Ahad, Julai 05, 2009

YANG TEPAT & YANG BERKEPENTINGAN

Agak sekian lama tidak menulis perihal politik di Terengganu. Harapnya suasana kemelut sudah reda dan beberapa ekor ‘lembu’ yang kelembuan dan ‘kambing’ yang kekambingan (sama ada hitam atau putih atau coklat) sudah boleh bernafas lega.

Bermula 1 Julai lalu, saya sudah berada di luar Terengganu. Justeru kehambatan waktu dan persiapan sebelumnya telah membantutkan untuk saya menulis di sini. Namun secara jauh dan penuh minat, suasana di Terengganu tidak pernah saya lupai atau dibenamkan terus dari minat saya untuk menulis perihalnya.

Ada teman-teman yang bertanya perihal perlantikan pegawai dalam UMNO Terengganu oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, DSHH. Respon saya selepas perlantikan itu secara pantulan dan spontan ialah - 'tepat dan berkepentingan'. Tanya teman-teman lagi, apa yang tepat dan apa yang berkepentingan?

DSHH sebelum membuat keputusan ‘tepat’ itu berada dalam dilema sebenarnya. Dengan kedudukannya sebagai seorang Naib Presiden dan Menteri kanan yang berpotensi untuk terus meningkat, beliau terpaksa memikirkan banyak perkara yang menguntung dan merugikan dirinya.

DSHH berhadapan dengan dua kelompok manusia yang masing-masing mempunyai pengaruh, kekuatan dan kelemahan tersendiri. Dalam menapishalus kepentingan dan keuntungan berjangka panjang, DSHH terpaksa mengambilkira beberapa pendekatan dan pandangan pihak berkepentingan yang bakal menguntungkan dirinya juga.

DSHH berhadapan dengan kelompok Ketua Bahagian yang menyokong MB Mat Said dan kelompok (kononnya) kumpulan 18 yang menyokong geng 10.

DSHH bukan orang Terengganu. Peduli apa dengan kemelut dan kesusahan orang Terengganu. Beliau diberi amanah untuk menjaga UMNO Terengganu. Menjaga UMNO Terengganu bermakna menjaga Ketua-ketua Bahagian dan segelintir ahli UMNO Terengganu yang menyokong mereka. Bukan menjaga kerajaan dan kepentingan rakyat Terengganu keseluruhannya. Beliau bukan ditugaskan sebagai Menteri Besar tetapi hanya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Menteri Besar perlu menjaga rakyat, baik orang UMNO mahupun bukan orang UMNO. Itulah yang dibuat oleh MB Mat Said sekarang. Jadi maknanya DSHH berada di landasan yang betul dengan tindakannya sekarang.

DSHH Naib Presiden yang dijolok orang sebagai amat berpotensi untuk meningkat lebih jauh sehingga boleh menjadi PM satu hari nanti. Sebagai Naib Presiden, beliau menang kerana sokongan Ketua Bahagian dan perwakilan UMNO yang segelintir itu. Ketua Bahagian dan sebahagian perwakilan ini pun bukannya yang benar-benar layak dan diterima ahli. Tetapi dek kerana kuasa beli mereka lebih tinggi, maka mereka terpilih dan duduklah mereka di kerusi Ketua Bahagian dan perwakilan itu.

Bagaimanapun, mahu tidak mahu, sumbangan dan sokongan mereka perlu dibalas oleh DSHH. Tambahan lagi, mereka ini jugalah nanti yang akan ‘menentukan’ kedudukan beliau sama ada untuk terus kekal atau melonjak ke atas lagi atau sebaliknya.

Demi kepentingan masa depan itulah, makanya DSHH bertindak tepat memihak kepada kehendak Ketua Bahagian dalam menentukan corak dan warna kepimpinan serta kondisi politik UMNO di Terengganu. Tanpa mempedulikan pengalaman masa lalu (khususnya semasa PRU-12) dan risiko masa mendatang dalam menghadapi PRU-13, DSHH dilihat benar-benar yakin memperjudikan masa depan UMNO Terengganu kepada kemungkinan terlepasnya kerajaan BN daripada gengaman UMNO nantinya.

Yang menentukan corak kepimpinan dalam UMNO ialah segelintir ahli UMNO yang berketuakan Ketua Bahagian yang dipilih mereka. Mereka ini sudah taksub dan akur kepada Ketua Bahagian. Kumpulan Ketua Bahagian ini pula dilihat amat bersatu di kalangan mereka.

Sebagai Pengerusi BPUNT, DSHH juga perlu menjaga aib dan maruahnya. DSHH amat sedar bahawa sebagai Pengerusi beliau perlu mendapat sokongan dan dokongan semua Ahli Jawatankuasa dalam barisan kepimpinannya. Dan struktur organisasi UMNO Perhubungan telah menetapkan bahawa Ketua-ketua Bahagian adalah secara automatik sebagai AJKnya. Jadi kalau DSHH tidak memihak kepada mereka (Ketua Bahagian), nantinya DSHH akan diboikot dan mesyuarat BPUN sering menjadi tidak cukup korum. Yang malu aib adalah DSHH. Sebagai Naib Presiden, amat malu dan aib sekali kalau mesyuarat tidak cukup korum atau tidak ada ahli Jawatankuasa. Kalaupun DSHH telah digertak oleh Ketua-ketua Bahagian berhubung dengan perkara ini, itu satu yang bukan pelik dan mustahil, kerana itu menunjukkan kumpulan Ketua Bahagian ini cukup bersatu.

Tidak salah DSHH kerana beliau juga terpaksa menjaga dan menentukan kepentingan dirinya, khususnya dalam menghadapi masa depan politik beliau.

Kelompok kedua yang dihadapi DSHH ialah kelompok geng 10 (18?) yang terdiri daripada wakil-wakil rakyat yang sebenar-benarnya boleh menggugat kedudukan kerajaan kalaulah mereka ini berjaya menonjolkan keyakinan bahawa mereka benar-benar bersatu, tetap pendirian dan menolak kepentingan peribadi.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kerana kepentingan, kumpulan 18 ini menjadi tidak bersatu dan gagal meyakinkan DSHH dan pucuk pimpinan parti bahawa mereka sebenarnya lebih kuat, bersatu dan seia sekata.

Mungkin DSHH sudah mahir membaca perilaku anggota kumpulan 18 ini. Mereka ini mungkin bagi DSHH hanya hangat-hangat tahi lembu, mudah dikecek, tekup batu dan mudah lupa kepada perjuangan mereka, semata-mata kerana kepentingan.

DSHH sudah mahir dan kerana itu mereka mudah dibeli dan digula-gulakan dengan tawaran jawatan dan kedudukan. Lantiklah mereka waima sebagai Penolong Setiausaha BPUNT sahaja pun, mereka sudah boleh akur dengan keputusan dan sudah boleh melencong daripada asas perjuangan. Walhal apa sangatnya dengan jawatan Penolong Setiausaha itu. Rasanya tidak pernah berlaku dalam sejarah pun, jawatan itu pernah diwujudkan. Apa fungsi dan peranan dan setakat mana kuasa yang boleh menentukan kedudukan UMNO keseluruhannya dengan jawatan itu, masih banyak orang yang keliru.

Kemudian yang kuat menentang lantiklah mereka sebagai Pegawai Khas Menteri waima hanya untuk menjaga satu dua NGO. Janjilah akan mengembalikan semula mereka sebagai Pengerusi Penyelaras walaupun masih belum menjadi kenyataan pun. Lantiklah mereka sebagai SU/AJK Biro-biro dalam UMNO Negeri dan umpanlah mereka dengan jawatan yang muluk-muluk disebut sedangkan tidak ada apa-apa yang istimewa pun.

Itulah kepentingan. Kerana kepentinganlah mereka mudah dikecek, tekup batu dan mudah dibeli. Mereka menjadi tidak berani dan menutup mulut serapat-rapatnya untuk bersuara dan menentang lagi. Mereka sudah boleh melupakan perjuangan dan sanggup menggadai maruah dan menjaja prinsip hanya kerana kepentingan.

Kenapa mereka gagal menunjukkan kesatuan sesama mereka? Seperti yang pernah saya sebutkan dalam tulisan sebelum ini, kalau benar dakwaan mereka bahawa 18 orang ADUN telah sekata tidak yakin dan tidak percaya kepada kepimpinan MB Mat Said, kenapa mereka tidak bersatu hati dalam konteks bersatu yang sebenar-benarnya?

Kalau mereka benar-benar bersatu dan berjaya meyakinkan pucuk pimpinan bahawa mereka sudah sepakat dan tidak berganjak dengan keputusan, pucuk pimpinan dan pihak-pihak lain yang berkaitan sudah perlu memikirkan kedudukan MB Mat Said yang nyata sudah hilang majoriti sokongan bagi membolehkan beliau terus menerajui negeri sebagai MB. Bukankah itu menjadi prasyarat perlantikan sebagai seorang MB seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu? Mereka juga sebenarya sedar bahawa merekalah (atas kapasiti ADUN yang masih sah sekarang) boleh menggugat kedudukan kerajaan.

Tetapi mereka ini semuanya menekup batu dan bimbang serta takut akan terlucutnya kepentingan, apa lagi kalau sudah selesa berada di kerusi empuk Exco. Kalau hanya dengan perlantikan ke jawatan yang entah apa-apa, mereka sudah hilang pertimbangan dan mudah diserek ke sana ke mari, inikan pula dengan jawatan Exco yang jelas menyediakan pelbagai keistimewaan. Inilah elemen yang dapat dihidu dan dikesan oleh DSHH sehingga beliau bertindak berani ‘menyinsihkan’ kumpulan 18 ini.

Bagi DSHH, kumpulan 18 ini tidak ada apa-apa. Semuanya ‘kawan-kawan’ beliau yang boleh dicucuk hidung dan disogok dengan kepentingan peribadi. Lambat laun akan senyap dan isu ini sudah boleh ditutup buku. Gertakan mereka (kalau ada) hanya gertakan politik dan gertakan berkepentingan yang sedikitpun tidak menjadi kudis gatal kepada DSHH atau pucuk pimpinan atau kepada MB Mat Said sendiri.

Lagi pun dalam konteks politik UMNO jangka panjang, kumpulan ini bukan orang yang boleh membantu DSHH untuk terus kekal atau meningkat. Anggota kumpulan ini mana ada jawatan dalam parti. Hanya seorang dua sahaja yang langsung tidak menjejaskan undi perwakilan. Entah-entah mereka ini tidak pun dipilih sebagai perwakilan untuk mengundi dalam pilihanraya UMNO nanti. Jadi, buat apa DSHH nak takutkan mereka? Satu tindakan yang bijak dan tepat berjaya disempurnakan oleh DSHH.

Berbeza dengan ADUN DAP di Kedah yang dianggap lebih bermaruah daripada mereka ini. ADUN ini sanggup menentang arus dan mengisytiharkan dirinya menjadi wakil bebas hanya semata-mata kerana isu ‘kandang babi’, bukannya kerana kes atau isu besar seperti jawatan Exco atau jawatan Menteri Besar. Bagi ADUN DAP ini, kepentingan rakyat mereka lebih besar daripada kepentingan peribadi. Ini makna sebenar perjuangan.

Kebelakangan ini terdengar pula cerita bahawa salah seorang daripada anggota ‘enam jahanam’ yang sebelum ini menjadi penyokong kuat MB Mat Said, telah menyeberang kem dan menyertai kumpulan penentang (geng 18) ini. Kalau benar begitu, apa sebenarnya yang boleh dibuat, kalau kepentingan juga menjadi agenda utama mereka?

Mungkinkah menyeberangnya seorang anggota berkenaan adalah disebabkan kepentingan juga? Kerana beliau tidak lagi dilantik memegang apa-apa jawatan penting dalam UMNO negeri atau diberi kedudukan selesa dalam GLC kerajaan? Yang jelas dan nyata, kepentinganlah yang menghancurkan perjuangan mereka.

Cuma apa yang kita harapkan, sejarah tidak lagi akan menjadi hakim yang paling adil dalam menentukan kedudukan politik di Terengganu selepas ini.
Related Posts with Thumbnails