yang semasa

Isnin, Ogos 03, 2009

YANG LAGI DAN LAGI

Berita asal :

SPRM tahan ADUN Terengganu kerana disyaki terima rasuah

02/08/2009 9:50pm

KUALA TERENGGANU 2 Ogos - Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu hari ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM20,000.

ADUN berkenaan dipercayai menerima wang suapan terbabit bagi membolehkan sebuah syarikat mendapat projek lanskap di Kuala Lumpur.

Difahamkan, semasa ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi di Kijal, dekat Kemaman, Terengganu, SPRM telah menemui wang tunai RM5,000 pada ADUN berkenaan.

Ketika ditahan, ADUN berkenaan berada bersama rakannya dan difahamkan beliau telah dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, ketika dihubungi, mengesahkan mengenai penahanan ADUN terbabit tetapi enggan mengulas lanjut. - Bernama
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ini apa cerita pula nin? Cukuplah usaha-usaha nak memalukan MB Mat Said tu. Baru saja bekas orang kuat MB Mat Said dimalukan. Ini timbul pulak kes ADUN Terengganu (pembetulan dan lengkapkan : ADUN BN/UMNO Terengganu). Kes rasuah lagi. Janganlah membuka baju nak tunjukkan buncit perut sendiri. Malu 1Malaysia.

Oppp!!! Tersalah lagi… Siapa kata kes ini usaha nak memalukan MB Mat Said? Nama ADUN tu kan dicadangkan dan dipersetujui oleh Deris Jusoh. Jadi, mesti orang Deris Jusoh. Tak ada kena mengena dengan MB Mat Said. Mat Said hanya mewarisi kepimpinan yang telah disusun oleh Deris Jusoh sahaja. Fie perangai ADUN kena tuding kepada Deris Jusoh. Kebetulan sahaja (diulang : kebetulan sahaja.... ulang : kebetulan sahaja) kes nin berlaku di zaman MB Mat Said.

Apa-apa pun harap bertenang. Jangan menuduh semberono. SPRM atau mana-mana pihak berkuasa belum mengesahkan kesalahan YB berkenaan. Baru ditahan dan disiasat. Jadi janganlah terus menghukum yang YB tu bersalah dan benar melakukannya. Biar mahkamah yang memutuskannya nanti. Negara 1Malaysia kita inikan ada undang-undang dan peraturan. Jangan pula kita melampaui undang-undang dan hukum dengan andaian dan sentimen begitu.

Cuma ‘cerita’ sikit-sikit kisah nin untuk menyedapkan halwa telinga dan senaman mata membacanya bolehlah. Cerita - bukan menghukum atau menuduh. Atau marilah kita sama-sama menasihati YB berkenaan supaya bersabar dan bertenang menghadapi dugaan ini. Caranya mungkin boleh begini. Alahhh… ala-ala surat terbuka jugalah… :

Ke hadapan Yang Berhormatku yang dikasihi,

Saya sungguh terharu dengan apa yang menimpa YB. Tetapi apakan daya, saya hanya insan biasa yang hanya mampu menasihati agar YB bersabar dan bertenang sahaja dan tidak lebih daripada itu.

Harapnya YB bersabarlah. Sabar YB, kerana sabar itu sebahagian daripada iman. YB belum lagi didapati bersalah. Baru peringkat ditahan dan disiasat. Yang hanya boleh menghukum YB bersalah dan dihukum hanyalah mahkamah. Selagi YB tidak dihukum di mahkamah, YB tetap tidak bersalah.

Alaaa…. RM20 ribu tu bukannya banyak sangat YB kalau nak dibandingkan dengan yang orang lain kebas pun. Kawan YB (dalam konteks pemimpin UMNO) yang ditahan SPRM baru-baru nin, kesnya jauh lebih besar daripada kes YB nin. Kes YB nin tak sampai pun 1Persen (ala 1Malaysia) berbanding kes kawan YB tu. Kalau 1Persen daripada RM3juta dapat juga RM30ribu. Ini baru RM20 ribu. Sikit… sikit….sikit….sikit YB. RM5 ribu yang dijumpai? Huuuhhh…. Lagi sikit YB. RM5 ribu tu bagi seorang gembala yang mempunyai lembu gembalaannya sendiri, baru untuk bagi makan seekor lembu sahaja. Eleh, lekat celah gigi lembu tu je, kalau banyak tu.

Dalam kes nin pun, alaaa... orang nak bagi. Derma ikhlas upah melobilah katakan. Nak melobi bukannya senang ya YB? Naik turun pejabat, jumpa orang itu orang ini, intertain orang itu, rai orang ini, naik kereta turun keretapi, naik lif turun tangga. Dia orang tak tahu ke, semua tu kena pakai duit YB. Kalau tak bernasib baik, tak cukup dengan RM20 ribu tu untuk segala urusan naik turun saja.

Lagipun orang tak tahu siapa YB. Wartawan hanya tulis ADUN Terengganu. Tak sebut nama pun, apa lagi nak siar gambar. Lainlah kalau YB ADUN PAS atau pembangkang. Mungkin nama dan gambar dah disiarkan. Atau lainlah kalau YB di kalangan ADUN Terengganu daripada Geng 10 budak hitam. Kalau YB di kalangan ADUN Geng 10 budak hitam tu, rasanya cerita (tulisan) dan gambar YB sah dan pasti akan diberikan warna sepenuhnya. Baru hebat dan gah.

Jangan gusar YB. YB boleh minta tolong bos-bos YB. Tak kang bos YB tak boleh tolong. Antara bos YB ialah MB sendiri. Bukankah YB antara tiga orang ADUN yang tidak tersenarai sebagai ADUN yang memboikot sidang DUN lalu dan YB bukan di kalangan anggota Geng 10 budak hitam. YB tak ponteng sidang DUN, apa lagi memboikot. YB hadir sidang DUN. YB tidak dicop sebagai anggota Geng 10 Budak Hitam pun. Sekali YB dah menyelamatkan maruah MB.

Kemudian timbul pula Kumpulan 18 yang menandatangani memoradum tidak percaya kepada kepimpinan MB Mat Said. YB juga tak terlibat. YB merupakan salah seorang daripada 6 orang ADUN BN (termasuk MB Mat Said) yang tetap berdiri teguh di belakang MB Mat Said dan tidak menandatangani memorandum bersama 18 ADUN (termasuk Exco) yang lain itu. YB sudah bijak bacaan politiknya. Sudah bijak main selamat.

Sekali lagi YB menyelamatkan maruah MB Mat Said. YB orang yang akur dan menerima kepimpinan MB Mat Said. Cerita orang macam-macam. YB tak usah dengar sangat. Itu fitnah orang yang dengki kepada YB. Ada ke munasabah diceritakan orang, YB tak menandatangani memorandum tidak percaya kepada kepimpinan MB Mat Said adalah kerana YB dijanjikan dengan janji politik oleh MB Mat Said untuk melantik YB sebagai Exco menggantikan Exco daripada Kemaman sedia ada. Itu janji politik dan saya percaya YB tidak terpengaruh dengan janji politik dan cerita politik begitu. Yang saya percaya, ketaatan YB kepada MB Mat Said adalah benar-benar ketaatan yang jujur dan ikhlas. Nah… sekali lagi itu pengorbanan besar YB kepada MB Mat Said.

Saya rasa YB menjadi mangsa politik kerana YB orang politik. Kerana itu, saya rasa YB boleh minta tolong bos politik YB. Lagipun DUN Kemasik yang diwakili oleh YB tu bersempadan dengan DUN Kijal yang diwakili MB Mat Said. Dalam satu Parlimen lagi tu. Parlimen Kemaman. Ketua UMNO Bahagian Kemaman MB Mat Said sendiri. Tak kang MB Mat Said nak membiarkan YB Ir Rosli dianiayai… Malulah MB Mat Said kalau macam tu. Cukuplah memalukan MB Mat Said, kesihan dia.

Pun demikian, mahu tidak mahu, MB Mat Said kenalah tengok pengorbanan dan taat setia yang telah ditunjukkan oleh YB. Sepatutnya YB taat kepada Deris Jusoh macam geng 10 tu, sebab… ialah YB kan jadi ADUN kerana Deris Jusoh setuju YB dicadangkan bertanding di DUN Kemasik tu. Tapi Deris Jusoh pun tak patut juga YB. Tak kang YB tak ingat. Masa pengumuman nama calon di kediaman MB di Kuala Terengganu semasa PRU12 dulu, ada ke Deris Jusoh umum nama Radilah Abd. Wahab sebagai calon DUN Kemasik, bukan nama YB. Lepas tu dua tiga hari baru tukar nama YB. Maknanya macam Deris Jusoh pun tak mahu juga kepada YB.

Dah siapa yang nak kepada YB sebagai calon? Mat Said ke? Bukan. Mat Said tak ada kuasa lagi masa mencadangkan nama calon. Mat Said sendiri pun hampir-hampir tak ada nama. Jadi, kalau bukan Deris Jusoh dan Mat Said yang mahu, siapa yang mahu YB jadi calon di Kemasik tu? Susahlah kalau macam nin. Nanti selepas ini tak ada orang nak mengaku YB memihak sebelah mana. Nak kata orang Pak Lah pun, Pak Lah dah pencen. Bukan apa YB, saya terkenangkan nasib rakan-rakan kita terdahulu. Almaklum bila dah jadi nama tersangkut dengan kes-kes memalukan begini, kawan pun boleh jadi lawan. Orang yang 'hidup' di bawah batang hidung bosnya sendiri pun, diputarbelitkan cerita. Masing-masing nak 'lari kepala'.

Sabar jelah YB…

Akhirulkalam, saya harap YB bersabar dan bertenanglah. Rasanya saya tak menyebut nama YB dan kawasan yang diwakili YB. Saya pun jaga juga malu aib YB kan… tetapi kalau tersebut dan tertulis juga, itu secara tidak sengajalah tu. Ketidaksengajaan kerana keasyikan bercerita. Saya minta maaflah ya...

Harap-harap YB selamat dan dapat jadi Exco.
Related Posts with Thumbnails