, 2010

JAM : Kah3... kah3... kah3... memorandum ini dihantar kepada siapa? Agong? Sultan? PM? TPM? Ketua Hakim Negara? Peguam Negara? Zoo Negara? Muzium Negara? Polis? Bomba? Ambulan?

Kalau setakat hantar kepada YDP Majlis Perbandaran Dungun atau Setiausaha Kerajaan Negeri atau kepada Menteri Besar sekali pun, jangan diharaplah diaorang nin ambik pot... Kalau selagi Dr Jepun in bracket dan RM (Ringgit Malaysia?) masih bertakhta di singgahsana MPD, MB Mat Said sendiri pun tabib spring kepada mereka ini.

Jadi... jangan duk bermimpi di siang hari dan jangan duk susah payah berfikir dan menaip memorandum kalau setakat nak hantar kepada MB Mat Said...

Lebih baik uli gandum.... ada faedahnya.... kua kua kua kua....

Isnin, Disember 20, 2010

YANG TUMPANG SEKAKI : MENGKRONIKAN BAJET?

RM1.887 billion, Apa Rakyat Terengganu Perolehi

Oleh : Dr Azman Ibrahim

Bajet Terengganu 2011 yang dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu berakhir khamis 16 Disember 2010 lepas memperuntukkan anggaran perbelanjaan negeri sebanyak RM1.887 billion. Menakjubkan walaupun Terengganu adalah antara negeri termiskin di Malaysia tetapi Terengganu antara negeri yang mengemukakan bajet tertinggi untuk tahun 2011. Sebagai bandingan, Selangor sebuah negeri maju hanya memperuntukkan RM1.43 bilion bagi Bajet 2011.

Daripada jumlah itu, RM1.699 bilion diperolehi dari kerajaan pusat yang disebut oleh Menteri Besar semasa pembentangan Bajet sebagai royalti petroleum tetapi kerajaan pusat masih menganggapnya sebagai bayaran Dana Khas sahaja dan bukannya bayaran royalti. Bakinya RM188 juta atau hanya 10 peratus sahaja adalah sumber kerajaan negeri. Bayangkan di mana Terengganu tanpa dana khas ini? Pastinya kakitangan kerajaan negeri tidak akan dapat dibayar gaji apatah lagi untuk belanja pembangunan.

Kerajaan Terengganu memerlukan RM213.34 juta setahun hanya bagi pembayaran gaji dan emolumen sahaja. Untuk berlaku jujur, kita boleh mengambarkan bagaimana kesukaran dihadapi Kerajaan PAS Terengganu era 1999-2004 untuk menguruskan pentadbiran negeri apabila royalti dirampas. Kakitangan kerajaan masih mendapat gaji dan pembangunan masih berterusan walaupun seadanya.

Dato’ Seri Ahmad Said juga mengakui semasa pembentangan Bajet bahawa disebabkan Kerajaan Negeri tidak menerima sepenuhnya pemberian dana khas oleh kerajaan persekutuan seperti mana yang diperuntukkan dalam anggaran bajet bagi tahun 2007, 2008 dan 2009 menyebabkan Akaun Hasil Disatukan telah mengalami defisit terkumpul yang besar sebanyak RM699.01 juta bagi tahun lepas berbanding RM424.96 juta bagi tahun sebelumnya.

Seorang ahli Dewan Undangan Negeri dari kawasan Sura, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli menyatakan; mengikut pengalamannya sepanjang menjadi Ahli Dewan Negeri semenjak 2008, walaupun anggaran Bajet Terengganu adalah yang tertinggi dibandingkan dengan negeri-negeri lain, tetapi ianya tidak pernah mencukupi. Apabila berlangsung Sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan Ogos nanti, biasanya permohonan Bajet Tambahan akan dikemukakan kepada dewan.

Ironinya dengan Bajet 2011 RM1.887 bilion, Bajet 2010 RM1.881 bilion, Bajet 2009 RM1.799 bilion, Bajet 2008 RM1.673 billion, bermakna Bajet pasca Pilihanraya Umum ke-13, sebanyak RM7.24 bilion telah diperuntukan dalam keseluruhan Bajet. Sungguh! suatu angka yang sangat besar tapi di mana bahagian yang dapat dinikmati oleh rakyat?

Bagaimana mungkin dengan peruntukkan sebanyak ini, rakyat Terengganu masih kekal sebagai antara yang termiskin di negara ini. Sekadar satu contoh remeh, rakyat Selangor sekurang-kurangnya merasai bekalan air percuma walaupun nilanya hanyalah RM11.30. Di Terengganu kita masih bermimpi untuk merasai nikmat air percuma walaupun nilainya mungkin sekadar RM5.

Kuasa beli rakyat Terengganu juga antara yang terendah dengan bukti jelas apabila Pasaraya Mydin Mall di buka di Kuala Terengganu, ramai peniaga kecil dan kedai runcit yang gulung tikar sedangkan di Kelantan walaupun pasaraya demi pasaraya dibuka, peniaga-peniaga kecil masih boleh meneruskan perniagaan mereka disamping pasaraya-pasaraya besar mencatatkan keuntungan luar biasa. Maklumat yang boleh dipercayai menyatakan, jualan harian biasa sebuah pasaraya besar di Lembah Sireh Kota Bharu mencecah RM500 ribu. Dimusim-musim perayaan, jualan hariannya boleh mencecah RM1 juta.

Ketika bulan-bulan awal menduduki kerusi Menteri Besar, Ahmad Said ada mendedahkan bagaimana banyak projek-projek era pemerintahan Idris Jusoh dibuat tanpa kajian teliti dan tidak jelas manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat malah banyak projek menyalahi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan. Kenyataan ini tentu sahaja ternyata kebenarannya. Monsun Cup, Taman Tamaddun Islam, Masjid Kristal, Projek Tanaman Strawberi, Zon Industri Akuakultur Tasik Kenyir, Stadium Bolasepak, Jerteh Souq serta pembangunan Pulau Duyong semuanya menelan kos ratusan juta ringgit. Hasilnya, samada gagal disiapkan atau sekadar menjadi monumen kemegahan untuk dipamerkan tanpa rakyat marhain dapat menikmati manfaatnya.

Sekarang, sebagai seorang Menteri Besar yang berkuasa, tugas beliau bukan hanya sekadar mengkritik dan memburukkan pentadbiran terdahulu yang memang terbukti buruk dalam rangka untuk menutup kelemahan pentadbiran sendiri. Rakyat sebenarnya tidak berminat untuk mengikuti episod seterusnya perseteruan dua pemimpin yang saling berkepentingan ini. Yang diinginkan rakyat bagaimana kerajaan yang memerintah boleh melakukan yang terbaik untuk mereka sesuai dengan slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Nah! Sekarang, Kerajaan Negeri pimpinan Ahmad Said telah diperuntukkan sebanyak RM7.24 bilion sepanjang 2008-2011. Suatu jumlah yang sangat besar dan mengkagumkan walaupun sebahagian besarnya adalah peruntukkan Dana Khas dan bukannya melalui kebijaksanaan Kerajaan menambahkan hasil negeri. Ahmad Said tidak sepatutnya bersikap lepas tangan dan mengulangi kesilapan sama sebagaimana yang dilakukan Idris Jusoh.

Menyedihkan apabila dengan peruntukan yang sebegini besar, masih terdengar berita rakyat Terengganu tidur dibasahi hujan disebabkan atap rumah yang bocor, masih kedengaran ada anak-anak yang keciciran pendidikan disebabkan kemiskinan, masih terdengar kisah keluarga yang makan ubi kayu menggantikan nasi dan pelbagai lagi cerita memilukan. Sumbernya bukan akhbar pembangkang tetapi media arus perdana. Pergilah ke tepi pantai, dengarlah keluhan nelayan-nelayan pantai yang masih dihimpit kemiskinan, dengarlah rintihan para petani, peniaga-peniaga kecil dan rakyat-rakyat bawahan di sebalik kemilau projek-projek mega untuk ‘memahat sejarah mencipta tamaddun’.

JAM : Juga sempat bertanya soalan dan menerima jawapannya :-

(1) Apakah YB BN/UMNO sendiri yang sehingga kini dikatakan tidak sebulu dengan MB Mat Said turut bersubahat dalam hal ini sehingga boleh menyokong meluluskan bajet yang dibentangkan? Atau apakah mereka ingin terus menjadi ‘pokke angguk’? Atau sebahagiannya sudah ‘dijanjikan’ untuk mereka?

(2) Apa peranan YB PAS/PR pula dalam hal ini? Mana kenyataan dalam DUN yang boleh menyakinkan rakyat bahawa mereka (ADUN PAS/PR) ‘menyedari’ betapa banyaknya perkara yang tidak berfaedah itu disogokkan bukan untuk kepentingan? Atau apakah mereka akan terus kekal dengan dakwaan bahawa mereka ini (YB PAS/PR) hanya sedap bercakap dalam ceramah sahaja?

(3) Apakah tahap pemikiran dan perkiraan MB Mat Said dalam menyediakan bajet tahunan bagi negeri dan rakyatnya ini? Apakah DS Najib selaku PM sedar tahap berfikir MB kesayangannya ini, walaupun sudah tiga kali bajet yang hampir sama ‘asasnya’ dibentangkan?

(4) Bajet ini bertemakan "melebongrakyatkan pentadbiran, mengkronikan pembangunan".

JAM hanya mendapat jawapan daripada Nabil Raja Lawak : “Lu pikirlah sendiri...”

Selasa, Disember 14, 2010

YANG TIDAK CERDIK (BUKAN BODOH)

Keratan UM berkaitan cerita berkenaan

Saman RM1bilion : MB Terengganu tidak cerdik - HarakahDaily.net

KUALA TERENGGANU, 13 Dis: PAS menyifatkan dakwaan kononnya Kerajaan PAS Terengganu cuai sehingga disaman RM1 bilion dianggap berniat jahat, berkepentingan politik Umno serta kenyataan yang tidak cerdik.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bahawa kerajaan negeri sekarang terpaksa menanggung beban kerana kecuaian kerajaan PAS bermotif politik.

Baginya, Ahmad seorang yang tidak cerdik kerana tidak tahu membezakan antara kerajaan dengan parti politik.

“Kenyataan Mat (Ahmad) Said bahawa kerajaan Terengganu hari ini terpaksa menanggung beban hasil dari kecuaian Kerajaan PAS yang menyebabkan disaman RM1 bilion oleh Syarikat Riyapadu Sdn Bhd itu bermotif politik.

“Saya merasakan sebagai seorang Menteri Besar, saya rasa ‘Mat Said’ ini tidak reti beza antara kerajaan dengan parti politik. Sebab kerajaan ini satu entiti dan parti ini satu entiti yang lain.

Rakan-rakan dia dalam Umno pernah kata Mat Said ini ‘bodoh’ tetapi saya tidaklah sampai ke tahap itu untuk kata dia seorang yang bodoh. Tetapi, saya rasa dia (Ahmad) tidak cerdik sikit dalam hal ini,” jelasnya yang merupakan bekas Exco kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Taman Seri Intan di sini, hari ini.

Menurutnya, Ahmad disifatkan kurang cerdik kerana menyalahkan PAS sedangkan kes tersebut masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

Katanya, jika proses mahkamah belum selesai dikhuatiri boleh menimbulkan subjudis serta persepsi yang salah.

“Kes ini dia boleh menimbulkan subjudis sebenarnya kerana proses mahkamah belum selesai tetapi gambaran yang diberi oleh akhbar ini, seolah-olahnya kerajaan ini terpaksa tanggung beban RM1 bilion.

“Ini satu persepsi yang salah kerana proses mahkamah belum selesai lagi. Kes ini sekarang di Mahkamah Tinggi, selepas ini Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan,” ujarnya.

Menurutnya, isu tersebut cuba dipolitikkan oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional dengan melabelkan PAS sebagai yang bertanggungjawab.

Hadir sama pada sidang media tersebut Timbalan Pesuruhjaya (II) PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

JAM : Kua.. kua.. kua.... Kah3...kah3...kah3... Kesihan kepada Cikgu Pa... sudah dua tahun lebih MB Mat Said jadi MB, baru sedar MB Mat Said tak cerdik (ulang tidak cerdik, ulang tidak cerdik, ulang tidak cerdik, bukan bodoh, bukan bodoh, bukan bodoh, bukan, bukan, bukan). Cikgu Pa tak tinggal di Terengganu ke? Atau Cikgu Pa sengaja nak menjatuhkan kemaluan MB Mat Said? Janganlah macam tu Cikgu Pa, tak baik menjatuhkan kemaluan orang. Tuhan marah...

Untuk pengetahuan Cikgu Pa dan orang-orang PAS semua (kalau ada yang masih tak tahu), MB Mat Said sudah tersohor seantero dunia sebagai MB terhebat abad ini... Macam mana Cikgu Pa kata tidak cerdik pula? Bodoh sikit-sikit tu ada laaa... Ada faham Cikgu Pa???

Atau ini mesti wartawan atau surat khabar salah lapor nin.....

Rabu, Disember 01, 2010

YANG PERGI MENDAHULUI KITA (2) – ALFATIHAH

"Surprise" daripada teman-teman pada hari ulang tahun ke-57 kelahiran arwah tahun 2010

Kelmarin 30 November 2010, pulangnya kerahmatullah sahabat yang sama-sama mengajar di SMK Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, Ustaz Jamaluddin Wahab. Diceritakan anakanda beliau, Allahyarham terjatuh semasa berada dalam bilik air. Allahyarham sempat dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Ustaz Jamaluddin dijangka bersara wajib pada 20 Mei 2011. Walaupun dalam usianya sudah 57 tahun, Allahyarham masih kelihatan gagah dan sihat. Tidak pernah diceritakan oleh beliau atau sahabat-sahabat rapat beliau yang beliau mempunyai sebarang penyakit yang membahayakan, kecuali sedikit kencing manis yang belum mencapai tahap serius.

Dikatakan gagah dan sihat kerana Allahyarham selalu bercerita tentang hampir setiap hujung minggu beliau ulang-alik ke kampung isterinya di Machang, Kelantan untuk menyiapkan kerja-kerja tambahan pembinaan rumah ibu bapa mertuanya di sana. Arwah melakukannya sendiri.

Kadang-kadang seorang diri dan kadang-kadang membawa teman-teman untuk membantu mana yang arwah tidak mahir membuatnya. Alhamdulillah, khabarnya rumah mertua arwah sudah siap.

Malahan rumahnya sendiri di Kg Tanjung Jaafar, Gong Badak, arwah dikatakan hampir setiap hari ‘bermain dengan simen’ seorang diri. Rumah arwah bukan rumah tak siap tetapi memang sifat arwah yang suka bekerja sendiri menambah baik mana yang boleh untuk keselesaan keluarganya. Siang hari sebelum arwah meninggal pun, anakandanya memaklumkan yang arwah masih sihat dan segar serta baru sahaja selesai bermain dengan simen seperti hari-hari biasa yang lain.

Tetapi itulah kehendak dan kuasa Tuhan, Allah azzawajalla yang maha esa. Bila-bila masa sahaja, sampai saat dan ketikanya, yang masih segar bugar pun, akan dipanggil menghadap-Nya.

Allahyarham sepanjang bertugas merupakan seorang sahabat yang senantiasa tenang dan mesra walaupun sering menjadi ‘mangsa’ gurauan teman-teman yang lain. Arwah langsung tidak mengambil hati tentang apa yang diguraukan teman-teman. Paling lebih pun, arwah akan berkata dalam senyum dan tawa “main orang tua budak-budak ning”...

Dalam politik kepartian, arwah adalah penyokong tegar PAS yang setia. Bukan maksud saya untuk membongkarkan sesuatu yang dianggap sesetengah pihak sebagai sangat sensitif kepada penjawat awam ini. Tetapi yang jelas, arwah sendiri tidak pernah merahsiakan ‘ideologi’ politik yang diikutinya itu. Boleh dikatakan hampir semua yang mengenali arwah tahu perihal itu.

Tetapi arwah bukan penyokong yang ekstrem dan penyokong taksub. Walaupun arwah bertaraf ustaz dan mendapat didikan agama yang dikira cukup untuk bercakap soal hukum hakam agama (prasyarat utama kepada penyokong dan ‘pendakwah’ PAS?), arwah tidak pernah menggunakan kedudukan dan penampilannya sebagai penyokong tegar PAS untuk mempengaruhi apa lagi mengambil peluang berkempen agar teman-teman guru lain (jauh sekali dengan pelajar) ‘menyokong’ PAS, khususnya dalam waktu persekolahan.

Dengan saya, arwah banyak berbincang dan bertukar pandangan tentang politik kepartian. Kadang-kadang sambil bersembang atau berehat, kami ‘berbahas ringan’ tentang perjuangan dan hubungan agama, sosial, bangsa dengan segala macam kepolitikan semasa. Pada arwah, saya adalah penyokong tegar UMNO sebagaimana saya menganggap arwah adalah penyokong tegar PAS.

Namun, penampilan arwah selaku ustaz dan penyokong tegar PAS cukup sederhana. Sehingga kekadangnya terasa, berkawan dan berbual dengan ‘orang PAS’ jauh lebih baik daripada berbual dan berkawan dengan orang UMNO dalam konteks kepolitikan dan penyokong-penyokong mereka (PAS dan UMNO), kalau arwah dijadikan contoh teladannya.

Segalanya kerana arwah seorang yang amat liberal dan faham batas susila serta peranan. Bagi saya, pandangan dan penghuraian arwah tentang sesuatu isu dan ‘perjuangan’ PAS kadang-kalanya jauh lebih meyakinkan dan dihormati berbanding apabila bersembang dengan sesetengah penyokong dan pendokong PAS yang penampilannya totok PAS dan berimejkan ‘lebih Islam daripada Islam’ tetapi pemikiran, tingkah laku, fie perangai, tindak tanduk atau tutur katanya langsung tidak melambangkan seorang Islam, apa lagi sebagai seorang yang ingin memartabatkan Islam dalam perjuangannya.

Bagi saya, dalam politik kepartian, arwah adalah lambang yang mewakili sebahagian orang PAS yang mempunyai ilmu Islam yang sudah layak untuk berdakwah dengan cara dan kaedah serta penampilan yang jelas dan jujur tanpa totok yang membuta tuli sehingga mencemarkan imej partinya sendiri.

PAS mungkin terasa kehilangan seorang penyokong yang setia dan berhemah tinggi yang boleh melonjakkan imej PAS pada mata umum dengan kembalinya ke rahmatullah Ustaz Jamaluddin Wahab. Seperti juga kami yang pernah bersama arwah amat terasa hilangnya seorang sahabat yang baik pekertinya, ikhlas dalam persahabatan, tidak loket dalam perkongsian ilmu, senang berbicara mudah berkira, tidak kedekut dengan senyum dan tawa walau dalam apa keadaannya, iman solat yang sentiasa sabar (terutama dengan pelajar yang tidak terbatas nakalnya), serta yang akan paling kami kenangi, tiada lagi teman bergurau yang tidak pernah mengambil hati dengan gurau senda tanpa batas kami.

Al-Fatihah buat Allahyarham Ustaz Jamaluddin...

Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan senantiasa dirahmati dan dilindungi dengan keredhaan Illahi hendaknya. Amin.
Related Posts with Thumbnails