yang semasa

Ahad, Ogos 09, 2009

YANG TAK TERKATA TAPI TERTULIS

Membaca Sinar Harian, Sabtu 8 Ogos 2009, halaman N18, tajuk : Apa kalutnya politik Terengganu? berbaur pelbagai rasa menyelubungi diri. Cuma yang paling nyata timbul rasa fikir – “kenapalah tak suka kepada Mat Said tu… kesihan dia, kesihan dia…” (ulang beberapa kali seperti lagu Allahyarham Sudirman Hj Arshad).

Telah beberapa kali disebutkan dalam blog JAM ini, MB Mat Said tidak ‘seburuk dan selemah’ seperti yang digembar-gemburkan oleh ‘musuh-musuh politik’ beliau. MB Mat Said orang yang bagussssss….. hebatttttt…. cemerlanggggg…..

JAM tidak berhasrat untuk memberi respon terhadap semua perkara yang dibangkitkan dalam rencana berkenaan, cuma nak sentuh beberapa perkara saja :

(1) Tak baik mengatakan MB Mat Said orang yang mempunyai psikologi yang tidak stabil semata-mata kerana dia mencabar ADUN PAS bergaduh di luar dewan. MB Mat Said bukan ‘mencabar untuk bergaduh’ tetapi hanya sekadar ‘mengajak’ Wahid Endut (Adun PAS Wakaf Mempelam) bergomol di luar dewan saja. Selain itu tak ada lagi… Yang sebelum itu, masa awal-awal jadi ADUN dan dilantik sebagai YDP MDK, beliau hanya sepak terajang bakul sayur penjaja sayur di pasar Kemaman. Bukan sepak terajang orang. Itu bukan bergaduh. Bergaduh antara orang dengan orang, bukan orang dengan bakul.

(2) Jangan memperlekehkan MB Mat Said sebagai ‘lemah penguasaan bahasa Inggerisnya’. Mana ada lemah, MB Mat Said hanya ‘langsung tak reti’ bahasa Inggeris je… dia sekolah kampung, kesihanlah kepada MB kita nin. Itu pun baca teks ucapan dalam bahasa Inggeris masa perasmian FEI-WEC 2008 dulu tu, molek bedo’oh (molek benar) dah tu… Sampai ada yang menyaksikan siaran langsung di TV, menyangka siaran TV yang sedang disaksikan oleh mereka adalah siaran TV BBC atau siaran TV Amerika. Mereka tak percaya demikian hebatnya MB Terengganu ‘mengeja dan membaca’ teks ucapan Bahasa Inggeris yang disediakan.

(3) MB cakap membur (cakap tidak berasas, cakap ikut sedap mulut)? Hissss… jangan kata macam tu. MB Mat Said nin kang orang yang amat patriotisme kepada kekampungan dan ke-Terengganuan. Cakap beliau tu bukan membur, tapi cara kekampungan dan ke-Kijalan. Mesra rakyat kanggg…. MB Mat Said bukan tak reti nak cakap bahasa baku, tapi memang pelat begitu. MB nin kang orang yang tak menyombong, suka rendah diri, ‘low profile’. Sekali sekala ‘membur’ tu nak buat macam mana. Terlepas cakap dan tak disengajakan lah tu. Tapi dalam membur-membur gitu, cakapnya penuh dengan visi dan misi. Buktinya, baru setahun lebih jadi MB, macam-macam ‘cakap membur’ dah diucapkannya. Pembangunan dan membangunkan rakyat tak penting, yang penting mesti bercakap. Tak buat dan tak laksana tak apa, asal cakap. Membur ke, 'kembur' ke, rakyat Terengganu bukan tahu semua tu. Mereka sudah boleh ditutup mata dan mulut dengan dana hari raya, dana remaja dan macam-macam dana lagi.

(4) DS Najib dan DS Hishamuddin? Alaaaa… mereka nin bukan orang Terengganu. Peduli apa dengan orang Terengganu. Yang penting, mereka dah berkuasa. Yang lagi penting bagi mereka, mereka perlukan sokongan orang UMNO Terengganu untuk memastikan mereka mendapat kuasa dan kedudukan. Sekarang dah dapat. Buat apa nak bersusah payah memikirkan soal rakyat Terengganu lagi. Rakyat Terengganu? Mampus dia lah… Lagi pun, batu, diulang : batu (kalau ada), perlu ditekup. Kalau tak tekup batu, nanti tergugat pula kuasa, kedudukan dan kepentingan.

(5) Yang Sinar Harian menyiarkan rencana panjang lebar sebegitu, apa halnya? Ini sudah tentu yang ‘mengupah’ wartawan/penulis berkenaan adalah Deris Jusoh and the geng atau Deris Jusoh sendiri. Kalau tak pun, geng 10 budak hitam yang kecewa dan derhaka tu. Atau ada gembala lembu yang beri makan lembunya di tangan? Deris Jusoh pun satu hal, kalaupun nak ‘mengupah’ orang menulis, janganlah bagi tulis puji-puji Deris Jusoh pula dalam tulisan tu. Buat macam tu, nampak sangat tembelangnya. Bukan apa, boleh jadi modal lembu-lembu peliharaan untuk meragut rumput umpanan tu. Tak percaya? Sama-samalah tunggu.

Apa-apa pun, diperturunkan sepenuhnya rencana menarik berkenaan untuk tatapan kita bersama, terutama kepada yang terlepas membeli dan membelek akhbar SH kelmarin.

Apa kalutnya politik Terengganu?

(Sumber : Sinar Harian, 8 Ogos 2009 (Sabtu), halaman N18)

Dengan penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka tafsiran yang paling tepat mengenai politik Terengganu sekarang ialah kian kalut dan seolah-olahnya tidak dapat dibendung lagi. Dari satu segi, kekalutan ini agak luar jangkaan kerana dalam Pilihan Raya Umum 2008, negeri ini masih kekal di tangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti dua pertiga. Sedangkan beberapa negeri lain, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang, manakala Kelantan pula kekal seadanya. Dari satu segi yang lain, kekalutan ini memang tidak memeranjatkan kerana Terengganu mempunyai seorang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, yang banyak mencetuskan persoalan berbanding dengan penyelesaian.

Seperti yang diketahui umum, Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh atas perkenan istana. Tanpa mempersoalkan kewajaran dan kerasionalan istana memperkenankan lantikan itu, yang jelas Ahmad Said tidak mendapat sokongan kebanyakan ADUN dalam BN, malahan juga tidak memperoleh sokongan rakyat di negeri itu. Sejak awal pelantikan sebagai Menteri Besar, personaliti beliau sering menjadi bahan persendaan orang Terengganu yang kuat dengan semangat kedaerahan.

Ketika jawatan Menteri Besar Terengganu masih panas selepas pilihan raya umum yang lalu, sebuah akhbar bahasa Inggeris pernah menyebut Ahmad Said mempunyai psikologi yang tidak stabil kerana beliau pernah mencabar ADUN Pas bergaduh di luar Dewan Undangan Negeri itu. Selain itu, akhbar berkenaan mendedahkan bahawa Ahmad Said lemah penguasaan bahasa Inggerisnya, walaupun diakui ini bukannya kriteria penting untuk menerajui sebuah negeri di Pantai Timur. Baru-baru ini, akhbar itu memaparkan Ahmad Said kerana gaut, terpaksa dipapah ketika menghadiri majlis di Istana Maziah.

Satu demi satu malang menimpa negeri yang mempunyai sumber minyak: gagal mempertahankan Parlimen Kuala Terengganu, keruntuhan bumbung stadium, penangkapan seorang ahli UMNO kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur ugutan, dan penyiasatan SPRM terhadap beberapa orang penting dalam UMNO. Semua ini mencerminkan kecelaruan negeri yang dipimpin oleh Datuk Ahmad Said yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Oleh sebab Ahmad Said tidak mendapat sokongan padu daripada ADUN dalam BN, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Luar Negeri ketika itu pernah menyebut bahawa Menteri Besar akan “jatuh berdebuk macam nangka.” Namun, lebih setahun berlalu, “nangka yang kelihatan kurang ranum itu masih tergantung di pokok.”

Masa depan

Apabila beberapa ADUN dalam BN melakukan “pemberontakan” terhadap Ahmad Said, dan akibatnya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO tidak melantik Ahmad sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri, banyak menjangkakan bahawa perjalananan politik beliau sudah sampai penghujung. Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Naib Presiden UMNO dan juga Menteri Dalam Negeri sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menandakan Ahmad Said tidak memperoleh cap Najib. Lebih janggal lagi, beliau satu-satu Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada UMNO yang tidak dilantik sebagai Ketua Perhubungan.

Ahmad Said terus bertahan sebagai Menteri Besar, meskipun dari banyak segi, kepimpinan dan prestasinya terus dipersoalkan. Dengan tiadanya kata muktamad daripada Najib seolah-olahnya pucuk pimpinan UMNO-BN ini rela membiarkan dirinya memikul beban yang berpanjangan, walaupun ini mengorbankan kebajikan rakyat dan menghancurkan masa depan partinya di negeri itu.

Sebagai Menteri Besar, Ahmad Said gagal dalam ujian yang penting, iaitu pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada awal tahun ini apabila BN gagal mempertahankan kerusi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail. Meskipun BN belum mengumumkan calonnya, cakap-cakap tersebar bahawa para pengundi akan beralih kepada Pas. Alasannya, mereka ingin mengajar Ahmad Said yang memang tidak layak sebagai Menteri Besar Terengganu. (Sebenarnya, bahasa yang mereka gunakan terhadap Ahmad Said bunyinya agak keras.)

Semasa kempen pilihan raya kecil itu semakin rancak, seorang ahli UMNO Terengganu pernah menyatakan kebimbangannya bahawa faktor Menteri Besar dan bukannya faktor calon, Datuk Wan Farid Wan Mohd Salleh yang memungkinkan BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen ini.

“Mu tahu,” kata ahli UMNO itu, “orang ramai marah kerana MB cakap membur (cakap tidak berasas, cakap ikut sedap mulut). Cakap tak macam MB. Mu tengok, poster MB kurang, orang benci.”

Dalam nada yang kian marah, dia menambah, “Tidak seperti Datuk Seri Idris Jusoh yang sentiasa jadi penggerak, Mat Said (Datuk Ahmad Said) tidak boleh buat apa satu, slow. Pegawai kerajaan negeri tidak sokong. Macam mana nak menang?” Tengah-tengah orang sibuk nak pilihan raya, dia tukar, pecat pegawai kerajaan; nak tutup anak syarikat kerajaan negeri. Langsung tak fikir!”

Pemerhati politik

Kemarahan ahli UMNO itu melarat kepada pembelian kereta Mercedes. “Mu fikir, teruk tak teruk Mat Said, negeri lain bawah BN pakai Perdana, dia beli Mercedes. Macam tak faham dasar kerajaan BN. Bila orang tanya, dia jawab lebih kurang – dah beli nak buat macam mana, kena pakailah. Kita dengar naik malu.”

Seorang ahli jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang turut bertugas untuk BN dalam pilihan raya kecil itu memberitahu: “Zaman Datuk Deris (Datuk Seri Idris Jusoh), beliau selalu berhubung dan mengadakan mesyuarat dengan JKKK. Paling tidak beliau sms untuk tanya khabar dan berita. Zaman Mat Said (Datuk Ahmad Said), kita JKKK tak tahu apa satu.”

Selaku ketua perhubungan UMNO negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin mengambil langkah bijak dengan mengetepikan beberapa individu yang dilantik oleh Datuk Ahmad Said untuk memegang jawatan dalam UMNO. Pada pandangan umum, mereka dilantik oleh Ahmad Said lebih bersifat “membalas budi” dan bukannya berdasarkan prestasi atau “boleh buat kerja.” Misalnya, pelantikan Zubir Embong yang kerjaya politiknya berkubur sejak tahun 1990, sebagai Ketua Penerangan UMNO Negeri dilihat oleh banyak pihak tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada parti.

Malangnya, tindakan berani beliau itu hanya setakat itu. Rakyat Terengganu khususnya dan pemerhati politik di negara ini amnya, masih tertunggu-tunggu tindakan berani Najib dan Hishammuddin berhubung dengan kepimpinan negeri itu. Hingga kini, kedua-duanya belum menampakkan keberanian untuk membuat keputusan.

Akibatnya, seperti yang dilaporkan baru-baru ini, sebilangan ADUN yang anti-Ahmad Said mula hilang kesabaran mereka dan seakan-akan memberikan kata dua – ingin berpaling tadah. Namun, Najib dilaporkan meminta mereka bersabar kerana beliau baru sahaja mengambil alih pucuk pimpinan negara.

“Sudah berbulan-bulan berlalu, macam mana Najib tidak beri kata putus tentang MB Terengganu,” ulas seorang anak Terengganu yang bekerja di Lembah Klang. Sama ada nak kekalkan MB sekarang, yang penting mesti ada keputusan. Bukan terus tergantung.” Tambah dia lagi, “Macam ambil alih syarikat, Najib mesti patut sudah ada perancangan, siapa yang akan dilantik sebagai CEO (ketua pegawai eksekutif), siapa nak jaga kewangan, pengurusan.”

Untuk kekal sebagai Menteri Besar, Ahmad Said boleh berlindung di sebalik istana. Tetapi, berapa lama? Lambat-laun Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan. Mampukah UMNO-BN bertahan di negeri itu?

Apakah sejarah tahun 1999 berulang lagi akibat keengganan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad berundur, satu negeri jatuh ke tangan Pas. Mungkin musuh-musuh politiknya gagal menjatuhkan beliau, tetapi rakyat mampu melakukannya. Buktinya, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang lalu – rakyat memberikan mesej yang jelas.
Related Posts with Thumbnails