Rabu, Ogos 26, 2009

YANG TERKENANG SETAHUN LALU

Berada dalam bulan puasa begini, teringat perihal seseorang yang curi-curi tak berpuasa. Bukan budak-budak lagi, tetapi seorang yang berstatus pemimpin tersohor.

Kisah ini berlaku dalam bulan ramadan tahun lalu. Terasa baru sekejap peristiwa itu, tetapi itulah masa dan dunia hari ini. Pejam celik pejam celik, dah berada dalam bulan puasa lagi. Entahlah pemimpin itu, tahun ini masih dengan perangai lamanya lagi atau sebaliknya, wallahuaklam. Harap-harap beliau sudah insaf khususnya apabila beliau terpaksa berhadapan dengan beberapa ujian Tuhan yang telah dilaluinya kebelakangan ini.

Ini bukan nak menyentuh soal peribadi pemimpin itu tetapi dek kerana beliau berstatus sebagai seorang yang wajar memberi teladan yang baik dan wajar pula diteladani, maka sepatutnya beliau menunjukkan fie perangai yang baik dan bersahsiah mulia. Dan kalau ditafsirkan kisah ini sebagai kisah membongkar keburukan peribadi seseorang, maka dalam bulan yang mulia ini saya memohon ampun dan maaf saja. Tetapi sekali lagi suka saya tegaskan, nawaitu saya adalah untuk menjadikan kisah ini sebagai teladan kerana ini adalah kisah benar teladan seorang pemimpin yang tidak sepatutnya dan tidak sewajarnya berlaku.

Ceritanya begini :

Peristiwa ini berlaku di Station Petronas Batu 5, Dungun (yang berhadapan dengan lampu isyarat ke jalan menghala ke Kampung Balai Besar/Gong Pasir). Satu hari di bulan puasa, seorang rakan saya (rakan pemimpin ini juga – rakan saya ini, sekarang memegang jawatan penting dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun - saya namakannya sebagai A) bersama temannya (saya namakan B) singgah untuk mengisi minyak kereta di station berkenaan, dalam perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Waktunya siang hari dalam lingkungan pukul 2.00 petang kurang lebih (waktu setepatnya, saya kurang pasti).

Sebaik A menghentikan keretanya untuk mengisi minyak pada salah satu pam station berkenaan, B terus keluar dan menuju ke tandas untuk membuang air kecil. Masuk sahaja ke tandas, B segera menghidu bau asap rokok (asap tembakau paip sebenarnya) yang masih semerbak - sudah pasti aroma tembakau paip jauh lebih harum daripada bau bahan buangan yang biasa dihumbangkan ke dalam mangkuk tandas.

Tanpa mempunyai apa-apa muslihat, B membuang air kecil pada ruang sinki berdiri yang disediakan walaupun ada satu lagi tandas yang tidak digunakan. Belumpun sempat B selesai membuang air, terjongollah pemimpin itu dengan tersengehnya dan terus keluar tanpa menegur si-B dan B dengan jelas dapat melihat di tangan pemimpin itu ada sebuah ‘pouch’ yang sering digunakan orang untuk mengisi perkakasan menghisap paip. Agak bernasib baik kerana B sahaja yang mengenali pemimpin itu (maklumlah pemimpin tersohor, siapa yang tidak mengenalinya), sedangkan pemimpin itu tidak pula mengenali B (mungkin secara akrabnya).

Kerana tidak selesa membuang air secara berdiri begitu, B pun memasuki tandas yang baru ditinggalkan pemimpin itu. Selang beberapa ketika, B terdengar percakapan telefon pemimpin itu dengan seseorang secara jelasnya. Antara yang disebut pemimpin itu :

“Axxxx, mun doksoh mari agi ah, ‘ATL’ ada sini. Aku dang dah sedapur (hisap paip?). Mun mari lambat sikit ah…”

Terjemahan : (“Axxxx, kau jangan datang lagi, ‘ATL’ ada di sini. Aku dah sempat satu dapur (hisap paip?). Kau datang lambat sikit lah…”)

Selesai membuang air, pemimpin itu, yang sedang bercakap dengan ATL (A) kelihatan terkejut beruk tetapi masih berjaya “maintain selambaland” melihat B, yang rupanya teman kepada ATL. Mereka berdua kemudiannya meninggalkan pemimpin itu sendiri dalam keadaan yang agak serba salah dan masih menyambung menunggu kehadiran rakannya yang dipanggil Axxxx itu.

Dalam kereta, B menceritakan kepada A perihal apa yang dialaminya. Dan mereka berdua membuat kesimpulan bahawa sahlah yang tidak berpuasa dan menghisap paip itu adalah pemimpin itu kerana tiada orang lain ketika itu dalam tandas melainkan mereka berdua. Panggilan telefon kepada kawan (Axxxx) pemimpin itu juga menjelaskan perlakuannya. Dan orang yang dipanggil sebagai “Axxxx” oleh pemimpin itu tidak salah lagi adalah “Axxxx Uxxx” kerana mereka berdua adalah regu terbaik (yang sudah acap kali ditemui) menyembunyikan perangai tidak berpuasanya mereka daripada khalayak.

Moral cerita ini ialah ; sama-samalah kita mengambil iktibar daripada kisah ini agar kita yang berhasrat untuk menjadi pemimpin tersohor dapat menunjukkan teladan dan fie perangai yang baik lagi berjurus kepada masyarakat pimpinan kita. Soal kita dengan Tuhan, itu adalah soal peribadi yang wajib ditanggung sendiri kalaupun kita ‘tidak malu’ kepada-Nya, atau kalaupun tidak ada manusia yang melihat kejadian sebegitu.

Wallahuaklam.

(***Catatan : peristiwa ini diceritakan sendiri oleh rakan saya dan temannya itu pada hari yang sama kejadian, kerana kami berjumpa di Kuala Lumpur pada sebelah malamnya).
Related Posts with Thumbnails