yang semasa

Selasa, November 09, 2010

YANG MEMBOGELKAN MARUAH DIRI

Barangkali itulah secara pantulannya lahir dibenak pemikiran banyak orang apabila menyaksikan gambar di atas. Sekali pandang mungkin tidak ada apa-apa dengan gambar berkenaan lantaran di mana-mana sahaja, gambar atau situasi sebegini dapat dilihat, apa lagi apabila kurangnya kecaknaan pihak berwajib setempat terhadap perkara yang dianggap remeh-temeh sahaja itu.

Gambar ini sebenarnya di’tag’kan kepada banyak orang melalui laman sosial popular facebook. Entah daripada siapa punca awalnya, JAM sendiri kurang periksa. Pun demikian, siapa puncanya dan siapa yang mengambil gambar berkenaan, tidak penting sebenarnya. Yang penting dan wajar direnungi ialah kesan dan cara bagaimana ‘orang UMNO’ berjaya membogelkan kelemahan diri masing-masing.

Saya menyebut ‘orang UMNO’ kerana rata-rata gambar berkenaan ditagkan kepada orang UMNO dan komen di sebalik gambar berkenaan lebih berfokus kepada ‘orang UMNO’ mengkritik YB-YB mereka. (Terdapat beberapa keping lagi gambar pemandangan yang sama diambil daripada sudut yang berlainan sebenarnya.) Yang menjadi sasaran sudah pasti utamanya ADUN kawasan berkenaan dan ditempiaskan juga kepada Ahli Parlimen kawasan. Seolah-olah kerja membaikpulih papan tanda yang hampir tersungkur itu juga adalah kerja hakiki wakil rakyat.

Gambar ini diambil di persimpangan Bukit Besi (simpang pemisah ke arah Kuantan dan Bandar Dungun) dalam DUN Bukit Besi, Parlimen Dungun. Dalam konteks UMNO, kawasan ini berada dalam Bahagian Dungun, Terengganu. ADUNnya Din Adam dan Ahli Parlimennya Matulidi Jusoh. Manakala Ketua UMNO Bahagiannya tak lain dan tak bukan, Dr Jepun in bracket.

Umum telah ‘diberitahu’, baik secara langsung mahupun tidak langsung bahawa kedua Ahli Parlimen dan ADUN yang disebut di atas AMAT TIDAK SEBULU (atau tidak diakui bulunya) dengan Dr Jepun in bracket. Sebabnya satu sahaja – kedua-dua manusia yang bergelar YB ini ‘telah menyusahkan’ Dr Jepun in bracket untuk terus bermahaagung di Dungun.

Makanya ditanamkanlah rasa mual dan kebencian yang amat sangat kepada dua manusia YB itu sedalam-dalamnya dalam sanubari dan pemikiran ‘pemimpin kecil yang lebih cerdik daripada cerdik’, seantero Dungun oleh Dr Jepun in bracket dan kuncu-kuncunya. Dan gambar di atas adalah antara manifestasi kebencian dan kejelikan teramatnya yang dibodohkan terhadap YB-YB berkenaan.

Tetapi mereka tersalah dan ‘terlebih cerdik’ rupanya. Gambar berkenaan jelas telah dengan sengajanya membogelkan kepemimpinan UMNO Bahagian Dungun yang diketuai oleh Dr Jepun in bracket yang turut memalitkan kemasaman najisnya kepada semua orang UMNO/BN termasuk pemimpin kecil tempatan dan tidak terkecuali kepada dua manusia YB berkenaan (kerana YB Parlimen adalah Naib Ketua UMNO Bahagian dan YB ADUN adalah AJK UMNO Bahagian merangkap Pengerusi Penyelaras DUN Bukit Besi).

Dalam maksud kata yang lain, gambar berkenaan telah berjaya membogelkan kelemahan dan keburukan UMNO Bahagian Dungun itu sendiri. Apa dan kenapa? Antaranya, kalau boleh dihuraikan dalam bentuk persoalan ;

1) Apakah kedua-dua YB kawasan yang mengarahkan agar memasang billboard besar itu?

2) Kalau tidak, apakah mereka dimaklumi tentang pemasangan billboard itu?

3) Siapa yang meluluskan pemasangan billboard di kawasan itu?

4) Siapakah ‘tuan punya’ sebenar billboard besar itu? BN atau UMNO itu siapa? Siapa 'Badan Perhubungan UMNO Terengganu' seperti yang dicatatkan pada billboard itu?

5) Siapa yang mendapat manfaat atau mendapat projek memasang billboard itu?

6) Siapa yang memilih pembekal untuk memasang billboard berkenaan?

7) Siapakah yang menentukan mutu pemasangannya?

8) Sekadar itu sahajakah ketahanan billboard yang dipasang oleh orang yang dipilih oleh pimpinan parti dan bolehkah dikatakan kelemahan mutu?

9) Apakah pembekal hanya mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan mutu dan keselamatan? Berapa banyak keuntungan yang diperolehi oleh pembekal dengan pemasangan billboard itu dan kalau sedikit, apakah kerana keuntungan itu dikongsi dengan orang lain yang memilih dan menunjuk pembekalnya?

10) Setelah hampir terbungkam begitu, tanggungjawabnya perlu dipikul oleh siapa? YB Parlimen? YB ADUN? Pimpinan UMNO Pusat? Negeri? Bahagian? Pembekal? Yang meluluskan pemasangan? Rakyat? Barua dan balaci? Ghurka dan kuncu? Hantu simpang? Atau siapa?

11) Bukankah beberapa pemimpin kanan UMNO Bahagian daripada empat sayap UMNO ada dalam DUN Bukit Besi, malahan yang tinggal di kampung Bukit Besi itu sendiri? Setiausaha UMNO Bahagian ada di situ, Ketua Pemuda Bahagian ada di situ, pimpinan Bahagian, pemuda bahagian, puteri dan wanita Bahagian jenuh dalam DUN berkenaan.

12) Paling tidak pun, ke mana pemimpin kecil yang terlebih cerdik, yang ada dalam kampung Bukit Besi atau DUN Bukit Besi pergi? Ke mana pula pemimpin yang tidak cerdik ‘sokmo-sokmo’ dalam Penyelaras DUN pergi?

13) Apakah tindakan ini (tag gambar dan kemudian komen negatif kepada musuh-musuh politik dalam parti sendiri) tidak menyerlahkan kelemahan dan kebusukperutnya sesetengah kita kepada setengah yang lain?

14) Apakah sudah tidak ada idea dan modal untuk dijadikan isu, khususnya untuk menghadapi pengaruh PAS atau parti lawan dalam kawasan DUN berkenaan?

15) Apakah dengan jawatan yang direbut, kemudian kita memperolehinya, kita sudah boleh mengangkat tinggi lubang hidung kemudian mencipta isu melemahkan ‘musuh politik’ kita dengan wewenangnya? Apakah dengan jawatan itu, kita sudah boleh menjadikannya lesen besar untuk mengukuhkan kebaruaan dan ketaksuban kita kepada seseorang?

16) Apakah dengan tindakan-tindakan bodoh sebegitu sebenarnya hanya untuk menjelaskan bahawa kita mempunyai agenda dan memasang impian tertentu untuk berada di tempat manusia YB-YB berkenaan?

17) Apa pula komen dan reaksi serta tindakan Dr Jepun in bracket sebagai salah seorang yang dipaparkan gambarnya dalam billboard berkenaan?

Hendaknya.... janganlah ketiga-tiga orang yang ada gambarnya dalam billboard itu juga nantinya terbungkam atau tertonggeng seperti terbungkam dan tertonggengnya billboard itu dan janganlah pula ketertonggengan billboard itu menjadi tanda-tanda awal tertonggengnya mereka khususnya dan tertonggengnya UMNO/BN khasnya... Harap-harap tidak dan jangan... (ooo... tidak, tidak, tidak, jangan, jangan, jangan...)

APA SIGNIFIKANNYA LAGI GAMBAR DI ATAS DENGAN KEPEMIMPINAN UMNO BAHAGIAN?

Seperti dimaklumkan dan telah lama termaklum, Dr Jepun in bracket adalah Ketua UMNO Bahagian Dungun (gambar paling kecil daripada 3 gambar yang ada dalam billboard berkenaan). Secara kebetulan juga Dr Jepun in bracket adalah Pengerusi Kolej KETENGAH (papan tanda yang ‘memberi tumpang’ sementara kepada billboard besar itu).

Anta fikirlah sendiri apa yang tersirat daripada ‘gambar candid’ yang dengan sendiri menerangkan bagaimana billboard sebesar itu dalam keadaan yang hampir terbungkam dan tertonggeng, masih bergantung harap dan ‘mendapat restu’ untuk ditumpangi oleh papan tanda kecil Kolej KETENGAH. Kedua-duanya (billboard besar dan papan tanda kecil) melibatkan Dr Jepun in bracket.

Orang-orang UMNO dan rakyat Dungun boleh menjawab perihal ini kerana siapa yang tidak ‘kenal’ (???) dengan Dr Jepun in bracket....
Related Posts with Thumbnails