yang semasa

Isnin, Februari 09, 2009

YANG MAHA BESAR : HIKMAH & KEKUASAAN TUHAN

Pasti ada hikmah di sebalik kekuasaan dan maha penyayangnya Allah swt apabila Allah memutuskan untuk mengambil nyawa hamba-Nya yang seorang ini – Arwah Roslan Shaharum, Ahli Parlimen P59 Bukit Gantang, Perak yang menang atas tiket PAS dalam PRU ke-12/2008 lalu.

Kepada siapa Allah ingin menjelaskan kebenaran, sama-samalah mereka yang terlibat mengambil iktibar sambil merenung kekuasaan dan kebesaran Allah swt ini.

Yang pasti, ujian besar menunggu BN dan Pakatan Rakyat. Allah mengambil nyawa Ahli Parlimen yang salah satu daripada 3 DUN yang berada dalam kawasan parlimennya kini diwakili oleh Mohd Osman Mohd Jailu.

N14 Changkat Jering menjadi kerusi panas sebelum ini sehingga membawa kepada keluarnya wakil rakyat mereka Mohd Osman Mohd Jailu daripada PKR. Osman bersama seorang lagi wakil rakyat PKR Jamaludin Mohd Radzi di N59 Behrang dan ADUN N31 Jelapang Hee Yit Fong (DAP) enggan mengosongkan kerusi yang diwakili mereka dan mengisytiharkan diri mereka menjadi wakil rakyat bebas sehingga kemudiannya memberi sokongan terbuka kepada BN yang menyaksikan drama politik kartun di Perak bermula dengan penuh kekartunannya.

Tetapi Allah itu maha besar. Keengganan Osman, Jamaluddin dan Hee mengosongkan kerusi N15, N31 dan N59 kerana ‘perjanjian setan’ melalui surat tanpa tarikh yang dianggap tidak sah dan penuh keraguan, tambahan lebih kalutnya politik kekartunan di Perak apabila Tuanku Sultan Perak tidak berkenan membubarkan DUN Perak, dibalas secara tunai oleh Allah swt.

Itulah qadak dan qadar Tuhan. Ajal maut di tangan Tuhan. Sesiapa dan bila-bila masa sahaja yang Tuhan kehendaki, akan diambil nyawa mereka. Tidak kira orang itu BN atau Pakatan Rakyat atau bebas, tiba masanya Allah akan tamatkan riwayatnya. Orang Islam wajib percaya perihal ini.

Pun demikian sebagai manusia, kita juga diberikan akal fikiran dan kurangnya jangkauan sebab musabab yang membawa kepada timbulnya persoalan demi persoalan. Bukan mengingkari fitrah dan ketetapan Allah, tetapi lumrahnya begitu.

Kenapa Allah mematikan wakil rakyat P59 Bukit Gantang yang secara kebetulan salah seorang ADUN dalam kawasan parlimennya bermati-matian enggan meletakkan jawatan dan sekali gus menafikan PRK. Kalau pun Allah telah menetapkan satu kerusi parlimen di Perak untuk diadakan PRK sebagai ujian dengan apa yang berlaku sekarang bagi dijadikan ukuran ketaatan manusia politik partisan kepada-Nya, kenapa Allah tidak memilih di kalangan 23 Ahli Parlimen lain, yang 21 daripadanya tiada kaitan dengan sikap bermati-matian dan ‘perjanjian setan’ ADUNnya. Inikah yang dikatakan ada hikmah di sebalik kembalinya Ruslan kepada Allah itu?

Di P59 inilah Allah ingin menguji kebenaran. Allah ingin menguji umat-Nya lagi dengan pemergian arwah Roslan dan meletakkan percaturan kerusi itu nanti sebagai manifestasi siapa benar dan siapa tidak benar DI SISI-NYA.

Janganlah dipertikai kehendak Allah itu. Pertikaikan niat dan nawaitu manusia yang masih dihidupkan Allah untuk mengisi amanah Allah itu.

Tuhan itu maha mendengar, mengetahui dan maha besar atas segalanya. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Justeru kepada semua yang akan bertanding dalam PRK nanti, bertindaklah mengikut lunas-lunas yang betul untuk mengharungi ujian besar Allah ini sesuai dengan wahyu dan fitrah-Nya yang mengosongkan kerusi P59 berkenaan. Wallahuaklam.

SEJENAK MENJENGUK BUKIT GANTANG

P59: BUKIT GANTANG: (55,471)
1. Datuk Azim Zabidi (BN) 18,449
2. ROSLAN SHAHARUM (PAS) 20,015
3. M Muruganan (Bebas) 872
Majoriti : 1,566
Jumlah Mengundi : 40,187
Peratus Mengundi : 72.65%
Rosak : 851
(2004: TAN LIAN HOE (BN-GER) Majoriti : 6,702)

N13: KUALA SAPETANG: (19,699)
1. See Tean Seng (BN-GERAKAN) 6,721
2. TAI SING NG (PKR) 7,285
Majoriti : 564
Jumlah Mengundi : 14,466
Peratus Mengundi : 73.59%
Rosak : 460
(2004: SEE TEAN SENG (BN-GER) Majoriti : 2,686)

N14: CHANGKAT JERING: (24,864)
1. Datuk Mat Isa Ismail (BN) 8,309
2. MOHD OSMAN MOHD JAILU (PKR) 9,411
Majoriti : 1,102
Jumlah Mengundi : 18,054
Peratus Mengundi : 72.85%
Rosak : 334
(2004: DATUK MAT ISA ISMAIL (BN-UMNO) Majoriti : 4,764)

N15: TRONG: (10,908)
1. DATUK ROSLI HUSIN (BN) 4,212
2. Nor Azli Musa (PAS) 3,296
Majoriti : 916
Jumlah Mengundi : 7,681
Peratus Mengundi : 70.5%
Rosak : 173
(2004: ROSLI HUSSIN (BN-UMNO) Majoriti : 3,020)

Mengikut statistik PRU 2008 berdasarkan undi popular yang dapat dipungut oleh calon, PAS berjaya memenangi kerusi P59 ini dengan majoriti 1,566 undi. Manakala kalau dicampur majoriti dua DUN (N13 & N14) yang memihak kepada PKR dalam PRU berkenaan, mereka memperolehi undi popular sebanyak 1,666 undi.

Hanya 100 undi sahaja yang membezakan majoriti undi parlimen dan dua DUN berkenaan. Bermakna secara kasarnya, 100 undi yang gagal dipungut oleh arwah (tafsirannya undi selipar sebelah kasut sebelah) adalah satu ‘pengkhianatan’ yang bukannya gambaran keengganan untuk tidak menyokong calon bukan dari parti yang sama, tetapi kesepakatan seimbang yang tidak boleh dinafikan begitu sahaja.
Related Posts with Thumbnails