yang semasa

Isnin, Mei 27, 2013

YANG MAKAN TAIK (siri 2)

Salam...
 
Mulanya tak berhajat dan tak berminat untuk memberikan apa-apa komen terhadap kenyataan MB Mat Said sebaik sahaja beliau diangkat semula menjadi Menteri Besar Terengganu sebaik seusainya PRU-13 lalu.
 
Namun, ada kawan-kawan yang bertanya dan meminta komen yang dikirim melalui inbox FB mahupun melalui saluran telefon bimbit yang canggih manggih sekarang. Saya sebutkan kawan-kawan, maknanya tidaklah ramai. Sekadar beberapa kerat sahaja. Saya bukan orang tersohor atau penganalisa yang menjadi tempat rujukan. Sekadar pandangan peribadi yang boleh dikongsi seperti yang selalu saya sebutkan, baik dijadikan teladan, buruk dijadikan sempadan.
 
MB Mat Said menyebutkan, kurang lebihnya tiada lagi jawatan Pegawai Pembangunan Parlimen (PPP) dan Pegawai Pembangunan DUN (PPD) bagi kawasan Parlimen dan DUN yang BN kalah di Terengganu. Apa-apa masalah dan keperluan, pergilah mengadu kepada Ahli Parlimen atau ADUN Pas/Pembangkang yang menang dalam kawasan berkenaan. Lagi, MB Mat Said juga menyentuh tiada lagi peruntukan untuk kawasan yang BN kalah termasuk yang jelas disebutkan tiada 1,000 rumah kediaman untuk setiap DUN yang BN kalah.
 
Untuk makluman, 1,000 rumah kediaman ini adalah antara janji dalam manifesto BN Terengganu dan digantung pemidangnya dengan jumlah yang banyak juga, dalam hampir setiap DUN di Terengganu sepanjang kempen pilihanraya lalu.
 
Jadi apabila ada teman-teman bertanyakan perihal itu, saya dengan tegasnya menjelaskan bahawa itulah hebatnya MB Mat Said. Bagus, tindakan yang tepat, berwawasan dan kena pada masanya. MB Mat Said berfikiran jauh dalam politik dan telah memikirkan dengan mendalam perihal masa depan politik Terengganu khasnya. MB Mat Said patut dipuji melangit, bukan dikeji hangit. MB Mat Said patut disanjung, bukan ditonggongkan. MB Mat Said patut disokong sebaiknya oleh ‘semua’ rakyat Terengganu, bukan ‘dipelekong’ dengan taik.
 
Ada dua sebab utama yang saya kemukakan untuk ‘menyokong penuh’ kenyataan berwawasan MB Mat Said itu.
 
Pertama : MB Mat Said telah fikirkan bagaimana untuk berjimat dalam perbelanjaan. Berjimat dan membelanjakan ‘duit / pitis rakyat’ di tempat yang betul. Apa tidaknya, kalau PPP dan PPD dilantik, elaun bulanan mereka kena bayar. Cuba bayangkan berapa RM dapat dijimatkan oleh pentadbiran MB Mat Said kalau mereka tidak lagi dilantik. Sebelum ini, kadar elaun PPP dan PPD ini dibayar bersamaan dengan kadar elaun/gaji yang diterima oleh Ahli Parlimen dan ADUN (cuma PPP dan PPD tidak menerima elaun keraian dan elaun-elaun keistmewaan lain sebagai wakil rakyat).
 
Katakanlah, secara kasarnya PPP dibayar elaun sebanyak RM7,500.00 sebulan x 4 Parlimen (BN kalah) = RM30,000.00 sebulan dapat dijimatkan. PPD pula sebanyak RM5,500.00 x 15 DUN (BN kalah) = RM82,500.00 sebulan. PPP + PPD = RM112,500.00 sebulan dapat dijimatkan. Sudah berapa buah rumah kos rendah dapat MB Mat Said bina dalam kawasan yang BN menang dengan jumlah penjimatan sebanyak itu setiap bulan? Itu baharu dikira berdasarkan elaun termurah yang diterima AP dan ADUN. Itulah bagusnya MB Mat Said, berfikiran jauh. Hebat.. MB Mat Said kan pemimpin amat berhemah dan berjimat dalam perbelajaan. Tahniah MB Mat Said.
 
Sudah beberapa penggal PPP dan PPD dilantik dan buat kerja tungging langgang di kawasan-kawasan mereka, hasilnya tidak ke mana pun. Peruntukan dan segala macam perkara yang dilaksanakan di peringkat Parlimen dan DUN yang ada PPP dan PPD itu disalurkan melalui Pejabat Daerah juga. Apa kerja PPP dan PPD ini kalau bukan bekerja untuk mengenyangkan perut penyokong BN dan kroni-kroninya sahaja. Orang Pas / pembangkang, jangan bermimpi nak merasalah. Dana Ihsan hari raya, dana remaja, dana warga tua, dana anak sekolah (dan pelbagai dana produk kerajaan negeri lagi), kalaupun ada, adalah seorang dua orang penyokong Pas/pembangkang yang terlepas pandang menerimanya. Yang lain, jangan kata tengok borang, nak dengar bunyi adanya dana itu pun tak merasa. BR1M pemberian kerajaan Persekutuan, dikatakan semua yang cukup syarat menerima tanpa mengira fahaman politik pun, masih ada yang ‘digelapkan’ hak mereka terutama oleh JKKK. Bertindih tindan kerja PPD dan JKKK usah disebut. PPD dibayar elaun, JKKK pun dibayar elaun. Kerjanya apa? JKKK sudah hebat dan menyeluruh kerjanya, jadi apa perlunya PPP / PPD lagi?
 
Tahniah MB Mat Said yang dapat melihat jauh ‘penjimatan’ dan ‘kepincangan’ ini.
 
Kedua : MB Mat Said sengaja nak mengajar penyokong-penyokong BN / UMNO sendiri. Biar sedar kediri dan padan muka!! (begitulah agaknya).
 
MB Mat Said ingin mengajar penyokong-penyokong BN/UMNO berdikari sebenarnya.  Penyokong PAS/pembangkang sudah lama berdikari dan tidak mengharapkan apa-apa, waima daripada wakil rakyat mereka sendiri (bagi kawasan yang YB mereka bukan daripada BN sebelum ini), apa lagi mengharapkan intan berlian daripada wakil rakyat BN. Mana ada penyokong pas / pembangkang yang diberikan macam-macam keistimewaan selama ini? Mereka sudah sedar keterbatasan yang ada kepada YB mereka atau diri mereka sebagai penyokong pembangkang. Mereka disuluh siang malam oleh JKKK untuk ‘mengesahmatikan’ bahawa mereka sememangnya penyokong pembangkang. Justeru, amat jauh sekali kalau nak dapatkan rumah yang dibina oleh Kerajaan BN misalnya. Kata mereka, kalau tanah yang sudah dibahagikan pun boleh diambil balik, inikan pula rumah yang belum tentu di mana wujudnya.
 
Tetapi berlainan dengan sesetengah penyokong dan pentaksub dan ‘pencari makan’ tegar (dalam istilah yang lebih lembut disebut ‘makan di tangan’) dalam UMNO / BN. Nak bayar api air di rumah pun menagih dengan YB / PPP / PPD mereka. Nak tukar tayar kereta, nak sambung insuran, cukai jalan, anak nak sekolah dan segala yang bersikap peribadi itu pun dikorek dan ditagih daripada YB / PPP / PPD mereka. Kalau tidak ditunaikan, siap dengan ‘gerpokan’ dan ‘ancaman’ lagi. Dan dengan tiadanya PPP / PPD dalam kawasan yang BN kalah, terngagalah mereka hendaknya. Nak mengharapkan kepada YB yang menang, mereka juga perlu menjaga pentaksub mereka sendiri selain menjaga kesinambungan jangka hayat mereka dalam kawasan mereka.
 
Di sinilah hebatnya MB Mat Said dalam melihat segala ‘kecanggungan’ penyokong BN / UMNO di negerinya. Untuk bersikap lebih adil dan menyedapkan diri terutama kepada penyokong BN / UMNO, kita katakanlah bahawa MB Mat Said hanya menyebut ‘pihak kerajaan’ yang tidak akan ‘memberi muka’ kepada kawasan BN kalah. Maknanya bagi parti, khususnya UMNO, tidak pula disebut untuk terus bekukan juga. Itu cerita di luar kerajaan. Jadinya, penyokong BN terutamanya UMNO masih boleh bernafas dan bergantung harap kepada ‘calon-calon’ Ketua Bahagian atau pemimpin UMNO Bahagian, sama ada yang akan mempertahankan jawatan, bertanding menentang, bertanding merebut jawatan, menawarkan diri, ditawarkan diri atau apa sahaja istilahnya. Pintu untuk menagih bayaran bil api air dan bayar insuran cukai jalan kereta masih belum tertutup.
 
Maka penyokong-penyokong BN / UMNO dalam DUN yang kalah itu terutamanya, banyak-banyakkanlah berdoa supaya pemilihan dalam UMNO dibuat sepanjang tahun. Hanya itu sahaja sumber yang boleh ‘dicekup’ sehingga kini, setelah keputusan MB Mat Said ini.
 
Tahniah MB Mat Said dan takziah kepada penyokong BN / UMNO terutama dalam kawasan yang telah anda lepaskan kepada pembangkang.
 
MB Mat Said sudah membaca kisah silam perihal “kalau PPP / PPD / YB awak suruh makan taik, awak makan taik ar?”... Syabas dan Tahniah MB mat Said. Di sinilah hebatnya pemimpin negeri Terengganu yang disayangi ini. Berpandangan jauh ke hadapan... MB lain ada?
 
Kah! Kah! Kah! Kah!...

Rabu, Mei 22, 2013

YANG MAKAN TAIK (siri 1)

Salam..
Sekian lama tidak mencatatkan sesuatu melalui blog ini. Hampir terlupa segala yang berkaitan dengan penggunaan blog ini. Alhamdulillah, kembali semula secara perlahan-lahan.
 
PRU13 baharu sahaja berlalu. Banyak kenangan dan peristiwa pahit manis dilalui oleh banyak orang, terutama yang memberi tumpuan serius kepada ‘dunia politik’ tanah air. Terasa juga hendak kembali mencatatkan sesuatu melalui blog JAM ini sepanjang PRU13 lalu. Namun kerana ada beberapa kekangan yang terpaksa diharungi, hasrat itu terpaksa dilupakan. Justeru, sepatutnya beberapa persoalan yang akan dicatatkan semula oleh JAM ini dijawab semasa PRU lalu, makanya catatan dan isu-isu yang akan disebutkan ini, bolehlah dijadikan renungan yang mungkin betul atau sebaliknya. Hanya sekadar renungan.
 
JAM mulakan episod baharu ini dengan memintas semula beberapa persoalan yang dilontarkan teman-teman berhubung dengan PRU13 terutama berkaitan beberapa perkara yang “membolehkan” JAM bercakap mengenainya. Untuk siri 1 di bawah tajuk ini, JAM ingin menyentuh soal CALON dan pematuhan kepada parti.
 
Walau dalam parti mana sekali pun, umum terlalu amat memahami dan amat ‘kalih’ disogok dengan beberapa frasa ayat berikut :
 
“Ini adalah keputusan pucuk pimpinan dan ahli-ahli perlu patuh dan menerimanya”.
 
“Sesiapa yang ingkar dengan keputusan pimpinan, tindakan tegas akan diambil termasuk memecat keahliannya”.
 
“Perjuangan parti perlu diutamakan, bukan siapa yang bertanding atau siapa yang dipilih”.
 
“Akurlah dengan pilihan pucuk pimpinan. Pucuk pimpinan telah membuat pilihan yang terbaik”..
 
Dan bla bla bla bla... lagi adanya..
 
Teringat orang tua-tua dulu yang marahkan anak-anak mereka.
 
Ayah : Kenapa kamu mencuri?
Anak : saya ikut Mamat ayah..
Ayah : kalau Mamat makan taik, kamu pun ikut makan taiklah?
(ada anak-anak yang nakal, menjawab – tapi menjawab dalam hati “makan taik minyak, saya makanlah...”)
 
Orang tua-tua dulu lebih faham situasi. Kalau kita disogokkan dengan “taik”, apakah kita perlu bersubahat untuk memakannya sama?
 
Perjuangan dan prinsip berparti tetap perjuangan dan prinsip. Yang pasti, kalau kita sudah mengetahui dengan jelas dan nyata bahawa “calon” yang dinamakan dan akan dipilih untuk menjadi ‘pemimpin’ kita sudah bergelumang dengan “taik”, apakah kita terus WAJIB bersubahat?
 
Tidak hairan, banyak kawasan yang kalah kerana ‘calon-calon taik’ ini.
Related Posts with Thumbnails