Rabu, Disember 01, 2010

YANG PERGI MENDAHULUI KITA (2) – ALFATIHAH

"Surprise" daripada teman-teman pada hari ulang tahun ke-57 kelahiran arwah tahun 2010

Kelmarin 30 November 2010, pulangnya kerahmatullah sahabat yang sama-sama mengajar di SMK Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, Ustaz Jamaluddin Wahab. Diceritakan anakanda beliau, Allahyarham terjatuh semasa berada dalam bilik air. Allahyarham sempat dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Ustaz Jamaluddin dijangka bersara wajib pada 20 Mei 2011. Walaupun dalam usianya sudah 57 tahun, Allahyarham masih kelihatan gagah dan sihat. Tidak pernah diceritakan oleh beliau atau sahabat-sahabat rapat beliau yang beliau mempunyai sebarang penyakit yang membahayakan, kecuali sedikit kencing manis yang belum mencapai tahap serius.

Dikatakan gagah dan sihat kerana Allahyarham selalu bercerita tentang hampir setiap hujung minggu beliau ulang-alik ke kampung isterinya di Machang, Kelantan untuk menyiapkan kerja-kerja tambahan pembinaan rumah ibu bapa mertuanya di sana. Arwah melakukannya sendiri.

Kadang-kadang seorang diri dan kadang-kadang membawa teman-teman untuk membantu mana yang arwah tidak mahir membuatnya. Alhamdulillah, khabarnya rumah mertua arwah sudah siap.

Malahan rumahnya sendiri di Kg Tanjung Jaafar, Gong Badak, arwah dikatakan hampir setiap hari ‘bermain dengan simen’ seorang diri. Rumah arwah bukan rumah tak siap tetapi memang sifat arwah yang suka bekerja sendiri menambah baik mana yang boleh untuk keselesaan keluarganya. Siang hari sebelum arwah meninggal pun, anakandanya memaklumkan yang arwah masih sihat dan segar serta baru sahaja selesai bermain dengan simen seperti hari-hari biasa yang lain.

Tetapi itulah kehendak dan kuasa Tuhan, Allah azzawajalla yang maha esa. Bila-bila masa sahaja, sampai saat dan ketikanya, yang masih segar bugar pun, akan dipanggil menghadap-Nya.

Allahyarham sepanjang bertugas merupakan seorang sahabat yang senantiasa tenang dan mesra walaupun sering menjadi ‘mangsa’ gurauan teman-teman yang lain. Arwah langsung tidak mengambil hati tentang apa yang diguraukan teman-teman. Paling lebih pun, arwah akan berkata dalam senyum dan tawa “main orang tua budak-budak ning”...

Dalam politik kepartian, arwah adalah penyokong tegar PAS yang setia. Bukan maksud saya untuk membongkarkan sesuatu yang dianggap sesetengah pihak sebagai sangat sensitif kepada penjawat awam ini. Tetapi yang jelas, arwah sendiri tidak pernah merahsiakan ‘ideologi’ politik yang diikutinya itu. Boleh dikatakan hampir semua yang mengenali arwah tahu perihal itu.

Tetapi arwah bukan penyokong yang ekstrem dan penyokong taksub. Walaupun arwah bertaraf ustaz dan mendapat didikan agama yang dikira cukup untuk bercakap soal hukum hakam agama (prasyarat utama kepada penyokong dan ‘pendakwah’ PAS?), arwah tidak pernah menggunakan kedudukan dan penampilannya sebagai penyokong tegar PAS untuk mempengaruhi apa lagi mengambil peluang berkempen agar teman-teman guru lain (jauh sekali dengan pelajar) ‘menyokong’ PAS, khususnya dalam waktu persekolahan.

Dengan saya, arwah banyak berbincang dan bertukar pandangan tentang politik kepartian. Kadang-kadang sambil bersembang atau berehat, kami ‘berbahas ringan’ tentang perjuangan dan hubungan agama, sosial, bangsa dengan segala macam kepolitikan semasa. Pada arwah, saya adalah penyokong tegar UMNO sebagaimana saya menganggap arwah adalah penyokong tegar PAS.

Namun, penampilan arwah selaku ustaz dan penyokong tegar PAS cukup sederhana. Sehingga kekadangnya terasa, berkawan dan berbual dengan ‘orang PAS’ jauh lebih baik daripada berbual dan berkawan dengan orang UMNO dalam konteks kepolitikan dan penyokong-penyokong mereka (PAS dan UMNO), kalau arwah dijadikan contoh teladannya.

Segalanya kerana arwah seorang yang amat liberal dan faham batas susila serta peranan. Bagi saya, pandangan dan penghuraian arwah tentang sesuatu isu dan ‘perjuangan’ PAS kadang-kalanya jauh lebih meyakinkan dan dihormati berbanding apabila bersembang dengan sesetengah penyokong dan pendokong PAS yang penampilannya totok PAS dan berimejkan ‘lebih Islam daripada Islam’ tetapi pemikiran, tingkah laku, fie perangai, tindak tanduk atau tutur katanya langsung tidak melambangkan seorang Islam, apa lagi sebagai seorang yang ingin memartabatkan Islam dalam perjuangannya.

Bagi saya, dalam politik kepartian, arwah adalah lambang yang mewakili sebahagian orang PAS yang mempunyai ilmu Islam yang sudah layak untuk berdakwah dengan cara dan kaedah serta penampilan yang jelas dan jujur tanpa totok yang membuta tuli sehingga mencemarkan imej partinya sendiri.

PAS mungkin terasa kehilangan seorang penyokong yang setia dan berhemah tinggi yang boleh melonjakkan imej PAS pada mata umum dengan kembalinya ke rahmatullah Ustaz Jamaluddin Wahab. Seperti juga kami yang pernah bersama arwah amat terasa hilangnya seorang sahabat yang baik pekertinya, ikhlas dalam persahabatan, tidak loket dalam perkongsian ilmu, senang berbicara mudah berkira, tidak kedekut dengan senyum dan tawa walau dalam apa keadaannya, iman solat yang sentiasa sabar (terutama dengan pelajar yang tidak terbatas nakalnya), serta yang akan paling kami kenangi, tiada lagi teman bergurau yang tidak pernah mengambil hati dengan gurau senda tanpa batas kami.

Al-Fatihah buat Allahyarham Ustaz Jamaluddin...

Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan senantiasa dirahmati dan dilindungi dengan keredhaan Illahi hendaknya. Amin.
Related Posts with Thumbnails